Jumaat, 18 Mac 2011

POLITIK@SIASAH SATU ILMU YANG TAK TERTINGGAL DALAM ISLAM...BERPOLITIK IKUT ISLAM@QURAN..HADIS DAN SUNNAH..TAK MENIPU DAN MENGELAT...

Orang Cina faham Kelantan haram premis judi
M Faqih

KOTA BHARU, 17 Mac: DAP hari ini menjelaskan aktiviti perjudian yang memerlukan premis seperti Magnun atau Nombor Ekor tidak lagi berbangkit sekarang kerana semua rakyat Kelantan sudah faham.

Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua bangsa di negeri ini telah menerima larangan kegiatan tersebut sudah melewati 20 tahun.

”Masyarakat Cina telah menerima pentadbiran PAS dalam tempoh 20 tahun. Dasar PAS sudah diketahui termasuk bukan Islam.

”Itu tidak lagi menjadi isu, yang ditimbul sekarang hanya penjualan tiket loteri sahaja. Ini kerana ada pihak berhujah loteri tidak memerlukan premis dan diberi kelulusan kerajaan pusat.

”Dan apabila kerajaan negeri menguatkuasa larangan itu seolah-olah melampaui batasan kuasa kerajaan pusat. Dan kerajaan Kelantan menjelaskan isu ini akan dikaji Penasihat Undang-Undang,” katanya pada persidangan media selepas perjumpaan dengan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Darulnaim hari ini.

Hadir sama perjumpaan itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan PKR, Dr Muhd Nor Manuty dan anggota parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Sebelum ini ada pihak mempertikaikan tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam menyerbu premis yang disyaki menjual tiket loteri.

Loke berkata, beliau dan Liew menyatakan pandangan DAP terhadap isu loteri kepada Menteri Besar.

”Hanya penjualan loteri yang jadi isu baru-baru ini. Dan kita berpuas hati dengan perbincangan hari ini. Kita menghormati judi adalah haram kepada orang Islam.

“Hanya menjadi persoalan kepada bukan Islam membeli loteri kerana ia dibenarkan di peringkat pusat, dan kerajaan negeri bersedia mengkaji spesifik isu loteri.

”Dan kalau dibenarkan selepas dilihat dari aspek undang-undang kita perlu melihat semula bagaimana melaksanakan perkara ini,” ujarnya.

Beliau juga berkata, loteri sudah menjadi kebiasaan kepada masyarakat Tionghua sejak sekian lama.

Beliau yang juga anggota parlimen Rasah berkata, dalam isu judi bola sepak DAP awal-awal lagi menentang ketika perbahasan di parlimen.

Mustafa pula kerajaan Kelantan menyerah kepada Penasihat Undang-Undang (LA) untuk mengkaji isu penjualan tiket loteri yang tidak membabitkan premis.

Ini kerana kegiatan perjudian yang memerlukan premis memang tidak boleh di Kelantan, tetapi dalam konteks tanpa premis lesen judi itu diluluskan kerajaan pusat.

“Kuasa kerajaan negeri premis di bawah peraturan PBT, tetapi kalau kegiatan judi yang tidak memerlukan premis inilah yang LA hendak kaji.

“Kalau mereka jual di tepi sungai kita pun tidak tahu, macam mana hendak buat. Itu maksudnya. Tengok dahulu apa hasil yang dikaji LA,” ujarnya.

Beliau juga berkata, pertemuan dengan Menteri Besar hari ini bagi menerangkan keputusan mesyuarat Pakatan Rakyat yang lepas berkaitan isu berkenaan.

Cuma kata beliau apa yang dilaporkan beberapa akhbar tidak tepat berkaitan kenyataan dikeluarkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dakwaan mengatakan Anwar menegur Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak berbangkit sama sekali kerana apa yang dilaporkan media berlainan.

”Keputusan diambil kita serah kepada kebijaksanaan negeri Pakatan masing-masing. Pulau Pinang macam mana pendekatan yang mereka hendak diambil.

”Kelantan sudah lama diketahui sikapnya. Tidak semesti apa yang dilakukan Kelantan negeri Pakatan Rakyat lain pula hendak ikut, jadi terpulang di atas kebijaksanaan dan autoriti negeri terbabit,” tambahnya.

Dalam kenyataan sebelum itu Menteri Besar berkata, isu larangan penjualan tiket-tiket loteri Big Sweep yang dikatakan tidak memerlukan premis tetap, kerajaan negeri sedia menelitinya.

“Kita serahkan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk melihat dari sudut perundangan yang ada,” katanya.

Kenyataan media itu dibaca Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari.

'Pertemuan empat mata Nik Aziz-Chua tidak munasabah'
Abdul Rahim Sabri
Mac 18, 11
5:51pm


Syarat yang dikemukakan MCA yang mahu bertemu empat mata dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat bagi mendapat penjelasan berhubung pengharaman penjualan tiket loteri dianggap sebagai satu syarat yang 'pelik'.

Menurut setiausaha akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari berkata 'tidak munasabah' syarat yang diletakkan oleh presidennya Datuk Seri Chua Soi Lek sedangkan Nik Aziz mempunyai barisan exco, pegawai termasuk pembantunya.

"Adalah tidak munasabah meletakkan syarat (bertemu) satu sama satu. Saya rasa pelik. Tidak munasabah kerana tok guru kena ada pembantu, exco dan pegawai-pegawainya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Bahkan dengan nada menyidir, Ahmad Fadhli yang juga ketua penerangan Pemuda PAS Kelantan juga pelik mengapa presiden MCA "suka bertemu satu sama satu".

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli berkata pihaknya "tidak boleh memenuhi" kalau syarat itu diletakkan oleh Chua sepertimana yang dilaporkan sewaktu presiden MCA itu mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu, Ahad lalu.

Dalam sidang media itu, Chua dilaporkan berkata pihaknya "tidak beminat untuk berjumpa dengan sesiapapun selain Nik Aziz kerana beliau diiktiraf sebagai (mursyidul am) PAS".

"Kita tidak berminat untuk berdebat dengan sesiapapun... Kita cuma mahu faham, kenapa selepas 20 tahun barulah (langkah pengharaman) dikuatkuasakan," kata Chua.

Bagaimanapun Ahmad Fadhli sekali lagi menegaskan kesediaan Nik Aziz untuk bertemu dengan pemimpin MCA tanpa syarat sepertimana yang dilaporkan sebelum ini.

"Nak berjumpa dengan Tok Guru (Nik Aziz), tak ada halangan," katanya sambil menambah pihaknya belum menetapkan tarikh pertemuan tersebut seperti yang diminta MCA.

Ditanya mengapa pihaknya masih belum berbuat demikian, Ahmad Fadhli berkata Nik Aziz mempunyai urusan dan beberapa exco negeri kini berada di Eropah.

Keputusan tarikh pertemuan itu dijangka diketahui minggu depan, tambah Ahmad Fadhli.


Selangor tidak sembunyi salah laku pegawai
Harakahdaily

SHAH ALAM, 18 Mac: Kerajaan Selangor hari ini mengedarkan laporan audit Yayasan Selangor yang disemak oleh Bahagian Audit Dalaman Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, semakan audit Yayasan Selangor banyak menumpu hal-hal berkaitan pengurusan perbelanjaan Majlis Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor yang dirancang ada 15 November 2010 lalu.

Katanya, hasil audit dalaman bertarikh 14 Disember 2010 mendapati terdapat beberapa isu berkaitan aturan perbelanjaan yang dikatakan tidak mengikut aturan biasa.

“Terdapat juga tindakan yang dikatakan tidak menjaga kepentingan Yayasan Selangor,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, antara tindakan yang menunjukkan tadbir urus korporat yang tidak baik ialah seramai 18 warga kerja telah berhenti dan 50 lagi ditukarkan dalam tempoh Mac hingga November 2010.

Beliau berkata, perbelanjaan yang tidak telus, tidak berhemah dan tidak munasabah menyebabkan kos perbelanjaan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor mencecah hampir RM1 juta malah terdapat perbelanjaan yang selesai dibayar kepada Pengurus Acara walaupun aktiviti belum dilaksanakan.

Tambahnya lagi, pengurus besar juga meluluskan elaun-elaun yang tidak sepatutnya dibayar kepada ahli mesyuarat.

Beliau menjelaskan, terdapat 12 keputusan tertinggi dibuat sepanjang 2010 hanya melalui Circular Resolusi malah tidak dimaklumkan atau diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri mengikut kehendak Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 12 1993-arahan bagi meningkatkan kualiti perancangan dan kawalan ke atas pengurusan syarikat-syarikat kerajaan.

Semakan Audit juga, katanya mendapati Timbalan Pengurusan Besar (Pengurusan) tidak menghormati arahan bercuti dalam siasatan dengan hadir mesyuarat yang dihadiri Pengurus Besar.

“Perbelanjaan tanpa perancangan menyebabkan kedudukan kewangan Yayasan Selangor mengalami defisit sebanyak RM7.41 juta sehingga November 2010,” ujarnya lagi.

Kerajaan Selangor, tegasnya telah dan akan terus meneliti setiap syor yang diberikan dan akan menggunapakai cadangan tersebut dari semasa ke semasa demi menjaga kredibiliti Yayasan Selangor milikan penuh Kerajaan Negeri.

Justeru, katanya pada 5 Januari 2011, satu surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) bagi menjawab setiap kuiri yang ditimbulkan.

Beliau menjelaskan lagi, proses yang teratur, adil dan bebas telah dijalankan. Pandangan serta saranan dari Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri juga telah diperolehi.

Akhirnya, kata beliau pada 17 Februari 2011, Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah Yayasan Selangor telah sebulat suara memutuskan untuk menamatkan kontrak Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) dengan alasan gagal menunaikan tanggung jawab dan urus tadbir kewangan yang baik serta tidak prihatin dengan prosedur yayasan.

Pada 18 Februari 2011, satu surat yang ditandatangani Menteri Besar telah dikeluarkan yang mengarahkan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) ditamatkan kontrak dalam tempoh 24 jam berkuatkuasa serta merta.

“Kerajaan Selangor sentiasa berpegang pada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban,” tegasnya.

Beliau menambah, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri semua institusi termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri bukan sahaja mengamalkan perbelanjaan berjimat cermat dan berhemah malah menyediakan audit tahunan yang tertib, lengkap dan teratur untuk semakan umum.

Angkuhnya Rosnah, baru bertatih dalam politik
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi menyifatkan kenyataan Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi relevan sebagai angkuh.

Athirah berkata, sebagai pemimpin muda, Rosnah tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang tidak menghormati hak rakyat untuk memilih mana-mana parti politik.

"Ia adalah suatu kenyataan yang terlalu angkuh daripada seorang pemimpin muda dalam Umno yang hakikatnya baru bertatih mengenali dunia politik sebenar.

"Kenyataan yang lahir daripada kedunguan dan emosi politik yang terkongkong malah tidak selari dengan perkembangan semasa negara dan dunia yang setiap hari menolak corak pentadbiran dan pemerintahan kuku besi serta monopoli oleh elit-elit politik tertentu yang lazimnya menjadikan rakyat sebagai bahan permainan dan perbodohan," kata beliau kepada Harakahdaily.

Athirah juga berkata, Rosnah sebenarnya takut dengan pelbagai tawaran Pakatan Rakyat yang semakin mendapat perhatian dan keyakinan rakyat.

"Bila dia kata PR sudah tidak relevan, Rosnah sebenarnya sedang menampakkan ketakutan dan kegusarannya terhadap pelbagai program Pakatan Rakyat baik yang telah dilaksanakan di peringkat negeri-negeri pentadbiran PR mahupun agenda 10 Janji Jingga PR," katanya.

Tambahnya, kenyataan Rosnah sebenarnya hanya mengambil sikap emosi dan prejudis melulu sebagai seorang pemimpin muda Umno BN yang terdesak memastikan survival mereka khususnya dalam PRU13 akan datang.

Athirah yang juga Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Muslimat Pusat itu juga berkata, Rosnah telah menyinggung perasaan sebahagian besar rakyat Malaysia yang telah memberi sokongan kepada PR sehingga memerintah di beberapa buah negeri dalam Malaysia.

"Sebagai Timbalan Menteri, Rosnah sewajarnya lebih memposisikan diri untuk kepentingan rakyat tanpa mengira mereka itu penyokong parti mana.

"Adalah suatu yang amat malang mempunyai seorang pemimpin muda seperti Rosnah yang gagal memahami maksud sebenar sebuah negara yang baik dengan sistem demokrasi yang juga baik serta subur," katanya lagi.

Beliau turut mencabar Rosnah untuk berdebat berdasarkan fakta, bukan mengeluarkan kenyataan kepada media milik mereka sahaja.

"Rosnah juga barangkali tertipu dengan beberapa keputusan pilihan raya kecil sejak kebelakangan ini yang disimpulkan sebagai pulihnya sokongan rakyat terhadap BN, sedangkan hakikatnya ia tidak begitu.

"Ini boleh kita syarahkan dengan lebih panjang lebar kalau Rosnah berani untuk berdepan secara hujah, bukan sekadar mengeluarkan pelbagai kenyataan kepada media proksi mereka.

Beliau turut menasihati Rosnah agar belajar menerima hakikat bahawa pembangkang yang baik sangat perlu bagi memastikan ketelusan perjalanan pentadbiran sesebuah negara tanpa ada salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah dan ketirisan.

"Peranan mana-mana atau sesiapa jua sebagai kuasa pembangkang tidak wajar diperlekehkan bahkan sebagai seorang pemimpin muda dalam fasa baru politik Malaysia, kita wajar lebih bersifat terbuka dan berfikiran positif.

"Pembangkang dalam status politik wajar dilihat sebagai kuasa check and balance. Dan ini semua gagal untuk dilihat dan difahami oleh Rosnah.

"Pakatan Rakyat memang sangat relevan dalam negara ini dan kita akan terus mencabar keangkuhan Umno BN," katanya.

Semalam, Rosnah dalam satu program Umno menasihatkan pengundi di Sarawak dan Sabah agar menolak kepimpinan Pakatan Rakyat yang dikatakan tidak lagi relevan dan konsisten.

“Kerajaan Selangor akan sentiasa bersikap telus dan tidak akan menyembunyikan sebarang salah laku yang dilakukan oleh mana-mana pegawai, kakitangan awam dan anak-anak syarikat di bawah Kerajaan Negeri.

“Kita juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang difikirkan perlu demi menjaga amanah yang diberikan rakyat Selangor,” katanya lagi.


Pindah: SMJK masih tidak dapat layanan adil
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Lapan pertubuhan Cina sangat kecewa terhadap keputusan Kementerian Pelajaran menolak cadangan perpindahan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Confucian ke Sentul.

Mereka mengulas alasan yang diberikan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa “tanah tersebut telah dicadangkan untuk tanah simpanan pendidikan sekolah kebangsaan (SK)”, “sebuah sekolah yang ingin berpindah harus mencari tanah sendiri dan bukan menggunakan tanah simpanan pendidikan kerajaan; tambahan pula, segala kos pembinaan harus ditanggungjawab oleh sekolah tersebut sendiri”.

Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Gabungan Persatuan Alumni Universiti Taiwan, Malaysia, Persekutuan Alumni Han Chiang Malaysia, Jawatankuasa Kebudayaan-Pendidikan, Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor, Persatuan Murid-Murid Tua Sekolah Kuen Cheng, Persatuan Alumni Kolej New Era, Penang Du Zhong Education Society dan Persatuan Murid-Murid Tua SRJK Naam Kheung menganggap kenyataan Muhyiddin itu tidak munasabah.

Menurut mereka, kedua-dua SMJK dan SK merupakan sekolah kerajaan, Kementerian Pelajaran tidak patut ada perbezaan layanan dan mendiskriminasikan SMJK.

“Ini telah mencabul hak asas pendidikan murid-murid yang belajar di SMJK,” ujar mereka dalam kenyataan media bersama.

Menurut mereka, dalam kontroversi penukaran sekolah-sekolah menengah Cina ke SMJK pada 1960-an, kerajaan dan MCA pernah berjanji untuk menggalakkan sekolah menengah Cina menukarkan ke SMJK, termasuklah “lembaga pengarah tidak perlu risau terhadap dana sekolah, ini dapat meringankan beban ibubapa”.

Maka, setelah sekolah menengah Cina menerima penukaran, kerajaan dikehendaki bertanggungjawab ke atas operasi, penyenggaraan, pembinaan dan pembangunan SMJK, itu bukanlah tanggungjawab lembaga pengarah lagi.

“Bagaimanakah Kementerian Pelajaran berkata mencari tanah dan pembinaan sekolah ialah tanggungjawab lembaga pengarah?” soal mereka.

Bagi mereka, ini bercanggah dengan janji-janji penukaran sekolah Cina.

“Ini menunjukkan selepas penukaran selama 50 tahun, SMJK masih tidak dapat layanan yang adil!” kata mereka lagi.

Menurut mereka, SMJK Confucian dan Sekolah Menengah Independen Confucian berkongsi kampus selama 50 tahun, disebabkan bilangan murid-murid semakin bertambah, infrastrukturnya telah tidak mencukupi untuk menampung keperluan dan menghadkan perkembangan kedua-dua sekolah.

Justeru, mereka menggesa Muhyiddin merangkap Timbalan Perdana Menteri menunjukkan keikhlasan beliau dengan menyediakan tapak sekolah dan menanggung semua kos pembinaan.

Kerajaan, kata mereka perlu memikul tanggungjawab pembinaan dan perkembangan SMJK.

MCA juga, menurut mereka dikehendaki memastikan janji-janji tahun 1960-an dilaksanakan dan kerajaan melayan secara adil terhadap SMJK, jangan biar SMJK menjadi anak yatim sistem pendidikan nasional.

“Kami berharap, dalam isu perpindahan sekolah, SMJK Confucian dan Sekolah Menengah Independen Confucian, pertubuhan pendidikan Cina, pertubuhan Cina dapat mengorak langkah bersama, menuntut hak-hak pendidikan daripada kerajaan.

“Masyarakat Cina perlu menyatupadukan daya, menuntut kerajaan memikul semua tanggungjawab terhadap SMJK termasuk menyediakan tapak sesuai untuk pembinaan SMJK Confucian,” ujar mereka lagi.


Dun Perak: Jika sah, kenapa perlu dikawal ketat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR 18 Mac: Pakatan Rakyat Perak meminta jaminan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya persidangan Dewan Undangan Negeri (Perak) pada April ini bebas daripada campur tangan polis.

Ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) pada sidang media di parlimen semalam berkata, jaminan itu diperlukan ekoran setiap kali berlangsungnya sidang Dun di negeri berkenaan, pasukan polis dikerah untuk mengadakan kawalan ketat.

Ujar beliau, sekiranya kerajaan Perak kini merasakan mereka kerajaan yang sah, maka tidak perlu kawalan polis di sekeliling bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK).

“Kami nak mintak supaya KDN beri janji pada sidang dun kali ini tidak ada pihak keselamatan polis. Kalau ada bermakna dia melanggar Kanun 124, mengganggu ahli dewan undangan negeri untuk masuk ke dalam dewan melaksanakan tugas kami.

"Jadi itu yang kami minta untuk menteri berlaku adil dan menunjukkan kerajaan haram ini perlu dipelihara oleh polis. Jika kerajaan ini haram biar rakyat menentukan,” katanya yang dilapor TV Selangor.

Tambahnya yang juga Adun Pasir Panjang, Menteri Besar Perak Datuk Zambry Abdul Kadir juga masih belum menjawab soalan-soalan yang dikemukakan Adun dari Pakatan Rakyat pada sesi yang lepas.

“Kami telah diminta menghantar soalan-soalan lisan dan bertulis dan tarikh akhir pada 15 Mac untuk sesi akan datang. Malangnya soalan-soalan lisan kami pada sesi yang lepas pun masih tidak dijawab,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Khoo Ham menggesa rakyat Perak tidak tertipu dengan sistem demokrasi yang dikatakan masih dijalankan secara telus dan adil.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak akan diadakan pada 5 April nanti.

Menyanggah memoir Mahathir

Ahmad Lutfi Othman
BAHAGIAN PERTAMA

Sebaik mendapatkan memoir Dr Mahathir Mohamad, A Doctor in the House, sehari selepas dilancarkan secara rasmi, saya membelek-belek isi kandungannya. Saya mencari topik berkaitan isu-isu menarik dan kontroversi sepanjang era pemerintahannya selama 22 tahun itu. Sekurang-kurangnya bab yang merujuk tragedi pemecatan Anwar Ibrahim, pemilihan Umno 24 April 1987 yang membawa kepada pengharaman parti itu, krisis kehakiman dan pemecatan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas, Operasi Lalang dan juga Peristiwa Memali.

Sepintas lalu semua isu-isu tersebut -- kecuali Peristiwa Memali 1985 (yang terselit dalam bab pertama, tapi Dr Mahathir mengaitkannya dengan kes-kes ekstremis lain seperti serangan ke atas kuil Hindu di Selangor, 1979 dan balai polis di Batu Pahat, 1980) -- dapat diikuti dalam buku setebal lebih 800 halaman itu. Bagaimanapun, gelora hati saya turun-naik ketika membacanya. Terasa seolah-olah Dr Mahathir cuba menulis sejarah baru dengan "memperbetulkan" hikayat hidupnya yang sedia diketahui umum.

"Sakit hati apabila membaca bab berkaitan kes Tun Salleh dan pengharaman Umno. Mahathir masih mahu terus memperbodohkan rakyat," marah seorang pensyarah undang-undang, yang juga bekas peguam. "Saya lebih senang membaca perjalanan hidupnya sebelum beliau aktif berpolitik. Masuk saja bab berkaitan Tunku Abdul Rahman sudah nampak belangnya," tambahnya.

Bagi saya, bab 43 berkaitan pembedahan pintasan jantung Dr Mahathir jauh lebih menarik (sebenarnya lebih tenang untuk ditatap) daripada babak-babak genting dalam kerjaya politiknya. Mungkin disebabkan saya cuba membandingkan pengalaman beliau pada Januari 1989 -- dan pembedahan kedua pada September 2007 -- dengan apa yang saya sendiri lalui pada Mac 2010. Rasanya seperti tiada jauh beda terutama mengenai halusinasi dan mimpi-mimpi aneh semasa di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Saya akui, kes pengharaman Umno yang bermula dengan pertandingan sengit di antara Team A (diketuai Dr Mahathir) dan Team B (diterajui Tengku Razaleigh Hamzah) dalam pemilihan parti April 1987 sering diberikan tafsiran yang salah. Walaupun sudah beberapa kali saya menyiarkan perspektif sebenar kes tersebut dalam Harakah, masih ramai yang kabur dengan cerita sebenar.

Justeru, memang mudah bagi Dr Mahathir untuk terus memanipulasi keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Harun Hashim pada 4 Februari 1988 itu. Sejak awal Dr Mahathir menyalahkan Ku Li, yang didakwanya mengamalkan rasuah politik untuk membeli undi perwakilan. Dr Mahathir berkata, Team B telah membelanjakan lebih RM20 juta untuk berkempen, dan kebanyakannya wang itu disediakan oleh Ku Li.

Mengulas tulisan Dr Mahathir itu, Ku Li dalam satu kenyataan menegaskan: "Sekali lagi saya dituduh membawa parti ke mahkamah. Saya juga dituduh terlibat dalam politik wang semasa pemilihan parti dalam tahun 1987." Bekas Menteri Kewangan yang ditewaskan hanya dengan 43 undi oleh Dr Mahathir menegaskan beliau tidak mempunyai wang untuk tujuan membeli undi ketika pemilihan paling sengit dalam sejarah Umno itu. "Saya tidak ada kroni. Sebenarnya, saya menentang politik wang. Allah Maha Mengetahui bahawa saya tidak pernah membuat segala perkara itu," tambahnya.

"Menipu secara politik datang melalui media dan ada kalanya dengan menulis buku memoir," kata Ku Li lagi.

Realitinya, Dr Mahathir -- melalui penguamnya sendiri, Sri Ram -- "mendesak" hakim bahawa hanya satu keputusan yang boleh dibuat iaitu Umno diisytihar haram bagi mengelak saingan berterusan daripada Ku Li dan Team B, yang dianggotai antara lain Musa Hitam, dan beberapa menteri seperti Abdullah Ahmad Badawi, Rais Yatim, Shahrir Abd Samad, Ajib Ahmad dan timbalan-timbalan menteri seperti Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Radzi Sheikh Ahmad, Rahmah Othman dan Zainal Abidin Zin.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, Dr Mahathir boleh menyelamatkan Umno daripada diharamkan dengan menggunakan Seksyen 70, Akta Pertubuhan. Malah, Harun Hashim dalam keputusan bertulisnya juga mencadangkan Menteri Dalam Negeri boleh membuat pengecualian terhadap mana-mana pertubuhan daripada mematuhi mana-mana peruntukan Akta Pertubuhan.

Dr Mahathir enggan menggunakan kuasanya itu semata-mata demi kepentingan politik peribadi beliau. Dengan merancang penubuhan parti baru, yang akan mewarisi segala aset, wang dan juga tanggungan parti yang diharamkan, melalui pindaan kepada Akta Pertubuhan, tetapi masih menggunakan nama Umno, Dr Mahathir berjaya menyingkirkan semua musuh politik dalaman parti.

Ahli-ahli Umno yang tidak berpuas hati (dikenali sebagai Umno 11) kemudiannya membuat rayuan ke Mahkamah Agung. Menyedari beberapa kes terdahulu yang banyak menimbulkan kritikan termasuk daripada para peguam, khususnya dalam kes UEM dan Lebuh Raya Utara-Selatan yang memihak kepada kerajaan, maka Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas memutuskan agar rayuan Umno 11 didengar semua hakim Mahkamah Agung (kecuali seorang), iaitu seramai sembilan orang.

Implikasi arahan Tun Salleh mudah difahami Dr Mahathir. Berdasarkan kes-kes rayuan yang lepas, tujuh daripada hakim-hakim Mahkamah Agung, iaitu Tun Salleh, Wan Suleiman Pawan Teh. Eusoffee Abdolcadeer, George Seah, Mohd Azmi Kamaruddin , Wan Hamzah Mohd Salleh dan Lee Hun Hoe adalah cukup bebas untuk membuat keputusan yang bertentangan dengan kehendak kerajaan sekiranya mereka dapati bahawa ia adalah satu keputusan yang adil.

Dr Mahathir sudah dapat menjangkakan bahawa sidang sembilan hakim itu hanya akan membatalkan pemilihan April 1987 tetapi akan "menghidupkan" kembali Umno. Oleh itu, Dr Mahathir harus bertembung sekali lagi dengan Ku Li. Mood ketika itu memang menyukarkan Dr Mahathir mempertahankan kemenangan tipisnya. Kalah sebagai presiden parti akan menggugurkan kelayakannya sebagai perdana menteri.

Ketika itulah timbulnya idea untuk memecat Tun Salleh, sekali gus membatalkan arahan bagi diadakan sidang sembilan hakim. Langkah pertama adalah dengan menaikkan pangkat Harun Hashim daripada hakim Mahkamah Tinggi kepada hakim Mahkamah Agung. Sekali lagi Dr Mahathir mendakwa kebebasan kehakiman masih wujud di Malaysia apabila hakim yang mengharamkan Umno pun dinaikkan pangkat, sedangkan realitinya ia bagi menggagalkan arahan Tun Salleh dan menyelamatkan karier politik Dr Mahathir.

Dalam memoirnya, Dr Mahathir mendakwa pihak yang mahu Tun Salleh dipecat adalah Yang di-Pertuan Agong, hanya berpunca daripada surat peribadi Tun Salleh kepada baginda berkaitan bunyi bising projek penambahbaikan istana yang berdekatan kediaman Ketua Hakim itu. (Alasan ini sebenarnya berubah-ubah; dahulu Dr Mahathir mendakwa ia ekoran surat aduan kepada Agong dan Raja-Raja Melayu yang ditulis oleh 20 hakim).

Jelas ia satu pembohongan. Kalaupun Agong murka dengan Tun Salleh atas alasan peribadi, Perdana Menteri bertanggungjawab menasihati baginda bahawa kes sekecil itu langsung tidak membabitkan salahlaku kehakiman sehingga memerlukan penggantungan dan penubuhan tribunal.

Peristiwa Tun Salleh dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri untuk "digertak" Dr Mahatthir seolah-olah menggambarkan kehakiman itu di bawah kuasa eksekutif. Surat penggantungan Ketua Hakim sepatutnya datang daripada Agong dan diserahkan di istana ataupun oleh wakil istana.

Jika merujuk Perkara 125(3) Perlembagaan, tindakan untuk menggantung atau memecat Ketua Hakim mesti dimulakan oleh Perdana Menteri dan bukannya Agong. Baginda, seperti diperuntukkan Perkara 40(1) tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk bertindak atas inisiatifnya sendiri melainkan mengikut nasihat Kabinet atau Perdana Menteri yang yang bertindak di bawah kuasa umum Kabinet.


Sedangkan dalam kenyataan akhbar pada 31 Mei 1988, Dr Mahathir dijelaskan: "... pada mulanya Perdana Menteri telah diminta oleh Agong supaya jawatan Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara digantikan kerana baginda tidak senang dengan surat Tun Salleh kepada baginda ...."

Saya akan jelaskan lebih lanjut proses pemecatan Tun Salleh ini dalam keluaran Harakah berikutnya bagi menyanggah dakwaan tidak berasas Dr Mahathir dalam memoirnya, yang disifatkan secara umum oleh sarjana media, Dr Abu Hassan Hasbullah sebagai "naskhah yang sakit". Semoga kekeliruan dapat dibetulkan.

II.

Harakah memang tidak mempunyai wakil di Kuching dan PAS sendiri mungkin tidak meletakkan ramai calon ramai dalam pilihan raya negeri ke-10. Namun ia tidak menghalang untuk Harakah memberikan perhatian serius kepada perkembangan politik Sarawak terutama ketika isu salahguna kuasa Ketua Menteri Taib Mahmud heboh diperkatakan.

Lebih penting, Harakah tidak mahu ketinggalan dalam menyuarakan aspirasi perubahan yang begitu diimpikan rakyat negeri itu. Dalam kunjungan ke Kuching dan Miri baru-baru, wartawan kanan Wan Nordin Wan Yaacob bersama jurugambar Wan Zahari Wan Mohd Salleh sempat merakam gelodak kehidupan di sana, sambil meninjau suasana menjelang pilihan raya.

Wan Nordin menekankan, begitu banyak isu membelit kehidupan warga Sarawak yang perlu ditonjolkan. "Jurang kehidupan kaya-miskin cukup ketara. Ramai orang di sini marah dengan Taib, anak-anak dan saudara-maranya," beritahu Wan Nordin menjawab pertanyaan saya mengenai mood penduduk Kuching yang ditemuinya.

Suara akar umbi, termasuk Bumiputera Islam, yang mengangkat Taib selama 30 tahun di teraju kuasa, sering dimanipulasi dan ditindas. "Lutfi, elok Harakah menyiarkan pendedahan bersiri penyelewengan Taib. Rujuk saja beberapa laman web, terutama sarawakreport.org, banyak bahan di sana. Lebih baik kalau saudara dapat membukukannya. Mesti melutup. Usah harap orang di sini, kebanyakan mereka takut," kata seorang pemerhati politik Sarawak, yang menetap di Kuching.

Namun begitu, minat kami bukan sekadar membongkar amalan rasuah dan kronisme Taib. Pilihan raya negeri kali ini cukup penting kepada Kuala Lumpur dan amat mempengaruhi Perdana Menteri Najib Razak untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen. Selepas teruja dengan pertambahan majoriti kemenangan BN dalam dua pilihan raya kecil mutakhir, Najib memerlukan momentum dari Kuching bagi menyekat laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Wan Nordin dan Wan Zahari hanya sempat tiga hari melakukan tinjauan. Memang tidak banyak yang dapat diselami dan dibongkar dalam tempoh sesingkat itu. Namun, ia sudah cukup untuk menggamit mereka datang lagi. Cuma saya mengharapkan kunjungan mereka berikutnya -- saya sendiri cuba untuk bersama -- tidak diganggu pihak imigresen di Lapangan Terbang Kuching seperti dialami Ahli Parlimen KeADILan Subang, R Sivarasa, 12 Mac lalu.
P'raya Sarawak: Kerusi PAS hampir selesai
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Pembahagian kerusi antara parti komponen Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak kini berada di tahap akhir, kata Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.

Beliau yang kini berada di Kuching ketika dihubungi Harakahdaily berkata, pembahagian kerusi khususnya untuk PAS, hampir selesai.

"Masih dalam perbincangan dan PAS sudah ada beberapa kerusi untuk ditandingi. PAS tidak banyak yang bertindih, cuma sekarang perbincangan peringkat akhir," katanya yang hadir ke sana atas tujuan itu.

Katanya, kesemua urusan pembahagian itu akan selesai dalam masa terdekat memandangkan spekulasi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak akan dibubar bertiup kencang.

Apatah lagi semalam berlaku pertemuan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mengadap Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana Negeri.

Ada pihak mendakwa dalam pertemuan itu Abdul Taib telah menyatakan hasrat pembubaran Dun kepada Yang Dipertua Negeri.

Spekulasi itu turut mendakwa Dun Sarawak kemungkinan dibubarkan pada 21 Mac ini dan pilihan raya dilangsungkan pada 16 April sementara 9 April adalah hari penamaan calon.

Ianya diperkuatkan lagi dengan lawatan serentak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negeri Bumi Kenyalang itu pada Sabtu ini yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pilihan raya negeri.

Mengulas mood rakyat Sarawak ketika ini, Nasharuddin yang sebelum ini hadir melancarkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di Miri berkata, rata-rata mereka mahukan perubahan.

"Mereka seperti menanti kehadiran pilihan raya negeri ini. Kita dapat dengan dari perbualan-perbualan mereka.

"Sokongan kepada Pakatan Rakyat saya kira Alhamdulillah baik, malah pada pelancaran DHPP sebelum ini juga turut disertai suku kaum Dayak," katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan, PAS telah pun memulakan gerak kerja pilihan raya di kawasan-kawasan yang dijangka akan ditandingi mereka sejak beberapa bulan lalu.

Media pro-Umno semalam menggambarkan wujud perpecahan teruk dalam parti komponen Pakatan Rakyat ekoran 'perebutan' kerusi yang bakal ditandingi.

Mengulas perkara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub semalam berkata, proses tawar-menawar antara parti kompenen itu adalah biasa namun yakin proses itu akan diselesaikan dengan segera.


Pakatan konsisten, BN tak senang duduk

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Kerajaan BN semakin 'tidak senang duduk' kerana Pakatan Rakyat konsisten berperanan sebagai semak dan imbang kepada pentadbiran negara, kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar).

Beliau berkata, selagi bergelar pembangkang, Pakatan Rakyat akan terus mengkritik segala kesilapan yang dilakukan BN demi mewujudkan negara maju yang mengutamakan kebajikan rakyat.

"Selagi kami menjadi pembangkang, kami akan terus membawa matlamat menyemak dan menyeimbangan kerajaan.

"Segala kesilapan kerajaan sama ada dari sudut dasar atau pelaksanaan kami akan terus mengkritik dan kadang kala mengecam. Oleh sebab itu mereka (BN) berasa panas, rimas dan lemas," kata beliau sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.

Dzulkifly menegaskan, tanpa suara pembangkang, penyelewengan projek-projek mega membabitkan kerugian jutaan ringgit tidak akan terbongkar.

"Kalau tidak kerana pembangkang yang menyuarakan suara rakyat ini, kita tak akan dapat saksikan skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang yang menelan RM12.5 bilion dan pembaziran dalam projek-projek lain contohnya MRT dan Empangan Bakun," katanya.

Projek Empangan Bakun, Sarawak telah menyebabkan anggaran kerugian sejumlah RM450 juta yang dialami oleh Sime Darby bagi tahun kewangan 2010, di samping pampasan RM900 juta yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

Bagi Projek Aliran Transit Massa (MRT) Lembah Klang pula, anggaran perbelanjaan adalah sebanyak RM53 bilion.

Minggu lalu, DAP turut meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jawatankuasa Pemandu Projek Aliran Transit Massa (MRT) Lembah Klang meneliti semula pelaksanaan projek itu berikutan kosnya yang tinggi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata parti itu tidak membantah usaha kerajaan melaksanakan Projek MRT itu, tetapi penelitian semula perlu bagi memastikan tidak berlaku ketirisan wang rakyat dan mahu ia dijalankan secara tender terbuka.

Tambah Dzulkefly lagi, Pakatan Rakyat juga telah membuktikan mereka bukan bercakap kosong sebaliknya menampilkan buku jingga yang semakin digeruni BN.

"Ketika BN kerap mengecam kami pembangkang hanya pandai bercakap tapi tidak membawa apa-apa penyelesaian, ketika itulah kita menampilkan buku jingga yang menimbulkan rasa cemas BN.

"Inilah dia respons kami sebagai menampilkan satu penyelesaian bagi menyelesaikan segala kemelut yang berpanjangan sama ada ekonomi dan sebagainya.

"Kami menampilkan 10 program reformasi yang tak melebihi RM19 bilion pun.Ini juga sebagai penjimatan kalau dibandingkan dengan RM28 bilion ketirisan yang dilaporkan ketua audit negara," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga ahli jawatankuasa pusat turut mencadangkan kakitangan yang berkhidmat secara kontrak diserap sebagai kakitangan tetap.

"Mereka yang diambil sebagai pekerja kontrak yang telah pun berkhidmat selama tujuh hingga sepuluh tahun mereka masih lagi pada status itu.

"Saya mencadangkan kerajaan menimbangkan kewajaran untuk menyerap mereka ini yang punya pengalaman untuk bersama dalam urus tadbir kerajaan," katanya.


Nasib pesara GLC
Ibnu Lazmi

Sewaktu Dr. Mahathir merancang satu dasar kerajaan; iaitu penswastaan, beliau memberikan alasan yang sungguh kukuh iaitu meningkatkan mutu perkhidmatan dan mengecilkan saiz perkhidmatan awam. Ketika itu kakitangan kerajaan berjumlah 800 ribu orang. Maka bermulalah satu persatu agensi kerajaan diswastakan. Antara yang terawal ialah Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Pos Malaysia. Tercapai atau tidak dasar kerajaan untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam dan meningkatkan mutu perkhidmatan, ianya memerlukan satu kajian dan tulisan lain untuk membincangkannya.

Hasrat kerajaan untuk mewujudkan persaingan yang sihat ternyata tidak menjadi kenyataan. Monopoli tetap wujud walaupun memang ada persaingan. Penswastaan Lebuh Raya Utara Selatan misalnya kepada United Engginering Malaysia Berhad (UEM) yang adalah satu anugerah terbesar kepada UEM yang dikawal oleh Hatibudi Nominees,yang merupakan syarikat pemegang amanah UMNO, parti komponen BN yang menerajui tampuk pemerintahan Negara (Yusof Ismail dan Khayati Ibrahim,2004).

Ini menunjukkan penguasaan kuasa politik dan pentadbiran digunakan untuk mendapatkan kepentingan perniagaan bagi menampung kewangan parti di samping menambahkan kekayaan bagi golongan tertentu serta mengurangkan peluang organisasi lain untuk memperoleh peluang perniagaan. Walaupun mendapat kritikan pelbagai pihak, dasar penswastaan tetap diteruskan sehingga ke hari ini, di samping menimbulkan pelbagai masalah seperti usaha kerajaan Selangor untuk mendapatkan hak membekalkan air Selangor dari pihak Syabas.

Sementara itu, kebanyakan pekerja sektor awam yang diswastakan berasa terancam, manakala sebahagian rakyat Malaysia mengambil sikap apathy (tak apa) atau terus menyokong dasar ini kerana mereka telah bosan dan marah terhadap pembaziran, ketidakcekapan dan rasuah dalam sektor awam. Ramai juga rakyat Malaysia mengaitkan pertumbuhan sektor awam dengan campurtangan kerajaan dan kekuasaan Melayu, kian bertambah di bawah Dasar Ekonomi Baru, dengan demikian menyokong Dasar Penswastaan ini sebagai perubahan dasar yang akan mengurangkan dasar-dasar melampau yang telah menganggu pelaburan dan pertumbuhan ekonomi. Ada juga yang menyalahtafsirkan campurtangan kerajaan sebagai sosialisme, dengan itu menyokong penswastaan sebagai langkah memulihkan kapitalisme yang lebih tulin. Walaupun kapitalisme pemerintah atau Negara tidak bererti sosialisme, ancaman kepada sektor awam terutama perkhidmatan awam, melalui penswastaan mempunyai implikasi kebajikan yang penting untuk rakyat jelata, khasnya pekerja sektor awam, pengguna dan rakyat miskin (Jomo KS,2010).

Kini, Dasar Penswastaan telah berjalan hampir 30 tahun sejak ia mula dirangka oleh MAMPU di bawah jagaan Dr.Mahathir, juga ide dari Dr. Mahathir sejak ia mula diperkenalkan pada 1983. Apakah matlamat utama pensawstaan itu tercapai, umpamanya mengecilkan saiz perkhidmatan dan meningkat mutu perkhidmatan?. Kenyataannya Perkhidmatan Awam kini mempunyai 1.2 juta kakitangan berbanding pada peringkat permulaan era penswastaan hanya 800 ribu orang. Hal ini disebabkan timbulnya jabatan-jabatan dan kementerian baru sesuai dengan perkembangan semasa. Dari segi mutu perkhidmatan ya, mungkin ada peningkatan di samping meningkatkan jumlah konglomerat Bumiputra selaras dengan kehendak DEB. Namun masih terdapat banyak rungutan rakyat marhaen tentang perkhidmatan awam termasuk sektor kesihatan, perguruan,pentadbiran awam dan sebagainya. Bahkan dalam sesetengah keadaan soal politik diserapkan bersama dalam permasalahan perkhidmatan awam. Pelantikan Setiauasa Kerajaan Selangor baru-baru ini memperlihatkan kepentingan politik mengatasi kepentingan pentadbiran awam.

Satu soal yang penting setelah hampir tiga puluh tahun penswastaan, ialah nasib pekerja-pekerja atau kakitangan yang diswastakan. Kini dikatakan kakitangan kerajaan lebih beruntung dari kakitangan swasta terbabit dengan gaji permulaan yang lebih tinggi,elaun yang lebih menarik, kebajikan yang lebih terserlah dan sebagainya. Di peringkat perkeranian umpamanya, kakitangan kerajaan menerima gaji permulaan melebihi RM1000 sebulan berbanding kakitangan syarikat yang diswastakan melalui proses penswastaan. Umpamanya kakitangan Pos Malaysia di peringkat perkeranian hanya menerima RM800 sebagai gaji permulaan. Elaun sewa rumah bagi kakitangan Pos Malaysia (kerani) hanyalah RM150.00 berbanding RM300 bagi kakitangan kerajaan. Begitu juga elaun kolar, atau elaun Bandar, kakitangan Pos Malaysia (kerani) hanya menerima separuh dari apa yang diterima oleh kakitangan awam. Dengan demikian tidak hairanlah jika berlaku penghijrahan semula ke dalam perkhidmatan awam dari Pos Malaysia dan lain-lain syarikat GLC memandangkan kemudahan-kemudahan yang disediakan.

Satu perkara yang lebih penting ialah nasib kakitangan GLC yang telah bersara yang bekerja di zaman swasta dan bekerja di zaman kerajaan. Ertinya mereka merasa bekerja di kedua-dua era, era sebelum penswastaan dan era selepas penswastaan. Mereka ini apabila bersara akan menerima pencen minimum, di sekitar RM200 hingga RM400 sahaja kerana mereka diminta mencarum semula ke dalam skim KWSP sebaik satu-satu syarikat itu diswastakan. Apa yang terjadi ialah simpanan mereka (kerani) tidak melebihi RM200,000 setelah tamat tempuh perkhidmatan. Laporan-laporan yang diterima, termasuk yang didedahkan di mass media tempatan, mereka ini akan kehabisan wang simpanan KWSP dari satu hingga tiga tahun selepas persaraan. Tinggallah pencen minimum meraka di zaman kerajaan dahulu di sekitar RM200- RM400 sebulan. Apakah yang dapat dilakukan dengan wang sebesar itu pada zaman sekarang?

Tanpa pilihan lain, akhirnya pesara-pesara syarikat kerajaan yang diswastakan ini terpaksa bekerja semula demi untuk menyambung sisa-sisa hayat mereka, dalam keadaan kesihatan yang mungkin sudah mula terganggu dan tenaga sudah berkurangan akibat faktor umur. Sesetengahnya terpaksa menjadi pemandu teksi, menjadi jaga (guard), atau terpaksa menjual nasi lemak demi untuk meneruskan survival hidup ini. Tekanan itu menjadi semakin bertambah andainya mereka masih mempunyai anak yang masih bersekolah di peringkat rendah atau menengah. Teknanan menjadi semakin kuat bila anak-anak mereka dapat melanjutkan pelajaran ke IPTA/IPTS yang memerlukan pembiayaan yang lebih besar. Pinjaman PTPTN ternyata semakin sukar, dan PTPTN hanya sekadar membayar yuran akademik sahaja, selebihnya soal makan dan tempat tinggal (asrama) terpaksa ditanggung oleh keluarga.

Dengan demikian, apakah kebajikan yang dapat diterima oleh golongan ini? Apakah dasar penswastaan membela hidup mereka terutama selepas bersara? Tuntutan Kesatuan Sekerja untuk mendapatkan pencen dan gaji minimum disambut dengan sikap membisu kerajaan BN. Rasuah yang membarah dan PRU13 yang kian hampir menyebabkan tuntutan itu terbenam dalam fail sahaja. Jadi, di manakah dan siapakah yang untung dalam dasar penswastaan ini?


Masalah perumahan flat
Wan Mohamad Wasif

Suatu hari saya singgah sebentar di sebuah kawasan perumahan flat di satu kawasan. Saya sengaja menaiki tangga menuju ke tingkat paling atas di perumahan tersebut untuk melihat pemandangan sekeliling kawasan tersebut dari tingkat paling atas.

Sepanjang melalui tangga-tangga tersebut, saya sentiasa menutup hidung dan juga mulut saya memandangkan bau yang sangat busuk sepanjang laluan tersebut. Kotor. Jijik. Najis. Hanya itu gambarannya.

Bau hancing boleh dihidu sepanjang penjuru tangga. Najis haiwan, sampah sarap, air ludah dan pelbagai kotoran lagi dapat dilihat sepanjang jalan melalui tangga-tangga tersebut. Dalam hati saya berkata tergamak penduduk di sini tinggal di tempat yang dibiarkan kotor ini. Bagaimana dengan kesihatan mereka nanti? Tidak adakah inisiatif penduduk untuk mengatasi permasalahan yang menimpa kawasan tempat tinggal mereka ini?

Sewaktu ingin turun dari tingkat atas pula, saya memilih untuk menaiki lif. Alangkah dukacitanya melihat hanya satu lif sahaja yang berfungsi manakala lif yang lain dibiarkan rosak.

Saya terfikir juga bagaimana jika berlaku kecemasan dan kematian penduduk perumahan flat di tingkat atas ini? Bagaimana pula dengan nasib warga tua dan anak kecil yang terpaksa menuruni tangga dari tingkat paling atas ke tingkat yang paling bawah?

Saya juga sempat bersembang dengan seorang penduduk di kawasan ini yang menceritakan kes-kes jenayah seperti kecurian motor dan pecah kereta yang sering berlaku di kawasan ini.

Apakah kawasan perumahan flat ini masih selamat didiami?

Saya tidak pasti setakat mana kerjasama dan perpaduan penduduk di kawasan ini dalam menyokong persatuan penduduk di sini atau ramai yang bersifat individualistik tidak mempedulikan nasib jiran-jiran mereka dan kawasan sekitar tempat kediaman mereka.

Penduduk di sini pastinya perlu sentiasa berpakat menjaga kebersihan dan keselamatan kawasan tempat tinggal mereka dan ini juga perlu diawali dengan kewujudan kesatuan penduduk yang utuh, peka dan aktif dalam menangani pelbagai masalah yang wujud. Semangat kejiranan dan persaudaraan perlu sentiasa dipupuk dalam jiwa individu penduduk agar masing-masing bertanggungjawab untuk menyelesaikan apa jua masalah yang dihadapi secara bersama.

Pihak berwajib juga perlu memberikan bantuan bagi meringankan beban para penduduk di kawasan perumahan flat ini.

Kita tidak mahu kawasan perumahan flat ini terus jauh ketinggalan berbanding perumahan banglo mewah seperti di Damansara Tropicana, Putrajaya, Cyberjaya dan lain-lain penempatan.


Umat Islam perlu pertingkat kefahaman agama
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Umat Islam disaran berusaha mempertingkatkan kefahaman ajaran Islam agar lebih bersedia untuk berhadapan konflik agama yang semakin kompleks.

Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Abu Qassim Nor Azmi berkata, hanya dengan akidah yang mantap, ilmu yang benar, dan nilai hikmah dapat mempertajam dan memperluas skop dakwah.

“Kita tidak harus selamanya berselindung di sebalik undang-undang yang boleh pada bila-bila masa terpinda,” ujarnya.

Justeru, PKPIM mengulangi pendirian dengan menggesa 35 ribu Al-Kitab Injil berbahasa Melayu ditarik balik dan dibekukan pengedarannya kerana terdapat unsur subjudis ekoran beberapa perkara masih dalam proses perundangan khususnya berkaitan penggunaan Kalimah Allah dan lain-lain perkataan yang menjadi pertikaian sebelum ini.

Meskipun begitu, katanya PKPIM menyeru semua pihak agar akur dengan peruntukan perlembagaan dan undang-undang negara demi menjaga keamanan dan kesejahteraan umum.

Menurutnya, enakmen kawalan serta lain-lain peraturan yang terlibat harus dihormati.

Walau bagaimanapun, kata beliau secara dasar, ini tidak menolak usaha menterjemahnya dalam apa sahaja bahasa untuk lebih difahami penganut agama tersebut.

“Isunya, penterjemahan tersebut harus dibuat dengan tepat, benar dan ikhlas serta menuruti peraturan dan undang-undang setempat bagi mengelak konflik umum,” ujarnya.

Hal ini, tambahnya selaras dengan prinsip Islam yang tidak menghalang penganut agama lain untuk mendalami agama mereka.

PKPIM, katanya mengajak semua pihak terutamanya umat Islam untuk melihat isu itu dari sudut yang lebih luas.

“Apakah yang akan terjadi sekiranya Barat mengharamkan penterjemahan Al-Quran dalam Bahasa Inggeris, Perancis dan lain-lain bahasa yang menjadi medium umat Islam di sana untuk mendalami Al-Quran?

“Bagaimanakah nanti bagi Yvonne Ridley dan Cat Stevens untuk terus mendalami Al-Quran sekiranya ia berlaku?” soalnya.

PKPIM juga, ujarnya komited bahawa konsolidasi agamawan berwibawa harus diberikan ruang yang secukupnya untuk mengendurkan ketegangan dan menguraikan kekeliruan terhadap isu ini.

Menurutnya, dialog dan wacana bagi meningkatkan kefahaman antara agama perlu diperbanyakkan.

“Kita perlu serius dalam melahirkan penganut yang yakin pada agamanya serta menghormati keyakinan agama bagi penganut selain mereka,” katanya.


Bawa balik pelajar di Yaman sebelum meruncing
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (Permaya) mengambil tindakan segera dengan kerjasama kedutaan Malaysia untuk menghantar pelajar-pelajar Malaysia di Yaman pulang sebelum kejadian berterusan dengan lebih teruk.

Presidennya, Mohammad Iqbal Abu Yaziz berkata, jika pihaknya mengambil tindakan setelah keadaan terlalu meruncing menyebabkan proses menghantar pulang pelajar Malaysia lebih sukar dan pihak kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang lebih tinggi seperti mana yang telah berlaku di Mesir sebelum ini.

“Sedangkan kerajaan Malaysia terpaksa menanggung beberapa lagi penerbangan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia sekarang seperti rakyat Malaysia di Jepun selepas mana kejadian gempa bumi baru-baru ini sehingga menyebabkan pusat nuklear meletup, menyebabkan pencemaran radioaktif dan turut mengalami keadaan yang sama seperti di Yaman iaitu Bahrain yang sedang bangkit untuk menjatuhkan pemimpin negara mereka yang korupsi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, Permaya mengharapkan supaya masyarakat dunia luar terutamanya Malaysia memahami keadaan semasa di sana.

Katanya, proses penerbangan pelajar-pelajar Malaysia di Yaman telah bermula dengan penerbangan pertama pada jam 4.00 pagi 17 Mac dan penerbangan kedua pada jam 10.00 pagi (17 Mac).

Menurutnya, laporan telah diterima bahawa penerbangan pertama telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8.55 malam (17 Mac).

“Kami juga berharap supaya pelajar-pelajar Malaysia di Yaman bersabar menunggu giliran masing-masing dan bersedia pada bila-bila masa sahaja kerana seramai 590 orang yang terlibat bagi proses menghantar pulang ke Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, mereka diharapkan supaya menunggu panggilan daripada pejabat kedutaan mengenai giliran penerbangan masing-masing dan tidak mendengar khabar daripada lain-lain pihak bagi mengelakkan salah maklumat yang didapati daripada pelajar-pelajar Malaysia di Yaman.

Beliau menegaskan, Permaya menafikan laporan The Star Online bertarikh 17 Mac, 2011, yang bertajuk Not All M’sian Students Want To Leave Yemen telah mengeluarkan kenyataan bahawa pelajar-pelajar Malaysia di Yaman dalam keadaan suasana yang selamat dan tidak perlu dibimbangi sehingga terpaksa mengambil tindakan drastik untuk pulang ke tanah air melalui temuramah bersama seorang pelajar Malaysia di Yaman.

“Kami menafikan kenyataan tersebut yang seakan-akan menuduh pelajar-pelajar Malaysia di Yaman mengambil kesempatan untuk pulang ke tanah air dengan percuma selepas kejadian yang sedang berlaku di Yaman sekarang,” ujarnya.

Menurutnya, tidak dinafikan ada beberapa tempat khususnya penempatan dan rumah-rumah pelajar Malaysia di Yaman masih dalam keadaan selamat dan berkeadaan seperti biasa sahaja tetapi perlu diingatkan bahawa dengan pergolakan di Yaman sekarang yang semakin teruk kemungkinan perkara-perkara seperti yang berada dalam memorandum Permaya kepada pihak kedutaan Malaysia di Yaman bertarikh 13 Mac lalu.

Jelasnya, Permaya dengan kerjasama pihak kedutaan mengambil jalan untuk bertindak segera sebelum kejadian tidak diingini ini berlaku, ibarat ‘sediakan payung sebelum hujan’.

Tambahnya, beberapa laporan yang telah kami dapati daripada pelajar-pelajar Malaysia di Yaman yang tinggal berdekatan dengan kawasan ‘Medan Perubahan’, pada setiap malam akan terdengar bunyi tembak menembak berlaku. Sehingga kini lebih daripada 40 orang mati dan beratus-ratus telah cedera.

Mengikut laporan yang lain pula di kawasan Pro-kerajaan berkumpul, ada di kalangan pelajar Malaysia telah diancam dengan menghunus pisau apabila ditanya sokongannya terhadap anti-kerajaan atau pro-kerajaan.

Menurut laporan lagi, sumber gas juga sudah mula susah untuk didapati dan harga barang sudah mula naik dibeberapa kawasan penempatan pelajar Malaysia di Yaman ini.

Katanya, keadaan di Yaman semakin meruncing apabila Presiden Republik Yaman, Ali Abdullah Soleh tidak akan turun selagi mana tidak berlakunya pertumpahan darah dan kenyataan ini telah membangkitkan lagi semangat pihak anti-kerajaan untuk menyerang pihak kerajaan.

Perlu diingatkan bahawa Republik Yaman adalah negara bebas senjata dan mempunyai kekuatan kabilah-kabilah Arab yang tersendiri.

Ulama Yaman sendiri telah mengeluarkan fatwa bahawa sesiapa yang terlibat dan mati ketika diserang oleh pihak polis atau tentera dikira sebagai syahid.

Dun Sarawak bubar 21 Mac?
Harakahdaily

KUCHING, 17 Mac: Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak kemungkinan dibubarkan pada 21 Mac ini bagi membolehkan pilihan raya negeri kesepuluh diadakan.

Jika desas-desus itu menjadi kenyataan, ada kemungkinan pilihan raya dilangsungkan pada 16 April sementara 9 April adalah hari penamaan calon.

Siang tadi, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud tidak memberikan sebarang ulasan kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Kabinet Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Pada sebelah pagi, beliau mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Mohammad Salahuddin Abang Beriang di Astana Negeri.

Sementara itu, lawatan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negeri ini pada Sabtu ini dikatakan mempunyai kaitan dengan pilihan raya negeri.

Sarawak mengadakan pilihan raya negeri kesembilan pada 20 Mei 2006 bagi memilih 71 Adun di mana 9 Mei ialah hari penamaan calon.

Ketika itu, Dun Sarawak dibubarkan pada 24 April 2006 oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng atas nasihat Taib.


Lihat loji tenaga nuklear dari sudut positif
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 17 Mac: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berpendirian, cadangan kerajaan membina loji nuklear di Malaysia perlu dilihat dari sudut positif dengan mengambil kira aspek keselamatan mengikut piawaian antarabangsa.

Beliau sewaktu membahaskan usul tergempar berhubung kejadian gempa bumi di Jepun di Dewan Rakyat hari ini berkata, keputusan untuk menolak idea tersebut tidak boleh dilakukan hanya berdasarkan kejadian yang berlaku di Jepun.

Di samping merakamkan simpati terhadap Jepun atas bencana tersebut, Salahuddin berkata, jika kerajaan mengutamakan aspek keselamatan dengan memenuhi piawaian antarabangsa, perkara seperti yang berlaku di Jepun boleh dielakkan.

"Saya mewakili PAS menyatakan rasa terharu, salam simpati dan takziah kepada rakyat Jepun yang menghadapi malapetaka ini," ujarnya.

Tambahnya, apa yang harus dipelajari, setelah Jepun bangun kembali selepas perang dunia kedua dahulu, menyaksikan pembangunan masyarakat dan rakyat yang berjaya diacu dalam tatasusila yang mengagumkan.

"Kita Malaysia majoritinya umat Islam dan hidup dalam masyarakat majmuk yang harus menjadi contoh kepada negara lain bagaimana kita menghadapi dan mampu untuk mengurus tadbir bukan sekadar ekonomi yang baik tetapi juga moral, hati budi dan akhlak dalam menghadapi apa juga situasi.

"Kita harus mencontohi rakyat Jepun dalam menghadapi situasi yang kritikal. Bagaimana mereka menjaga tata tertib sewaktu berhadapan dengan suasana terancam tanpa menimbulkan hiruk pikuk," katanya.

Mengulas lanjut mengenai loji nuklear, baginya tenaga itu sama seperti dadah.

Jika disalahgunakan, ujarnya ia akan mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara.

“Atas sebab itu, ia perlu dilihat dari sudut yang positif untuk kebaikan negara," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS.

Tambah beliau juga, kejadian yang berlaku di Jepun itu perlu diambil pengajaran sebagai panduan bagi memastikan aspek keselamatan loji berkenaan.

Selain itu, beliau turut bersedia menawarkan pasukan Unit Amal Malaysia untuk menyumbangkan tenaga dan bantuan ke negara berkenaan jika diperlukan, dengan kerjasama pasukan Smart negara.

Sementara itu, ketika ditemui di luar dewan, Salahuddin berkata persepsi atau fobia rakyat berhubung insiden di Jepun itu yang dikaitkan dengan insiden-insiden keselamatan di Malaysia seperti keretakan MRR2, runtuhan stadium, hospital, hanya bersifat sementara.

"Saya fikir rasa fobia itu hanya bersifat sementara. Jepun yang kita tahu melaksanakan teknologi tersebut mengikut spesifikasi yang ketat pun, masih boleh berlaku sedemikian. Sebab itu saya katakan jika ia dilakukan secara telus dan lebih bertanggungjawab, ia tidak akan mendatangkan masalah mengenainya," katanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan usul tergempar merakam simpati atas kejadian gempa bumi yang berlaku di Jepun, 11 Mac lalu.


Tiada ulasan: