Sabtu, 4 Ogos 2012

KARTUN NGO NI...SEBAB POLITIK TAK DAPAT ROYALTI....JANGAN NAK SOROK KESALAHAN BERTAHUN2...ALLAH TAHU SAPE YANG PENIPU DAN KHIANAT...AKHIRAT JAWAB

Royalti: Tidak perlu jawatan kuasa

Mohd Sayuti Omar, 04 Ogs 2012
Tuntutan mengenai royalti petroleum untuk Kelantan nampaknya sudah menampakkan hasil. Kata orang sudah ada cahaya di hujung terowong. Tidak sia-sia rakyat Kelantan membangkitkan perkara ini tanpa jemu-jemu.

Perkembangan berhubung perkara ini seperti mana dijelaskan oleh perdana menteri, Ha Najib Razak mengenai penubuhan sebuah jawatankuasa mengkaji pemberian ini sesuatu berita yang manis untuk rakyat Kelantan dan semacam ada kesungguhan Najib untuk menyelesaikannya.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Abdul Hamid Omar kata Najib akan mengkaji secara menyeluruh berhubung royalti minyak untuk negeri-negeri terbabit. Jawatankuasa itu akan mengambil masa selama enam bulan. Tidak lama sangat ke tu?
Pengumuman itu menjelaskan Najib akhirnya tidak mampu membiarkan begitu saja pemberian royalti itu kerana suara mendesaknya semakin bingit. Mungkin juga beliau merasakan sekiranya penafian mengenai hak rakyat Kelantan boleh memberi kesan politik kepada partinya di Kelantan. Jadi jalan terbaik ialah akur kepada kehendak rakyat Kelantan.

Lebih bererti lagi dengan pengumuman Najib itu apabila MB Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi tahu beliau ada menerima sepucuk surat daripada perdana menteri berhubung perkara itu. Nik Aziz menyifatkan perkembangan positif mengenai royalti itu sebagai rahmat Ramadhan.

Menurut Nik Aziz dalam surat itu menyebut kerajaan persekutuan meminta wakil untuk berbincang mengeni pemberian royalti petroleum. Sebagai orang yang sudah lama dahaga dan lenguh menanti hak itu sudah pasti Nik Aziz sangat gembira.

Kemungkinan isu ini akan selesai dengan baik ditambah lagi dengan kenyataan Menteri Perdagangan dan Industri Antara Bangsa (MITI) Mustapa Mohamed juga memberi tahu isu royali minyak akan selesai di mana beliau ikut berusaha menyelesaikannya.

Kenyataan ketiga-tiga orang ini Najib, Nik Aziz dan Mustapa berhubung royalti petroleum menunjukkan isu royalti minyak itu sudah nampak titik penyelesaiannya.  Kenyataan itu menyakinkan isu itu akan berakhir juga. Justeru semua pihak hendaklah menerima dengan baik dan jangan cuba mengejek atau pun menafikan usaha mana-mana pihak.

Dalam perkembangan lain saya sendiri yakin perkembangan positif mengenai isu royalti petroleum ini ada kena mengena dengan peranan dimainkan Sultan Muhammad Ke V. Khabarnya Tuanku ada menyebut perkara ini kepada perdana menteri. Sudah lama saya menyimpulkan sekiranya sultan sendiri memainkan peranan mendesak hak rakyat dinaunginya, perdana menteri tidak boleh memandang sepi.

Di sinilah keramat dan berkat seorang sultan.

Esok Najib akan mengadakan lawatan ke Kelantan dan mengadakan majlis berbuka puasa dan sembahayng terawih. Untuk menyeronokkan hati rakyat Kelantan dan pihak-pihak yang bekerja keras menuntut royalti elok kalau Najib mengambil kesempatan atas kunjungan itu mengumumkan perkara ini semasa lawatan itu. Jadikanlah pengumuman itu sebagai buah tangan hari raya dari seorang PM untuk rakyat Kelantan.

Bagaimana pun selepas diumumkan penyelesaian hendaklah disegerakan. Jawatankuasa yang dicadangkan itu jangan pula bertele-tele untuk menyelesaikannya. Ia perlu diselesaikan dalam tempoh kurang enam bulan. Sebenarnya untuk tujuan ini tidak payah pun tubuh jawatankuasa khas itu, menghabiskan wang rakyat saja, sebaliknya ia boleh dibuat dengan berunding terus dengan pihak kerajaan Kelantan.

Rasanya soal undang-undang dan implikasinya sudah difahami oleh semua. Kenapa hendak mempersulitkan sesuatu yang mudah. Mengenai hak dan bahagian negeri Kelantan dan mana-mana negeri yang terbabit dengan pengeluaran minyak sudah dijelasnyatakan dalam akta petroleum 1975 yang ditandatangani itu.

Jawatankuasa itu dilihat lebih kepada "red tape" untuk melengah-lengahkan sahaja pemberian itu dan ada juga kemungkin rakyat Kelantan tidak mendapat sepenuh apabila jawatankuasa dibentuk itu bias kepada Umno.

JK Khas Royalti: Najib jangan hanya 'sembang kedai kopi'

Hazayani Zakaria, 04 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: PAS mahu kerajaan menjelaskan terma penubuhan jawatankuasa khas yang akan mengkaji isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Meskipun menyambut baik langkah itu, Naib Presiden, Salahuddin Ayub berkata, sebelum sebarang perundingan diadakan, kerajaan negeri dan anggota Parlimen mesti dijelaskan tujuan utama penubuhan jawatankuasa tersebut.

"Saya menyambut baik penubuhan jawatankuasa ini tetapi ingin mendapat penjelasan mengenai terma-terma jawatankuasa ini dan mestilah dijelaskan kepada kerajaan negeri dan ahli Parlimen.

"Terma mestilah menyatakan dengan jelas perundingan itu kerana kita tidak mahu jawatankuasa ini sekadar untuk bersembang minum kopi," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian kepada Harakahdaily hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini dilaporkan berkata, jawatankuasa khas tersebut akan membuat kajian untuk mengenal pasti negeri-negeri yang layak menerima bayaran tunai daripada hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Jawatankuasa akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri tersebut.

Akur desakan rakyat

Salahuddin berkata, langkah kerajaan ini membuktikan mereka terpaksa akur dengan tuntutan rakyat yang mahu hak mereka dikembalikan.

"Ini langkah terdesak perdana menteri. Akhirnya Putrajaya terpaksa akur dengan tuntutan rakyat dan satu kejayaan awal setelah usaha kita membawa perkara ini ke Parlimen," katanya lagi.

Namun tambah beliau, PAS menuntut kerajaan serius menubuhkan jawatankuasa ini, bukan semata-mata untuk meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum nanti.

"Kita tak mahu jawatankuasa ini menjadi gimik politik menjelang pilihan raya untuk mengaburi mata rakyat," katanya.

Rakyat diajak cipta logo Merdeka alternatif pula

Harakahdaily, 04 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Selepas mengemukakan tema alternatif Hari Merdeka, 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa', Pakatan Rakyat kini sedang berusaha pula untuk mengumpul cadangan logo alternatif dari rakyat.

Mereka hari ini melancarkan satu akaun laman peminat di Facebook atas nama '101 Cadangan Logo Merdeka - Sebangsa, Senegara, Sejiwa' untuk memudahkan rakyat negara ini menghantar cadangan rekabentuk logo itu.

Selain di Facebook, rakyat Malaysia yang mempunyai kreativiti, boleh juga menghantar logo ciptaan mereka ke emel sekretariatpakatan@gmail.com.

Menurut maklumat posting terbaru di wall Facebook itu, penganjur juga menyediakan hadiah saguhati kepada sesiapa yang logonya terpilih untuk dijadikan logo alternatif itu nanti.

"Hantarkan logo Merdeka yang anda impikan! Hadiah saguhati disediakan bagi logo yang ter-cool, ter-hot, ter-pilih... walaupun taklah sebanyak kontrak lembu RM250 juta, tapi sumbernya halal, insyaAllah!," tulis admin.

Setakat berita ini ditulis, sudah terdapat satu cadangan logo pertama yang dihantar oleh www.ilusenidesign.com.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat juga mengutip cadangan dari rakyat berhubung tema Merdeka yang lebih sesuai menggantikan tema 'Janji Ditepati' kerajaan yang dikritik banyak pihak sebagai tema politik BN.

Hasilnya, mereka melalui Jawatan Kuasa Pemilihan Tema yang dipengerusikan Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said memilih tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.

Sehubungan itu, Pakatan sekali mengajak rakyat untuk bersama mencadangkan logo alternatif atas tema alternatif itu bagi mengantikan logo pilihan kerajaan sedia.

Sebelum ini, selepas diserang kiri dan kanan akhirnya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim tampil dengan kenyataan membayangkan akan menarik balik logo hari kemerdekaan negara yang ke 55.

Rais berhelah bahawa "Bahan hiasan (artwork) yang dipaparkan oleh sesetengah pihak setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo rasmi."

Beliau berkata, tiada logo rasmi digunakan bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini, melainkan logo 1Malaysia sepertimana sambutan pada tahun lepas.
Pas senyum respons PM, BN menanti PRU
G MANIMARAN & JAMILAH HAMZAH
4 Ogos 2012
Pas senyum respons PM, BN menanti PRU
Kronologi Isu Royalti Minyak Kelantan
ANALISIS - "Hampir 37 tahun kita ditipu, kini mereka sudah mengaku. Dan kita rakyat Kelantan bukan tidak percaya tetapi kami tidak berapa nak percaya." Demikian entri satu blog yang mengulas perkembangan hari ini.
Kelantan sedar dan membawa pertikaian royalti minyak sejak lapan tahun lalu.

Pada Januari 2010, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengulangi pendiriannya - tindakan kerajaan pusat hanya mahu beri wang ihsan adalah satu pengkhianatan, dan tidak akan teragak-agak untuk meminta rakyat adakan doa musnah pemimpin pusat.

Hari ini beliau kelihatan gembira dengan berita menerima surat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu berunding mengenai isu tersebut menerusi satu jawatankuasa khas.

Selepas satu siri 'tarik tali' sejak satu tempoh yang agak lama, perkembangan yang didengar banyak pihak hari ini sesuatu yang agak mengejutkan - lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin dekat.

Rata-rata penganalisis melihat persetujuan Putrajaya untuk membincangkan isu royalti minyak dengan Kerajaan Negeri Kelantan dengan lebih komprehensif dilihat sebagai satu cara terbaik mengukuhkan perpaduan orang Melayu semakin berpecah selain bertujuan melakukan pembangunan di negeri itu, sekali gus memancing pengundi atas pagar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata, rundingan yang akan dilakukan oleh Najib bersama kerajaan negeri Kelantan bakal membawa perubahan kepada rakyat negeri itu dari segi pembangunan dan sosioekonomi.

Menurutnya, Kelantan yang dilihat sedikit mundur berbanding dengan negeri lain di Malaysia akan lebih membangun sekiranya royalti minyak itu diberi secara betul kepada kerajaan negeri dan rakyat membuka ruang khususnya pengundi atas pagar memilih kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).

"Jika rundingan itu berlaku dan perjanjian dibuat oleh kerajaan pusat dan negeri Kelantan mengenai isu royalti minyak, rakyat akan menerima tempias dalam ekonomi terutamanya pembangunan sekali gus membantu menarik pengundi atas pagar memilih BN.

"Serba sedikit rakyat akan buang perasaan tak senang yang anggap Umno lakukan penganiayaan serta penindasan dilakukan oleh kaum Melayu sendiri," katanya kepada Sinar Harian Online.

Dalam pengumumannya, Nik Abdul Aziz memberitahu bahawa Najib telah menghantar surat kepada beliau memintanya menghantar wakil untuk membincangkan pembayaran royalti minyak untuk Kelantan dan cadangan itu turut diterima baik oleh pemimpin Pas yang lain.

Berdasarkan kenyataan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

"Jawatankuasa khas ini akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan," kata Najib.
Ahli Majlis Profesor Negara, Prof Dr .Jayum Anak Jawan juga sependapat dengan Azizuddin.

Katanya, pemberian royalti minyak yang lebih komprenhensif kepada negeri Kelantan bakal menjana ekonomi negeri serta membantu dalam proses pembangunan.

Katanya, rundingan ini juga akan memberi kesan kepada rakyat Kelantan untuk lebih terbuka dan menerima parti politik yang lain selain Pas di negeri itu.

"Rundingan ini patut diteruskan supaya penerimaan royalti minyak di negeri-negeri pengeluar minyak lebih menerima pulangannya lebih komprehensif.

"Pulangan atau royalti bakal membangunkan ekonomi di Kelantan lantas membawa perubahan tanggapan sebahagian rakyat terhadap BN dan mungkin mereka akan lebih terbuka," katanya.

Prof Datuk Dr Zainal Kling, seorang lagi Ahli Majlis Profesor Negara berkata, rundingan yang bakal dilakukan oleh Presiden Umno itu adalah jalan terbaik menyelesaikan masalah perpecahan yang berlaku di kalangan orang Melayu yang semakin meruncing.

Menurutnya, perundingan antara kedua parti Pas dan Umno bakal membawa perubahan kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam terutama institusi kesultanan yang menjadi liabiliti kaum Melayu untuk terus bersatu.

"Kalau betul rundingan itu akan dilakukan, saya yakin perpaduan kaum Melayu dapat diwujudkan kembali seperti dahulu dimana ada seorang pemimpin yang mengawal semua orang Melayu.

"Ia juga mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak dari segi kedudukan parti dan sokongan rakyat di Malaysia," katanya.

Zainal berkata perkara ini akan memberi sedikit kesan kepada kedudukan Umno di Kelantan yang dilihat rakyatnya lebih menyokong Pas.

Pas Kelantan telah mula membuat tuntutan royalti berdasarkan suratcara 1975 Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas. Bagaimanapun ia tidak berhasil kerana peruntukan perundangan yang jelas menidakkan hak Kelantan.

Pemblog Kickdefella, yang pernah bertugas dengan Datuk Husam Musa, iaitu pengerusi jawatankuasa tuntutan royalti Kelantan, berkata, walaupun intipati surat Perdana Menter kepada Menteri Besar Kelantan itu masih belum diketahui dengan jelas, namun begitu berdasarkan kegembiraan Nik Aziz, penduduk negeri Kelantan keseluruhannya boleh merasa yakin bahawa kemelut ini akhirnya menampakkan titik penyelesaian.

"Pujian harus diberikan kepada anak-anak muda Kelantan, termasuklah pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang mesra Pas kerana terus menerus menghidupkan isu ini walaupun menerusi kaedah yang kurang sesuai.

"Seperti kata Nik Aziz, ‘sedikit sebanyak ini adalah berkat doa rakyat Kelantan termasuk 40 ulama yang pergi ke Mekah sebelum ini untuk bermunajat kepada ALLAH agar (isu ini) diselesaikan segera’," katanya lagi.

Beliau juga berkata, diharap tidak ada pihak yang akan mengecilkan peranan sesiapa sekalipun di dalam soal ini.

Rata-rata pemimpin dan pengikut Pas khususnya dari Kelantan gembira dengan perkembangan hari ini. Pun begitu, BN khususnya Umno dilihat mengharapkan kegembiraan yang bersandarkan keputusan PRU13 kelak dengan pendirian Putrajaya khususnya pentadbiran Najib.

Bila BN akan gembira agaknya?
Kelantan mahu royalti dibayar sebelum Aidilfitri
NURUL AINI MOHAMED ALI
4 Ogos 2012
Logo Isu Royalti
Isu Royalti Minyak
SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berharap agar rundingan tuntutan royalti yang dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat diselesaikan sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri bagi meraikan perjuangan rakyat Kelantan selama ini.
Abdul Fattah yang juga Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO berkata, ia perlu diselesaikan segera bagi memberi hadiah kepada rakyat Kelantan yang selama ini memperjuangkan hak yang selama ini dinafikan oleh Kerajaan Pusat.
“Kalau boleh selesai sebelum hari raya ini, lagi bagus. Saya menyambut baik niat Perdana Menteri ini bagi mengadakan perbincangan,” ulas beliau kepada Sinar Harian Online.
Naib Presiden Pas dan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa merupakan pengerusi jawatankuasa tersebut.
Nik Aziz awal pagi tadi memberitahu yang Perdana Menteri telah menghantar surat kepada beliau semalam berhubung perkara tersebut.
"Surat ini diterima oleh Setiausaha Sulit saya, Encik Rosdi (Mohamad). Tetapi kerana hari cuti, dia baru bagi kepada saya," kata Nik Aziz.

Sebelum menghantar wakil Kelantan untuk berunding, Nik Aziz berkata, beliau akan menghadap Sultan Kelantan untuk membincangkan perkara tersebut.
Beberapa jam selepas kenyataan Nik Aziz itu, Najib berkata, pentadbirannya telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi membincangkan isu berkenaan.
Jawatankuasa itu diberi tempoh enam bulan.
Abdul Fattah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Panau menambah, inti pati perbincangan kelak mestilah tidak lari daripada perjanjian yang telah dimeterai pada 1975.
“Saya turut berharap agar royalti dibayar secara terus kepada kerajaan negeri, bukan melalui wang ihsan seperti yang terkandung dalam perjanjian,” katanya.
Beliau turut bersetuju jika pihaknya menghantar wakil dalam jawatankuasa jika mahu memantau dari segi perbelanjaan wang royalti.
“Perjuangan Nik Aziz selama ini terbukti benar kerana beliau berjuang untuk rakyat. Kita tolak ke tepi sebarang muslihat politik tetapi mesti melihat isu ini adalah semata-mata kerana kepentingan rakyat,” tambah beliau sama ada pendirian terbaru Putrajaya kemungkinan satu strategi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
"Kita tidak mahu lihat sama ada ia muslihat atau tidak, kami hendak berbincang dan kami mahu royalti diserahkan kepada rakyat Kelantan," katanya lagi.
Bagaimanapun beliau menegaskan, perkembangan hari ini membuktikan perjuangan dan tindakan Nik Aziz dalam isu pertikaian royalti minyak adalah betul.
Gabungan NGO Kelatan harap Pas henti politikkan isu royalti

4 Ogos 2012
Logo Isu Royalti
Isu Royalti Minyak
KOTA BAHRU - Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan (TUKAR), Profesional Kelantan (KelPro), Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK) dan Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda) berharap agar kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas, berhenti daripada mempolitikkan isu berkaitan bayaran tunai hasil petroleum di Kelantan.

Ia berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung persetujuan kerajaan pusat untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji secara adil dan telus berhubung pembayaran bahan mentah tersebut kepada negeri-negeri di pantai timur.
Wakil NGO tersebut, Kamarudin Kassim berkata, tindakan itu menunjukkan kerajaan pusat sentiasa prihatin dengan kehendak dan luahan rakyat, terutama di negeri ini.
"Kerajaan Pas Kelantan sepatutnya mengambil iktibar daripada tindakan bertanggungjawab kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan selepas ini kerajaan negeri pimpinan Pas juga diharap lebih prihatin kepada masalah yang dihadapi oleh penduduk di Kelantan," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menyokong keputusan kerajaan Persekutuan berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Dalam satu kenyataan berhubung perkara itu, Najib berkata, Jawatankuasa Khas tersebut akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan. - Bernama

Janji ditepati kenapa royalti lambat diberi?

http://jeminghassan.blogspot.com, 04 Ogs 2012
Hampir 37 tahun kita ditipu kini mereka sudah mengaku. Dan kita rakyat Kelantan bukan tidak percaya tetapi kami tidak berapa nak percaya. Hari ini Tok Guru menerima surat memintanya menghantar wakil untuk membincangkan pembayaran royalti minyak untuk Kelantan.
Najib: Jawatankuasa Khas kaji isu royalti minyak

4 Ogos 2012
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Jawatankuasa Khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

"Jawatankuasa Khas ini akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan," kata Najib dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas itu akan membuat kajian berhubung mengenal pasti negeri-negeri yang layak menerima bayaran tunai daripada hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

"Jawatankuasa Khas itu juga akan menentukan kaedah serta jumlah pembayaran bayaran tunai tersebut kepada negeri-negeri berkenaan," katanya sambil menambah bahawa semenjak enam bulan lepas, beberapa perbincangan dalaman dibuat berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum dan sehubungan itu kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas tersebut.

Najib berkata dengan penubuhan Jawatankuasa Khas itu, kerajaan persekutuan berharap isu-isu yang dibangkitkan oleh kerajaan-kerajaan negeri di Pantai Timur Semenanjung akan dapat diselesaikan secara adil, telus dan saksama.

Beliau berkata berdasarkan Perjanjian di antara kerajaan negeri Kelantan dengan Petronas mengenai pembayaran mengikut Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroliam 1974 yang dibuat pada 9 Mei 1975, Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan lima peratus dari nilai petroleum yang didapati dan diperoleh di Kelantan.

"Kerajaan Persekutuan mengambil pendirian bahawa dari segi perundangan, Kelantan hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri tersebut iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri.

"Pada masa ini, tiada pengeluaran petroleum dilakukan dalam kawasan perairan negeri Kelantan. Oleh itu, dari segi perundangan, kerajaan negeri Kelantan tidak layak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum," katanya.

Najib berkata kerajaan persekutuan sentiasa meletakkan keutamaan kepada kehendak rakyat dengan membuka pintu rundingan tetapi pada waktu yang sama tidak boleh membelakangkan perundangan negara.

Najib berkata walaupun peruntukan perundangan ini adalah jelas, namun pada November 2009, beliau mengumumkan di Dewan Rakyat mengenai pemberian bayaran tunai kepada Kelantan meskipun pengeluaran petroleum buat masa ini terletak di luar perairan negeri tersebut.
 
"Keputusan ini dibuat berdasarkan keperluan untuk terus membangunkan negeri Kelantan dan meningkatkan kesejahteraan rakyatnya.
 
Peruntukan tersebut telah disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan," katanya.
 
Beliau berkata sebahagian besar peruntukan itu adalah untuk bantuan pelajar sekolah dan pelajar daripada Kelantan yang memasuki tahun pertama Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). - Bernama

Tiada ulasan: