Isnin, 14 Mac 2011

TUNGGU SETIAP KEJAHATAN ALLAH KAN BALAS JUGA DENGAN KEJAHATAN KERANA MELAKUKAN KEZALIMAN SERTA KEMUNGKARAN...TUNGGUUUUU......

Israel bina penempatan haram baru



BAITULMAQDIS - Israel mengumumkan mereka akan tetap membina ratusan rumah haram baru di Tebing Barat, semalam, iaitu sehari selepas serangan yang dilakukan oleh penduduk Palestin yang turut mengorbankan lima ahli keluarga penduduk Israel.

Perdana Menteri. Benjamin Netanyahu mengadakan sidang khas, kelmarin bersama dengan jawatankuasa menteri untuk meluluskan pembinaan rancangan penempatan itu dan menyatakan secara terbuka bahawa serangan tersebut tidak akan dapat menghalang projek pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Jurucakap pejabat Netanyahu mengeluarkan kenyataan bahawa para menteri memutuskan untuk membenarkan pembinaan ratusan unit rumah di kawasan penempatan tersebut.

Keputusan itu dijangka akan mengejutkan negara antarabangsa dan menyukarkan Palestin untuk memulihkan rundingan damai untuk membekukan projek itu selepas Netanyahu enggan melanjutkan persetujuan bersama selama 10 bulan yang berakhir November lalu.

Mahkamah Dunia mengisytihar penempatan Israel di Tebing Barat yang menjadi wilayah perang pada 1967, adalah sebagai penempatan haram.


Pemberontak semakin lemah lawan Gaddafi


BEBERAPA pemberontak melarikan diri selepas satu serangan udara tentera yang setia kepada pemimpin Libya Muammar Gaddafi dilancarkan dekat bandar Brega kelmarin.


BENGHAZI, Libya - Para pemberontak dilihat meninggalkan bandar minyak Brega semalam selepas tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melancarkan serangan.

"Para pemberontak sudah meninggalkan Brega," kata seorang saksi, Osama Jazwi menerusi telefon kepada wartawan agensi berita Reuters.

Seorang lagi penduduk, Abdul Hakim memberitahu bahawa para pemberontak sudah meninggalkan bandar berkenaan.

Sebelum ini laporan berita Libyan TV menyatakan tentera Gaddafi sudah merampas semula bandar Brega daripada penguasaan para pemberontak.

Pergolakan di negara itu bermula pada 15 Februari lalu apabila para penunjuk perasaan bertempur dengan askar-askar Gaddafi.

Pertempuran itu berlaku bagi menuntut peletakan jawatan Gaddafi yang sudah berkuasa selama hampir 41 tahun di Libya.

Pergolakan itu tercetus ekoran kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir yang menyebabkan kedua-dua pemimpin di negara tersebut terpaksa meletakkan jawatan.

Kumpulan para penentang dilihat semakin lemah terutama apabila berlaku pengunduran terbesar pada minggu lalu di kawasan timur negara tersebut yang dikuasai mereka.

Kelmarin, Liga Arab meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan larangan terbang di Libya, meningkatkan tekanan terhadap Amerika Syarikat (AS) dan kuasa-kuasa besar Barat lain untuk mengambil tindakan terhadap Gaddafi ekoran pergolakan tersebut yang dipercayai mengorbakan lebih 1,000 orang.

Kesemua 22 anggota Liga Arab mengakui Libya telah kehilangan kedaulatan dan meminta PBB memikul tanggunjawab dengan melaksanakan zon larangan terbang di negara berkenaan. - Agensi


Pemberontak undur lagi



BREGA: Berpuluh-puluh pemberontak Libya berundur dari Brega, bandar di timur negara itu, semalam ekoran serangan bertubu-tubi pihak tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi.

Menurut sumber pemberontak, tentera kerajaan mara dari barat selepas menawan bandar Uqayla dan desa Bisher, 20 kilometer dari Brega. Sumber itu juga berkata, beberapa kumpulan masih bertahan di kawasan berhampiran Bisher. Kumpulan pemberontak yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda dilihat menaiki trak yang dimuatkan dengan senjata antipesawat di sepanjang jalan menuju Ajdabiya iaitu 80 kilometer dari bandar utama pemberontak di Benghazi dan Tobruk.


Tiada serangan udara dilaporkan berlaku tetapi serangan artileri masih berterusan. Kemaraan kumpulan pemberontak minggu lalu ke wilayah barat dari kawasan dikuasai mereka di timur menjangkau ke Ras Lanuf, kira-kira 40 kilometer di barat Brega. Namun, pemberontak tumpas selepas pertempuran sengit dengan tentera Gaddafi. Selain ada anggota yang belot kepada tentera Gaddafi, kekalahan kumpulan pemberontak juga berpunca daripada kurang pengalaman ketenteraan, tiada kelengkapan senjata dan tidak mampu menangani serangan udara. Di Benghazi rangkaian telekomunikasi terputus sejak semalam tanpa sebab. Tidak diketahui sama ada kawasan lain yang di kuasai pemberontak turut terbabit.

Sementara itu, pergolakan yang berlaku di Yaman menyaksikan dua lagi orang mati selepas polis menembak penunjuk perasaan.


Ia meningkatkan jumlah kematian kepada tujuh sejak tunjuk perasaan membantah pemerintahan Presiden Ali Abdullah Saleh bermula Februari lalu. - AFP



32 askar pimpinan Khamis belot



TUNISIA: Pasukan tentera Libya di bawah pimpinan anak Muammar Gaddafi, Khamis, yang mara ke Misrata, kelmarin tersekat apabila 32 anggotanya menyertai kumpulan pemberontak yang menawan bandar itu, kata satu sumber kumpulan penentang.

Menurut seorang anggota pemberontak, Mohammed, seorang daripada tentera yang belot berpangkat jeneral.


Pasukan tentera pimpinan Khamis cuba memasuki Misrata, satu-satunya bandar di barat Libya yang masih dikuasai pemberontak tetapi gagal.

“Kira-kira 32 anggota tentera menyertai kumpulan pemberontak hari ini. Mereka disoal siasat kumpulan kami,” kata Mohammed. Jurucakap kumpulan pemberontak Gamal pula berkata, tentera kerajaan yang berkubu kira-kira 15 kilometer di selatan Misrata melepaskan tembakan selepas berpuluh-puluh anggotanya mengingkari arahan supaya membunuh orang awam dalam serangan itu. - Reuters



AS sambut baik keputusan Liga Arab



RAS LANUF: Washington berkata gesaan Liga Arab supaya Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan Libya sebagai zon larangan terbang adalah langkah penting ekoran tentera kerajaan negara itu bertindak menggunakan kereta perisai dan pesawat bagi mengusir kumpulan pemberontak di wilayah yang dikuasai mereka.

Setiausaha Liga Arab, Amr Moussa berkata, dalam mesyuarat di Kaherah kelmarin, liga itu memutuskan jenayah serius dan pelanggaran hak asasi manusia dilakukan kerajaan pimpinan Muammar Gaddafi terhadap rakyatnya melucutkan kewibawaan kepemimpinannya. Amr yang membuat kenyatan dalam sidang akhbar selepas pertemuan di Kaherah itu berkata: “Liga Arab secara rasmi memohon Majlis Keselamatan PBB supaya mengenakan zon larangan terbang ke atas Libya bagi mengelak sebarang tindakan ketenteraan diambil terhadap rakyatnya.” Washington yang akan memainkan peranan utama dalam menguatkuasakan zon larangan terbang berkata, keputusan itu meningkatkan lagi tekanan ke atas Gaddafi. Ia bagaimanapun tidak mencadangkan tindakan ketenteraan atau saranan mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan PBB. “Masyarakat antarabangsa sepakat dalam mengetengahkan mesej supaya keganasan di Libya dihentikan dan rejim pimpinan Gaddafi perlu dipersalahkan,” kata sumber Rumah Putih. Tidak dapat dipastikan sama ada gesaan Liga Arab itu berupa sokongan yang diperlukan NATO untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Gaddafi. - AFP


Polis Bahrain halang penunjuk perasaan tawan pusat kewangan



MANAMA: Polis Bahrain semalam bertempur dengan penunjuk perasaan yang cuba menawan pusat kewangan di bandar raya ini berikutan tunjuk perasaan yang merebak ke kawasan pusat perdagangan negara itu.

Kira-kira 350 aktivis menghalang laluan masuk ke pusat kewangan dengan membuat benteng manusia selepas mereka berkhemah di kawasan itu sehari sebelumnya.


Saksi berkata kira-kira 200 orang menjadi mangsa gas pemedih mata, manakala kementerian dalam negeri mengatakan 14 anggota polis cedera ketika menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan di kawasan itu.

Kumpulan yang setia dengan pemerintah yang bersenjatakan pisau dan belantan bertempur dengan pelajar universiti dan polis melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan yang menguasai Dataran Pearl, tidak jauh dari pusat perdagangan itu.


“Kerajaan menggunakan samseng untuk menyerang penunjuk perasaan,” kata anggota parti pembangkang utama Syiah, Khalil Marzooq. - AFP


Israel terus bongkak



BAITULMAQDIS: Israel semalam berkata ia akan membina beratus-ratus rumah untuk penduduk Yahudi di wilayah Tebing Barat yang dijajahnya, sehari selepas sepasang suami isteri Yahudi dan tiga daripada empat anak mereka mati serangan oleh penduduk Palestin.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengadakan mesyuarat khas jawatankuasa kementerian untuk penempatan bagi meluluskan tindakan itu selepas mengumumkan kejadian serangan itu tidak menghalang Israel daripada membina lebih banyak kediaman untuk orang Yahudi di Tebing Barat. Tentera Israel masih memburu penyerang di luar penempatan Itamar berhampiran bandar Nablus di wilayah Palestin yang menyerang keluarga Ehud dan Ruti Fogel serta tiga anak mereka ketika keluarga berkenaan tidur. Seorang daripada anak pasangan itu yang berusia 12 tahun menemui mayat ibu bapa dan tiga adiknya ketika pulang ke rumah daripada satu perjumpaan. Kejadian itu menimbulkan kemarahan penduduk Yahudi. Netanyahu dalam kenyataannya berkata: “Kementerian memutuskan untuk melaksanakan pembinaan beratus-ratus kediaman di kawasan penempatan Etzion, Maale Adumim, Ariel dan Kiryat Sefer.


Tindakan Israel itu mencetuskan kebimbangan antarabangsa dan mengukuhkan lagi hasrat Palestin menolak rundingan damai selepas Netanyahu memungkiri persetujuan menghentikan sementara pembinaan kediaman di Tebing Barat selama 10 bulan yang tamat tempoh November lalu.

“Keputusan itu salah dan tidak boleh diterima dan ia hanya akan menimbulkan masalah,” kata jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rdainah.


Sementara itu, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ke atas keluarga Yahudi itu. - Reuters


Rakyat setia bantu gagal demonstrasi


JEDDAH: Menteri Dalam Negeri Arab Saudi semalam berkara rakyat negara itu yang setia membantu menggagalkan rancangan tunjuk perasaan yang dirancang ‘golongan jahat.’

Aktivis laman web menetapkan 11 Mac sebagai hari pertama untuk melakukan demonstrasi bantahan secara besar-besaran di seluruh negara itu bagi menuntut pembaharuan politik dan ekonomi, termasuk mewujudkan sebuah kerajaan demokrasi.


Bagaimanapun, pihak berkuasa mengharamkan sebarang bentuk demonstrasi di negara pengeluar minyak utama dunia itu.

Kawalan ketat polis di bandar raya utama juga menghalang mana-mana pihak daripada cuba mencetuskan kekac auan.


“Saya mengucapkan tahniah kepada Raja Abdullah dan putera mahkota kerana mempunyai rakyat yang setia,” ujar Menteri Dalam Negeri, Putera Nayef bin Abdul-Aziz. - AN


Kebanyakan tahanan wanita di penjara Arab Saudi warga asing


JEDDAH: Walaupun kerajaan Arab Saudi tidak menyatakan jumlah tahanan wanita di penjara Arab Saudi, namun menurut Ketua Warden Penjara negara itu, Mejar Jeneral Ali Al-Harithy, kebanyakan tahanan wanita adalah rakyat asing yang ditahan kerana menyalahi tuntutan moral, termasuk terbabit dalam pelacuran.

Jawatankuasa Pemulihan Banduan dan Bekas Banduan di Jeddah menjaga kebajikan 30 tahanan wanita dan kurang daripada 10 tahanan adalah warga Saudi. “Kami membantu 30 tahanan di penjara berbeza di Jeddah untuk mendapatkan bantuan undang-undang apabila mereka tidak mempunyai peguam,” kata Ketua Pengarah jawatankuasa itu, Suhail Sawan. “Jawatankuasa ini menyediakan bantuan kepada tahanan wanita tanpa mengira kerakyatan mereka,” tambahnya.


Beliau juga menjelaskan petugas penjara turut membantu menguruskan sesi lawatan ahli keluarga kepada tahanan rakyat asing.

Sementara itu, pentadbiran penjara, Kementerian Hal Ehwal Sosial dan beberapa organisasi bukan kerajaan menyokong tindakan tahanan yang membawa bersama anak mereka.


Pengarah Penjara Jeddah, Mejar Jeneral Abdul Rahman Al-Ghamdi, berkata penjara wanita dilengkapi pusat asuhan kanak-kanak dan prasekolah untuk anak tahanan. Pendidikan agama menjadi fokus utama tahanan wanita di Arab Saudi. Mereka ditawarkan dengan bantuan guru dakwah wanita yang mahir berbahasa Tagalog dan Indonesia serta pakar dalam pengajian Islam.


Tahanan yang hamil pula menerima pemeriksaan prakelahiran di pusat kesihatan berhampiran.

Tiada ulasan: