Arab Saudi campur tangan
DUBAI: Lebih daripada 1,000 anggota tentera Arab Saudi yang menjadi anggota Angkatan Pertahanan Negara-Negara Teluk memasuki Bahrain, kata sumber kerajaan Saudi, semalam.
Kerajaan Arab Saudi mengambil tindakan untuk campur tangan selepas gesaan pemerintah di Bahrain untuk sesi dialog tidak diterima oleh pihak pembangkang,” kata sumber yang tidak mahu dikenali itu. Menurut undang-undang Majlis Kerjasama Negara Teluk, sekiranya sebarang pasukan tentera negara Teluk memasuki salah satu negara anggotanya, maka pemerintahan pasukan tentera itu akan diambil alih negara berkenaan.
Kerajaan Bahrain belum lagi mengesahkan mengenai kehadiran pasukan tentera Saudi di kepulauannya yang menjadi pangkalan tentera laut Amerika Syarikat. Campur tangan Arab Saudi itu dilakukan dua hari selepas Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates membuat lawatan ke Manama dan mengadakan perbincangan dengan pemerintahnya. Gates menggesa kerajaan Bahrain mengambil tindakan segera untuk melakukan pembaharuan dalam sistem pemerintahannya. - AFP
Turki minta Gaddafi lantik presiden
ANKARA - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan meminta pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melantik seorang presiden baru yang mendapat sokongan penduduk dalam usaha menamatkan pergolakan di negara itu, lapor stesen televisyan, Al Arabiya semalam.
Menurut Erdogan, beliau menjangkakan Gaddafi akan mengambil langkah positif dalam menyelesaikan pergolakan di Libya yang bermula sejak 15 Februari lalu dengan angka kematian dianggarkan lebih 1,000 orang.
Pergolakan itu bermula apabila para penunjuk perasaan menuntut Gaddafi meletakkan jawatan selepas beliau berkuasa hampir 42 tahun.
"Kami mahukan pertempuran antara kedua-dua belah pihak di kawasan timur dan barat negara itu dapat dihentikan," kata Erdogan.
Gaddafi merupakan pemimpin Libya bagi tempoh empat dekad tetapi beliau tidak memakai gelaran presiden.
Dalam perkembangan pergolakan di Libya, laman web kumpulan pemberontak Libya, Libya al-Youm dan Brnieq melaporkan, tentera Gaddafi melancarkan serangan udara semalam dengan membedil beberapa kawasan yang berdekatan dengan penempatan di bandar Ajdabiya.
Jika tentera Gaddafi berjaya menawan Ajdabiya dan bandar-bandar berdekatan, mereka boleh merampas kembali kedudukan terkuat penunjuk perasaan di bandar Benghazi.
Sementara itu, pihak berkuasa Libya berjanji untuk memberi pengampunan kepada penunjuk perasaan jika mereka mengaku kalah dan meletakkan senjata, lapor stesen Libyan TV.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Rusia, Dmitry Medvedev mengharamkan Gaddafi dan keluarga daripada membuat sebarang transaksi kewangan ke negara itu menurut dekri yang ditandatangani pada 10 Mac lalu.
Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton kini berada di Paris bagi menghadiri seminar mengenai krisis yang sedang berlaku di Libya yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin dari Eropah. - Agensi
BAGHDAD - Parlimen Iraq sedang menjalankan siasatan terhadap 20,000 kakitangan kerajaan yang didakwa menggunakan sijil pendidikan dan diploma palsu untuk mendapatkan pekerjaan, menurut pegawai kerajaan negara itu, kelmarin.
Panel penyiasat, Layla Hassan berkata, mereka yang dipercayai menggunakan kelayakan palsu itu mungkin melibatkan para menteri dan pegawai kanan kerajaan yang masih berkhidmat.
"Kesalahan seperti ini tidak patut dimaafkan bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku pada masa hadapan," menurutnya.
Pendedahan itu mungkin akan memarakkan lagi kemarahan rakyat Iraq selepas penunjuk perasaan melahirkan rasa kecewa dengan perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan, masalah amalan rasuah dan angka pengangguran yang tinggi di negara itu.
Gaddafi kuasai semula Brega
|
|
AJDABIYAH, Libya 14 Mac - Tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berjaya menguasai semula Brega, bandar minyak strategik, selepas bertempur dengan pemberontak semalam, ketika Perancis berjanji akan mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menguatkuasa zon larangan terbang di negara ini.
Tentera kerajaan yang menuju ke bahagian timur negara ini melalui jalan pantai, merampas semula Brega awal pagi semalam ketika keyakinan mereka dilihat semakin bertambah untuk mara ke kubu kuat pemberontak di Benghazi.
Bagaimanapun pemberontak yang meneruskan protes untuk menamatkan pemerintahan Gaddafi berkata, mereka berjaya merampas semula Brega malam tadi. Kenyataan itu bagaimanapun tidak dapat disahkan.
Tentera kerajaan yang berjaya menawan semula sebuah lagi bandar minyak, Ras Lanuf kira-kira 100 kilometer ke barat Brega berkata, pihaknya yakin dapat menumpaskan pemberontak yang dituduh mempunyai hubungan dengan al-Qaeda dan perkhidmatan keselamatan asing.
Gaddafi sendiri dilapor telah bertemu Duta Rusia, China dan India bagi menggesa negara-negara itu melabur dalam sektor minyak di Libya, yang terjejas teruk akibat pergolakan dan mengakibatkan beribu-ribu pekerja asing dalam industri itu pulang ke negara mereka.
Eksport minyak Libya turut terjejas teruk ekoran pertempuran itu, kekurangan kakitangan, sekatan antarabangsa dan keengganan bank antarabangsa membiayai urus janji tertentu.
Sebahagian pakar meramalkan, Libya mungkin mengambil masa setahun sebelum pengeluaran minyaknya kembali stabil kepada 1.6 juta tong sehari.
Perancis dalam pada itu berjanji akan menggandakan usaha meyakinkan kuasa dunia untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya.
Menurutnya, Liga Arab semalam turut menyeru PBB memperkenalkan zon tersebut sebagai tanda mengambil berat terhadap rakyat Libya.
Pada masa sama, kerajaan Libya berkata, pihaknya menyambut baik kedatangan satu panel Kesatuan Afrika (AU) untuk membantu menyelesaikan krisis di Libya, tetapi mengecam gesaan Liga Arab itu. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan