KUALA LUMPUR, 21 Mac: Dewan Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan program Pertemuan Peminjam-Peminjam PTPTN pada hari Ahad, 27 Mac bermula jam 3 petang di Auditorium Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bandar Sri Putra, Kajang. Ketua penerangannya, Suhaizat Kayat berkata, pimpinan PAS dan ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) akan turut sama mendengar rintihan mereka. Pandangan mereka, katanya akan dirumuskan selepas perjumpaan tersebut. “Matlamat program ini adalah bagi mendengar sendiri rintihan daripada peminjam-peminjam PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional) yang sedang menghadapi tekanan bayaran balik,” katanya. Menurutnya, terdapat rungutan yang sangat ketara terhadap sistem pengurusan PTPTN yang tidak sistematik. Beliau berkata, ada kalangan peminjam yang telah membuat bayaran tetapi tidak dinyatakan dalam penyata, seolah-olah mereka tidak membuat sebarang bayaran. Tambahnya, terdapat peminjam yang membuat bayaran tetapi nama mereka masih disenarai hitamkan. “Menariknya mereka yang tidak langsung membuat bayaran tidak pula disenarai hitamkan. Terdapat tawaran Ujrah iaitu penurunan caj perkhidmatan daripada 4% kepada 1%,” ujarnya. Malangnya, kata beliau peminjam memberi komen tawaran Ujrah hanyalah helah PTPTN untuk mendapatkan maklumat terkini mereka sahaja. Katanya, peminjam yang telah disenarai hitamkan oleh PTPTN tidak layak mendapat tawaran Ujrah. Katanya lagi, komen-komen daripada peminjam ini membuktikan bahawa PTPTN sedang menghadapi masalah pengurusannya. Jelasnya, pertemuan yang akan diadakan ini juga bertujuan bagi membentuk satu jawatankuasa bertindak mengatasi masalah yang mereka sedang hadapi. PTPTN, ujarnya telah membelanjakan sebanyak RM37 bilion sejak 13 tahun yang lalu dan telah mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 4% dan sedang berusaha untuk membuat pindaan terhadap akta PTPTN yang bertujuan untuk mengetatkan lagi kawalan pembayaran balik pinjaman. “Tindakan ini sudah semestinya akan memberikan lebih tekanan kepada peminjam. Jumlah peminjam adalah seramai 1.7 juta orang. Terdapat 191,262 orang peminjam yang tidak mampu membuat bayaran balik pinjaman,” katanya. Mereka, katanya lagi dalam keadaan tertekan kerana mereka tidak mampu membuat bayaran. Menurutnya, faktor utama adalah kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan kos hidup yang meningkat setiap tahun khususnya di bandar. “Diharap peminjam-peminjam PTPTN dapat hadir dalam pertemuan ini, seterusnya jawatankuasa yang bakal dibentuk dapat menyediakan plan cadangan kepada pihak kerajaan bagi mengatasi masalah yang sedang mereka hadapi. Semua peminjam PTPTN seluruh negara di jemput hadir,” ujarnya.
Petani, peneroka patut hidup selesa Aziz Muda | KUALA LUMPUR, 21 Mac: Para petani, peneroka tanah-tanah rancangan dan penoreh getah kini selayaknya hidup dalam keadaan lebih selesa, apabila harga komoditi utama seperti kelapa sawit, getah, koko dan lada kekal di paras tinggi sejak 5 tahun lalu. Contohnya, harga purata minyak sawit mentah (crude palm oil - CPO) pada tahun 2010 adalah di paras RM3,620 setan berbanding dengan RM1,395 setan pada tahun 2005, iaitu kenaikan sebanyak 159 peratus dalam tempoh 5 tahun. Bagi tempoh Januari hingga Februari 2011 pula, harga purata CPO adalah RM3,789.00 berbanding RM2,532.50 dalam tempoh yang sama pada tahun 2010. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainudin menjelaskan, harga getah gred SMR 20 telah meningkat daripada RM5.23 sekilogram pada tahun 2005 kepada RM10.58 sekilogram pada tahun 2010. Menurut beliau, paras tertinggi dalam sejarah yang telah dicapai adalah RM17.17 sekilogram iaitu pada 18 Februari 2011. Manakala bagi tempoh Januari hingga Februari 2011 harga purata gred SMR 20 adalah EM16.26 sekilogram. Beliau memberitahu demikian ketika menjawab soalan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Ahli Parlimen Kota Bharu (PAS) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini. Dalam soalan asalnya, Wan Abdul Rahim meminta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyatakan usaha-usaha yang akan dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan harga komoditi getah dan kelapa sawit terus kekal di paras yang tinggi. Menjawab soalan itu, Hamzah menjelaskan, usaha-usaha yang diambil bagi memastikan harga sawit terus kekal di paras yang tinggi meliputi mengimbangi penawaran minyak sawit dengan menggalakkan penanaman semula pokok sawit yang berusia lebih 25 tahun dan tidak produktif. Selain itu, melaksanakan Program B5 iaitu adunan lima (5) peratus biodiesel sawit dengan minyak diesel fosil, memperuntukkan kuota untuk eksport minyak sawit mentah tanpa duti, meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi penghasilan produk-produk bernilai tambah baru berasaskan sawit dan menerokai pasaran-pasaran baru dan memperkukuhkan pasaran sedia ada. Manakala usaha-usaha yang diambil bagi memastikan harga getah terus kekal di paras yang tinggi pula adalah mengimbangi permintaan dan penawaran getah asli melalui kerjasama dengan negara-negara pengeluar getah asli utama yang lain seperti Thailand dan Indonesia. Selain itu, pihak kerajaan juga akan melakukan pemantauan terhadap aktiviti pasaran getah antarabangsa oleh kumpulan pakar dari Malaysia, Thailand dan Indonesia. Usaha lain pula adalah meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan untuk mempelbagaikan kegunaan getah seperti pengeluaran produk getah yang mesra alam.
Radioaktif: Penduduk Kuantan sokong halang Lynas Khairil Abdul Rahim | KUANTAN, 21 Mac: Usaha Pakatan Rakyat menghalang operasi sebuah kilang dari Australia yang memproses nadir bumi (rare earth) atau logam lathanides yang mana sisanya boleh mengeluarkan radioaktif di kawasan industri Gebeng di sini, mula mendapat sokongan ramai.
Kelmarin, kempen “Halang Lynas! Selamatkan Kuantan” yang diketuai Naib Presiden PKR Fuziah Salleh yang bermula di Pasar Tani Kuantan berjaya mengutip 500 tandatangan orang ramai. (gambar) Fuziah Salleh ketika kempen Halang Lynas! Selamatkan Kuantan di Pasar Tani Kuantan. Sementara dialog pada sebelah petangnya di Kuantan Comfrim Centre dihadiri lebih 300 penduduk tempatan.
Lynas Corporation Ltd merupakan syarikat milik penuh Australia yang akan beroperasi hujung tahun ini memproses lathanides iaitu bahan yang digunakan sebagai bahan pembuatan mentol lampu jimat tenaga, bateri kering serta pelbagai produk teknologi moden.
Manakala bahan mentah pula akan dibawa masuk dari kuari milik Lynas di Pergunungan Weld, New South Wales sebelum diproses di Gebeng.
Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, jika kilang tersebut beroperasi, jika berlaku sesuatu kebocoran sisa radioaktif itu bakal membahayakan penduduk serta generasi akan datang. ”Apa yang tidak diketahui kebanyakan orang bahawa elemen-elemen sumber asli itu sebenarnya berpotensi menghasilkan kadar radiasi peringkat rendah dan sederhana akibat penghasilan sisa radioaktif. Sebab itulah pihak pemaju industri ini memerlukan lesen khas dari Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) sebelum memulakan operasinya”.
“Persoalannya mengapa Lynas yang sebelum ini beroperasi di negeri China telah pun terpaksa beralih tempat untuk memproses bahan tersebut sehingga terpaksa mencari lokasi baru. Kenapa Lynas juga enggan memprosesnya di negara mereka sendiri, Australia. Kenapa? Kerana kedua-dua negara tersebut telah sedar kesan buruknya. Kenapa mereka sanggup membawa bahan tersebut ke Malaysia?”.
Menurut Fuziah, sebelum ini pada bulan Julai 2007 Kerajaan Negeri Trengganu telah menolak untuk membenarkan kilang tersebut beroperasi di Telok Kalong, Kemaman, selepas mengkaji isu-isu keselamatan yang membabitkan nyawa manusia serta maklumbalas daripada pelbagai badan NGO.
Namun begitu pada 24 Ogos 2007 MIDA mengenalpasti lokasi baru di Gebeng, Kuantan dan Kerajaan Pahang pula menjadi pak sanggup menerima projek tersebut.
Menurut Fuziah lagi, sejarah hitam industri pemerosesan lathanides telah pun berlaku sekitar awal 1990an di Bukit Merah, Perak di mana syarikat usahasama dari Jepun yang mendakwa menggunakan teknologi pemperosesan bahan tersebut telah gagal menguruskan sisa buangan industri mereka dan mengakibatkan pencemaran alam sekitar.
Akibat radiasi sisa buangan radioaktif tersebut, kata Fuziah, telah meningkatkan kadar kejadian kanser, kelahiran bayi pramatang dan cacat malah kes keguguran bayi meningkat secara mendadak melebihi kadar purata yang direkodkan di peringkat kebangsaan. Justeru penduduk setempat telah menjadi mangsa serta hidup merana. Setelah puas menentang, akhirnya mahkamah membatalkan lesen syarikat terbabit.
”Memanglah syarikat-syarikat seperti itu menjanjikan keselamatan masyarakat dan kebersihan alam sekitar menjadi keutamaan mereka. Pernah saya jumpa Menteri Besar Pahang dulu bila saya utarakan persoalan ini, beliau juga yakin kebocoran tidak akan berlaku”.
“Tapi apakah mustahil setelah lama beroperasi kemungkinan kejadian-kejadian seperti pelupusan sisa secara haram dilakukan. Malah, kemudahan penyimpanan sisa buangan sementara seperti yang dituntut peraturan juga mungkin tidak lagi menjadi keutamaan. Sisa-sisa mungkin akan dibiarkan secara terbuka dan mendedahkan bahaya kepada masyarakat dan alam sekitar”.
“Kita sudah ada bukti timbulnya masalah sebelum ini di Bukit Merah Perak di dalam industri yang sama. Tambahan pula di negara kita ini penguatkuasaan memang menjadi masalah. Masalah pembuangan sampah merata-rata pun kita susah nak buat penguatkuasaan. Jadi saya khuatir bagaiamanakah kita mampu melaksanakan penguatkuasaan dalam kes ini yang melibatkan sisa radioaktif merbahaya”.
Fuziah mengandaikan jika berlaku kebocoran di tempat penyimpanan sisa buangan sudah tentu akan mencemarkan Sungai Balok yang kemudiannya akan mencemarkan ikan-ikan dilaut China Selatan.
“Kuantan merupakan pengkalan penangkapan ikan yang terbesar didalam Negara. Ikan-ikan dari Kuantan dihantar ke Pasar Borong di Selayang yang kemudiannya di hantar ke pasar-pasar dan ke restoran-restoran seluruh negara”.
“Saya sendiri membangkitkan perkara ini di parlimen baru-baru ini memandangkan projek ini yang begitu sensitif terhadap keselamatan orang awam dan berisiko tinggi, saya menggesa Ketua Pengarah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar supaya mengarahkan satu kajian Detailed Environmental Impact Analysis (DEIA) yang kemudiannya perlu pula dipamerkan kepada orang awam selama 40 hari untuk maklum balas”.
“Walaupun projek ini mungkin tidak memerlukan DEIA dilakukan tetapi demi memastikan keselamatan awam tidak rugi sekiranya pihak Kementerian membuat kajian yang lebih teliti sebelum projek ini dimulakan. Keselamatan orang awam, bayi dalam kandungan dan generasi akan datang yang terancam tidak boleh di gadaikan,” katanya.
Kase diminta cari jalan hadapi senarai hitam Khairil Abdul Rahim | TEMERLOH, 21 Mac: Jawatan kuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) diminta menyediakan satu kaedah bagi mangsa-mangsa saman ekor yang tidak mahu membayar saman dan disenarai hitam oleh pihak berkuasa.
Timbalan Yang Di Pertua PAS Raub, Badruddin Aminuddin, 46, berkata ini perlu kerana selagi mereka tidak membayar saman berkenaan, mereka tidak dapat memperbaharui cukai jalan atau lesen masing-masing. Katanya, beliau bimbang sekiranya situasi itu berterusan rakyat tidak mampu bertahan dan kempen tersebut tidak mencapai matlamat. “Setakat ini ramai mangsa yang bersetuju tidak mahu membayar notis saman ekor yang dikeluarkan pihak polis, tetapi pada masa yang sama mereka tidak dapat memperbaharui cukai jalan atau lesen memandu kerana disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Sebab itu kita meminta Kase menyediakan satu kaedah, bagaimana jika perkara ini berlaku apa kita nak buat. Masalahnya kerajaan tak keluarkan saman untuk kita cabar di mahkamah, mereka cuma mengenakan tekanan beku lesen dan cukai jalan supaya akhirnya pengguna terpaksa membayar.
“Pada masa ini kita dengar Kase hanya minta mangsa jangan bayar tetapi kita tak tahu apa nak buat jika tak boleh baharui cukai jalan atau lesen memandu,” katanya kepada Harakahdaily.
Tambahnya, jika cukai jalan atau lesen memandu tidak dikeluarkan akan terdapat masalah lain pula bagi pengguna kerana mereka perlu bergerak sama ada untuk bekerja atau berniaga.
Pada masa ini Kase yang dipengerusikan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, sedang menjelajah ke seluruh negara bertujuan memberi penjelasan dan khidmat nasihat kepada pemilik-pemilik kenderaan yang dikenakan saman ekor dan kenderaan mereka disenarai hitamkan.
Kase sebelum ini mendesak kerajaan menghapuskan semua saman ekor yang penguatkuasaannya secara terang-terangan menyalahi Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jawatankuasa itu juga telah menyerahkan memorandum memohon campurtangan Yang Di Pertuan Agong terhadap kelulusan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang disifatkan tidak adil kepada rakyat khususnya pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik (AES) iaitu saman ekor cara baru.
AES akan dikendalikan dua syarikat swasta Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd yang akan mendapat pulangan 35 peratus daripada setiap enam juta saman yang dikeluarkan manakala kerajaan mendapat 65 peratus pulangan.
Usul Libya: PAS prihatin isu antarabangsa Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 21 Mac: Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan Mohd Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap) berhubung ketegangan di Libya. Timbalan Speaker, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menolak usul yang dibuat di bawah peraturan mesyuarat 18(1) itu atas alasan ia tidak perlu disegerakan. Nasir ketika ditemui di lobi Parlimen selepas itu menyatakan rasa kesal usul yang penting itu ditolak. "Tadi ada wakil rakyat mahupun daripada BN dan Pakatan Rakyat, mereka mengatakan isu ini sangat penting. "Kalau kita prihatin terhadap rakyat Jepun yang dilanda tsunami kenapa dalam isu Libya ini kita tidak mengambil ketetapan khas dalam sidang Parlimen untuk kita bahaskan," katanya. Tambah beliau lagi, usul yang dikemukakan itu merupakan satu isyarat keprihatinan wakil rakyat PAS dalam isu antarabangsa lebih-lebih lagi melibatkan keselamatan 6.4 juta rakyatnya. "Mungkin speaker menggunakan kuasa beliau dan menolak (usul) atas alasan tidak perlu disegerakan tapi saya kira apa yang saya kemukakan tadi sebagai isyarat kprihatinan kita berkaitan nasib rakyat Libya," katanya. Dalam usul yang dikemukakan itu, Nasir antara lain mahu Malaysia, sebuah negara anggota OIC, bertindak segera menyelamatkan nyawa rakyat di Libya. Beliau juga turut mengemukakan enam cadangan termasuk mendesak kerajaan Malaysia segera menghantar misi bantuan kemanusiaan ke negara bergolak itu. Beliau juga mahu sidang Parlimen Malaysia yang berjalan sekarang segera mengusulkan supaya semua agensi antarabangsa sepetrti OIC, UN, Liga Arab, Kesatuan Eropah, Kesatuan Afrika mengambil inisiatif supaya krisis di Libya diselesaikan dengan rundingan demi mengelakkan pertumpahan darah terus berlaku. Ketegangan yang sedang berlaku, antara golongan anti Gadafi dan tentara pro-kerajaan sekarang semakin meruncing sehingga mencetuskan perang saudara yang amat merbahaya.
Sejak pergolakan pertengahan Februari lalu, ribuan termasuk orang awam dilaporkan terbunuh apabila tentera Gaddafi menggunakan jet pejuang untuk menyerang kawasan yang dikuasai oleh golongan pemberontak.
Dun Sarawak bubar, bermulalah pesta temberang Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 21 Mac: Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak dibubar pada hari ini, maka bermulalah pesta temberang oleh pemimpin BN yang akan membawa macam-macam janji manis untuk rakyat di Sarawak. Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, bermacam-macam janji akan ditabur untuk rakyat Sarawak, ia merupakan amalan biasa pemimpin BN setiap kali pilihan raya. Menurutnya, menjelang Pilihan raya Sarawak BN cuba hendak melindungi kelemahan mereka selama ini untuk membangunkan negeri itu. Katanya, kegagalan mereka untuk mentadbir Sarawak dengan menuding jari kepada pembangkang kononnya Pakatan Rakyat punya angkara sedangkan Pakatan Rakyta baru sahaja berusia tiga tahun. “PAS hendak tanya ke mana pula hasil mahsul negeri Sarawak seperti minyak dan balak?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, akan ada 'hantu-hantu jembalang' dari Semenanjung yang mahu mengganggu keharmonian rakyat di Sarawak menjelang pilihan raya negeri itu tidak lama lagi. Menurut Timbalan Perdana Menteri, mereka hanya datang ke Sarawak pada pilihan raya negeri semata-mata untuk membuat kacau dengan membawa berita manis untuk menarik sokongan rakyat. “Kenyataan Timbalan Presiden Umno menggambarkan kebimbangan beliau berkenaan dengan kesedaran di kalangan rakyat Sarawak yang semakin celik maklumat mengenai kecacatan pemerintahan BN di Sarawak,” ujar Idris. Mereka, katanya sudah bertanya ke mana sumber kekayaan negeri mengalir kerana kehidupan mereka seolah-olah negeri Sarawak sebuah negeri padang sahara yang tidak mempunyai sumber hasil bumi. Sebagai satu contoh, ujarnya sebuah kampung yang berhampiran dengan pejabat Petronas Cari Gali di Miri, terdapat sebuah kampung Pasir yang didiami oleh masyarakat Iban. Katanya, kawasan sudah didiami hampir 30 tahun tanpa elektrik yang terpaksa menggunakan generator dengan kos RM150 sebulan untuk setiap rumah. Baginya, Muhyiddin menganggap PR akan mengganggu Sarawak menjadi negara maju di mana kenyataan itu seperti pencuri menjerit pencuri. Soalnya, apakah Sarawak selama ini diperintah oleh Pakatan Rakyat. PAS, ujarnya mengharapkan Timbalan Presiden Umno jangan menganggap rakyat Sarawak buta sejarah kerana apabila hampir pilihan raya, pemimpin mula jijak kampung rakyat, selepas pilihanraya, rakyat dijijak. PAS, katanya lagi percaya bahawa Timbalan Presiden takut dengan janji “Buku Jingga” antaranya 20% royalti minyak akan diberikan kepada Sarawak. Datuk Seri Najib telah mengumumkan peruntukan RM5.7 bilion untuk negeri Sarawak ini sehingga 2012 supaya Sarawak seimbang dengan Semenanjung dari segi pembangunan. Tambahnya, saban tahun peruntukan di Sabah dan Sarawak diluluskan, malangnya dari segi pelaksanaan tidak berlaku. “Kehidupan rakyat seperti negeri baru merdeka 10 tahun. Tanah yang luas masih kedapatan, tetapi rakyat merempat di tanah setinggan, hanya menunggu masa untuk dihalau. “PAS yakin rakyat Sarawak akan buat kejutan dalam pilihan raya kali ini. Mereka akan merdekakan diri daripada belenggu BN, insya Allah,” ujarnya.
Nuklear: Bincang secara terbuka, inklusif Harakahdaily | BANGI, 21 Mac: Mahasiswa UKM mencadangkan supaya perbahasan dan perbincangan berkaitan tenaga nuklear dibuat secara terbuka dan inklusif dalam usaha untuk menanamkan kefahaman yang betul kepada rakyat. Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Saudara Ahmad Muzzammil Muhd Hairi berkata, memandangkan tenaga nuklear termasuk dalam kategori tenaga hijau (green energy), perbincangan tentang perlaksanaannya di negara harus dibahaskan secara terbuka dan inklusif terhadap semua lapisan masyarakat. “Kita harus sedar, dalam perkara ini (tenaga nuklear dan yang berkaitan), orang ramai masih tidak mendapat kefahaman dan penjelasan yang tepat dan merakyat. Olahan-olahan yang bersifat sensasi dan tidak bertanggungjawab oleh pihak-pihak tertentu harus diimbangkan dengan penerangan yang jelas dan inklusif. Ini cabaran kita. “Pada masa yang sama, kita perlu mengembalikan fokus dengan menggerakkan usaha dengan kemampuan yang kita ada untuk membantu rakyat yang ditimpa musibah gempa bumi dan tsunami di sana,” katanya. Beliau mencadangkan penganjuran siri-siri wacana dan penerangan berkaitan perkara ini diluaskan oleh semua pihak. Pandangan beliau turut disokong oleh Setiausaha Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM), Saudara Muhammad Hafizan Abd Hamid. Katanya, perbahasan tentang tenaga dan teknologi nuklear, jika perlu untuk menanamkan kefahaman, harus dibincangkan pada perspektif maqasid syari’yyah. Menurutnya, dalam menentukan kebaikan dan keburukan sesuatu perkara, Islam ada menetapkan kaedah yang fleksibel dan universal. Katanya, perbahasan tentang perkara tenaga dan teknologi nuklear juga harus dibincangkan berasaskan konsep itu. "Dalam Islam tiada istilah pensekularan ilmu pengetahuan, bermaksud pengasingan antara kefahaman agama dengan urusan dunia,” jelasnya. Beliau juga turut menyeru semua pihak agar menggunakan peluang media yang ada untuk menanamkan pengetahuan yang bermanfaat kepada rakyat.
Elektrik murah daripada nuklear tidak berasas Aziz Muda | KUALA LUMPUR, 21 Mac: Kenyataan para pemimpin Umno BN yang mengatakan negara perlu melibatkan diri dalam pembinaan nuklear bagi mendapatkan bekalan elektrik yang lebih murah, ternyata amat tidak berasas. Sebaliknya, negara terpaksa mengeluarkan belanja lebih besar dan mengalami kerugian berlipat kali ganda jika memajukan tenaga nuklear dan membina empangan besar seperti yang dirancangkan itu, memandangkan Malaysia amat kaya dengan sumber-sumber tenaga lain. Pakar sains dan nuklear, Ahmad Bungsu Hamid Tuah menegaskan, beliau bersedia berdebat dengan mana-mana pihak di Malaysia dan juga dari luar negara berkaitan tenaga nuklear termasuk berhubung perkara itu. Menurut beliau, untuk memajukan tenaga nuklear memerlukan kos yang amat tinggi termasuk yang melibatkan pembinaan power stesyen, kos penyelenggaraan yang melibatkan gaji-gaji pakar yang cukup tinggi, kos keselamatan, kos penghantaran bahan buangan atau radioaktif ke negara lain. Katanya, selain itu, kita juga terpaksa menanggung belanja yang besar bagi kos sewa tempat parking sepanjang kenderaan yang menghantar bahan radioaktif itu berada di negara terbabit dalam tempoh masa yang cukup lama, di samping kos keselamatan terhadapnya. "Apabila cukup tempoh 60 tahun pula, kilang-kilang yang dibina itu mesti dimusnahkan dan dibina yang baru, sedangkan untuk memusnahkan kilang-kilang itu memerlukan belanja yang jauh lebih tinggi dari membinanya," katanya ketika ditemui di sini, semalam. Dalam masa yang sama, menurut beliau, kerajaan juga terpaksa menanggung risiko besar dengan kemungkinan stesyen nuklear yang dibina itu meletup seperti yang berlaku di Jepun yang berlaku di luar jangkaan, walaupun telah menerima jagaan rapi. "Jika kejadian di luar jangkaan itu terjadi, ia akan memusnahkan semua orang, bukan sahaja seluruh rakyat negara kita, tetapi juga negara-negara jiran dan negara-negara lain di seluruh dunia. "Jadi, mana kata murah dan mana kata baiknya? Sebenarnya tentang usaha nak majukan nuklear itu tak ada baiknya. Dari sudut mana pun, nuklear tetap tak ada baiknya, apatah lagi dipandang dari sudut keselamatan manusia," tegas beliau. Sehubungan itu, beliau yang juga AJK Biro Sains dan AJK Biro Aduan Rakyat PKR Nasional menasihatkan kerajaan mengkaji balik cadangan untuk memajukan nuklear bagi kepentingan negara dan seluruh rakyat negara ini. "Ada orang kata, kalau mengikut piawaian yang betul dan dijaga dengan baik, jika berlaku insiden pun hanyalah insiden kecil. Tetapi sebenarnya jika stesyen nuklear meletup, semua orang akan musnah, semua orang akan terkena radioaktif. "Itulah musibah yang perlu difikirkan sebelum kita juga menerima padahnya. Selain yang terbaru di Jepun, cukuplah dengan mengambil pengajaran yang berlaku di beberapa buah negara lain sebelum ini termasuk Iceland dan England yang walaupun dah dijaga dengan baik dan tidak berlaku tsunami, tetapi stesyen nuklear di dua buah negara itu juga pernah meletup," jelas beliau. | | | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan