Selasa, 15 Mac 2011

UTAMAKAN RAKYAT...JANGAN TIPU SERTA MENINDAS...SAMPAI BILA NAK BERKUASA...BILA KATA ALLAH KATA 'CUKUP.'..MAKA TIADA KUASALAH..

Pameran mistik akan diputuskan majlis fatwa
Mac 15, 11 1:16pm


Majlis Fatwa Negeri Terengganu (MFNT) masih belum dapat memberi kata putus mengenai cadangan sebuah syarikat mengadakan pameran mistik di Dataran Shahbandar di Kuala Terangganu pada bulan depan.

Ahli Jawatankuasa MFNT Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, pihaknya telah mengadakan satu mesyuarat jawatankuasa fatwa yang dipengerusikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Dr Alias Abdullah petang semalam.

"Saya maklumkan keputusan mesyuarat itu, jawatankuasa MFNT tidak membuat keputusan yang muktamad dan perkara itu (pameran) kita bawa kepada Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk memutuskannya," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Ujian Hafazan Al-Quran peringkat negeri Terengganu di Kuala Terengganu malam tadi yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Muhamad Ramli Nuh.

Pada ujian itu seramai 18 peserta telah bertanding dalam tiga kategori hafazan Al-Quran iaitu satu juzuk hingga 10 juzuk, satu juzuk hingga 20 juzuk dan satu juzuk hingga 30 juzud untuk memilih peserta dari Terengganu ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada bulan depan.

Shaikh Harun yang juga Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berkata, pameran mistik itu merupakan satu perkara baru di mana didapati ada imbasan berkaitan dengan larangan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini.

"Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum ini tidak membenarkan pameran berhubung dengan perkara-perkara mistik seperti keranda, jin, syaitan dan perkara-perkara lain oleh syarikat berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pameran seumpama itu merupakan pertama kali diadakan di Semenanjung Malaysia di mana sebelum ini pernah diadakan di negara Brunei Darussalam.

"Jadi kita kembalikan perkara ini kepada majlis Fatwa Kebangsaan dan memang wajar serta relevan sekali pihak kebangsaanlah yang akan mengeluarkan kata putus mengenai pameran itu," katanya.

Shaikh Harun berkata, Dr Alias selaku Mufti kerajaan Terengganu akan membawa perkara ini ke persidangan mufti-mufti seluruh Malaysia tidak lama lagi.

Katanya, Dr Alias akan berbincang terlebih dahulu dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku urusetia dan diharap persidangan itu diadakan secepat mungkin.

--Bernama


Adik Karpal meninggal, liwat II ditangguhkan
Hafiz Yatim
Mac 15, 11
9:54am


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas diberitahu adik lelaki peguam bela utama, Karpal Singh telah meninggal dunia.

Perkara itu dimaklumkan oleh seorang lagi peguam bela, Sankara Nair yang berkata adik bongsu Karpal, Balwinder Singh meninggal dunia pada jam 11 malam semalam di Pulau Pinang.

azlanKatanya, Karpal akan sibuk dengan urusan pengebumian sehingga Isnin kerana terpaksa terbabit dengan acara keagamaan.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata dalam keadaan seumpama itu adalah sukar bagi beliau membantah. Beliau juga merakamkan takziah kepada Karpal dan keluarganya.

Hakim Mohd Zabidin kemudian bersetuju membenarkan perbicaraan ditangguhkan sehingga Isnin ini.

Mahkamah yang bersidang hari ini sepatutnya mendengar hujah balas daripada Karpal berhubung dua permohonan daripada pihak pendakwaan.

Permohonan pertama adalah bagi hakim mengkaji semula keputusannya yang menolak tiga barangan sebagai bahan bukti yang dibuat pada perbicaraan dalam perbicaraan Selasa lalu. Permohonan kedua pula adalah bagi mahkamah mengarahkan ketua pembangkang itu membekalkan sampel DNA untuk diuji.

Semalam, Mohd Yusof mengakui permohonan pendakwaan itu bukan sesuatu yang lazim tetapi berhujah sampel DNA daripada Anwar adalah penting dan relevan kerana ia boleh menentukan sama ada DNA tersebut sepadan dengan yang diperolehi dari sperma yang dijumpai di kawasan keliling dubur pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

NONE"Tiada permohonan seumpama ini sebelum ini tetapi ini tidak bermakna ia tidak boleh dilakukan... atau tidak Seksyen (Akta Bahan Bukti) adalah hanya kata-kata. Kami mempunyai bukti tetapi kerana alasan teknikal, ia tidak diterima (oleh hakim)” katanya.

Yusof juga mendapati dirinya menjadi kecaman semalam apabila salinan permohonan pendakwaan dikatakan bocor dan disiarkan oleh beberapa pertubuhan media, terutamanya di New Straits Times dan blog Malaysia Today.

Peguam Cara Negara II itu mengaku bertanggungjawab manakala permohonan supaya tindakan menghina mahkamah dikenakan ke atas akhbar yang mencetaknya ditolak oleh hakim Mohd Zabidin.

Anwar, 63, didakwa meliwat Mohd Saiful 25, bekas pembantu peribadinya, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.



Insurans: PAS mahu jumpa Bank Negara
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 15 Mac: PAS melalui NGO Gerakan Bela Rakyat (Bela) akan mengadakan pertemuan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendesak satu mekanisma terbaik diusahakan bagi menangani isu caj insurans yang 'tidak masuk akal'.

Pengerusi Bela, Salahuddin Ayub berkata, selain Bank Negara, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan.

Tindakan itu katanya dibuat ekoran tiada sebarang perkembangan positif dari pihak terbabit walaupun Bela memperjuang isu itu sejak Ogos tahun lalu.

"Oleh kerana tiada apa-apa perkembangan positif, Bela akan mengadakan pertemuan dengan pihak Bank Negara dan juga Kementerian Kewangan.

"Kita desak agar satu mekanisma penyelesaian disegerakan agar kadar insuran tidak membebankan rakyat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian kepada Harakahdaily.

Khamis lalu, isu caj insurans melampau dan manipulasi pembelian insurans ini hangat dibincangkan di Dewan Rakyat.

Wakil rakyat masing-masing menggesa BNM mencari penyelesaian segera memandangkan ia telah berlarutan sejak dua tahun lepas.

Mereka juga mendesak agar tindakan diambil terhadap syarikat-syarikat insurans yang didakwa mengambil kesempatan ke atas rakyat.

Selain itu, pengguna kini didakwa terpaksa membayar sehingga RM200 untuk mendapatkan liputan insurans (insurance coverage) untuk kenderaan lama mereka berbanding hanya RM70 hingga RM80 sebelum ini.

Syarikat insurans juga turut mewajibkan pemilik kenderaan untuk membeli pelbagai insurans tambahan lain termasuk insurans kemalangan peribadi, insurans bagi penumpang dan caj muatan sebelum boleh membeli perlindungan insurans pihak ketiga bagi kenderaan mereka.


Demo: Pakatan Rakyat Perak buat laporan polis
Mohd Hafez Sabri

IPOH, 15 Mac: Pakatan Rakyat Perak telah membuat satu laporan polis berkenaan isu demonstrasi haram di hadapan pejabat PAS , DAP dan PKR di Jalan Medan Istana, Ipoh pada Ahad lepas.

Demo itu dihadiri oleh sekumpulan individu yang dikenali sebagai ahli Umno bersama DatukHamidah Othman, Adun Sungai Rapat yang juga merupakan ketua penerangan wanita Umno Malaysia.

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat negeri yang diwakili Sivakumar (DAP), Ismad Shahril (PAS), Chan Ming Kai (PKR), Wong Kah Woh (DAP) dan Ustaz Hafez Sabri (PAS) telah hadir ke Balai Polis Ipoh, hari ini untuk membuat laporan tersebut.

Poster-poster yang berbaur hasutan dan ugutan ditampal di depan pintu pejabat PAS, DAP dan PKR Perak dengan tujuan untuk menimbulkan kekacauan dan mempengaruhi keputusan mahkamah.

Tujuan demonstrasi haram itu kononnya untuk mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyerahkan DNA, kumpulan demonstrasi haram itu juga telah menampal poster-poster yang mempunyai perkataan “subjudice” seperti andaikata PAS dan DAP gagal mendesak Anwar Ibrahim memberikan DNA, maka sahlah DNA lelaki Y adalah DNA Anwar Ibrahim dan Anwar Ibrahim bakal Hosni Mubarak Malaysia dan beberapa kata-kata kesat yang ditulis di atas poster kumpulan demonstrasi haram itu.

Bagi PAS dan Pakatan Rakyat Perak, kes yang melibatkan Anwar masih dalam perbicaraan dan pertimbangan mahkamah.

Oleh yang demikian pihak luar tidak boleh campur tangan dan mempengaruhi keputusan hakim dan mahkamah.

Tindakan demonstrasi haram yang diketuai Hamidah itu jelas menunjukkan bahawa bahawa Umno bertindak secara tidak professional serta mereka menghina mahkamah yang sedang membicarakan kes tersebut.

Pakatan Rakyat Perak menggesa agar pihak polis membuat penyiasatan dan menghentikan segera segala provokasi yang cuba menimbulkan iklim politik kotor di Perak supaya tindakan seperti desakan dan demonstrasi haram itu tidak mempengaruhi keputusan mahkamah dalam membuat sebarang keputusan kes berkenaan.


Bekas OCPD diarah bayar RM200 ribu
Harakahdaily

KUANTAN, 15 Mac: Mahkamah hari ini memerintahkan bekas Ketua Polis Rompin, Hanafi Daud membayar kepada Dr Hatta Ramli dan dua pimpinan PAS Pahang, Mazlan Yassin dan Nazri Ahmad sebanyak RM200,000 sebagai ganti rugi dan kos akibat daripada penangkapan dan penahanan yang tidak sah ke atas mereka bertiga di Markas PAS Rompin di Muadzam, Pahang pada 10 Mei 2004 lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuantan, Puan Sazlina Safie membuat keputusan tersebut hari ini setelah Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili defendan menyatakan kepada mahkamah bahawa anak guam beliau bersetuju membayar plaintif-plaintif RM200 ribu.

Kes hari ini ditetapkan untuk perbicaraan taksiran gantirugi.

Pada 26 Ogos 2009, Hakim Datuk Mariana Yahya telah memutuskan bahawa defendan telah menyalahgunakan kuasanya apabila membuat serbuan ke atas markas PAS dan menangkap serta menahan Dr Hatta, Mazlan dan Nazri.

Hakim juga memutuskan bahawa ceramah PAS yang diadakan di dalam kawasan markas tersebut adalah satu perhimpunan yang sah dan tidak memerlukan permit polis kerana ia bukan tempat awam.

Mahkamah juga memutuskan bahawa defendan juga telah melanggar Artikel 5 (3) Perlembagaan Persekutuan kerana gagal memberitahu plantif-plaintif atas alasan apa mereka ditangkap.

Setakat ini, inilah kali pertama pihak OCPD disaman oleh pimpinan PAS di atas gangguan yang dilakukan oleh pihak polis ke atas ceramah PAS, hatta hakim sendiri menemplak defendan kerana mengganggu ceramah PAStersebut sedangkan ia berjalan secara aman dan telah banyak kali dijalankan di markas tersebut.

Dr Hatta, Mazlan dan Nazri diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin manakala Hanapi Daud diwakili oleh Kamal Azira Hassan.

Generasi muda diseru pertahan Kampung Baru
Majdan Yahya

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru Kuala Lumpur meneruskan bantahan mereka terhadap penubuhan Perbadanan Kampung Baru dan pelan perancangan membangunkan kampung tersebut.

Pada kali ini, Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) telah menganjurkan majlis Deklarasi Pemilik Tanah Kampung Baru dan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, malam tadi.

Dalam majlis ini seramai lima orang wakil penduduk yang mewakili generasi yang berbeza telah menyampai ucapan dan pendapat masing-masing agar didengar oleh ahli parlimen yang hadir.

Mereka mahu suara mereka dibawa ke perlimen dan mahu tanah dan hak mereka dipertahankan.

Antara Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang hadir termasuklah Salahuddin Ayub (Kubang Kerian), Dr Tan Seng Giaw (Kepong), Tian Chua (Batu), Teresa Kok (Seputeh) dan Dr Lo’ Lo’ Ghazali (Titiwangsa).

Haji Zakaria yang mewakili generasi pertama menceritakan sejarah asal-usul Kampung Baru Kuala Lumpur.

Menurut beliau, sehingga kini hanya dua individu yang benar-benar membantu membangunkan dan memberi perhatian terhadap Kampung Baru iaitu Datuk Haron Idris yang ketika menjadi Menteri Besar Selangor dan Datuk Elyas Omar (sekarang Tan Sri), ketika itu menjadi Datuk Bandar.

Beliau mahu akta yang mahu diluluskan di parlimen ditarik balik.

Mohd Nor yang mewakili generasi kedua pula mengingatkan warga Kampung Baru bahawa mereka telah ditipu oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Malaysia.

Menurut beliau, tiada perubahan dibuat rang undang-undang yang dibentangkan di parlimen.

Pindaan itu juga akan memberi kuasa penuh kepada menteri berkenaan untuk berbuat apa-apa sahaja terhadap tanah di Kampung Baru.

“Cukuplah kita ditipu sebanyak dua kali. Jangan sampai tertipu buat kali ketiga,” ujar Mohd Nor.

Sementara itu, wakil generasi muda iaitu Omar dan Ridzuan turut menyeru agar generasi muda bangkit untuk menyelamatkan warisan nenek moyang mereka dan orang Melayu serta bersama membantah akta Perbadanan Kampung Baru.

Bagi mereka, generasi muda bukanlah generasi yang tidak berpendidikan dan mudah ditipu.

Bagi mereka Isu pemilikan tanah bukanlah isu politik, tetapi isu hak dan keadilan yang perlu dipertahankan.

Omar dan Ridzuan menyeru generasi muda mengambil contoh kampung Melayu yang lenyap dan hampir hilang seperti di Bangsar dan Kampung Abdullah Hukum.

Jika orang Melayu Kampung Baru tidak menentangnya sekarang, mereka akan kehilangan kampung itu buat selama-lamanya.

Pendakwaan malang Anwar Ibrahim
Asia Sentinel

Kerajaan Malaysialah sebenarnya pihak yang kalah dalam suatu perbicaraan yang bersifat parodi.

Bahkan setiap seseorang rakyat Malaysia yang sudah lali dengan selok-belok skandal seks luar tabii, Mohamed Saiful Bukhairy Azlan mungkin telah memberikan makna baru kepada ungkapan “go f**k yourself.”

Saiful, 25, tahun bekas pembantu kepada ketua pembangkang Anwar Ibrahim, adalah saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan marathon sodomi Anwar. Dr Seah Lay Hong, seorang ahli kimia dan saksi pendakwaan, telah dipaksa oleh peguambela semasa berada di kandang saksi pada penghujung Februari lalu untuk mengakui bahawa DNA yang ditemui di bahagian dubur Saiful boleh berasal dari 10 orang yang berbeza - termasuk dirinya sendiri.

Saiful telah melaksanakan satu tugas yang cukup bagus untuk kerajaannya, negaranya dan juga Anwar. Hal ini kerana kes ini telah menjadi sesuatu yang mengaibkan, membawa kembali kenangan kes liwat Anwar yang pertama tahun 1998, yang mendapat perhatian umum dicap sebagai parodi oleh pertubuhan antarabangsa hak asasi manusia. Kesilapan yang dibuat terhadap bukti DNA yang sepatutnya konklusif dalam perbicaraan yang telah lama berjalan ini telah menimbulkan pertanyaan apakah bukti-bukti tersebut boleh bertahan di sebuah mahkamah undang-undang yang rasional. Testimoni yang lain pula menunjukkan bahawa Perdana Menteri Najib Tun Razak dan isterinya, Rosmah Mansor, antara lain, mungkin telah memainkan peranan peribadi dalam membawa kes ini ke mahkamah.

Selasa lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Zabidin Mohamid Diah telah memberikan Anwar satu kemenangan besar dengan membuang bukti DNA yang dipercayai dapat membuktikan bahawa beliau ada melakukan hubungan intim dengan Saiful. Beliau telah memutuskan bahawa bukti tersebut tidak boleh diterima kerana telah diambil tanpa kebenaran Anwar dari item dalam penjara ketika beliau ditangkap pada kali pertamanya ekoran aduan Saiful pada bulan Julai 2008.

Dengan kelimpahan pelbagai kesilapan, kerajaan kini menghadapi dilema. Sekiranya menyerah kalah dalam pendakwaan, Anwar akan menerima satu kemenangan besar dan memberikan peluru yang cukup untuk kepada pembangkang untuk menuduh bahawa kerajaan dan khususnya Najib sengaja mewujudkan bukti dalam satu percubaan untuk mengusir Anwar daripada politik. Oleh hal yang demikian, daripada menyerah kalah sekarang walaupun pertalian fizikal terakhir antara Anwar dan Saiful nampaknya telah berjaya disangsikan, pendakwaan masih enggan membuang kes tersebut.

Jumaat lalu, pendakwaraya telah cuba menggunakan mahkamah untuk memaksa Anwar untuk memberikan sampel DNA tambahan bagi menggantikan bukti yang telah dilemparkan keluar oleh Hakim Zabidin. Pendakwaraya Yusof Zainal Abiden telah meminta Hakim Zabidin untuk menimbang kembali keputusan tersebut di samping memaksa Anwar untuk menyerahkan satu sampel.

Situasi ini juga menimbulkan satu situasi bahaya bagi Anwar jika pihak pendakwaan merayu ke peringkat Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi di Malaysia. Mahkamah peringkat ini telah menunjukkan kecenderungannya dalam sistem politik, dengan memberikan keputusan yang tidak berpihak pada pembangkang dalam kes-kes penting, termasuk satu kes yang menyebabkan penyerahan kuasa di Perak kepada parti pemerintah selepas pembangkang memenanginya ketika Pilihan Raya Umum 2008.

Saiful, dahulunya seorang pembantu Anwar sebelum membuat dakwaan terhadapnya, telah mengakui di mahkamah bahawa dia pernah bertemu dengan Najib dan isterinya, Rosmah, pada tarikh 24 Jun 2008, di rumah Najib dua hari sebelum kejadian sodomi. Dia juga mengakui bahawa dia telah bertemu dengan orang kepercayaan Rosmah iaitu Mumtaz Jaafar.

Dia juga mengakui adanya pertemuan rahsia dengan Senior Assistant Commissioner (SAC II) Rodwan Mohd Yusof, dua kali sebelum kejadian liwat terjadi. Rodwan menjadi terkenal pada pembicaraan Anwar tahun 1998 ketika dia secara tidak sah mengambil sampel DNA Anwar dan meletakkannya di atas tilam yang didakwa pernah digunakan oleh Anwar untuk melakukan hubungan homoseksual. Untuk melindungi integriti kes pendakwaan, hakim ketika itu, Augustine Paul, telah membuang keseluruhan bukti DNA tersebut pada perbicaraan waktu itu.

Menurut undang-undang Malaysia, polis sebelum ini dilarang mengambil sampel DNA daripada defendan tanpa izin mereka. Ketika Anwar menolak untuk memberikan sampel DNA, dengan mengatakan bahawa sampel sebelumnya yang pernah digunakan dalam kes 1998 terhadapnya telah disalahgunakan, Barisan Nasional telah meluluskan satu rang undang-undang melalui parlimen untuk membolehkan polis mengumpul sampel dalam kes-kes jenayah tanpa kelulusan daripada suspek .

Namun, kerana kes pendakwaan berlaku sebelum undang-undang tersebut diluluskan, mungkin Anwar akan dikecualikan dalam memberikan bukti DNA.

Dalam hal apapun, cara pihak pendakwaan mengendalikan bukti yang dikumpulkan daripada tubuh dan pakaian Saiful adalah amat tidak cekap. Bahkan jika mereka dibenarkan mengambil sampel lain daripada Anwar, juga amat susah untuk dibandingkan dengan bukti yang diambil dari Saiful.

Menurut testimoni di mahkamah, tidak ada bukti yang diambil dari tubuh Saiful sehingga 56 jam selepas berlakunya kejadian liwat yang didakwa. Ketika kesan DNA daripada air mani dipercayai ditemui di mulutnya, dia mengatakan bahawa dia tidak mandi, menggosok gigi ataupun pergi ke bilik mandi antara waktu kesalahan dan tempoh masa dia diuji. Walaupun sampel DNA masih boleh diambil secara berkesan dalam masa 72 jam, namun dalam hal ini pengendalian bukti tampaknya boleh dikatakan dilakukan secara bersahaja pada tahap terbaik.

Walaupun Seah menemui bukti DNA daripada laki-laki tidak dikenali di dubur Saiful, dia mengatakan dia tidak menguji untuk mengetahui identiti lelaki yang lain. Ditanyakan oleh seorang peguam pembela apakah bukti DNA boleh menghasilkan 10 kombinasi berbeza atau individu, Seah setuju.

Jumaat lalu, pegawai penyiasatan, Jude Pereira mengatakan bahawa selepas mengumpul bukti daripada Saiful, dia telah meletakkan sampel bukti tersebut di dalam peti arkib logam di markas polis Brickfield selama 43 jam, mengabaikan arahan oleh Siew Sheue Feng, ahli patologi forensik, untuk menempatkan mereka dalam freezer (peti sejuk). Mengikut peraturan penyelidikan Biro Persekutuan Amerika Syarikat, "faktor persekitaran, seperti panas dan kelembapan, juga dapat mempercepat degradasi DNA."

Pereira mengakui bahawa degradasi sampel boleh terjadi kerana dia mengabaikan nasihat pakar patologi dan juga perintah Ketua Polis Malaysia.

Sebelum diserat ke dalam kancah pendakwaan ini, Anwar telah memimpin pakatan pembangkang (Pakatan Rakyat) mencipta sejarah merampas lima negeri di Malaysia dan memenangi 82 kerusi parlimen pada pilihanraya tahun 2008 serta menghalang penguasaan dua pertiga majoriti Barisan Nasional di parlimen.

Namun begitu, pembangkang Malaysia - gabungan DAP, PAS dan parti Anwar, Parti Keadilan Rakyat telah diperlahankan kerana Anwar yang disibukkan oleh kes mahkamahnya, tidak dapat menumpukan sepenuhnya kepada politik. Anwar juga telah terhambat oleh penggantungan enam bulan oleh parlimen atas tuduhan bahawa beliau telah mengelirukan parlimen.

Kes ini telah berlangsung selama 13 bulan. Seiring dengan penggantungan dan pelbagai tindakan lain, pembangkang semakin dineutralkan. Ujian besar seterusnya adalah pilihan raya negeri Sarawak yang perlu dilakukan sebelum akhir tahun 2011.


Umno nodai hak istimewa orang Melayu
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan pada masa ini dinodai 'fanatik kepartian' Umno.

Katanya, hak itu hanya berlegar dan dirasai kelompok parti pemerintah sahaja dan rakyat selainnya tidak merasai keistimewaan yang dijanjikan perlembagaan itu.

"Apa yang merisaukan kita, hak istimewa ini tidak dijaga dengan baik menyebabkan fanatik kepartaian berlaku.

"Yang dipentingkan adalah bumiputera yang menyokong Umno, yang sokong parti pemerintah di Sabah dan Sarawak, kemudian ditambah lagi kroni-kroni pemimpin tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.

Pakatan Rakyat sebelum ini sering dituduh cuba menghapuskan hak istemewa itu biarpun mereka dalam konvensyen membuat resolusi untuk mempertahan segala peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan.

Tambah Ahli Parlimen Marang itu, parti pemerintah sewajarnya menunjukkan contoh yang baik dalam menunaikan hak perlembagaan dan sepatutnya adil terhadap semua rakyat bukan kepada kelompok mereka sahaja.

Katanya, perkara tersebut berlaku akibat pemimpin negara melebihkan perjuangan bangsa berbanding agama.

Ia ditambah lagi dengan sikap pemimpin Melayu yang tidak mengamalkan akhlak Islam sebenar seperti terlibat rasuah dan salahguna kuasa.

"Pimpinan utama Umno sendiri, Tun Mahathir Mohamad menyatakan secara terbuka bahawa parti pemerintah dibejati gejala rasuah dalam pemilihan mereka," katanya.

Dalam perlembagaan ujarnya lagi, hak istimewa orang Melayu diletakkan kerana menerima hakikat bahawa orang Melayu adalah majoriti Islam dan diakui kaum lain.

"Tapi kita mesti ingat, bahawa jati diri orang Melayu dan kewibawaan mereka terletak kepada sejauhmana mereka berpegang kepada ajaran Islam," katanya.


Adik Karpal meninggal, bicara kes liwat ditangguh
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas diberitahu adik peguam bela utama, Karpal Singh telah meninggal dunia.

Malaysiakini melaporkan perkara itu dimaklumkan oleh seorang lagi peguam bela, Sankara Nair yang berkata adik bongsu Karpal meninggal dunia pada jam 11 malam semalam.

Katanya, Karpal akan sibuk dengan urusan pengebumian sehingga Isnin kerana terpaksa terbabit dengan acara keagamaan.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata dalam keadaan seumpama itu adalah sukar bagi beliau membantah.

Beliau juga merakamkan takziah kepada Karpal dan keluarganya.

Hakim Mohd Zabidin kemudian bersetuju membenarkan perbicaraan ditangguhkan sehingga Isnin ini.

Mahkamah yang bersidang hari ini sepatutnya mendengar hujah balas daripada Karpal berhubung dua permohonan daripada pihak pendakwaan.

Permohonan pertama adalah bagi hakim mengkaji semula keputusannya yang menolak tiga barangan sebagai bahan bukti yang dibuat pada perbicaraan dalam perbicaraan Selasa lalu.

Permohonan kedua pula adalah bagi mahkamah mengarahkan ketua pembangkang itu membekalkan sampel DNA untuk diuji.


Pemuda Perak masih tunggu fatwa letak ancak
Harakahdaily

IPOH, 15 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menghantar surat kepada Mufti negeri, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini memohon diwartakan fatwa perbuatan menteri besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menghadiri dan melakukan upacara meletakkan ancak ke tiang seri rumah program Projek Infra Bina Upaya (Ibu) di Kampung Guar, Manong pada 16 Oktober 2010 lalu.

Ketuanya, Zawawi Hassan berkata, Pemuda PAS negeri terus terpanggil bagi mendapatkan penjelasan tersebut setelah Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak baru-baru ini mengeluarkan fatwa mengharamkan ajaran Tarekat Naqsyabandiah Al Kholidiyah Kampung Menderang Sungkai yang mana permohonan pihaknya masih belum terjawab sehingga berbulan-bulan.

“Kami merasa agak kesal kerana permohonan kami telah dipolitikkan dan telah meragukan kerana persoalan yang telah dikemukakan adalah perkara besar yang jauh lebih penting berbanding politik semata-mata.

“Dan ianya membabitkan seorang pemimpin besar dan akidah seorang Muslim ujarnya dalam surat berkenaan,” ujarnya dalam surat berkenaan.

Beliau menambah, pihaknya tidak akan memberikan jaminan bahawa perbuatan yang bertentangan dengan akidah umat Islam akan terus menjadi penyakit yang ‘dibenarkan’ oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Ini, ujarnya kerana dengan tanggapan Pemuda PAS negeri bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak sengaja membiarkan perkara itu terus berlaku.

“Akhirnya, sekali lagi kami merayu agar keikhlasan dan kekuatan Y.Bhg. Tan Sri bersama Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak untuk menegakkan kebenaran dan keadilan di dalam perkara ini,” ujarnya.

Tegasnya, perkara asas bagi seorang muslim yang sejati ialah akidah yang benar dan tidak dipesongkan.


Pakatan pertahan tanah penduduk Kg Baru
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Pakatan Rakyat berjanji akan bersama dengan para penduduk Kampung Baru bagi mempertahankan tanah pusaka dengan apa cara sekalipun.

Demikian ditegaskan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika menyampaikan ucapan penutup pada majlis Deklarasi Pemilik Tanah Kampung Baru di Kelab Sultan Sulaiman, malam tadi.

“Kita serius dan komted, kami datang tunggu suara tuan-tuan sampai ke saat akhir,” ujarnya yang juga ahli parlimen Kubang Kerian pada majlis anjuran Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) itu.

Menurutnya, ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali telah mengedarkan surat mengenai majlis tersebut kepada semua ahli parlimen daripada Pakatan Rakyat dan BN.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan kenapa ahli-ahli parlimen BN tidak datang ke majlis berkenaan.

“Mana dia ahli-ahli parlimen Umno. Kenapa mereka tak berani datang berhadapan dengan rakyat untuk mempertahankan tanah Kampung Baru ini?” soalnya.

Wakil-wakil penduduk yang mengemukakan pandangan pada majlis itu mahukan ahli-ahli parlimen yang hadir agar membawa suara mereka ke parlimen bagi mempertahankan hak sebagai penduduk asal Kampung Baru.

Antara ahli parlimen Pakatan Rakyat yang hadir ialah Dr Tan Seng Giaw selaku Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan dan Naib Presiden PKR, Tian Chua.



PKR harap Jepun bangun semula infrastruktur
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap Kerajaan Jepun cepat menyusun pembangunan semula infrastruktur yang terkesan akibat bencana gempa bumi dan tsunami beberapa hari lalu.

Katanya, menginsafi akan bencana yang itu, beliau mewakili warga kepimpinan dan akar umbi parti seluruhnya merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Jepun dan juga rakyat Malaysia yang bermastautin di sana.

Tambahnya, tsunami yang diberitakan antara yang terburuk dalam sejarah Jepun jelas merentap sanubari.

“Walaupun begitu, kita seharusnya mencontohi masyarakat Jepun yang begitu berdisiplin meskipun ketika berhadapan dengan malapetaka besar,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tahap kesabaran mereka juga, kata beliau sepatutnya menjadi contoh kepada seluruh masyarakat dunia.

“Kedua-dua ciri penting ini pastinya membolehkan mereka bangkit dengan cepat bagi membina semula bandar yang musnah teruk,” katanya lagi.

Beliau menambah, apatah lagi dengan kegigihan dan kesungguhan mereka mengenalpasti kaedah dan strategi serta penyebaran maklumat cepat dan tepat kepada seluruh rakyat, pasti akan membantu.

“Nyata sekali insiden ini mengundang kesedihan kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga dan sahabat handai,” ujarnya.

Justeru, katanya PKR mendoakan agar Tuhan mengurniakan kesabaran dan ketabahan yang tinggi kepada mereka yang terlibat.


Manifesto: MB Kedah sedia jawab pada sidang Dun
Mohd Shubihi Muhamad Zain

KUBANG PASU, 15 Mac: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bersedia menjawab sebarang soalan berkaitan pencapaian melaksanakan 80 peratus manifesto pilihan raya umum (PRU) lalu pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) April nanti.

Azizan mengulas desakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang meminta kerajaan negeri mengemukakan bukti kejayaan PAS melaksanakan janji-janji yang terdapat di dalam manifesto lalu.

Menurutnya, beliau akan menjawab semua soalan yang bakal diajukan oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional mengenai kejayaan kerajaan negeri yang dipimpinnya.

“Tak perlu nak senaraikan kepada mereka kerana kita sebelum ini sudah senaraikan kejayaan yang dibuat kerajaan dalam Warta Darul Aman. Saya akan jawab kalau mereka tanya nanti.

“Mereka cakap nak tengok ekonomi, mai tegok sendiri, kalau nak bukti pi tengok dekat Audit Negara, kita dapat RM53 juta tahun ni hasil balak,” katanya kepada media selepas lawatan ke Ladang Nanas milik Kedah Agro Holding Berhad di Laka Temin, semalam.

Isu ini timbul apabila Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan Negeri, Abdul Ghani Ahmad dalam kenyataannya mendedahkan kejayaan kerajaan negeri melaksanakan 46 perkara (80.7 peratus) daripada 57 perkara yang terdapat di dalam manifesto PRU 12 lalu

Tiada ulasan: