PERMATANG PAUH, 23 Mac: Umno dan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak menjadikan persundalan sebagai modal politik murahan mereka, semata-mata untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat (PR) khususnya menjelang pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum (PRU) yang akan datang. Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Amir Md Ghazali mendesak pihak polis supaya menjalankan siasatan secara telus dengan mengheret mereka yang terlibat dalam isu video seks yang didakwa oleh Datuk 'T' ke muka pengadilan. "Jika pihak polis boleh membuat serbuan terhadap premis yang menyimpan atau menayangkan video lucah, kenapa pula dalam isu ini, Datuk 'T' diizinkan untuk menayangkan video lucah, menyimpan dan menjemput media untuk menyaksikannya. "Apakah undang-undang dalam negara ini tidak sama kedudukannya kepada golongan yang berbeza. Jika untuk kepentingan politik BN maka ia diharuskan. Jika melibatkan PR maka ia akan dikekang sejak awal lagi," ujarnya dalam kenyataan media yang diedarkan pagi tadi. Amir yang juga merupakan Ketua AMK Cabang Permatang Pauh, turut mendesak pihak polis supaya membuktikan keadilan yang diwar-warkan selama ini dalam melaksanakan tugas dan profesion mereka dengan membawa Datuk 'T' ke muka pengadilan kerana menyimpan dan menayangkan kepada umum video lucah yang tidak dibenarkan oleh undang-undang. Manakala Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Salleh Man, ketika ditemui malam tadi, turut mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan drastik yang segera bagi mengelakkan imej polis tercemar. "Buktikan kepada masyarakat bahawa polis tidak amalkan 'double standand'. Tidak kira sama ada pelakunya adalah di kalangan orang BN atau PR. Undang-undang negara mesti dihormati. "Jika tindakan dan serbuan kerap dilakukan ke atas mereka yang memiliki video lucah, kenapa orang yang mendakw dirinya sebagai Datuk 'T' ini dibiarkan menentang undang-undang yang begitu ketara kesalahannya," katanya lagi. Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, turut mendesak pihak polis supaya mengambil tindakan segera setelah menerima aduan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai video lucah tersebut. Tambahnya lagi, rakyat sedar ini merupakan salah satu lagi konspirasi yang cuba memburukkan imej kepimpinan PR menjelang pilihan raya negeri Sarawak. Namun begitu, cara ini adalah paling jahat dan melampau. "Sepatutnya pemimpin negara yang ada seperti BN jangan terlalu melampaui batas. Apakah pemimpin negara ini tidak pernah merasa malu kerana isu yang dibawa sejak sekian lama untuk menjatuhkan musuh politik hanyalah dengan isu persundalan sahaja," ujarnya lagi.
P'raya Sarawak: Undi 16 April, penamaan 6 April Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon untuk pilihan raya negeri Sarawak pada 6 April manakala hari pengundiannya pula jatuh pada 16 April.
Ini bermakna tempoh berkempen selama 10 hari. Pengumuman itu sebentar tadi dibuat pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Kuching.
DUN Sarawak dibubarkan kelmarin yang mana secara perlembagaan, pilihan raya hendaklah diadakan sebelum Julai tahun ini.
BN Sarawak yang lama dipimpin Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud menguasai 63 daripada 71 kerusi dalam dewan manakala pembangkang pula dengan tujuh kerusi, termasuk satu masing-masing milik bebas dan Parti Cinta Malaysia.
Pilihan raya sebelum ini diadakan pada 20 Mei 2006.
Tamparan kepada Anwar, tiga barangan diterima Hafiz Yatim Mac 23, 11 8:33am Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengubah keputusan bicara dalam bicara sebelum ini untuk membenarkan berus gigi, tuala dan botol air yang diperoleh dari lokap tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan, dikemukakan sebagai bukti.
Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan pihak pendakwa untuk memaksa Anwar menyerahka sampel DNAnya. Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah juga berkata tangkapan ke atas Anwar oleh pengawai penyiasat DSP Jude Blacious Pereira adalah sah dan sehubungan itu, barangan berkenaan perlu diterima."Selepas mempertimbangkan bukti dengan kenyataan dari IO (pegawai penyiasat) dan pegawai yang menangkap (Supt Ahmad Taufik Abdullah) saya memutuskan bahawa tangkapan itu adalah sah.”
"Dengan itu, barangan yang diperolehi dari sel - (botol air minuman, berus gigi dan tuala) boleh diterima sebagai bukti,” katanya.
Berikutan keputusan itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata beliau akan meminta dua saksi pendakwa tampil sekali lagi bagi mengemukakan barangan tersebut untuk dijadikan bukti. Walaupun Yusof tidak menamakan mereka, namun dipercayai mereka adalah ahli kimia, Nor Aidora Sameon dan Supt Amidon Anan yang sebelum ini pernah memberikan keterangan. Dalam keputusannya, hakim Zabidin bagaimanapun menolak permohonan pendakwaan bagi memaksa Anwar memberikan sampel DNAnya. "Bolehkah mahkamah ditangguhkan hingga esok?” Yusof kemudiannya bertanya.
Hakim Zabin kemudian mengajukan soalan itu kepada Karpal yang berkata beliau tidak ada bantahan.
Beliau kemudiannya menangguhkan perbicaraan sehingga jam 9 pagi esok bagi membolehkan semua pihak membuat persiapan. Sebelum ini pihak pendakwaan membuat dua permohonan - permohonan pertama bagi semakan semula keputusan perbicaran dalam perbicaraan yang menolak tiga barangan sebagai bahan bukti dan yang kedua bagi mengarahkan ketua pembangkang itu memberikan sampel DNAnya.
Permohonan bagi memaksa Anwar menyerahkan sampel DNA dikatakan sesuatu yang 'bukan lazim' dan belum pernah dilakukan dalam sejarah Malaysia, negara-negara Komanwel dan juga dunia, kata peguambela utama, Karpal Singh
Yusof pula telah berhujah bahawa sampel DNA Anwar adalah penting dan relevan bagi menentukan sama ada ia sepadan dengan DNA yang diambil dari sperma yang dijumpai di dubur pengadu kes berkenaan,Mohd Saiful Bukhari Azlan.
"Tidak pernah ada permohonan seumpama ini sebelum ini tetapi tidak bermakna ia tidak boleh dilakukan... atau tidak Seksyen 165, Akta Keterangan tidak mempunyai makna. Kita mempunyai bukti tetapi atas sebab teknikal ia tidak dapat diterima (oleh hakim),” hujahnya minggu lalu.
Hakim Zabidin sebelum ini telah memutuskan bahawa sampel DNA dari tiga barangan - sehelai tuala, botol air minuman dan berus gigi - tidak boleh diterima kerana ia diperolehi dengan cara yang tidak sah. Keputusan hari ini dikatakan sebagai satu tamparan kepada Anwar. Ketua pembangkang itu daripada kandangnya berkata terdapat tekanan politik yang hebat bagi memaksa hakim menukar keputusannya sebelum ini.
RM5.7 bilion bawah NKRA untuk Sarawak Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata Sarawak diperuntukkan kira-kira RM5.7 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek infrastruktur dan menyediakan kemudahan bagi meningkatkan mutu kehidupan rakyat di negeri itu di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Beliau berkata pada akhir tahun depan, 700 kilometer jalan akan disiapkan; kira-kira 12,000 penduduk akan menerima manfaat daripada skim bekalan elektrik luar bandar (RES) dan kira-kira 4,000 lagi daripada bekalan air rawatan.
Ini membabitkan 2,866 isi rumah dan 5,238 miskin tegar.
“Pada akhir 2012, RES akan meningkatkan dari kini 66 peratus kepada 95 peratus dan air rawatan dari 57 peratus kepada 90 peratus,” katanya memberitahu media di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah telah menyatakan bahawa kemajuan menggalakkan dalam pembinaan jalan dan bekalan elektik ke kawasan luar bandar di bawah NKRA untuk infrastruktur luar bandar di seluruh negara.
Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kementerian berkenaan telah membina 207.7 kilometer jalan sehingga 31 Jan tahun ini, dengan 44.5km di Sabah, 37.37km di Sarawak dan 125.86km di Semenanjung.
Ia berhasrat untuk menyiapkan pembinaan 697.4km lagi jalan untuk mencapai sasaran 905.12km untuk tahun ini.
Mengenai bekalan elektrik, beliau berkata kementerian itu dalam proses menyalurkan bekalan tersebut ke kawasan perumahan di Sabah dan Sarawak, yang dijangka siap tahun ini, sasaran kira-kira 27,000 rumah di seluruh negara.
Semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Serian pada Sabtu lepas, beliau juga mengumumkan peruntukan RM252.35 juta untuk bekalan air dan elektrik yang akan memanfaatkan beribu-ribu penduduk Sarawak termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
Seorang penduduk di Bandaraya Miri, Ismail Murshidi, 57, ketika diminta mengulas mengenai pelbagai projek yang sedang dijalankan kerajaan, berkata malah mereka yang tinggal di kawasan jauh di Sarawak menikmati pembangunan yang dilaksanakan di sekitarnya.
"Saya percaya kerajaan kita sekarang lebih serius dan berusaha gigih untuk membawa pembangunan untuk rakyatnya. Malah keluarga saya di kawasan Mukah kini bercakap mengenai kemudahan mudah ke kampungnya dengan jalan bertar, bekalan elektrik 24 jam dan bekalan air paip," kata beliau.
Seorang nenek, Jakiah Sigin berkata ramai penduduk bercakap mengenai lebih banyak projek pembangunan yang akan membawa sedikit impak positif dalam kehidupan mereka.
"Sesetengah, bagaimanapun, percaya bahawa projek seperti itu akan dilaksanakan kerana pilihan raya negeri akan diadakan tidak lama lagi. Tetapi, bagi saya, sik hal-lah (tidak ada masalah) kerana sama ada pilihan raya atau tidak, rakyat akan menikmati daripada projek itu," kata beliau.
Banyak kalangan parti pembangkang, yang dikatakan tidak ada idea untuk berkempan semasa pilihan raya kecil di Kerdau dan Merlimau pada 6 Mac lepas, cuba mempersoal masa kerajaan membuat pengumuman itu, dan hanya untuk memancing undi.
Jika parti-parti pembangkang mengulangi dakwaan yang sama di Sarawak, parti itu sudah tentu akan gagal untuk mendapat simpati daripada pengundi di sana, seperti nenek Jakiah, yang bijak untuk membezakan antara janji kosong pembangkang dan janji BN yang dipenuhi.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerajaan berhasrat untuk menyiapkan semua projek di bawah NKRA di Sarawak menjelang 2012 dan beliau memantaunya dengan rapat menerusi laporan bulanan mengenai kemajuannya.
--Bernama |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan