Penentang ikrar menang atau mati
2011/03/05
AL BAYDA: ‘Menang atau mati’, itulah slogan pemimpin pergerakan penentang pemerintahan Muammar Gaddafi di Libya semalam.
“Kami adalah bangsa yang melawan, kami tidak akan mengaku kalah. Kami akan teruskan hingga semua kawasan di negara ini merdeka,” kata bekas Menteri Kehakiman, Mustafa Abdel.
Mereka juga menjerit akan terus ke Tripoli untuk menjatuhkan pemerintah. “Mungkin ada anggota bekas rejim di sini. Musuh masih boleh meletakkan pengintip di kalangan anda. Jangan hirau mereka hingga memusnahkan revolusi kita. Rejim lama sudah tiada lagi. Berhenti musnahkan bangunan yang kini milik kita,” kata Abdel Jalil.
Mustafa membuat ucapan ringkas itu di tengah bandar Al Bayda yang dikuasai penentang, berhampiran sebuah pejabat keselamatan yang sudah hangus.
Tentera menyokong Gaddafi mengebom kubu penentang di beberapa kawasan timur negara itu sejak Rabu lalu, terbaru di Ajdabiya.
Di TRIPOLI, pihak berkuasa Libya menuduh al-Qaeda kelmarin cuba menyeludup 37 juta pil penahan sakit ke dalam negara itu untuk mengubah minda golongan muda supaya menyertai pemberontakan menentang Gaddafi.
Mahmoud Ali, yang berkata beliau adalah ketua jabatan anti-dadah Libya, berkata pihak berkuasa memintas penghantaran Tramadol dari Dubai dan dibeli oleh sekumpulan pengedar dadah Libya yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda.
Pihak berkuasa Libya menunjukkan wartawan kotak dadah yang dirampas termasuk satu dengan imej ular Raja Tedung.
“Sasarannya ialah pengagihan dadah di kalangan golongan muda menerusi penyeludup dadah,” kata Abdel Haqim Giniwa, seorang lagi pegawai anti-dadah, kepada sidang media.
“Terima kasih kepada kerja keras pasukan keselamatan, kuantiti dadah ini dipintas. Ia mungkin menyebabkan gangguan sosial dan ekonomi.”
Katanya, dadah itu disembunyikan dalam kontena yang dikenal pasti untuk perabot, peralatan sukan dan jubin.
Gaddafi mendakwa, penunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya dirasuk oleh al-Qaeda manakala susu dalam minuman Nescafe mereka diletakkan dadah mengkhayalkan.
Di VIENNA, Austria melebarkan senarai pembekuan aset semalam untuk memasukkan pegawai atasan di Pihak Berkuasa Pelaburan Libya (LIA) yang mungkin kerana kemungkinan ada kaitan dengan lingkungan dalaman Gaddafi.
Tindakan ke atas timbalan ketua LIA, Mustafa Zarti, yang memiliki pasport Austria mengikuti sekatan antarabangsa ke atas keluarga dan sekutu Gaddafi.
Satu perintah bank pusat diterbitkan dalam warta rasmi menggambarkan Zarti sebagai pembantu rapat rejim di Libya.
Dia juga eksekutif atasan dalam National Oil Corp Libya, ketua kumpulan minyak dan stesen minyak Tamoil, dan timbalan pengerusi First Energy Bank di Bahrain.
Zarti, 40, dipanggil untuk disoal oleh pihak berkuasa Vienna kelmarin dan kemudian dibebaskan, penyiar ORF melaporkan, memetik Menteri Dalam Negeri, Maria Fekter sebagai berkata.
Austria sudah mengambil langkah membekukan aset dikaitkan dengan kepemimpinan Libya itu, namun Zarti bukan berada dalam senarai asal Bank Nasional Austria didedahkan selepas sekatan diguna pakai Kesatuan Eropah (EU) minggu ini. – Agensi
Pemberontak minta senjata
AJDABIYA, (Libya): Pejuang revolusi di Libya memohon bantuan senjata, semalam ketika mereka bertempur dengan tentera Muammar Gaddafi, sementara Perancis dan Britain mengancam untuk mensasarkan serangan di sasaran tertentu di negara yang kaya dengan minyak itu.
Pemberontak bertempur di Ras Lanuf, pusat minyak di timur negara itu yang kini menjadi medan pertempuran menentang Gadaffi yang tercetus lagi selepas kejadian sama berlaku sehari sebelumnya.
Sekumpulan wartawan disekat daripada menuju ke medan pertempuran itu dari bandar Ajdabiya dan tidak dapat dipastikan sejauh mana kemaraan tentera Gaddafi ke wilayah timur itu. “Kami tidak tahu apa sebenarnya berlaku di Ras Lanuf tetapi kami dengar masih ada pertempuran berlaku di sana,” kata seorang pejuang revolusi, Salem Abdulrahman yang memandu trak pikap sambil membawa senjata antipesawat.
“Jadi, kami ingin ke sana. Kami akan berperang dan kami akan menang,” ikrarnya sebaik kenderaan dan trak pikap yang membawa kumpulan pemberontak ke medan berkenaan bagi menghalang Gaddafi menguasai bandar itu dan pusat minyaknya.
Kira-kira puluhan trak dilihat menuju ke Ras Lanuf selepas kumpulan pemberontak membenarkan wartawan meninggalkan Ajdabiya yang sebelum ini dilarang memasuki kawasan itu atas sebab keselamatan. “Kami tidak mendapat arahan supaya datang ke sana tetapi kami tetap mahu pergi. Terdapat tentera Gaddafi di Ras Lanuf dan kami berharap dapat mengusir mereka,” kata seorang lagi pejuang, Saleh Massoud.
Seorang komander kumpulan pemberontak mendakwa pasukannya sudah menghalau keluar tentera dari Ras Lanuf tetapi petugas perubatan yang berhubungan dengan kumpulan itu memberitahu anggota mereka sudah ditewaskan dan pertahanan mereka juga semakin goyah. - AFP
Polis Arab Saudi tembak penunjuk perasaan
QATIF: Kerajaan Arab Saudi mengesahkan pasukan polis melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan antikerajaan semalam, sehari sebelum perhimpunan Hari Kemarahan diadakan.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Mansur al-Turki mendakwa tembakan dilepaskan di kepala penunjuk perasaan selepas mereka menyerang seorang pegawai polis, lapor stesen televisyen Al-Jazeera, semalam.
Beratus-ratus penunjuk perasaan termasuk wanita berhimpun di jalanan di bandar raya Qatif di timur negara itu, kelmarin.
Saksi memberitahu, sebaik perhimpunan itu hendak berakhir, pasukan polis melepaskan tembakan ke arah kumpulan penunjuk perasaan dan menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang tercedera. Insiden itu mendapat kecaman keras Persatuan Hak Asasi Kemanusiaan Arab Saudi. - Press TV
Puak Sunnah, Syiah bertempur di Bahrain
2011/03/05
MANAMA: Pasukan polis menyuraikan kumpulan pemuda Sunnah dan Syiah yang bergaduh lewat kelmarin di sebuah bandar di sini, semalam.Insiden meletus di bandar Hamad, selatan Manama, adalah yang terbaru sejak protes anti monarki meledak.
Akhbar Al-Ayam berkata, satu serangan terhadap seorang gadis yang keluar sekolah menjadi punca pergaduhan.
Kedua-dua kumpulan menggunakan kayu untuk bergaduh sebelum disuraikan polis yang menggunakan gas pemedih mata menyebabkan dua cedera.
Penduduk berkata, pemuda Sunnah itu berasal dari Syria. Tunjuk perasaan pro dan anti kerajaan berlaku di Bahrain sejak pertengahan Februari lalu tetapi tidak membabitkan pergaduhan kedua-dua pihak.
Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataannya memberitahu, anggota polis mengambil masa dua jam untuk mengawal keadaan dibantu oleh ahli politik tempatan dan pegawai kanan yang meminta penduduk bertenang.
“Puncanya remeh dan sekumpulan kecil yang bergaduh tetapi kami campur tangan kerana maklumat yang sampai kepada penduduk begitu pantas hingga menyebabkan ramai berbual mengenainya,” menurut kenyataan menteri berkenaan, Sheikh Rashed bin Abdullah al-Khalifa.
Media prokerajaan pula memberitahu bahawa pergaduhan meletus kerana satu kemalangan jalan raya. Dua kumpulan meminta bantuan keluarga masing-masing hingga menyaksikan pergaduhan meletus. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan