Isnin, 3 Mac 2014

DAKWAH TAK DE ISTILAH BERSARA

KUALA LUMPUR: Tindakan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia menghidupkan kembali cerita dongeng Askar Kacang Merah (Red Bean Army) membabitkan 3,000 tentera siber yang kononnya dibiayai DAP adalah percubaan terdesak Umno bagi menutup tindakannya  membiayai perang siber yang dipercayai berjumlah ratusan juta ringgit.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang (gambar) dalam satu kenyataan media berkata, apabila membaca kolum Awang Selamat bertajuk "Pihak berkuasa kita!"  di akhbar Mingguan Malaysia, 2 Mac lalu, berhubung isu itu, beliau menyifatkannya sebagai cerita klasik "sipencuri jerit pencuri".

Kolum Awang Selamat, ujar Lim bukan sahaja berbau hipokrasi tetapi mempunyai objektif jelas menaburkan kebencian kaum dan agama menerusi pembohongan dan pemalsuan yang diberi "kekebalan undang-undang (imunity) dan bebas dari hukuman (impunity)".

"Awang Selamat  menghidupkan kembali dakwaan kononnya DAP membiayai apa yang dipanggil "Red Bean Army" (RBA) dengan 3,000 tentera siber dan bajet antara RM100 juta hingga RM1 bilion bagi tempoh enam tahun lepas.

"Kolum itu juga menyerang pihak berkuasa yang didakwa mengamalkan dwi-standard apabila membiarkan DAP dan RBA 'lesen untuk membuat provokasi melampau' menghina Melayu, Islam, pasukan keselamatan, kakaitangan kerajaan dan negara," ujar Kit Siang.

Beliau menimbulkan persoalan mengapa pihak pengarang Utusan Malaysia menghidupkan kembali isu RBA selepas mula menimbulkannya enam bulan lalu?

Menurut Kit Siang, pada Mei dan Jun tahun lalu, Utusan Malaysia mendakwa kononnya RBA mempunyai dua pusat operasi iaitu di Hotel Concorde, Kuala Lumpur dan bangunan Komtar, Pulau Pinang.

"Seperti yang pernah saya sebutkan, semua ini adalah cerita dongeng moden yang tidak punyai satu pun kebenaran," tegasnya.

Menurut cerita dongeng Utusan Malaysia, modus operandi RBA adalah menyerang ahli politik, ahli perniagaan atau penghibur yang dilihat sebagai pro-BN melalui facebook, tweeter, YouTube bertujuan menimbulkan kebencian di kalangan pengundi Cina erhadap mereka.

Kit Siang menambah,  berdasarkan laporan Utusan itu, beliau telah mengetuai sekumpulan Ahli Parlimen DAP termasuk Chong Chieng Jen (Bandar Kuching),  Tony Pua (Petaling Jaya Utara) dan Fong Kui Loon (Bukit Bintang) dengan disertai petugas media melakukan lawatan mengejut ke Hotel Concorde pada jam 10 malam, 4 Julai tahun lalu.

"Kami dapati Hotel Concorde – yang sepatutnya menjadi salah satu pusat operasi berbilion ringgit RBA  -  dikerumuni pemimpin Umno dan aktivis parti itu tetapi bukan RBA. Kami juga membuat penemuan yang lebih memeranjatkan apabila mendapati ais kacang yang dijual di Hotel Concorde tidak langsung mengandungi kacang merah!" selar Kit Siang sinis.

Beliau menambah, 'kegilaan' terhadap dongeng RBA DAP itu berkait dengan agenda sulit yang membabitkan para pemimpin tertinggi Umno untuk menghalalkan peruntukan sebanyak RM350 juta bagi lima tahun untuk memerangi RBA yang tidak wujud dan hanyalah rekaan semata-mata.

"Utusan menghidupkan semula dongeng ini kerana laba dan wang. Ia jelas merupakan usaha terdesak askar upahan Umno supaya mereka tidak diketepikan dari mendapat dana perang siber Umno yang jumlahnya mencecah ratusan juta ringgit.

Kit Siang mendakwa Umno/BN kini mempunyai rancangan perang baru yang akan dikendalikan oleh sekumpulan 'panglima' muda yang bijak IT dan akan membekalkan maklumat serta menyediakan taktik menyerang dan bertahan dalam perang siber Umno/BN yang baru.

"Untuk rancangan baru ini, tidak banyak ruang dibuka kepada askar upahan Umno yang dulu, khususnya kalangan yang telah mengumpul kekayaan dengan menyebarkan dongeng RBA DAP. Atas sebab inilah pengarang-pengarang Utusan yang sentiasa menganggap diri mereka sebagai penaung askar siber upahan Umno melancarkan semula dongeng RBA DAP sebagai usaha terakhir mereka untuk kekal relevan dalam rancangan perang siber Umno/BN yang baru," jelas Kit Siang.
KUALA LUMPUR:  "Syukur".  Itulah ungkapan beberapa penduduk di Kajang dan Balakong dekat sini yang kembali menikmati bekalan air bersih setelah hampir sebulan mengalami krisis ketiadaan air.
  
Walaupun krisis belum berakhir, pelaksanaan program catuan air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) memberi seribu kelegaan kepada penduduk, terutama mereka yang mempunyai anak kecil, warga emas dan peniaga.
  
"Lebih baik sekejap ada (air), sekejap tiada daripada berterusan tiada. Sekurang-kurangnya kami boleh simpan air dan mandi di rumah sendiri, bukannya bersusah sehingga terpaksa ke masjid atau stesen minyak terdekat," kata Norma Mohamad, 29, seorang pekerja swasta kepada Bernama.
  
Ibu dua anak itu berkata rumahnya di Taman Impian Ehsan memperoleh bekalan air dua hari lalu yang membolehkannya menyimpan air untuk kegunaan dua anak kecilnya.
  
"Anak-anak masih kecil memang perlukan banyak air... dan air yang ada bolehlah disimpan untuk keperluan penting seperti mandi dan membasuh," katanya yang memilih makan di luar bagi menjimatkan air.

Seorang guru dari Taman Tun Hussein Onn, Cheras, Rashidah Abdul Rahim, 55, pula berkata beliau terpaksa menumpang sementara di rumah adiknya sepanjang ketiadaan berkalan air.
  
"Memang susah nak jalankan aktiviti harian, nak solat... hendak tak hendak memang kena menumpang di rumah saudara.
  
"Tapi mujurlah Jumaat lepas bekalan air dah ada semula... walaupun secara bergilir-gilir, tak mengapalah... terima kasih kepada Syabas," katanya.
  
Pemilik Kedai Dobi Koong Tou, Lee Chai Lian, 35, berkata kedainya di Taming Jaya, Balakong baru sahaja ketiadaan bekalan air hari ini.
  
"Selama ini kawasan kedai saya ada air, tapi hari ini tidak ada, mungkin  sebab Syabas sudah buat catuan air. Tapi tak ada masalah kerana Syabas beri notis dalam media dan kita boleh simpan air awal-awal," katanya yang meneruskan  perniagaan seperti biasa.

Syabas sebelum ini berkata pelaksanaan pelan catuan bekalan air bermula 2 hingga 31 Mac di Kuala Lumpur, Gombak, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor dibuat berdasarkan konsep bergilir-gilir iaitu dua hari mendapat air dan dua hari tiada bekalan.
  
Sementara itu, Balasegar Suppiah, 41, penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, berkata beliau sedar kekurangan air berpunca daripada faktor cuaca dan Syabas perlu memenuhi keperluan semua penggunanya.
  
"Jadi langkah catuan ini memberi peluang sama rata kepada semua untuk mendapat bekalan air," katanya.
  
Penolong Pegawai Perubatan Kanan di Klinik 1Malaysia PPR Desa Rajang, Mohd Johan Musa berkata pihaknya mendapatkan air daripada pili bomba berhampiran untuk kegunaan di tandas manakala air yang dibekalkan Kementerian Kesihatan diguana untuk merawat pesakit.
  
Bagi pesara kerajaan Rosli Mansur, 63, selain menyimpan air paip, beliau turut mengambil langkah awal dengan membeli air yang dibotolkan. - Bernama
KUALA TERENGGANU: Masjid dan surau di negeri ini disaran supaya mengadakan solat 'istisqa' untuk memohon hujan turun ketika cuaca kering dan panas sekarang.
  
Saranan dibuat Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Mohd Rozali Saleh yang berkata umat Islam boleh melakukan usaha sedemikian termasuk untuk membantu memadam kebakaran yang berlaku di hutan paya gambut dekat Kampung Tok Kah, Dungun dan kebakaran hutan di Lembah Bidong, Setiu.
  
Pada perkembangan lain, beliau berkata Terengganu telah memberi peruntukan sekali ganda untuk pertandingan hafazan sejak lima tahun lalu.
  
"Ini bertujuan memberi imej positif dan galakan motivasi terutama kepada remaja untuk membudayakan al-quran dalam kehidupan seharian mereka.
  
"Sejak lima tahun lalu, juara untuk hafazan 1 hingga 30 juzuk ialah sebanyak RM7,000; 1 hingga 20 juzuk (RM5,000) dan 1 hingga 10 juzuk (RM3,000)," katanya kepada pemberita di majlis meraikan peserta menghafaz al-Quran di sini hari ini.
  
Mohd Rozali berkata Terengganu merupakan negeri pertama yang memberi elaun khas kepada penghafaz al-quran sejak 1982 dan langkah positif itu mula diikuti banyak negeri lain. – Bernama
KUALA LUMPUR: Iran dikatakan mula membuat tindakan balas ekoran serangan agresif Kerajaan BN terhadap Syiah yang dianuti majoriti rakyat negara itu, sehingga menjejaskan ekonomi negara Malaysia.

Malah tindakan itu juga telah menyebabkan seorang menteri BN menghubungi pemimpin PAS, meminta bantuan agar parti islam itu memulihkan hubungan dagangan kedua-dua negara.

Malah menurut satu sumber, menteri berkenaan turut mengakui serangan melampau Umno BN terhadap Syiah sebelum ini adalah langkah yang silap.

Ianya memuncak apabila Kerajaan Malaysia mengumumkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan haram berdasarkan peruntukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.

Ekoran tindakan itu, Malaysia dilihat sebagai negara pertama di dunia mengharamkan Syiah.

Dakwaan menteri Umno menghubungi PAS itu turut disahkan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi kepada The Malaysian Insider hari ini.

"Memang benar ada menteri hubungi saya untuk meminta bantuan itu," kata beliau yang enggan menamakan menteri terbabit.

Iran kini didakwa tidak mahu lagi membeli minyak sawit dari Malayisa malah sudah mula mencari alternatif bekalan itu dari negara pengeluar yang lain.

Pada Januari hingga November 2013 sahaja, Iran mengimport 671,384 tan minyak sawit dari Malaysia. Ia menjadikan negara itu antara pengimport utama minyak sawit Malaysia.

Selain itu, Iran juga didakwa enggan membenarkan Malaysia melalui syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) daripada menjalankan aktiviti cari gali di negara itu.

"Petronas mengalami kerugian paling banyak apabila usaha cari galinya di Iran menerima halangan daripada kerajaan Iran sedangkan pada waktu sama syarikat Amerika Syarikat (AS) termasuk Esso dan Conoco sudah mula masuk ke negara itu," kata Syed Azman.

PAS mempunyai hubungan akrab dengan gerakan Islam antarabangsa termasuk di Iran.

Dalam beberapa isu khususnya krisis di Asia Tengah dan Timur Tengah, PAS turut berperanan dan terlibat dalam rundingan penyelesaian di peringkat gerakan Islam global.
KOTA BHARU: Pertubuhan R Kelantan (R) mendakwa ada pihak cuba menggagalkan program penyerahan memorandum anjuran NGO tersebut kepada kerajaan negeri pada 6 Mac ini.

Presiden R, Nazri Deraman berkata, memorandum yang dirancang mahu diserah kepada kerajaan negeri berhubung tuntutan royalti ke atas pengeluaran petroleum di pelantar Damar yang berada di perairan Kelantan.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya mendapat maklumat ada pihak-pihak tertentu cuba untuk membuat provokasi dengan menyertai program R tersebut.

“Kami melihat ada unsur-unsur sabotaj bagi merosakkan imej kerajaan negeri dan merosakkan nama dan hubungan baik R dengan kerajaan Kelantan.

“Sehubungan itu bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini, maka R akan menunda program penyerahan memorandum tersebut pada tarikh lain,” katanya di sini.

R yang dianggotai anak-anak muda bergabung di bawah nama Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan.

Kini NGO itu berdaftar secara sah dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan atas nama Pertubuhan R Kelantan.

Nazri berkata, pihaknya pada mesyuarat 26 Februari menetapkan 5 Mac bagi menyerah memorandum tersebut sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Namun katanya, pada hari yang sama pihaknya mendapat maklumat perhimpunan aman anjuran NGO SETIA akan diadakan di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Oleh itu R menunda program berkenaan kepada 6 Mac bagi mengelakkan pertembungan dengan perhimpunan yang dijangka dianjur NGO propembangkang.

“Kami mendapati pihak terbabit merancang untuk mencetak dan membeli baju R untuk dipakai semasa perhimpunan tersebut,” kata beliau.

Menurutnya juga beliau telah memaklumkan kepada Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob mengenai perancangan R menyerah memorandum tersebut dan telah mendapat persetujuannya,” tambahnya.

Sehubungan itu Nazri berkata, mana-mana pihak atau individu yang menyertai perhimpunan pada 5 Mac atau 6 Mac ini tidak boleh sama sekali dikaitkan dengan R.

“Saya tegaskan bahawa tidak timbul pihak R terlibat atau akan terlibat dengan usaha-usaha yang cuba menjatuhkan imej kerajaan negeri yang ada sekarang.

“Perjuangan R dan pimpinan kerajaan negeri sekarang isu tuntutan Royalti,” katanya.

 Anwar sokong perjanjian air, pinda jika bebankan rakyat
Posted on Monday, March 03 @ 13:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo



Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini mengumumkan beliau tidak menentang perjanjian persefahaman (MoU) di antara kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan negeri Selangor berhubung perjanjian konsesi air tetapi perlu menyemak secara terperinci perjanjian itu.

Ketua pembangkang itu berkata soal untuk meminda atau pun tidak kandungan MoU itu sekiranya beliau menjadi menteri besar Selangor bergantung sepenuhnya kepada kepentingan rakyat.

"Saya terlibat di peringkat awal rundingan dan saya bersetuju rundingan perjanjian dengan kerajaan persekutuan.

"Selagi saya belum baca MoU, ruang untuk saya komen terbatas. Ada perjanjian mutlak dan ada yang boleh dikaji semula," katanya dalam satu majlis Dialog Anak Muda di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

Kerajaan negeri Selangor menandatangani perjanjian MoU dengan Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air berhubung pemilikan konsesi air di Selangor pada Khamis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyaksikan upacara menandatangani MoU berkenaan antara Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Maximus Ongkili di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Anwar berkata oleh kerana Pilihan Raya Kecil Kajang diadakan pada 23 Mac ini maka kerajaan persekutuan bersungguh-sungguh untuk segera memeterai MoU Langat 2.

Katanya, jika MoU yang ditandatangani Khalid itu sememangnya memberi faedah kepada rakyat Selangor maka tiada keperluan untuk dipinda tetapi jika sebaliknya, satu kajian semula akan dilakukan.

“Masalah air enam tahun berlarutan tetapi kerana Anwar bertanding di Kajang, cepat-cepat diselesaikan. Kalau tidak, ingat nak selesai? Tidak. Kajang sememangnya membantu.

“Muhyiddin dan Khalid dah nyatakan tetapi jika ia mempertahankan kepentingan rakyat Selangor maka tiada sebab untuk dipinda tetapi jika tidak menguntungkan dan bercanggah dengan dasar Pakatan Rakyat (PR) mungkin kita akan kaji semula,” katanya.

Muhyiddin dan Khalid bersetuju bahawa MoU air itu tidak boleh diubah meskipun Anwar dilantik menjadi menteri besar Selangor.

Khalid semalam berkata Putrajaya dan kerajaan negeri melihat MoU itu sebagai satu perjanjian yang mengikat antara dua pihak untuk melaksanakan apa yang dipersetujui.

Katanya, baik kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan melihat usaha sama tersebut lebih besar daripada sekadar perjanjian kerana ia memerlukan komitmen kedua-dua belah pihak.

Mengulas mengenai dakwaan pelbagai pihak yang mendakwa Khalid tidak memaklumkan kepada Anwar berhubung MoU berkenaan, ketua umum PKR itu berkata beberapa prinsip dasar dalam MoU itu sudah diketahui dan tiada keperluan untuk memaklumkan semua butiran dengan segera.

Katanya, keputusan kerajaan persekutuan yang hanya memberi notis satu hari kepada kerajaan negeri Selangor untuk menandatangani MoU berkenaan sebagai luar biasa dan tidak pernah dibuat oleh mana-mana negara.

“Perjanjian terperinci tidak perlu dimaklum semua. Sudah tentu saya patut dimaklumkan tetapi beberapa prinsip dasar memang diketahui berhubung isu jaminan harga air untuk rakyat dan penguasaan aset Langat 2.

“Bila MoU yang dibuat agak mengejut kerana notis diberi kerajaan persekutuan cukup suntuk. Saya percaya ini sebab Kajang.

“Bagi menandatangi MoU berbilion ringgit dan notis satu hari diberikan, belum pernah berlaku dalam sejarah dunia walaupun rundingannya awal,” katanya.

Perjanjian antara kerajaan negeri dan Putrajaya ditandatangani pada Rabu lalu bagi pengambilalihan aset air negeri dan pembinaan loji rawatan air.

Baik Khalid mahupun Muhyiddin menegaskan perjanjian itu bukan seperti usahasama yang biasa kerana ia bersifat tetap dan tidak boleh dipinda.

Bagaimanapun ia tidak persetujui oleh pakar perundangan.

Peguam, Syahredzan Johan menegaskan ia bukan dokumen yang mengikat secara sah di sisi undang-undang dan menyatakan pihak yang menandatangani mungkin masih di peringkat perbincangan.

Katanya, ia hanya mencerminkan niat pihak tertentu untuk bekerjasama ke arah matlamat yang sama.

Merujuk kepada perjanjian antara Selangor dengan Putrajaya, Syahredzan berkata ia tidak terikat secara sah di sisi undang-undang, maka ia boleh terbatal. – 2 Mac, 2014.-tmi


 Kelantan-Selangor laksana 7 projek usahasama
Posted on Monday, March 03 @ 12:20:43 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo





KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan dan Selangor semalam mencapai persetujuan  untuk melaksanakan tujuh projek usahasama bagi manfaat ekonomi kedua-dua negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani kedua belah pihak bertempat di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR10, dekat sini, semalam.

Daripada tujuh projek yang dirangka, empat bakal dilaksanakan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) membabitkan pusat halal hub bertaraf antarabangsa, pendidikan, rawatan air dan sistem horas.

Tiga lagi projek pula bakal dikendalikan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bagi mengembangkan Ar Rahn (sistem gadaian Islam) di Selangor, pembangunan wifi dan jalur lebar di Selangor dan mewujudkan pusat pengumpulan pemasaran bagi produk makanan halal keluaran usahawan Kelantan dan Selangor.

MoU ditandatangani Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan disaksikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Kelantan dan Selangor.

Ustaz Ahmad, ketika berucap berharap MoU yang ditandatangani akan dilaksanakan secepat mungkin dan menjadi rahmat kepada kedua-dua belah pihak.

"(Sebagai contoh) masalah kapsul yang selama ini diragui status halalnya diharap dapat diatasi dengan terbinanya pusat hab halal," ujarnya.

Abdul Khalid pula berkata, proses pemantauan akan dilakukan setiap tiga bulan oleh pegawai khas yang dilantik untuk memastikan keberhasilan MoU yang ditandatangani.

Menurut beliau, Selangor juga mencontohi Kelantan dalam menubuhkan sekolah sains tahfiz yang mampu mendidik masyarakat kepada ajaran Islam yang murni.


Abdul Khalid dan Ustaz Ahmad dalam sidang media selepas majlis menandatangani MoU.

harakahdaily

Tiada ulasan: