Rabu, 23 Mac 2011

BUKA AIB MANUSIA...NANTI ALLAH BUKA JUGA KEAIBAN ORANG INI..MACAM MEREKA MAKSUM...BAIK DAN SENTIASA BETUL..TAKUT LAGI LIGAT

"Ini melampau, cuba aibkan diri dan keluarga saya"
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan terbaru berhubung pendedahan rakaman video seks mengaitkan dirinya sebagai mengaibkan dan melampau.

Katanya, ianya juga serangan bermotif politik yang mahu mencemarkan karektor dan reputasi diri serta keluarganya.

"Ini adalah serangan mengaibkan, melampau dan bermotif politik ke atas karektor serta reputasi saya dan keluarga saya," katanya dalam laporan polis hari ini yang salinannya turut diedar kepada media.

Beliau sebelum itu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi bagi membuat laporan polis berhubung pendedahan rakaman video tersebut.

Beliau hadir ditemani isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan peguam Sivarasa Rasiah, pada jam 10.40 pagi.

Turut kelihatan hadir, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Yusmadi Yusof, Shamsul Iskandar, N Surendren, Lathefa Koya, Tian Chua dan Siti Aisyah.

Hampir 100 penyokong Anwar turut sama membawa pelbagai kain rentang dan melaugkan selogan 'Reformasi' dan 'Hidup Anwar'.

Semalam, seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Datuk T, menayangkan rakaman video itu kepada wartawan di Carcosa Seri Negara.

Anwar, pada sidang media petang semalam, menafikan lelaki yang mirip wajahnya dalam video 17 minit yang dipaparkan melakukan hubungan seks dengan seorang gadis di sebuah hotel yang tidak dikenali, adalah dirinya.


Anwar dakwa Najib tahu video lucah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengetahui mengenai video lucah yang melibatkan seorang lelaki dengan seorang wanita yang ditayangkan di Carcosa Seri Negara, semalam.

Bercakap kepada media selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, beliau berkata, ini kerana penayangan video berkenaan merupakan konspirasi yang pasti melibatkan golongan atasan.

“Menteri Dalam Negeri, Perdana Menteri, pihak atasan polis tahu perkara ini,” dakwanya.

Ini, tambahnya kerana notis telah diberikan kepada pihak media untuk tayangan video berkenaan.

Justeru, Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, untuk tujuan menghina Anwar, pihak berkenaan boleh melakukan apa sahaja.

Beliau turut mengingatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien supaya jangan menjadikan laporan polis itu untuk menghalang kerjayanya di dalam politik.

“Jangan gunakan laporan polis untuk tutup kerjaya saya dalam politik. Kita teruskan kerjaya kita,” tegasnya.

Turut mengiringi beliau membuat laporan itu ialah isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, naib Presiden PKR, Tian Chua dan N Surendran, beberapa ahli parlimen PKR, R Sivarasa, M Manikavasagam, AJK PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin dan Ketua Biro Undang-undang PKR, Latheefa Koya.


Ahmad Bashah 'terlondeh' di kubu sendiri
Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 22 Mac: Imej Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kedah tidak mungkin dapat dipulihkan lagi apabila dilondehkan di kubu kuatnya sendiri.

Hasrat pemimpin nombor satu Umno Kedah menampilkan watak utama konspirasi 1998, Umi Hafilda Ali dalam program 'merungkai segala rahsia Anwar Ibrahim' yang dijadual malam tadi terpaksa dibatalkan ekoran desakan kuat mereka yang muak dengan fitnah dan pembohongan wanita itu.

Lebih 300 anak-anak muda dan masyarakat sekitar berkumpul di hadapan Dewan Orang Ramai Taman Wira B, Mergong menyatakan bantahan terhadap penyalahgunaan premis berstatus premis milik kerajaan negeri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Mereka yang berkumpul kebanyakannya menyuarakan ketidakpuasan hati apabila Umno memperlakukan sewenangnya dewan orang ramai seperti harta mereka sendiri.

"Ini dewan orang ramai milik kerajaan negeri bukannya hak Umno, selama lebih 50 tahun Umno dah buat harta kerajaan macam harta dia, dewan orang ramai bukan untuk dijadikan markas Umno atau pejabat mana-mana parti politik.

"Umno harus kosongkan mana-mana dewan milik kerajaan di negeri ini yang selama ini dijadikan markas mereka, termasuk juga Datuk Bashah yang tak malu menumpang di pejabat penghulu dan menjadikan premis itu pejabat operasinya sebagai wakil rakyat Bakar Bata," kata salah seorang dari peserta bantahan pada malam itu.

Sementara itu, Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Bakar Bata, Zulkifli Che Harun yang ditemui mengucapkan tahniah kepada anak-anak muda dan mereka yang berkumpul menyuarakan bantahan mereka terhadap kerakusan Umno itu.

"Bagi pihak MTD dan PAS Kawasan Alor Setar, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada anak-anak muda dan mereka yang berani menyuarakan bantahan ini di samping berjaya menyekat Umi Hafilda dari terus melemparkan fitnah jahatnya terhadap pemimpin Pakatan Rakyat.

"Ini merupakan petanda kebangkitan golongan muda dan rakyat yang telah muak dan jelak dengan pembohongan dan fitnah Umno dan kuncunya. Kita lihat bagaimana reputasi Datuk Bashah sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kedah tercalar kerana dimalukan di kubu sendiri," katanya.

Terdahulu, satu laporan polis telah dibuat PAS Kawasan Alor Setar berhubung penganjuran ceramah oleh Umno yang disyaki tidak memohon permit polis dan menyalahgunakan premis awam milik kerajaan untuk tujuan politik sempit mereka.

Sehubungan itu sepasukan anggota polis telah bertindak membatalkan ceramah Umi Hafilda yang kebelakangan ini kerap muncul dengan isu-isu sensasi bertujuan melemparkan fitnah ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar


PAS tanding 3 ke 6 kerusi Dun Sarawak

Khairil Abdul Rahim
TEMERLOH, 22 Mac: PAS akan meletakkan calon bertanding antara tiga ke enam kerusi bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar), hari ini.

Untuk itu, katanya, parti tersebut menyerahkan kepada Timbalan Presiden, Nasharuddin Mohd Isa, untuk urusan perbincangan dengan parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Bagi tujuan itu jawatankuasa DUN yang mahu ditandingi itu telah dibentuk dan kerja-kerja awal telah berjalan. Saya lihat Dewan Himpunan Penyokong PAS Sarawak pun bagus dan menunjukkan kesungguhan,” katanya di pejabatnya di sini.

DUN Sarawak dibubarkan semalam bagi membolehkan pilihan raya Sarawak ke-10 diadakan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat di Kuching, Rabu ini, bagi memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Sarawak mempunyai 71 kerusi Dun. Pada pilihan raya negeri lepas (2006), PAS hanya bertanding di N24 Beting Maro dan calon PAS, Alem Din hanya tewas kepada BN dengan majoriti 895 undi.

Menurut Tuan Ibrahim, di Sarawak agak kurang kempen isu kaum dan berbeza dengan Semenanjung. Sementara PAS pula akan menumpukan isu tanah, isu pembangunan dan isu pengabaian terhadap rakyat

“Fokus kempen kita yang pertama akan ditumpukan kepada isu tanah. Tanah adat telah dirampas secara zalim di mana tanaman mereka telah dimusnahkan dan tanah tersebut diserahkan kepada kroni.

“Kedua isu pembangunan, di mana pembangunan sangat teruk di Sarawak. Bayangkan hanya setengah jam perjalanan dari bandar Kuching, kemudahan asas sudah tidak ada. Bagaimana kerajaan mahu membawa Malaysia maju 2020.

“Ketiga, isu pengabaian terhadap rakyat oleh oleh Adun-Adun BN sehingga ada di anatara mereka yang tidak pernah turun padang menjenguk rakyat,” katanya yang baru pulang dari Sarawak.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mengakui kesedaran politik kepada masyarakat luar bandar di Sarawak amat ketara sehingga mereka tidak tahu hak mereka.

Katanya, antara lain disebabkan kawasan yang luas dan maklumat susah nak sampai sebab itu PR minta tempoh kempen dipanjangkan sehingga dua ke tiga minggu.

“Bayangkan, terdapat dua jurang masyarakat yang melampau di Sarawak iaitu yang kaya sangat kaya manakala yang miskin pula terlampau miskin.

“Jadi sasaran kita ialah berusaha untuk menafikan majoriti dua pertiga BN di dewan bagi memperjuangkan hak rakyat yang tidak menggambarkan di negara 50 tahun merdeka.

“Sebab itu pada seminar anjuran Lajnah Tanah PAS Pusat di Sarawak yang saya hadiri dulu ada sedikit sambutan. Saya katakan kepada mereka bahawa perubahan dan kekuasaan berada di tangan rakyat sendiri,” katanya.

Tambahnya, usaha dan gerak PAS menampakkan sedikit kesan dan harapan mereka kepada PR tinggi.

“Kita harap pengundi Sarawak akan menghantar isyarat kepada Putrajaya bahawa ‘tsunami politik 2008’ masih berjalan.”


Persidangan Tanah Kebangsaan bulan Oktober
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak) bersama 50 badan-badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini akan menganjurkan sebuah persidangan berkenaan tanah pada Oktober depan.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, persidangan yang dinamakan Persidangan Tanah Kebangsaan itu merupakan satu anisiatif untuk membincangkan masalah tanah yang merupakan antara isu kritikal sedang dihadapi oleh rakyat dengan melibatkan semua pihak.

Menurut Mazlan, pihaknya mengambil masa selama enam bulan untuk persiapan menganjurkan persidangan itu bagi memastikan ia benar-benar didokong oleh semua pihak dan mencapai matlamat seperti dirancang.

"Ini merupakan satu usaha mencari makanisme terbaik bagi menyelesaikan masalah tanah,langkah pertama kita sedang berhubung dengan Ngo-Ngo untuk mengadakan kerjasama" katanya kepada Harakahdaily.

Mengenai lokasi persidangan itu, Mazlan berkata ia belum ditentukan lagi secara khusus tetapi bersetuju untuk mengadakannya di Selangor.

Kata Mazlan antara isu-isu utama yang bakal dibincangkan dalam persidangan tersebut ialah menyentuh peranan serta masa depan agensi-agensi yang terlibat dengan pembangunan tanah seperti Felda, Fecra, Risda, Kesedar Kejora, Ketengah dan Pembangunan Wilayah.

Katanya, persidangan itu juga akan membincangkan isu berkaitan tanah rizab Melayu, tanah wakaf, tanah adat serta isu-isu tanah melibatkan kaum bumiputra di Sabah dan Serawak dan proses pembangunan di kampung-kampung tradisi orang Melayu seperti isu Kampung Baru di Kuala Lumpur.

"Persidangan ini tentang isu tanah yang melibatkan keseluruhan rakyat," tambah beliau.

Kata Mazlan, hasil daripada persidangan itu akan diperhalusi dan dirumus pihaknya untuk dijadikan satu formula terbaik menyelesaikan masalah tanah.

"Kita akan cadangkan jalan penyelesaian itu kepada semua kerajaan-kerajaan negeri merangkumi Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

"Ini merupakan satu alternatif kepada kerajaan-kerajaan negeri menyelesaikan masalah tanah yang mereka hadapi," ujarnya.

Berhubung pengisian persidangan sehari itu, Mazlan berkata pihaknya merancang untuk menjemput pakar-pakar berkaitan khususnya daripada universiti untuk melontarkan pandangan-pandangan mereka.

Katanya, pakar-pakar daripada negara-negara maju akan turut dilibatkan untuk mendengar pengalaman negara-negara maju menguruskan tanah di negara mereka.

"Antaranya negara Jepun dimana kita difahamkan mereka menguruskan dengan baik tanah untuk industri, pertanian tetapi dalam masa yang sama menjaga kepentingan-kepentingan rakyat," kata Mazlan.

Selain itu kata beliau, beberapa kertas kerja akan dibentangkan dan diolah oleh tokoh-tokoh berkaitan termasuk aktivis-aktivis tanah di negara ini.

Ditanya tentang penyertaan, Mazlan berkata ia terbuka kepada orang ramai untuk menghadiri persidangan tersebut.

Bagaimanapun beliau menambah, kumpulan-kumpulan tertentu yang terlibat secara langsung dalam isu tanah akan di undang secara khusus untuk bersama-sama dalam persidangan tersebut.

Untuk maklumat lanjut mengenai persidangan itu boleh menghubungi Setiausaha Anak, Fadil Osman ditalian 017-3339668.


Video seks: Abim gesa hormati ketetapan syariah

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa agar semua pihak menghormati segala ketetapan syariah yang telah digariskan untuk kebaikan bersama berhubung pendedahan salah laku seksual pemimpin politik negara.

Presidennya, Dr Muhamad Razak Idris juga meminta sebarang perbincangan serta perbicaraan kes hanya dilakukan oleh autoriti-autoriti yang berkenaan menerusi perundangan yang telah ditetapkan di samping mengelak untuk membicarakannya secara meluas tanpa dilandasi sebarang etika.

Merujuk kepada pendedahan salah laku seksual pemimpin politik negara oleh laman Malaysiakini bertajuk 'Rakaman aksi seks pemimpin utama pembangkang? ', Abim ingin menyatakan bahawa sebarang pertuduhan ataupun dakwaan salah laku moral ke atas seseorang individu haruslah disalurkan menerusi prosedur perundangan yang sah.

“Jika kes berkenaan itu membabitkan seseorang Muslim, kedua pihak pendakwa serta pembela sepatutnya menyalurkan kes mereka untuk diadili serta dinilai menerusi prosedur perundangan syariah sepertimana yang telah ditetapkan oleh Al-Qur'an dan Sunnah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam hal ini, katanya Abim memandang berat sebarang pertuduhan serta dakwaan liar berupa fitnah yang dilakukan di luar lingkungan prosiding perundangan yang telah digariskan seperti membawa para saksi yang mencukupi di samping iqrar daripada individu yang dituduh.

Tambahnya, tatacara perundangan syariah telah menetapkan prosidingnya yang tersendiri untuk memelihara bukan sahaja moral serta maruah individu yang dituduh, bahkan juga integriti pihak yang membuat tuduhan.

Katanya, kegagalan memenuhi prasyarat yang ditetapkan akan meletakkan pihak yang terlibat dalam hukuman jenayah Qazaf yang turut menafikan hak si tertuduh sebagai saksi di masa-masa akan datang.

“Hal ini selari dengan salah satu prinsip utama Maqasid Syariah iaitu untuk menjamin serta melindungi maruah dan serta kehormatan seseorang individu di samping memelihara keharmonian hubungan di antara manusia,” ujarnya.

Dalam konteks perundangan negara yang unik, jelasnya seseorang tidak sahaja berhak menuntut untuk dibicarakan serta membela dirinya menerusi lunas perundangan sivil yang sah.

“Bahkan, sebagai seorang Muslim juga, beliau berhak untuk dibicarakan serta menafikan sebarang dakwaan yang dikemukakan ke atasnya dalam prosiding perbicaraan Mahkamah Syariah sepertimana yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.



Harga getah turun hingga 48 peratus
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Harga komoditi utama seperti kelapa sawit, getah, koko dan lada kekal berada di paras tinggi sejak 5 tahun lalu hanyalah pada kedudukan umum, tetapi kini para penoreh getah kembali terhimpit apabila harga komoditi utama itu telah turun mendadak sehingga 48 peratus.

Sehubungan itu, kerajaan diminta menubuhkan stok pengimbal getah negara bagi mengawal harga komoditi utama itu agar terus kekal tinggi dan tidak naik dan turun mendadak.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menjelaskan, penurunan harga getah sehingga 48 peratus berlaku sejak dua minggu lalu apabila harga sekilogram getah sekerap hanya RM4.60 berbanding harga tertinggi sebelum ini RM8.80 sekilogram.

Menurut beliau, penurunan harga sehingga RM4.20 sekilogram itu tentunya amat membebankan para penoreh getah, tetapi harga itu juga belum diketahui sama ada akan terus bertahan pada paras itu atau akan terus turun lagi sehingga lebih membebankan para penoreh getah di kampung-kampung.

Katanya, untuk menjaga kebajikan para petani, peneroka dan penoreh getah, beliau telah bertanyakan kepada pihak kerajaan apakah langkah yang dilakukan agar harga komoditi utama itu terus kekal tinggi menerusi soalan tambahan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

"Jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainudin itu memang betul, tetapi ia tidak merujuk kepada keadaan sebenar harga getah sejak dua minggu kebelakangan ini yang telah turun mendadak sehingga sebanyak itu," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Semalam ketika menjawab pertanyaan Wan Abdul Rahim, Hamzah menjelaskan harga komoditi utama seperti kelapa sawit, getah, koko dan lada kekal di paras tinggi sejak 5 tahun lalu.

Contohnya, harga purata minyak sawit mentah (crude palm oil - CPO) pada tahun 2010 adalah di paras RM3,620 setan berbanding dengan RM1,395 setan pada tahun 2005, iaitu kenaikan sebanyak 159 peratus dalam tempoh 5 tahun.

Bagi tempoh Januari hingga Februari 2011 pula, harga purata CPO adalah RM3,789 berbanding RM2,532.50 dalam tempoh yang sama pada tahun 2010.

Harga getah gred SMR 20 telah meningkat daripada RM5.23 sekilogram pada tahun 2005 kepada RM10.58 sekilogram pada tahun 2010. Paras tertinggi dalam sejarah yang telah dicapai adalah RM17.17 sekilogram iaitu pada 18 Februari 2011. Manakala bagi tempoh Januari hingga Februari 2011 harga purata gred SMR 20 adalah RM16.26 sekilogram.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Wan Abdul Rahim menjelaskan, penurunan harga getah sehingga hampir 50 peratus itu sebenarnya bukan berpunca dari kekurangan permintaan terhadap getah asli di seluruh dunia, tetapi disebabkan stok yang tinggi atau berlebihan di kilang-kilang getah sehingga menyebabkan pihak kilang kurang melakukan pembelian daripada para penoreh.

"Apabila pihak kilang telah menghantar atau mengeksport dalam kuantiti yang banyak ke luar negara, harga getah akan tinggi kembali, tetapi kita tidak pasti bila akan berlaku dan akan bertahan selama mana," katanya.

Untuk membolehkan harga getah terus kekal tinggi, beliau menyarankan pihak kerajaan agar mengawal selia kedudukan pengilang-pengilang supaya penurunan sebanyak itu tidak berlaku.

Selain itu, beliau juga menyarankan kerajaan agar mewujudkan semula stok pengimbal getah negara supaya dapat mengawal harga getah secara langsung bagi membolehkan harga getah terus kekal tinggi demi kepentingan para penoreh dan negara.

Dalam masa yang sama, beliau turun mengingatkan pihak kerajaan agar turut memikirkan tentang kepentingan mengembalikan semula kedudukan negara sebagai negara pengeluar getah asli utama dunia dengan melakukan beberapa langkah yang diperlukan, memandangkan Malaysia kini berada di tangga kedua di belakang Thailand dalam senarai pengeluar getah dunia.

"10 tahun lalu, harga getah (sekerat) hanya 35 sen sekilogram. Kini harganya memang dah jauh lebih tinggi, tetapi turun pula hingga 48 peratus dua minggu lalu. 40 tahun lalu juga, Malaysia adalah pengeluar utama getah dunia dan kerajaan turut ujudkan stok pengimbal getah negara.

"Kini kita minta kerajaan wujudkan kembali stok pengimbal getah negara dan lakukan beberapa langkah bagi mengembalikan kedudukan negara sebagai pengeluar getah utama dunia.

"Kita tak rugi kalau terus menjadi pengeluar getah utama dunia kerana permintaan terhadap getah asli dunia tidak pernah berkurangan. Contohnya Jepun. Di Jepun, getah asli digunakan sebagai tapak pembinaan bangunan. Selain Jepun, getah asli juga turut diimport oleh negara-negara lain lagi," ujar beliau.


Kenapa dedah video hari Dun Sarawak bubar
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Pakatan Rakyat tidak menolak pendedahan video seks yang didakwa melibatkan pemimpin pembangkang semalam merupakan konspirasi jahat pihak tertentu untuk kepentingan politik.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ianya memandangkan video itu ditimbulkan pada hari yang sama dengan pembubaran Dun Sarawak.

"Rakaman (video seks) timbul pada hari yang sama dengan Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan menunjukkan ada kepentingan politik tertentu.

"Pakatan Rakyat menggesa rakyat bersatu untuk menolak taktik kotor ini dan menentang usaha pihak tertentu yang menggunakan video lucah untuk menjatuhkan lawan," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di pejabat Ketua Pembangkang, bangunan Parlimen hari ini.

Beliau juga berharap rakyat khususnya umat Islam tidak cepat percaya dengan fitnah sedemikian.

Menganggap rakaman video itu sebagai drama, bahan rakaman seperti yang ditunjukkan kepada media tertentu itu tidak boleh dijadikan bukti untuk mendakwa seseorang.

"Dalam Islam ditekan jika menerima sebarang berita, hendaklah diselidiki dahulu berita itu.

"Sekadar rakaman video tidak boleh dijadikan bahan bukti. Kena hadirkan empat orang saksi, siapa jurukameranya.

"Di mana video itu ditayangkan? Di hotel. Jadi itu hanya drama," katanya.

Sementara itu, Anwar ketika menjawab pertanyaan wartawan samaada beliau akan bersumpah bahawa beliau bukan individu dalam video itu atau tidak,beliau berkata hanya mahkamah yang berhak menentukannya.

"Soal sumpah itu,mahkamah yang tentukan," jawabnya.

Turut bersama pada sidang media itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke, Ketua AMK dan beberapa pimpinan lain.


Isa sebagai Pengerusi Felda terus dipertikai

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Perlantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda yang baru terus menjadi pertikaian, apabila ia turut dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Isa dikatakan tidak selayaknya dilantik mengetuai Felda kerana beliau bukanlah individu yang boleh diyakini dan berkelayakan, malahan perlantikannya telah memberikan implikasi yang buruk kepada Felda.

Disebabkan perlantikan Isa, nama baik dan reputasi Felda sebagai organisasi pembangunan tanah yang unggul di tanah air kini telah terjejas dan ia turut memberikan kesan buruk kepada aset organisasi itu sendiri.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli ketika membangkitkan perkara itu, bertanya kepada Perdana Menteri apakah rasional Isa dilantik sebagai Pengerusi Felda.

"Apakah tindakan kerajaan berikutan kenyataan beberapa penganalisis ekonomi bahawa perlantikan tersebut memberi kesan dan isyarat negatif kepada pasaran?" katanya yang juga Bendahari PAS Pusat pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Soalan tersebut ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi telah dijawab oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Ketika menjawab soalan itu, Ahmad bagaimanapun tetap mempertahankan perlantikan Isa sebagai Pengerusi Felda yang baru, walaupun ia jelas menafikan realiti sebenar yang berlaku kepada negara, masyarakat Felda dan pandangan pelbagai pihak terutama penganalisis ekonomi.

Sementara itu, dalam perbahasan sebelum itu, Ahli Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok Suh Sim turut membangkitkan persoalan penting mengenai Perlembagaan Persekutuan dan persempadanan kawasan Parlimen.

Beliau antara lain meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada Kerajaan akan meminda Perlembagaan Persekutuan pada tahun ini demi menukar persempadan kawasan Parlimen dan kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun).

"Kenapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sengaja memindah pengundi ke pusat pengundian yang jauh daripada pusat pengundian asal mereka dan mencetuskan kekeliruan di kalangan pengundi dalam siri pilihanraya kecil yang lepas," katanya.


Selcat sah ikut undang-undang
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 22 Mac: Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, Ketelusan (Selcat) yang diwujudkan dua tahun lalu diisytharkan sah mengikut undang-undang negara.

Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, pengesahan itu didapati menerusi satu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang dibuat semalam.

Mahkamah menolak saman pemula dari tiga Adun BN dari Raja Ideris Raja Ahmad (Teluk Ayer Tawar), Hasiman Sidom (Morib) dan Wong Koon Mun (Kuala Kubu Bharu) untuk mendapat deklarasi membatalkan apa-apa sahaja tentang Selcat yang disifatkan mereka sebagai tidak sah.

Dalam hal ini, menurut Teng, Mahkamah Tinggi telah memutuskan keputusan yang dibuat secara sah dalam sidang dewan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Teng selaku Pengerusi Selcat berkata dalam sidang akhbar pagi tadi, Mahkamah bersetuju bahawa keputusan yang dibuat oleh Dun dilindungi oleh Perkara 72 dan Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan.

"Dengan keputusan mahkamah semalam, saya berharap Selcat menjadi model untuk Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di negara ini untuk pertingkatkan perjalanan dewan," ujarnya.

Turut serta dalam sidang media itu adalah Timbalan Speaker, Haniza Mohamed Talha dan dua ahli lain; Saari Sungib dan Edward Lee Poh Lin.


Haris Zalkapli: Siapa dapat faedah isu video seks?
Haris Zalkapli

Pagi ini, kemunculan satu rakaman aksi seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang mencetuskan pelbagai reaksi daripada kelompok politik negara.

Pendedahan rakaman seks terbaharu melibatkan ahli politik ini menambahkan lagi isu sensasi dalam politik negara, ketika topik liwat semakin terhakis nilai kejutannya ekoran terlalu banyak muncul di media dan kempen politik.

Reaksi awal banyak pihak memperlihatkan keadaan terkejut dan defensif, menafikan penglibatan seorang pemimpin pembangkang walaupun dipercayai belum menonton rakaman itu.

Tidak dapat tidak, pihak pemerintah terkait dengan pendedahan itu disebabkan bacaan politik semasa yang sedang bersedia menghadapi pilihan raya di Sarawak dan seluruh negara selepas itu.

Dalam suasana politik yang panas pada masa ini, tidak dapat dielakkan kemunculan rakaman itu dikaitkan dengan kepentingan pihak tertentu untuk mendapat faedah daripada kesan pendedahan itu.

Dari sudut jangka pendek, pihak yang menentang tokoh yang disasarkan oleh pendedahan rakaman itu berpotensi mendapat manfaat besar.

Pihak lain, termasuk yang mempunyai hubungan dengan tokoh yang didakwa terlibat itu, boleh turut sama terpalit dengan kesan negatif.

Dalam perang persepsi yang ganas dan tidak beretika pada masa kini, setiap peluang digunakan sebaiknya oleh semua yang berkepentingan.

Seperti yang pernah berlaku ekoran satu pendedahan daripada WikiLeaks sebelum ini, pengesahan fakta tidak lagi menjadi penting bagi pihak yang mahu mengeksploit, tetapi persepsi yang tercetus daripada pendedahan itu yang mahu dimanfaatkan.

Perbincangan mengenai isu terbabit akhirnya hanya menyentuh aspek sensasi dan menafikan penilaian kritikal terhadap hal yang mendasar.

Kes-kes ini menunjukkan bagaimana dengan mudah politik menguasai sehingga persepsi menjadi perkara yang paling mahu dimanfaatkan selagi yang boleh.

Dalam kes pendedahan terbaharu ini, siapapun yang mendapat manfaatnya, dalam tempoh jangka panjang, politik negara bakal terkesan oleh permainan politik yang kotor dan tidak bertanggungjawab.

Pendedahan rakaman terbaharu ini menambahkan catatan buruk sejarah politik negara yang menyaksikan rakaman curi aksi seks menjadi berita utama politik.

Perhatian ramai juga tertumpu pada hal sensasi itu, mengangkat topik seperti itu lebih tinggi dalam wacana politik tempatan dan menjadikan isu-isu yang lebih penting dan mendasar semakin terpinggir.

Isu-isu sensasi yang malangnya lebih mudah menarik perhatian khalayak semakin berpeluang mengambil bahagian terpenting dan terbesar dan perbincangan politik yang sepatutnya dijalankan berdasar isu-isu yang lebih mencerahkan.

Personaliti, skandal dan pelbagai isu sensasi rendah akhirnya menjadi tumpuan ramai, menenggelamkan lagi isu-isu seperti ideologi, program parti-parti politik dan sebagainya yang lebih memberi peluang untuk membuat penilaian yang bijak.

Isu skandal yang melibatkan moral bukanlah tidak penting kerana berkait dengan integriti tokoh-tokoh politik, tetapi sensasionalisme yang dicetuskan ini menjatuhkan wacana politik nasional ke satu tahap yang lebih rendah lagi.

Pemilihan jalan pendedahan skandal seperti yang berlaku hari ini juga mendedahkan kelemahan dalam politik negara kita, yang mendedahkan ketidakmampuan berdepan di medan demokrasi lalu mencari jalan lain untuk menjatuhkan lawan.

Pendedahan rakaman seks hari ini telahpun mencetuskan perbincangan hangat di dunia siber dan dalam kalangan media dan politik.

Satu rasionaliti dan sikap kritikal perlu muncul dan ditunjukkan dalam medan politik negara hari ini, supaya kejadian sensasi ini tidak menjadi isu yang mendominasi politik negara, mengatasi pertimbangan-pertimbangan yang sepatutnya diutamakan dalam pembangunan negara kita.

Mengulas lebih lanjut, Teng berkata, Selcat merupakan satu badan sah yang diwujudkan mengikut peruntukan dewan sedia ada dalam usaha pertingkatkan wibawa dewan seperti di negara-negara Komanwel lain.

Dengan pengesahan ini, Selangor telah mencipta sejarah pertama negara dalam usaha menubuhkan Selcat bagi mewujudkan satu suasana lebih bersih dan kebertanggungjawaban lebih mantap, tegas Teng.

Mengenai isu isteri bekas Menteri Besar, Dr Khir Toyo selaku saksi awam yang tidak hadir dalam sesi pendengaran terbuka pertama sebelum ini, Teng berharap pihak Peguam Negara akan segera melakukan pendakwaan kerana keingkaran beliau.

"Dengan kedudukan Selcat yang telah disahkan ini, harap Peguam Negara dapat segerakan dakwaan itu selepas dua tahun lapuran polis dibuat terhadap beliau. Harap mereka segera bertindak, tidak teragak-agak dan mencari hal lain," tegasnya.


Tiada ulasan: