Ahad, 2 Mac 2014

ALLAH BAGI AIR PERCUMA...ROH PERCUMA....DUK DUNIA PERCUMA....SEMUA ALLAH BAGI PERCUMA....ITU PUN TAK DE BERHATI PERUT...SENANG2 LAWAN ALLAH....INGKAR PERINTAH ALLAH.... TAK NAK PI SEKOLAH/TAK NAK PI BELAJAR AGAMA HINGGA KE HUJUNG NYAWA....TAKUT JAHIL HINGGA KE HUJUNG NYAWA....JUGA INGKAR PADA ALLAH KE HUJUNG NYAWA....MANUSIA MACAM NI TAK BOLEH PAKAI

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan langkah kerajaan Selangor yang memberikan komitmen untuk memperluas pemberian air percuma kepada Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Bandar, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata langkah itu tentunya menguntungkan warga kota yang kini dihimpit dengan kos kehidupan di bandar yang sangat tinggi.

Katanya, peluang itu lebih cerah apabila kerajaan Selangor menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan kerajaan pusat bagi membolehkan Selangor mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri itu.

 "Jika (pemberian air percuma) ini berlaku, Tan Sri Khalid menempa suatu lagi kejayaan dengan memastikan penduduk KL juga mampu menikmati kemudahan sama seperti rakyat di negeri Selangor.

"Sememangnya warga KL memerlukan kemudahan-kemudahan seperti ini bagi meringankan bebanan hidup mereka terlebih lagi dengan kenaikan kos hidup," kata beliau dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu beliau turut memuji langkah kerajaan Selangor yang akhirnya dapat mencari penyelesaian isu air yang tidak berkesudahan, dengan pengambil alihan syarikat konsesi air tersebutmelalui MoU dengan kerajaan pusat.

"Bagi saya, sudah tiba masanya kerajaan (pusat) meletakkan kepentingan rakyat di hadapan melebihi kepentingan parti dan perbezaan politik.

"Dengan demikian, semua rakyat mendapat manfaat sekiranya pemimpin negara mampu bermuafakat dan duduk semeja menyelesaikan masalah rakyat," katanya.
KUALA SELANGOR: Pasukan Bomba dan Penyelamat masih bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di hutan simpan Bukit Belata dan Hutan Rizab Raja Musa, semalam.

Penguasa Bomba Zon 6 Selangor, Penguasa Bomba Haikal Md Kasri berkata, kebakaran hutan berkenaan bermula sejak 24 Februari dan berpunca daripada kebakaran di kebun kelapa sawit sebelum merebak ke kawasan hutan berkenaan.

Menurutnya, pada mulanya, kebakaran itu seluas 156 hektar sahaja namun meningkat sehingga kira-kira 159 hektar semalam.

“Kawasan kebakaran meningkat disebabkan faktor-faktor seperti angin, keadaan cuaca kering dan pelbagai faktor lain,” katanya dipetik Sinar Harian.

Haikal berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mengelak kebakaran daripada merebak dengan menggunakan pelbagai teknik.

Di antara teknik yang digunakan ialah melakukan kaedah ‘fire break’ iaitu menghilangkan sebarang bahan yang boleh menyebabkan kemerebakan kebakaran ke kawasan baru dan ‘direct attack’ iaitu memadamkan kebakaran secara terus.

Menurutnya, seramai 120 anggota termasuk pegawai daripada balai bomba dan penyelamat Kuala Kubu Bharu, Ampang, Kajang, Selayang dan Zon Ulu Selangor terlibat dalam operasi pemadaman kali ini.

“Kami juga menerima banyak bantuan daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Perhutanan Ulu Selangor, Pejabat Daerah Kuala Selangor dan Ulu Selangor, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) serta agensi lain.

“Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi yang sudi membantu bomba untuk operasi pemadaman ini,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan kebakaran secara terbuka pada musim panas ini.
KAJANG: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata 38 kematian akibat denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding lapan kematian dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata bagi tempoh itu sebanyak 18,047 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara berbanding 4,250 kes bagi tempoh sama tahun lepas dan peningkatan itu antara lain berpunca kurang kerjasama dalam memastikan kawasan bersih dan tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Katanya, sikap menyerahkan tanggungjawab membersihkan sesuatu kawasan kepada pihak tertentu atau menyalahkan antara satu sama lain disebabkan peningkatan kes denggi, tidak akan menyelesaikan masalah itu.

"Kita perlukan kerjasama dalam isu ini, buat semburan sahaja tak boleh selesaikan masalah ini. Semua pihak kena faham tanggungjawab masing-masing," katanya dalam sidang media selepas menghadiri program gotong royong "Jom Hapus-Tempat Pembiakan Aedes" di Taman Desa Jenaris Kajang, di sini Ahad.

Beliau berkata denggi yang menjadi kebimbangan utama ketika ini, hanya dapat dikurangkan melalui kerjasama semua pihak dengan menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Dr Subramaniam juga meminta pihak berkuasa tempatan memastikan pemungutan sisa pepejal dilakukan mengikut jadual selain memastikan infrastruktur seperti longkang bersih dan tiada tempat takungan air yang membolehkan pembiakan nyamuk aedes berleluasa.

Menurutnya, peningkatan wabak denggi dengan angka kematian tinggi turut mempunyai kaitan dengan perubahan serotaip dominan iaitu daripada serotaip virus den 4 kepada den 2.

Jelasnya, ia merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes denggi yang dilaporkan kerana serotaip DEN-2 dikaitkan dengan manifestasi klinikal yang lebih teruk.

Katanya sehingga bulan lalu, sebanyak 2,670 program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku atau lebih dikenali COMBI telah diadakan di seluruh negara yang dianggotai 53,806 sukarelawan untuk mengurangkan wabak denggi.

Konsep diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan pendekatan komunikasi untuk mengubah tingkah laku manusia turut digunakan bagi mencegah dan mengawal denggi, katanya.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata selain di Kajang, gotong royong membersihkan kawasan turut dilakukan serentak hari ini di sembilan lagi kawasan daripada 110 kawasan panas denggi di seluruh negara.

Sembilan lokasi panas itu ialah Taman Meru Indah Klang; Taman Batu Gajah Perdana, Perak; Taman Seri Impian, Seberang Perai; Taman Desa Cempaka Fasa 2, Nilai; PPR Desa Rejang, Titiwangsa Kuala Lumpur; Taman Johor Jaya, Johor; Taman Desa Baru, Melaka; Taman Sempelang Sembulan, Kota Kinabalu dan Taman Tasik Indah (Jln Tasik Indah 1/7) Kuala Lumpur. - Bernama.
YAN: Malaysia akan memohon kepada kerajaan Arab Saudi supaya kota jemaah haji negara ini dinaikkan bagi musim haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jamil Khir berkata beliau akan ke Jeddah Rabu ini untuk menghadiri mesyuarat mengenai persiapan musim haji akan datang bersama kerajaan Arab Saudi.

"Saya akan cuba mengemukakan rayuan supaya kuota bagi jemaah Malaysia dapat dinaikkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 kepada 6,000 penerima kawasan Parlimen Jerai, di sini Sabtu.

Beliau berkata kerajaan Arab Saudi telah mengurangkan kuota haji untuk jemaah Malaysia kepada 22,000 orang berikutan proses pembangunan dan menaik taraf kemudahan sekitar Masjidil Haram di kota suci Makkah.

"Kita faham mereka terpaksa menetapkan kuota jemaah...tetapi kerajaan akan terus memoho
n dan merayu untuk mendapatkan kuota tambahan sebanyak 10,000 dengan Arab Saudi bagi memenuhi keperluan rakyat negara ini," katanya.

Mengenai kos menunaikan ibadah haji pada tahun ini, Jamil Khir berkata kadar itu kekal RM9,980 walaupun kos sebenar telah meningkat kepada RM16,115 seorang berbanding RM15,575 tahun lalu.

Beliau berkata walaupun berlaku peningkatan kos, kerajaan mengambil langkah untuk tidak menaikan kos sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.

"Setiap tahun akan ada kos tambahan melibatkan tempat penginapan, pengangkutan, penerbangan pergi balik dari Malaysia ke Arab Saudi dan kos mutawif tapi harga masih dikekalkan demi membantu jemaah haji.

"Walaupun kos rendah, kita pastikan perkhidmatan diberikan pada tahap terbaik. Kita mahu kekalkan nilai perkhidmatan dan kualiti kepada jemaah haji Malaysia," katanya. - Bernama.
KUALA LUMPUR: Yayasan Amal Selangor mengambil inisiatif membantu penduduk di beberapa kawasan yang terjejas teruk ekoran ketiadaan air di negeri ini dengan membina 'telaga tiub' untuk mengambil air bawah tanah.

Pengerusinya, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya sebelum ini telah membina telaga tiub itu di Olak Lempit di Hulu Langat bagi membantu masyarakat mendapatkan air.

Kawasan itu antara beberapa kawasan di Selangor terjejas teruk ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) di Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi berikutan pencemaran ammonia di Sungai Langat.

"Kita juga buat tube well (telaga tiub) itu di kawasan Balakong, yang kita kira antara kawasan yang sangat padat penduduk.

"Ini antara tindakan Yayasan Amal Selangor yang kita boleh buat untuk bantu sedikit masyarakat dalam isu ini," katanya.

Isu air melanda kebanyakan negeri di Malaysia ekoran cuaca kering dan tiada hujan sejak dua bulan lalu.

Keadaan kering ini dijangka melanda negara sehingga penghujung Mac ini. Beberapa negeri telah melaksanakan catuan air berdepan masalah ini.
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor sedang giat menyemak semula perjanjian usahasama syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dengan pihak swasta yang bersifat berat sebelah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan mengenal pasti aset dan tanah milik GLC sebelum mengambil langkah memperbetulkan perjanjian didapati terlibat dalam urusan usahasama tidak adil.

Katanya, jika perlu Kerajaan Negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan lebih wajar termasuk merampas semula tanah terlibat dengan usahasama tidak menguntungkan.

“Pengalaman perjanjian usahasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan Nusa Gapurna yang akhirnya menjadi kes mahkamah adalah satu daripada beberapa contoh perjanjian sedang disiasat dan disemak semula.

“Malah untuk PKNS sahaja, terdapat 30 perjanjian usahasama sedang disemak semula,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengambil langkah menyemak usahasama antara Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dan beberapa lagi GLC yang bekerjasama dengan syarikat swasta termasuk Talam Corporation Berhad (Talam).

Bagi mendapatkan semula tanah diberi kepada Talam, Kerajaan Negeri terpaksa membetulkan kesilapan menerusi Perjanjian Penyelesaian Hutang.

Sehubungan itu, bagi mengelak kesilapan berulang, Abdul Khalid berkata, kesemua GLC digalakkan untuk menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Langkah ini bagi memastikan perjalanan urusniaga dibuat mengikut tatakelola betul sekaligus memastikan hak negeri terjamin.

“Kesemua GLC juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam membuat perjanjian melibatkan pembangunan tanah dengan pihak swasta,” katanya lagi.

 Politik Air Di Selangor, Siapa Bakal Kuyup?
Posted on Sunday, March 02 @ 14:40:19 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu





Sejak Menteri Besar Selangor menandatangani memorandum persefahaman atau MOU secara tergesa-gesa dengan kerajaan Pusat yang menyaksikan pertelingkahan yang berlarutan sejak lebih lima tahun lalu menemui titik penyelesaiannya, gelora politik di negeri paling kaya dan menjadi rebutan antara BN dan PR seolah-olah memasuki gerbang baru yang makin sukar diramalkan.

Ia bukan saja kerana MOU itu ditandatangani secara terburu-buru dan diluar pengetahuan pimpinan PR terutamanya Anwar Ibrahim yang merupakan Penasihat Ekonomi negeri itu, malahan ia kemudian disusuli dengan tindakan Khalid Ibrahim mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR menentang penyandangnya sedia ada, Azmin Ali.

Dengan pengumuman bertanding itu bukan saja mengesahkan krisis antara Khalid dengan Azmin selama ini tetapi persoalan juga timbul juga ialah apakah Khalid bersedia berundur daripada jawatannya untuk diserahkan kepada Anwar Ibrahim sebagaimana yang diuar-uarkan sebelum ini?

Bagaimana jika Khalid selepas ini berkeras mahu kekal sebagai Menteri Besar dan tidak lagi mempedulikan Anwar? Bagaimana dengan masa depan Anwar dan PR jika akhirnya Anwar gagal menjadi Menteri Besar, sedangkan ura-ura itu merupakan langkah yang paling ditakuti oleh BN dalam menghadapi PRU 14?

Dari segi Khalid pula, dengan mengumumkan bertanding jawatan nombor dua itu, ia secara langsung menggambarkan beliau mahu terus kekal sebagai Menteri Besar. Ini kerana jika beliau sudah mahu menyerahkan jawatannya kepada Anwar, buat apa lagi mahu bertanding Timbalan Presiden?

Bagaimanapun di pihak BN, ketakutan terhadap KajangMove yang klimaksnya bertujuan menjadikan Anwar sebagai Menteri Besar yang dilihat langkah paling praktikal mengekalkan negeri itu di tangan PR dan mencerahkan lagi harapan menawan Putrajaya, tetap tidak berubah. Rata-rata pemimpin BN, melalui komen yang diluahkan lebih memperlihatkan kebimbangan mengenai peluang BN mempertahankan kuasanya dengan gerakan terbaru PR ini.

Dalam hal ini, sementara pimpinan PR berusaha sedaya mungkin untuk mencapai kemenangan dengan majoriti yang lebih besar berbanding keputusan PRU 13 lalu, pimpinan BN pula tidak henti-henti menakutkan rakyat Selangor mengenainya.

Terbaru, Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor yang pernah bergayut dibawah dagu Anwar ketika beliau menjadi Menteri Kewangan, menasihatkan agar Selangor diselamatkan daripada Ketua Pembangkang itu selepas usahanya untuk menawan Putrajaya sebelum ini menemui kegagalan.

Tanpa menyebut apa sebenarnya yang perlu diselamatkan jika Anwar berjaya menjadi Menteri Besar, yang tersirat daripada kenyataan itu ialah BN akan menjadi semakin tidak selamat kerananya.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad juga berkata, dengan menjadi Menteri Besar Selangor, ia akan menjadi tangga untuk Anwar melangkah ke Putrajaya. Beberapa serangannya terhadap Anwar selepas itu jelas memperlihatkan kebimbangannya, lebih-lebih lagi melihatkan watak Najib yang semakin lemah, tidak bermaya dan semakin dijauhi rakyat.

Secara umumnya, langkah Anwar bertanding di Kajang dan menjadi Menteri Besar selepas itu adalah langkah untuk maju ke hadapan mencapai cita-cita menguasai Putrajaya bersama janji-janji untuk memberi erti kehidupan yang lebih bermakna kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Namun, isu air di Selangor nampaknya telah menggugat sedikit kelancaran menuju matlamat yang mahu dituju itu. Bermula dengan MOU, pengumuman bertanding jawatan Timbalan Presiden, ketidakpastian jawatan Menteri Besar Selangor dan perpecahan dalam PKR yang mulai kelihatan sekarang, semuanya menimbulkan lebih banyak tanda-tanya berbanding kepastian.

Khalid yang sekarang juga juga bukan lagi seperti Khalid yang dulu.

Dalam masa yang sama, UMNO dan BN pula mulai membuat pujian melambung terhadap kepimpinan Khalid. Jika selama ini beliau dikutuk dan dihina dengan pelbagai label, kini Khalid adalah "primadona" bagi UMNO dan BN. Bukan saja beliau dipuji kerana kesediaannya menandatangani MOU air yang dilihat mengutamakan kepentingan rakyat negeri itu, malah ramai yang mahukan beliau terus kekal sebagai Menteri Besar.

Jika Khalid terpedaya dan puji-pujian itu juga menyebabkan beliau perlu memakai songkok yang lebih besar, tidak mustahil beliau akan berkeras untuk kekal sebagai Menteri Besar dan enggan menyerah kalah kepada kemahuan Anwar. Walaupun akhirnya jawatan itu perlu diputuskan oleh Majlis Pimpinan PR tetapi sekiranya Khalid tetap berkeras, ia akan menyebabkan berlakunya krisis kepimpinan di Selangor.

Krisis ini bukan saja boleh menyebabkan negeri Selangor jatuh ke tangan BN akhirnya tetapi juga meleburkan sama-sekali harapan untuk menawan Putrajaya. Jika ingin menuju ke Putrajaya, Selangor adalah penggeraknya. Gagalnya Anwar menjadi Menteri Besar melalui apa yang dinamakan KajangMove ini, bukan saja gerbang Selangor akan roboh, malah tiada harapan lagi menguasai Putrajaya.

Tetapi jika KajangMove ini berjaya sepertimana yang dirancangkan, bukan saja hayat politik Najib bakal disingkatkan lebih awal tetapi juga akan menyebabkan BN semakin lemah menuju PRU 14 nanti.

Segala-galanya kini tergantung kepada penyelesaian yang bermula dengan isu air di Selangor. Sama ada BN atau PR, Najib atau Anwar, Khalid atau Azmin - salah satunya akan basah dan mungkin kuyup kerana isu air ini. (SH 02/03/2014)

SHAHBUDIN HUSIN
http://shahbudindotcom.blogspot.com


  Kassim Ahmad dimasukkan ke Hospital Kulim
Posted on Sunday, March 02 @ 12:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo



Oleh Fadhil Daud

KULIM: Pemikir dan penulis kontroversi, Dr Kassim Ahmad yang mencetuskan kegemparan dengan kemunculan semula mengkritik hadis di Seminar Pemikiran Kassim Ahmad dimasukkan ke Hospital Kulim sejak Rabu lalu kerana kesukaran bernafas.

Rombongan media MySuara yang sepatutnya menemubual beliau secara eksklusif semalam di rumahnya dimaklumkan oleh isterinya, Sharifah Fawziah bahawa beliau dikejarkan ke hospital dengan ambulan dan ditahan wad.

"Dia agak penat kerana selepas seminar tempoh hari, ramai orang datang ke rumah dan menerima banyak panggilan telefon. Anak kami mungkin akan membawanya ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut," jelasnya sambil membawa kami meninjau bilik pejabat Dr Kassim di dalam rumah mereka..

Di bilik bacaan dan penulisan itulah Dr Kassim menghabiskan masa emasnya dalam usia 80 tahun untuk menghasilkan tiga karyanya iaitu Mencari Jalan Pulang, Islamic Renaissance dan Jalan Yang Lurus.

Masing-masing diterbitkan ZI Publications, Brainbowpress dan Pekan Ilmu.

Dr Kassim sebelum ini menyewa di Tanjung Bunga, Pulau Pinang sebelum berpindah ke rumah baru yang dibelikan anaknya Shauqi Kassim di Kulim pada 2006.

MySuara kemudian menziarahi beliau di Hospital Kulim ketika waktu melawat sebelah petang.

Dr Kassim kelihatan sedang berehat dengan dibekalkan tiub oksigen untuk membantu penafasannya.

"Pagi tadi saya sudah pesan roti canai tetapi sampai lewat dan saya sudah minum pagi. Selera makan saya baik walaupun sudah tua. Nasinya sedap cuma lauk ikannya tidak berapa sangat," jelasnya yang sedang menikmati makan tengahari.

"Saya boleh berdialog lagi 3 jam," seloroh Dr Kassim dalam suara perlahan, serak dan batuk ringan.

Dalam pertemuan ringkas selama 30 minit itu,  Dr Kassim sempat menerangkan pandangannya dan menjawab soalan-soalan tambahan dengan bersemangat.

Penampilan Dr Kassim seperti pesakit lain menyebabkan kelibatnya di Hospital Kulim tidak disedari.

Malah sepanjang temubual berlangsung beberapa orang doktor yang lalu lalang teruja apabila melihat buku Jalan Yang Lurus dan mengetahui pesakit mereka adalah penulis buku tersebut.-mysuara

Guan Eng pertahan pembinaan terowong dasar laut

March 02, 2014

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tampil mempertahankan tindakan kerajaan negeri membina terowong dasar laut bernilai RM6.3 billion yang menghubungkan Persiaran Gurney dengan Bagan Ajam di Seberang Prai.

Beliau melahirkan rasa hairan dengan kritikan mengenai pembinaan terowong dasar laut, ekoran pembukaan rasmi jambatan kedua Pulau Pinang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Kerajaan negeri sebelum ini memberi alasan bahawa terowong itu perlu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pulau berkenaan.

Beberapa ulasan di media pro-kerajaan bagaimanapun mendesak kerajaan negeri mengkaji semula pembinaan terowong yang bakal menjadi penghubung ketiga antara Pulau Pinang dan semenanjung.

"Amat jelas laluan ketiga iaitu terowong dasar laut antara Persiaran Gurney dan Bagan Ajam selain dapat mengurangkan kesesakan dalam pulau, ia dilihat sebagai mekanisme yang mengubah pembangunan dan menjana ekonomi di Seberang Perai Utara," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Sambil mempersoalkan penyokong Umno yang membantah pembinaan terowong dasar laut, Lim berkata kerajaan negeri mengutamakan pembangunan dan memberi layanan sama di kawasan yang dimenangi Umno pada pilihan raya lepas.

"Sekiranya Seberang Perai Tengah membangun kerana jambatan dan sekarang ini Seberang Perai Selatan pula, kenapa tidak Seberang Perai Utara?

"Dengan pembinaan terowong itu membuktikan prinsip kerajaan negeri yang tidak menyisihkan setiap rakyat Pulau Pinang biarpun mempunyai fahaman politik berbeza," katanya.

Katanya, pembinaan terowong dasar Laut yang dijangka siap pada 2015 itu merupakan elemen penting dalam Penilaian Kesan Trafik Fasa 2 Tanjung Pinang, dalam projek penebusan semula tanah oleh kumpulan E&O.

Lim mendedahkan bahawa projek penebusan semula tanah melibatkan seluas 940 hektar diluluskan dan ditandatangani oleh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Bagaimanapun, katanya, ketika itu beliau tidak pula mendengar bantahan oleh media BN berhubung projek tersebut.

Beliau juga merujuk kajian pengangkutan yang menyatakan lebih banyak laluan akan membantu menyelesaikan masalah kesesakan trafik.

"Hong Kong boleh mempunyai tiga terowong dasar laut selain daripada jambatan sedia ada, jadi kenapa tidak Pulau Pinang?" tanya Lim, dan menambah bahawa terowong yang akan dibina lebih bersifat mesra alam dan tidak melibatkan negeri lain.

Beliau berkata projek tersebut adalah visi jangka masa panjang kerajaan negeri.

"Pembinaan akan memakan masa selama 12 tahun. Biarpun mempunyai dua jambatan namun dalam masa tersebut, ia tidak mungkin dapat memenuhi pertambahan kenderaan dengan pembangunan yang semakin pesat," katanya.

Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi antara yang membantah pembinaan terowong tersebut, atas alasan ia bukan satu keperluan mendesak untuk menyelesaikan masalah lalu lintas.

Beliau dilaporkan berkata, meskipun projek terowong dasar laut itu sudah dirancang ketika BN memerintah, namun kerajaan BN terpaksa mengubah pelan berkenaan selepas melakukan penilaian dari pelbagai sudut.

"Kerajaan negeri perlu melihat kesan jangka panjang pembinaan terowong itu, terutama kepada nelayan pesisir, kerana pembangunan tidak terancang sedemikian boleh menjejas mata pencarian mereka," kata Abdullah.
 

Allah Tahu Apa Yang Terbaik Untuk Anda Dan Masa Yang Terbaik Untuk Anda Mendapat
Posted on Sunday, March 02 @ 08:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur





Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini, ternanti-nanti bilakah akan tibanya jodoh anda?

Sudah lama anda tunggu dan mencuba untuk mencari jodoh. Tetapi sampai sekarang masih tak dapat-dapat.


Sedangkan rakan-rakan anda yang lain sudah pun mempunyai pasangan dan ada yang telah berkahwin.
Anda?
Masih keseorangan menanti jodoh yang tidak berkunjung tiba. Bersendirian mengenang nasib menimpa diri.
Anda pun ingin berkahwin. Anda pun ingin mendapatkan kelebihan dalam perkahwinan.
Tetapi kenapa masih tak jumpa jodoh anda?
Anda sebenarnya belum bersedia… Jika anda fikir baik-baik, ambil masa duduk fikir sejenak, anda akan tahu kenapa ianya terjadi.
Allah tahu apa yang terbaik untuk diri kita. Allah tahu bilakah masa yang sesuai untuk kita memperolehnya.
Sebagai contoh, mungkin anda ingin mempunyai pasangan dan ingin berkahwin pada waktu ini. Tetapi sampai sekarang anda masih tidak jumpa pun pasangan anda dan sampai sekarang anda masih tidak kahwin-kahwin.
Apabila anda fikir baik-baik, sebenarnya anda masih belum bersedia untuk berkahwin. Mungkin anda ada masalah dari segi kewangan. Kalau anda kahwin, mungkin anda terpaksa buat pinjaman dan terbeban menanggung hutang selepas berkahwin.
Hutang kahwin nak kena bayar. Makan minum si dia pun anda perlu tanggung. Anda sebenarnya belum mampu lagi untuk berkahwin dengan si dia. Anda sebenarnya belum bersedia untuk berkahwin.
Tetapi jika tiba masanya, Allah akan permudahkan jalan dan anda akan rasa senangnya untuk berkahwin ni. Tak perlu pun nak pening kepala fikir macam-macam masalah sebab Allah sudah bantu anda.


Allah Maha Mengetahui Contoh lain pula bagi mereka yang ingin mendapatkan anak. Kahwin dah lama, tetapi sampai sekarang masih tak dapat anak lagi.
Semua itu adalah ketentuanNya. Mungkin kalau diberikan anak kepada anda, anak itu mungkin tidak mendapat kasih sayang yang sepatutnya.
Atau anda mungkin tidak dapat fokus dengan projek besar yang anda sedang kendalikan di pejabat dan akhirnya anda dibuang kerja kerana gagal menyiapkan projek mengikut jadual kerana sibuk menguruskan anak.
Ingatlah, Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.
Jika tiba masanya, jika itulah saatnya, percayalah Allah akan berikan ia kepada anda.
Apa yang penting, jangan berputus asa dan yakinlah bahawa Allah tahu apa yang terbaik untuk diri anda dan tahu bilakah masa yang terbaik untuk anda mendapatkannya.

MR TEDDY
http://www.tentangcinta.com

Tiada ulasan: