Selasa, 22 Mac 2011

KADANG2 KITA MENGUNDANG MUSIBAH...DARI KERJA2 ZALIM KITA SENDIRI...INGAT KITA ADA YG BERKUASA MUTLAK...IAITU ALLAH...JANGAN SAMPAI ALLAH TERLALU MURK

Pemerhati Barat fokus senjata kimia Libya

WASHINGTON - Satelit pengintai Barat sedang memantau sebuah bangsal di sebuah kawasan terpencil Libya selepas pasukan Tentera Bersekutu melancarkan serangan ke atas rejim pemimpin Mummar Gaddafi, kelmarin.

Agensi akhbar antarabangsa, The Washington Post melaporkan, kerajaan Libya menyimpan sekitar 10 tan gas mustard dalam bangsal yang terletak di selatan bandar Sirte.

Negara Barat khuatir Gaddafi mungkin akan menggunakan bahan kimia untuk membunuh sejumlah besar rakyatnya.

"Pengeboman dan serangan peluru berpandu telah menyerang beberapa sasaran awam di Zuwarah, Tripoli, Sirte dan Benghazi," kata jurucakap pasukan Tentera Bersekutu, Jana.

Pasukan Tentera Barat melancarkan serangan dari udara dan laut menentang pasukan tentera Gaddafi di bawah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melaksanakan gencatan senjata dalam pertempuran antara prokerajaan dan pemberontak, beberapa bulan lalu.


Kecam campur tangan

TRIPOLI - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mengecam campur tangan negara asing dalam urusan dalaman negara Afrika Utara dan bersumpah melancarkan serangan balas terhadap pasukan Tentera Bersekutu semalam selepas membedil lebih 110 peluru berpandu ke atas negara itu, kelmarin.

"Kami akan berjuang untuk setiap persegi tanah air kami. Kami akan berjuang sehingga ke titisan darah terakhir kami," katanya dalam ucapan pendeknya semalam yang disiarkan stesen televisyen tempatan.

Selain itu, Gaddafi turut didakwa telah membuka depot senjata api dan mengagihkan senjata-senjata kepada penyokong setianya untuk mempertahankan Libya daripada kuasa Barat.

Agensi media tempatan melaporkan, Gaddafi menganggap serangan yang dilakukan oleh pasukan Tentera Bersekutu, yang merangkumi tentera Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis, menyerupai melakukan perang dingin terhadap Islam dan beliau berjanji akan memberi hukuman setimpal kepada rakyat Libya yang berpihak kepada negara asing.

"Kami akan berjuang dan menghukum setiap pengkhianat Libya yang bekerjasama dengan negara asing," katanya lagi.

Gaddafi turut mengungkit campur tangan AS di Vietnam dan Iraq serta Somalia dan kempen yang masih berlangsung untuk menangkap atau membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, adalah contoh jenis kekalahan yang mereka akan hadapi lagi sekali di Libya.



Pesawat Stealth pulang selepas bom Libya


SALAH satu daripada tiga buah pesawat kalis radar B-2 Spirit tiba di pangkalan udara Whiteman di Missouri setelah menyelesaikan operasi di Libya.


MISSOURI - Seramai enam orang juruterbang pesawat kalis radar B-2 Stealth selamat pulang ke Amerika Syarikat (AS) selepas mengharung perjalanan sejauh 18,507 kilometer dari Libya, lapor sebuah akhbar semalam.

Dipandu oleh dua pemandu setiap pesawat, mereka terpaksa berada di dalam kokpit pesawat selama 25 jam untuk menyempurnakan tugasan mengebom Libya.

Semua juruterbang itu membuat perjalanan dari Pangkalan Tentera Udara Whiteman di Missouri ke Libya dan kembali semula ke pangkalan.

Menurut Tentera Udara Amerika Syarikat, ketiga-tiga buah pesawat itu tiba pada pagi semalam selepas operasi pertama yang menyaksikan lebih 112 peluru berpandu Tomahawk telah dilancar dari kapal perang tentera bersekutu di Laut Mediterranean.

Tidak dapat dipastikan bagaimana para juruterbang itu mampu berjaga sepanjang Operasi Odesi Subuh itu. Tetapi sebelum ini, terdapat katil lipat di bahagian belakang tempat duduk pemandu.

Mereka juga mustahil untuk menggunakan alat kawalan pandu automatik untuk keseluruhan perjalanan, apatah lagi sewaktu mengebom sasaran kerana operasi tersebut memerlukan sepenuh perhatian. - Agensi


Gaddafi jadi sasaran serangan Britain

LONDON - Setiausaha Pertahanan Britain, Liam Fox (gambar) mengaku bahawa Britain menjadikan Pemerintah Libya, Muammar Gaddafi sebagai sasaran sah untuk dibunuh sambil memberi jaminan orang awam akan terselamat daripada serangan tersebut, lapor sebuah akhbar semalam.

Kenyataan itu jelas bercanggah dengan kenyataan pegawai Pentagon dan pemimpin Barat lain yang menegaskan Gaddafi bukanlah sasaran operasi ketenteraan yang dikenali sebagai Operasi Odesi Subuh itu.

Fox juga menyatakan Britain berikrar untuk menghancurkan seluruh infrastruktur ketenteraan Gaddafi.

Dalam serangan malam kedua oleh tentera sekutu Barat, sebuah bangunan pentadbiran tiga tingkat yang terletak dalam kawasan istana Gaddafi dikenali sebagai Bab Al-Aziziya musnah sama sekali selepas dibom. Seramai 300 penyokong pemimpin itu dipercayai berada di kawasan sama semasa serangan berkenaan.


Eksentrik seorang Muammar Gaddafi




BEKAS Presiden Amerika Syarikat (AS), Ronald Reagan pernah menggelar lelaki itu, anjing gila dari Timur Tengah, manakala Presiden Sudan, Gaafar Nimeiry pula menggelarkannya sebagai lelaki dengan dua personaliti, tetapi kedua-duanya adalah jahat.

Dengan riak wajah yang bengis diiringi renungan tajam yang menggerunkan, gelaran-gelaran tersebut hakikatnya bukanlah asing untuk Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi. Namun, gelaran bersifat antagonis itu sebenarnya banyak disumbangkan oleh ideologi, gaya kepimpinan, kelantangan bersuara, kekejaman dan seterusnya kerakusan hati seorang pemimpin dunia.

Memimpin sebuah negara yang kaya dengan sumber minyak di utara Afrika selama 42 tahun, tempoh tersebut mungkin terlalu lama untuk Gaddafi.

Atas sebab itulah, apabila negara-negara Arab bergolak dengan kebangkitan rakyat bermula di Tunisia, Jordan dan Mesir, tempias kemarahan rakyat kepada pemerintahan yang terus memewahkan Gaddafi turut melanda pemimpin itu sejak 15 Februari lalu.

Jika rakyat Mesir hanya memerlukan 14 hari untuk menumbangkan Presiden Hosni Mubarak, ternyata dengan kekuatan tentera dan sokongan padu penyokong kuatnya, pemimpin berusia 69 tahun itu tidak mudah mengangkat bendera putih.

Penggunaan kuasa tentera oleh Gaddafi menyaksikan empat hari lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diketuai AS dan sekutunya Britain dan Perancis membenarkan serangan dari laut dan udara atas alasan untuk melindungi penduduk awam Libya.

Lampu hijau PBB itu sejak Sabtu lalu menyebabkan peluru berpandu canggih Tomahawk mula menerjah bumi Libya. Terbaru, bedilan demi bedilan peluru berpandu AS dan sekutunya turut meranapkan kediaman tiga tingkat yang dihuni Gaddafi.


KEPALA seekor kambing digantungkan pada hujung muncung sebuah kereta kebal milik tentera Gaddafi yang dimusnahkan pemberontak dalam satu serangan di sebuah lokasi di Benghazi dan Ajdabiyah.


“Ia pengeboman yang kejam,” ujar jurucakap kerajaan Libya, Mussa Ibrahim yang mengutuk serangan itu sambil menegaskan ia bertentangan dengan kenyataan AS dan Barat yang menyatakan tidak akan menjadikan lokasi itu sebagai sasaran. Enggan mendedahkan lanjut lokasi persembunyian Gaddafi, Mussa turut tidak menyatakan sama ada pemimpin tersebut berada di kediaman itu semasa pengeboman tersebut.

Apa yang pasti, kebangkitan rakyat sendiri diketuai pemimpin pembangkang, kemarahan dunia dan serangan demi serangan AS dan sekutunya meletakkan nasib Gaddafi kini bagaikan telur di hujung tanduk.

Meraih sokongan

Ia sama sekali bertentangan dengan zaman kegemilangan yang pernah dikecapi oleh Gaddafi. Menurut Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Tunku Mohar Tunku Mohd. Mokhtar, pada tahun 1970-an semasa kebangkitan dunia Islam di Asia Barat, Gaddafi pernah disanjung sebagai seorang hero.

Dengan kelantangannya memberi sokongan terhadap perjuangan menentang Israel dalam membela penindasan terhadap penduduk Palestin, Gaddafi meraih bukan sedikit sokongan masyarakat Islam.

Dilahirkan di dalam khemah puak Badwi berdekatan Sirt pada tahun 1942, dia mendapat pendidikan seperti kanak-kanak lain di sekolah Islam.

Memasuki Akademi Tentera Libya pada tahun 1961, kekecewaan dengan kepimpinan dunia Arab yang dimalukan oleh Israel menyebabkan Gaddafi mempunyai ideologi tersendiri.

Impian pegawai tentera muda itu ketika itu mahu menyatukan dunia Arab dalam satu perikatan dan menyingkirkan sistem pemerintahan monarki Libya di bawah Raja Idris.

Mengetuai sekumpulan pegawai tentera muda yang sarat dengan semangat juang ketika itu, Gaddafi berjaya merampas kuasa membentuk Republik Arab Libya.


KONVOI terdiri daripada 18 trak yang membawa bantuan kemanusiaan ke Benghazi melepasi sebuah kereta kebal tentera Libya.


“Penghasilan sebuah buku bertajuk The Green Book pada tahun 1975 oleh Gaddafi yang menyatakan inspirasi beliau mengenai demokrasi, ekonomi dan sosial sebuah negara Islam membolehkan Gaddafi mendapat pujian ramai,” ujar Tunku Mohar ketika dihubungi.

Sementara itu, Pakar Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Jayum A. Jawan menyatakan, Gaddafi menjadi hero di mata penduduknya dan dunia apabila menjadikan AS sebagai musuh ketat pada awal pemerintahannya.

“Gaddafi seorang pemimpin yang bijaksana. Selepas menyingkirkan pemerintahan diraja melalui satu revolusi ketenteraan dan berjaya membentuk Republik Arab Libya, Gaddafi menjadikan AS sebagai musuh ketat. Ia menjadi satu ideologi yang sangat berjaya menyatukan penduduk Libya yang berpuak-puak,” ujar beliau.

Bagaimanapun, katanya mungkin selepas empat dekad, Gaddafi yang dikenali rakyatnya dan dunia merupakan individu yang berbeza.

Salah guna kuasa

Ujar Tunku Mohar, Gaddafi ialah seorang pemimpin yang eksentrik dan mempunyai keyakinan yang sangat tinggi selain sentiasa mengekalkan semangat Badwi.

Namun, selepas tekanan dunia apabila dikaitkan dengan pengeboman pesawat Pan Am Flight 103 yang membunuh 270 orang pada tahun 1988 di Lockerbie, Scotland, ia menjadi titik tolak kepada perubahan pendekatan dasar luar lelaki itu yang juga dipanggil Kolonel Gaddafi.

Nada keras Gaddafi tidaklah sekuat dahulu, walaupun adakalanya tetap sinis terhadap dunia Barat.

Bahkan, Gaddafi juga mula menunjukkan belangnya mengenai pemerintahannya yang lebih kepada sekularisme dan tidak pro Islamik.

“Walaupun The Green Book memperlihatkan perjuangan Gaddafi sebagai seorang pemimpin Islam, tetapi retorik keagamaan yang dibawa Gaddafi sukar dibendung kerana sifat penyalahgunaan kuasa, kekejaman, mengumpul kemewahan dan kaki perempuan semakin terserlah.

“Malah, dalam setiap programnya di luar negara, Gaddafi tanpa segan silu meminta sekurang-kurangnya seorang wanita untuk berdamping dengannya,” ungkap Tunku Mohar yang menjelaskan lagi gaya eksentrik Gaddafi.


SERANGAN bertalu-talu tentera AS dan sekutunya ke atas kubu tentera Gaddafi di sebuah lokasi antara Benghazi dan Ajdabiyah di Libya.


Pemimpin itu sendiri menubuhkan satu batalion yang terdiri daripada pengawal peribadi wanita yang digelar media Barat sebagai Amazonian Guard untuk menjaga keselamatannya.

Menambahkan keanehan sikap Gaddafi, selain dipilih sendiri oleh dirinya, anggota pasukan pengawal itu juga haruslah masih dara.

Kemuncak kepada kemarahan rakyat, apabila pada saat rakyatnya hidup dalam kemiskinan, kadar pengangguran yang tinggi, Gaddafi didapati memiliki harta berjumlah AS$60 bilion (RM182.64 bilion).

“Walaupun ini mungkin satu alasan kepada AS dan sekutunya membalas dendam kepada kelantangan dan kekejaman Gaddafi, bagaimanapun kebangkitan rakyat menentang pemerintahan pemimpin itu memang tidak boleh disangkal lagi.

“Selama empat dekad pemerintahannya, rakyat Libya telah dididik dengan ideologi Gaddafi termasuk silibus khas The Green Book dan bahasa Inggeris dikeluarkan daripada mata pelajaran di sekolah.

“Bagaimanapun, apabila dunia semakin moden, pendedahan rakyat Libya terhadap media seperti Al-Jazeera serta Internet akhirnya membuka mata mereka untuk melawan Gaddafi,” kata seorang penganalisis politik tempatan.

Tentera Britain membedil menggunakan peluru berpandu dalam serangan itu. Pesawat Tentera Udara Diraja Britain (RAF) pula melakukan pengeboman lanjut ke lokasi sama yang menempatkan kuarters-kuarters, berek-berek tentera, senjata anti-pesawat dan kemudahan lain.

Sekurang-kurangnya 112 peluru berpandu Tomahawk dilancarkan oleh tentera Amerika dan Britain yang memusnahkan 20 daripada 22 sasaran yang terletak di sekitar Tripoli dan Misrata.



Istana Gaddafi musnah dibom


Keadaan bangunan pentadbiran Istana Bab Al-Aziziya, Tripoli yang musnah dalam serangan tentera bersekutu pagi semalam.


TRIPOLI - Istana utama Pemerintah Libya, Muammar Gaddafi di sini dibom oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan empat negara sekutunya dalam serangan terbaru semalam.

Ia sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa diktator tersebut mungkin terbunuh.

Selepas serangan tersebut, sumber kerajaan Libya segera menyifatkan laporan bahawa anak keenam Gaddafi, Khamis mati dalam serangan tersebut sebagai berita tidak masuk akal.

Khamis masih lagi menjadi komander tentera Brigade ke-32.

Serangan lewat malam itu memusnahkan sama sekali bangunan pentadbiran tiga tingkat yang terletak di dalam kawasan istana yang dikenali sebagai Bab Al-Aziziya itu.

Bangunan pentadbiran yang musnah itu terletak 50 meter dari sebuah khemah Badwi yang lazimnya digunakan oleh Gaddafi untuk menyambut tetamu negara.

Pengarah Staf Jabatan Pertahanan (Pentagon) AS, William E. Gortney menafikan menjadikan pemimpin Libya itu sebagai sasaran.

"Saya boleh jamin beliau (Gaddafi) bukan dalam senarai sasaran. Kami tidak menyasarkan kediamannya. Serangan sebaliknya mahu memusnahkan kemampuan arahan dan kawalan Gaddafi," katanya.

Kepulan asap dapat dilihat dengan jelas dari kawasan istana berkenaan.

Namun kebakaran dikatakan tidak merebak walaupun serpihan konkrit berterabur di kawasan berhampiran.

Lokasi tersebut pernah dibom oleh AS pada tahun 1986 dalam serangan yang menyebabkan anak angkat perempuan Gaddafi, Hana terbunuh.

Gaddafi juga dikatakan sering memberi ceramah di hadapan satu arca emas yang menunjukkan tangan menggenggam replika jet pejuang AS bagi mengingati serangan sebelum ini.



Kubu Gaddafi musnah dibedil



JADI BUKTI...pegawai rejim mendakwa serangan tentera Bersekutu bertujuan untuk membunuh Gaddafi.
JADI BUKTI...pegawai rejim mendakwa serangan tentera Bersekutu bertujuan untuk membunuh Gaddafi.

TRIPOLI: Dalam tindakan yang sangat jarang diambil, pegawai Libya membawa wartawan asing melawat kubu Muammar Gaddafi semalam untuk menunjukkan bangunan yang musnah diserang tentera Bersekutu.

Tidak jauh dari khemah suram tempat Gaddafi menerima tetamunya, sebuah bangunan tiga tingkat musnah, selain sebuah lubang jelas kelihatan.


Wartawan di Tripoli mendengar satu letupan awal pagi semalam dan melihat asap berkepul dari kubu berkenaan.

Kawasan itu turut menempatkan kediaman peribadi, berek tentera dan kemudahan lain.


Bagaimanapun, tiada asap kelihatan apabila lawatan berkenaan diadakan.


Pegawai Gaddafi berkata, bangunan itu terkena peluru berpandu dan mendakwa Barat cuba membunuh pemimpin Libya itu.

Jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim, berkata serangan itu tidak bertamadun.


“Ia bercanggah dengan kenyataan AS dan Barat yang menafikan mereka mensasarkan kawasan ini,” katanya.

Mengesahkan tiada kecederaan berlaku dalam serangan itu, Mussa enggan menyatakan sama ada Gaddafi berada di situ ketika kejadian.


Sebelum ini, AS berkata, mereka tidak berniat mensasarkan Gaddafi ketika tentera negara itu dan sekutunya meningkatkan serangan ke atas Libya.


Tidak jauh dari situ, penyokong Gaddafi dibenarkan masuk ke kompleks berkenaan untuk menjadi benteng manusia jika serangan udara berlaku lagi.


Mereka melaungkan slogan anti-Barat, termasuk menggesa Presiden Barack Obama dibunuh.


Di belakang kawasan itu, seorang tentera mengawasi ruang udara bersama kelengkapan senjata antikapal terbang yang diletakkan di atas sebuah lori pikap.


Lewat malam kelmarin, penyokong Gaddafi melepaskan tembakan ke udara ketika sebahagian yang lain menari sambil mengibarkan bendera Libya.


Penyokong Gaddafi itu berkata, mereka rela mati untuk pemimpin terbabit.


Seorang jurutera, Muatas, 45, berkata dia sangat sayangkan Gaddafi. “Dia adalah bapa kami dan kami rela mati kerananya,” katanya. - Reuters


Cubaan bunuh pemimpin Libya bukan idea bijak: Gates


DALAM PESAWAT TENTERA AS: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates, berkata tidak bijak bagi tentera Bersekutu cuba membunuh Muammar Gaddafi dalam serangan ke atas Libya.

Ketika ditanya mengenai gesaan rakan sejawatannya dari Britain, Liam Fox, yang mencadangkan agar serangan itu mensasarkan Gaddafi, Gates berkata, operasi itu sepatutnya kekal dalam lingkungan resolusi diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


“Saya berpendapat adalah penting bagi kita menjalankan operasi berdasarkan mandat PBB,” katanya.

Gates yang bercakap dalam pesawat tentera Amerika yang dalam penerbangan ke Russia berkata, campur tangan di Libya itu disokong oleh “pakatan yang amat berbeza-beza” dan memberi amaran, sebarang tindakan meluaskan matlamatnya akan merumitkan keadaan. “Saya juga berpendapat, adalah tidak bijak untuk menetapkan perkara yang anda boleh atau tidak boleh mencapainya sebagai matlamat khusus,” katanya.


Dia turut memberi amaran mengenai rancangan memberi sokongan secara langsung kepada pemberontak bagi menggulingkan Gaddafi.


Katanya, isu itu perlu diselesaikan rakyat Libya sendiri. “Ada atau tidak bantuan dari luar untuk pemberontak, kita perlu tunggu dan lihat. Matlamat asalnya ialah untuk melumpuhkan pasukan tentera udara Gaddafi bagi melindungi orang awam,” katanya. - AFP



Tentera Barat tingkat serangan


TRIPOLI: Kuasa Barat melancarkan gelombang kedua serangan udara terhadap Libya semalam selepas menyekat kemaraan tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi ke Banghazi.

Mereka mensasarkan sistem pertahanan udara untuk membolehkan pesawat mereka meronda ruang angkasa negara itu.


Campur tangan yang dibenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melindungi orang awam yang terperangkap dalam revolusi yang bermula bulan lalu untuk menentang pemerintahan 41 tahun Gaddafi diselar oleh ketua Liga Arab, Amr Mousa, yang mempersoalkan kewajaran pengeboman besar-besaran yang dikatakannya menyebabkan kematian ramai orang awam.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat yang melakukan serangan udara itu bersama-sama dengan Britain, Perancis, Itali dan Kanada berkata, kempen itu berjaya mencapai matlamat dan menolak gencatan senjata yang diumumkan oleh tentera Libya petang semalam.


Kementerian Pertahanan Britain berkata, sebuah kapal selamnya sekali lagi melepaskan peluru berpandu Tomahawk awal semalam sebagai sebahagian daripada serangan gelombang kedua untuk menguatkuasakan ketetapan PBB “Kami dan rakan antarabangsa kami meneruskan operasi menyokong Ketetapan 1973 Majlis Keselamatan PBB,” menurut seorang jurucakap kementerian.


Serangan itu adalah yang terbesar terhadap sebuah negara Arab sejak pencerobohan ke atas Iraq pada 2003. Ketika ditanya mengenai kenyataan Amr, Setiausaha Rendah Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Michele Flournov memberitahu BBC: “Saya berpendapat ada orang yang tidak faham mengenai dimensi tentera yang diperlukan untuk menguatkuasakan zon larangan terbang. Tetapi, saya boleh memberitahu anda, kami masih menerima mesej sokongan dan kenyataan yang menyokong tindakan kami daripada beberapa negara Arab.” Sementara itu, jurucakap kerajaan Perancis, Francois Baroin berkata, tidak ada maklumat yang diterima oleh markas pemerintahan tentera negara itu mengenai orang awam yang terbunuh. — AP

AS mahu Perancis ketuai operasi

DALAM PESAWAT TENTERA: Setiausaha pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates berkata, Pentagon menjangka akan menyerah kawalan missi tentera terhadap Libya kepada satu pakatan yang diketuai sama ada oleh Perancis dan Britain atau Nato, dalam masa beberapa hari.

Dalam kenyataan pertamanya sejak pengeboman itu dilancarkan, Gates berkata, Presiden Barack Obama merasakan perlunya mengehadkan peranan Amerika dalam operasi terhadap pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.


Beliau juga berkata, Presiden Amerika Syarikat itu lebih memahami berbanding orang lain mengenai tekanan yang dihadapi tentera Amerika.

“Meskipun Amerika mempunyai peranan ketenteraan dalam pakatan itu, ia tidak akan memainkan peranan yang menonjol,” kata Gates.


Beliau membuat kenyataan itu ketika kapal dan pesawat Amerika meneruskan pengeboman terhadap Libya. - Reuters


Pengajaran untuk pemimpin Libya: Ki-Moon


PARIS: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, berkata Muammar Gaddafi kini dapat merasakan kesungguhan masyarakat antarabangsa selepas kempen ketenteraan dilancarkan ke atas Libya.

“Gaddafi membunuh rakyatnya sendiri. Dia mengisytiharkan untuk mencari pemberontak dari satu rumah ke satu rumah dan membunuh mereka.


“Perbuatan itu tidak boleh diterima,” katanya kepada media, semalam, sejurus sebelum memulakan lawatan rasmi ke Mesir dan Tunisia.

Kata Ban, dia berharap pihak berkuasa Libya mematuhi sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan PBB dengan melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan mengambil segala langkah perlu melindungi rakyatnya.


Ban turut menyatakan hilang keyakinan terhadap kemampuan Gaddafi ‘bercakap benar.’ Awal pagi semalam, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis melancarkan serangan udara ke atas Libya selepas Majlis Keselamatan PBB memberi kebenaran untuk ‘menggunakan segala cara yang perlu’ melindungi penduduk awam Libya.


PBB juga memberi mandat kepada negara kuasa besar itu memaksa Libya mematuhi gencatan senjata dan zon larangan terbang ke atas tentera rejim Gaddafi. - AFP

Tiada ulasan: