Selasa, 15 Mac 2011

BIARLAH YANG CAKAP ITU BIDANGNYA....NI KENA MENGENA DENGAN TAKDIR...SEDANGKAN TAKDIR 3 JENIS...ADA HIKMAH..YG TERSIRAT ALLAH YG TAU

Rosmah patut minta maaf pada k'jaan, rakyat Jepun
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor Rosmah patut minta maaf kepada rakyat dan kerajaan Jepun kerana sikap tidak sensitivitinya dan juga kepada rakyat Malaysia kerana memalukan negara.

Demikian kata Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin sebagai respons kepada kenyataan Rosmah yang mendakwa kejadian tsunami di Jepun sebagai pengajaran kepada kerajaan Jepun yang tidak menitikberatkan faktor alam sekitar dan perubahan iklim dalam pembangunannya amat dikesali.

“Malahan, dari insiden ini menunjukkan beliau sebagai isteri Perdana Menteri tidak layak untuk mewakili suara wanita Malaysia, apatah lagi mahu mengangkat diri beliau dengan gelaran First Lady of Malaysia (FLOM),” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kenyataan Rosmah yang dilaporkan kepada Awani, menjadi tajuk utama berita antarabangsa CNN, dan kini menjadi pendebatan hangat di laman sosial Facebook dan twitter menunjukkan bahawa Rosmah seolah tiada naluri sensitiviti kepada kesusahan rakyat dan kerajaan Jepun yang kini sedang dalam keadaan getir menghadapi bencana yang melanda.

“Ini adalah amat memalukan dan bertentangan dengan pengakuan beliau dan kerajaan Malaysia kononnya sebagai First Lady, beliau banyak membantu dalam hubungan diplomatik dengan negara-negara lain,” katanya yang juga ahli Parlimen Ampang.

Akibat komennya yang dangkal, kata Zuraida seluruh Malaysia diketawakan dan dicemuh dunia.

Ini, tambahnya lebih teruk kerana ia berlaku selepas kontroversi kartun yang menghina sensitiviti rakyat Jepun dan seluruh dunia.

“Mewakili pimpinan PKR, ingin kami mengingatkan seluruh rakyat Malaysia bahawa peristiwa yang berlaku di Jepun adalah kuasa Allah yang telah menjadi ketentuan-Nya,” ujarnya.

Malah, tambahnya rakyat Jepun patut dipuji kerana tenang dan menerima ujian itu dengan sabar.

Menurutnya lagi, semasa Malaysia dilanda tsunami dalam tahun 2004, Jepunlah antara negara pertama yang menghulurkan bantuan.



Baginda pula jelajah 'bongkar' Ummi Hafilda
Hazlan Zakaria
Mac 15, 11
3:04pm


Bekas rakan niaga Ummi Hafilda Ali hari ini mengancam menjelajah ke seluruh negara bagi berceramah untuk mendedahkan apa yang dikatakan "skandal" wanita itu di masa lalu.

Baginda Minda, yang mendakwa rakan niaga untuk projek berkaitan pembinaan Lapangan Terbang Antarangsa Kuala Lumpur (KLIA), berkata beliau tidak dapat menahan lagi dakwaan Ummi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NONEBaginda mendakwa, ketika Ummi membuat pelbagai dakwaan, termasuk tentang moral ketua pembangkang itu, wanita itu sendiri mempunyai skandal dengannya di London.

Menurut Baginda (kiri), Ummi tidak jujur apabila terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau awal bulan ini.

Beliau yang mendakwa cukup mengenali Ummi mendakwa, wanita itu tidak akan melakukan sesuatu perkara jika tidak dibayar.

Menyingkap perbicaraan liwat pertama terhadap Anwar pada lebih 10 tahun lalu, Baginda menuduh Ummi membuat perjanjian dengan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin supaya membuat pengakuan yang menentang ketua pembangkang.

Baginda mendakwa perjanjian itu memerlukan Ummi berbohong di kandang saksi bagi membolehkan diberikan bahagian kecil dalam projek KLIA yang bernilai berbilion ringgit.

Justeru, Baginda mendakwa Ummi telah ditipu Daim yang menyebabkan dia tidak mendapat apa-apa dan terpaksa "menjaja" isu Mohd Saiful Bukhari Azlan bagi mendapatkan wang.



Tahyul: PAS mahu libatkan ahli agama tapis filem
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 15 Mac: PAS mahu ahli yang mahir hukum hakam agama, dilibatkan sama dalam Lembaga Penapis Filem (LPF) bagi memastikan filem yang mahu ditayangkan tiada unsur yang boleh merosakan akidah.

Perkara itu dilontarkan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) sewaktu mencelah perbahasan Titah Diraja oleh Datuk Ismail Kassim (BN-Arau).

Ismail yang turut bersetuju dengan cadangan itu berkata, bukan sahaja filem yang mahu ditayangkan ditapis oleh LPF, tetapi juga perlu melepasi tapisan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Semalam dalam sesi soal jawab lisan, Siti Zailah meminta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk menyatakan mengapa filem yang ditayangkan melalui televisyen Malaysia banyak berunsur tahyul, khurafat serta ganas yang memberi kesan negatif kepada penonton remaja.

Beliau juga bertanya sejauh mana penguatkuasaan dibuat pihak kementerian.

Timbalan Menteri, Datuk Joseph Salang Gandum ketika menjawab soalan itu berkata, rancangan berunsur tahyul, khurafat, seram dan ganas yang ada disiarkan hanya mengandungi kadar minima unsur-unsur tersebut dan mempunyai unsur pengajaran di pengakhiran cerita.

Kerajaan juga katanya memastikan kandungan mematuhi Akta komunikasi dan multimedia Malaysia 1998 (AKM'98) dan ditapis pihak LPF.

Isu tayangan filem dan cerita berunsur tahyul sebelum ini menjadi perdebatan hangat ekoran ianya banyak ditayangkan sama ada di stesen televisyen kerajaan mahupun swasta sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ekoran itu banyak pihak mahu kerajaan meneliti semula penapisan yang dibuat kerana ada di antara filem itu menonjolkan amalan syirik yang boleh menjejaskan akidah umat Islam.


Kelantan bantah royalti dipindah ke bahagian sivil
Mac 15, 11 4:54pm


Kerajaan Kelantan memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah supaya kes tuntutan royalti minyaknya daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dipindahkan semula daripada bahagian sivil ke bahagian dagang.

Dalam afidavit yang diikrarkan oleh exconya Datuk Husam Musa sebentar tadi, beliau membantah keputusan dalam pengurusan kes pada 18 Januari di mana pihaknya kali pertama dimaklumkan tentang pemindahan itu.

Menurut Husam, beliau terkilan dengan keputusan perpindahan yang dibuat secara pentadbiran dan "tanpa pengetahuan atau persetujuannya, dan tanpa memberikan haknya untuk didengar."

Kerajaan Kelantan juga mendakwa, dalam pengetahuan mereka tiada satu pihak pun yang membuat permohonan pemindahan itu.

"Oleh yang demikian, ia merupakan suatu keputusan yang salah di sisi undang-undang dan hendaklah diperbetulkan," katanya dalam afidavit tersebut.

Dalam samannya sebelum ini, Kelantan mendakwa Petronas melanggar kontrak pembayaran wang tunai yang patut dibayar berhubung pendapatan minyak.

Dalam pernyataan tuntutan, kerajaan negeri itu antara lain memohon dikeluarkan perintah terhadap Petronas agar membuat bayaran penuh dan mendedahkan semua fakta berkaitan dengan pembayaran wang tunai yang patut dibayar kepada Kelantan, termasuk sepanjang tempoh petroleum dikeluarkan, ditemui atau diperolehi di luar pesisir Kelantan; kawasan atau blok dari tempat petroleum itu ditemui atau diperolehi; dan jumlah pembayaran wang tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.

Manakala kerajaan persekutuan pula pada 19 Februari lalu memohon menjadi pencelah dan dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman tersebut.

Antara alasan yang dikemukakan, kerajaan Malaysia wajar dijadikan defendan supaya semua perkara yang dipertikaikan boleh diputuskan dan dihakimi dengan berkesan dan selengkapnya.

Permohonan terbaru kerajaan Kelantan hari ini akan didengar pada 22 Mac, serentak dengan keputusan kerajaan persekutuan menjadi pencelah dalam kes itu.



TPM: Malaysia akan teruskan cita-cita nuklear
Mac 15, 11 4:59pm


Di sebalik kebocoran radioaktif di Jepun berikutan gempa bumi kuat yang mengegarkan negara itu, Malaysia tetap dengan cita-citanya membina loji tenaga nuklear, kata timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

NONEKatanya agensi tempatan akan melakukan yang terbaik bagi menjamin keselamatan di dua loji tenaga yang dijadual dibina di negara ini.

"Semua negara di dunia memantau dan meneliti perkembangan di Jepun.Yang penting ialah soal keselamatan negara dan rakyat. Jadi dalam soal ini kita ada agensi yang bertanggungjawab. Mereka tahu apa yang mereka lakukan dan kita yakin mereka melaksanakan yang terbaik," katanya.

Muhyiddin bercakap kepada pemberita selepas majlis Perasmian Penutupan Program Keluarga 1Malaysia, anjuran Kementerian Pelajaran, di Putrajaya hari ini.

Berikutan magnitud 8.9 pada skala Richter yang menggoncang Jepun, tiga daripada reaktor nuklearnya di Fukushima, yang hanya kira-kira 250 km dari Tokyo menghadapi kemungkinan musnah.

NONEPuluhan ribu masyarakat yang tinggal berhampiran pusat itu juga terpaksa dipindahkan kerana kebimbangan kebocoran radiasi.

Sebelum ini, Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan Air, Datuk Seri Peter Chin pada Disember lalu mengumumkan Malyasia akan membina dua loji tenaga nuklear yang mampu menjana 1,000 megawatts setiap satu. Loji pertama dijadual beroperasi pada 2021 manakala yang kedua setahun kemudian.

Chin juga dilaporkan berkata semalam bahawa Agensi Nuklear Malaysia akan memberi penjelasan dalam tempoh terdekat mengenai impak letupan dan kebocoran radiasi di loji di Jepun itu. 'Jangan percaya SMS'

Muhyiddin juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya Malaysia juga terdedah kepada bahaya kesan radiasi akibat kebocoran loji janakuasa nuklear Fakushima Daiichi di Jepun.

NONEMenyifatkan penyebaran sms itu sebagai tidak bertanggungjawab, Muhyiddin berkata Malaysia selamat daripada sebarang ancaman dengan agensi terbabit sentiasa memantau perkembangan di Jepun dan di negara ini.

Justeru beliau meminta orang ramai supaya tidak terpedaya atau panik sebelum meneliti kesahihan maklumat tersebut.

"SMS itu dikeluarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Jangan kita mudah menerima apa sahaja yang dilaporkan itu dengan tidak menyemak.

"Jangan kita timbulkan kebimbangan yang agak luar biasa, walaupun berlaku di Jepun tetapi sehingga orang ramai rasa takut untuk mengurus atau buat kerja seperti biasa," katanya.



Tiada ulasan: