Sabtu, 5 Mac 2011

BILA PEMIMPIN DUNIA JADI TAKUT RAKYAT BANGKIT...NI SEMUA KUASA ALLAH...MANUSIA TAK BOLEH LAWAN KUASA ALLAH...SEBAB KITA BUAT MUNGKAR

Itali bimbang rancangan guna tindakan ketenteraan



ROME: Itali semalam berhati-hati dalam memberi tindak balas terhadap gesaan campur tangan tentera di Libya.

Menteri Luarnya, Franco Frattini berkata, mandat khusus diperlukan daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan sekutu Nato sebelum campur tangan seumpama itu boleh dilaksanakan.


“Hanya orang yang tidak tahu sama sekali mengenai dunia Arab boleh bercakap mengenai tindakan ketenteraan di rantau itu,” katanya. - Reuters


Kapal bawa mata wang RM484.72 juta ke Libya


GAMBAR menunjukkan pelabuhan Harwich yang me rupakan lokasi sebuah kapal membawa wang RM484.72 juta ditahan oleh pihak berkuasa di Britain.


LONDON - Sebuah kapal yang membawa kira-kira AS$160 juta dalam mata wang Libya (RM484.72 juta) ditahan selepas ia berpatah balik semasa menuju ke Libya, kata seorang pegawai kerajaan semalam.

Menurutnya, kapal itu kembali ke Britain selepas anak-anak kapal tersebut memutuskan untuk tidak berlabuh di sebuah pelabuhan di Tripoli, Libya kerana pergolakan yang berlaku di sana.

Pegawai tersebut berkata, kapal itu dilaporkan kembali ke pelabuhan Harwich di timur England dengan diiringi oleh bot Agensi Sempadan Britain.

Sejumlah kontena yang mengandungi mata wang tersebut dipindahkan dari kapal berkenaan ke sebuah lokasi yang rahsia.

Britain sebelum ini memutuskan untuk melarang ekport mata wang Libya sejajar dengan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas negara itu.

Sementara itu, bedilan meriam dan letupan berlaku 20 kilometer dari pelabuhan Ras Lanuf di pantai Libya semalam.

Askar-askar yang menentang pemerintahan Muammar Gaddafi menyatakan mereka menentang askar-askar yang setia kepada Gaddafi di Rauf Lanuf, 660 kilometer ke timur Tripoli.

Menurut seorang askar Gaddafi yang berpaling tadah, Magdi Mohammed, para penentang dilengkapi dengan senjata kalashnikov AK-47, raifal dan pelancar roket.

Misi para penentang itu ialah menguasai loji kemudahan minyak.

Pergelutan turut berlaku di Tripoli apabila anggota-anggota pasukan melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan semalam.

Menurut seorang saksi yang menghubungi agensi berita AFP, beberapa anggota keselamatan melepaskan tembakan ke udara.

Pertempuran turut berlaku di Zawiya bandar yang berdekatan dengan Tripoli.

Pada awal semalam, askar-askar pro-Gaddafi melepaskan tembakan mortar dan bedilan daripada senjata antipesawat di Misrata. bandar ketiga terbesar di Libya.

Dalam pertempuran itu tiada laporan mengenai kematian dilaporkan.

Jumlah angka kematian rasmi akibat pertempuran antara para penentang Gaddafi dengan askar-askar upahan pemimpin itu masih belum diketahui.

Para penentang itu menentang Gaddafi ekoran kebangkitan rakyat yang tidak berpuas hati dengan prestasi pemerintahannya.

Sementara itu di Benghazi, para penunjuk perasaan sudah menguasai bandar itu daripada penguasaan askar-askar Gaddafi. Jet-jet pejuang Gaddafi turut membedil bandar Ajdabiya semalam.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyatakan beliau mempunyai pilihan untuk memastikan Gaddafi berundur.

Obama berkata kelmarin bahawa tindakan Gaddafi mengebom penduduknya sendiri menunjukkan bahawa beliau sudah kehilangan hak untuk memerintah dengan sah. - Agensi



Wartawan asing dihalang keluar hotel



TRIPOLI: Pihak berkuasa Libya semalam menghalang wartawan asing daripada meninggalkan hotel mereka untuk membuat laporan mengenai tunjuk perasaan oleh penentang Muammar Gaddafi.

Apabila wartawan cuba meninggalkan hotel di selatan Tripoli, pengawal keselamatan menyekat laluan mereka.


Seorang jurucakap kerajaan berkata, wartawan dilarang meninggalkan hotel kerana kehadiran mereka akan menyebabkan apa yang dikatakannya sebagai ‘elemen al-Qaeda’ akan mencetuskan keganasan.

“Saya tahu anda akan bercakap dan memutar belitkan alasan ini mengikut cara anda,” kata jurucakap berkenaan, Mussa Ibrahim.


“Kami bersedia membayar harga mahal kerana menghalang anda daripada membuat laporan bagi mengelak Tripoli menjadi Baghdad,” katanya. - Reuters


Penyokong Gaddafi kawal jalan raya sekitar Tripoli

TRIPOLI: Pejuang yang setia kepada Muammar Gaddafi semalam mendirikan sekatan jalan raya di sekitar bandar raya ini, memeriksa kereta, menjelang tunjuk perasaan antikerajaan yang dirancang selepas solat Jumaat.

Ia menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan pertumpahan darah baru di ibu negara Libya itu.


Kumpulan penentang menggesa penunjuk perasaan berarak selepas solat Jumaat untuk mendesak penyingkiran Gaddafi.

Tunjuk perasaan serupa Jumaat lalu berdepan dengan tindak balas ganas apabila penyokong Gaddafi melepaskan tembakan sebaik saja tunjuk perasaan bermula, menyebabkan ramai yang terbunuh dan cedera.


Dalam pada itu, khidmat Internet di negara itu dilapor terhenti sama sekali di Tripoli semalam.


Keadaan sama juga berlaku di Benghazi, kubu kuat penentang di timur negara itu.

Di Tajoura, sebuah daerah di timur Tripoli, tempat penunjuk perasaan diserang minggu lalu, polis mendirikan dua sekatan jalan raya di lebuh raya utama.


Penyokong Gaddafi berusaha memastikan kumpulan penentang tidak akan menawan Tripoli seperti yang mereka lakukan terhadap wilayah timur negara itu.

Sejak Jumaat lalu, penyokong Gaddafi dilapor melakukan beberapa penangkapan dan beberapa penduduk dilaporkan hilang. - Reuters


Pemberontak enggan runding



ANGGOTA kumpulan penentang  mengadakan  sekatan jalan raya di Brega, semalam.
ANGGOTA kumpulan penentang mengadakan sekatan jalan raya di Brega, semalam.

AL-UQAYLA,: Pemberontak Libya yang berikrar untuk ‘mencapai kemenangan atau mati,’ semalam mara menuju ke Ras Lanuf, sebuah bandar penapisan minyak utama di timur negara itu.

Mereka turut menggesa negara asing melancarkan serangan udara bagi membantu mewujudkan zon larangan terbang selepas tiga hari berdepan dengan serangan pesawat tentera Gaddafi.


Pemberontak yang berpangkalan di timur Libya itu berkata, mereka hanya bersedia untuk berunding mengenai perletakan jawatan Gaddafi.

Di Tripoli, penentang pemimpin Libya itu berkata, mereka bersedia untuk berarak di bandar raya itu selepas solat Jumaat tetapi pihak berkuasa melarang media asing daripada membuat laporan mengenainya.


“Kemenangan atau mati. Kami tidak akan berhenti sehingga kami membebaskan seluruh negara ini,” kata pemimpin pemberontak, Mustafa Abdel Jalel yang mengetuai Majlis Kebangsaan Libya kepada penyokongnya.


Pembantu Mustafa, Ahmed Jabreel berkata, jika terdapat rundingan, ia hanya mengenai satu perkara, bagaimana Gaddafi akan meninggalkan negara ini atau meletak jawatan.

“Tidak ada perkara lain untuk dirundingkan,” katanya.
Sementara itu, seorang anggota tentera yang kini menyertai pemberontak, Magdi Mohmamed berkata: “Kami akan menawan semuanya, Ras Lanuf dan Tripoli.” Negara Barat yang mendesak Gaddafi meletak jawatan dan meninggalkan negara itu kini menimbang beberapa pilihan, termasuk penguatkuasaan zon larangan terbang tetapi berwaspada mengenai sebarang serangan tentera untuk menstabilkan negara itu. Ketika kebimbangan semakin meningkat mengenai masalah kekurangan dan bekalan ubat-ubatan, usaha diplomatik dilakukan untuk menamatkan konflik berkenaan kerana Barat bimbang ia akan mencetuskan kemasukan besar-besaran pelarian dari kawasan Meditteranean ke Eropah.

Kekacauan di Libya menyebabkan berlakunya krisis kemanusian, khususnya di sempadan Tunisia di mana puluhan ribu pekerja asing berkumpul kerana menyelamatkan diri. - Reuters


Hanya runding pengunduran


TENTERA-TENTERA pemberontak anti-Gaddafi melepaskan tembakan ke udara semasa majlis pengebumian seorang daripada anggota mereka yang terbunuh semasa bertempur dengan tentera yang setia dengan Gaddafi di Ajdabiya, timur Libya, kelmarin. – AP


AL-BAYDA 4 Mac – Pemberontak yang telah menubuhkan sebuah pentadbiran Majlis Kebangsaan Libya di timur Libya bersedia untuk mengadakan rundingan hanya mengenai peletakan jawatan Muammar Gaddafi atau kehidupan beliau dalam buangan supaya pertumpahan darah dapat dihentikan.

Pendirian penentang rejim Gaddafi itu dinyatakan semalam oleh Ahmed Jabreel, seorang pembantu kepada bekas Menteri Kehakiman, Mustafa Abdel Jalil yang mengetuai majlis tersebut yang berpangkalan di Benghazi.

Kata Jabreel, serangan udara untuk mewujudkan zon ‘larangan terbang’ diperlukan untuk membantu pemberontak menjatuhkan Gaddafi yang terus bertahan sekalipun berdepan dengan tentangan keras.

“Jika ada rundingan, isunya hanya satu iaitu bagaimana Gaddafi boleh meninggalkan negara ini atau meletakkan jawatan supaya kita dapat menyelamatkan nyawa.

“Tiada perkara lain untuk dirundingkan,” kata Jabreel yang diberi kuasa untuk bercakap bagi pihak Jalil.

Tegasnya, pemberontak tidak akan merundingkan sebarang penyelesaian politik.

“Kami mahu dia dibicarakan, tetapi jika kami tidak memberi jalan keluar kepadanya, kami sedar ramai lagi penduduk akan terbunuh,” kata Jabreel di Al-Bayda, bandar tepi pantai yang dikuasai oleh pemberontak di timur Libya.

Majlis tersebut telah meminta serangan udara dilancarkan dengan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas apa yang mereka dakwa sebagai askar upahan Afrika yang berperang untuk Gaddafi.

Pesawat perang tentera Gaddafi menggempur bandar-bandar di timur semalam selepas melancarkan serangan darat ke atas bandar pelabuhan Brega kelmarin, yang ditangkis oleh pemberontak.

“Saya tidak fikir Gaddafi masih memikirkan cara untuk menawan semula timur Libya.

“Dia sedang cuba mempertahankan apa yang masih di tangannya dan mencari penyelesaian politik,” kata Jabreel. – Reuters

Pemisah Kaukasus seru jihad terhadap Rusia

MOSCOW 4 Mac - Pemimpin pemisah Islam wilayah Kaukasus, Doku Umarov semalam menyeru masyarakat Islam Rusia melancarkan jihad menentang negara ini menerusi satu video yang disiarkan di laman webnya.

"Saya menyeru saudara sekelian melancarkan jihad dan menghapuskan musuh-musuh Allah.

"Saya minta masyarakat Islam di Rusia supaya bangkit dan bersuara lantang di semua tempat," katanya menerusi video selama lapan minit yang menyaksikan beliau diapit dua lelaki dan dirakamkan di kawasan hutan bersalji.

Sedekad selepas tentera persekutuan menyingkirkan pemisah dalam perang kedua di Chechnya, Kremlin berusaha menyekat pemberontakan di seluruh Kaukasus Utara, wilayah yang dituntut pemberontak menjadi sebuah negara Islam bebas.

Kaukasus Utara merupakan bahagian utara Rusia yang dihuni 50 juta penganut Islam. Pakar berkata, pemberontak sengaja mencetuskan pemberontakan menjelang pilihan raya Presiden 2012.

Umarov, 46, menerusi satu video berasingan turut menyeru masyarakat Islam Mesir, Tunisia dan negara-negara Arab 'mencetuskan revolusi dengan mengukuhkan perkataan Islam dan hukum Allah'.

Perdana Menteri Vladimir Putin dan Presiden Dmitry Medvedev menyatakan kebimbangan berhubung kenyataan Umarov itu dan memberi amaran fahaman Islam radikal kini sedang merebak berpunca daripada pergolakan di negara Arab dan ia boleh mencetuskan lebih banyak kekacauan di Kaukasus Utara.

Pemimpin pemisah itu yang menganggap dirinya sebagai pemerintah Kaukasus dipercayai bersembunyi di kawasan hutan di pergunungan Kaukasus Utara. - Reuters


Pilihan raya Tunisia 24 Julai ini

TUNIS 4 Mac - Tunisia akan mengadakan pilihan raya pada 24 Julai ini untuk memilih anggota sebuah dewan perlembagaan yang akan merangka semula perlembagaan dan mengatur peralihan negara ini kepada demokrasi berikutan penyingkiran pemimpin diktatornya.

Presiden sementara, Fouad Mebazza dalam ucapan di televisyen malam tadi berkata, beliau dan sebuah kerajaan sementara akan terus memegang kuasa sehingga pilihan raya diadakan.

Mebazza menerajui pemerintahan negara ini sejak Zine al-Abidine Ben Ali disingkirkan sebagai Presiden pada 14 Januari lalu.

"Hari ini kita isytiharkan kita memasuki era baru dan memulakan sistem politik baru yang tiada hubungan dengan rejim yang disingkirkan," kata Mebazza.

Sumber di pejabat Presiden berkata, selepas anggotanya dipilih, dewan perlembagaan itu boleh melantik sebuah kerajaan baru atau meminta Perdana Menteri sementara meneruskan perkhidmatan sehingga pilihan raya Presiden dan Parlimen diadakan. - Reuters


Peletakan jawatan PM Mesir dirai penunjuk perasaan

KAHERAH 4 Mac - Peletakan jawatan Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafiq diraikan oleh penunjuk perasaan yang menuntut supaya saki-baki anggota rejim bekas Presiden Hosni Mubarak disingkirkan daripada kerajaan.

Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata semalam berkata, Shafiq akan digantikan oleh bekas Menteri Pengangkutan, Essam Sharaf yang menyertai protes di Dataran Tahrir yang membawa kepada peletakan jawatan Mubarak pada 11 Februari lalu.

Mubarak melantik Shafiq pada hari-hari terakhir rejimnya dalam usaha untuk membendung protes dan Shafiq terus mengetuai sebuah kerajaan sementara di bawah Majlis tersebut yang memerintah Mesir sejak pengunduran Mubarak.

Berpuluh-puluh aktivis belia yang masih berkhemah di Dataran Tahrir mengalu-alukan peletakan jawatan Shafiq itu, lapor agensi berita MENA.

Sejak kejatuhan Mubarak, penunjuk perasaan terus mendesak supaya dibubarkan kerajaan sekarang yang turut dianggotai oleh Menteri Luar, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kehakiman daripada rejim bekas Presiden itu.

Aktivis mengemukakan nama Sharaf sebagai Perdana Menteri semasa rundingan dengan tentera pada Ahad lalu.

"Kami gembira kerana kami mencadangkan nama beliau dan permintaan kami diterima," kata seorang pemimpin pergerakan belia, Shadi al-Ghazali. - AFP

Tiada ulasan: