Rabu, 4 Mei 2011

SIRAH SAHABAT2 SATU

Salim Maula Abu Hudzaifah

Pakar Al Qur`an yang Terbaik


Pada suatu hari, Rasulullah saw. berpesan kepada para sahabatnya, “Belajarlah Al Qur'an daripada empat orang: Abdullah bin Mas'ud, Salim Maula Abu Hudzaifah, Ubai bin Ka'b dan Muadz bin Jabal."

Kita sudah berkenalan dengan Abdullah bin Mas'ud, Ubai dan Muadz. Jadi, siapakah pula sahabat yang keempat yang dijadikan Rasulullah sebagai rujukan untuk mengajarkan AI Qur'an?

Dialah Salim Maula (hamba yang dibebaskan oleh) Abu Hudzaifah.

Dahulunya, beliau merupakan seorang hamba yang dijual beli, lalu Islam mengangkat martabatnya, sehingga beliau dijadikan anak angkat oleh seorang tokoh Islam terkemuka, yang sebelum masuk Islam juga seorang bangsawan dan pemuka Quraisy.

Selepas Islam menghapuskan budaya anak angkat ketika itu, beliau menjadi saudara dan kawan rapat kepada orang yang memerdekakannya, yaitu sahabat mulia Abu Hudzaifah bin Utbah.

Berkat kurnia dan nikmat daripada Allah ta'ala, ruhiyah, tingkahlaku dan ketakwaan Salim mencapai ke puncaknya, sehinggakan beliau disegani dan dihormati oleh rakan-rakannya sesama muslim.

Sahabat Rasul yang mulia ini biasanya dipanggil "Salim Maula Abu Hudzaifah" kerana dahulunya beliau merupakan seorang hamba yang dijual beli, kemudiannya dimerdekakan.

Beliau beriman kepada Allah dan Rasul-Nya sejak awal lagi, sehingga digolongkan dalam kalangan as-Sabiqun al-Awwalun (orang-orang yang mula-mula memeluk Islam).

Hudzaifah bin Utbah sendiri juga telah masuk Islam sejak awal. Beliau tidak peduli dengan ayahnya (Utbah bin Rabi'ah) yang sedang marah dan kecewa kerana anaknya (Hudzaifah) telah masuk Islam. Padahal, Hudzaifah memiliki kewibawaan tinggi dalam kalangan orang Quraisy dan bahkan, dirinya telah dipersiapkan untuk menjadi pemimpin Quraisy. Setelah memerdekakan Salim, Abu Hudzaifah menjadikannya sebagai anak angkat. Disebabkan inilah, Salim dikenali sebagai Salim bin Abu Hudzaifah.

Selepas itu, kedua-dua mereka beribadah kepada Allah dengan penuh khusyu dan ketaatan. Setiap siksaan dan tipu daya Quraisy, mereka hadapi dengan penuh kesabaran.

Pada suatu hari, turunlah ayat yang menghapuskan budaya anak angkat yang berlaku pada waktu itu. Setiap anak angkat mestilah disebut sesuai dengan nama ayah kandungnya, bukan ayah angkatnya.

Zaid yang pada waktu itu merupakan anak angkat Nabi saw. dan juga dikenali dalam kalangan kaum muslimin sebagai Zaid bin Muhammad saw., menggunakan nama ayah kandungnya semula iaitu Haritsah, lalu namanya menjadi Zaid bin Haritsah. Akan tetapi, ayah Salim tidak dapat diketahui sehinggakan beliau akhirnya dinasabkan dengan orang yang telah memerdekakannya, maka beliau dipanggil Salim Maula Abu Hudzaifah.

Boleh jadi, ketika Islam menghapuskan budaya anak angkat, Islam ingin menegaskan kepada umatnya, "Janganlah kamu mencari-cari hubungan kekeluargaan dan silaturahim untuk menguatkan persaudaraan yang lebih besar dan lebih kuat berbanding Islam itu sendiri dan juga akidah yang menjadikan kalian bersaudara."

Hal ini telah difahami dengan baik oleh kaum muslimin generasi as Sabiqun al Awwalun. Setelah Allah dan Rasul-Nya, tidak ada yang lebih mereka cintai melainkan saudara seakidah dengan mereka. Kita telah melihat bagaimana orang-orang Ansar menyambut saudara-saudara mereka, kaum Muhajirin. Mereka membahagikan harta dan tempat tinggal mereka kepada dua bahagian, bahkan ada yang memberi semua yang mereka miliki.

Inilah yang terjadi antara Abu Hudzaifah, seorang bangsawan Quraisy terhadap Salim yang dahulunya hamba belian yang tidak diketahui siapa ayahnya itu. Sehingga akhir hayat mereka, hubungan kedua-dua mereka ini lebih erat dan bukan sekadar sebagai dua orang adik-beradik, sehinggakan ketika meninggal dunia, mereka mati bersama-sama, nyawa melayang bersama dan tubuh mereka terbaring berdampingan.

Inilah kemuliaan Islam yang tiada dua. Bahkan, ini baru satu daripada sekian banyak kemuliaan dan keistimemewaan Islam.

Keimanan Salim sudah mencapai ke puncaknya. Beliau telah menempuh jalan menuju Allah dengan soleh dan ketakwaan. Oleh itu, salasilah keturunan dan kedudukannya di masyarakat sudah tidak menjadi masalah lagi, kerana ketakwaan dan keikhlasannya telah mengangkatnya ke kedudukan yang tertinggi di tengah-tengah masyarakat yang baru dibangunkan oleh Islam dengan tapak dan asas baru yang adil lagi mulia.

Asas itu diceritakan dalam firman Allah berikut.

"Sesungguhnya, yang paling mulia antara kamu ialah yang paling bertakwa"(al Hujurat, 49:13)

Juga dikhabarkan dalam hadis berikut.

"Tidak ada keutamaan bagi seorang Arab terhadap yang bukan Arab, kecuali kerana ketakwaannya, dan tidak ada keutamaan bagi seorang kulit putih terhadap seorang kulit hitam kecuali kerana ketakwaannya."

Dalam masyarakat baru yang bersih itu, Abu Hudzaifah pasti disanjung-sanjung sekiranya menjadi wali bagi seseorang yang dahulunya menjadi hamba belian. Bahkan, keluarganya juga akan disanjung jika menikahkan Salim dengan keponakannya yang bernama Fatimah binti Walid bin Utbah.

Di tengah-tengah masyarakat baru dan bersih yang menghancurkan sistem kasta yang menganiaya dan diskriminasi yang tidak adil inilah, Salim selalu berada di barisan hadapan disebabkan kejujuran, keimanan dan jasa baiknya.

Benar, dialah yang menjadi imam solat jemaah bagi kaum Muhajirin selama mereka bersolat di Masjid Quba'.

Beliau menjadi rujukan bagi mereka yang ingin mempelajari Al Qur'an, sehinggakan Rasulullah menyuruh kaum muslimin belajar daripadanya. Beliau juga memiliki banyak kebaikan dan kelebihan sehingga Rasulullah pernah bersabda kepadanya, "Segala puji bagi Allah yang menjadikan dalam umatku, orang sepertimu." Bahkan sahabat-sahabatnya ketika itu menggelarkannya sebagai Salim "orang yang soleh".

Riwayat hidup Salim seperti riwayat hidup Bilal dan puluhan hamba belian serta fakir miskin lain yang dibebaskan oleh Islam dari belenggu perhambaan dan kelemahan, lalu Islam menjadikan mereka pemimpin dalam masyarakat madani.

Pada diri Salim, terkumpul seluruh keutamaan dan kelebihan yang diajarkan oleh Islam. Bahkan boleh dikatakan, semua keutamaan itu berdesakan memenuhi diri dan sekitarnya. Dan kesungguhan imannyalah yang menjaganya dengan baik.

Antara kelebihannya yang paling menonjol ialah beliau berani menyatakan secara jelas apa yang dianggapnya benar. Beliau tidak mahu diam jika menurutnya, pada waktu itu beliau harus berbicara. Beliau tidak mahu mengkhianati kehidupan dengan berdiam diri terhadap suatu kesalahan yang dapat menguburkan kehidupan itu.

Selepas peristiwa pembukaan kota Mekah, Rasulullah menghantar beberapa buah pasukan kecil ke kampung-kampung dan suku-suku Arab di sekeliling Mekah, dan memberitahukan kepada penduduknya bahawa Rasulullah saw. menghantar utusan tersebut untuk berdakwah dan bukan untuk berperang.

Khalid bin Walid terpilih sebagai ketua salah sebuah pasukan tersebut. Ketika Khalid sampai di tempat yang dituju, terjadilah suatu peristiwa yang menyebabkan beliau terpaksa menggunakan senjata lalu membunuh. Ketika berita peristiwa ini sampai kepada Nabi saw., baginda tidak henti-henti memohon keampunan daripada Allah. Baginda berkata, "Ya Allah, aku berlepas diri kepada-Mu daripada perbuatan yang dilakukan oleh Khalid."

Bahkan, peristiwa ini selalu diingati oleh Saidina Umar dan mempengaruhi sikap dan pandangannya terhadap Khalid. Beliau berkata, "Sesungguhnya, pedang Khalid itu terlalu tergesa-gesa."

Dalam pasukan kecil yang diketuai oleh Khalid itulah terdapat Salim Maula Abu Hudzaifah dan sahabat yang lain. Ketika beliau melihat tindakan Khalid tersebur, Salim menegurnya habis-habisan dan memberitahukan kesalahannya sedangkan Khalid, yang merupakan seorang komandan dan juga pahlawan hebat pada zaman Jahiliah dan selepas Islam, kadang-kadang diam sambil mendengar, kadang-kadang membela hujahnya dan kadang-kadang berbicara dengan suara lantang. Namun, Salim tetap berpegang pada pendiriannya dan mengemukakannya tanpa rasa takut atau basa-basi.

Pada waktu itu, Salim tidak memandang Khalid sebagai pemuka bangsawan dan memandang dirinya sebagai hamba belian. Tidak! Hal ini kerana Islam telah menyamakan kedudukan mereka. Beliau juga tidak memandangnya sebagai komandan yang bebas untuk berbuat apa-apa kesalahan, tetapi sebagai rakan seperjuangan. Teguran yang beliau tujukan kepada Khalid bukan kerana maksud tertentu atau dengan tujuan tertentu, tetapi sebagai nasihat yang dijunjung tinggi oleh Islam, dan dijadikan oleh Nabi saw. sebagai sendi agama. Baginda pernah bersabda, "Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Agama itu nasihat."

Ketika Rasulullah saw. mendengar tindakan Khalid itu, beliau bertanya, ''Adakah sesiapa yang tidak bersetuju dengannya?"

Alangkah indah dan hebatnya pertanyaan ini. Kemarahan Rasulullah pun mereda ketika para sahabat menjawab, "Ada. Salim Maula Abu Hudzaifah."

Salim menjalani kehidupannya bersama Rasulullah dan kaum muslimin. Beliau tidak pernah tertinggal satu peperangan pun. Beliau juga tidak pernah berhenti beribadah. Persaudaraannya dengan Abu Hudzaifah pula semakin hari semakin erat.

Waktu terus berjalan.

Setelah Rasulullah pulang ke rahmatullah, Khalifah Abu Bakar menghadapi pengkhianatan jahat orang-orang murtad. Lalu, tibalah saatnya peperangan Yamamah, suatu pertempuran yang sangat dahsyat, yang belum pernah dialami oleh kaum muslimin sebelumnya.

Kaum muslimin berperang, tidak ketinggalan Salim dan saudara seakidahnya, Abu Hudzaifah. Pada awal peperangan, kaum muslimin ditimpa kekalahan, sehinggakan setiap pejuang muslim merasakan bahwa menang dalam peperangan ini merupakan suatu tanggungjawab terhadap diri masing-masing.

Khalid bin Walid mengumpulkan mereka lalu mengatur strategi baru yang hebat. Dua saudara ini , Abu Hudzaifah dan Salim, berpelukan dan saling berjanji dan bersiap sedia untuk syahid demi Islam yang telah memberi mereka kebahagiaan dunia dan akhirat. Lalu kedua-dua mereka menceburkan diri dalam kecamuk perang yang dahsyat itu.

Abu Hudzaifah berseru, "Wahai Ahlul Qur'an, hiasilah Al Qur'an dengan tindakan kamu," sementara pedangnya menyabit ke sana dan ke mari seperti angin taufan yang memporak-perandakan pasukan Musailamah al Kazzab.

Salim pun berseru, "Seburuk-buruk Ahlul Qur'an ialah diriku, jika kaum muslimin mendapat serangan dari arahku." Jangan berkata begitu, wahai Salim! Kerana sebaik-baik Ahlul Qur'an ialah dirimu.

Pedangnya bagai menari-nari, menebas kepala orang-orang murtad yang hendak mengembalikan jahiliah Quraisy dan memadamkan cahaya Islam.

Tiba-tiba, sebuah pedang musuh menebas tangannya hingga putus. Pada waktu itu, beliau memegang panji kaum Muhajirin menggantikan Zaid bin Khattab yang telah gugur mendahuluinya. Mengetahui tangan kanannya putus, beliau segera mendapatkan bendera dengan tangan kirinya dan terus mengibarkannya sambil membaca firman Allah,

"Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama orang yang bertakwa yang jumlahnya besar. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah. Mereka tidak lesu dan tidak menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar." (Ali Imran, 3:146)

Alangkah mulianya semboyan ini. Inilah semboyan yang dipilih oleh Salim ketika ajal menjemputnya.

Sekumpulan tentera murtad mengepung dan menyerangnya. Salim akhirnya rebah. Namun ruhnya masih belum mahu meninggalkan tubuhnya yang suci, meskipun perang sudah tamat dengan matinya Musailamah aI Kazzab dan kekalahan pasukannya. Perang ini tamat dengan kemenangan kaum muslimin.

Ketika kaum muslimin mencari-cari anggota pasukan mereka yang gugur, mereka mendapati Salim sedang nazak. Beliau bertanya kepada mereka, "Bagaimanakah nasib Abu Hudzaifah?"

Mereka menjawab, "Beliau telah syahid."

Beliau berkata, "Baringkan aku di sampingnya."

"Beliau di sampingmu, wahai Salim. Beliau gugur di tempat itu."

Salim tersenyum. Dan itulah senyumannya yang terakhir. Beliau sudah tidak berkata-kata. Beliau dan rakan rapatnya itu telah mencapai cita-cita yang mereka dambakan selama ini.

Kedua-duanya masuk Islam bersama.

Hidup bersama.

Dan syahid bersama.

Sungguh, satu perjalanan hidup dan nasib yang menakjubkan.

Salim telah pergi menghadap Allah. Kaum muslimin kehilangan seorang tokoh besar yang sangat dikagumi Umar. Sebelum meninggal dunia, Umar pernah berpesan, "Seandainya Salim masih hidup, pasti aku akan serahkan urusan khilafah kepadanya setelah kematianku."


Abbad Bin Bisyir

Pembawa Cahaya Allah


Mush'ab bin Umair tiba di Madinah sebagai utusan Rasulullah saw. untuk mengajarkan ajaran Islam kepada orang-orang Ansar yang telah berbaiat kepada Nabi dan menjadi imam solat mereka. Saat itu, Abbad bin Bisyir termasuk orang yang hatinya telah diberi hidayah oleh Allah. Beliau datang ke majlis ta'lim Mush'ab, untuk mendengar penjelasannya. Tidak lama kemudian, beliau menyatakan keislamannya. Sejak itu, beliau berada dalam barisan kaum Ansar yang diredhai Allah dan mereka ridha kepadaNya.

Pada suatu hari, Nabi telah berhijrah ke Madinah selepas orang-orang beriman dari Mekah tiba terlebih dahulu. Bermulalah terjadinya peperangan-peperangan untuk mempertahankan diri dari serangan-serangan kafir Quraisy dan sekutunya yang tidak henti-henti memburu Nabi dan umat Islam. Kekuatan pembawa cahaya dan kebaikan bertarung dengan kekuatan gelap dan kejahatan. Pada setiap peperangan itu, Abbad bin Bisyir berada di barisan hadapan, berjihad di jalan Allah dengan gagah berani dan bermati-matian dengan cara yang sangat hebat. Mungkin peristiwa yang kita paparkan di bawah ini dapat mengungkapkan sekelumit kisah dari kepahlawanan tokoh mukmin ini. Setelah Rasulullah saw. dan kaum muslimin selesai menghadapi musuh dalam Perang Dzatur Riqa', mereka sampai di suatu tempat dan bermalam di sana,.Rasulullah memilih beberapa orang sahabatnya untuk berjaga secara bergiliran. Di antara mereka terpilih ialah 'Ammar bin Yasir dan Abbad bin Bisyir yang berada pada satu pasukan. Apabila Abbad melihat kawannya 'Ammar sedang penat, beliau mencadangkan agar 'Ammar tidur terlebih dahulu dan beliau akan berjaga. Apabila Ammar telah berehat dengan cukup, giliran 'Ammar pula yang berjaga untuk menggantikannya. Abbad melihat bahwa keadaan sekelilingnya aman. Maka, timbul sesuatu dalam fikirannya, mengapa beliau tidak mengisi waktunya dengan melakukan solat sehingga pahala yang akan diperoleh berlipat ganda? Kemudian beliau bangkit melakukannya.

Tiba-tiba, ketika beliau sedang berdiri membaca sebuah surah AI-Qur'an selepas membaca surah Al-Fatihah, sebuah anak panah menusuk di pangkal lengannya. Anak panah itu dicabut dan beliau meneruskan solatnya. Tidak lama kemudian datang pula anak panah kedua yang mengenai anggota badannya. Tetapi, beliau tidak ingin menghentikan solatnya. Beliau hanya mencabut anak panah itu seperti kali pertama, dan melanjutkan bacaan surahnya.

Dalam gelap malam itu musuh memanahnya kembali . Untuk kali ketiga Abbad menarik anak panah itu dan mengakhiri bacaannya. Setelah itu, beliau ruku' dan sujud, sementara tenaganya telah lemah disebabkan sakit dan penat. Ketika sujud, beliau menghulurkan tangannya kepada kawannya yang sedang tidur di sampingnya dan ditarik-tariknya hingga ia terjaga. Kemudian , Abbad bangkit dari sujudnya dan membaca tasyahud, lalu menyelesaikan solatnya.

Ammar terjaga setelah mendengar suara kawannya yang terputus-putus menahan sakit, "Gantikan aku untuk berjaga karena aku terkena panah." 'Ammar bangun dari tidurnya hingga menimbulkan ketakutan musuhnya. Mereka melarikan diri, sedangkan 'Ammar berpaling kepada temannya seraya berkata, "Subhanallah! Mengapa engkau tidak membangunkanku ketika dipanah pada kali pertama tadi." Abbad menjawab, "Ketika aku solat tadi, aku membaca beberapa ayat Al-Qur'an yang sangat mengharukan hatiku sehingga aku tidak ingin memutuskannya. Demi Allah, kalau tidak kerana akan mensia-siakan pos kawalan yang ditugaskan Rasul kepada kita, sungguh, aku lebih suka mati daripada meneruskan bacaan ayat-ayat yang sedang kubaca Itu.

Abbad sangat mencintai Allah, Rasul dan agamanya. Kecintaan itu memenuhi segenap perasaan dan seluruh kehidupannya. Sejak Nabi saw. berpidato dan mengarahkan pembicaraannya kepada kaum Ansar, ia termasuk salah seorang di antara mereka. Sabdanya, "Hai golongan Ansar! Kamu semua adalah inti, sedang golongan lain bagai kulit. Maka, tak mungkin aku dicederakan kalian." Sejak saat itu, yakni sejak Abbad mendengar ucapan ini dari RasulNya, dari guru dan pembimbingnya kepada Allah, ia rela menyerahkan harta, nyawa dan hidupnya di jalan Allah dan di jalan RasulNya. Karena itu, kita temui dia berada di arena pengorbanan dan medan perjuangan sebagai orang pertama. Sebaliknya, di waktu pembahagian keuntungan dan harta rampasan perang, sukar untuk menemuinya. Di samping itu, ia adalah seorang ahli ibadah yang tekun , seorang pahlawan yang gigih dalam berjuang, seorang dermawan yang rela berkorban, dan seorang mukmin sejati yang telah menyumbangkan hidupnya untuk keimanannya.

Kelebihannya ini telah dikenali di antara sahabat-sahabat Rasul. Aisyah, Ummul Mu'minin, pernah berkata tentang dirinya, "Ada tiga orang Ansar yang kelebihannya tidak dapat ditandingi oleh seorang pun. Mereka adalah Sa'ad bin Mu'adz, Usaid bin Hudhair, dan Abbad bin Bisyir." Orang-orang Islam golongan pertama mengetahui bahwa Abbad adalah seorang tokoh yang memperolehi kurnia berupa cahaya dari Allah. Penglihatannya yang jelas dan terang, dapat mengetahui tempat-tempat yang baik dan meyakinkan tanpa mencarinya dengan susah-payah.Bahkan, kepercayaan sahabat-sahabatnya mengenai cahaya ini sampai pada tahap yang lebih tinggi, bahwa beliau merupakan benda yang dapat terlihat. Mereka sepakat berkata bahwa bila Abbad berjalan di waktu malam, terbitlah darinya bekas-bekas cahaya dan sinar yang menerangi jalan yang akan dilaluinya.

Dalam peperangan menghadapi orang-orang murtad setelah wafat Rasulullah saw., Abbad memikul tanggungjawab dengan keberanian yang tiada tandingan. Apalagi dalam pertempuran Yamamah, di mana kaum muslimin menghadapi bala tentara yang paling kejam dan paling berpengalaman dibawah pimpinan Musailamah al-Kadzab. Saat itu, Abbad melihat bahaya besar yang mengancam Islam. Maka, jiwa pengorbanan dan kepahlawanannya mengambil bentuk sesuai dengan tugas yang dibebankan oleh keimanannya. Hal itu meningkat ke tahap yang seiring dengan kesedarannya akan bahaya tersebut hingga menjadikannya sebagai parajurit yang berani mati, yang tak menginginkan yang lain kecuali syahid di jalan Allah.

Sehari sebelum Perang Yamamah itu berlaku, Abbad mengalami suatu mimpi yang kemudiannya diketahui tafsirannya bahawa akan terjadi di arena pertempuran sengit yang melibatkan kaum muslimin. Marilah kita panggil seorang sahabat mulia, Abu Sa'id al-Khudri, untuk menceritakan mimpi yang dilihat oleh Abbad, ta'birnya, serta peranannnya yang mengagumkan dalam pertempuran yang berakhir dengan syahid.Abu Sa'id bercerita, "Abbad bin Bisyir berkata kepadaku, 'Hai Abu Sa'id, aku semalam bermimpi melihat langit terbuka untukku kemudian tertutup lagi. Aku yakin bahawa ta'birnya, insya Allah, aku akan menemui syahid."

"Demi Allah." ujarku, "itu adalah mimpi yang baik." "Di waktu Perang Yamamah itu kulihat ia berseru kepada orang-orang Anshar, 'Pecahkan sarung-sarung pedang kalian dan tunjukkan kelebihan kalian.' Maka, mereka menyerbu dengan tangkas bersama sejumlah empat ratus orang dari golongan Anshar hingga mereka sampai ke pintu gerbang , lalu bertempur dengan gagah berani. Ketika itu, Abbad semoga Allah memberinya rahmat menemui syahid. Wajahnya kulihat penuh dengan bekas tusukan pedang dan aku mengenalinya hanya dengan melihat tanda yang terdapat pada jarinya.Demikianlah Abbad naik ke taraf yang sesuai untuk memenuhi kewajipannya sebagal seorang mukmin dan golongan Anshar yang telah berbaiat kepada Rasul untuk menyumbangkan hidupnya bagi Allah dan menemui syahid di jalanNya.

Pada awalnya ia melihat medan pertempuran sengit itu lebih berpihak pada kemenangan musuh, teringat ucapan Rasulullah terhadap kaumnya, golongan Ansar, "Kalian adalah inti. Oleh itu, tidak mungkin aku dicederakan oleh kalian." Ucapan itu memenuhi rongga dada dan hatinya, sehingga, seolah- olah, saat itu Rasulullah masih berdiri mengulang-ulang kata-katanya itu. Abbad merasa bahwa seluruh tanggung jawab peperangan itu terpikul hanya di atas bahu golongan Ansar atau di atas bahu mereka yang sebelum golongan lainnya. Ketika itu, beliau naik ke atas sebuah bukit lalu berseru, "Wahai golongan Ansar! Pecahkan sarung-sarung pedang dan tunjukkan keistimewaan dari golongan lain."

Ketika seruannya dipenuhi oleh empat ratus orang pejuang, Abbad bersama Abu Dujanah dan Barra' bin Malik mengerahkan mereka ke taman maut, suatu taman yang digunakan oleh Musailamah sebagai benteng pertahanan. Pahlawan besar itu pun berjuang sebagai seorang lelaki, sebagai seorang mukmin, dan sebagai seorang warga Ansar. Pada hari yang mulia itu, Abbad menemui syahidnya. Tidak salah mimpi yang dilihat dalam tidurnya semalam. Bukankah beliau melihat langit terbuka, kemudian setelah beliau masuk ke celahnya yang terbuka itu, tiba-tiba langit bertaut dan tertutup kembali. Mimpi itu ditakwilkannya bahawa pada pertempuran yang akan terjadi ruhnya akan naik ke Tuhan dan Penciptanya. Sungguh benar mimpi itu dan benar pula ta'birya. Pintu-pintu langit telah terbuka untuk menyambut ruh Abbad bin Bisyir dengan gembira, yakni seorang tokoh yang oleh diberi cahaya oleh Allah.


Zaid Bin Tsabit

Penghimpun al-Quran


Jika anda seorang yang tekun dan selalu membaca al-Quran, anda akan menurutinya dengan teliti, surah demi surah, ayat demi ayat. Ketahuilah bahawa orang yang telah berjasa besar dan patut diberi ucapan terima kasih atas sumbangan membukukan kitab ini adalah seorang tokoh besar bernama Zaid bin Tsabit.

Peristiwa-peristiwa pengumpulan al-Quran sehingga menjadi satu mushaf (buku), tidak dapat dipisahkan daripada tokoh ini. Sekiranya diadakan undian bintang untuk mengenang sahabat-sahabat Rasulullah yang berjasa dalam pengumpulan dan penyusunan al-Quran, maka Zaid bin Tsabit akan mendapat undian bintang tertinggi.

Beliau termasuk kaum Anshar. Sewaktu Rasulullah saw datang ke Madinah, usianya baru mencecah 11 tahun. Beliau masuk Islam bersama keluarganya dan pernah didoakan oleh Rasulullah sendiri. Satu kemuliaan tersendiri baginya.

Beliau pernah dibawa oleh ibubapanya berangkat ke Perang Badar, namun Rasulullah melarangnya ikut berperang karena usia dan tubuhnya ketika itu masih kecil.

Ketika Perang Uhud, beliau bersama-sama dengan rakan-rakan sebaya meminta kebenaran daripada Rasulullah supaya diizinkan untuk ikut serta dalam peperangan. Bahkan, keluarga mereka juga turut merayu kepada Rasulullah agar diizinkan bagi mujahid-mujahid kecil ini untuk ikut sama berjihad.

Rasulullah memandang ke arah para penunggang kuda ini. Ada rasa bangga tersirat di wajah baginda. Namun, baginda tetap tidak akan mengizinkan mereka untuk bergabung dalam tentera Islam.

Rafi' bin Khadij, salah seorang daripada mereka, berdiri di hadapan Nabi dengan membawa tombak. Beliau menghayunkan tombaknya dengan hebat sekali. Kemudian, beliau berkata kepada Rasulullah, "Seperti yang Rasul lihat, aku handal melontar tombak. Oleh sebab itu, izinkanlah aku ikut berperang."

Rasulullah tersenyum dengan gelagat jaguh muda ini. Baginda terus mengizinkannya ikut berperang.

Sikap beliau telah menaikkan semangat rakan-rakannya yang lain. Sekarang tiba pula giliran Samurah bin Jundub untuk tampil ke hadapan. Dengan penuh sopan beliau menunjukkan kedua-dua lengannya yang kuat dan kental. Keluarganya berkata, "Ya Rasul, Samurah mampu mengalahkan Rafi' dalam bertumbuk."

Rasulullah tersenyum puas. Baginda memberikan keizinan kepadanya untuk berperang.

Rafi' dan Samurah ketika itu sudah berusia 15 tahun. Di samping itu juga, tubuh mereka besar dan gagah.

Masih tinggal 6 orang lagi, termasuk Zaid bin Tsabit dan Abdullah bin Umar. Apa sahaja cara dilakukan agar diizinkan untuk ikutserta dalam Perang Uhud. Ada yang berharap dan merayu, ada juga yang menunjukkan kepandaian mereka. Namun, usia dan tubuh mereka masih terlalu kecil. Akhirnya, Rasulullah berjanji akan memberi keizinan kepada mereka untuk ikut sama berperang pada perang yang akan datang.

Zaid dan rakan-rakannya mulai ikut berperang ketika Perang Khandaq, iaitu pada tahun ke-5 H.

Keimanan Zaid semakin kukuh dari hari ke hari. Beliau tidak hanya menonjol di medan pertempuran, tetapi juga hebat sebagai ilmuwan dengan pelbagai keistimewaan. Beliau menghafal al-Quran, menulis wahyu yang turun kepada Nabi, dan juga hebat di bidang ilmu dan hikmah. Ketikamana Rasulullah memulakan langkah mengembangkan dakwah Islam ke luar Madinah dan mengirimkan surat tawaran masuk Islam kepada para pemerintah negeri, baginda menyuruh Zaid untuk belajar bahasa mereka. Hanya dalam masa yang singkat sahaja, Zaid dapat menguasai bahasa mereka.

Peribadi Zaid makin terserlah. Belau dihormati dan dimuliakan.

Sa'bi berkata, "Pada suatu hari, Zaid hendak pergi menaiki kuda, maka Ibnu Abbas memegangkan tali pemacu kudanya. Zaid berkata, 'Tidak mengapa, wahai sepupu Rasulullah.' Ibnu Abbas kemudiannya menjawab, 'Seperti inilah yang kami Iakukan terhadap ulama kami.'"

Qabishah berkata, "Di Madinah, Zaid menjadi ketua Dewan Peradilan, ketua Dewan Fatwa, ketua Kumpulan Pembaca al-Quran, dan ketua Kumpulan Pembahagi Harta Warisan."

Tsabit bin Ubaid berkata, 'Aku belum pernah berjumpa dengan orang seperti Zaid. Di rumahnya, beliau suka bergurau manakala di majlis ilmunya, beliau sangat dihormati."

Ibnu Abbas berkata, "Para sahabat terkemuka tahu akan ilmu yang ada pada Zaid bin Tsabit."

Kata-kata di atas merupakan pandangan para sahabat terhadap keistimewaan yang dimiliki oleh Zaid. Hal ini kerana beliau menyimpan kemuliaan tersendiri. Beliau memikul tugas paling penting dan paling mulia dalam sejarah Islam, iaitu menghimpun al-Quran.

Sejak wahyu diturunkan kepada Rasulullah sebagai tanda pengangkatan baginda menjadi seorang ”Pemberi Peringatan”, ayat-ayat yang pertama sekali turun adalah ayat 1 hingga 5 daripada surah al-’Alaq:

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dengan segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." (QS: al-’Alaq 96:1-5)

Setelah itu, wahyu kemudiannya turun kepada baginda pada setiap kali baginda memohon petunjuk dan bimbingan daripada Allah swt.

Dalam tempoh kerasulan baginda, Rasulullah menghadapi peperangan demi peperangan. Baginda melawan setiap tipu daya, helah dan serangan musuh. Hal ini dilakukan demi membangun masyarakat baru yang penuh dengan kesungguhan. Dalam tempoh itu juga, wahyu terus turun kepada baginda, dan Rasulullah membacakannya kepada para sahabat. Di sinilah ada segelintir para sahabat yang mencurahkan perhatiannya kepada al-Quran sejak daripada hari pertama wahyu diturunkan kepada Rasulullah. Ada di antara mereka yang menghafalnya dan ada juga yang menulisnya untuk memelihara keaslian al-Quran.

Selama lebih kurang 21 tahun, al-Quran turun ayat demi ayat sesuai dengan keperluan dan situasi yang dihadapi. Para penghafal dan penuIis al-Quran menumpukan sepenuh perhatian terhadap wahyu yang diturunkan.

Al-Quran tidak turun sekaligus, karena al-Quran itu bukanlah buku ataupun artikel. Akan tetapi, al-Quran adalah pedoman bagi umat baru yang dibangun secara bertahap, sejengkal demi sejengkal dan dari masa ke masa. Akidah mereka dibangunkan, hati mereka dibersihkan, pola fikir mereka dikembangkan dan tekad mereka dikuatkan sesuai dengan kehendak dan izin Allah swt. Mereka menerima kehendak ini dengan sepenuh hati tanpa adanya alasan.

Oleh sebab itulah, al-Quran diturunkan secara beransur-ansur. Hal ini demikian untuk mengikuti perjalanan hidup mereka, situasi yang berubah-ubah dan permasalahan yang ada.

Sebagaimana yang telah kita ketahui, jumlah sahabat yang menghafal dan menulis al-Quran cukup banyak. Antara yang terkenal adalah Ali bin Abu Thalib, Ubai bin Ka'ab, Abdullah bin Mas'ud, Abdullah bin Abbas, dan Zaid bin Tsabit; semoga Allah ridha kepada mereka semua.

Setelah isi al-Quran turun dengan sempurna, Rasulullah membacakannya kepada para sahabat dan kaum muslimin secara tersusun, surah demi surah dan ayat demi ayat.

Selepas wafatnya Rasulullah, berlaku Perang Riddah.

Ketika berlakunya Perang Yamamah, ramai penghafal al-Quran yang syahid. Oleh sebab itulah, Saidina Umar bin al-Khattab segera menemui Khalifah Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan mencadangkan agar al-Quran dihimpunkan sebelum semua penghafal al-Quran gugur dalam peperangan.

Saidina Abu Bakar yang menjadi khalifah ketika itu meminta petunjuk dari Allah. Beliau juga meminta pendapat daripada para sahabat. Kemudian, beliau memanggil Zaid bin Tsabit dan berkata kepadanya, "Wahai Zaid, kau masih muda dan cerdas. Kami sedikitpun tidak berburuk sangka kepadamu." Lalu, Zaid diperintahkan untuk mengumpul al-Quran dengan mendapat bantuan daripada para penghafal yang lain.

Zaid memulakan tugas yang bakal menentukan masa depan Islam. Segala usaha dan pengorbanan dicurahkan untuk menyelesaikan tugas yang paling agung dan berat ini. Beliau mengumpulkan ayat demi ayat dan surah demi surah daripada para penghafal al-Quran serta daripada lembaran-lembaran yang ada. Pekerjaan ini dilakukan dengan sangat teliti sehinggalah al-Quran dikumpulkan kesemuanya dan tersusun rapi.

Hasil kerjanya mendapat persetujuan daripada para sahabat yang telah mendengar al-Quran secara terus daripada Nabi semasa hidup baginda, terutamanya para penghafal dan penulis al-Quran.

Zaid pernah menyatakan kesusahan dalam menjalankan tugas mulia dan agung ini, "Demi Allah, seandainya mereka memintaku untuk memindahkan gunung dari tempatnya, maka itu adalah lebih mudah bagiku daripada mengumpulkan al-Quran."

Daripada doanya, ini menunjukkan bahawa Zaid lebih suka memikul satu atau lebih buah gunung daripada melakukan kesalahan walau sekecil mana pun ketika menyalin ayat atau menyusunnya dalam satu surah.

Beliau masih boleh bertahan walaupun terpaksa menghadapi ujian yang sangat getir. Namun, beliau tidak dapat menerima jika tersilap ketika melaksanakan tugas suci ini, meskipun kesalahan tersebut tidak disengajakan.

Zaid selalu mendapat petunjuk daripada Allah dan jaminan yang dijanjikanNya, iaitu; "Sesungguhnya Kami yang menurunkan peringatan (al-Quran), dan sesungguhnya Kamilah yang akan memeliharanya." (QS: al-Hijr 15: 9)

Maka, akhirnya Zaid dapat melaksanakan tugas penting ini dengan baik.

Inilah tahap pertama pengumpulan al-Quran. Al-Quran kemudiannya disalin menjadi beberapa mushaf. Mushaf-mushaf tersebut ada sedikit perbezaan, meskipun tidak banyak. Sesuai dengan peredaran masa, peristiwa-peristiwa yang berlaku di kalangan umat Islam menyebabkan para sahabat menjadikan al-Quran hanya dengan satu mushaf.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Saidina Uthman bin Affan, umat Islam terus mengembangkan dakwah sehingga ke luar daripada kota Madinah. Di samping itu, penduduk dunia yang memeluk agama IsIam semakin banyak. Mereka memiliki perbezaan bahasa dan dialek. Ketika inilah berlakunya perbezaan mushaf yang menyebabkan berlakunya perbezaan cara baca terhadap al-Quran. Hal ini bahkan terjadi perbezaan cara baca antara para sahabat generasi tua dengan generasi muda. Oleh sebab itulah, sejumlah sahabat (yang dipimpin oleh Hudzaifah bin Yaman) datang menghadap Khalifah Uthman untuk memberitahu bahawa pentingnya penyatuan al-Quran.

Saidina Uthman meminta petunjuk daripada Allah dan meminta pendapat daripada para sahabat yang lainnya. Sebagaimana Khalifah Abu Bakar yang dahulunya menugaskan Zaid bin Tsabit, sekarang Khalifah Utsman juga menugaskan Zaid.

Zaid mengumpulkan rakan-rakannya. Mereka mengambil kembali beberapa mushaf yang sengaja disimpan di rumah Hafshah binti Umar selama ini. Zaid memulakan tugas yang berat dan mulia ini bersama para sahabat yang turut ditugaskan mengumpulkan al-Quran menjadi satu mushaf. Mereka yang bersama Zaid dalam melaksanakan tugas ini adalah para penulis dan penghafal al-Quran.

Hampir tidak ada perbezaan pendapat di kalangan mereka. Jika wujud perbezaan pendapat di antara mereka, maka mereka akan menjadikan pendapat Zaid sebagai yang utama.

Pada masa sekarang, ketikamana kita membaca al-Quran dengan lancar, atau sedang mendengar bacaan al-Quran, kita sama sekali tidak terfikir bahawa ada kesulitan besar yang pernah dihadapi oleh para pengumpul al-Quran pada masa dahulu.

Sesungguhnya, kesulitan yang dihadapi oleh mereka adalah sama dengan kesulitan di medan peperangan untuk menegakkan kalimah Allah dan rnenghancurkan kegelapan dengan cahaya Ilahi.

Tiada ulasan: