Selasa, 29 Mac 2011

JIKA KITA BERSAKSI KEPALA LUTUT...DIAKHIRAT SAKSINYA IALAH ANGGOTA BADAN...MAKA TIDAK AKAN LEPAS..KETIKA ITU TIADA KRONI ATAU KUASA UNTUK ELAK HUKUMAN

Ceramah Pakatan diserbu, tayang video lucah dibiar
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Mac: PAS kesal terhadap sikap double standard yang ditunjukkan oleh polis yang kembali mengganggu ceramah Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, tabiat lama berulang kembali apabila Umno berada di posisi defensif, manakala Pakatan Rakyat di posisi ofensif.

Katanya, beberapa siri ceramah di Pokok Sena Kedah dan terakhir di Taman Melawati, Gombak 25 Mac lalu yang berakhir dengan kekecohan.

Beliau berkata, semua maklum sekiranya himpunan yang diganggu oleh polis maka akan berakhir dengan kekecohan.

“Pihak polis buat-buat tidak faham mengenai keputusan mahkamah yang memutuskan polis kalah dalam perbicaraan di Jelebu dan Rompin, Pahang.

“Malahan yang paling malang kadang-kadang OCPD tidak faham Akta Polis, akhirnya telah diperbodohkan oleh peguam bela di dalam mahkamah,” ujarnya.

Menurutnya, polis bertindak dulu, walaupun ia bertentangan dengan undang-undang.

Katanya, kadang-kadang dengan angkuh ketika masuk ke tempat ceramah seolah-olah satu provokasi kepada orang ramai.

Mereka, ujarnya hendak memastikan malam tersebut ceramah mesti dihentikan, biarkan maklumat tidak sampai kepada orang ramai.

Setakat hari ini, tambahnya jika perhimpunan atau ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat jika tanpa gangguan polis berakhir dengan aman.

“PAS ingin mengigatkan kepada polis bertindaklah secara profesional, jangan cemar institusi ini. Jangan salahkan rakyat jika rakyat sudah tidak hormat institusi polis, tetapi salahkan diri sendiri,” katanya lagi.

Rakyat pula, ujarnya tertanya-tanya kenapa polis sibuk mengganggu ceramah Pakatan Rakyat, sebaliknya tidak pula menyerbu Hotel Carcosa Seri Negara yang menayang video lucah pada 21 Mac lalu.

Menurutnya, mungkin kerana ia melibatkan mereka yang kebal dan bebal.

“Di manakah Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan?” soalnya.

Kedua-dua seksyen itu berkaitan larangan memiliki, mengedarkan dan menayangkan filem yang lucah atau yang selainnya bertentangan dengan kesopanan awam.


Utusan putar belit kenyataan Nasrudin
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 29 Mac: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan mendakwa akhbar Utusan Malaysia memutar belit kenyataannya berhubung penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat video seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang.

Nasrudin menafikan bahawa beliau bersetuju dengan penubuhan suruhanjaya itu sebaliknya berkata, perkara yang harus diutamakan adalah mengenai prinsip keadilan berhubung tuduhan tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihak yang membuat tuduhan itu mesti menampilkan saksi.

"Saya kata, saya tak nak bercakap soal mekanisme. Saya nak cakap pasal prinsip.

"Yang menuduh dan memfitnah kena bagi bukti saksi yang jelas dan pengadilan mesti diberikan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau menegaskan,siasatan selepas video itu disebar kepada umum adalah tindakan yang salah.

"Tuduh merata-rata dulu selepas itu baru nak nak buat siasatan, ini tindakan tak betul," katanya.

Tambahnya, Pakatan Rakyat tidak takut untuk disiasat namun keadilan mesti diutamakan.

"Kita tidak takut pada siasatan tapi keadilan mesti ditegakkan. Suruhanjaya atau apa itu mekanisme. Prinsipnya keadilan dan ini mesti ditegakkan dulu," katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kononnya Nasruddin menyambut baik cadangan supaya pemimpin Pakatan Rakyat dijemput sebagai pemerhati dalam suruhanjaya tersebut.


PKR bantah 'Datuk T' dilindungi undang-undang
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Ahli-ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan supaya tidak memberikan perlindungan kepada trio ‘Datuk T’ yang menjadi dalang dalam tayangan video lucah palsu yang cuba mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof seperti dilapor KeadilanDaily berkata, perlindungan kepada individu berkenaan sebenarnya cuba menjadikan Anwar sebagai tertuduh sedangkan beliau sebenarnya adalah mangsa.

“Apabila perlindungan diberi kepada trio ‘Datuk T’, ia menjadikan Anwar sebagai suspek,” kata Yusmadi yang juga pengamal undang-undang.

Yusmadi turut merujuk jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Kong pada 20 April tahun lalu yang menyatakan bahawa saksi yang sudah melakukan pendedahan kepada media, tidak layak mendapat perlindungan di bawah Akta Perlindungan Saksi.

Justeru, katanya, berdasarkan prinsip yang sama, individu berkenaan, yang terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah, tidak layak mendapat perlindungan sebagai saksi.

Menurutnya lagi, kenyataan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz, bahawa individu berkenaan boleh dilindungi di bawah Akta Pemberi Maklumat, mengelirukan dan bertentangan dengan undang-undang.

Malah, kata Yusmadi lagi, selain perlu didakwa di bawah Seksyen 292 kanun Keseksaan Jenayah kerana melakukan tayangan serta pengedaran video lucah, mereka juga perlu didakwa kerana melakukan ugutan jenayah (criminal intimidation).

Turut menyertai Yusmadi pada sidang media itu adalah Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Merbok, Rashid Din; dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani.


Sekali lagi anak muda tolak politik lucah
Mohd Aizat Mohd Salleh

Setelah politik Ketuanan Melayu, sekali lagi Umno dan BN menghidangkan politik kotor. Politik yang tiada nilai, tiada pendidikan, tiada intelek, tidak membangunkan idea dan tidak mencambah wacana sihat.

Yang dihidangkan, video seks yang bagi anggapan seorang warganegara dan anak muda, sangat jauh daripada moral dan nilai murni.

Sisi anak muda

Hari ini, jika anak muda ingin menonton apa sahaja video seks atau lucah, mereka boleh sahaja ke laman You Tube, Metacafe dan sama waktu dengannya. Mudah sahaja, taip apa sahaja video yang diinginkan.

Tidak perlu tunggu media mengkhabarkan apakah laman web cadangan untuk video itu. Tak perlu. Apatah lagi, membuat tayangan percuma di hotel seumpama Seri Carcosa.

Atau menunggu siapa-siapa yang ternama seumpama Datuk T atau yang sama dengannya menganjurkan tayangan video seks.

Anak muda hari ini bingung, apakah yang cuba diajar dan dididik dalam pembelajaran politik di negara ini oleh ahli-ahli politik, terutama Umno dan BN.

Di mana Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang telah menulis buku berkenaan ‘Politik Baru’, yang mengenengahkan politik nilai, berbanding politik kotor. Di mana? Tidak dibentangkan kah buku ini kepada pemimpin dan ahli Umno?

Di saat, anak muda hari ini ingin membuat perbandingan secara ilmiah dan intelek terhadap pemimpin dan dasar-dasar parti politik untuk dibuat pertimbangan di dalam pilihan raya akan datang, dibawanya video seks lucah.

Di saat anak muda menunggu ‘Buku Biru’ hasil idea dan perbincangan Umno dan BN untuk dibandingkan bersama ‘Buku Jingga’ Pakatan Rakyat, dihidangkan ‘Tayangan Blue’. Apa ini?

Pak pensyarah, tok mufti

Mana pak-pak pensyarah yang dulu begitu lantang bersuara menganalisis serta mengutuk pemimpin Pakatan Rakyat dalam berpolitik? Apa tunggu lagi, buatlah artikel, kertas kerja, nyatakan pendirian politik kotor ini.

Mana tok-tok mufti yang dulu seronok berfatwa mengharamkan itu dan ini? Keluarlah fatwa, nyatakan pandang sisi agama kepada politik kotor ini. Kenapa senyap?

Anak muda nak juga tahu.

Kepada Umno-BN, anda telah mendidik generasi akan datang dengan pendidikan sosial dan politik yang sangat buruk dan kotor. Generasi muda akan mengingatinya dan sejarahnya akan diceritakan kepada generasi seterusnya betapa tidak bertamadunnya politik dan parti itu.

Kepada Pakatan Rakyat, teruskan berwacana, mendidik, dan mengintelekkan pemikiran rakyat dengan idea-idea baru yang realistik. Anak muda terima ini semua. Kita perlukan perdebatan dan wacana ilmiah untuk menghidupkan budaya ilmu bukan video seks!


Tuntutan: PAS gesa Felcra buat perjanjian bertulis
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Kira-kira 50 peserta daripada tiga Felcra di Perak memberi masa dua bulan kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah dan tuntutan mereka.

Tempoh dua bulan itu bermula hari ini, selepas memorandum mengandungi tuntutan daripada peserta Felcra Changkat Lada, Seberang Perak dan Nasaruddin diserahkan kepada wakil rakyat PAS dan BN di Parlimen tengahari tadi.

Antara tuntutan utama mereka adalah mengenai pemberian saham yang tidak adil selain tanah yang belum diberikan lokasi yang jelas meskipun mereka sudah mempunyai geran selain pemberian rumah kepada generasi kedua peserta Felcra.

Rombongan tersebut diketuai Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah & Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman.

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen, ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa Felcra yang dipengerusikan Datuk Tajuddin Abdul Rahman mengadakan perjanjian bertulis mengenai perkara tersebut.

"Felcra perlu membuat perjanjian bertulis, perlu ada satu dokumentasi yang perlu dijelaskan sebagai satu perjanjian di antara kerajaan dan peserta Felcra.

Beliau turut bimbang sekiranya berlaku penyelewengan dalam Felcra sehingga menyebabkan peserta Felcra tidak mendapat saham dalam jumlah yang sepatutnya.

"Apa yang dikemukakan ini merupakan tuntutan hak peserta Felcra yang sekian lama berhadapan dengan kesamaran khususnya berkaitan pemberian saham satu ekar sawit. Mungkin ada penipuan timbangan buah dan sebagainya," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Sehubungan itu beliau mencadangkan satu siasatan dilakukan terhadap pengurusan Felcra.

"Mungkin ada unsur penyalahgunaan wang peserta Felcra dan ini memerlukan satu siasatan khusus.

"Kalau soal pemberian saham yang sudah sekian lama belum ada satu penjelasan,siasatan dan audit harus dibuat," katanya.

Siasatan juga katanya harus dilakukan terhadap kelambatan peserta Felcra mendapat pemilikan tanah walaupun mereka sudah membayar premium kepada pegawai tadbir daerah.

Sementara itu, Mazlan sebagai memberi respons kepada cadangan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malik untuk mereka mengadakan sesi dialog dan rundingan dengan Felcra berkata, perkara itu sudah lama dilakukan.

Namun tegasnya kerajaan tidak menunjukkan keseriusan untuk menyelesaikan masalah yang dikemukan peserta.

"Kita sudah lama berdialog,berbincang tapi sejauh mana tindakan yang diambil kerajaan?

"Sampai sekarang Datuk Tajuddin gagal menyelesaikan masalah mereka," katanya.

Beliau turut kesal dengan tindakan pihak polis yang cuba menghalang peserta Felcra daripada menyertai rombongan ke Parlimen pagi tadi.

"Seawal jam empat pagi tadi, polis sudah membuat gangguan. Menghalang peserta daripada menaiki bas, bertanya pelbagai soalan sehingga membantutkan hasrat mereka untuk datang.

"Sepatutnya kita ada 80 orang yabg hadir ke Parlimen tapi sebahagian sudah takut untuk bersama-sama kita," katanya.

Sebelum itu mereka bertemu dan menyerahkan memorandum tersebut kepada Hassan untuk diambil tindakan.


Remaja ditembak UPP jumpa menteri, tuntut keadilan
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Remaja yang menjadi mangsa tembakan anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di Tumpat Februari lalu, hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Memorandum itu bagi mendesak tindakan segera diambil termasuk memastikan siasatan yang adil oleh pihak polis.

Ahmad Nizamuddin Mohamad, 19, yang hadir ke Parlimen bersama peguam dan keluarga turut menyatakan rasa tidak puas hati ekoran tindakan pihak polis hanya menyiasat berdasarkan laporan pihak UPP dan mengenepikan laporan yang dibuat keluarga mangsa.

"Kami melihat tindakan anggota UPP berkenaan menembak Ahmad Nizamuddin sebagai cubaan menghapuskan bukti bahawa kematian Allahyarham Said adalah akibat dipukul," kandungan memorandum itu dipetik.

"Kami sangat-sangat tidak berpuas hati kerana walaupun laporan polis telah dibuat, namun pihak polis masih gagal bertindak sehingga hari ini," kata mereka lagi.

Turut mengiringi mereka ialah Ahli Parlimen Tumpat dan Rantau Panjang, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Siti zailah Mohd Yusof.

Nazri dalam pada itu berjanji akan memanjangkan perkara itu kepada Ketua Polis Negara untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian 16 Februari lalu, mangsa telah ditembak di perut dan dada manakala bapa saudaranya Said Mat Hassan, 56, meninggal dunia di Hospital Kelaboran, Tumpat selepas ditahan anggota UPP.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi sebelum ini mendakwa, Said ditemui empat anggota UPP dalam sebuah kereta Kancil di tepi jalan di Kampung Wakaf Tin, Tumpat pada jam 7.45 pagi dalam keadaan lemah, berwajah pucat serta mulutnya berbuih.

Katanya, anggota UPP itu turut menemui 20 guni beras siam dalam kereta berkenaan.

Menurutnya, melihat keadaan Said yang tenat, anggota UPP membawanya ke Hospital Tumpat untuk mendapat rawatan. Said disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu.

Sementara itu, di pihak keluarga Allahyarham pula mempunyai versi berbeza berhubung kejadian tersebut.

(Gambar: Seorang anggota keluarga menunjukkan kesan tembakan pada badan Nizamuddin kepada Datuk Seri Nazri Aziz)

Menurut mereka, kematian Said akibat dipukul dengan teruk oleh tiga anggota UPP terbabit.

Menurut Nizamuddin, lebih kurang jam 7.45 pagi hari kejadian, beliau yang berada di kedai kopi ternampak kereta produa kancil yang dipandu Allahyarhan bapa saudaranya dikejar kenderaan pacuan empat roda UPP.

Melihat keadaan itu, beliau bersama seorang lagi rakan terus mengekori kenderaan tersebut dengan menaiki motosikal.

Beliau kemudiannya melihat kereta kancil itu telah ditahan dan tiga anggota UPP meluru ke pintu pemandu dan menendang Allahyarham.

Beliau kemudiannya melihat Allahyarham diheret keluar secara kasar sambil mengangkat tangan tanda menyerah namun terus diterajang sehingga sesak nafas.

Tambahnya, Allahyarham juga sempat menuding jari ke arahnya dan meminta beliau segera beredar dari tempat kejadian.

Beliau kemudian pulang memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarga Allahyarham.

Tidak lama selepas itu, keluarga dimaklumkan Said telah meninggal dunia dia Hospital Kelaboran Tumpat.

Nizamuddin mendakwa beliau kemudiannya ke hospital bersama emak dan abangnya dan setibanya di hospital beliau melihat seorang anggota UPP memegang sepucuk pistol sedang dikejar orang ramai.

Beliau kemudian menghampiri orang ramai yang ketika itu telah menangkap anggota UPP terbabit.

Dengan tidak semena-mena katanya, anggota UPP tersebut melepaskan tembakan ke arah beliau dan mencederakan bahagian perut dan dadanya.

Ekoran tembakan itu, beliau dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun dia terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Baharu kerana keadaannya yang parah.







Tiada ulasan: