Sabtu, 5 Mac 2011

KALAU BENAR SANGAT2 ZALIM...DAH LAH RIBA...BERGANDA2....MAMPUSLAH RAKYAT ATAU PEMINJAM...ITU BUKAN CEKEK DARAH...HISAP DARAH...AKHIRAT JAWAB...

Adun Lenggeng bersalah terima suapan kontraktor pasir RM2,000

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Mustafa Salim didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan menerima suapan daripada seorang kontraktor berkaitan surat sokongan permit menjual pasir, dua tahun lalu.
Mustafa, 53, yang memakai kot hitam, bagaimanapun tenang apabila keputusan itu dibacakan Hakim Amran Jantan.

Dia yang dilantik sebagai Adun Lenggeng pada 2008 didapati bersalah menerima rasuah RM2,000 daripada M Manimaran, 38, di Restoran Jabrin Maju, Taman Bunga Raya 2, Mantin, Seremban, kira-kira jam 5 petang, 31 Ogos 2008.
Wang berkenaan didakwa diterima Mustafa sebagai dorongan untuk mengeluarkan permit menjual pasir kepada pengadu.

Berikutan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10 (a) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Namun, Mustafa dibebaskan atas dua pertuduhan meminta wang daripada pengadu melalui orang tengah berjumlah RM2,000 dan RM3,000.

Perbuatan itu masing-masing dilakukan di Lot 1321, Mukim Pantai dan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Dato’ Kelana Makmur, di sini, pada 28 dan 30 Ogos 2008.

Amran dalam penghakimannya berkata, melalui keterangan bersumpah, tertuduh mendakwa tidak menerima atau meminta wang berkenaan daripada pengadu.

“Seorang saksi pendakwaan iaitu anggota SPRM yang berada di lokasi kejadian bagaimanapun mendengar perbualan mereka berkaitan surat sokongan mendapatkan permit menjual pasir dan besi buruk.

“Selain itu, tertuduh mendakwa tidak mengambil dan hanya mengusik wang berkenaan dalam satu sampul surat di atas meja dan memberitahu dia tidak selesa dengan tindakan pengadu terbabit.

“Namun, satu rakaman video oleh SPRM menunjukkan tertuduh masih duduk di situ dan dilihat berbual sambil menghisap rokok,” katanya.

Mahkamah menetapkan tarikh jatuh hukum terhadap tertuduh pada 1 April depan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Kevin Morais manakala Mustafa diwakili peguam Datuk Taqiyuddin Yahya dan Feisal Mustapha.


Pas terus jelas hukum agama

KOTA BHARU – Pas akan terus menjelaskan hukum-hukum agama ketika berkempen kerana pendekatan itu selari dengan apa yang dipraktikkan Nabi Muhammad SAW.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, menjelaskan hukum itu perlu apatah lagi dalam proses demokrasi yang memerlukan sokongan orang ramai.

Menurutnya, kaedah yang digunakan itu adalah dakwah kerana politik unsur penting dalam agama sehingga memaksa Nabi Muhammad berhijrah dari Makkah ke Madinah.

“Kempen itu asal perkataan Inggeris, dakwah dari perkataan Arab, benda sama saja, tujuannya untuk menarik sokongan orang ramai,” katanya.

“Macam nak ajak orang sembahyang kalau kita tak beritahu hukum, kalau tak mahu guna hukum, kita nak guna apa?” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah mingguan di Dataran Ilmu, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas teguran Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang meminta Pas tidak menggunakan hukum sewenang-wenangnya termasuk menjanjikan syurga atau neraka.

Nik Abdul Aziz berkata, seorang yang berjawatan mufti tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.

“Sama ada dia mufti atau menteri besar, apa jawatan sekalipun, kena ikut Islam dalam semua perkara termasuk dalam bab politik dan sosial. Nak jadi mufti kena ikut nabi,” katanya.

Katanya, Allah SWT merekodkan segala perbuatan manusia termasuk memilih pemimpin atau membuang undi, kesalahan dalam membuat pilihan itu tidak terkecuali daripada menerima hukumNya.

“Kita memberitahu orang ramai, mereka mesti memilih gerakan Islam dan menolak perjuangan yang hanya melaungkan semangat kebangsaan sehingga meminggirkan Islam itu sendiri.” Katanya.

Harussani sebelum ini mengatakan soal syurga dan neraka ditentukan Allah SWT, bukan hak manusia dan bukan juga ditentukan melalui pemilihan parti seperti undi Pas masuk syurga dan undi UMNO masuk neraka.



2015 lengkap wifi

SHAH ALAM – Semua kawasan di seluruh negeri Selangor bakal dilengkapi dengan kemudahan wifi menjelang 2015 bagi memudahkan orang ramai mendapat akses Internet.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, projek pemasangan wifi telah dimulakan sejak 2008 yang dilakukan secara berperingkat dan mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak.

“Kita sasarkan pemasangan itu dilakukan sekurang-kurangnya 20 kawasan setiap tahun sehingga ia mencapai sasaran.

“Menjelang 2009, kita mantapkan lagi projek ini dengan memperkenalkan sistem berkembar iaitu pemasangan dilakukan secara serentak iaitu di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, projek berkembar diperkenalkan untuk merapatkan jurang perkhidmatan wifi antara penduduk bandar dan luar bandar.

“Kesukaran mendapatkan akses di kawasan luar bandar menyebabkan kita memilih konsep setara dengan tidak hanya menumpukan pembangunan dan kemudahan di kawasan bandar semata-mata,” katanya.

Rodziah berkata, pada 2011 pula, projek wifi dikembangkan dengan memperkenalkan sistem paparan media luar atau outdoor display media (ODM) yang mempunyai banyak kelebihan.

“Teknologi itu memberikan perkhidmatan Internet, paparan hablur cecair (LCD), pembesar suara (speaker) dan kamera litar tertutup (CCTV). Kelebihan itu dapat membantu pihak polis melakukan siasatan jenayah atau kemalangan yang berlaku.

“Petaling Jaya telah diberikan kelebihan menjadi perintis projek berkenaan. Ia dijangka siap pada tahun 2015.

Beliau turut mengulas berkaitan dakwaan seluruh restoran diwajibkan menyediakan perkhidmatan wifi secara percuma kepada pengguna.

“Kita tidak memaksa tetapi menggalakkannya bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung yang hadir.

“Perkhidmatan dapat membantu pelanggan mengadakan perbincangan atau membuat kerja sambil menjamu selera. Kelebihan itu tentunya dapat menarik minat pelanggan untuk kerap mengunjunginya,” katanya.



Kes rogol bawah umur meningkat

SIK - Pertambahan satu lagi kes rogol melibatkan mangsa bawah umur akhir Februari lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes rogol yang dilaporkan tahun ini kepada tiga kes perlu dipandang serius oleh semua pihak terutamanya golongan ibu bapa.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Zaidong Mustaffa berkata, daripada tiga kes itu, dua kes membabitkan mangsa yang memilih untuk mengamalkan gaya hidup bebas sementara satu kes lagi hasil dari keruntuhan rumah tangga.

Menurutnya, dalam kes berkenaan, mangsa bertindak membohongi ibunya dengan memberi alasan untuk berjumpa dengan ayah kerana keduanya telah berpisah namun mengambil kesempatan untuk keluar bersama teman lelaki.

“Paling membimbangkan hasil laporan yang kami terima kebanyakan mangsa saling mengenali suspek, sama ada sebagai teman lelaki, abang angkat atau sekadar kawan biasa sahaja.

“Rata-rata mereka berumur dalam lingkungan 15 tahun ke bawah dan masih menjalani persekolahan, namun kejadian rogol kerap kali dilaporkan selepas waktu persekolahan sama ada sebelah petang, waktu malam atau ketika cuti hujung minggu,” katanya.

Zaidong berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk memantau dan mengawasi pergerakan anak-anak remaja mereka terutamanya remaja perempuan serta perlu mengambil tahu kenalan anak mereka.

“Walaupun kadar kes rogol yang berlaku di daerah ini masih rendah tidak seperti di bandar-bandar besar, namun masyarakat diingatkan supaya tidak mengambil mudah tentang perkara itu.

“Pihak polis sendiri akan mengambil inisiatif untuk mengadakan aktiviti turun padang dengan lebih kerap bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kes ini serta jenayah-jenayah lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pihaknya turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu mudah percaya sistem jual-beli yang dilakukan secara online, sebaliknya memeriksa terlebih dahulu kewujudannya bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

“Setakat ini kami masih belum menerima sebarang kes melibatkan mangsa penipuan Internet namun sekiranya ada, kes berkenaan akan dirujuk terus kepada Unit Jenayah Siber, Multimedia,” katanya.



Pemuda Pas sokong hapus saman ekor

IPOH – Dewan Pemuda Pas Negeri menyokong penuh kenyataan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memberi jaminan semua saman ekor disenaraihitamkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis akan dihapuskan jika rakyat memberikan sokongan dan kemenangan mutlak kepada Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Ketuanya, Zawawi Hassan berkata, mereka yakin menyenaraihitamkan semua kenderaan kerana pesalah yang dikenakan saman tidak membayar kompaun itu adalah bertentangan dengan peruntukan perlembagaan.

Menurutnya, dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, hak terhadap harta telah menjelaskan tidak ada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

“Ini bermakna, JPJ dan polis bertindak bertentangan dengan peruntukan sedia ada berikutan setiap tindakan menyenaraihitamkan kenderaan haruslah melalui proses undang-undang di mahkamah,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, Dewan Pemuda Pas Negeri yakin jaminan daripada Pas dan PR mampu merungkaikan kekalutan undang-undang berkenaan yang dilihat seperti tidak mengikut lunas peruntukan sedia ada dan hak bagi seorang rakyat di bawah kerajaan berdaulat yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

“Hala tuju untuk sampai ke Putrajaya adalah komitmen yang akan memastikan semua bentuk penindasan kepada rakyat akan dikeluarkan daripada kepompong penindasan yang semakin meruncing,” katanya.


Kempen mesra rakyat PAS tarik pengundi
Hazayani Zakaria

JASIN, 5 Mac: Masuk ke hari terakhir kempen pilihan raya kecil (PRK) Merlimau, PAS secara keseluruhannya berpuas hati dengan pendekatan calonnya, Yuhaizad Abdullah mendahului calon Umno BN.

Ketua Penerangannya, Idris Ahmad berkata, selain memberi tumpuan kepada kemenangan PAS di Dun ini, kejayaan besar adalah apabila PAS berjaya menyampaikan mesej perjuangan parti itu dan Pakatan Rakyat kepada pengundi-pengundi.

Menurutnya, ianya boleh disifatkan sebagai kejayaan kerana pelbagai halangan ditempuhi daripada Umno BN sepanjang berlangsungnya tempoh kempen.

"Sepanjang kempen PRK Merlimau ini, PAS berjaya menyampaikan mesej perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat walaupun terdapat beberapa kekangan dan halangan.

Beliau juga berkata, calon PAS mendahului calon BN dalam pendekatan kempen mesra rakyat apabila beberapa cara kempen yang dilakukan PAS ditiru oleh Umno BN.

"Cara kempen PAS mendahului calon Umno. Pendekatan calon PAS ditiru pula oeh Umno seperti pemberian bunga kepada wanita.

"Calon PAS membangkitkan masalah pengangkutan awam, maka terus penduduk Merlimau mendapat khidmat MARA liner. Banyak rungutan yang sudah disampaikan kepada beliau sepanjang berkempen.

"Rupa-rupanya banyak masalah di Dun Merlimau yang masih terlindung di sebalik slogan yang indah.

Idris turut menyifatkan keputusan PAS menyertai PRK ini sebagai tindakan tepat memandangkan banyak tuntutan rakyat yang sebelum ini diabaikan, segera ditunaikan BN.

"Walaupun beberapa insiden yang tidak diingini berlaku seperti cermin kereta dipecah, poster dan risalah yang berunsur fitnah, tayar kereta dan motor dipancit, gangguan ceramah oleh budak-budak upahan, keputusan PR menyertai PRK ini adalah tepat, di mana banyak tuntutan rakyat dipenuhi oleh BN yang selama ini tidak ditunaikan," katanya.

Cina dan India beri sambutan

Menurut Idris juga, pengundi di Merlimau bersifat terbuka meskipun dari segi luarannya menunjukkan sokongan kepada BN.

"Alhamdulillah pengundi di Dun Merlimau merupakan masyarakat yang terbuka dan boleh berubah walaupun di luar nampak berwajah Umno.

"Peluang ini memberi kesempatan kepada PAS untuk menerangkan dasar PAS yang berteraskan Islam kepada penduduk Dun Merlimau secara dekat. Mungkin selama ini mereka menganggap PAS adalah parti yang pelik di kalangan mereka.

Katanya juga, PAS sangat gembira dengan sambutan yang diberikan pengundi Cina dan India kepada calon PAS sehingga menimbulkan keresahan kepada Umno BN.

"Orang bukan Islam sudah tidak gerun kepada PAS, waaupun pelbagai tohmahan dan fitnah kepada PAS disampaikan," katanya.


SES: Hutang RM13,000 tapi bayar RM156,000
Nazri Abdullah
TEMERLOH, 5 Mac: Peneroka khususnya di Kerdau dinasihatkan berhati-hati dengan jerat terbaru BN berhubung wang skim tanam semula (SES) berjumlah RM13,000.

Dengan syarat pembayaran balik RM650 selama 20 tahun yang dikenakan, bermakna peneroka sebenarnya terpaksa membayar RM156,000 iaitu 12 kali ganda dari jumlah yang dipinjam.

Ingatan itu dinyatakan Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsan (Anak), Mazlan Aliman pada sidang media di markas induk PAS di Kerdau hari ini.

"Jangan kerana nak kejar duit RM13,000, selepas pilihan raya kena tanggung hutang tidak lebih dari RM200,000, sangat tidak berbaloi dengan jumlah pinjaman RM13,000," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan janji untuk memberi pinjaman wang SES sebanyak RM13,000 seorang kepada peneroka, dengan syarat peneroka perlu membayar balik RM650 sebulan selama 20 tahun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan ketika berkempen di Felda di Kerdau kemudiannya berjanji akan membuat bayaran RM13,000 itu pada hari Isnin, 7 Mac ini iaitu sehari selepas hari mengundi.

Ianya dilihat cubaan memancing undi peneroka yang akan mengundi esok agar memilih BN.

"Kalau RM13,000 kena bayar balik dekat RM200,000, saya nasihatkan peneroka pinjam sahaja dengan bank.

"Ini bukan lagi tolong, tapi betul-betul along yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda," ujarnya lagi.

Pada sidang media sama, beliau juga sekali mencabar Ahmad untuk berdialog dengannya walaupun cabarannya beberapa kali sebelum ini ditolak.

Berhubung hak milik tanah pula, Mazlan mahu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob adil kepada peneroka.

Menteri Besar itu sebelum ini mengumumkan pemberian hak milik hanya kepada peneroka di Jengka 23 sahaja, sedangkan kata Mazlan, Jengka 22 juga perlu mendapat perkara sama.




Solat hajat malam ini
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Mac: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengarahkan ahli-ahli dan para penyokong parti mengadakan solat hajat pada malam ini.

Beliau yang mewakili Mursyidul Am dan Presiden PAS berkata, solat hajat tersebut adalah untuk keselamatan dan kemenangan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada PRK Merlimau dan Kerdau, esok.

Calon PAS di Kerdau ialah Hassanuddin Salim sementara Yuhaizad Abdullah di Merlimau.

Sementara itu, di TEMERLOH, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut membuat gesaan itu berharap hari pengundian esok berlangsung dalam suasana harmoni.

Beliau yang Pengarah Pilihan raya PAS PRK Kerdau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang telah membuat liputan sepanjang kempen PAS.

"Saya selaku Pengarah Jentera Induk PAS di PRK Kerdau, ingin menyeru seluruh pengundi dan para penyokong supaya mengekalkan keharmonian sepanjang tempoh pengundian berjalan," katanya pada sidang medai di Markas Induk PAS, Kerdau, sebentar tadi.



Undi PAS, bantah projek pancing undi BN
Nazri Abdullah

TEMERLOH, 5 Mac: "Saya menyeru kepada pengundi untuk mengambil peluang sungguh-sungguh untuk membuat bantahan dengan mengundi PAS," kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ini ekoran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turun berkempen di Kerdau dengan menjanjikan pelbagai projek pembangunan untuk rakyat.

"Kita tidak menentang projek yang diluluskan kepada rakyat, tetapi bukan ini masanya, ini janji memancing undi.

"Perdana Menteri pertama dulu, Tunku Abdul Rahman bila parlimen dibubar, beliau turun juga kempen, tapi datang dengan kereta sendiri bukan atas kapasiti perdana menteri, berbeza dengan Datuk Seri Najib," ujarnya selaku Pengarah Pilihan raya PAS PRK Kerdau.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media di Markas Induk PAS, Darul Hikmah di Kerdau, pagi ini. Turut serta ialah timbalannya, Mohd Abdul Wahid Endut, Pengerusi Anak, Mazlan Aliman dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Tambahnya, pada hari terakhir tempoh berkempen di N.28 Kerdau hari ini, PAS dengan penuh tanggungjawab dan keprihatinan dalam mendukungi persaingan sihat di PRK, merakamkan betapa harapan untuk menyaksikan demokrasi yang adil, telus dan berintegriti telah musnah dek kerana pencabulan dan salah laku yang dilakukan pihak lawan, Umno Barisan Nasional.

“Kami, pada hari ini akan membariskan segala pelanggaran Akta Kesalahan (Penjalanan) Pilihanraya, 1954 bagi menguatkan hujjah kami bahawa bukan sahaja peri laku ini dibuat oleh Barisan Nasional akan tetapi lebih malang lagi tidak diambil apa-apa tindakan oleh pihak yang sepatutnya menjamin proses pilihanraya berjalan dengan bebas, adil dan bersih,” katanya.

Menurutnya, laporan-laporan yang dibuat oleh PAS kepada kepada pihak berkuasa yakni SPR, PDRM dan SPRM pada 1 Mac dan 5 Mac, tidak langsung diberikan perhatian dan apa-apa tindakan oleh pihak berkuasa tersebut.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, antara kesalahan dan pelanggaran Akta Pilihanraya 1954 yang dilakukan oleh Barisan Nasional seperti penggunaan secara berleluasa dan sewenang-wenang kemudahan premis awam.

Ini, katanya termasuk penggunaan padang awam Teluk Sentang, masjid dan Sekolah Rendah Batu Sawar, Dewan Orang Ramai Felda Jengka 23, Pusat Jalur Lebar Komuniti Jengka 25, Balai Raya Kuala Tekal dan pejabat-pejabat Felda di Kerdau.

“Terang-terangan tindakan ini bersalahan dengan Akta Pilihanraya 154, menggunakan kemudahan awam sebagai tempat operasi kempen mana-mana parti, dan kami percaya mereka menggunakan tanpa permit daripada pihak berkuasa awam,” ujarnya.

Selain itu, tambahnya ia juga melibatkan pemberian secara terbuka dibuat oleh Perdana Menteri bagi mendapat undi kaum Cina, India dan kaum asal dengan secara terbuka meluluskan peruntukan RM400,000 untuk Dewan Terbuka Kampung Seri Kerdau, RM150,000 untuk Balai Bomba sukarela dan RM100,000 untuk Kuil Hindu adalah amat dikesali dan bercanggah dengan peruntukan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

“PM sekali terpaksa menjanjikan peruntukan RM9.25juta bagi menaikkan taraf loji air Batu Sawar.

“Tindakan membekalkan air 3 hari sekali yang sedang berjalan adalah gambaran sebenar pengabaian nasib rakyat yang kini mahu dipancing undi mereka. Peruntukan berjumlah RM10.4 juta telah dibuat sendiri oleh PerdanaMenteri,” katanya.

Ini, ujarnya tidak termasuk pemberian berbentuk hamper dan makanan yang diedar di Kampung Baru Kerdau oleh Menteri Kesihatan sebagaimana dilaporkan oleh RTM dan 100 kotak pemberian makanan yang dihiasi gambar Najib dan Shahrizat dengan slogan “Mengakhiri Zaman Miskin”.

Paling mutakhir, katanya adalah bayaran wang SES Risda Felda Jengka 22 sebanyak RM13,000 seorang peneroka atau berjumlah sebanyak RM3,367,558 yang bakal dibuat penyeraan cek pada Isnin 7 Mac 2011.

Begitu juga, ujarnya bayaran SITS MPOB Felda jengka 23 kepada peneroka sebanyak RM4,000 seorang.

“Rasuah atau tidak akan tergantung secara kritikal kepada siapa yang mendapatnya,” ujarnya lagi.

Katanya, kalau ia disasarkan hanya kepada peneroka dalam Dun N28 Kerdau, maka bayaran itu yang sebenarnya hak peneroka yang tidak dibayar sekian lamanya, adalah jelas rasuah.

“Tetapi kalau semua peneroka getah dan kebun sawit dapat tanpa mengira sama ada mereka tinggal dalam N.28 Kerdau atau tidak, maka itu adalah polisi bayaran yang dibuat secara menyeluruh tanpa berpilih-pilih atau selektif.

“Ternyata bahawa bayaran ini adalah selektif dan berpilih, maka jelas dan tegasnya bahawa ia adalah satu tindakan mempengaruhi pengundi dan bertentangan dengan Akta Pilihanraya,” katanya lagi.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menambah, berdasarkan realiti dan kenyataan di atas serta ketidakadilan dalam perjalanan PRK Kerdau hari ini, maka pihaknya melihat insiden itu sebagai kegagalan SPR menjamin perjalanan PRK bersih dari elemen rasuah, ugutan dan tekanan ke atas pengundi.

Katanya, ketidakadilan itu mestilah ditentang oleh rakyat khususnya para pengundi di Dun Kerdau dengan menterjemahkan bantahan mereka dengan memberi undi protes terhadap pencabulan peraturan peruntukan Akta Kesalahan Pilhanraya 1954.

“Kami merayu dan menyeru para pengundi N28 Kerdau supaya mengambil iktibar di atas kegagalan wakil rakyat dari Barisan Nasional melaksanakan amanah membangunkan Kerdau yang jelas telah terpnggir selama lebih 50 tahun. Hal diakui sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri,” ujarnya.


Tiada ulasan: