Ajdabiya ditawan
MAHU DUNIA AMAN...aktivis antiperang Korea Selatan menyertai tunjuk perasaan membantah serangan tentera Bersekutu ke atas Libya dan menuntut ia dihentikan segera di Seoul, semalam.
KECAM PERANG...penunjuk perasaan mengadakan protes pembabitan Barat di luar Kedutaan AS di London, Britain, semalam.
AJDABIYA: Pejuang pemberontak Libya - yang mendapat bantuan tentera Bersekutu - akhirnya berjaya menawan bandar strategik Ajdabiya, semalam.
Laporan awal menyatakan, anggota keselamatan yang setia kepada Muammar Gaddafi tidak dapat berbuat apa-apa ketika pemberontak masuk ke bandar petroleum berkenaan.
Sambil berarak, pejuang pemberontak turut bertakbir dan menunjuk tanda ‘V’ sebagai isyarat kemenangan.
Bandar penting itu sebelum ini menjadi antara kubu utama tentera Gaddafi.
Ajdabiya juga menjadi lokasi penting tentera terbabit menyusun gerakan dalam usaha mereka menawan kubu terpenting pemberontak di Benghazi.
Kejayaan menguasai Ajdabiya itu adalah kesan penting pertama dilihat selepas tentera Bersekutu melancarkan serangan udara ke lokasi tentera dalam usaha mereka menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya.
Sekurang-kurangnya dua mayat pejuang pro-Gaddafi dilihat terlantar di jalan sambil dikerumuni orang ramai yang mengambil gambar.
Menurut media, kedatangan pemberontak itu turut dialu-alukan penduduk selepas mereka mendakwa menjadi mangsa penindasan tentera Gaddafi.
Ajdabiya adalah bandar pertama jatuh semula ke tangan pemberontak sejak tentera Bersekutu melancarkan serangan awal pagi Ahad lalu.
Sementara itu, satu letupan kuat menggegarkan pangkalan tentera di pinggir Tripoli awal pagi semalam.
Letupan itu menyebabkan kemudahan radar tentera di Tajura terbakar. - AFP
Kesahihan dakwaan rejim Gaddafi diragui
TRIPOLI: Lawatan dikendali kakitangan kerajaan untuk wakil media bagi melaporkan kesan serangan tentera Bersekutu didakwa mencetuskan lebih banyak tanda tanya berbanding penjelasan.
Percanggahan data mengenai kematian di kalangan orang awam terus ketara setiap hari sejak tentera Bersekutu melancarkan serangan udara pada awal pagi 20 Mac lalu.
Apabila ditanya, kakitangan kerajaan kelihatan sulit untuk memberikan bukti konkrit pengeboman itu mengorbankan lebih ramai orang awam.
AS dan sekutunya pula bertegas mendakwa serangan itu dibuat berhati-hati dan mensasarkan hanya lokasi khusus dalam usaha mereka melumpuhkan sistem pertahanan udara.
Ketika sekumpulan wakil media daripada agensi berita asing dibawa melihat pengebumian 33 mangsa serangan itu, penduduk setempat dilihat hanya menurunkan hanya 13 mayat ke liang lahad.
Tiada sebarang maklumat lanjut mengenai identiti atau bagaimana mereka terkorban diberikan kepada media.
Lebih janggal, keadaan itu tidak seperti kelaziman masyarakat Arab yang menangisi korban perang.
Biasanya, pengebumian mangsa perang dianggap syahid, selain diwarnai tangisan ahli keluarga atau pekikan kemarahan.
Pagi kelmarin, wartawan diberitahu akan dibawa ke hospital untuk melihat mangsa serangan udara tentera Bersekutu, tetapi akhirnya diiringi ke rumah mayat.
Kakitangan di situ hanya memberitahu, mayat itu adalah mangsa pengeboman dua hari berturut-turut ke atas Tripoli dan Tajoura.
Tiada butiran lanjut diberikan. - AP
Turki bertanggungjawab rawat mangsa perang
ANKARA: Turki merancang memberikan rawatan kepada ratusan warga Libya yang cedera dalam konflik di negara itu, kata seorang pemimpin kanannya, semalam.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Cemil Cicek, sebuah kapal membawa ambulans dan peralatan perubatan akan berlepas ke Libya tidak lama lagi bagi membawa kira-kira 450 mangsa perang negara itu ke Turki.
Ditanya jika operasi itu mendapat restu Muammar Gaddafi, Cemil mengesahkannya.
“Turki adalah satu-satunya negara yang mengekalkan hubungan dengan kedua-dua pihak yang bertelagah di Libya,” katanya. Kelmarin, parlimen Turki meluluskan usul menghantar tentera lautnya ke perairan Libya untuk menguatkuasakan sekatan senjata kepada rejim Gaddafi selepas Ankara keberatan menyertai operasi serangan udara Nato. - AFP
Pemberontak tawan bandar minyak Adabiya
ADABIYA - Pemberontak Libya yang dibantu serangan udara bertubi-tubi Barat berjaya menawan bandar minyak ini, timur Libya daripada tentera Muammar Gaddafi, kata seorang koresponden agensi AFP semalam.Kubu-kubu pertahanan tentera pro Gaddafi di sini ditinggalkan kosong selepas pemberontak yang menaiki sejumlah trak dan kereta tiba semalam sambil menyembunyikan hon dan membuat isyarat tanda V menandakan kemenangan.
Kelmarin jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengebom kedudukan tentera Gaddafi di bandar strategik ini bagi membantu usaha tentera pemberontak untuk menawan Adabiya. - AFP
Tentera Gaddafi makin lemah
|
|
TRIPOLI 26 Mac - Beberapa siri letupan besar menggegar sebuah pangkalan tentera di timur ibu negara Libya awal hari ini, ketika tentera Barat meningkatkan tekanan terhadap pemimpinnya, Muammar Gaddafi dengan bedilan serangan udara.
Serangan yang masuk hari kelapan dalam kempen tentera Barat ini dilancarkan bagi menyekat serangan tentera Gaddafi ke atas penduduk awam dan memusnahkan kemudahan radar di Tajura, yang menempatkan beberapa pangkalan tentera Libya.
"Kawasan itu dibom sebanyak tiga kali berturut-turut. Serangan disasarkan ke atas sebuah lokasi radar tentera," kata seorang penduduk yang tinggal berdekatan.
Menurut pegawai Amerika Syarikat (AS), tekanan berterusan ke atas Gaddafi oleh tentera bersekutu kini membuah hasil sehingga pemimpin Libya itu terpaksa menggunakan khidmat tentera sukarela.
"Hari ini kami menerima laporan bahawa beliau mengambil tentera sukarela untuk menentang pembangkang," kata Laksamana Madya AS, William Gortney.
Sehingga kini Gaddafi dipercayai bergantung kepada kumpulan militia yang dikendalikan anak lelakinya serta senjata dari Afrika untuk menentang kumpulan yang kekurangan senjata tetapi dianggap sebagai tentera pemberontak.
"Beliau kini hampir-hampir tiada pertahanan udara dan kekurangan keupayaan untuk menempatkan atau mengekalkan tenteranya di darat.
"Tentera udara Libya kini tidak boleh beroperasi, kapal perang terpaksa berlabuh di pelabuhan, gudang senjatanya musnah, menara komunikasi tumbang dan kubu pertahanannya tidak lagi berguna," kata Gortney.
Sementara itu, AS dan sekutunya mempertimbangkan untuk membekalkan senjata kepada kumpulan pembangkang Libya, lapor Washington Post hari ini.
Menurut akhbar itu, pentadbiran Presiden Barack Obama percaya, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meluluskan campur tangan antarabangsa di Libya adalah 'fleksibel' untuk membenarkan bantuan seperti itu. - AFP
Penentang Gaddafi tawan Ajdabiya
2011/03/27
AJDABIYA: Pemberontak Libya menawan bandar minyak strategik Ajdabiya semalam, menandakan kejayaan pertama mengatasi tentera kerajaan yang setia kepada Muammar Gaddafi selepas dibantu serangan udara tentera bersekutu seminggu lalu.
Pemberontak meraikan kejayaan mereka dengan melepaskan tembakan ke udara dan melaungkan ‘Tuhan lebih berkuasa’.
Pengikut setia rejim dituduh melakukan kekejaman terhadap penduduk di sini.
Seorang penduduk, Ibrahim Saleh, 34, memberitahu: “Kereta kebal membedil rumah tanpa henti. Saya tidak dapat keluar dari rumah selama beberapa hari. Tiada air, minyak atau komunikasi dan apabila penduduk keluar untuk membeli minyak, mereka diserang.
“Tentera bersekutu melancarkan serangan udara sejak dua hari lalu. Mereka melancarkan serangan udara dan pasukan revolusi datang membebaskan bandar ini,” katanya.
Ajdabiya adalah bandar pertama jatuh ke tangan pemberontak sejak tentera gabungan Barat melancarkan serangan udara disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 19 Mac lalu untuk menahan tentera yang setia kepada Gaddafi daripada menyerang orang awam.
Di tempat lain, letupan besar menggegarkan tapak tentera di pinggir timur Tripoli awal pagi semalam ketika tentera Barat memberi tekanan ke atas Gaddafi dengan tembakan bertalu-talu dari udara.
Letupan itu menyebabkan satu kemudahan radar terbakar di Tajura, tempat beberapa pangkalan udara, kata saksi.
“Daerah itu digegarkan dengan tiga letupan,” kata penduduk menambah bahawa letupan itu memecahkan tingkap.
“Serbuan menyasarkan tapak radar tentera yang masih terbakar,” kata seorang penduduk yang tinggal berhampiran.
Di Washington, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berkata misi tentera Barat di Libya menunjukkan kejayaan dan berjaya menyelamatkan banyak nyawa.
Tentera Bersekutu terus menyerang askar Gaddafi dengan melancarkan peluru berpandu dan bom selain menguatkuasakan zon larangan trbang dan sekatan di laut.
“Jadi, terbukti tindakan pantas kami mengelak bencana kemanusiaan ramai orang awam sama ada lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa,” katanya dalam ucapan mingguan di radio. – AFP/Reuters
Pelajar protes jahit bibir
2011/03/27
CARACAS: Empat pelajar Venezuela bertindak menjahit bibir mereka semalam, bertujuan meningkatkan desakan agar kerajaan menyumbangkan dana secukupnya untuk universiti awam, selain meneruskan mogok lapar bermula 23 Februari lalu.
Torrijos yang kesakitan selepas menjahit sendiri sebahagian bibirnya berkata: “Selepas melihat rakan saya mengambil tindakan ini, saya secara sukarela menyertai mereka.”
Seorang lagi pelajar, Villca Fernandez, 28, mengalami bengkak muka, tiga hari selepas menjahit bahagian tepi mulutnya.
Beliau yang kelihatan lemah kerana mogok lapar, mendakwa sudah tidak memakan makanan pejal sejak 30 hari lalu dan tidak bercadang untuk memberhentikan tindakannya.
“Saya rela mati demi universiti dan negara saya,” katanya.
Mogok lapar dimulakan oleh lima pelajar pada 23 Februari lalu dan jumlah mereka semakin bertambah sejak itu. Pelajar berkata, universiti mereka mungkin tidak dapat beroperasi jika kerajaan tidak menyediakan dana secukupnya.
Pihak pentadbiran universiti berkata, menjelang April, lebih 24 universiti awam di Venezuela mungkin tidak mempunyai dana yang cukup untuk meneruskan operasi di kafeteria atau membeli bekalan yang diperlukan.
Pegawai kerajaan bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan berkata, pelajar terbabit dimanipulasi penentang Presiden Hugo Chavez.
“Jika mereka mahu berbogel di jalan raya, lakukanlah. Jika mereka mahu menjahit apa saja yang mereka mahu, jahitlah, kami akan terus berusaha dan bekerja untuk negara kami,” kata Menteri Luar, Nicolas Maduro dalam satu rancangan televisyen yang disiarkan dari negeri Bolivar di tenggara Venezuela.
Selasa lalu, Chavez mengumumkan rancangan untuk meningkatkan biasiswa pelajar dan berkata kerajaan bersedia menilai semula bajet bagi univerisiti. Bagaimanapun pelajar yang menyertai mogok lapar mendakwa pengumuman itu tidak memadai. – AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan