Sabtu, 26 Mac 2011

YANG UNTUK DAN DAPAT FAEDAH IALAH SYAITAN SERTA KUNCU2 SYAITANLAH...KERJANYA MEMBINA DAN MENYUBURKAN PERKARA MAKSIAT SERTA DERHAKA PADA ALLAH SWT

Haris Zalkapli: Siapa dapat faedah isu video seks?
Haris Zalkapli

Pagi ini, kemunculan satu rakaman aksi seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang mencetuskan pelbagai reaksi daripada kelompok politik negara.

Pendedahan rakaman seks terbaharu melibatkan ahli politik ini menambahkan lagi isu sensasi dalam politik negara, ketika topik liwat semakin terhakis nilai kejutannya ekoran terlalu banyak muncul di media dan kempen politik.

Reaksi awal banyak pihak memperlihatkan keadaan terkejut dan defensif, menafikan penglibatan seorang pemimpin pembangkang walaupun dipercayai belum menonton rakaman itu.

Tidak dapat tidak, pihak pemerintah terkait dengan pendedahan itu disebabkan bacaan politik semasa yang sedang bersedia menghadapi pilihan raya di Sarawak dan seluruh negara selepas itu.

Dalam suasana politik yang panas pada masa ini, tidak dapat dielakkan kemunculan rakaman itu dikaitkan dengan kepentingan pihak tertentu untuk mendapat faedah daripada kesan pendedahan itu.

Dari sudut jangka pendek, pihak yang menentang tokoh yang disasarkan oleh pendedahan rakaman itu berpotensi mendapat manfaat besar.

Pihak lain, termasuk yang mempunyai hubungan dengan tokoh yang didakwa terlibat itu, boleh turut sama terpalit dengan kesan negatif.

Dalam perang persepsi yang ganas dan tidak beretika pada masa kini, setiap peluang digunakan sebaiknya oleh semua yang berkepentingan.

Seperti yang pernah berlaku ekoran satu pendedahan daripada WikiLeaks sebelum ini, pengesahan fakta tidak lagi menjadi penting bagi pihak yang mahu mengeksploit, tetapi persepsi yang tercetus daripada pendedahan itu yang mahu dimanfaatkan.

Perbincangan mengenai isu terbabit akhirnya hanya menyentuh aspek sensasi dan menafikan penilaian kritikal terhadap hal yang mendasar.

Kes-kes ini menunjukkan bagaimana dengan mudah politik menguasai sehingga persepsi menjadi perkara yang paling mahu dimanfaatkan selagi yang boleh.

Dalam kes pendedahan terbaharu ini, siapapun yang mendapat manfaatnya, dalam tempoh jangka panjang, politik negara bakal terkesan oleh permainan politik yang kotor dan tidak bertanggungjawab.

Pendedahan rakaman terbaharu ini menambahkan catatan buruk sejarah politik negara yang menyaksikan rakaman curi aksi seks menjadi berita utama politik.

Perhatian ramai juga tertumpu pada hal sensasi itu, mengangkat topik seperti itu lebih tinggi dalam wacana politik tempatan dan menjadikan isu-isu yang lebih penting dan mendasar semakin terpinggir.

Isu-isu sensasi yang malangnya lebih mudah menarik perhatian khalayak semakin berpeluang mengambil bahagian terpenting dan terbesar dan perbincangan politik yang sepatutnya dijalankan berdasar isu-isu yang lebih mencerahkan.

Personaliti, skandal dan pelbagai isu sensasi rendah akhirnya menjadi tumpuan ramai, menenggelamkan lagi isu-isu seperti ideologi, program parti-parti politik dan sebagainya yang lebih memberi peluang untuk membuat penilaian yang bijak.

Isu skandal yang melibatkan moral bukanlah tidak penting kerana berkait dengan integriti tokoh-tokoh politik, tetapi sensasionalisme yang dicetuskan ini menjatuhkan wacana politik nasional ke satu tahap yang lebih rendah lagi.

Pemilihan jalan pendedahan skandal seperti yang berlaku hari ini juga mendedahkan kelemahan dalam politik negara kita, yang mendedahkan ketidakmampuan berdepan di medan demokrasi lalu mencari jalan lain untuk menjatuhkan lawan.

Pendedahan rakaman seks hari ini telahpun mencetuskan perbincangan hangat di dunia siber dan dalam kalangan media dan politik.

Satu rasionaliti dan sikap kritikal perlu muncul dan ditunjukkan dalam medan politik negara hari ini, supaya kejadian sensasi ini tidak menjadi isu yang mendominasi politik negara, mengatasi pertimbangan-pertimbangan yang sepatutnya diutamakan dalam pembangunan negara kita.


Kad kredit: Prestij atau bencana

Ibnu Lazim

Langkah terbaru Bank Negara menguatkuasakan serta-merta peraturan baru kad kredit memperlihatkan gejala penggunaan kad kredit di kalangan rakyat Malaysia sudah mencapai tahap yang membimbangkan. Sejumlah besar anak-anak muda kita yang diisytiharkan muflis adalah akibat dari penggunaan kad kredit yang tidak terkawal. Walaupun ada kajian terbaru yang menunjukkan bahawa kemudahan pinjaman kereta tanpa deposit adalah penyumbang besar kepada kemuflisan itu. Namun dari kajian keseluruhan sebelum itu, kad kredit adalah penyumbang terbesar kepada gejala ini yang dialami oleh anak-anak muda kita khasnya bangsa Melayu.

Antara langkah terbaru yang diumumkan oleh Bank Negara ialah menaikkan had minimum pendapatan tahunan dari RM18,000 kepada RM24,000 setahun bagi kelayakan untuk pemohon baru untuk mendapatkan kemudahan kad plastik itu (Berita Harian, 19 Mac 2011). Peraturan lain ialah mereka yang berpendapatan sehingga RM36,000 samada pemohon baru atau pemegang kad yang sedia ada, hanya layak memegang kad itu dari dua bank sahaja. Sebelum ini ada yang memegang hingga lapan kad kredit dalam satu-satu masa. Timbalan Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd Yunus pada taklimat medianya kelmarin berkata, berikutan langkah itu, pemegang kad berpendapatan RM36,000 setahun atau kurang yang mempunyai kad kredit lebih dari dua bank diberi tempuh sehingga hujung tahun ini untuk mengurangkannya kepada dua bank sahaja.”Golongan ini diberi masa dua tahun untuk menyelesaikan baki tertunggak untuk kad yang dibatalkan itu,” katanya. Kira-kira 50% dari 3.2 juta pemegang kad kredit di Malaysia ketika ini mempunyai mempunyai pendapatan tahunan RM36,000 atau pun kurang dari itu.

Kad Kredit menurut Kamus Oxford adalah satu kad yang dikeluarkan oleh bank atau mana-mana pihak lain yang mana ia memberi kemudahan kepada pemegangnya untuk memperolehi barang-barang keperluannya secara tangguh bayaran (hutang) (2009, Adil Akhyar). Manakala hutang dari sudut syarak menurut takrifan AlQadhi Ibnu Arabi ialah urusan pemindahan hak milik (secara jual beli atau seumpama dengannya) yang mana salah satu pihak secara tunai manakala pihak yang kedua secara tangguh di atas tanggungannya (dengan masa yang ditetapkan atau pun tidak).

Takrif yang dikeluarkan oleh Ketetapan Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia bagi kad kredit adalah satu bentuk penyata sandaran (penyata keterangan) yang diiktiraf, diberikan oleh pengeluar kepada mana-mana individu atau pihak yang diiktiraf melalui kontrak kepada kedua-dua belah pihak di mana ia membolehkan pemegangnya membuat pembelian barangan atau khidmat-khidmat dari semua pihak yang mengiktiraf pennyataan sandaran (kad kredit) tadi, tanpa perlu membuat pembayaran tunai kerana ia mengandungi jaminan pembayaran dari pihak pengeluar (2009,Aidil Akhyar).

Kad kredit dan hukum syariah

Secara am, kontrak yang dibuat di antara pemegang kad, pengeluar dan pihak ketiga adalah diiktiraf dalam pandangan Islam. Pandangan yang terkuat dalam hal ini adalah hubungan AlKafalah (jaminan), di mana Kafil adalah penjamin atau pengeluar kad, makful ialah yang dijamin iaitu pemegang kad, dan makful lahu adalah peniaga. Semua adalah diiktiraf dan sah di sisi Islam. Kesannya, semua pembelian yang dibuat dengan kad ini, pihak peniaga tiada lagi hak tuntutan ke atas pemegang kad, kerana hak itu telah berpindah kepada pengeluar kad. Maka peniaga tidak harus menuntutnya dari pemegang kad. Demikian pandangan yang diambil pengertiannya dari Hassan AlBasri, Ibnu Sirin, Ibnu Hazm dan majoriti fuqaha (2009, Aidil Akhyar).

Yuran penyertaan, pembaharuan dan penukaran kad

Yuran itu hukumnya harus, tidak ada masalah dari sudut syarak. Ia dianggap sebagai upah yang telah ditetapkan oleh pihak pengeluar terhadap khidmat yang disediakannya. Juga harus jika terdapat perbezaan jumlah yuran khidmat bergantung kepada perbezaan jenis khidmat, tetapi dengan syarat jumlah kos tersebut mestilah setara dengan khidmat yang diberikan, jika ia melebihi kos khidmat yang diberikan, jadilah ia riba yang diharamkan.

Ada pula pihak bank pengeluar kad meletakkan syarat dalam kontraknya dengan para peniaga sejumlah kos tertentu dalam bentuk peratusan yang dipotong dari bil peniaga, yang mana biasanya berlegar di sekitar 2 hingga 8 peratus. Hasilnya , apabila peniaga membuat tuntutan kepada bank pengeluar, maka bank akan segera menunaikan bil iaitu setelah dipotong jumlah kos yang dibicarakan tadi. Kemudian pihak bank akan menuntut kos asal (tanpa potongan) dari pemegang kad .Hukumnya harus berdasarkan pendapat mazhab Hanafi yang sah (Fatawa Hindiyyah), juga fatawa AlBazaziyah, AlMabsut dan lain-lain).

Budaya berhutang dalam masyarakat kini

Hari ini kehidupan manusia termasuk individu dan masyarakat amat jarang terlepas dari masalah hutang. Sekurang-kurangnya ketika membeli rumah dan kereta mereka berhutang. Antara lain ini disebabkan kedua-dua keperluan itu agak mahal harganya dan jarang ahli masyarakat kita dapat membelinya secara tunai. Islam pula tidaklah melarang umatnya berhutang, bahkan mengharuskannya ketika seseorang itu berhadapan dengan kesempitan hidup yang melinatkan masalah kewangan. Dan ayat AlQuran tentang hutang adalah paling detail dan panjang sekali sehingga memakan satu muka dihuraikan tentang hutang dan permasalahannya sahaja iaitu ayat 282 Surah Al Baqarah.

Namun begitu Islam mengharamkan riba, walaupun menghalalkan jual beli seperti dalam ayat yang bermaksud “ Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” Namun dalam suasana ekonomi kini sukar sekali kita mengelak dari tempias riba itu, hatta bank Islam sendiripun tidaklah seratus peratus terlepas dari riba. Dalam keadaan dharurat seperti ini kita dibolehkan dengan kaedah bila sesuatu perkara itu sudah begitu meluas sehingga kita tidak dapat lari darinya maka dibolehkan kita mengambilnya, namun kita harus meminimakan riba itu sedapat mungkin. Ia juga berdasarkan kaedah syariah bahawa setisp dharurat itu ditentukan dengan kadarnya.

Kad kredit dan budaya berhutang

Seperti yang telah disinggung di atas, penggunaan kad kredit adalah diharuskan oleh Islam. Namun sesetengah ahli masyarakat kita berbangga dengan penggunaan kad ini yang seringnya akan menimbulkan masalah, khasnya apabila penggunaannya tidak dikawal. Mereka yang memiliki kad kredit tentulah mempunyai kemampuan kewangan yang tinggi, jika tidak pihak bank tidak akan membenarkan penggunaannya. Namun kad plastik ini boleh menyebabkan unsur riba berleluasa di kalangan masyarakat, khasnya apabila pengguna atau pemilik kad itu membuat pembayaran minimum sahaja pada setiap bil yang dihantar oleh pihak bank. Apabila ini terjadi, baki yang masih tinggal dalam akaun seseorang itu akan dikenakan caj dalam kadar tertentu, biasanya 1.5% sebulan atau 18% setahun. Apabila ini berlaku caj atau bunga yang dikenakan kepada pemilik kad adalah riba, kerana ianya adalah tambahan kepada baki yang tinggal dengan peratus tertentu. Lama kelamaan hutang pemilik kad akan semakin meningkat dan akhirnya akan menimbulkan masalah bila pemilik tidak lagi mampu membayar hutang yang kian bertompok itu. Di sinilah kemungkinan diisytiharkan muflis itu timbul.

Namun jika seseorang pemegang kad membayar semua jumlah yang tertera dalam bil bulanannya, pihak bank tidak akan mengenakan apa-apa caj kecuali pada proses pembelian pertama sahaja. Maka di sini seseorang itu tidak dapat dikenakan caj atau riba oleh pihak bank walaupun syubhat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Sebab itulah agaknya dalam satu kenyataannya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyarankan penggunaan kad debit . Kad debit boleh mengawal keseimbangan tunai dan mengelakkan dari berhutang (Kosmo, 19 Mac 2011). Selain kad debit, kad caj seperti Dinners Club adalah lebih baik dari kad kredit, kerana pemiliknya harus membayar kesemua jumlah transaksi pada setiap bil bulanan yang diterima. Hal ini dapat mengelakkan dari gejala hutang dan dikenakan kadar bunga yang tinggi.

Kesimpulan

Penggunaan kad kredit tidaklah dilarang oleh Islam seperti yang telah dijelaskan di atas, namun apa yang penting adalah cara penggunaannya dan kawalan berbelanja dalam penggunaan kad kredit. Penggunaan kad kredit sebenarnya memperlihatkan kita tidak bijak mengurus wang dalam kehidupan sehrian. Ini termasuklah pinjaman peribadi yang ditawarkan oleh pihak bank dan koperasi. Kita seharusnya mengelak dari kedua-duanya agar ia tidak menjerat diri kita sendiri pada masa hadapan. Penggunaan kad kredit dan pinjaman peribadi adalah merupakan kelemahan dalam pengurusan kewangan di mana kita mungkin suatu hari terjebak dalam gejala muflis, sesuatu yang harus dielakkan oleh semua orang (2009, Azizi Ali). Walaupun Islam membenarkan berhutang, tetapi berhutang akan merendahkan taraf seseorang itu dalam kehidupannya sebagai manusia yang terhormat, bebas dan merdeka dari sebarang ikatan, kecuali ikatan dengan Allah Subhanahu Wa Taala.


Cukup banyak isu untuk singkirkan Taib
Ahmad Lutfi Othman
Pada tanggapan umum, laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya mudah disekat oleh "simpanan tetap" BN di Sarawak. Dalam pilihan raya umum 2008, tsunami politik tidak berjaya melanda Laut China Selatan sehingga Sarawak (dan Sarawak) terselamat daripada badai yang mengejutkan itu. Kini, sebelum PRU13 menjelma, keutuhan BN akan diuji lebih awal dalam pilihan raya negeri ke-10, yang mesti diadakan sebelum 24 Julai depan.

Meskipun isu-isu politik di Sarawak semakin panas dan heboh diperkatakan bukan setakat di sekitar Kuching, malah sudah diangkat menjadi agenda nasional -- dan turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa -- namun di atas kertas seolah-olah kekuatan BN di bawah teraju Ketua Menteri, Taib Mahmud, yang genap memerintah 30 tahun, sukar digugat.

Sekali pandang, cabaran paling getir yang dialami Taib mungkin dalam pilihan raya negeri 1987 apabila Dun Sarawak terpaksa dibubarkan pada 13 Mac berikutan tuntutan 27 Adun (jumlah Adun ketika itu 48 orang) mendesak Taib meletakkan jawatan atau menghadapi undi tidak percaya. Bekas ketua menteri, Abdul Rahman Yaakub, yang juga bapa saudara Taib mengetuai Kumpulan Maju (terdiri dari Permas dan PBDS), yang popular dengan peristiwa Hotel Ming Court.

Kumpulan Maju berjaya merebut 20 kerusi, tetapi kebanyakannya (15 kerusi) di kawasan majoriti kaum Dayak. Rahman sendiri kalah. Belum pun berakhir tahun 1987, sembilan Adun Kumpulan Maju telah melompat parti, dan dengan itu saingan sengit buat Taib boleh dikira berakhir.

Selepas 25 tahun, Taib masih kekal berkuasa, tetapi dicemari dengan rekod buruk penyalahgunaan kuasa dan pengumpulan kekayaan yang dahsyat. Tempoh tiga dekad Taib berkuasa mengingatkan rakyat Malaysia tentang pemerintahan diktator Mesir, Hosni Mubarak, yang akhirnya berjaya ditumbangkan melalui revolusi rakyat.

Maka ramai mula membayangkan, jika Mubarak yang disokong hampir 100 peratus dalam setiap kali pilihan raya boleh diusir dengan begitu hina, apakah Taib yang nampak gagah langsung tidak terusik dalam siri pilihan raya negeri sebelum ini akan terus bertakhta, sambil menimbun kekayaan dan "merampas tanah" untuk diri, anak-anak, saudara-mara, suku-sakat dan kroninya?

Namun, timbul persoalan besar, apakah rakyat Sarawak, terutama yang tinggal di kawasan pedalaman, yang terhimpit dengan kemiskinan, kedaifan dan penindasan, mampu serta bersedia untuk berubah? Apakah mereka akses dengan maklumat dan pendedahan tentang penyelewengan Taib yang banyak disebarkan melalui media baru? Apa lagi dalam politik Sarawak, khabarnya budaya samseng ugut-mengugut masih bermaharajela dan ini agak membimbangkan golongan prihatin yang mahu menyedarkan komuniti mereka terhadap kezaliman yang berlaku.

Perhimpunan politik terutama membabitkan penjelasan terhadap isu-isu rakyat bawahan selalu dihalang. Taib dikatakan memperalatkan pihak polis bagi kepentingan diri dan survival BN. Beberapa tokoh politik Semenanjung juga dihalang daripada memasuki negeri itu.

Sarawak menyaksikan jurang pendapatan dan kehidupan yang cukup ketara di antara golongan kaya dengan kelompok miskin. Ahli-ahli politik dan kroni Taib mengumpulkemewahan yang melampau-lampau. Negeri makmur terutama dengan hasil mahsul buminya tetapi majoriti rakyat papa kedana. Apa pun, rakyat yang dikepung kemelaratan dan sentiasa terikat dengan bantuan kerajaan, seringkali sukar melakukan reformasi.

Dun Sarawak menawarkan 71 kerusi, BN menawan 63; pesaing terdekat adalah DAP yang menguasai 6 kerusi, manakala KeADILan dan Parti Cinta Malaysia, masing-masing satu. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dikemudi Taib menang semua 35 kerusi yang ditandinginya. Hanya SUPP (Sarawak United Peoples' Party) yang bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina menerima tamparan hebat daripada DAP apabila ramai calon-calonnya kalah pada 2006, dan yang terakhir calonnya juga tewas dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu.

Gelombang peralihan undi masyarakat Tionghoa yang melanda Semenanjung pada 2008 -- dan momentumnya berkekalan di Sibu pada Mei 2010 -- dijangka banyak memberi kelebihan kepada DAP dalam pilihan raya umum negeri tidak lama lagi. Ramai pemerhati politik meramalkan DAP boleh menambah jumlah Adunnya menjadi 12. Sarawak mempunyai 15 kerusi yang majoritinya pengundinya Cina.

Justeru, Taib dilihat cuba memberi lebih tumpuan untuk menarik hati pengundi Cina dan memperkukuhkan kekuatan SUPP. Bagaimanapun, trend pengundian masyarakat Cina dijangka tidak berubah bukan sahaja di Sarawak, tetapi juga di Semenanjung. Beberapa "pembaharuan" yang cuba diperkenal Perdana Menteri, Najib Razak seperti slogan 1Malaysia seperti tidak berbekas di kalangan orang Cina. Namun, sekiranya SUPP tewas semua kerusi pun, majoriti dua pertiga BN masih gagal dinafikan.

Difahamkan, pengundi Melayu-Melanau agak payah untuk menolak BN. Kesedaran untuk berubah dirasakan lebih mudah di kalangan pengundi Iban. Kebetulan isu diskriminasi dan rampasan tanah adat NCR banyak membabitkan mereka (tetapi juga tidak terkecuali masyarakat Melanau, asal-usul Taib sendiri). Seperti kata Pengerusi KeADILan negeri, Baru Bian, tanah bagi majoriti penduduk Sarawak ibarat nyawa kerana kerana kehidupan mereka sejak nenek moyang sangat berkait rapat dengan tanah adat itu. Isu rampasan tanah dijangka menjadi polemik besar dalam kempen pilihan raya nanti.


Adun Padungan, Dominique Ng semasa mengulas isu rampasan tanah penempatan kaum Iban, menegaskan: "Ketamakan keluarga Taib tiada hadnya, dan telah melampaui batasan rasa malu. Mereka tetap akan mencuri, dan mencuri lagi, sepanjang masa mereka dapat lakukannya, sehinggalah mereka dilucutkan dari kekuasaan atau mati."

Terbaru, kes tuntutan harta sepencarian sebanyak RM400 juta isteri anak Taib, Shahnaz Majid terhadap suaminya, Mahmud Abu Bekir Taib cukup mengejutkan. Kekayaan Abu Bekir dijangka melebihi RM1.3 bilion. "Itu baru seorang anak, bagaimana dengan tiga lagi anaknya yang lain? Bagaimana dengan adik beradiknya pula, lelaki dan wanita, juga tidak terkecuali dengan aset ipar-duainya. Hampir semua suku-sakatnya terbabit dengan kontrak kerajaan negeri tanpa melalui tender terbuka," kata seorang penganalisis politik yang tidak mahu dikenali.

"Harta mereka banyak tersimpan di luar negara, tetapi Taib dan suku-sakatnya tidak segan silu memperagakan kemewahan yang diperolehi daripada khazanah negeri. Cuba anda rujuk laman web sarawakreport.org, banyak aksi-aksi menjengkelkan dirakam. Tuduhan keluarga Taib memonopoli projek kerajaan negeri, tanah dan balak disertakan dengan dokumen sahih," ujarnya.



Kes liwat tuduhan palsu konspirator jahat
Mohd Rashidi Hasan
Mohd Rashidi Hassan
SEJAK dari awal pertuduhan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah konspirasi jahat Umno-Barisan Nasional semata-mata.

Umno-BN hanya mahu membunuh karektor peribadi Anwar, memalukan beliau dan menganiaya beliau dengan suatu pertuduhan yang jahat dan zalim.

Apabila kes liwat ke-2 berlaku, wujud tanggapan pihak-pihak tertentu yang menunjukkan keraguan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Mereka menerima kes liwat pada tahun 1998, tetapi ada antara mereka yang meragui Anwar selepas didakwa oleh Saiful yang menampilkan diri sebagai ikhlas, suci, dahi hitam dan bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta.

Namun selepas perbicaraan berlangsung, semua konspirasi dan kedangkalan Umno-BN terbongkar, kejahatan Saiful mula terlondeh satu persatu.

Media talibarut Umno-BN menyembunyikan fakta sebenar. Menyembunyikan apa yang berlaku di mahkamah. Menutup segala ruang yang mendedahkan kejahatan pemimpin Umno dan hanya melaporkan laporan berat sebelah.

Anwar digambarkan sebagai pelaku seks songsang yang ganas. Didedah kononnya berlaku seks oral, penetrasi liwat melalui punggung dan sebagainya.

Anwar dan keluarga dimalukan dalam episod jahat yang memualkan, gara-gara kerakusan kuasa pemimpin Umno-BN.

Kejahatan mereka untuk menyembunyikan fakta akhir gagal ditutup dengan keterangan di mahkamah. Beberapa fakta besar yang dibongkar di mahkamah mendedahkan semua kedangkalan Umno-BN.

Pertama, menerusi keterangan pegawai penyiasat polis, Superitendan Jude Blacious Pereira jelas membuktikan pembabitan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib dan Rosmah seringkali menafikan pembabitan mereka, kononnya pertuduhan liwat hanyalah antarta masalah bekas kakitangan dan majikan.

Kerajaan dan Umno-BN tidak ada kena mengena kata Najib. Okay, itu dakwaan Najib, jika mereka berdua tidak ada kena mengena, mengapa pihak polis mengambil keterangan dari keduanya?

Supt Jude cuba mengelak untuk menyebut nama Najib dan Rosmah, tetapi selepas ditekan peguam Karpal Singh, beliau memperakui menyoal siasat Rosmah dan Najib dalam kes liwat.

Hari ini rakyat mahu tahu mengapa Najib dan Rosmah menemui Saiful pada 24 Jun 2008, manakala kejadian liwat didakwa berlaku pada 26 Jun?

Kemudian Saiful membuat laporan polis dan pemeriksaan doktor pada 28 Jun 2008. Apa kaitan kedua mereka dalam kes ini dan apakah keduanya menjadi perancang utama untuk memerangkap Anwar?

Najib dan Rosmah harus disapina ke mahkamah untuk digrill peguam Karpal.

Fakta kedua lebih mengejutkan. Dibongkar di mahkamah, terdapat sepuluh sampel profail DNA (Deoxyribo Nucleic Acid) yang berbeza pada rektum Saiful.

Wujud persoalan, jika Saiful seorang pendakwa yang genuine, apakah penjelasan yang harus beliau berikan dengan penemuan banyak spesimen DNA yang berbeza dalam usus beliau?

Yang media talibarut Umno-BN hebohkan adalah mengenai penemuan DNA yang ditanda lelaki Y (male Y) yang hendak dipadankan dengan Anwar. Namun segala spesimen yang didakwa milik male Y, yang diperolehi dari tuala Good Morning dan berus gigi ditolak oleh mahkamah.

Apa pula jawapan Umno-BN terhadap wujudnya spesimen male (lelaki)lain yang ditanda X, Z dan sebagainya? Ia milik siapa? Persoalan yang ditanya hari ini adalah, apakah Saiful seorang yang bersih atau dia memang kaki b****t?

Masalah besar yang dihadapi Umno-BN dalam kes ini antaranya adalah, apabila Saiful mendakwa membuat pemeriksaan doktor pada 28 Jun, bermakna pada waktu itulah duburnya diperiksa dan spesimen DNA yang didakwa milik Anwar diambil. Iaitu pada 28 Jun.

Tetapi mengapa sampel DNA yang dikatakan milik Anwar, disimpan dalam almari (tidak di dalam peti sejuk), oleh Superitendan Polis, Jude Blacious Prereira, ditanda pada 26 Jun 2008? Bagaimana spesimen itu boleh wujud dua hari lebih awal?

Isu yang ketiga adalah isu proforma atau laporan doktor setebal 18 muka surat, yang didakwa di dalamnya terdapat laporan mengenai dakwaan liwat.

Sebelum proforma doktor ini dikemukakan di mahkamah, Saiful mendakwa beliau telah diliwat oleh Anwar, tetapi dalam proforma yang ditulis oleh doktor tercatat di dalamnya perkataan attempt sodomy (percubaan meliwat).

Jelas di sini, dakwaan Saiful bercanggah dengan laporan perubatan doktor.

Perkara lain yang menimbulkan keraguan kepada proforma tersebut adalah tiga tulisan tangan yang berbeza. Bermakna ada kemungkinan ada tiga doktor yang menulis laporan perubatan tersebut.

Namun peguam Karpal berjaya membongkar salahlaku pihak terbabit di mahkamah, apabila dua orang doktor mengakui tulisan tangan mereka (dalam laporan proforma) hanya meliputi dua atau tiga muka surat sahaja.

Maka sekali lagi dipersoalkan, siapakah yang mengisi berbelas-belas laporan proforma doktor yang ditulis secara tulisan tangan?

Apabila dipadankan tulisan tangan dan laporan di mahkamah, maka sekali lagi dikejutkan bahawa orang yang mengisi laporan proforma terbabit adalah Supt Jude.

Apa punya gila sistem negara kita? Mengapa polis boleh mengambil alih tugas doktor untuk menulis laporan perubatan?

Semua keterangan ini hanya menunjukkan bahawa usaha Umno-BN untuk memerangkap Anwar, diadakan secara tergesa-gesa dan kelam kabut.

Sebab itu mereka menekan hakim supaya menafikan access peguam Anwar kepada segala dokumen pertuduhan terhadap beliau. Butiran dan segala keterangan yang mendakwa Anwar disembunyikan.

Sekali lagi dipersoalkan, jika pertuduhan terhadap Anwar sahih pada Umno-BN, kenapa hendak takut berikan dokumen pertuduhan terhadap beliau? Anwar kena tuduh, beliau berhak mengetahui butiran pertuduhan. Hanya 'pondan Siam' sahaja yang 'baling batu sembunyi tangan'.

Banyak lagi aspek-aspek teknikal yang boleh dipertikaikan. Semuanya merumuskan bahawa hujah pihak Umno-BN untuk mendakwa Anwar sebagai seorang peliwat sudah tumpul dan dimatikan.

Sebaliknya, yang terbongkar hanyalah konspirasi jahat Umno-BN untuk menganiaya Anwar. Sekali lagi rakyat akan menyaksikan Anwar dizalimi oleh Umno-BN dan PM Najib nampaknya seolah-olah mahu mengikuti jejak Dr Mahathir Mohamad.

Hakikatnya tuduhan terhadap Anwar hanyalah palsu. Tidak ada kes. Ia harus ditarik balik dan dibakul sampahkan.

Apa yang dilakukan Umno-BN terhadap Anwar hanyalah menambah kebencian rakyat dan keinginan rakyat meluap-luap untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Najib seberapa segera.



Demo jalan raya untuk demokrasi pilihan raya
Mohd Nasir Awang

Alhamdulillah, satu permulaan sangat baik untuk Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno (HKR-PGU) di Besut, malam tadi (Jumaat, 18 Mac). Dianggarkan lebih 10 ribu hadirin membanjiri Dataran PGU yang terletak di belakang Masjid Bandar Jertih. Diharap sambutan luar biasa sebegitu berlanjutan dalam sesi-sesi seterusnya sepanjang hari ini hingga ke penghujung acara tengah malam nanti.

Sepertimana kebiasaan bagi mana-mana perhimpunan besar dianjurkan PAS, majlis malam tadi juga berlangsung penuh tertib dan adab. Lautan hadirin seramai itu masih berupaya meminimakan sebarang kesulitan, kacau-ganggu atau apa-apa kesan negatif terhadap pihak yang tidak ikut serta, khususnya penduduk sekitar lokasi.

Tidak syak lagi ketertiban itulah antara yang meyakinkan kepimpinan PAS untuk menganjurkan sebarang perhimpunan berskala besar. Mereka tahu ahli dan penyokong parti sangat mengutamakan disiplin diri. Mereka tahu adab, sama ada ketika menggunakan jalan raya, sepanjang berhimpun, mahu pun bersurai.

Hakikat itu mewajarkan pendirian kita betapa pihak lain tidak sepatutnya gusar atau menelah dengan berbagai andaian negatif dan buruk sekiranya PAS berhasrat mengadakan sebarang perhimpunan. Lebih-lebih lagi itulah antara isyarat dan penegasan penting dalam ucapan penceramah utama malam tadi, Haji Mohamad Sabu.

Beliau yang juga pengerusi lajnah berkaitan mobilisasi massa untuk demokrasi sekali lagi mengulangi pendiriannya berhubung kepentingan rakyat berhimpun menunjukkan sikap terhadap sebarang salahlaku atau kepincangan parti pemerintah.

Isu paling ditekankan beliau ialah soal pengurusan pilihan raya negara ini yang disifatkannya masih belum meyakinkan. Rakyat memang tidak menilai keadaan proses demokrasi itu setakat ini diurus secara adil, telus dan bersih.

Banyak sangat kepincangan dan kelompangan dalam urustadbir pilihan raya kita. Kita telah menyaksikan bagaimana kemuncak rasa benci dan muak rakyat terhadap penyelewengan dan ketidakadilan proses pilihan raya telah membuahkan satu perhimpunan lebih 100 ribu rakyat di ibu negara beberapa tahun lalu.

Mereka menuntut pilihan raya negara diurus secara adil dan bersih. Antaranya, daftar pemilih dibersihkan daripada sebarang perkara meragukan, pendaftaran pemilih dibuat secara automatik, penghapusan undi pos dan penggunaan dakwat kekal untuk mengelakkan pengundian berulang. Rakyat juga menuntut akses lebih luas dan adil kepada parti pembangkang dalam media arus perdana, termasuk yang dikuasai kerajaan.

Seluruh negara gempar dengan komitmen luar biasa ditunjukkan rakyat menuntut keadilan demokrasi. Pada suatu peringkat Barisan Nasional (BN) kelihatan seolah-olah bakal meraikan tuntutan itu. Beberapa aspek perjalanan pilihan raya dikatakan lebih telus dan adil ketika pilihan raya umum lalu.

Namun, tsunami politik yang terhasil daripada proses lebih demokratik itu tidak memihak kepada BN. Ia tumbang di lima negeri dan hilang penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen.
.
“Inilah bukti, apabila demokrasi dilaksanakan dengan sebenarnya, rakyat diberi peluang memilih secara adil, BN boleh ditumbangkang. Betul atau tidak?”, terjah Mohamad Sabu, dengan gaya yang menjadi ‘trademark’ beliau itu.

Menurutnya, ekoran keputusan mengejutkan itu BN seakan hilang punca. Riak dan tingkahnya selepas itu hingga kini tidak menampakkan ia bersedia mengulangi proses pemilihan setelus pilihan raya 2008. Ia jelas tidak menguntungkan BN.

Justeru, rakyat tidak meletakkan harapan tinggi untuk melihat proses demokrasi lebih baik dalam pilihan raya nanti. Setakat ini BN bukan sahaja tidak menunjukkan komitmen meyakinkan untuk memenuhi tuntutan rakyat.

Pendaftaran pengundi secara automatik masih dalam perbahasan. Penggunaan dakwat kekal belum diterima, pembersihan daftar pemilih tidak dilakukan. Keadilan media untuk pembangkang pula suatu yang masih terlalu jauh untuk direalisasikan.

Paling mengusik kesabaran rakyat ialah pendirian kerajaan berhubung undi pos. Jangan dikatakan ia bakal dihapuskan, kerajaan sebaliknya berura-ura memperkasa dan memperbanyakkan lagi kategori pemilih yang layak didaftarkan sebagai pengundi pos.

Sebelum ini yang disenaraikan sebagai pengundi kategori itu majoritinya adalah anggota pasukan keselamatan, iaitu polis dan tentera. Namun kedengaran kebelakangan ini hasrat menjadikan suami atau isteri mereka pula sebagai pengundi pos. Bahkan, kecenderungan itu juga diura-ura turut melibatkan anggota pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

“Jika benar anggota Rela pun nak dijadikan pengundi pos, ini terang-terang usaha menyelamatkan BN. Awas! Kita memberi amaran, kita tidak akan teragak-agak untuk sekali lagi turun ke jalan raya,” Mohamad Sabu memberi amarannya, disambut laungan takbir hadirin.

Beliau menafsirkan pendirian meragukan ditunjukkan kerajaan, terutama pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang seakan berusaha menukar status anggota Rela daripada pemilih biasa kepada pengundi pos yang banyak diperkatakan masyarakat sebelum ini.

Semua kita akui undi pos setakat ini tidak pernah memihak kepada pembangkang. Ia bagaikan deposit tetap buat BN. Sebab itu sebarang usaha memperluaskan kategori pemilih yang layak didaftarkan sebagai pengundi pos secara mudahnya memang boleh dianggap usaha menambah undi tetap untuk BN. Logik, bukan?

Ertinya undi pos adalah perkara yang sering menjadi bahan utama pertikaian. Ia dikaitkan sebagai lambang ketidaktelusan dan taktik jahat BN mengekalkan kuasa. Ia juga dilihat medan paling subur untuk penipuan BN demi mendapatkan undi tinggi.

Apatah lagi kumpulan pengundi pos berada dalam persekitaran yang tertakluk sepenuhnya kepada manipulasi kuasa dan kawalan sepenuhnya oleh pihak-pihak yang menguntungkan BN selaku kerajaan.

Justeru, jika benar Rela turut dijadikan undi pos, ia sebenarnya menambahkan kekecewaan rakyat dan memburukkan persepsi tidak telus perjalanan proses demokrasi negara.

Apakah rakyat harus berdiam diri melihat penodaan itu di depan mata? Apakah menjadi kesalahan sekiranya rakyat sekali lagi menggunakan jalan raya untuk menuntut keadilan pilihan raya?

Itulah intipati persoalan dilontar Mohamad Sabu malam tadi. Beliau menjelaskan apa yang bakal dilakukan PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat adalah bagi memastikan demokrasi terpelihara.

Justeru, kemungkinan demonstrasi jalan raya yang disebutnya adalah dalam rangka memulihkan proses demokrasi dan menuntut keadilan pilihan raya, tidak lebih dari itu.

Sebelum ini Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Harakah 1618, 28 Februari lalu) membayangkan kemungkinan mengadakan himpunan Bersih ke-2 jika kerajaan BN gagal memperbaiki kelemahan sistem pilihan raya diamalkan kini.



Tiada ulasan: