Selasa, 1 Mac 2011

BANYAK TU...JANGAN TIRIS ATAU SALAH GUNA KUASA...RAKYAT SEKARANG SUDAH PANDAI MENILAI...JANGAN AUTALAH...

Adnan perlu jelaskan hutang negeri RM2.17b
Hafiz Baqi

TEMERLOH, 28 Feb: PAS menggesa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menjelaskan kelemahan pentadbirannya kerajaannya kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau seperti mana dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara.

Gesaan itu dibuat ekoran kenyataan Adnan yang menyebut selama Barisan Nasional menerajui Pahang tidak ada isu untuk dibangkitkan oleh pembangkang dalam PRK Dun Kerdau.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Pengarah Pilihan raya PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Kerdau dalam sidang medianya hari ini berkata, Laporan Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini banyak menyentuh tentang kelemahan Kerajaan Pahang yang merangkumi pelbagai skop.

Kata beliau, paling utama kelemahan melibatkan pentadbiran dan pengurusan sehingga kerajaan negeri kehilangan sumber pendapatan sebanyak RM227.9 juta ekoran empat buah syarikat-syarikat berkaitan negeri (GLC) gagal membayar balik pinjaman mengikut jadual.

Lebih teruk lagi kata beliau, laporan itu juga mendedahkan kerajaan negeri tidak boleh mengambil tindakan terhadap GLC terbabit sekiranya GLC terbabit gagal membuat bayaran.

"Jelas dan nyata bahawa inilah antara sebabnya mengapa pakar ekonomi meramalkan kerajaan negeri Pahang berpotensi bankrap," kata beliau dalam sidang media di Markas besar PAS Kerdau hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Timbalan Pengarah Pilihan raya PAS Dun Kerdau, Abdul Wahid Endut dan Ahli jawatankuasa PAS, Dr Dzulkifly Ahmad.

Kata Tuan Ibrahim, oleh kerana Lapuran Audit Negara adalah maklumat awam, menjadi tanggungjawab pada Adnan memberi penjelasan kepada rakyat termasuk pengundi di Kerdau, apa langkah-langkah yang telah diambil bagi mengatasi kepincangan-kepincangan tersebut.

Selain itu, Adnan juga digesa menjelaskan mengapa kerajaan negeri telah mengalami defisit belanjawan selama 13 tahun berturut-turut dan kini menganggung bebanan hutang sebanyak RM2.17 bilion seperti mana Laporan Ketua Audit Negara tersebut.

"Dalam masa yang sama PAS juga menuntut kerajaan negeri di bawah kepimpinan Barisan Nasional mendedahkan prestasi semsasa GLC negeri sebagaimana dilakukan oleh negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat," ujarnya.

Mengulas kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tentang pemilihan Hassanuddin sebagai calon PAS, Tuan Ibrahim berkata ia berdasarkan proses biasa dalam PAS.

Nama Hassanuddin katanya, di hantar oleh PAS Kawasan, diluluskan oleh PAS negeri dan seterusnya mendapat kelulusan PAS Pusat dan Majlis Syura.

"Pemilihan Hassanuddin juga setelah mengambil kira suasana dan keperluan setempat," kata beliau yang menyifatkan isu pembangunan dan salah urus tadbir sebagai fokus utama di Dun berkenaan.

Justeru beliau menyeru pengundi di Kerdau membuat pilihan yang tepat bagi membongkar segala kepincangan demi memperjuangkan kepentingan penduduk Kerdau dan seluruh negeri Pahang.

"Calon yang paling wibawa bagi merealisasikan tujuan dan menggalas tanggungjawab ini adalah Hassanurddin Salim, yang berlatarbelangkan integriti, kemampuan serta pengalaman kerjayanya di luar negara," katanya.


BN janji lagi buat kali ketujuh
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH: Penduduk Kerdau mendengar sekali lagi janji kerajaan untuk menyiapkan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Paya Taram yang terbengkalai sejak 20 tahun lalu.

Adakah pilihan raya kecil (PRK) DUN Kerdau yang sedang berlangsung ketika ini akan menjadi penamat kepada permasalahan yang dideritai penduduk selama puluhan tahun itu.

Bagi penduduk, mereka sudah mendengar janji kerajaan mahu menyiapkan rumah tersebut sejak pilihan raya umum (PRU) 1990, 1995, 1999, PRK Sanggang tahun 2000, PRU 2004 dan yang terakhir pada PRU 2008 yang lalu.

Kelmarin, sekali lagi Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Said mengumumkan kepada media, kerajaan telah meluluskan RM2.2 juta bagi membaiki semula perumahan perumahan milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang itu.

Menurut Ismail, pembaikpulihan itu akan ditanggung kos oleh Syarikat Perumahan Negara (SPN).

PAKR Paya Taram mengandungi 198 unit rumah teres setingkat dengan ukuran 6 meter x 9.3 meter dan mula dibina pada 1988 tetapi projek berkenaan terbengkalai beberapa tahun kemudian sebelum sempat siap.

Lebih mengecewakan lagi, projek kerajaan negeri itu telah diserahkan kepada bank dan pembeli terpaksa memohon pinjaman sehinggalah harga tawaran asal RM25,000 sebuah rumah telah meningkat kepada RM35,000 bagi lot biasa manakala harga bagi lebihan lot dikira sebanyak RM2.50 bagi setiap sekaki persegi.

Seorang penduduk, Sharuddin Mohd Salleh, 50, mengalu-alukan janji Ahli Parlimen tersebut dan berharap masalah tersebut tidak berlarutan lebih lama lagi kerana kebanyakan pembeli rumah itu merupakan penduduk kampung sekitar yang masih belum memiliki rumah.

''Sesetengah daripada kami sanggup menjual lembu dan tanah untuk membeli rumah ini kerana belum memiliki rumah sendiri. Ada pula yang sudah dipotong gaji untuk bayar pinjaman rumah.

“Apabila terbengkalai dan belum diketahui entah bila siapnya, tentulah membuatkan kami tak senang duduk,” katanya.

Tambah Sharuddin, kediaman yang selesa adalah salah satu kewajipan asas bagi sesebuah keluarga yang sempurna kerana dari situ akan lahirlah sebuah masyarakat yang teratur seterusnya menyumbang ke arah keharmonian negara.

Katanya lagi, sebuah kerajaan yang baik dan prihatin pula, lazimnya akan mengambil tanggungjawab memastikan rakyatnya tidak terabai dalam urusan memiliki tempat tinggal.

Seorang pembeli lagi, Siti Fatimah Abdul Rahman, 49, ketika ditemui memberitahu impiannya bagi memiliki rumah sendiri hampir ‘berkubur’ apabila projek berkenaan terus terbengkalai.

“Sejak anak saya kecil dan kini dia dah berusia 24 tahun, rumah yang kami impikan masih juga belum disiapkan”, luahnya dengan nada kecewa.

”Saya sangat kecewa dalam hal ini, sebab telah merancang bersama keluarga untuk tinggal di situ tetapi sampai sekarang rumah itu tidak siap-siap,'' .

“Ini adalah rumah pertama yang saya mohon untuk bersama keluarga dan akibat terbengkalai, saya sekeluarga masih terpaksa menumpang di rumah kakak,'' ujarnya.

Menurutnya, dia telah mengisi borang pada tahun 1989 dan hanya ditemuduga kelayakan pada tahun 2000. Setelah dua dekad menunggu, awal tahun ini pihak kerajaan telah menyuruhnya pergi ke bank untuk membuat pinjaman pembelian rumah berkenaan.

“Saya memang harap sangat rumah ini dapat siap cepat dan kerajaan tidak lepas tangan. Apatah lagi ada pihak yang menjanjikan pemilikan rumah ini tiap-tiap kali pilihan raya”, katanya lagi.


Demo aman: Kerajaan Malaysia talam dua muka
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Feb: Tindakan kerajaan Barisan Nasional yang sering menggunakan alasan ‘mencemarkan imej negara’ bagi menutup tindakan keras dan tidak profesional pihak polis menghalang Parti Hak Asasi dan juga kumpulan Hindu Rights Action Force (Hindraf) semalam adalah memalukan.

Sehubungan itu, Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung menggesa pihak kerajaan berhenti menggunakan sebarang bentuk kekerasan dan menuntut agar ruang diberikan kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat dan kritikan terhadap kerajaan.

Beliau berkata, sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggalakkan perhimpunan rakyat di Libya, maka beliau tidak seharusnya mempraktikkan muka dua talam dengan menahan rakyat Malaysia yang berhimpun secara aman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Tambahnya, Suaram mengecam tindakan pihak polis yang menghalang Parti Hak Asasi dan Hindraf untuk melakukan demonstrasi secara aman bagi membantah kandungan dalam novel 'Interlok' karya sasterawan negara, Datuk Abdullah Hussain semalam di sekitar Kuala Lumpur.

Suaram juga, katanya mengecam tindakan pihak polis menahan beberapa wartawan tempatan yang sedang menjalankan tugas dan ini telah menunjukkan sikap tidak professional dan tindakan melulu yang ditonjolkan oleh pihak polis.

Katanya, pihak polis juga telah secara jelas menyalahgunakan kuasanya dengan menggeledah barang peribadi serta menahan orang awam yang berada di sekitar jalan menuju ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Lebih teruk lagi, pihak polis menahan pemimpin dan pengikut kumpulan tersebut tanpa sebarang alasan dan sebab sebelum demonstrasi dilakukan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengikut berita Malaysiakini (bertarikh 28 Februari 2011), sekitar 123 orang awam telah ditangkap termasuk 109 orang yang telah dilepaskan malam semalam dan 14 orang lain yang telah dibebaskan pada hari ini dari lokap Bukit Jalil.

Katanya, Suaram telah mengeluarkan kenyataan pada 25 Februari bagi menuntut pihak polis menghormati hak kebebasan suara rakyat serta tidak menghalang perhimpunan aman yang dianjurkan oleh Hindraf.

Namun, ujarnya polis enggan bertindak demikian malah telah membuat tangkapan terhadap 123 orang awam.



Betul ke PAS tak ada isu di Kerdau
Dr Dzulkefly Ahmad

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, sama ada sememang hidup dalam penafian atau memang tidak tahu. Apabila beliau dengan sombong menyatakan bahawa pembangkang tak ada isu, beliau sememangnya mahu berbohong kepada rakyat amnya dan pengundi Kerdau khususnya.

Kalau benar bagai dek kata, beliau wajar menggunakan ruang kempen di PRK N28 Kerdau ini untuk memperagakan segala kejayaan kerajaan Pahang. Kalau kerja dah dibuat dan rakyat dah diberi khidmat yang cemerlang, apa perlu sibuk untuk mengumumkan projek-projek ‘mee-segera’ termasuk yang perlu diumumkan oleh Perdana Menteri sendiri yang terpaksa turun pada hari pertama lagi sehingga terpaksa mengumumkan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada warga Felda di Kerdau.

Adnan sepatutnya perlu sedar dan insaf bahawa di bawah kepimpinannya Pahang telah mengalami defisit belanjawan untuk 13 tahun berturut-turut. Rakyat Pahang juga mengingatkan Menteri Besarnya bahawa kerajaan negeri sedang menganggung bebanan hutang sebanyak RM2.17 bilion mengikut Laporan Ketua Audit Negara yang mutakhir.

Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini banyak menyentuh tentang kelemahan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Adnan Yaakub. Ianya merangkumi pelbagai skop. Ayat yang kerap diulangi dalam Laporan tersebut ialah..Pada pendapat Audit…..adalah tidak memuaskan kerana…..Ini menyangkut pelbagai skop dan aspek pembangunan, sama ada yang berkaitan projek sakit dan lewat di bawah Projek Perumahan Rakyat Dimiliki (PPRD), prestasi agensi-agensi kerajaan, aktiviti pengambilan pasir sungai dan kesannya kepada alam sekitar di Sungai Benus, Bentong, pengurusan air tidak berhasil (NRW), pengurusan premis perniagaa sehinggalah kepada urusan pengendalian kes di Mahkamah Syari’ah Negeri Pahang. Pada pendapat Audit ..tidak memuaskan ..kerana.. Rakyat seharusnya telah lama pecat CEO syarikat ini atau MB kerajaan negeri ini.

Cukup mengaibkan.. Tak ada isu kata Adnan!

Sekadar mengambil contoh antara yang terbesar mengikut Laporan Ketua Audit Negara adalah kelemahan-kelemahan pentadbiran dan pengurusan yang mengakibatkan kerajaan negeri kehilangan sumber pendapatan sebanyak RM227.9 juta bila mana empat (4) buah syarikat-syarikat berkaitan negeri (GLCs) gagal membayar balik pinjaman mengikut jadual. Laporan juga mendedahkan bahawa tidak wujud peruntukan dalam perjanjian yang membolehkan kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap GLCs (contoh ASPA dan PKNP dll) apabila GLCs gagal membuat bayaran balik.

Dalam suasana anak-anak syarikat kerajaan ini mengalami kerugian, Menteri Besarnya masih boleh mengarahkan serta mengharapkan 50% dari keuntungan GLCs ini disumbangkan kepada kerajaan negeri. Jelas dan nyata bahawa Adnan sudah tidak peka dan hilang ‘touch’nya dengan realiti. inilah antara sebabnya mengapa pihak penganalisis mengwar-warkan bahawa kerajaan negeri Pahang berpotensi bankrap.

Oleh kerana Laporan Audit Negara adalah maklumat awam (public information), maka sewajarnyalah Kerajaan Negeri bersikap bertanggungjawab dan menerangkan kepada rakyat langkah-langkah yang telah diambil bagi membanteras kepincangan-kepincangan tersebut sebagai satu langkah ‘Pertanggungjawaban Awam”.

PAS menuntut kerajaan negeri di bawah kepimpinan Barisan Nasional mendedahkan prestasi semasa GLCs negeri sebagaimana dilakukan oleh negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Berdasarkan secebis pendedahan di atas, maka PAS/Pakatan Rakyat menyeru seluruh pengundi dalam PRK N28 Kerdau supaya membuat pilihan yang wajar dan tepat bagi membongkar segala kepincangan pengurusan kewangan negeri demi memperjuangkan kepentingan penduduk Kerdau khasnya dan seluruh negeri Pahang amnya.

Maka calon yang paling wibawa bagi merealisasikan tujuan dan menggalas tanggungjawab ini tentunya adalah mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tersebut. Apakah seorang calon yang berlatar belakang di bidang bahasa ’Arabkah atau yang berlatarbelakang di bidang ‘profesional’ dengan kemampuan serta pengalaman kerjayanya di luar negara dan dalam negeri?

Rakyat wajar menilai siapakah yang lebih wajar mewakili suara rakyat di Dewan Undangan Negeri Pahang bagi suara ‘semak-imbang’ pelbagai kepincangan pengurusan kerajaan negeri Pahang ini yang di bawah Umno/BN.


Tambah masjid atau tambah jemaah
Mohd Ariffuddin

Di sebuah masjid, seorang lelaki miskin bertanya kepada lelaki kaya mengenai isterinya. Lelaki miskin itu bertanya mengapa beliau hanya memiliki seorang isteri sedangkan beliau mempunyai banyak wang dan beliau juga mampu untuk berkahwin sehingga 4 orang isteri.

Lelaki kaya ini kemudiannya senyum dan menjawab. Bukanlah persoalan kuantiti berapa orang isteri yang harus menjadi persoalan sebenarnya. Sebaliknya dengan memiliki seorang isteri ini adakah kita mampu menjawab semua persoalan yang bakal ditanya di hadapan Allah kelak.

Kata lelaki kaya itu lagi, seharusnya bukan satu atau empat orang isteri yang perlu didebatkan. Perkara utama yang perlu dirisaukan ialah, adakah anak-anak yang dilahirkan bersama dengan isteri yang seorang ini mampu menjadi anak yang soleh dan akan mendoakan kita sesudah kita meninggal dunia.

Meskipun berpeluang untuk bernikah sehingga empat orang isteri. Orang kaya itu tetap setia dengan isterinya yang seorang kerana beliau lebih mementingkan pengisian ilmu kepada anak-anaknya berbanding menambah cawangan isteri.

Persoalan yang ditanyakan kepada lelaki kaya di atas barangkali dapat disamakan dengan kenyataan 2 masjid dalam tempoh 20 tahun. Jumlah bilangan masjid sepatutnya tidak perlu dijadikan persoalan yang besar. Yang perlu dijadikan persoalan adalah berapa ramai orang yang datang memenuhkan masjid pada setiap waktu solat.

Sememangnya jemaah akan memenuhi masjid pada waktu solat jumaat sehingga ke jalan raya. Namun bagaimana pula dengan kehadiran jemaah pada waktu subuh, maghrib, isyak dan asar? Bilangan makmum yang mendirikan solat di belakang imam kebiasannya dapat dikira dengan jari bagi sesetengah masjid.

Berhentilah daripada membincangkan jumlah masjid yang dibina. Pakar-pakar dan juga pemikir perlu mencari jalan bagaimana caranya untuk meningkatkan jumlah jemaah ke masjid. Itu yang harus menjadi topik perbincangan utama semua pihak. Andainya ada pihak yang mampu meningkatkan bilangan jemaah yang datang ke masjid ia adalah sesuatu yang dapat dibanggakan dan ia perlu dicontohi oleh semua pihak.



Kenapa baru sekarang nak bantu rakyat
Aziz Muda

JASIN, 28 Feb: Penduduk di kawasan Dun Merlimau kini amat hairan dengan tindakan para pemimpin Umno dan kerajaan Melaka yang begitu bersungguh-sungguh untuk membantu penduduk di kawasan itu, sedangkan sebelum ini tidak pula sedemikian.

Jika sebelum ini mereka diabaikan dari segala aspek, kini mereka bukan sekadar disogokkan dengan wang, tetapi juga diberikan jalan tar hingga ke hadapan rumah dan diperbaiki longkang-longkang yang rosak.

Beberapa orang penduduk di kawasan Merlimau ketika ditemui berkata, dengan itu ternyata, mereka bukan ikhlas hendak menolong, tetapi hanyalah untuk memancing undi bagi mendapat kemenangan dalam pilihanraya.

Seorang penduduk yang ditemui, Ismail Abdul Rahman, 77, (gambar) berkata, menjelang PRK Dun Merlimau 6 Mac ini, beliau juga turut didatangi para pemimpin Umno dan turut diberikan jalan tar hingga ke hadapan rumahnya.

Menurut beliau, bantuan seperti itu turut diberikan kepada beberapa orang jirannya yang lain, sehingga menyebabkan mereka menjadi hairan dengan apa yang diberikan itu.

Katanya, pada hal, beliau dan jiran-jirannya tidak pernah memohon bantuan sedemikian dan mereka sendiri dapat mengagak berapa banyak wang rakyat yang disalahgunakan oleh para pemimpin Umno atau BN untuk kepentingan mereka.

"Sebenarnya, dah 45 tahun saya tak dibantu apa pun oleh kerajaan. Kalau ada pun bantuan seperti ini kepada orang ramai yang juga pernah saya kecapi hanyalah zaman Tun Razak dulu.

"Jalan tar di hadapan rumah itu pula bukanlah penting sangat. Tak diberikan jalan tar pun kami boleh gunakan jalan sedia ada dengan selesa untuk berulang alik ke rumah. Tapi diberikan jalan tar kami ambil. Diberikan apa saja pun kami ambil," katanya.

Beliau yang juga salah seorang pengundi di kawasan itu memberitahu, para pemimpin Umno kini amat terdesak sehingga sanggup memberikan apa sahaja kepada para pengundi terutama di kawasan-kawasan peti undi yang tidak memihak kepadanya.

"Dengan itu, ternyata, kita tidak perlu takut untuk menyokong PAS atau pembangkang. Jika dekat pilihanraya, mereka pasti cari kita dan berikan bantuan (yang sebenarnya sogokan) kepada kita.

"Kepada para penyokong Umno sendiri pula, yang dapat tu dapatlah, yang tak dapat pun cukup banyak, tetapi kepada para penyokong PAS, kami hanyalah mengharapkan bantuan Allah," katanya.

Manakala rakannya, Rusnan Wahab, 52, pula mempersoalkan bantuan wang yang diberikan oleh para pemimpin Umno dan kerajaan Melaya kepada sesetengah nelayan di kawasan itu yang berjumlah antara RM200 hingga RM300 seorang.

"Bantuan itu memang cukup kita faham. Ia adalah sogokan untuk pilihanraya. Tetapi apa maknanya diberikan wang? Kalau betul ikhlas nak bantu nelayan bukan wang sebanyak itu yang diperlukan. Wang sebanyak itu apalah sangat dan berapa hari boleh tahan?

"Kalau benar-benar nak bantu, berilah bantuan dalam bentuk lain yang diperlukan nelayan di kawasan itu seperti enjin, jaring dan seumpamnya kerana itu semua mahal dan lebih diperlukan nelayan. Tetapi enjin dan jaring tak pula diberikan," katanya.

Sementara seorang lagi penduduk yang ditemui, Muhammad Rashid, 32, berkata, longkang di hadapan rumahnya sebenarnya masih elok lagi.

"Tetapi yang peliknya, longkang itu pun turut diperbaharui menjelang PRK Dun Merlimau 6 Mac ini kononnya untuk keselesaan orang ramai, walaupun ia sebenarnya tak perlu diperbaiki sekarang, tetapi bila benar-benar perlu diperbaiki nanti," katanya sambil ketawa sinis.


Daftar warga Thai untuk tawan Kelantan
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 28 Feb: Pihak lawan sedang berusaha mendaftarkan seramai mungkin warga Thai sebagai pengundi pada pilihan raya umum ke-13 bagi merampas kerajaan Kelantan yang kini ditadbir oleh PAS hampir 21 tahun lalu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Husam Musa, berkata tiga Parlimen, iaitu Rantau Panjang, Tanah Merah dan Tumpat akan menjadi perhatian mereka sebagai ‘target’ untuk merampas negeri ini keseluruhannya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis seminar mahasiswa mahasiswi Mesir, di Balai Islam, Lundang, di sini hari ini.

Menurutnya, PAS Kelantan mempunyai senarai penuh berhubung perkara itu.

“Kita amat kesal dengan kejadian ini dan sekiranya ia berterusan berlaku, bermakna masa depan negara akan ditentukan oleh warga asing dan bukannya rakyat negara sendiri,”ujarnya.

“Ini kerana warga asing itu akan diberi kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum akan datang,”ujarnya.

Husam menambah, kerana kepentingan diri mereka sanggup berbuat demikian walaupun bersalahan dengan moral dan undang-undang.

Beliau seterusnya berkata, sekiranya perkara ini berterusan ia langsung tiada beza dengan kerajaan Mesir yang digulingkan rakyat di bawah pemerintahan Hosni Mubarak.

Tambahnya, walaupun menang besar pada pilihan raya baru-baru ini, namun Hosni Mubarak direntap keluar oleh rakyat.

“Kiranya menang besar kerana pilihan raya, sudah tentu kebangkitan rakyat menentang kerajaan tidak akan berlaku,” ujarnya.

Beliau turut berpendapat, kebangkitan besar itu turut memberi kesan besar pada negara sekitar di Timur Tengah lain yang juga inginkan keadilan.

Kata Husam lagi, lanskap politik di Asia Barat akan berubah sekurang-kurangnya setahun akan datang.

Program anjuran Alumni Keluarga Pelajar, Kelantan-Mesir itu dirasmikan oleh anggota exco kerajaan negeri, Abdul Fatah Mahmood.

Tiga orang pemimpin telah diundang untuk menjayakan majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof.

Manakala wacana serta perasmian penutupnya disampaikan oleh anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Seramai 1,082 orang pelajar Mesir Kelantan hadir pada majlis yang penuh bermakna buat mereka.

Turut berucap pada majlis itu, Pengerusi Persatuan Alumni Keluarga Pelajar Mesir, Ustaz Zulkifli Yusof.

Tiada ulasan: