Rabu, 30 Mac 2011

YANG BAIK TETAP BAIK....YANG TAK BAIK DITEGUR....YANG BAIK DIPERBAIKI LAGI...CONTOH MASJID DIMAKMURKAN.....

Perjanjian visa dengan Turki sangat baik
Subky Latif
HUBUNGAN diplomatik Malaysia dan Turki yang dicapai oleh kunjungan Perdana Menteri Najib ke Turki bagi menghapuskan penggunaan visa antara rakyat kedua negara adalah satu kemajuan yang memberansangkan.

Ia boleh mengeratkan hubungan antara kedua negara dalam berbagai bidang khususnya ekonomi, pendidikan, pelancongan dan kebudayaan.

Saya ada pengalaman berulang alik ke Istanbul sekitar 15 tahun lalu. Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa melancong ke Turki.

Cuma bagi mereka yang hendak menetap lebih dari waktu yang ditetapkan perlu menyambung visa setiap tiga bulan. Orang yang tidak ada visa tetap terpaksa keluar dan masuk semula untuk tinggal selama tiga bulan.

Anak saya ditawarkan mengikuti kursus menghafal Al-Quran di Tukri yang memerlukan tempoh dua tahun ke atas. Kanak-kanak yang hendak menghafal Quran tentulah yang di hujung tempoh sekolah rendah dan awal sekolah menengah. Hafalan jadi payah bagi yang lebih usia.

Kerajaan Turki sebelum Recep Tayyib (Rejab Taib) Erdogan tidak mengeluarkan visa pelajar bagi kanak-kanak seperti itu sekalipun ia ditaja oleh masyarakat Turki.

Apa yang berlaku mereka duduk secara tidak sah di Turki. Anak-anak itu masuk ke Turki tanpa visa. Mereka tidak keluar dan imigresyen Turki mencari mereka. Tetapi kalau mereka keluar Turki untuk bercuti, sulit sedikit untuk masuk semula. Untuk mendapatkan status menetap belajar secara sah tidak boleh kerana peraturan begitu.

Ia tidak menjadi masalah ketika kanak-kanak yang dihantar itu beberapa orang iaitu kurang dari sepuluh orang. Tetapi ia menjadi perhatian kerajaan apabila bilangan itu bertambah.

Turki mempunyai sistem kelas tahfiz al-Quran yang terbaik dan murid-muridnya perpakaian kemas lengkap dengan kot, bukan saya saja yang tertarik bahkan lain-lain ibu bapa Malaysia tertarik untuk menghantar anak belajar di sana.

Ia mempunyai sekolah yang dipanggil Kuran Kursu di semua tempat. 75 peratus yang masuk ke sekolah itu tamat sebagai hafiz dan hafizah antara dua dan tiga tahun.

Ketika saya hantar anak-anak ke sana awal tahun 1990an, Istanbul saja mengeluarkan kanak-kanak yang hafal Quran antara 3,000 dan 4,000 setahun. Ini bererti dalam masa 20 tahun terakhir ini berpuluh ribu anak muda Turki terdiri dari hafiz dan hafizah.

Kanak-kanak yang hafal Quran ini melanjutkan pelajaran ke sekolah yang diasaskan sejak tahun 1950 dulu yang dipanggil Sekolah Imam-Hatib yang tujuan asalnya untuk membekalkan imam dan khatib kepada masjid-masjid di negara itu. Tetapi sekolah itu menjadi agama, tidak sekadar mengeluarkan imam dan khatib saja.

Perdana Menteri Turki sekarang, Tayyib Erdogan adalah keluaran Sekolah Imam-Hatib itu.

Justeru halangan visa itu berbelas pelajar terpaksa dibawa pulang dan tiada lagi kanak-kanak dihantar ke sana. Hampir 10 orang dapat menamatkan hafalan.

Perjanjian baru visa yang dicapai itu boleh membuka kerjasama dalam pelajaran tahfiz yang kian berkembang di negara ini sekarang dan Turki pula banyak pengalaman mengenainya. Turki boleh menawarkan latihan guru bagi guru tahfiz di Turki dan ia juga boleh menghantar guru bagi melatih guru di Malaysia.

Semasa Al-Marhum Prof. Necmettin Erbakan menjadi Perdana Menteri Turki selama setahun, beliau membuat perancangan untuk mengadakan perkampungan Malaysia di Istanbul bagi menarik pelancong dari Malaysia ke Turki. Beribu-ribu rakyat Malaysia yang menunaikan umrah boleh mendapat kemudahan melancong ke Turki jika bidang itu dimajukan. Minat orang Malaysia melancong ke Turki adalah tinggi.

Dengan kemudahan visa itu membuka peluang mudah kepada agensi pelancong Malaysia bekerja dengan pemaju pelancongan Turki bagi mengelolakan pelancong dari Malaysia dan ketika yang sama Malaysia adalah pasaran yang baik bagi fesyen pakaian wanita dari Turki.

Hubungan dagang Turki yang baik dengan Eropah dan Asia Tengah, ia boleh menjadi pintu masuk bagi dagangan Malaysia ke rantau tersebut. Pencapaian baru tentang visa itu boleh membuka peluang kepada dagangan Turki bagi menjadikan Malaysia pintu masuk ke Asia Tenggara setelah sekian lama ia dimainkan oleh Singapura.

Malaysia dan Turki adalah sama-sama anggota D8. Jika kumpulan itu digerakkan, perjanjian visa itu dapat membantu memesatkannya.

Sehingga ini Turki menguasai teknologi binaan dan reka bentuk masjid yang terbaik. Malaysia amat memerlukan teknologi itu. Pencapaian baru kedua negara itu menjanjikan masa depan yang baik bagi kedua negara.


PAS saran jaga kebajikan doktor
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 30 Mac: Dr. Lo' Lo' Ghazali (PAS-Titiwangsa) mahu Kementerian Kesihatan memberikan perhatian kepada kebajikan doktor perubatan dengan meminimakan waktu kerja mereka kepada 30 jam sahaja.

Lo' Lo' sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan perubatan di negara ini,tempoh waktu doktor bekerja harus diambil kira agar mereka tidak bekerja dalam keadaan penat dan tertekan.

Ini terutamanya kepada doktor atas panggilan (on call) yang bekerja 24 jam sehari dan terpaksa ke hospital pada keesokan harinya.

"Mereka ini manusia biasa, kalau bekerja lebih masa dan dalam keadaan tertekan, peluang untuk melakukan kesilapan itu tinggi dan mereka mengendalikan nyawa manusia.

"Kalau on call kena bekerja 24 jam tambah lagi pada esok harinya perlu menyelesaiakan kerja tertentu dan terpaksa bekerja sehingga pukul 7 malam, lebih dari 30 jam dan ada yang bekerja sampai 40 jam," katanya.

Selain itu, beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat meminta Kementerian Kesihatan menyediakan kemudahan khas kepada doktor di hospital-hospital agar mereka boleh bekerja dalam keadaan yang selesa.

"Saya juga minta kementerian boleh memikirkan supaya wad-wad di hospital ada bilik rehat untuk doktor.

"Kadang-kadang doktor nak rehat sekejap tak ada tempat,terpaksa tumpang bilik ketua jururawat atau surau.Ini satu keadaan yang tidak sihat untuk mereka," katanya.

Lo' Lo' dalam soalan asalnya meminta Menteri Kesihatan menyatakan adakah boleh ditetapkan waktu bekerja untuk doktor atas panggilan tidak melebihi 30 jam iaitu dari tujuh pagi hingga tujuh pagi serta tujuh pagi hingga satu tengah hari esoknya dan ini hendaklah diselaras di seluruh negara serta dilaksanakan di semua jabatan dan hospital.

Timbalan Menteri, Datuk Rosnah Shirlin (BN-Papar) dalam jawapannya memberitahu, garis panduan yang dikeluarkan kementerian menjelaskan bahawa pegawai perubatan yang bertugas atas panggilan aktif boleh berehat keesokan harinya hanya setelah selesai melakukan rondaan wad dan menjalankan prosedur yang diperlukan pesakit termasuk menyerahkan pengurusan rawatan pesakit kepada petugas seterusnya.


A Shukur: Menjelang pemilihan kawasan, muktamar
Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com
Bulan depan (April), Kalendar PAS akan dipenuhi dengan mesyuarat agung peringkat kawasan seluruh negara, selepas mesyuarat peringkat cawangan.

Selepas itu akan sampai pada puncak pemilihan pucuk pimpinan PAS dalam Muktamar Tahunan PAS yang dijangka diadakan di Taman Melewar awal bulan Jun depan.

Dengan pemilihan pimpinan peringkat kawasan bulan depan, bermakna PAS kawasan akan memilih pimpinannya – mungkin ada kawasan yang memilih pimpinan baru, di samping itu mungkin ada yang mengekalkan pimpinan lama yang dikira masih relevan lagi.

Perlu diingat bahawa pimpinan PAS semua peringkat yang akan dipilih ini akan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, sebuah pilihan raya yang saya kira sangat kritikal dan mencemaskan semua pihak, sama ada di pihak Pakatan Rakyat manupun BN sendiri.

Dari itu apa yang penting difikirkan di sini ialah pemilihan saf pimpinan peringkat kawasan dan Pusat, adalah pimpinan yang akan mengendali dan memimpin parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Tentunya peringkat cawangan sudah bersedia dengan para calon pimpinan untuk peringkat kawasan yang dikira mampu mendepani PRU Ke-13 akan datang.

Dengan ahli PAS meningkat sejuta orang, tentu saja ramai para aktivis yang layak untuk memimpin baik pada peringkat kawasan mahupun pusat. Sudah demikian ramai kalangan ulama, professional, aktivis baru dan lama serta pendukung parti yang setia sejak zaman berzaman.

Dalam suasana yang ada, tidak sukar lagi untuk memilih pimpinan terbaik, berilmu, releven, penuh idea, semangat dan segalanya di semua peringkat. Pada pendapat saya, yang jadi persoalan sekarang ialah memilih pemimpin paling terbaik di kalangan yang terbaik.

Setelah PAS berumur lebih setengah abad, rasanya warga PAS sudah matang untuk memilih pemimpin paling terbaik dari yang terbaik.

Oleh kerana tahun ini dikatakan tahun PRU Ke-13 tentu saja, seperti dikatakan tadi, selepas pemilihan dan muktamar ini, warga PAS akan segera menyambung tugas masing-masing untuk bersiap menghadapi
PRU Ke-13 itu.

Siri-siri kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil di sana sini perlu dijadikan iktibar dalam menyusun semula gerak kerja dan strategi PAS untuk menghadapi PRU Ke-13 nanti.

Saya tidak melihat ada kekecewaan besar di kalangan warga PAS selepas mengalami kekalahan demi kekalahan dalam pilihan raya kecil tersebut. Ini menandakan bahawa pendukung PAS sangat berjiwa besar, malah terus meningkatkan usaha untuk mencapai kembali kemenangan.

Antara usaha yang perlu dilakukan oleh pimpinan PAS yang baru dipilih ini ialah memperbanyakkan lagi cawangan parti. Dalam hal ini pimpinan peringkat negeri sewajarnya sentiasa ‘turun padang’ untuk memantau keadaan ini dan memberikan bantuan secukupnya kepada kawasan dalam usaha menubuhkan lebih banyak cawangan.

Negeri-negeri seperti Kelantan, Kedah, Terengganu boleh dijadikan contoh akan kesuburan cawangan PAS di negeri tersebut. Negeri-negeri yang banyak cawangan ini telah membuktikan kemampuan mereka menghadapi Barisan Nasional dalam pilihan raya.

Sekali lagi ditegaskan, penubuhan cawangan baru adalah crucial kepada PAS jika calon PAS mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang.

PAS adalah sebuah parti yang sangat berdisiplin, istiqamah kepada asas perjuangan, mampu membuat perubahan, terbuka dan ramah. Ini diakui sendiri bukan saja dari kalangan rakan-rakan pimpinan dalam Pakatan Rakyat, bahkan oleh para penganalisis dalam dan luar negara, para intelektual di menara gading yang rasional dan terbuka dan di kalangan rakyat sendiri.
Bagaimanapun pihak musuh politik PAS tidak mungkin akan memuji PAS, walau secemerlang manapun PAS.

Namun warga PAS jangan tenggelam dengan pujian banyak pihak ini justru kita menyedari pelbagai kelemahan dalaman lagi yang perlu diperbaiki dan ruang memperbaikinya sentiasa wujud.

Oleh itu mesyuarat agung peringkat kawasan ini bukan saja akan memilih pemimpin untuk sesi akan datang, tetapi juga lebih kepada muhasabah akan kelemahan dalalam yang masih boleh diperbaiki.

Saya yakin, masih tetap ramai yang menawarkan diri untuk dipilih dan berkhidmat, ataupun masih ramai juga yang sangat tawaduk, merendah diri untuk tidak menonjolkan diri supaya dipilih, namun mereka sentiasa bersedia untuk berkhidmat untuk parti.

Inilah wajah PAS yang dinamik dan segar, sentiasa mengikut perubahan zaman dan keadaan. Sebab itu demikian ramai para calon yang terbaik, namun yang hendak dipilih ialah yang paling terbaik dari yang terbaik. Akhirnya, mereka yang dipilih dan tidak dipilih akan terus berada dalam bulatan perjuangan.

Dalam keadaan demikian, tidak mungkin ada sebarang elemen – dari mana-mana pihak pun – yang mampu menggugat PAS, justru kerana akar tunjangnya begitu kukuh dan pucuknya menjulang tinggi.

Selamat bermesyuarat agung kepada semua kawasan.



PAS Kuala Krau desak henti operasi Lynas
Khairil Abdul Rahim

KUALA KRAU, 30 Mac: Mesyuarat Agung PAS Kuala Krau Ahad lalu telah meluluskan usul menggesa Kerajaan Malaysia dan Pahang memberhentikan segera operasi kilang Lynas Corporation kerana boleh mengancam nyawa penduduk tempatan.

Menurut Yang Di Pertuanya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, kilang yang memproses bahan menghasilkan sisa radio aktif di Gebeng, Kuantan itu sukar diurus pembuangannya tetapi sangat bahaya kepada kehidupan manusia dan kelestarian alam.

”Lokasi kilang tersebut yang berada di pinggir laut dan terdedah kepada Tsunami, boleh menjadikannya seperti loji nuklear di Jepun baru-baru ini, tambahan pula berada di kawasan petrokimia,“ katanya.

Tambah Naib Presiden PAS itu, Tsunami di Jepun baru-baru ini membuktikan teknologi canggih yang cuba membendung sisa radioaktif tidak berkesan di loji nuklearnya.

“Justeru PAS mendesak dibatalkan projek mengancanm nyawa dan alam itu demi mendahulukan rakyat kerana kerajaan mesti mengambil kira pandangan penduduk sebelum meluluskannya.“ Jelasnya.

Mesyuarat Agung ke 25 itu berlangsung di Dewan Darul Hikmah, Kerdau dan dirasmikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam pada itu, PAS Kuala Krau berjaya menubuhkan cawangan barunya dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau iaitu Desa Murni dan Rumpun Makmur.

“Walaupun kita kalah dalam pilihan raya kecil Kerdau baru-baru ini, tetapi kita mendapat khabar gembira dua cawangan berjaya ditubuhkan memberi makna peluang PAS tetap cerah pada masa depan,“ ujarnya.

Mengenai pilihan raya negeri Sarawak, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, negeri ini akan menghantar kira-kira 40 orang petugas sepenuh masa daripada 1 April hingga 16 April.

Petugas dari Pahang akan bertumpu di Sembuyau, katanya.


Penduduk marah krisis air paling teruk

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH,30 Mac: Krisis air yang menjejaskan sekurang-kurangnya 12,000 penduduk di sekitar daerah ini melibatkan taman perumahan dan kampung tradisional sejak empat hari lalu menimbulkan kemarahan mereka terhadap Jabatan Bekalan Air (JBA), wakil rakyat dan menteri besar (MB).

Malah menurut penduduk, beberapa kawasan perumahan seperti Taman Setia Jasa, Seberang Temerloh dan Mentakab turut mengalami gangguan bekalan air sejak 1 Mac lalu.

Tinjauan Harakahdaily ke Taman Setia Jasa yang mempunyai lebih 400 buah rumah dan seramai 1,800 penduduk mendapati penduduk mula menzahirkan kemarahan dengan memasang sembilan kain rentang sebagai protes kepada JBA, wakil rakyat dan MB untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka berhubung masalah bekalan air itu.

Seorang penduduk dari taman sama, Ghazali Idris, 63, berkata, gangguan bekalan air di taman perumahan itu berlaku sejak sebulan lalu dengan ada ketikanya air keluar kecil. Tetapi sejak awal minggu lalu langsung tiada air.

Menurutnya, gangguan itu berlaku pada sebelah petang hingga subuh, namun sejak Sabtu lalu, langsung tiada bekalan air.

“Dulu dah pernah berlaku teruk macam ini tetapi selesai, sekarang jadi semula. Kami dah adu pada JBA tetapi mereka kata tak tahu punca dan ada yang ada paip bawah tanah bocor.

"Keadaan ini membuatkan kami di sini jadi seperti balik ke zaman dulu. Bayangkan, saya memandu kereta sejauh 30 kilometer menuju ke Chenor untuk memunggah air Sungai Pahang setiap hari bagi kegunaan makan minum dan kebersihan untuk ahli keluarga,” katanya.

Menurut Ghazali, masalah air di Taman Setia Jasa itu turut menyebabkan pelajar-pelajar sekolah di situ mengalami masalah lewat ke sekolah kerana terpaksa mandi di Jengka setiap pagi.

“Saya ada tiga anak yang bersekolah. Mereka terpaksa bangun awal pagi, balik ke kampung di Jengka untuk mandi dan patah semula ke sekolah di Temerloh. Anak orang lain pun macm tu.

“Jadi sampai bila masalah ini hendak selesai? Kita harap JBA segera selesaikan jangan penduduk telefon pun tak mahu jawap. Bayangkan penduduk yang ada anak kecil, lagi susah,” katanya.

Taman Setia Jasa terletak dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Mentakab dan Parlimen Temerloh.

Seorang penduduk lagi, Ahmad Harun, berkata ini merupakan kali kedua penduduk menghadapi krisis air yang serius dan lama sehingga terpaksa memunggah air dari luar.

"Baru-baru ini ada penduduk mengadakan majlis kenduri kahwin, walaupun ada pihak yang menolong tapi teruk memunggah air. Bagaimana pula kalau berlaku kematian?

"Saya fikir Temerloh ini tidak sepatutnya menghadapi masalah air berulang kali kerana berada dipinggir Sungai Pahang yang mewah air. Jadi sudah tentulah ini kelemahan JBA," katanya.

Ahmad berharap, supaya JBA segera selesaikan masalah yang menghantui penduduk iaitu dengan JBA menghantar empat lori tangki air sehari dengan tiga kali penghantaran.

Sementara itu, peniaga warung makan di situ, Rahim Bakri, turut mengakui ketiadaan air menyebabkan perniagaannya banyak terjejas kerana untuk memasak dan membersih terpaksa menggunakan air yang banyak dan beliau terpaksa memunggahnya dari luar.




Tiada ulasan: