Khamis, 17 Mac 2011

KITA KENA CERDIK AGAMA ISLAM...BAB HUKUM HAKAM...JANGAN SEKALI SOKONG PERKARA BERDOSA DAN ORANG BUAT MUNGKAR..HARAMLAH....

Apabila rakyat Saudi bangkit
Suhaimi Mokhtar

Momentum arus revolusi kebangkitan rakyat kini melimpah menuju ke Saudi Arabia. Di sebelah timur negara itu yang mempunyai penduduk majoriti Syiah rakyat telah bangkit berdemonstrasi di jalanraya beberapa hari lalu dan bertekad untuk mengadakannya secara besar-besaran pada hari Jumaat selepas solat Jumaat.

Demonstrasi yang diadakan setakat ini telah dapat dipatahkan oleh pihak berkuasa Saudi Arabia, tetapi ia tidak mematahkan semangat penganjur-penganjur yang mahu meneruskan tunjuk perasaan setelah mendapat inspirasi dari revolusi di Tunisia, Mesir, Libya, Yaman dan seluruh Negara di Jazerah Arab yang lain.

Tiada sebuah negarapun yang akan terkecuali dari menerima bahana, tempias, bahang percikan api revolusi rakyat yang melanda seluruh jazerah Arab ini. Jika Saudi Arabia tidak terkecuali dari menerima percikan revolusi rakyat ini, maka tiada negara jazerah Arab lagi yang mampu membendungnya.

Kebangkitan rakyat di Saudi Arabia ,walaupun bermula di sebelah timur negara itu, tetapi ia mempunyai kepentingan tertentu kerana Saudi Arabia merupakan negara di mana terdapatnya dua kota suci umat Islam, Makkah dan Madinah yang menjadi destinasi kunjungan umat islam seluruh dunia sepanjang tahun untuk melakukan ibadah umrah dan mengerjakan ibadah haji setiap tahun pada musim haji.

Sebarang kebangkitan revolusi rakyat di Saudi Arabia tetap melibatkan umat Islam seluruh dunia kerana kedudukan stratijik Saudi Arabia sebagai yang sering diuar-uarkan oleh pemerintah Saudi Arabia bahawa mereka adalah pengawal haramain atau ‘dua tempat suci umat Islam’.

Di samping implikasi kebangkitan di Saudi Arabia melibatkan umat Islam seluruh dunia ia juga boleh dianggap mempunyai implikasi melibatkan dunia seluruh kerana Saudi Arabia merupakan negara pengeluar dan pembekal minyak yang terbesar didunia yang mengeksport petrolnya ke Amerika Syarikat (AS) dan ke negara-negara Eropah.

Di Saudi Arabia juga terdapatnya pengkalan tentera AS yang terbesar. Semua ini membawa implikasi apabila berlaku kebangkitan rakyat di negara yang kaya dengan minyak dan negara yang menjadi pengawal dua tempat suci umat Islam itu.

Kebangkitan rakyat yang bermula di sebelah timur negara itu tidak akan terhenti di wilayah itu sahaja. Ia menunggu masa sahaja untuk melimpah ruah seperti air banjir, merebak ke wilayah-wilayah lain tidak terkecuali Mekkah dan Madinah, dua tempat suci yang menyentuh hati nurani umat Islam. Perlu diingat Mekkah pernah mengalami kebangkitan beberapa dekad lalu, dalam peristiwa berdarah rampasan Masjidul Haram yang terdapat di tengah-tengahnya, Kaabah, kiblat solat umat Islam seluruh dunia, tetapi ia telah dapat dipatahkan dengan segera oleh pemerintah Saudi Arabia.

Tetapi kebangkitan kali ini amat berbeza dari kebangkitan beberapa dekad lalu. Kali ini ia adalah kebangkitan rakyat yang mendapat ilham dari kebangkitan yang melanda seluruh jazerah Arab.

Bukan setakat kebangkitan di Saudi Arabia sahaja yang membawa implikasi besar terhadap umat Islam di seluruh dunia, tetapi sebenarnya kebangkitan revolusi rakyat yang bermula di Tunisia dan kemudian diikuti di Mesir turut mempengaruhi lanskap politik negara umat islam seluruh dunia dimana sahaja mereka berada.

Revolusi rakyat di Tunisia dan Mesir walaupun telah berjaya menumbangkan Ben Ali dan Hosni Mubarak, dua rejim diktator yang zalim dan menindas rakyat, tetapi ia belum lagi selesai sepenuhnya. Reformasi yang didesak oleh rakyat belum lagi dipenuhi sepenuhnya dan banyak pihak kelihatan sedang cuba menghajick revolusi rakyat di kedua negara berkenaan.

AS dan sekutu baratnya cuba memilih calun yang dapat mewarisi pimpinan Ben Ali dan Mubarak supaya kesinambungan polisi berlaku di negara-negara itu untuk kepentingan survival rejim zionis Yahudi sebagaimana yang dipertahankan oleh Ben Ali dan Mubarak.

Kini muncul nama-nama calun presiden yang bakal bertanding dalam pilihanraya Mesir ,iaitu Amr Musa, Setiausaha Agong Liga Arab, Muhammad El-Baradie, bekas pengarah IAEA di bawah PBB yang menyelia projek nuklear negara anggota termasuk Iran. Kedua mereka ini dikenali di AS dan barat, mereka rapat dengan kepimpinan AS dan barat dewasa ini. Walaupun dijangkakan jika mereka ditakdirkan menarajui Mesir, mereka tidak akan memimpin sekejam Mubarak, kerana Mesir selepas Mubarak akan lebih demokratik dengan reformasi politik yang sedang berlangsung. Tetapi AS dan barat lebih senang dan aman berkerjasama dengan tokoh-tokoh yang mereka kenali.

Bagaimana pun,Mesir pasca Mubarak tetap tidak sama lagi seperti sebelumnya. Dalam perubahan lanskap politik baru Mesir, akan muncul tenaga Islam dalam kalangan kepimpinan Ikhwan Muslimin untuk menyertai pilihanraya demokratik yang akan menjadi kuasa penentu bagi politik Mesir. Inilah yang dibimbangi washinton dan kota-kota barat lain. Keadaan yang sama juga akan mengambil tempat di Tunisia. Nama Rachid Ghanuchi yang baru pulang dari buangan di London dijangkakan akan menyertai pilihanraya dan menjadi tenaga politik baru di Tunisia.

Belum pun revolusi rakyat di Mesir dan Tunisia mencapai matlamat sepenuhnya, kini revolusi rakyat di Libya sedang menghadapi ujian pahit apabila pemimpin Libya enggan tunduk kepada kuasa rakyat yang mengakibatkan huru-hara perang saudara berterusan hingga kini.

Ghadafi mendakwa Al-Qaeda menimbulkan kebangkitan rakyat di Libya,tetapi setakat ini tidak sepatah pun kenyataan yang keluar dari Osama Ben Ladin tentang penglibatan Al-Qaeda. Tangkapan terhadap beberapa orang yang dikatakan operator Al-Qaeda yang membuat pengesahan penglibatan mereka melalui media tidak boleh digunapakai kerana mereka mungkin diupah dalam perang saraf dan propaganda yang sedang berlangsung sekarang antara kumpulan pro dan anti Ghadafi.

Campurtangan AS dan kuasa barat terutama Peranchis dan Britain yang akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan PBB, zon larangan penerbangan di langit Libya akan memberi Ghadafi senjata yang dimahukannya untuk menyeret bahawa kuasa-kuasa ini terlibat dalam menim bulkan kebangkitan rakyat di Libya. Ini sementelah lagi apabila Peranchis dan Britain telah mengiktiraf Majlis Nasional di Benghazi yang anti Ghadafi sebagai pemerintah baru Libya.

Perang saudara yang makin meluas diLibya sekarang menyebabkan kebangkitan revolusi rakyat di Yaman, Bahrian, Jordan, Oman, Algeria, Maghribi dan lain-lain negara tenggelam dipintas oleh apa yang sedang berlaku di Libya.

Hakikatnya kebangkitan yang berlaku di bumi-bumi umat Islam berkenaan tidak kurang panas dan gentingnya, apabila rakyat yang bangkit menolak percubaan pihak berkuasa negara-negara berkenaan yang cuba bertolak ansor dengan memenuhi beberapa tuntutan revolusi rakyat.

Di Yaman, kebangkitan rakyat menolak reformasi yang cuba diperkenalkan oleh Presiden Ali Abdullah Salleh untuk mengadakan pilihanraya parlimen yang nanti bakal menentukan presiden repablik itu. Mereka menyatakan konsesi itu terlalu kecil dan telah terlambat. Mereka mahukan Ali Abdullah meletakkan jawatan dan mereka tidak akan berkompromi dari tuntutan itu. Desakan dan agitasi yang serupa dihadapkan kepada pemerintah Bahrian dan beberapa negara lain yang sedang bergolak.

Ketika konflik perang saudara terus berlangsung di Libya, kebangkitan rakyat di negara-negara persekitaran jazerah Arab itu akan berterusan apabila pemerintah-pemerintah ini mempertahankan pemerintahan masing-masing dan menolak agitasi rakyat.

Di Saudi Arabia pakej rangsangan dan bantuan ekonomi berjumlah berbilion dollar untuk rakyat dan kenaikan gaji tidak dapat membendung kemarahan rakyat terhadap pemerintahan keluarga di raja Saudi Arabia. Tetapi pemerintah Saudi Arabia telah memberi amaran untuk bertindak tegas terhadap sebarang percubaan untuk membangkitkan revolusi rakyat di Saudi Arabia.

Mampukah pemerintah Saudi Arabia menanggani dan sekaligus membendung kebangkitan? Saudi Arabia dijangka akan bertindak keras dan tegas terhadap sebarang kebangkitan rakyat dan amaran untuk memotong jari-jari mereka yang cuba menimbulkan kebangkitan telah dikeluarkan oleh Menteri Luar Saudi, Putera Suad Al-Faisal baru-baru ini.

Pemerintah Saudi Arabia memang mengharamkan sebarang tunjuk perasaan di negara beraja itu dan baru-baru ini pemerintah negara itu mengeluarkan kenyataan keras menolak sebarang campurtangan asing dinegara itu. Kenyataan itu dikatakan ditujukan kepada Iran dan bagi menjawab kenyataan Setiausaha Luar AS, Hillary Clinton yang menegaskan bahawa rakyat Saudi berhak untuk menyuarakan haknya melalui demonstrasi aman.

Lihat nanti bagaimana Saudi Arabia menanggani kebangkitan rakyatnya dan bagaimana pula sikap AS dan barat terhadap tindakan keras dan tegas sekutu kuatnya dalam membendung kebangkitan rakyat Saudi yang mahukan reformasi di semua bidang termasuk politik, ekonomi, kebebasan dan hak rakyat untuk bersuara.


Jangan bunuh potensi anak muda
azmi

Ucapan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub sewaktu membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Saya memulakan ucapan dengan membaca sepotong ayat Al-Quran, maksudnya, "Mereka adalah orang-orang yang diberikan peluang berkuasa di atas muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengajak manusia kepada yang makruf, mencegah kemungkaran dan kepada Allah lah kembalinya segala urusan".

Saya juga mengambil kesempatan Menjunjung Kasih Atas Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang saya rasa telah menyentuh tentang perkara-perkara penting yang menjadi teras kepada kekuatan negara ini dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan negara ini walau apa pun, walau bertukar kerajaan sekali pun perlembagaannya, kekuatannya akan tetap utuh dan memastikan rakyat supaya jangan bimbang kerana demokrasi ini mengizinkan peralihan kuasa, mengizinkan rakyat memberikan mandat kepada sesiapa pun.

Yang pentingnya mereka yang diberikan kekuasaan itu jujur dan amanah untuk memikul beban amanah ini yang dipertanggungjawabkan kepada kita, dunia dan akhirat.

Antara Titah yang penting yang saya ingin kekalkan dalam ucapan saya adalah tentang keselamatan negara, tentang justice dan keadilan, dan juga tentang kekuatan yang harus dibina kepada orang-orang muda dalam negara kita. Saya hendak ucap tahniah kepada rakan saya daripada Pengerang. Walaupun kita berbeza parti tetapi dalam aspek untuk beliau menyatakan tentang orang muda dan juga tentang bagaimana kita melihat kekuatan yang ada kepada manusia itu harus dilihat secara objektif. Beliau, saya rasa telah mengusik sedikit pemikiran kita pada hari ini tentang bagaimana seharusnya kita memberikan kredit, memberikan pujian kepada mereka yang benar-benar layak. Bukannya kepada mereka yang semua dalam hidup ini memberikan pujian kepada kita.

Kita ada pengalaman bersahabat. Kalau sahabat itu siang malam memuji kita, tidak habis bercakap puji kita, mengampu kita, that mean something wrong dengan sahabat kita itu. Akan tetapi, kalau sahabat itu ada ketika dan kalanya memberikan sedikit pujian, mengkritik kita, memberikan kita teguran, itu adalah sahabat yang baik, yang dalam pelarian umur kita, akhirnya kita akan mendapati sahabat yang banyak mengkritik kita itu adalah merupakan sahabat yang baik, sahabat yang dianggap sahabat yang jujur dalam kehidupan kita.

Demikian juga kita dalam dunia demokrasi. Saya rasa kita harus melihat perkara-perkara yang melibatkan negara ini kepada satu skala yang lebih besar, bukan dalam minda yang sempit dan mengajak kita semua berfikir bahawa kita telah meninggalkan garisan kemerdekaan ini 50 tahun. Perkara pertama yang saya ingin katakan ialah tentang bagaimana seharusnya kita mengenal pasti tentang ancaman-ancaman baru.

Orang muda

Saya hendak bercakap daripada konteks orang muda, generasi muda yang harus kita bimbing pemikiran mereka dan potensi mereka ke arah menjadi orang muda yang bertanggungjawab.

Setiap parti ada keanggotaan pemudanya baik daripada pembangkang atau pun dari pihak Barisan Nasional. Akan tetapi, apa yang penting adalah tidak semua yang kita didik itu akhirnya akan pergi kepada parti kita. Ini pengalaman kita. Bila mereka telah keluar daripada universiti, tamat pengajian, mereka bebas untuk memilih parti yang mereka hendak pilih. Jangan kongkong mereka. Saya ingin memperjelaskan sekali lagi bahawa cara kita melayani pelajar-pelajar kita dalam pilihan raya kampus baru-baru ini amat menjijikkan dan memalukan.

Kita kembali pada zaman kuno. Kita ugut pelajar-pelajar kita. Kita susahkan untuk mereka mengisi borang. Kemudian, ada kejadian-kejadian mereka di kidnap. Ada kejadian-kejadian mereka diugut dengan SMS yang berunsur jenayah. Kenapa ini harus berlaku dalam dunia kita pada hari ini sedangkan di sanalah tempat kita melihat potensi anak-anak muda ini perlu kita didik, perlu kita beri ruang untuk mereka berfikir, memilih dan untuk mereka membuat keputusan, untuk mereka menilai parti mana atau kerajaan mana yang mereka hendak pilih atau dalam konteks kampus, mereka memilih pemimpin yang mereka rasa yakin untuk mereka undi dalam konteks mereka.

Akan tetapi, kenapa kita layan mereka seperti itu? Kenapa kita bina minda generasi muda dalam keadaan yang sebegitu? Kita undur balik ke belakang. Kalau ada menteri-menteri atau timbalan-timbalan menteri yang bercakap tentang sedikit kebebasan yang perlu diberikan kepada mereka, kita sudah mula lihat menteri tersebut atau timbalan menteri tersebut mula dipinggirkan. Ini pemikiran yang saya rasa tidak setaraf dengan apa yang kita hendak bina dalam negara kita pada hari ini.

Potensi orang muda saya hendak beritahu. Apabila Alvin Toffler menulis buku The Third Wave , mungkin Alvin Toffler pun tidak menyangka hari ini dunia siber, era teknologi maklumat pada hari ini menjangkau satu kemajuan yang sangat luar biasa.

Kemudian, Samuel Huntington meramalkan the clash of civilization, dengan izin. Pertembungan antara agama, antara budaya tetapi nampaknya pertembungan dalam agama dan budaya tidak sehebat sebagaimana yang kita alami pada hari ini kemajuan IT. Sehingga hari ini kita melihat telah ada sarjana yang menulis dan meramalkan akan berlaku satu pertarungan yang hebat dalam apa yang dikatakan cyber warfare, peperangan siber, cyber attack.

Ini dipraktikkan dan ditunjukkan bagaimana Barack Hussein Obama menggunakan facilities ini, menggunakan facebook nya untuk menamatkan legitimasi atau pun keangkuhan orang kulit putih. Dalam kempen pertamanya, dalam saingannya bersama Hillary Clinton, Barack Obama menggunakan kaedah atau pun pendekatan change .

Ancaman baru dunia yang seharusnya difikirkan bersama dalam konteks saya memberikan pandangan konstruktif saya terhadap layanan kita terhadap orang-orang muda, potensi mereka dan juga keupayaan mereka sebagai suatu tenaga penting kepada negara satu hari esok.

Apabila kita bercakap tentang kehebatan dunia siber ini, saya menjelaskan sebentar tadi tentang bagaimana Barrack Hussein Obama telah menggunakan kaedah dan pendekatan ini dalam kempennya di peringkat awal bersaing dengan Hillary Clinton dengan slogan ‘Change Now’ dan menggunakan kekuatan Facebook dan Twitter dan kemudian beliau berjaya untuk ke langkah seterusnya bersaing dengan rakan beliau untuk merebut kerusi nombor satu di White House. Beliau telah menggunakan slogan ’The Change That We Can Believe In’, dengan izin, dan juga menggunakan Facebook dan Twitter ini sebagai bahan kempen utama Barrack Hussein Obama.

Dengan jelas ia membuktikan bahawa kekuatan walaupun mungkin tidak keseluruhannya tetapi faktor utama dalam sejarah terbaru Amerika dan dunia baru ini menyaksikan bagaimana seorang yang berkulit hitam boleh menjadi orang nombor satu di Amerika, orang nombor satu di White House dengan kekuatan jari-jemari golongan muda menggunakan pendekatan ini untuk mereka menunjukkan sikap politik mereka.

Kita apabila berhadapan dengan orang muda ini jangan diperlekehkan tentang keupayaan mereka, jangan diperkecilkan, jangan kita membuat suatu undang-undang yang walaupun pada zahirnya tidak menampakkan kezaliman kepada mereka tetapi dalam satu waktu yang sama kita menyaksikan bagaimana undang-undang itu telah memperbodohkan mereka, mengheret pemikiran mereka ke arah zaman yang jauh jutaan tahun yang lalu, zaman batu, malah lebih dahsyat daripada itu. Dengan jari-jemari orang muda pada hari ini mereka boleh mengubah sejarah.

Saya ingin menyatakan dalam ucapan ini tentang fenomena dunia. Kita lihat perang dunia yang pertama telah mengubah sejarah Eropah Timur mendapat kemerdekaan. Negara seperti Hungary, Poland, Yugoslavia, Republic Chech dan seumpamanya merdeka selepas fenomena perang dunia yang pertama. Perang dunia yang kedua kita melihat bagaimana jatuhnya pelbagai empayar dan kita juga melihat Eropah Timur mendapat kemerdekaan keduanya dan seterusnya kita melihat dengan keupayaan dari fenomena itu akhirnya jatuh apa yang dikatakan the fall of the Berlin Wall . Jatuh dan runtuhnya Tembok Berlin.

Kemudian selepas cold war, selepas perang dingin, kita menyaksikan bagaimana negara-negara yang dahulunya diperintah oleh para diktator. Apa yang saya sifatkan sebagai Old Order ini runtuh satu demi satu dan fenomena ini berterusan kerana manusia itu akan terus potensinya berkembang kerana ia manusia. Ia bukan satu yang statik. Manusia ini pemikirannya walau satu waktu dahulu tidak berubah tetapi ia mesti berubah mengikut zaman dan keperluan apatah lagi dalam the third wave ini.

Maka, dengan sebab itulah kita melihat Old Order ini ataupun empayar-empayar besar dunia ini jatuh walaupun mereka ditekan dengan undang-undang yang zalim tetapi akhirnya mereka bangkit untuk mendapatkan hak mereka.

Maka, dalam dunia yang saya katakan tadi, dengan siber attack ini ada dua dimensi di situ. Dimensi pertama mereka menggunakan peralatan canggih ini untuk mereka menentukan sikap mereka. Hari ini kita melihat jatuhnya Hosni Mubarak di Mesir, jatuhnya empayar atau diktator di Tunisia, sekarang di Yaman, di Bahrain dan mungkin esok di Arab Saudi. Ini fenomena yang berlaku dan perhatikan dengan cermat bahawa semuanya berlaku pada negara-negara yang demokrasinya dibunuh ataupun negara yang tidak punya demokrasi walaupun dengan kekuatan persenjataan, kekuatan undang-undang memenjarakan mereka, menekan mereka, membunuh mereka tetapi ingat suatu hari manusia ini pasti akan bangkit.

Kita hari ini menyaksikan depan mata kita dan semua orang bercakap pada hari ini Malaysia tidak mungkin jadi macam Mesir, Malaysia tidak mungkin akan jadi macam negara-negara lain tetapi saya ingin memberikan suatu pandangan yang mungkin unjuran yang jauh, yang mungkin tidak dapat diperakui pada hari ini. Jangan bunuh demokrasi pada orang muda pada hari ini. Kalau kita mengakui negara kita punya demokrasi, suburkan demokrasi itu dan jangan buat demokrasi di kampus sebagai suatu tempat kita menahan ledakan dan potensi anak muda. Ini yang saya maksudkan kerana dengan jari-jemari mereka boleh merubah dunia.

Saya ingin menjelaskan satu lagi faktor dalam aspek ini ialah bahawa orang muda ini mereka boleh merubah sejarah, mereka boleh meruntuhkan empayar, mereka boleh menggunakan ruang siber yang ada pada hari ini untuk mereka mencapai tujuan mereka. Cuba kita bayangkan Hosni Mubarak yang belanjawan negaranya untuk tentera sahaja, untuk persenjataan sahaja, untuk kononnya bersaing dengan Israel berbelanja hampir 5% atau pun 6 % daripada KDNK mereka untuk kekuatan itu.

Orang dahulu takut terhadap bom atom. Hari ini dunia masih lagi berbincang tentang senjata nuklear tetapi apa yang berlaku pada hari ini tanpa bom atom, tanpa senjata nuklear, kerajaan boleh jatuh dengan cyber attack, dengan jari-jemari. Oleh itu bagi saya, kita harus melihat potensi anak muda ini untuk kita bangunkan.

Saya sendiri tidak mahu jadi seperti itu dalam negara kita. Akan tetapi kalau demokrasi ini tidak disuburkan, kalau tahun hadapan lagi kita melihat agaimana anak-anak muda kecewa dengan cara mereka diperlakukan dalam pilihan raya kampus, ini membakar semangat mereka. Mereka manusia, mereka human, mereka insan yang mahu suatu idealisme sebagai seorang pelajar di sebuah pusat pengajian tinggi dan jangan lagi layan mereka macam budak sekolah. Ini yang saya maksudkan supaya kita harus ingat tentang bahaya kalau kita mengongkong pemikiran manusia, mengongkong kehendak mereka, kita menyekat pemikiran mereka dan kita menggunakan undang-undang untuk mereka.

Kalau berlakunya pilihan raya kecil pun atau pilihan raya umum, kenapa tidak? Kalau ada fakulti sains politik..., di Universiti Malaya telah ada UMCEDEL, telah ada suatu badan bebas yang kita pertanggungjawaban mengkaji politik, UKM ada fakulti sains politik, kenapa tidak izinkan mereka turun? Kalau ada dua fakta yang kita ragui – sebagai contoh hari ini kalau kita menyatakan dengan fakta bahawa FELDA Plantation itu adalah satu yang kita anggap bertentangan dengan falsafah asal atau matlamat DEB. Ia kita anggap bertentangan dengan kehendak Allahyarham Tun Razak yang pada waktu itu mahukan FELDA ini sebagai senjata yang dua serampang, membasmi kemiskinan dan menyusun kembali masyarakat. Kita mendakwa apa gunanya FELDA Plantation?

Kalau ada fakta yang begini, kenapa tidak harus universiti dengan fakulti sains politik menghantar pelajar mereka untuk menyiasat? Biar mereka melihat, biar mereka mengkaji tentang kebenaran fakta ini. Ini cara kita menyuburkan pandangan. Ini cara kita berhujah dalam dunia dan iklim politik yang sihat kalau kita mahu menjauhkan diri kita daripada politik fitnah dan seumpamanya. Akan tetapi kita sekat mereka. Kita kenakan undang-undang pada mereka. Kita gantung pengajian mereka. Kita gantung biasiswa mereka. Ini cara apa? Jadi saya rasa harus kita melihat perkara ini dalam suatu kehendak orang muda yang kita raikan pemikiran mereka.

Kalau suatu hari esok di kalangan mereka lahir sebagai pemimpin negara, rakyat yang untung, rakyat yang akan mendapat manfaatnya. Tidak kiralah sama ada mereka Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Kalau Barisan Nasional kalah, kita memerintah. Insya-Allah PR memerintah. Kalau kita kalah tidak mengapa, teruskanlah memerintah tetapi apa yang penting bagi saya ialah jangan bunuh potensi anak muda.

Kedua, saya ingin menyatakan tentang ancaman kedua kepada cyber attack ini iaitu apa yang dikatakan sekarang sebagai cyber terrorism.

Yang tadi mereka menggunakan seluruh kecanggihan peralatan untuk mereka bersaing, untuk mereka mencapai kehendak mereka. Dimensi yang kedua yang lebih bahaya adalah bagaimana hari ini dengan menggunakan dunia IT yang ada pada hari ini, peperangan siber ini juga kita melihat bahawa ancaman kepada kerajaan dan negara dengan apa yang saya sebut di sini sebagai cyber terrorism atau cyber security.

Sekarang sudah ada satu virus yang dikatakan stacks net. Satu virus yang telah dicipta untuk ia boleh dengan izin, disable computer system. Keupayaan keselamatan negara yang disimpan dalam data boleh dipunahkan dan boleh dimusnahkan dalam sekelip mata.

Iran sekarang ini mengalami ancaman ini, Amerika sekarang ini mengalami ancaman ini. Bukan lagi nuklear, bukan lagi atomic bomb tetapi dengan virus yang dihantar melalui sistem kecanggihan IT. Adakah negara telah bersedia ke arah itu? Ini soalan saya kepada Kementerian Pertahanan. Kalau yang tadi itu menggunakan jari jemari mereka untuk meruntuhkan atau menjatuhkan kerajaan, menjatuhkan diktator, sekarang dengan virus stacks net ini, mereka melumpuhkan sistem keselamatan negara. Apa akan jadi kepada negara kita?

Ketenteraan

Saya suka untuk membuat sedikit perbandingan di sini tentang keprihatinan saya kepada negara, menyahut titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tentang peralatan fizikal ketenteraan kita. Ya, bukan kita mahu berperang dengan negara jiran.

Bukan itu matlamat kita, tetapi bila negara jiran dari tahun ke tahun meningkatkan belanjawan mereka dalam bidang ketenteraan, apa sikap kita? Saya membaca beberapa fakta di sini. Izinkan saya Tuan Yang di-Pertua.

Sejumlah RM35.5 bilion diperuntukkan bagi tahun kewangan Singapura 2011 bermula 1 April ini berbanding RM11.46 bilion pada tahun lalu untuk ketenteraan mereka. Untuk mengukuhkan hujah saya, data dari Stockholm International Peace Research Institute dari tahun 1990 hingga 2007, jelas menunjukkan terhadap enam tahun di mana bajet tentera diturunkan. Dahulu badan ini turut mendedahkan bahawa jurang antara Malaysia dan Singapura dalam perbelanjaan tentera berbeza hanya USD800 juta setahun pada tahun 1991 tetapi menjarak kepada USD1.3 bilion setahun pada tahun 1995.

Pada tahun 2008, Republik Singapura berbelanja lebih USD2.3 bilion lebih tinggi berbanding Malaysia. Bila data itu dikaji bagi tempoh 10 tahun, jurang perbelanjaan menjadi semakin besar. Ini jarak kita dengan Singapura dari segi mereka membeli senjata canggih mereka. Mereka ada stealth, pesawat tercanggih paling pantas di dunia. Apa yang ada di Israel, ada di Singapura. Mereka ada peluru berpandu. Mereka ada kereta kebal anti tank paling canggih yang ada pada hari ini. Kita ada apa? Kita ada dengan izin, disable weapon. Ada kapal selam pun tidak boleh hendak menyelam. Ada tiga kapal laut tentera yang ada pada hari ini, satu terbakar. Kita ada apa yang ada pada hari ini?

Bukan saya dengan niat untuk menghina negara sendiri tetapi ini peralatan yang kita ada pada hari ini. Kita ada skyhawk jenis apa, tahun berapa, kapasitinya bagaimana? Walaupun saya faham dan saya mengerti bahawa itu bukan untuk tujuan peperangan tetapi ini hakikat yang ada pada hari ini. Kalau ini pun kita tidak boleh hendak bina, apa pula persediaan kita dalam konteks cyber attack yang saya katakan tadi di mana dunia menghadapi ancaman cyber terrorism. Iran dilanda sekarang ini, negara Eropah dilanda dengan virus ini. Apakah persediaan kita terhadap perlindungan keselamatan data dalam negara kita?

Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Yang Berhormat Kubang Kerian, Balik Pulau sedikit penjelasan. Saya bersetuju dari segi aspek keselamatan negara. Cuma, yang saya juga mohon Yang Berhormat Kubang Kerian beri sedikit pandangan ialah mengenai ketika era apa yang dipanggil sebagai the era of soft power, bajet kita kepada Kementerian Luar untuk teman-teman kakitangan kerajaan terutama untuk mewakili negara terhadap kerja-kerja diplomasi kurang banyak untuk tahun ini.

Akan tetapi yang saya tahu, dengan perkembangan globalisasi sekarang, cabaran untuk kerja-kerja diplomasi ini amat lebih mencabar. Saya rasa di era soft power ini, selain daripada keperluan untuk kekuatan fizikal, military sifatnya, tetapi saya rasa untuk meningkatkan dengan izin, the sophistication of our staff iaitu kakitangan Kerajaan Malaysia yang saya rasa perlu. Saya rasa mungkin Yang Berhormat Kubang Kerian boleh beri sedikit pandangan.

Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Ya, satu pandangan yang bijak daripada rakan saya Yang Berhormat Balik Pulau di mana saya juga melihat bahawa dunia diplomatik juga menjadi semakin penting dalam kita mencatur, dalam kita melihat our way forward dengan izin, tentang kesediaan negara dalam kita berinteraksi dengan dunia yang ada pada hari ini. Peralatan mereka dan juga kelengkapan mereka harus dipertingkatkan supaya mereka juga dapat memainkan peranan yang maksimum dalam kita menentukan tentang efficiency, kecekapan negara kita dalam kita menyaingi mereka.

Saya tertarik dengan sejarah masa lampau. Hari ini, bila ada perundingan damai yang melibatkan – termasuk dunia Islam, negara yang menawarkan adalah negara Norway, Finland ataupun Sweden. Negara-negara yang menawarkan perlindungan politik juga, yang rasa selamat ialah negara-negara dengan izin di Scandinavian countries. Jadi walaupun dulu mereka adalah ‘Viking’, mereka adalah lanun laut utara yang kita belajar di sekolah dahulu, namun dalam masa yang cepat mereka belajar dan mereka hari ini menjadi peacemaker, mereka menjadi mediator untuk mereka tampil di pentas dunia dan menawarkan khidmat mereka untuk perundingan damai. Jadi saya rasa Malaysia juga mesti ke arah itu dalam kita bersaing dengan dunia-dunia yang berada pada hari ini. Terima kasih sahabat saya daripada Balik Pulau.

Buku Jingga

Saya beralih kepada Buku Jingga. Walaupun apa pun yang dikatakan tentang Buku Jingga ini, terima kasihlah kepada sahabat kita daripada Kota Belud walaupun tidak ada di sini kerana sebahagian besar ucapannya menyentuh tentang buku ini walaupun diperkecilkan. Ya lah, maklumlah kami tidak lagi di tahap duduk di sebelah sana tetapi ini yang kita tawarkan kepada rakyat. Saya rasa dengan diskusi itu yang walaupun ada kritikan, saya faham tidak mungkin mereka memuji tentang Buku Jingga ini. Akan tetapi saya rasa itu satu permulaan yang baik di mana di sebelah sana juga telah menerima ini sebagai satu dokumen yang perlu dibahaskan.

Saya rasa ini satu perkara yang baik. Kalau ia nanti menjadi satu perkara yang lebih penting, ada banyak lagi forum-forum tertentu yang boleh kita bahaskan tentang Buku Jingga ini kerana kita juga datang dengan suatu latar belakang pimpinan yang ada, latar belakang pengalaman mereka dalam kerajaan. Saya rasa dalam konteks ini saya bersetuju dengan rakan-rakan macam Yang Berhormat Pengerang tadi. Janganlah tuduh kita ini membangkang semata-mata. Tidak ada budi langsung kepada negara ini. Tidak ada suatu jasa langsung kami ini kepada negara. Itu tidak betul. Lihat sahaja Parlimen ini. Caucus yang dikemukakan. Siapa yang menganggotainya? Tidak semua seratus peratus Barisan Nasional. Juga daripada kami. Lawatan-lawatan kerja ke luar negara saya rasa juga dijemput kepada kami. Baru-baru ini saya dengan rakan daripada BN, Yang Berhormat Pokok Sena, kemudian Yang Berhormat Kuala Krai bersama Ahli Parlimen daripada Sabah dan Sarawak. Kita pergi kepada satu persidangan Global Peace Conference di Jepun dan Korea. Kita boleh duduk semeja berhadapan dengan parti baru di Jepun dan kita boleh kemukakan idea bersama. Tidak timbul masalah kita hendak mencaci negara sendiri di hadapan negara lain. Itu satu perkara yang saya rasa harus dilihat.

Jadi dalam konteks Buku Jingga, terima kasih dan tahniah kerana memberikan kesempatan untuk dibahaskan. Saya rasa kalau ada perkara-perkara yang perlu dikritik, ayuh kita boleh bincang secara intelektual, adakan intellectualist course untuk kita tengok apa yang baik dan positif. Ini pandangan kita kepada rakyat yang harus kita panjangkan untuk kebaikan negara.

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena]: Sikit sahaja. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Kubang Kerian. Setuju atau tidak bahawa sepatutnya dalam proses pengundian demokrasi dalam negara kita ini dalam konteks Buku Jingga, buku biru tua dan sebagainya, dalam konteks untuk membina masyarakat Malaysia yang bermaklumat, yang menentukan hala tuju negara kita ini berasaskan kepada knowledge, pengetahuan yang cukup. Sepatutnya agensi-agensi media elektronik ini seperti RTM, TV3, Kumpulan Media Prima dan sebagainya memperbanyakkan lagi intellectualist course yang berkaitan dengan bukan sekadar Buku Jingga tetapi saya kata bahawa kalau BN boleh keluarkan buku biru tua, jadi kita boleh membuat perbandingan. Buku Jingga dengan buku biru tua supaya masyarakat diberi peluang untuk melihat dan menilai sama ada Buku Jinggakah yang lebih baik atau buku biru tuakah yang lebih baik. Jadi yang mana?

Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Yang Berhormat Pokok Sena, ya. Satu pandangan yang sangat baik yang Yang Berhormat Pokok Sena kemukakan untuk Parlimen ini. Saya rasa dalam era selepas 2004, ada sedikit keterbukaan RTM. Ini saya hendak – ya lah kalau benda yang boleh saya puji, saya puji. Dulu ada Debat Perdana. Satu ruang waktu yang saya rasa walaupun pendek, sejam. Kemudian, Astro hari ini membuka ruang untuk kita dan dipanggil ahli-ahli panel daripada semua pihak. Saya rasa satu perkara yang sangat baik. Rakyat melihat kemunculan kita dalam televisyen yang dulu orang anggap pembangkang ini akan bercakap dengan bahasa yang kesat.

Satu persembahan yang memang rupanya rupa pembangkang. Namun dalam ruang waktu itu kita melihat semua bercakap tentang kebaikan negara. Sumbangan kita kepada negara. Tidak ada orang hendak look stupid on air. Jadi Astro telah buat satu ruang waktu. Namun saya hairan sekarang ini Astro pun sudah mula longlai. Mungkin ada suatu arahan.

Jadi saya rasa kalau ini boleh kita lebar luaskan dalam konteks kita menggalakkan satu minda yang berpengetahuan, masyarakat yang base on k-Knowledge, saya rasa kita sangat membantu kepada negara kita sendiri.


Aziz hilang kelayakan jadi Pengerusi SPR. Kenapa?
Ahmad Lutfi Othman
Gesaan agar dianjurkan segera perhimpunan besar-besaran menuntut pilihan raya bersih, telus dan adil buat kali kedua tidak boleh dipandang ringan. Ia memang satu keperluan yang cukup mendesak. Persiapan rapi mesti dibuat bagi memastikan demonstrasi raksasa kali ini lebih besar dan meriah berbanding himpunan Bersih, 10 November 2007, yang menyaksikan lebih 50,000 orang berarak ke Istana Negara.

Meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bertukar pengerusi, daripada Abdul Rashid Abdul Rahman kepada Abdul Aziz Yusof (dan juga lupa setiausahanya dulu, Wan Ahmad Wan Omar, yang dikatakan licik mengatur 'komplot' bagi menyukarkan siapa jua saingan BN, kini menjadi timbalan pengerusi), proses pilihan raya di negara kita terus berjalan secara berat sebelah, jauh daripada menyediakan "padang permainan yang sama rata".

Memandangkan pilihan raya umum ke-13 nanti merupakan gelanggang pertarungan "hidup-mati", sudah pasti SPR akan terus diperkudakan dan menjadi perkakas paling efektif untuk BN meraih kemenangan.

Jika pilihan raya kampus, yang langsung tidak memberi kudis buat survival kuasa BN pun dimanipulasi dengan cukup kotor, dengan taktik licik memenangkan kumpulan mahasiswa Aspirasi Pro-Umno, apakah kita begitu daif untuk mengharapkan SPR dibenarkan menjalankan tugas dan fungsinya secara profesional, bagi mengendalikan pilihan raya dengan bebas dan adil?

Imbau sejenak apa yang dilakukan SPR selepas Umno dikejutkan dengan prestasi buruk dalam pilihan raya umum 1999. Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya, khususnya di Kedah, dijalankan menurut kehendak strategis Umno-BN. Lokasi pengundi bukan Melayu sengaja dimasukkan ke dalam beberapa kawasan Parlimen yang dikuasai PAS, seperti Kuala Kedah, Pokok Sena dan Jerai, dengan andaian mereka tidak akan menyokong calon PAS dalam PRU 2004.

Lebih buruk, empat negeri majoriti Melayu, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis langsung tidak mendapat tambahan kerusi Parlimen kerana dibimbangi ia hanya akan meningkatkan jumlah wakil rakyat PAS di Dewan Rakyat. Pada 1999, bilangannya meningkat daripada tujuh orang pada 2005 kepada 27. SPR bekerjasama erat dengan Umno yang tersepit ketika itu.

SPR juga didakwa terbabit secara sedar dan aktif dalam memanipulasi senarai daftar pemilih di Terengganu. Pengundi baru didaftarkan dengan jumlah yang luar biasa. Kadarnya langsung tidak selari dengan pertumbuhan penduduk Darul Iman. Dipercayai sejumlah besar "pengundi hantu" diwujudkan, hasil kerjasama bersepadu di antara SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), selain ramai yang mengundi lebih daripada sekali. Targetnya semata-mata untuk merampas kembali Terengganu yang dikuasai PAS pada 1999.

Situasi genting buat Umno di antara tahun 1999 dan menjelang pilihan raya 2004 tidaklah sekritikal apa yang bakal dihadapi BN dalam PRU13 nanti. Pada 1999, BN masih mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen dan hanya terlepas dua negeri, sedangkan pada 2008, BN buat pertama kali dinafikan majoriti dua pertiga dan tumbang di lima negeri (enam jika termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur). Realiti BN kini bagai telur di hujung tanduk.

Kalau sekadar bertujuan merampas Terengganu -- negeri yang kaya dengan hasil petroleum itu -- Umno-BN bertungkus-lumus memperalatkan jentera dan kemudahan kerajaan khususnya "SPR serta konco-konco", selain mengamalkan rasuah politik secara berleluasa, maka cuba kita bayangkan apa yang sanggup dilakukannya bagi mempertahankan sisa-sisa kuasa, terutama di peringkat persekutuan? Apakah BN tidak merencanakan taktik dan teknik tertentu (pastinya di luar batas undang-undang) bagi merebut kembali negeri-negeri Pakatan Rakyat?

Misalnya, Selangor, negeri termaju di Malaysia, yang selama ini menjadikan menteri besarnya (di bawah Umno) begitu berpengaruh daripada segi politik dan cukup kaya raya melalui amalan rasuah dan salahguna kuasa. Apakah anda fikir Najib Razak selaku ketua perhubungan Umno dan Noh Omar, timbalannya, hanya sibuk mengatur ceramah untuk diisi Ezam Mohd Noor, bagi menyerang kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan personaliti Anwar Ibrahim?

Beberapa insiden yang sempat dihidu, seperti dirakamkan wartawan Harakah Selangor, Saidah Hairan di pejabat JPN Shah Alam, mengenai proses pendaftaran pemilih warga Sabah untuk "diagih-agihkan" di Selangor, hanya cebisan kecil kisah konspirasi BN-SPR-JPN. Kita belum dapat membongkar grand design lebih besar, yang mungkin tidak terfikir oleh kita tentang modus operandinya, seperti pemimpin PAS tidak pernah menjangka usaha licik Umno Terengganu untuk menumbangkan kerajaan PAS pada 2004.

Beberapa hari lalu, di Paya Jaras, Sg Buloh, dikesan satu lagi komplot dalam usaha BN merampas Selangor, yang dipercayai turut membabitkan JPN. Pendatang tanpa izin, termasuk dari Kemboja dikatakan telah diberikan MyKad dan akan didaftarkan sebagai pengundi untuk kawasan terpilih.

Selain itu, difahamkan beberapa universiti tempatan turut "bersubahat" dengan BN bagi mendaftarkan pelajarnya sebagai pemilih, dengan menyasarkan kawasan tumpuan di Selangor. Jentera BN sedang mengenal pasti kawasan pilihan raya tertentu untuk ditempatkan pengundi baru dari kalangan mahasiswa itu.

Minggu lalu, beberapa pemimpin KeADILan mendedahkan peningkatan mendadak pengundi pos di beberapa kerusi Dun Perak. Angka terbesar dicatatkan di Dun, Pangkor, yang diwakili Menteri Besar. Di Kok Lanas, Kelantan, hampir 500 isteri tentera ditukar status menjadi pengundi pos walaupun mereka tidak pernah memohonnya.

Faktor undi pos sejak sekian lama menjadi penyelamat BN di kawasan tertentu. Dalam tuntutan Bersih pada 2007, dicadangkan sistem pengundian pos dimansuhkan dengan segera kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara.

Ketika wibawa SPR dipersoal secara terbuka, pengerusinya Abdul Aziz Yusof mencetuskan polemik baru. Beliau tidak menolak kemungkinan tempoh kempen pilihan raya negeri Sarawak kurang dari 12 hari seperti dilaksanakan semasa pilihan raya negeri 2006. Utusan Malaysia, 9 Mac, meletakkan tajuk, "Kempen tujuh hari pada pilihan raya di Sarawak?"

Aziz berkata, tempoh kempen terlalu lama dikhuatiri boleh mengundang amalan politik tidak sihat antaranya provokasi yang ditimbulkan oleh parti tertentu. Ujarnya, kempen pilihan raya kecil Dun Merlimau dan Kerdau selama lapan hari pun sudah cukup mencetuskan kebimbangan dan kekecohan menerusi kemunculan isu pergolakan politik dari Timur Tengah.

"Semasa kempen pilihan raya kecil Sibu, ramai penduduk tempatan melahirkan rasa terkejut dengan cara pendekatan yang dibawa oleh parti-parti pembangkang dari Semenanjung. Di Merlimau dan Kerdau begitu juga apabila sentimen kebangkitan rakyat di Mesir, Tunisia dan Libya dikaitkan dengan suasana negara ini sehingga membangkitkan provokasi dalam kempen. SPR sedang mengkaji semua ini. Kita bimbang jika penduduk Sarawak yang dikenali sebagai orang yang sabar hilang kesabaran dengan provokasi ditekankan ke atas mereka, maka ia mungkin mencetuskan kejadian tidak diingini," kata Aziz.

Mengulas kemungkinan tempoh berkempen dipendekkan di Sarawak, AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu, yang juga tokoh yang sering bercakap tentang amalan demokrasi tempang di Malaysia menegaskan: "Dengan tempoh kempen sependek itu, apa yang pembangkang boleh buat? Pembangkang sudahlah tidak diberikan ruang bersuara menerusi media kerajaan dan media arus perdana, tidak banyak wang pula. Jadi kesemua itu adalah untuk memberikan keuntungan dan kemenangan kepada Umno BN yang memerintah dengan cara yang cukup jelas dan terang-terangan."

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menganggap respon Aziz yang mendakwa tempoh kempen terlalu lama boleh mengundang amalan politik tidak sihat dengan mengaitkannya dengan pergolakan politik Timur Tengah sebagai tidak releven.

Katanya, jika diimbas kembali senario Pilihan raya Umum 2008 yang berlangsung selama dua minggu, ia berjalan dengan aman. Tambahnya, ketakutan pihak SPR sengaja diperbesarkan, malah dianggap mempersendakan peranan polis dan pasukan keselamatan yang bertugas siang malam menjaga ketenteraman awam.

Hakikatnya, ujar Ustaz Idris, tempoh kempen pilihan raya singkat sengaja dituntut berikutan rekod kekalahan teruk BN bila mana kempen pilihan raya diadakan dalam tempoh yang panjang. BN Sarawak, tambahnya, ternyata tidak yakin dengan kemampuan mereka untuk mengekalkan majoriti besar dalam Dun sekiranya kempen pilihan raya diadakan selama dua minggu atau lebih.

Bagi saya, Aziz bukan lagi berbicara sebagai Pengerusi SPR, yang bertanggungjawab memastikan proses pilihan raya adil, bebas dan telus. Beliau seolah-olah sudah menjadi kerabat rapat Taib Mahmud, yang sedang memikirkan jalan untuk mempertahankan kuasa BN di Sarawak. Dalam bahasa kasar, Aziz kini berbicara dengan lidah Umno.

Dalam SMS kepada saya, pensyarah media, Dr Abu Hasan Hasbullah memberi respons: "SPR bukan diktator baru yang menjadi pemerintah bagi negara ini. Kuasa SPR hanya sebagai suruhanjaya yang bekerja menguruskan pilihan raya adil buat rakyat, bukannya senapang Gaddafi yang boleh membuli rakyat sesuka hati. SPR telah menjadi terlalu biadab terhadap demokrasi, perlembagaan dan negara dengan mengambil alih kuasa penentu siapa pemerintah."

Lagi pun, bukankah isu kemudahan perhubungan dan faktor geografi di Sarawak sudah cukup untuk memanjangkan lagi tempoh kempen, sekurang-kurangnya 21 hari seperti dituntut Bersih?

Lebih aneh apabila Aziz cuba mengaitkan dengan corak kempen parti politik di Sibu, yang pastinya ditujukan kepada pembangkang. Dalam pilihan raya kecil Parlimen itu, DAP berjaya merampas kerusi majoriti pengundi Cina berkenaan daripada BN. Najib (yang aktif turun berkempen menabur pelbagai janji dan "ugutan" di sana) dan Taib memang terkedu dengan kemenangan gemilang Pakatan Rakyat itu. Ia dibimbangi menghasilkan gelombang positif buat pembangkang dalam pilihan raya umum negeri Sarawak yang dijadualkan tidak lama lagi. Rakyat menyaksikan kempen di sana berjalan baik dan aman. Lalu, mengapa Aziz mahu mempermainkan sentimen pengundi Sarawak terhadap "orang Semenanjung"? Bukankah ada taktik BN yang tersembunyi dalam kenyataan Aziz itu?

Mengenai sentimen kebangkitan Timur Tengah, Aziz sepatutnya menyedari bahaya pilihan raya ala Hosni Mubarak yang nampaknya mula menular di sini. Rakyat Mesir dan Tunisia turun ke jalan-jalan raya, berdada dengan pasukan keselamatan dan mempertaruhkan nyawa mereka kerana sudah bosan, muak dan marah dengan proses pilihan raya korup sejak puluhan tahun. Rakyat di Malaysia juga mungkin bangkit "memberontak" jika sistem demokrasi di negara ini turut korup. Bagaimanapun, pemimpin Pakatan Rakyat sering menegaskan bahawa mereka tetap memilih untuk melakukan perubahan dengan menukar kerajaan melalui peti undi, dalam pilihan raya yang adil dan bebas.

Saya mengingatkan, sepatutnya Aziz menyedari peruntukan Perkara 114(2) Perlembagaan: "Pada melantik ahli-ahli SPR, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat kepercayaan awam."

Adakah orang seperti Aziz telah mendapat kepercayaan awam? Sekurang-kurangnya bagi saya, beliau belum menepati kriteria yang dijelaskan oleh peruntukan Perlembagaan itu.



Nasib pembeli rumah terbengkalai
Dr Siti Mariah Mahmud

Semua kita tahu dan akui yang memiliki rumah menjadi impian setiap rakyat yang menjadi ketua isi rumah. Ketiadaan rumah tidak lah sampai menyebabkan kita mati namun ianya tetap menjadi keperluan asas. Mana-mana kerajaan perlu memikirkan bagaimana merumahkan rakyat mengikut kemampuan mereka. Namun rumah juga kini menjadi satu “komoditi“ yang diperniagakan. Perniagaan rumah atau pemajuan hartanah rumah merupakan salah satu perniagaan yang memberi keuntungan besar. Anihnya di dalam perniagaan menjual rumah di Negara kita, risikonya ditanggung oleh pihak pembeli semata-mata. Pemaju rumah juga menanggung risiko namun pemaju rumah dan pemodal mempunyai kuasa dan daya untuk menentukan projek mereka boleh berjaya atau tidak. Berlainan dengan pembeli yang tidak mempunyai kuasa (not within their control at all) langsung untuk menentukan yang kepentingan mereka dilindungi.

Di dalam perniagaan biasanya risiko ditanggung oleh peniaga atau pemodal. Kuasa pembeli terhenti apabila mereka menandatangani dokumen perjanjian jual beli @sales and purchase @ S&P untuk pembelian rumah. Selepas itu sekiranya apa-apa terjadi kepada projek perumahan mereka, bank tetap akan mendapat bayaran balik pinjaman yang dikeluarkan mereka kepada pemaju. Syarikat pemaju pula kalau tidak berjaya melaksanakan projek perumahan kerana apa sebab pun tidak menerima hukuman. Syarikat mungkin ditutup dan di istiharkan bangkrap, projek perumahan terbengkalai dan dahsyat lagi tidak dapat diselamatkan langsung.

Pengarah syarikat, CEO syarikat, jurutera dan kontraktor semuanya terlepas bebas. Paling keras pengarah syarikat disenarai hitamkan. Tiada ganti rugi, tiada pembelaan setimpal kepada pembeli. Yang menanggung adalah pembeli yang terpaksa mengemis hak mereka di sana sini untuk mendapat pembelaan. Mereka “diperas ugut” oleh pihak bank menuntut pembeli membayar hutang bank walaupun rumah tidak siap dan tidak boleh diduduki, jika tidak membayar pinjaman bank mereka akan di CTOSkan, disenarai hitamkan tanpa belas kasihan. Oleh kerana tiada pilihan lain, pembeli terus membayar pihak bank kerana takut dibangkrapkan oleh pihak bank pula dan urusan pinjaman di masa depan dengan institusi kewangan tidak dibenarkan. Inilah penganiayaan, penindasan dan kezaliman yang canggih dan dibenarkan oleh pihak pemerintah dihalalkan oleh undang-undang. Ini yang dikatakan the RULE OF LAW! Undang-undang digubal untuk memberi keadilan tetapi di dalam undang-undang yang mengawal pemajuan dan pembelian rumah, ia tidak melindungi pembeli. Ia menganiayai pembeli. Di dalam perbahasan persidangan parlimen bulan Disember lepas, saya memohon satu skim insurans atau ganti rugi digubal untuk membantu pembeli rumah terbengkalai. Wakil rakyat BN tak sokong pun, kata bukan tanggung jawab kerajaan kerana masalah ditimbulkan pihak pemaju, kenapa kerajaan perlu tanggung menggunakan guna duit rakyat. Kalau tidak boleh dahulukan rakyat jangan cakap pencapaian diutamakan. Kalau tidak keluarkan duit rakyat untuk bantu rakyat, perketatkan undang-undang atau ujudkan polisi yang adil kepada rakyat.

Kerajaan seolah-olah merestui perkara ini berlanjutan puluhan tahun dengan enggan bertindak terhadap pemilik dan pengarah-pengarah syarikat perumahan. Menjadi pengetahuan umum yang pemilik dan pengarah syarikat perumahan yang dikatakan bangkrap ini akan terus bermain di pesada industri perumahan. Mereka boleh menubuhkan syarikat pemaju perumahan baru dengan memakai proksi yang tiada sejarah hitam yang memang bersih. Hakikatnya mereka terlepas dari tindakan undang-undang kerana tiada undang-undang dalam Negara ini yang mempertanggung jawabkan mereka di atas kecuaian dan amalan pengurusan buruk yang menyebabkan projek perumahan terbengkalai. Saya tertanya juga Dato’ yang di Pertua, kenapa Pengarah Pengurusan syarikat tidak boleh dipertanggung jawabkan bila projek perumahan gagal? Kenapa pihak bank tidak menjadikan mereka penjamin kepada pinjaman syarikat bila memohon pembiayaan projek perumahan. Kenapa setiap kali projek perumahan gagal, yang menanggungnya ialah pembeli sahaja, pemaju terlepas.? Pihak bank tetap mendapat bayaran balik. Peminjam menanggung segala kerugian dan kepayahan. KPKT tidak dapat buat apa-apa terhadap pemaju. Beritahu Dewan ini berapa buah syarikat pemaju atau pengarahnya pernah diheret ke mahkamah dan apa tuduhan yang dikenakan dan apa hukuman yang mereka terima?

Mungkin bila ditanya, ada pihak akan menjawab, pemaju pun bukannya sengaja atau mahu projek mereka tidak siap. Kerajaan sudah mengadakan pelbagai peraturan dan langkah untuk memantau kemajuan projek. Ini tidak mencukupi dan jika kita tinjau jawapan-jawapan mengenai jumlah rumah terbengkalai kepada KPKT perkara ini masih berlaku. Masalah ini bukan baru. Sudah berdekad. Namun Kerajaan enggan melaksanakan dasar BTS/ bina dan jual kepada pemaju atas alasan ia akan melembabkan industry pembinaan dan kalau dilaksanakan hanya syarikat bermodal tinggi sahaja yang akan mampu menjadi pemaju rumah dan akan menyebabkan monopoli dan harga rumah akan naik. Ini seolah-olah memberi tanggapan yang menteri atau kerajaan tiada kuasa untuk menetapkan harga rumah atau dengan sengaja tidak mahu menentukan dasar penetapan harga rumah. Pada masa yang sama kerajaan mengatakan yang harga rumah sentiasa dipantau tetapi tertakluk kepada harga pasaran. Sungguh mengelirukan.

POLISI BTS@BINA DAN JUAL

Di Negara kita, cadangan untuk membina BTS (Bina dan jual) rumah sudah bercambah dari tahun Sembilan puluhan lagi 1990’s. Persatuan Kebangsaan Pembeli rumah dan Perstuan Pengguna (atau National House buyers association HBA) sudah lama memperjuangkan isu konsep BTS. Hingga kini sudah 20 tahun perjuangan mereka. Malaysia masih tidak kemana. Kerajaan enggan mengenakan polisi yang mewajibkan pembinaan rumah secara BTS ini dan hanya membiarkan REHDA (Real Estate and Housing Developers Association) yang menentukan bila mereka bersedia untuk melaksanakannya. Berbagai alasan yang mereka berikan dan kerajaan menerima bulat-bulat tanpa sedikit pun mahu mengenakan tekanan ke atas mereka.

Di Singapura konsep pembinaan rumah secara DBSS (Design,Build and sell Scheme ) bermula sejak tahun 1960an lagi. Walaupun konsep pasaran bebas diamalkan di Singapura, namun dalam mendahulukan rakyat, jelas yang di dalam polisi merumahkan rakyat terbanyak, jiran kita lebih maju dan terkedepan 30 tahun. Mungkin mereka terpaksa berbuat demikian kerana tanah Singapura sekangkang kera dan Malaysia mempunyai tanah yang banyak.

MY FIRST HOME /POLISI RUMAH PERTAMA KU

Pengumuman Perdana Menteri di dalam bajet 2011 pada Disember yang lepas seolah-olah memberi kelegaan kepada golongan muda. Pinjaman 100% kepada golongan Muda berpendapatan bawah RM3000 sebulan untuk pekerja SWASTA untuk membeli rumah berharga di antara RM100,000 ke RM220,000 dan memanjangkan masa bayaran balik sehingga 35 tahun hingga ke generasi selepas peminjam pun boleh dipertimbangkan. Sekali pandang memang nampak seolah-olah akan menyelesaikan sebahagian masalah pemilikan rumah. Kita tidak menafikan yang sebahagian daripada golongan muda yang tinggal di luar kota besar akan mendapat faedah dari skim Rumah Pertama ku ini. Yang tinggal di kota besar seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Baru, Ipoh dan lain-lain Bandar akan terpaksa tinggal jauh dari Bandar untuk membeli rumah dalam lingkungan kos ini. Masalahnya dibandar-bandar besar rumah di dalam lingkungan kos ini sudah tiada atau amat sedikit berbanding dengan permintaan. Di lembah Kelang ini pun, harga purata rumah ia lah RM390,000 (mengikut CAP). Kajian Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (REHDA), harga purata rumah teres di Lembah Kelang suku akhir 2011 ialah RM430,000.

Memang banyak rumah yang dibina tetapi nisbah rumah mampu dibeli dengan permintaannya sangat tidak sepadan. Ini telah dibuktikan dengan Jawapan kepada soalan bertulis saya kepada KPKT pada bulan Disember 2010 yang menunjukkan dari 2,875,600 unit rumah yang telah dibina di Lembah Kelang di antara tahun 2005 hinggan bulan ogos 2010, 80% (2,296,900 buah) adalah kos rumah harga tinggi. Rumah kos sederhana hanya 10% dan rumah kos rendah juga hanya 10% sahaja. Bagaimana pihak kerajaan boleh meluluskan permohonan sebegini apabila 40% daripada rakyat kita masih berpendapatan kurang dari RM1500 sebulan. Saya kira rumah di antara RM100,000 ke RM220 jatuh di bawah kategori rumah kos sederhana. Ini bermakna pekerja swasta yang berpendapatan isi rumah RM3000 sebulan tidak akan dapat membeli rumah di lembah Kelang. Mereka kena beli rumah di MERU, SERENDAH, KUALA SELANGOR dan pekan-pekan lain di luar KL dan berulang kerja berpuluh KM. Dengan masalah pengangkutan awam yang tidak efisien dan harga petrol yang tinggi, adakah kumpulan ini akan ada “disposable income” @ pendapatan boleh belanja lagi selepas membayar pinjaman rumah, pinjaman kenderaan dan lain-lain perbelanjaan perlu? Saya skeptical dengan skim ini. Ia hanya indah khabar dari rupa.

Paling akhir pengerusi REHDA sudah awal-awal lagi mengatakan kajian REHDA dikalangan ahlinya menjangka harga rumah akan melonjak 20% dalam enam bulan pertama tahun ini disebabkan kenaikan harga petrol dan bahan binaan. Malah mereka dari awal mengatakan yang mereka tidak boleh bina rumah yang berharga RM200,000 di Lembah Kelang kerana kos tanah yang tinggi. REHDA awal-awal lagi meminta kos rumah yang dibenarkan di bawah skim ini di tingkatkan ke RM350,000. Kalau ini dibenarkan oleh pihak kerajaan, bermakna samada peminjam di bawah skim ini akan makan pasir atau bayaran balik hanya boleh diselesaikan oleh generasi kedua!

Apakah perancangan kerajaan untuk memastikan polisi ini disokong oleh pihak pemaju? Apakah polisi kerajaan untuk memastikan nisbah rumah mampu milik dengan jumlah pembeli mencukupi? Adakah kerajaan akan memastikan di dalam melaksankan “greater KL” nanti peruntukan kawasan perumahan kos rendah sederhana dan rendah dibina berhampiran dengan laluan MRT dan tidak hanya mementingkan pembinaan kawasan perniagaan semata-mata.? Apakah polisi kearajaan untuk memastikan yang rumah kos rendah dan sederhana dimajukan berhampiran pusat-pusat Bandar dan aktiviti ekonomi. Skim ini akan gagal jika pihak kerajaan tidak mewujudkan kawasan-kawasan perumahan kos rendah dan sederhana ini di tanah-tanah milik institusi kerajaan seperti di RRI dan Sg Besi. Jangan apabila kawasan ini dibangunkan ianya dipenuhi dengan rumah tidak mampu milik rakyat. Nanti hanya yang kaya akan tinggal di KL dan pusat-pusat Bandar.

Trend pembangunan Bandar di Negara ini telah menunjukkan setiap kali sesebuah kawasan dibangunkan, rumah atau pangsapuri yang dibina berhampiran dengan nadi ekonomi terlalu mahal dan tidak mampu dibeli golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Penduduk yang telah lama tinggal di situ akan di usir dan dipindahkan di satu tempat yang jauh dari tempat mereka mencari rezeki. Kerajaan terlalu memberi muka kepada pemaju hingga mengabaikan golongan berpendapatan rendah. Sekarang trend memajukan kawasan ladang-ladang beribu-ribu ekar, yang dahulunya memberi tempat tinggal berpuluh tahun kepada pekerja ladang, bila hendak dibangunkan pemilik enggan memberi tanah untuk rumah dan ganti rugi yang diberikan terlalu sikit, tidak dapat beli rumah kos rendah pun… kalau dulu pekerja ladang tergolong sebagai golongan luar Bandar yang miskin , bila kawasan mereka dimajukan, mereka jadi golongan miskin Bandar pula. Kita lihat sekarang bagaimana pekerja estet di Sepang diberi gantirugi hanya RM11,000 sebagai ganti rugi….


3 tahun Kedah Sejahtera, rakyat makin matang

Nasir Zakaria

Rakyat Negeri Kedah Darulaman sedang berada melewati tiga tahun pemerintahan Pakatan Rakyat yang ber’Menteri Besar’kan pemimpin daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS). 50 tahun Kerajaan Negeri Kedah dipimpin oleh Perikatan kemudiannya Barisan Nasional yang diterajui oleh Pekembar ataupun Umno.

Saya ingat, perlu ada beberapa catatan untuk menunjukkan ada beberapa perubahan dan anjakan paradigm rakyat negeri Kedah yang jumlahnya sudah mencecah 1.9 juta. Saya gembira untuk berkongsi pengalaman demokrasi dan cita-cita saya untuk melihat perubahan berlaku baik secara politik, ekonomi, pendidikan, sosial, dan lain-lain sekitar saya dan seputar negeri saya.

ORDE LAMA DAN PERUBAHAN

1. Sepanjang sejarah Negeri Jelapang Padi ini, dipasakkan di dalam pemikiran rakyat bahawa hanya Barisan Nasional sahaja mempunyai kemampuan untuk memerintah Kedah dan Negara. Satu khurafat dan takhayyul yang memundurkan. Sihir dan mentera ini berlangsung dan diimani begitu lama. Segala seruan ke arah perubahan berjaya ditepis dan BN terus memerintah. Pakatan Rakyat datang dan memberi harapan baru kepada perjalanan demokrasi negara.

2. Keadaan was-was berlegar dan disebar di kalangan rakyat adakah kerajaan baru boleh berkhidmat dan bertahan. Beberapa dongeng beredar di kalangan masyarakat bahawa kerajaan akan tumbang dalam masa beberapa bulan. Dah tiga tahun dah. Rakyat pun dah boleh fikir.

3. Pemikiran dan pandangan yang dibawa oleh BN dan Umno banhawa pembangkang tidak betul dan hanya pandai membangkang sudah mula sirna. Peranan pembangkang sebagai check and balance kepada sistem demokrasi mula difahami. Era "I know everything" dan "I always right" sudah berakhir.

4. Ratib umno dan BN yang mendakwa pembangkang hanya PAS dan lain-lain parti sekarang sudah berbalik kepada diri sendiri. UMNO dan BN yang diajar oleh rakyat dalam PRU sedar pengertian menjadi pembangkang di dalam sistem demokrasi. Walaupun kadang-kadang BN dan UMNO masih merasa diri merasa kerajaan. Berlagak dan tak sedar diri masih mengusai BN dan UMNO; pemimpin dan ahlinya.

5. Rakyat mula sedar bagaimana pembangkang yang selalu didiskriminasi tanpa sebarang peruntukan untuk membangunkan negara. Ahli Parlimen pembangkang atau ADUN yang selama ini menang dalam pilihanraya tetapi partinya kalah di peringkat negeri atau persekutuan biasanya tidak mempunyai sumber kewangan untuk melaksanakan projek atau apa-apa program kecuali melalui gaji atau usaha sendiri.

6. Rakyat sudah mula menyedari peranan agensi-agensi kerajaan yang selama ini peranannya diambil alih oleh ahli politik. Manakala ahli politik termasuk Ahli Parlimen dan ADUN yang peranan dan tanggungjawab mereka lebih besar dalam membahas dasar-dasar negara tidak dilaksanakan. YB-YB menjadi welfare officer, manakala pegawai kerajaan menjadi pegawai kepada ahli politik.

7. Sistem kehakiman yang sepatutnya tempat menegakkan keadilan kepada semua sudah mula difahami oleh rakyat bahawa selama ini mempunyai kaitan yang amat rapat dengan elit politik. Pemisahan kuasa yang menjadi konsep besar sistem demokrasi di Malaysia mula mengambil peranannya.

8. Rakyat mula sedar bagaimana setiap sen yang mereka belanjakan atau mereka membayar setiap sen cukai kepada negara adalah hak mereka sendiri dan perlu dipulangkan kepada mereka. Pemikiran bahawa semua duit atau pembangunan yang berlaku adalah dari BN atau Umno sudah tidak relevan. Slogan bahawa "BN Menang, Kedah Senang" adalah slogan sampah.

9. Billboard yang tertulis seperti "Projek Kerajaan oleh Barisan Nasional", "baja subsidi Kerajaan Barisan Nasional" sudah mula difahami dan di’gelak’kan oleh oleh rakyat.

10. Rakyat sudah mula fahami makna pembangunan bukan sekadar membina bangunan. Bangunan boleh dibina termasuk oleh Komunis dan Kapitalis. Pembangunan lestari, pembangunan insan; roh, mental, fizikal mula berkumandang.

11. Kejayaan Kerajaan baru yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat di Kedah seumpama membina institusi pengajian tinggi, peruntukan kepada sekolah-sekolah, petuntukan kepada belia termasuk membina pusat belia Kedah, peruntukan kepada setiap kaum, proses men"sifar"kan rasuah, proses membebaskan KCS dari belenggu politik. Bagi sarjana ia adalah merupakan satu kejayaan dan perubahan yang sangat besar. Hasil kebangkitan rakyat.

12. Kejayaan menambahkan pendapatan daripada sumber asli negeri, balak, batuan, sumbangan dan GLC yang diakui oleh Ketua Audit Negara membuka mata rakyat dan pengkaji politik. Ia juga menimbulkan tandatanya kepada ahli-ahli UMNO sendiri disebabkan sumber dan keluasan yang sama namun hasilnya amat minimum.

13. Kegagalan projek seumpama Marina Harbour, Pusat Akuatik, Lapang Sasar dan lain-lain projek kerajaan negeri mula diperkatakan rakyat. Pembelian temasuk pen untuk hadiah dengan harga yang tidak munasabah oleh Menteri Besar, pembayaran anak syarikat kerajaan negeri (wang rakyat) kepada UMNO (parti politik) menimbulkan tandatanya besar. Rakyat sudah mula berani persoalkan wang mereka.

14. Projek-projek segera untuk berdepan pilihanraya seumpama membina rumah-rumah rakyat yang kemudiannya membuat tuntutan kepada kertajaan selepas pilihanraya berleluasa sehinggakan mendedahkan kontraktor kepada hutang dan kemungkinan bankruptcy.

15. Kerja-kerja menempah poster untuk pilihanraya yang dibuat melalui anak kerajan negeri seumpama tuntutan yang dibuat terhadap Seri Temin selepas BN dan UMNO kalah selepas pilihanraya terhadap pengurusan baru amat memalukan.

16. Kegagalan menyiapkan projek-projek kerajaan pusat seperti 8 jambatan Naka-Nami, projek oleh kementerian pendidikan seperti kuarters-kusrters guru, sekolah-sekolah yang tidak mendapat kelulusan Majlis Perbandaran amat menjijikkkan. Semua ini adalah hasil pendedahan yang berjaya dikemukan kepada rakyat selepas perubahan.

17. Sistem kerajaan, pembahagian kuasa antara kerajaan negeri dan persekutuan mula difahami oleh rakyat, peranan kerajaan pusat dan negeri, hubungan simbiosis antara keduanya mula difahami oleh awam.

18. Penerusan semua projek kerajaan dahulu kecuali yang membazir memberikan satu persepsi bahawa menukar kerajaan bukanlah seperti menerbalikkan bumi.

19. Politik pembangunan dan perkauman yang dijaja oleh BN dan parti sekutunya sudah ditunjukkan jalan keluar oleh rakyat. Lagu lama yang cuba diputar kembali itu sudah mula mereputkan mereka.

20. Kematangan rakyat untuk memilih pemimpin dan bebas menentukan kerajaan sendirihubungan antara kaum dan agama yang selama ini selalu diragukan oleh BN dan UMNO dengan penukaran kerajaan sudah mula berakhir. Sikap saling hormat menghormati dan mengiktiraf peranan masing dalam pembangunan negara membuktikan bahawa ada bertukarnya kerajaan hanya seperti kita menukar pengurus pasukan bola. Dah asyik kalah tukarlah pengurus dan jurulatih. Bukannya pi racun pemain sampai mati atau bubarkan pasukan!!!

Apapun perubahan ini adalah sepatutnya kembali kepada rakyat. Rakyat yang matang dan bijak perlu menilai dan membuat pilihan. Rakyat yang bodoh hanya menjadi pak turut. Pengalaman tiga tahun masih terlalu muda untuk membuat penilaian objektif. Kelemahan tetap ada untuk diperbaiki. Rakyat yang bijak akan terus memberi pandangan kedua kepada kerajaan.


Saman Ekor: Fahami isu sebenar
Zulhazmi Shariff

Saya ingin merujuk kepada siaran akhbar Berita Harian bertarikh 11/3/2011 yang memetik ulasan seorang Pakar Perlembagaan Profesor Dr Rohimi Shapiee. Saya amat dukacita dengan perkembangan dan ulasan tersebut yang melabelkan pihak-pihak yang tidak menggalakkan rakyat membayar saman sebagai sebagai nakal dan menggalakkan pemandu supaya terus melanggar undang-undang.

Saya ingin tegaskan pendirian kami di Jawatankuasa Kempen Anti saman Ekor (KASE) bahawa kami tidak sekali-kali bersetuju dan menggalakkan pemandu-pemandu kenderaan memandu tidak mengikut peraturan. Setiap pemandu mestilah memandu dengan berhemah kerana jalanraya bukan harta persendirian tetapi hak bersama. Kami juga tidak bersetuju dengan penguatkuasaan yang tidak mengikut peraturan sedia ada. Atas hujah dan pendirian ini, kami melancarkan Kempen Anti Saman Ekor (KASE) iaitu bertujuan memberikan penerangan tentang hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan, prinsip keadilan dan pematuhan peraturan serta prosedur tindakan undang-undang.

Tidak pernah pada bila-bila masa dan ketika, Kami menyatakan bahawa Saman Ekor yang dikeluarkan oleh PDRM adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan Akta. Jika ada, saya merasakan kenyataan dan pendirian kami telah disalah tafsir. Saya ingin memperbetulkan pemahaman dan persepsi sesiapa sahaja termasuk Pakar Perlembagaan tersebut supaya sebelum membuat sebarang ulasan atau komen, FAHAMI dahulu apa isu yang dibawa dan ditimbulkan.

Saya ingin menegaskan bahawa Saman Ekor yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi hanya sekadar notis meminta maklumat pemandu daripada pemilik kenderaan yang dikeluarkan mengikut Seksyen 115 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Notis ini disebut sebagai Pol 170A. Fakta ini tidak pernah disangkal malah diakui oleh Kementerian Dalam Negeri, PDRM malah Timbalan Menteri Pengangkutan di dalam Dewan Rakyat. Saya mohon kerjasama pihak-pihak yang ingin membuat ulasan supaya lebih rajin membaca daripada membuat ulasan dan komen berasaskan lojik akal fikiran. Pernahkah pihak-pihak yang membuat ulasan ini meneliti setiap patah perkataan yang terkandung di dalam notis Pol 170A tersebut sebelum membuat komen? Baca dan fahami kandungannya dahulu kemudian nyatakan komen dan ulasan.

Mengikut Seksyen 115 (1) APJ 1987 setiap pemilik kenderaan apabila diberikan notis Pol 170A ini hendaklah memberikan maklumat pemandu yang disyaki telah melakukan kesalahan yang dinyatakan di dalam notis tersebut dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh notis diterima. Kegagalan memberikan maklumat boleh dianggap melakukan kesalahan melainkan pemilik memuaskan hati mahkamah bahawa beliau tidak tahu siapa yang memandu. Maksud memuaskan hati mahkamah tersebut ialah seseorang pemilik jika ingkar menjawab notis tersebut maka pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini hendaklah mengeluarkan suatu notis (Saman) di bawah Seksyen 53(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Persoalannya adakah semua prosedur ini diikuti oleh pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini?

Bersama Notis Pol 170A ini juga dikepilkan Notis Pol 171 iaitu menawarkan kompaun kepada pemilik kenderaan jika pemilik mengakui kesalahan dan ingin menerima tawaran kompaun, pemilik boleh menjelaskannya. Perlu diambil perhatian bahawa tawaran kompaun ini diberikan melalui Seksyen 120 (1) APJ 1987. Kompaun ini hanyalah semata-mata tawaran. Bukan suatu bentuk hukuman atau denda. Kompaun ini juga mempunyai tempoh sah laku kerana di dalam Notis Pol 171 di perenggan 4 dinyatakan begini “Tawaran ini berkuatkuasa sehingga (tarikh). Sekiranya tiada jawapan selepas tarikh ini, tindakan saman akan diambil”. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa kompaun tersebut hanyalah suatu tawaran, dan jika pemilik atau yang disyaki melakukan kesalahan tidak menerima tawaran kompaun tersebut dan enggan membayar, maka mereka hendaklah disaman supaya hadir di Mahkamah menjawap pertuduhan ke atas mereka. Saman ini dikeluarkan mengikut Seksyen 53(1) APJ 1987 yang disebut sebelum ini.

Persoalannya, adakah prosedur ini juga diikuti oleh pihak berkuasa?

Perkembangan yang berlaku sekarang ialah pihak berkuasa iaitu Kementerian dalam Negeri melalui PDRM telah menghukum orang yang disyaki melakukan kesalahan lalu lintas sedangkan mereka tidak pernah dibuktikan melakukan kesalahan. Mereka dihukum dengan alasan tidak membayar kompaun sedangkan kompaun hanyalah tawaran. PDRM pula mengambil kesempatan di atas kurangnya pemahaman rakyat tentang undang-undang dan peraturan telah menghukum dengan meminta JPJ menyenarai hitam kenderaan bertujuan memaksa mereka membayar kompaun. INILAH TINDAKAN YANG BERTENTANGAN DENGAN PERLEMBAGAAN!

Kenapa ia bertentangan dengan Perlembagaan?

a) Kesalahan yang dikatakan telah dilakukan tersebut belum dibuktikan.

Rujuk kembali kepada ulasan asal di atas. Jika Pemilik kenderaan ingkar notis, sepatutnya mereka dihadapkan ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka ingkar notis tersebut. Pelbagai persoalan akan timbul di sini. Adakah notis tersebut telah dikeluarkan? Adakah notis tersebut telah diserahkan dengan sempurna?

Notis boleh diserahkan kepada pemilik kenderaan mengikut Seksyen 118 APJ 1987 iaitu dengan pos berdaftar. Jadi pihak berkuasa perlu membuktikan terlebih dahulu notis itu telah dikeluarkan. Kemudian buktikan notis itu telah diserahkan iaitu dengan bukti pengeposan daripada pejabat pos berkaitan. Jika ada bukti tersebut barulah pemilik perlu buktikan kenapa beliau ingkar. Jika beliau telah memuaskan hati mahkamah dengan alasan-alasannya maka kemungkinan akan dilepaskan. Jika tidak dapat memuaskan hati Mahkamah, kemungkinan akan dijatuhkan hukuman kerana ingkar notis. Belum lagi soal memandu melebihi hadlaju. Adakah ini dilakukan dalam situasi sekarang ini? Jawapannya tidak kerana Timbalan Menteri Pengangkutan sendiri mengakui di Dewan Rakyat pada 8/3/2011 bahawa jika seseorang ingkar Notis Pol 170A ini maka mereka secara automatik dianggap melakukan kesalahan. Ini suatu anggapan yang salah di sisi undang-undang.

Jika pemilik atau pemandu disyaki memandu melebihi hadlaju, mereka sepatutnya disaman hadir ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka telah melakukan kesalahan tersebut. Adakah ini dilakukan? Tidak! Mereka terus disenarai hitam kerana tidak membayar kompaun. Sepatutnya PDRM membawa mereka ini ke Mahkamah, buktikan mereka memandu melebihi hadlaju. PDRM sentiasa mengatakan mereka mempunyai bukti, jadi buktikan di Mahkamah. Bukan dengan bekerjasama dengan JPJ untuk menyenarai hitam supaya pemilik kenderaan membayar kompaun. Ini salah! Kenapa PDRM tidak membawa mereka ini ke Mahkamah untuk dibuktikan kesalahan? Mungkin PDRM tahu bahawa mereka tidak dapat membuktikan kesalahan tersebut.

Perlu diambil perhatian bahawa APJ 1987 tidak memperuntukkan sebarang penggunaan imej yang dirakam untuk diterima pakai sebagai bukti di Mahkamah. Setelah APJ 1987 dipinda pada 22/12/2010 dan mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 barulah imej yang dirakam diterima sebagai bukti di Mahkamah. Ini disebut di dalam seksyen 117 (11) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 seperti berikut : Dalam mana-mana prosiding di mana-mana mahkamah, apa-apa imej yang dirakamkan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi apa-apa kesalahan di bawah Akta ini hendaklah diterima sebagai keterangan, dan hendaklah menjadi bukti prima facie bagi fakta yang dinyatakan di dalamnya.

Akan ada pula pihak yang akan mengatakan bahawa gambar boleh diterima sebagai keterangan di Mahkamah mengikut peruntukkan Akta Keterangan 1950. Betul, tetapi gambar bagaimana, bagaimana gambar diambil. Jika boleh digunakan peruntukkan Akta Keterangan 1950, kenapa kerajaan bersusah payah meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk memasukkan penggunaan gambar (imej) sebagai bukti yang boleh diterima?

Apa yang menyedihkan lagi, sudahlah gambar tidak boleh diterima sebagai bukti, para pemandu dan pemilik telah dikenakan bayaran RM10 untuk melihat dan mendapatkan salinan gambar tersebut oleh PDRM. Sudah lah tidak dibuktikan lagi mereka bersalah, mereka dikenakan bayaran untuk membuktikan mereka tidak bersalah. Sistem keadilan apa yang kita guna???

b) Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Ada dua (2) isu di sini :

a) Pembuktian bersalah; dan

b) Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah.

Pembuktian salah.

Seperti yang diulas sebelum ini, adakah semua yang dituduh dan dikeluarkan Saman Ekor ini telah dibuktikan melakukan kesalahan oleh PDRM dan JPJ? Di Mahkamah mana mereka ini dibuktikan bersalah? Jika tidak pernah dibuktikan bersalah, kenapa menghukum?

Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah?

Kuasa untuk menghukum ini adalah kuasa Mahkamah. Inilah tujuannya diwujudkan tiga (3) cabang dalam kerajaan iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Polis tiada kuasa menghukum. JPJ tiada kuasa menghukum malah kerajaan tiada kuasa menghukum. Hanya Mahkamah sahaja mempunyai kuasa ini. Justeru tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan ini adalah suatu hukuman. Siapa yang menyenarai hitam? Bukan Mahkamah tetapi JPJ. Adakah JPJ telah mendapat perintah Mahkamah untuk menyenarai hitam pemilik kenderaan?

JPJ akan menyatakan mereka mempunyai kuasa di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 untuk menghalang transaksi. Bagaimana kuasa tersebut perlu dibuat? Peruntukkannya menyebut bahawa Pengarah JPJ hendaklah berpuashati bahawa seseorang itu tidak mempunyai “perkara yang belum selesai”. Bagaimana JPJ hendak berpuashati? Mestilah membuat suatu siasatan seperti memberikan peluang membuat representasi kepada pemilik. Ini disebut di dalam Seksyen 17(2) APJ 1987. Adakah ini dibuat? Tanyalah JPJ.

Senario sekarang ini adalah hukum dahulu buktikan kesalahan kemudian. Ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan.

c) Menyenarai hitam bermaksud menghalang rakyat menggunakan harta.

Perkara ini diulas dengan terperinci di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280.

Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuching tersebut telah memutuskan bahawa “perkara yang belum selesai” yang dimaksudkan di dalam Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 ialah perkara yang telah dibawa ke mahkamah di mana yang dituduh tidak membela diri.

Mahkamah juga memutuskan bahawa tindakan JPJ Negeri Sarawak menyenarai hitam di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang. Malah tindakan tersebut juga dianggap bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap rakyat menggunakan harta mereka.

Akhirnya Mahkamah Tinggi telah membenarkan tuntutan gantirugi terhadap JPJ kerana telah menyebabkan kerugian kepada pemohon di dalam kes itu akibat kehilangan penggunaan harta beliau iaitu kereta yang disenarai hitam.

Justeru saya ingin mengambil peluang ini untuk memperbetulkan persepsi dan pemahaman sesetengah pihak supaya apa yang diperjuangkan dan dibahaskan ini adalah isu penyalahgunaan proses keadilan. FAHAMI ISU SEBENAR! ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!


ZULHAZMI SHARIFF

Penasihat Undang-Undang

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

11/3/2011



Tiada ulasan: