Selasa, 15 Mac 2011

SEMUA PIHAK KENA MUHASABAH..NI KETENTUAN..DUNIA MILIK ALLAH...TAK BOLEH BUAT SESUKA HATI KITA...PENGAJARAN AKAN SAMPAI JUA..BERTAQWALAH...BERTAUBATLAH

PM Jepun sahkan loji bocor, paras sangat tinggi
Mac 15, 11 1:15pm


Radiasi yang merebak dari loji kuasa nuklear yang meletup di timur laut Jepun selepas dilanda tsunami dalam tempoh empat hari, memaksa kerajaan mengarahkan rakyat berdekatan supaya duduk dalam bangunan bagi mengelak terdedah.

NONEDalam kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen seluruh negara, Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan, berkata kesan radiasi yang merebak dari empat reaktor di loji nuklear Fukushima Dai-ichi, wilayah Fukushima adalah kawasan paling diteruk ditimpa gempa bumi berukuran 9.0 magnitud dan ombak tsunami.

"Tahap (radiasi) nampak amat tinggi dan masih wujud risiko lebih tinggi bahawa banyak radiasi akan merebak," kata Kan.

Krisis nuklear itu adalah paling teruk pernah dialami Jepun sejak kejadian pengeboman Hiroshima dan Nagasaki ketika Perang Dunia II.

Kan memberi amaran bahawa lebih banyak kebocoran mungkin berlaku dan meminta orang ramai supaya berada kira-kira 30 kilometer dari Kompleks Fukushima Dai-ichi bagi mengelak daripada terkena radiasi.

NONEOperator reaktor telah meminta bantuan Amerika Syarikat manakala agensi berita Kyodo pula berkata kadar radiasi sembilan kali lebih tinggi daripada kedudukan yang dikesan di Kanagawa dekat Tokyo.

"Kami mengambil segala usaha yang terdaya untuk mengelakkan kebocoran daripada merebak.

"Saya tahu bahawa orang ramai bimbang tetapi saya minta anda bertindak dengan tenang.

"Berlaku kebakaran di reaktor No 4 dan paras radiasi di kawasan sekitar telah meningkat dengan signifikan. Kemungkinna kebocoran radioaktif semakin meningkat," kata Kan yang kelihatan suram.

Dalam pada itu, Setiausaha Ketua Kabinet, Yukio Edano berkata, reaktor keempat di kompleks berkenaan terbakar dan banyak radiasi dilepaskan.

Sampai ke Tokyo

Tahap radiasi dikatakan 400 kali ganda dicatatkan hari ini di wilayah utara ibu negara Jepun, Tokyo selepas gempa bumi memusnahkan loji kuasa nuklear, lapor Kyodo News.

Angin perlahan yang bertiup dari loji nuklear Fukushima Daiishi akan memberi kesan ke atas terhadap ke atas Kyoto termasuk Tokyo.

Tahap radiasi kini dilaporkan pada tahap yang boleh mengancam kesihatan dan penduduk yang berada pada radius 30km daripada loji nuklear dinasihatkan berada di dalam rumah.

NONEPagi tadi, AFP melaporkan satu lagi letupan besar kedengaran di reaktor nuklear berlaku di kawasan yang teruk dilanda nuklear awal hari ini, letupan ketiga sejak Sabtu lalu, kata operator loji.

Sementara itu, pejabat kedutaan Perancis di Jepun menganggarkan paras radioaktif yang bocor daripada loji tenaga nuklear Fukushima, timur laut Jepun, dijangka mungkin sampai ke Tokyo dan kawasan persekitarannya dalam tempoh 10 jam.

Anggaran itu berdasarkan arah tiupan angin semasa di kawasan yang teruk dilanda gempa bumi dan tsunami.

Jarak antara Tokyo dan kawasan loji itu adalah kira-kira 240 kilometer.

Kenyataan yang disiarkan pada laman web kedutaan Perancis bahasa Jepun itu menggesa semua warganya supaya berada dalam bangunan, menutup tingkap dan tidak panik.

- Agensi


Lagi letupan kilang nuklear

TOKYO - Sekurang-kurangnya 11 cedera dalam satu letupan besar reaktor unit ketiga kilang nuklear Jepun, semalam.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano berkata, seramai empat askar peribadi dan tujuh pekerja kilang cedera apabila reaktor unit 3 di kilang nuklear Fukushima Daiichi meletup.

Menurutnya, satu lagi reaktor kehilangan sistem pendingin tidak lama selepas itu, meningkatkan risiko berlaku letupan lain.

Sebelum ini, satu letupan hidrogen berlaku ke atas reaktor unit 1, di kilang nuklear yang sama, Sabtu lalu, sehari selepas gempa bumi dan tsunami melanda timur laut Jepun.

"Setakat ini, seramai 210,000 orang dalam radius 20 kilometer dari kilang tersebut telah dipindah ke kawasan selamat," kata Edano.

Lelaki terselamat dihanyut tsunami


TOKYO - Seorang lelaki berjaya diselamatkan selepas dihanyutkan ombak tsunami sejauh 15 kilometer ke tengah lautan selepas dilihat berpaut pada sekeping kayu, menurut pegawai maritim Jepun, kelmarin.

Hiromitsu Shinkawa, 60, berjaya diselamatkan oleh Pasukan Maritim Jepun selepas dilihat terapung di atas sekeping bumbung di perairan Wilayah Fukushima, dua hari selepas tsunami landa negara itu.

Shinkawa dikatakan dihanyutkan bersama rumahnya selepas tsunami besar membadai timur laut Jepun berikutan gempa bumi 8.9 skala Ritcher yang melanda wilayah itu, Jumaat lalu.

Shinkawa ketika dijumpai, sedarkan diri dan berada dalam keadaan baik ketika diselamatkan dan mangsa dihantar ke hospital berdekatan dengan menaiki helikopter untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

"Saya melarikan diri selepas mengetahui tsunami akan datang tetapi saya berpatah balik untuk mengambil sesuatu di rumah sebelum saya dihanyutkan," katanya.

Kerajaan melaporkan sekurang-kurang 1,000 orang dipercayai kehilangan tempat tinggal dalam bencana itu dan polis menganggarkan lebih 215,000 orang menetap di kawasan kecemasan yang disediakan kerajaan untuk sementara waktu.

Tsunami beri kesan kepada pekerja

ROMPIN - Kementerian Sumber Manusia masih menunggu laporan sejauh mana pelabur Jepun di negara ini mengalami kesan kerugian berikutan gempa bumi besar dan tsunami yang melanda negara matahari terbit itu.

Timbalan Menterinya, Senator Datuk Maznah Mazlan berkata, kesan bencana alam itu secara tidak langsung memberi impak kepada ekonomi pelabur atau syarikat Jepun di negara ini.

Menurutnya, sekiranya pelabur dan syarikat terbabit terjejas akibat bencana itu, pekerja tempatan yang berkhidmat dalam sektor tertentu di negara ini turut akan merasa tempiasnya.

“Jepun sebagai antara negara kuasa ekonomi dunia turut melabur di negara ini dan keadaan ini juga boleh menyebabkan rakyat tempatan yang bekerja di syarikat milik negara itu turut terkena tempiasnya,” katanya.

Maznah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah berkata, kebanyakan pelabur Jepun melabur dalam sektor perkilangan di negara ini.

Menurutnya, dalam menangani tempias krisis itu, kementeriannya telah merangka pelbagai strategi atau kaedah tertentu sekiranya krisis ekonomi melanda seperti dua tahun lalu.

“Maknanya kita di Malaysia perlu bersedia menerima kesan secara langsung dan tidak langsung susulan tragedi tsunami di Jepun kerana sebelum ini, kita juga pernah berhadapan dengan saat getir semasa krisis ekonomi melanda dunia," katanya.

Beliau berkata, antara inisiatif yang disediakan kementerian termasuk membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang terjejas serta memberi latihan semula kepada pekerja terbabit.

“Bagaimanapun situasi yang berlaku itu perlu dikaji dengan lebih mendalam kerana impak ekonomi dunia boleh terjejas jika ekonomi Jepun lumpuh,” katanya.

Jutaan mangsa hidup tanpa air


BEBERAPA anggota menyelamat melakukan gerakan mencari mangsa dekat sebuah kapal yang dihanyutkan ombak tsunami di bandar Higashimatsushima, timur laut Jepun semalam.


SOMA - Berjuta-juta penduduk di bahagian utara Jepun yang musnah dilanda gempa bumi dan tsunami pada Jumaat lalu terpaksa hidup tanpa air, makanan atau peralatan pemanas badan dalam cuaca sejuk yang hampir beku.

Keadaan meruncing itu masuk malam keempat semalam.

Di bandar ini berhampiran Miyagi, negeri yang paling teruk terjejas dalam bencana alam itu, rumah pembakaran mayat di situ tidak dapat menampung jumlah mayat yang dibawa masuk untuk dibakar.

"Kami telah mula membakar mayat tetapi kami boleh menangani cuma 18 mayat sehari. Kami merayu supaya bandar-bandar lain untuk membantu kami," kata seorang pegawai tempatan, Katsuhiko Abe.

Di Jepun, kebanyakan penduduknya memilih membakar mayat sebagai upacara pengebumian selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Namun, seorang pegawai Kementerian Kesihatan, Yukio Okuda berkata, kerajaan semalam mengecualikan kelulusan itu bagi menyegerakan pembakaran mayat-mayat mangsa gempa bumi dan tsunami.

"Situasi semasa amat luar biasa dan banyak rumah mayat tidak dapat menampung jumlah mayat yang banyak Langkah tersebut adalah langkah kecemasan. Kami mahu membantu penduduk di kawasan gempa bumi sebanyak mana yang boleh," kata Okada.

Bencana berkembar yang melanda timur laut Jepun pada Jumaat lalu itu menyebabkan penderitaan yang sukar di bayangkan kepada rakyatnya.

Rakyat negara matahari terbit itu yang hidup makmur sejak perang Dunia Kedua, belum pernah mengalami penderitaan seperti yang berlaku sekarang.


SEORANG wanita kebingungan dan menangis semasa duduk di sebatang jalan raya apabila melihat kemusnahan di bandar Natori, Miyagi, timur Jepun kelmarin.


Banyak kawasan di timur laut Jepun terputus bekalan air bersih, tiada bekalan elektrik dan petrol. Orang ramai terpaksa makan apa sahaja yang ada termasuk mi segera untuk mengalas perut ketika mereka masih bersedih kerana kehilangan orang tersayang dalam bencana itu.

"Orang ramai mengalami kekurangan makanan dan air.

Bantuan yang dijanjikan masih belum sampai," kata seorang pegawai kerajaan di negeri Iwate, Hajime Sato.

Beliau memberitahu, pihaknya menerima cuma 10 peratus daripada bekalan makanan dan bahan keperluan lain yang diperlukan oleh penduduk Iwate.

Bandar ini dilanda ratusan gegaran susulan sejak Jumaat lalu dengan gegaran susulan terbaru sekuat 6.2 pada skala Richter disusuli dengan amaran tsunami semalam. Ketika siren amaran dibunyikan, pihak tentera menangguhkan operasi menyelamat dan mengarahkan orang ramai supaya mencari perlindungan di kawasan tinggi.

Pasukan-pasukan penyelamat tiba di bandar ini untuk kali pertama pada Jumaat lepas bagi mengeluarkan mayat-ma yat mangsa yang tertanam di bawah runtuhan.

Banyak ambulans tiba dan sejumlah beg mayat disusun di kawasan terbuka sementara menunggu pekerja-pekerja penyelamat menyelongkar timbunan runtuhan untuk mencari mangsa-mangsa yang tertimbus. Beberapa helikopter berlegar-legar di udara di bandar ini untuk memeriksa kemusnahan yang berlaku.

Kapal-kapal dihanyutkan ke tengah bandar sejauh satu kilometer manakala beberapa pegawai menjelaskan bahawa satu pertiga kawasan bandar ini yang dihuni oleh 38,000 orang dipenuhi dengan air manakala ribuan orang lagi didapati hilang. - Agensi


11 cedera loji nuklear Jepun meletup


LETUPAN berlaku di janakuasa nuklear Fukushima Daiichidi Fukushima, timur laut Jepun semalam.


FUKUSHIMA - Letupan hidrogen kedua menggegarkan loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi di sini selepas pihak berkuasa Jepun berkerja keras untuk mengelakkan reaktornuklear loji berkenaan daripada melebur susulan gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu pada Jumaat lalu.

Peleburan teras radioaktif di dalam reaktor nuklear loji itu boleh menyebabkan pencemaran radiasi yang mengancam keselamatan beribu-ribu penduduk sekitarnya.

Namun, beberapa pegawai berkata, dinding-dinding tebal yang mengelilingi teras radioaktif reaktor nuklear itu masih kukuh selepas letupan hidrogen tersebut, yang kedua sejak Sabtu lepas.

Kebimbangan besar kerajaan Jepun sekarang, adalah berlakunya kebocoran radiasi di loji nuklear tersebut yang terletak di Fukushima, 240 kilometer ke utara bandar ini.

Sejak hujung minggu lalu, jurutera-jurutera bertungkus-lumus berusaha untuk mengelakkan kebocoran radiasi di tiga reaktor nuklear loji berkenaan.

Dinding teras reaktor nombor 3 masih utuh selepas letupan berlaku, kata kerajaan tetapi ia memberi amaran agar orang ramai yang berada dalam zon perpindahan sekitar 20 kilometer dari loji itu supaya tidak keluar rumah.

Pemilik loji tersebut, Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) menyatakan, 11 orang cedera dalam letupan itu.

"Semua yang saya lihat menyatakan bahawa dinding bekas teras reaktor nombor 3 itu masih berfungsi dan ia mengelak radiasi daripada tersebar dan berita ini adalah berita baik," kata pakar nuklear Universiti Negeri San Diego State, Murray Jennex.

"Letupan ini bukan seperti letupan di loji nuklear Chernobyl, Ukraine. Loji Chernobyl tiada dinding penghadang apabila ia meletup pada 1986 dan menghamburkan bahan radioaktif ke udara," tambahnya.

Namun begitu, seorang pegawai Jepun berkata, terdapat 22 orang yang disahkan mengalami pencemaran radiasi sebelum letupan itu dan 190 lagi mungkin terdedah pada kebocoran tersebut.


KOMBINASI gambar menunjukkan detik-detik sebahagian janakuasa nuklearFukushima Daiichi meletup semalam.


Perkembangan tersebut turut menyebabkan beberapa kapal perang dan pesawat AS yang membawa bantuan kemanusiaan menjauhi kawasan Fukushima buat sementara waktu.

Pemerintah Ketumbukan Ketujuh Tentera AS menyatakan, tindakan itu merupakan langkah pencegahan bagi mengelak pencemaran radioaktif.

Sementara itu, di timur laut Jepun, hampir keseluruhan prasarana terutamanya jalan raya, landasan keretapi, bekalan elektrik dan pelabuhan kini lumpuh.

Anggaran awal kerugian yang ditanggung akibat malapetaka gempa bumi dan tsunami itu mencecah AS$170 bilion (RM516 bilion).

Kerugian besar itu, kata beberapa penganalisis ekonomi, boleh menyebabkan Jepun diambang kemelesetan ekonomi.

Kesan ekonomi itu dilihat semalam apabila bursa saham Jepun mengalami kejatuhan lebih enam peratus dengan nilai mata wang yen pula diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Dalam perkembangan berkaitan, pekerja-pekerja penyelamat mencari mangsa-mangsa yang tertimbus di bawah timbunan runtuhan di utara ibu negara Jepun, di sini.

Berjuta-juta penduduk Jepun kini terputus bekalan elektrik dan air.

Keadaan di negara matahari terbit itu amat teruk sehinggakan Perdana Menteri Naoto Kan menyifatkan Jepun kini mengalami krisis terburuk sejak Perang Dunia Kedua.

Beberapa pegawai memberitahu, sekurang-kurangnya 10,000 orang dikhuatiri terkorban di Jepun dalam bencana gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter itu yang disusuli ombak besar tsunami.

Semalam, agensi berita Kyodo News melaporkan sebanyak 2,000 mayat telah ditemui di dua buah pantai pesisiran pantai di Miyagi, timur laut Jepun. - Reuters


Imej ombak tsunami di bandar San Francisco


IMEJ menunjukkan ombak bergerak di Teluk San Francisco, Amerika Syarikat 13 jam selepas tsunami melanda timur laut Jepun pada Jumaat lalu.


SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Bencana ombak tsunami setinggi 0.5 meter melanda Teluk San Francisco di sini yang dirakamkan selepas ia bergerak lebih 8,000 kilometer merentasi Lautan Pasifik, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Rakaman itu menunjukkan gelombang kecil tsunami melintasi Jambatan Golden Gate, 13 jam selepas Jepun dilanda gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter Jumaat lepas.

Di beberapa tempat di AS, tsunami yang lebih besar melanda bandar Crescent di negeri California apabila ombak setinggi lebih dua meter memusnahkan kawasan dermaga di bandar itu. - Agensi

2,000 mayat ditemui


ANGGOTA tentera Jepun mengusung mayat seorang mangsa di Kamaishi, Jepun utara, tiga hari selepas gempa bumi dan tsunami melanda pantai timur negara itu.
ANGGOTA tentera Jepun mengusung mayat seorang mangsa di Kamaishi, Jepun utara, tiga hari selepas gempa bumi dan tsunami melanda pantai timur negara itu.

TOKYO: Pasukan penyelamat semalam menemui 2,000 mayat di Miyagi, wilayah paling teruk dilanda gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu.

Stesen penyiaran NHK dan media lain memetik pegawai sebagai berkata, 1,000 mayat ditemui di pantai di Semenanjung Ojika.

Seribu lagi mayat ditemui di Minamisanriku, bandar yang musnah akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda pantai Pasifik Jepun, lapor NHK yang memetik sumber pegawai negeri.

Bagaimanapun, sehingga petang semalam, angka rasmi kematian yang diberikan oleh Agensi Kebangsaan Polis kekal pada 1,647.


Bagaimanapun, Ketua Polis Miyagi berkata Ahad lalu, jumlah kematian pasti mengatasi 10,000 orang di wilayah itu saja. - AFP



11 cedera loji nuklear meletup



TOKYO: kerajaan Jepun semalam berkata, 11 orang cedera, seorang daripadanya parah, akibat letupan di sebuah loji nuklear.

Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano berkata, empat anggota tentera dan tujuh petugas loji cedera apabila Unit 3 loji Nuklear Fukushima Dai-ichi meletup semalam.

Tidak lama kemudian, sebuah lagi reaktor dalam loji itu kehilangan kapasiti penyejukan, meningkatkan kemungkinan akan berlaku satu lagi letupan.

Menurut Edano, seorang pekerja parah tetapi masih sedar sementara empat anggota tentera hanya cedera ringan dan sudah kembali bertugas. - Reuters


Makanan dari Jepun diuji

SINGAPURA: Pihak berkuasa republik ini semalam berkata, ia akan menguji makanan yang diimport dari Jepun untuk mengesan kemungkinan tercemar radiasi.

Taiwan juga merancang untuk bertindak serupa berikutan satu lagi letupan di sebuah loji nuklear di Jepun.


“Sebagai langkah berjaga-jaga, Lembaga Veterina dan Hasil Pertanian (AVA) akan mengawasi sumber yang dikeluarkan di Jepun dan ancaman pencemaran,” kata agensi kawalan makanan Singapura.

“Sampel akan diambil untuk ujian radiasi. Produk terbaru akan menjadi keutamaan dan AVA akan mengawasi keadaan dan perkembangan di Jepun.” Menurutnya, sebahagian besar import Jepun datang menerusi laut tetapi pengusaha restoran di Jepun sering menggunakan penerbangan untuk membawa masuk ikan mentah, sebahagian daripada bahan untuk sushi dan sashimi, bagi memastikan kesegaran dan kualitinya.


Pentadbiran Makanan dan Dadah Taiwan juga berkata ia merancang menguji makanan dari negara itu.


Letupan berlaku di loji nuklear Fukushima 1, kira-kira 250 kilometer ke timur laut Tokyo, semalam selepas letupan pertama pada Sabtu lalu. - AFP


Gegaran kuat dijangka esok


Anggota tentera mengangkat mayat dari bawah timbunan kenderaan di bandar Higashimatsushima di wilayah Miyagi, kelmarin. - AFP


TOKYO 14 Mac - Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan, menggambarkan gempa bumi yang melanda negara ini sebagai krisis terburuk di Jepun sejak Perang Dunia Kedua.

Keadaan bertambah suram ekoran laporan media yang memetik pakar sebagai berkata, terdapat 70 peratus kemungkinan akan berlaku satu lagi gegaran kuat menjelang lusa.

Penduduk di ibu negara Jepun ini pula mengalami situasi tidak menentu hari ini berhubung bekalan makanan dan elektrik, ekoran gempa dan tsunami yang berlaku di timur laut negara ini pada Jumaat lalu, manakala krisis nuklear belum menunjukkan tanda akan reda.

Rak-rak makanan di kedai-kedai dan pasar raya terus kosong dan banyak perkhidmatan kereta api ditutup apabila penduduk Tokyo kembali bekerja selepas hujung minggu dihabiskan dengan mengikuti siaran televisyen yang merakamkan imej-imej kemusnahan meluas di bahagian timur laut, kira-kira 250 kilometer ke utara ibu negara.

Lebih 100 perkhidmatan kereta api komputer di kawasan Tokyo dijadual ditutup separuh atau sepenuhnya, hari ini.

Panggilan telefon ke operator kereta api terbesar di negara ini, East Japan Railways Co. tidak berjawab disebabkan panggilan yang terlampau banyak.

Pembekal tenaga, Tokyo Electric Power Co (TEPCO) awal hari ini mengumumkan pemutusan bekalan elektrik secara berjadual di Tokyo dan bandar raya sekitarnya untuk menjimatkan tenaga ekoran krisis di loji tenaga nuklear di kawasan gempa.

Sesetengah kedai kehabisan bekalan makanan berbungkus seperti mi segera, kari segera, tauhu, roti dan telur, sebahagiannya disebabkan masalah pengangkutan dan penghantaran, di samping pembelian panik oleh penduduk.

Turut mendapat permintaan tinggi ialah tauhu, dipercayai boleh membantu mengatasi keracunan radiasi kerana mengandungi iodin pada kadar yang rendah.

Namun tidak ada tanda berlaku panik di Tokyo, dengan kereta api komuter utama beroperasi dan pekerja pejabat keluar makan tengah hari seperti biasa. - Reuters

70 negara hantar pasukan bantuan ke Jepun

TOKYO 14 Mac - Pasukan penyelamat daripada beberapa negara hari ini mula menyertai usaha mencari mangsa gempa bumi dan tsunami yang terselamat, dalam usaha antarabangsa membantu Jepun menghadapi bencana alam itu.

Sebanyak 70 negara menawarkan pertolongan kepada Jepun, bukan sahaja daripada Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutunya, tetapi juga dari China yang mempunyai hubungan tegang dengannya, selain bandar Kandahar, Afghanistan.

''Kami menawarkan rakan kami, Jepun apa jua bantuan yang diperlukan, Amerika Syarikat akan bersama Jepun ketika mereka pulih dan membina semula negara itu,'' kata jurucakap White House, Jay Carney.

Beliau berkata, dua pasukan pencari dan penyelamat AS, bersama-sama 144 kakitangan dan 12 anjing telah memulakan tugas mereka hari ini bagi mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Agensi berita China, Xinhua melaporkan pasukan penyelamat China dengan 15 anggota juga berada di zon gempa bumi utama selepas menaiki penerbangan khas dari Tokyo, semalam.

China mengenepikan isu keganasan Jepun semasa Perang Dunia Kedua, dengan Beijing tidak membuang masa melahirkan simpati atas bencana alam di Jepun itu.

''Saya mahu mengucapkan takziah atas kehilangan nyawa ekoran bencana alam ini dan melahirkan simpati kami terhadap rakyat Jepun.

''China juga sering dilanda gempa bumi dan kami berasa simpati terhadap rakyat Jepun ,'' kata Perdana Menteri China, Wen Jiabao pada sidang media di Beijing, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menyediakan bantuan yang diperlukan oleh Jepun.

Korea Selatan pula berkata, pasukan penyelamat dengan 102 anggota telah berlepas ke Jepun hari ini dengan tiga pesawat tentera udara C-130.

Satu pasukan awal dari Korea Selatan seramai lima orang dan dua anjing telah berada di Jepun sejak Sabtu lalu. - Reuters


Risiko letupan loji nuklear ke atas kesihatan rendah


Kepulan asap menjulang ke udara dari kompleks tenaga nuklear Fukushima Daiichi selepas berlaku letupan di kompleks itu, semalam. - REUTERS


OSLO 14 Mac - Risiko ke atas kesihatan ekoran letupan reaktor nuklear di Jepun agak rendah dan angin diramal membawa bahan tercemar dari loji-loji terbabit ke Lautan Pasifik tanpa mengancam negara-negara lain, kata pakar.

Tokyo berusaha mencegah sebarang peleburan di tiga buah reaktor loji nuklear di Fukushima dalam satu insiden nuklear terburuk sejak bencana Chernobyl di Ukraine pada 1986.

Tahap radiasi juga dilapor meningkat di loji atom Onagawa.

"Insiden ini bukanlah satu isu yang serius kepada kesihatan awam buat masa sekarang.

"Ia tidak akan menjadi seperti Chernobyl. Semasa letupan reaktor di Ukraine itu berlaku, ia beroperasi sepenuhnya dan tidak mempunyai sistem untuk mencegah pelepasan bahan radioaktif," kata Setiausaha Jawatankuasa Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Kesan Radiasi Atom, Malcolm Crick.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kira-kira 140,000 penduduk telah dipindahkan dari sekitar Fukushima.

Crick berkata, peleburan sebahagian bahan radioaktif di loji Pulau Three Mile di Amerika Syarikat (AS) pada 1979 diklasifikasikan lebih serius berbanding insiden di Jepun berdasarkan skala antarabangsa walaupun ia hanya membebaskan jumlah radiasi yang kecil.

"Ramai orang berfikir mereka telah terdedah kepada bahan radioaktif selepas bencana Pulau Three Mile.

"Paras radiasi bencana itu boleh diukur tetapi dalam istilah kesihatan manusia, ia tidak mendatangkan sebarang ancaman," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, risiko ke atas kesihatan dari loji-loji atom Jepun terbabit masih rendah. - REUTERS


Pekan Yamamoto bak lautan lumpur

2011/03/15

SEORANG wanita duduk di tepi jalan  menangis melihat kediaman dan harta benda musnah akibat gempa, tsunami yang melanda   bandar  Natori, Miyagi.
SEORANG wanita duduk di tepi jalan menangis melihat kediaman dan harta benda musnah akibat gempa, tsunami yang melanda bandar Natori, Miyagi.

17,000 rumah terletak di pantai Pasifik musnah

YAMAMOTO: Di pekan yang dihanyutkan tsunami, Yamamoto di daerah Miyagi, ibu bapa kepada remaja berusia 18 tahun masih mencari bas mini yang membawa anak mereka.
Pasangan itu berkata, anak mereka berada dalam bas itu selepas gempa bumi dan tsunami melanda timur laut Jepun.
“Anak kami berada dalam bas itu. Tolong keluarkan segera,” kata ibu bapa Mizuki Kanno sambil menjerit selepas mendapati bas mini itu hancur dan mayat anak mereka di dalam kenderaan itu. Menangis sambil meminta tolong hanyalah satu-satunya perkara yang mampu dilakukan Eiji dan Matsuko Kanno, masing-masing berusia 43 tahun.

Polis tempatan memberitahu mereka yang tiada apa yang boleh dilakukan kerana kekurangan peralatan.

Di pekan Yamamoto yang mempunyai kira-kira 17,000 rumah yang terletak di pantai Pasifik kini seperti lautan lumpur sepanjang beberapa kilometer.

Hanya tangga kelihatan di tapak di mana stesen Sakamoto dengan laluan JR Joban digunakan. Kebanyakan pokok rhu turut dihanyutkan. Hanya kelihatan sekarang ialah kenderaan lintang-pukang begitu juga rumah.
“Saya nampak ombak lumpur datang dan mula berlari,” kata penduduk berusia 37 tahun yang bekerja di pusat penjagaan kesihatan.

Beliau pada mulanya berfikir mahu berlindung di pusat perlindungan di pekan, tetapi mengubah fikiran berlari ke tempat lebih tinggi selepas menyedari pusat itu berada di kawasan rendah.

“Jika saya lari ke pusat bandar, saya pasti akan mati,” katanya.

Yoshiko Shoji berkata, beliau terselamat kerana bernasib baik.

Wanita berusia 72 tahun dari Wad Wakabayashi Sendai terjun dari rumahnya dengan berkaki ayam sebaik mendengar bunyi runtuhan. Beliau menarik tangan suaminya, Toyoji dan berlari sekuat hati melihat tsunami yang membawa pokok dan perabot.

Beliau bernasib baik kerana dapat menumpang kereta kenalan. Apabila beliau berpaling, lumpur sudah setinggi dua meter.

Polis tempatan berkata, mereka menjumpai kira-kira 200 hingga 300 mayat di wad.

“Lebih banyak nyawa mungkin dapat diselamatkan jika persatuan komuniti tempatan memutuskan lebih awal apa tindakan yang boleh diambil dalam situasi seumpama ini,” kata Shoji. – Agensi.

120 pesakit merintih di atas katil, kerusi roda di hospital

2011/03/15

TAKAJO: Dalam kegelapan dan kesuraman wad di Hospital Awam Senen, seramai 120 pesakit terbaring di katil masing-masing atau duduk di kerusi roda, merintih kesedihan.

“Tiada makanan,” kata seorang lelaki tua dengan pakaian pesakit sambil menangis.
Gempa bumi dan tsunami menjadikan warga emas penghuni hospital lebih merana. Tiada anggaran berapa hospital yang terbabit dalam kemusnahan ini.
Hospital Awam Senan di pekan Takajo, Miyagi mempunyai kira-kira 200 pesakit ketika kejadian gempa bumi berlaku yang turut menggoncang peralatan perubatan dan meruntuhkan sebahagian siling wad.

Semua makanan dan ubat disimpan di tingkat satu. Semuanya musnah atau hilang dalam tempoh 30 minit apabila pekan kecil Takako yang mempunyai penduduk seramai 12,000 dihanyutkan tsunami.

“Kami hanya memantau keperluan asas,” kata pihak pentadbiran, Ryoichi Hashiguchi.

Sehingga kini, empat pesakit mati, semuanya warga emas berusia 90 tahun dan pesakit kronik sebelum tragedi. Kira-kira 80 lagi pesakit dipindahkan ke pusat perlindungan berdekatan.
Tiada bekalan elektrik dan air. Dua hari pertama kakitangan dan pesakit terpaksa berkongsi mi beku dan sayur yang didapati daripada peti sejuk yang sudah rosak.

Jururawat membuka paket suntikan saluran darah dan membuang lumpur pada paket pil dengan alkohol untuk membersihkannya. Bau busuk daripada tandas selepas beberapa digunakan tanpa air sudah mula dibersihkan.

Tiada bantuan daripada kerajaan dua hari pertama selepas kejadian tetapi bola nasi diagihkan semalam.

Saudara pekerja hospital menyumbangkan penjana kuasa yang dipenuhi lumpur di mana dua lelaki cuba menghidupkannya.

Syarikat gas tempatan cuba menyediakan pembakar di luar untuk memanaskan makanan dan air.

Dari luar hospital yang kelihatan ditinggalkan, selut tebal memenuhi kawasan tempat letak kereta dan kereta kelihatan selonggok akibat tsunami.

“Saya minta maaf, kami tiada ubat,” kata kakitangan berulang kali kepada orang ramai dari pekan terutama orang tua yang berkunjung ke hospital itu. - AP.


Penyelamat bergelut cari mayat

2011/03/15

2,000 jasad ditemui semalam di dua pantai di wilayah Miyagi

SENDAI: Pekerja penyelamat, polis dan pihak berkuasa tempatan terus bertungkus lumus untuk mencari sejumlah besar mayat dan mengesahkan nasib berpuluh ribu penduduk hilang, ketika bekalan makanan dan air semakin berkurangan berikutan gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu.
Kira-kira 2,000 mayat ditemui semalam di dua pantai di wilayah Miyagi. Penemuan berkenaan meningkatkan secara ketara jumlah kematian dalam gempa bumi dan tsunami terbabit di mana setakat ini polis mengesahkan sejumlah 1,647 kematian dan 1,720 penduduk hilang di seluruh kawasan terjejas di timur laut dan timur Jepun.
Kira-kira 1,000 mayat ditemui di pantai wilayah yang teruk terjejas di Miyagi, semenanjung Ojika, manakala sejumlah 1,000 lagi ditemui di bandar Minamisanriku di mana kerajaan tidak dapat menghubungi kira-kira 10,000 penduduk atau hampir separuh daripada penduduk bandar itu.

Angka kematian rasmi itu tidak termasuk kira-kira 200 hingga 300 mayat di Sendai, ibu kota Miyagi yang belum ditemui polis dan pekerja berikutan kesukaran untuk ke tempat yang dipenuhi dengan sampah sarap dan kemusnahan itu.

Kira-kira 450,000 penduduk dipindahkan sehingga Ahad di Miyagi dan lima wilayah lain tetapi bekalan air dan makanan serta minyak berkurangan di kebanyakan tempat, memaksa kerajaan memutuskan untuk menghantar bekalan melalui udara oleh helikopter Pasukan Pertahanan.

Nasib kira-kira 2,500 pelancong yang berada di kawasan dilanda gempa juga tidak dapat disahkan, kata agensi pelancongan Jepun.
Perdana Menteri Naoto Kan berkata dalam satu mesyuarat pagi semalam bahawa ibu pejabat bencana kerajaan setakat ini menyelamatkan kira-kira 15,000 penduduk.

Sebuah kapal Pasukan Maritim Pertahanan menyelamatkan 32 penduduk di pelabuhan Ishinomaki pada Sabtu, kata kementerian pertahanan dalam kenyataan berasingan.

Masalah komunikasi juga berterusan di kawasan yang teruk terjejas di Miyagi dan Iwate di mana 561,000 talian telefon dan 221,400 gentian optik dikendalikan Nippon Telegraph dan Telephone East Corp yang masih lagi tidak dapat disambungkan sehingga 6 pagi. – Agensi


Rakyat Jepun kembali kerja

2011/03/15

Penduduk sukar untuk hidup seperti biasa

TOKYO: Tokyo dan beberapa bahagian lain Jepun berhadapan dengan gangguan bekalan elektrik ketika seluruh penduduk kembali untuk bekerja dan meneruskan kehidupan seperti biasa semalam selepas negara Matahari Terbit itu dilanda gempa bumi dan tsunami besar Jumaat lalu.
“Ia bukanlah urusan seperti biasa,” kata penduduk Jepun, Mia Moore yang ditemuramah CNN.
Beliau berkata, pejabatnya sebuah firma perundangan tetap dibuka, tetapi pekerja dimaklumkan kehadiran mereka adalah mengikut pilihan sendiri.

“Saya berasakan tidak selamat ke sebuah pejabat yang kosong,” katanya sambil menerangkan gegaran susulan berterusan turut melanda bandar raya terbabit setiap beberapa jam.

“Beberapa kedai sudah dibuka, tetapi bekalan makanan seperti roti dan mi segera dan juga air minuman botol berkurangan.

“Kami biasa dengan gempa susulan di Tokyo, tetapi kali ini amat besar,” kata Simon Lockett, seorang lagi penduduk Jepun.
“Di Tokyo tiada lagi bekalan roti dan air minuman di kedai,” katanya lagi.

Berikutan letupan di loji nuklear Fukushima semalam, gangguan bekalan elektrik tidak dapat dielakkan di berapa bahagian di Tokyo untuk mengurangkan beban pada perkhidmatan kuasa terbabit.

Tokyo Electric Power berkata, syarikat itu berhadapan dengan kekurangan kira-kira 25 peratus kapasiti. Wilayah di utara dan timur Tokyo juga berkemungkinan berhadapan dengan terputus bekalan elektrik.

“Bekalan kuasa dijadualkan terhenti mulai 5 petang waktu tempatan,” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano.

Kerajaan Jepun menggesa penduduk semalam untuk menjimatkan tenaga dengan hanya melakukan perjalanan penting berikutan perkhidmatan rangkaian kereta api juga turut terjejas.

East Japan Railway, syarikat kereta api terbesar Jepun yang menghubungkan Tokyo dengan kawasan teruk terjejas dengan gempa bumi dan tsunami juga membatalkan semua perkhidmatan berkelajuan tinggi, Shinkansen.

Tiga pengeluar kereta terbesar negara itu, Nissan, Honda dan Toyota juga menangguhkan pengeluaran di kebanyakan kilang mereka dengan Toyota mengumumkan hanya akan menyambung pengeluaran sehingga Rabu. – Agensi





Angka Kematian Rasmi Gempa Bumi Melebihi 2,400 Orang

TOKYO: Angka kematian rasmi akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda perairan timur laut Jepun kini melebihi 2,400 orang, kata polis pada Isnin.

Agensi Polis Kebangsaan negara itu berkata, 2,414 orang disahkan maut dan 3,118 masih hilang manakala 1,885 mengalami kecederaan selepas bencana alam itu melanda petang Jumaat lalu. Jumlah kematiah sehingga semalam ialah 1,647 orang. -AFP


Reaktor Nombor Tiga Meletup, 11 Tercedera

FUKUSHIMA: Gas hidrogen di reaktor nombor tiga loji nuklear meletup di sini semalam dan telah menyebabkan 11 orang tercedera dalam letupan itu.

Bagaimanapun letupan itu tidak melibatkan kebocoran radiasi seperti yang dibimbangi oleh pelbagai pihak.

Sebelum itu, pada sabtu, rektor nombor satu telah meletup di loji sama yang rosak selepas Jepun di landa gempa bumi dan tsunami dashyat pada Jumaat lalu.

Agensi berita Kyodo melaporkan, lebih 80,000 orang telah dipindahkan daripada zon itu dan menyertai 450,000 yang lain dan dipindahkan ke kawasan selamat.

Kebimbangan terhadap kebocoran itu juga telah menyebabkan pasukan bantuan dan kapal terbang tidak dapat membantu penduduk di kawasan itu buat sementara waktu akibat letupan itu.

Sementara itu, negara seperti Korea Selatan, Hong kong, Singapura dan Filipin akan menguji terlebih dahulu semua makanan yang diimport dari negara itu untuk memastikan ia bebas daripada sebarang radiasi yang boleh mencemarkan produk makan yang dieskport.

Malaysia juga kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata akan memantau semua produk makanan yang masuk ke negara ini dengan rapi untuk mengelakkan sebarang masalah yang akan memberi kesan kepada pengguna.

Tahap Radiasi Di Loji Nuklear Meningkat

TOKYO: Tahap radiasi lebih tinggi dicatatkan pada Selasa di wilayah utara ibu negara Jepun, Tokyo selepas gempa bumi memusnahkan loji kuasa nuklear, lapor Kyodo News.

Tahap berkenaan dikesan di wilayah Ibaraki iaitu di antara Tokyo dan Fukushima, lokasi loji nuklear itu. Tiada maklumat lanjut setakat ini. Loji sejauh 250 kilometer di timur laut Tokyo itu mengalami tiga letupan gas hidrogen sejak Sabtu lalus selepas gempa bumi dan tsunami memusnahkan sistem penyejukan reaktor.

"Jurucakap berkata, agensi keselamatan nuklear negara berkenaan memberitahu ia sudah dimaklumkan oleh pengendali loji bahawa tahap radiasi di Ibaraki sudah meningkat.

"Tahap itu tidak menyebabkan risiko kepada kesihatan," kata jurucakap itu. -AFP

Tiada ulasan: