Ahad, 27 Mac 2011

INGAT DAN SEDARLAH KUASA ALLAH TIADA TOLOK BANDINGNYA...BERTAKWALAH...SEBELUM TERLAMBAT...

Radiasi semakin banyak dilepaskan


2011/03/27

pix_gal0
Lebih ramai penduduk Fukushima pindah

TOKYO: Paras radioaktif di perairan berhampiran loji nuklear Daiichi, Fukushima semakin meningkat semalam, dua minggu selepas ia mengalami kebocoran akibat gempa bumi 9 skala Richter disusuli ombak tsunami.
Seramai 700 jurutera bertungkus-lumus mengepam air radioaktif dari loji yang terletak 240 kilometer ke utara Tokyo, bagi menstabilkannya selain menggerakkan semula pam air bagi menyejukkannya.
Ada pihak mengesyaki reaktor itu bocor selepas tentera Amerika Syarikat turut membantu usaha menyejukkannya.

Agensi keselamatan nuklear berkata, ujian menunjukkan tahap iodin radioaktif melonjak ke paras 1,250 kali lebih tinggi berbanding kadar normal di sekitar kawasan perairan di loji berkenaan.

Perkembangan terbaru di loji dan radiasi itu menyebabkan pihak berkuasa kini menggerakkan operasi memindahkan penduduk dalam lingkungan 20 hingga 30 kilometer dari loji nuklear berkenaan.

Selain itu, di Tokyo, bandar 13 juta penduduk, mencatat tahap radiasi 0.22 mikrosievert sejam, enam kali ganda paras normal.
Ia masih dalam kategori normal Persatuan Nuklear Dunia iaitu 0.17 hingga 0.39 mikrosievert sejam.

Tetapi, seorang pegawai di Kementerian Sains mengesahkan bahawa tahap radiasi harian di kawasan 30 kilometer ke barat laut loji berkenaan, paras melebihi had setahun.

Begitupun, pegawai kanan dari Agensi Keselamatan Industri dan Nuklear Jepun, Hideko Nishiyama berkata, pencemaran yang berlaku memberi risiko kecil kepada kehidupan laut.

“Arus lautan akan memecahkan zarah radioaktif dan menjadi sangat cair ketika dimakan oleh ikan atau hidupan laut lain,” katanya.

Nishiyama berkata, pihaknya sedang berusaha mencari jalan untuk menulenkan air di kawasan laut di situ agar tidak menjejaskan alam sekitar.

Air mengandungi sisa radioaktif ditemui di dalam bangunan yang menempatkan tiga daripada enam reaktor yang terjejas di loji berkenaan.

Khamis lalu, tiga pekerja melecur di reaktor nombor 3 selepas terdedah kepada paras radiasi 10,000 kali ganda lebih tinggi daripada paras normal di loji terbabit.

Reaktor ini adalah satu-satunya menggunakan campuran plutonium dan uranium. Plutonium adalah isotop radioaktif paling bahaya.

Tidak hairanlah, di sebalik jaminan pihak berkuasa, perkembangan terbaru meningkatkan kebimbangan ke atas eksport makanan laut Jepun.

Krisis nuklear di loji Daiichi Fukushima, kini membayangi usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa dan tsunami yang melanda Jepun 11 Mac lalu dan menyebabkan lebih 27,500 orang terbunuh atau hilang.

Ada negara sudah mengeluarkan larangan ke atas susu dan keluaran hasil pertanian dari wilayah di sekitar loji itu. – Reuters/Agensi



Jepun kesan paras radioaktif iodin tertinggi

OSAKA 26 Mac - Operator loji nuklear Fukushima hari ini mengesan paras radioaktif iodin 1,250 kali lebih tinggi daripada had yang dibenarkan di perairan Lautan Pasifik berhampiran dengan loji tersebut.

Menurut Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri Jepun (NISA), ujian yang dijalankan oleh Tokyo Electric Co. (TEPCO) itu menunjukkan paras radiasi iodin berhampiran reaktor No. 1 berada pada tahap 131 iaitu 1,250.8 lebih tinggi daripada paras yang dibenarkan.

Seorang jurucakap agensi, Hidehiko Nishiyama pada sidang akhbar yang disiarkan di televisyen menyatakan, paras itu secara relatifnya tinggi tetapi kesannya kepada kehidupan marin dan hidupan laut adalah kecil.

"Ia bermakna jika anda meminum 500 mililiter air yang mengandungi tahap radiasi iodin seperti ini, ia akan sampai ke tahap di mana seseorang boleh mengambilnya dalam tempoh satu tahun iaitu bersamaan satu millisievert.

"Jumlah itu secara relatifnya agak tinggi. Jadi kita perlukan lebih banyak rumpai laut dan hidupan marin untuk menyerap radioaktif ini," katanya.

Bercakap mengenai kesannya kepada hidupan laut Nishiyama berkata, secara umumnya bahan radioaktif yang dilepaskan ke laut akan tersebar akibat pasang surut air.

"Sejak berita mengenai peningkatan tahap radiasi dilaporkan lapan hari lalu, jumlah pengguna yang makan makanan laut turut berkurangan," katanya.

Paras itu merupakan yang tertinggi berbanding beberapa ujian yang diambil minggu lalu di kawasan sama iaitu kira-kira 300 meter ke luar pesisir pantai.

TEPCO pada Selasa lalu melaporkan paras radiasi iodin di laut berada pada paras 126 kali lebih tinggi daripada yang ditetapkandan pada Khamis lalu menyatakan paras iodin berada 145 kali lebih tinggi. - AFP



Usaha menyelamat di Myanmar sukar

YANGON 26 Mac - Pasukan penyelamat hari ini berhadapan kesukaran untuk tiba ke kawasan yang dilanda gempa bumi kuat di pedalaman Myanmar yang meragut 75 nyawa sehingga mengakibatkan jalan raya terbelah dan rumah-rumah penduduk menjadi timbunan kayu.

Gempa bumi sekuat 6.8 pada skala Richter yang menggegar semalam itu melanda timur Myanmar yang bersempadan dengan Thailand dan Laos.

Pekan Tarlay, Tachileik dan kebanyakan perkampungan berhampiran negeri Shan dilaporkan terjejas teruk akibat bencana gempa yang memusnahkan beratus-ratus rumah dan menumbangkan bangunan kerajaan itu.

Beberapa gambar yang ditunjukkan di televisyen Thailand dan media menyaksikan jalan-jalan raya terbelah dua, jambatan musnah dan rumah-rumah menjadi timbunan kayu.

Seorang pegawai Myanmar berkata, jumlah angka korban hari ini masih sama seperti 75 orang semalam termasuk seorang wanita yang maut di Thailand.

"Namun terdapat beberapa kawasan masih tidak dapat dimasuki ekoran masalah komunikasi dan pengangkutan. Angka korban mungkin akan meningkat," katanya.

Wakil rakyat Tachileik dari parti Parti Demokratik Kebangsaan Shan, Sai Thein Aung berkata, beliau baru sahaja dapat berhubung dengan kawasan itu, tetapi kebanyakan talian telefon masih terputus. - AFP




Operasi menyelamat mangsa gempa


SEORANG sami Buddha warga Thailand melihat sebuah pagoda yang rosak semalam di daerah Chiang Saen dekat sempadan Thailand-Myanmar.
KIRI: Sebuah rumah yang ranap di bandar Tarlay, negeri Shan selepas gempa bumi kuat melanda Myanmar pada Khamis lalu.


YANGON - Pasukan penyelamat semalam bergelut untuk sampai ke bandar-bandar di pedalaman Myanmar yang dilanda gempa bumi yang setakat ini meragut nyawa 75 orang dan meranapkan banyak bangunan dan beratus-ratus rumah kayu.

Seorang pegawai Myanmar berkata, angka rasmi kematian sejak kelmarin kekal 74 orang manakala seorang wanita terbunuh di sempadan Thailand.

"Namun, angka kematian berkemungkinan besar meningkat kerana terdapat beberapa kawasan yang tidak dapat dimasuki kerana masalah pengangkutan," katanya.

Gempa bumi kuat berukuran 6.8 pada skala Richter itu menggegarkan timur laut Myanmar berhampiran sempadan Thailand dan Laos pada malam Khamis lepas.

Gegaran turut dirasakan hingga jarak sekitar 1,000 kilometer di Thailand, Laos, Vietnam dan selatan China.

Media pemerintah melaporkan seramai 74 orang terbunuh manakala 111 yang lain cedera dalam bencana kali ini.

Sejumlah 390 buah rumah ranap dengan 14 kuil dan 9 bangunan pemerintah turut rosak.

Penduduk tempatan memberitahu, ramai yang terperangkap berhampiran pusat gempa 96 kilometer ke utara di negeri Shan selepas sebuah jambatan utama runtuh dengan sejumlah mangsa terperangkap dalam tanah runtuh di sepanjang tebing sungai terbabit.

Bot-bot digunakan untuk mengangkut mangsa-mangsa yang cedera ke seberang sungai.

Bandar Tarlay, Tachileik dan kampung-kampung sekitarnya di negeri Shan paling teruk terjejas dalam gempa kali ini dengan ratusan buah rumah ranap dan sejumlah kuil serta bangunan pentadbiran pula rosak.

Seorang penduduk tempatan dalam satu kenyataan yang disiarkan satu forum Internet menyifatkan bandar Tachileik kini musnah.

"Orang ramai masih takut, ramai orang tidur di luar rumah. Mereka mungkin kembali kediaman masing-masing hari ini (semalam) setelah tiada gempa susulan berlaku," katanya. - Agensi



Radiasi naik 10 kali ganda



SENDAI: Paras radiasi di perairan berhampiran loji nuklear Fukushima yang dilanda tsunami melonjak 10 kali ganda dalam tempoh beberapa hari.

Ketika petugas loji itu bergelut untuk menstabilkan stesen jana kuasa itu, tahap radiasi kini menjadi ancaman kepada orang awam.


Pegawai agensi keselamatan nuklear Jepun, Hidehiko Nishiyama, berkata seseorang yang meminum 500 mililiter air tercemar berdepan risiko barah.

Katanya, pengambilan air dalam jumlah itu menyamai kadar pendedahan dibenarkan untuk tempoh setahun.


Bagaimanapun, Nishiyama menolak kemungkinan kesan terhadap hidupan air dapat dilihat dalam tempoh segera.


Ketika ini, paras iodin 131 di Lautan Pasifik berhampiran Fukushima adalah 1,250 kali ganda daripada tahap dibenarkan.


“Secara umumnya, bahan radioaktif yang dibebaskan ke laut akan merebak mengikut arus dan perlukan lebih banyak rumpai laut dan hidupan lain untuk menyerapnya,” katanya mengulas hasil ujian dikeluarkan Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (Tepco), semalam.


Selain iodin, bahan cemar lain yang dikesan Tepco adalah caesium yang mampu bertahan selama 30 tahun.

Bahan itu didapati 79.6 kali ganda lebih tinggi daripada tahap dibenarkan.


Jepun mengalami gempa bumi sekuat 9 magnitud pada 11 Mac lalu, sebelum diikuti tsunami yang melanda pantai timur laut negara itu.


Setakat ini ,jumlah korban rasmi dikeluarkan kerajaan meningkat kepada 10,151 dan tidak banyak harapan dapat dipertaruhkan bagi mengesan 17,053 mangsa lain yang masih hilang.


Paras radioaktif iodin, caesium and kobalt di perairan berhampiran reaktor satu dan tiga loji berkenaan terus membimbangkan apabila didapati 10,000 kali ganda lebih tinggi berbanding situasi biasa. - AFP



Titik gempa hampiri Malaysia




KUALA LUMPUR – Kekerapan kejadian gempa bumi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dipercayai mengakibatkan kedudukan titik gempa di Sumatera, Indonesia beralih dan semakin menghampiri Malaysia.

Pakar geologi, Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu kerana titik gempa biasanya akan mengalami pergerakan sebanyak satu sentimeter setahun jika gempa bumi kerap berlaku di sesebuah kawasan.

Beliau berkata, hakikat tersebut terbukti apabila penduduk negara kini semakin kerap merasai kesan gegaran gempa bumi yang berlaku di negara-negara sekitar rantau ini berbanding sebelum ini.

Tiada ulasan: