Khamis, 5 Mei 2011

BILA KITA JAUH DARI ISLAM SERTA AMALAN ISLAM...DIDIKAN BERUNSUR BARAT@SEKULAR...HINGGA TAK TAHU MANA YANG NAK DISOKONG@DIHARGAI...

Mansuhkan pengisytiharan darurat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Mei: Kerajaan turut digesa memansuhkan pengisytiharan darurat yang sudah lebih 40 tahun digunakan di negara ini selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, Malaysia seharusnya mencontohi negara lain seperti Mesir yang telah memansuhkan pengisytiharan darurat.

"Kita berada dalam kerangka undang-undang yang tempang. Memang ISA itu zalim, itu memang jelas tapi isu yang lebih utama ialah mengenai deklarasi darurat yang masih digunakan di Malaysia sedangkan negara lain seperti Mesir ianya sudah dimansuhkan," kata beliau dalam satu diskusi bertajuk 'Siapa di belakang ISA' di KL & Selangor Chinese Assembly Hall (KLCAH), kelmarin.

Terdahulu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Civil Rights Committee, KL & Selangor Chinese Assembly Hall (CRC) dan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) melancarkan buku yang ditulis Adun Hulu Kelang dari PAS, Saari Sungib, bertajuk Sengsara Kem Kamunting: Kisah Hidup dalam Penjara ISA.

Menurut Nurul yang juga Naib Presiden PKR, ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah menyediakan usul mengenai perkara tersebut namun ditolak Speaker Dewan Rakyat atas alasan ianya hanya boleh dibawa oleh Menteri.

"Keputusan yang kita (Pakatan Rakyat) ambil dalam sesi lepas adalah untuk memperkenalkan dan membahaskan akta pemansuhan darurat supaya semuanya ditarik balik di Parlimen dan pada masa yang sama kita kena menyediakan langkah-langkah susulan kerana apabila ditarik pengisytiharan darurat unang-undang yang diwujudkan semasa darurat berkuat kuasa akan menerima akibatnya.

"Usul (untuk memansuhkan pengisytiharan darurat) telah disiapkan dan diserahkan kepada Speaker malangnya atas kuasa Speaker ianya ditolak kerana dikatakan mana-mana ahli Parlimen atau undang-undang persendirian tidak akan dilayan kecuali usul memansuhkan pengisytiharan darurat itu dibawa oleh menteri," katanya.

Beliau juga berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz telah mungkir janji apabila berkata bersedia menarik balik pengisytiharan di Sarawak dan Kelantan namun tidak melaksanakannya sehingga sekarang.

"Nazri Aziz dalam jawapannya kepada saya dan Ipoh Timur di Parlimen menyatakan kerajaan bersedia menarik balik pengisytiharan darurat Sarawak dan Kelantan tapi tidak dibuat sampai hari ini," katanya.

Sebelum ini, seorang pakar perlembagaan, Shad Saleem Faruqi berkata, banyak faktor yang mungkin menyebabkan kerajaan tidak menamatkan darurat.

Pertama, mungkin kerajaan jahil dalam perkara ini dan keduanya, kerajaan mungkin mendapati undang-undang yang digubal ketika darurat memberi "kemudahan" ketika digunakan.

Menurut artikel 150 (7) dalam Perlembagaan Persekutuan, seandainya darurat ditamatkan, semua akta yang digubal ketika tempoh darurat akan hilang penguatkuasaannya selepas enam bulan.

Pada 8 Mac lalu, seorang remaja Muhammad Arif Abud Semah, 19, ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO), atas tuduhan mencuri motosikal.

Ketika ditahan Arif turut mendakwa dipukul dengan teruk di bahagian kaki dengan kayu panjang dan wajar. Menurut Arif, meskipun beliau merayu dan meminta bantuan perubatan, namun ia tidak diedahkan.

Penangkapan Arif di bawah EO dan seksaan fizikal dan mental yang dialaminya dikecam hebat NGO seperti Pertubuhan Lawyer For Liberty (LFL) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Ini kerana tangkapan di bawah EO itu membenarkan penahanan tanpa bicara selama 60 hari, yang bertentangan dengan hak asasi manusia untuk mendapatkan pembelaan.


Hentikan perdagang wanita
Rohayu Rusli

Saya mewakili PMIUM dan juga merangkap koordinator pertubuhan Sisters in Movement (SIM) tidak bersetuju dengan beberapa isu yang melibatkan perdagangan wanita. Lebih-lebih lagi mengenai tindakan biadab Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) yang mengeluarkan arahan peraturan mewajbkan pemain badminton wanita memakai skirt. Kononnya bertujuan memastikan aksi lebih menarik dapat ditonjolkan untuk menarik lebih ramai penonton dan penaja.

Saya tidak menyangka masih terdapat mentaliti mundur sebegini di dalam peradaban dunia serba maju. Tindakan biadap BWF ini memperlihatkan pertandingan-pertandingan kejohanan badminton yang melibatkan pemain wanita hanyalah medan memperagakan badan dan memperdagangkan tubuh. BWF sebenarnya sudah lari daripada matlamat sebenar kejohanan-kejohanan sukan diadakan.

Saya mewakili wanita khususnya mahasiswi mendesak agar Kementerian Belia dan Sukan membantah isu ini di peringkat nasional. Peraturan ini hakikatnya bertentangan dengan budaya masyarakat Malaysia yang mementingkan etika dalam pemakaian. Jika tidak ada tindakan bantahan di peringkat Kementerian, saya khuatiri peraturan ini bakal dikuatkuasakan di Malaysia.

Seperkara lagi yang lebih memualkan adalah isu video lucah yang lebih biadap memperlihatkan tubuh badan wanita seenaknya. Aksi-aksi 'dalam kelambu' sebegitu tidak patut diperlihatkan di pentas umum. Pendidikan politik lucah yang terbuka sebeginilah yang menjadi punca kehancuran pemikiran anak bangsa. Gambar-gambar aksi yang memperlihatkan tubuh badan wanita secara jelas ini memberi gambaran bahawa maruah wanita diletakkan di tempat yang paling rendah bahkan boleh dipijak-pijak.

Di zaman serba moden ini kita tidak lagi mendengar kisah-kisah diskriminasi terhadap wanita seperti yang berlaku pada zaman jahiliyah sebelum kedatangan Islam. Pada zaman tersebut bayi-bayi perempuan dibunuh dan para ibu dijadikan hamba dek kerana mempercayai wanita merupakan punca nasib malang.

Akan tetapi diskriminasi terhadap wanita tetap wujud pada zaman ini. Tndakan perdagangan wanita dengan menggunakan wanita sebagai alat pelaris berlaku di dalam masyarakat secara agresif. Saya melihat fenomena ini semakin membarah apabila tubuh badan wanita seenaknya ditayangkan dengan tujuan untuk menarik perhatian syarikat-syarikat dan para penonton demi mengaut keuntungan. Tindakan perdagangan wanita ini secara agresif berlaku di dalam industri muzik, perfileman, perlancongan, hiburan, sukan dan lain-lain.

Wanita tidak seharusnya menerima nasib menjadi alat pelaris. Islam mengangkat martabat wanita dengan menjamin pemeliharaan maruah wanita dengan sebaiknya. Di atas anjuran Islam yang membela maruah wanita ini saya menyeru kepada seluruh masyarakat bangkit mendesak pihak-pihak berwajib untuk menghentikan segera perdagangan wanita demi kesejahteraan peradaban ummat.

Rohayu Rusli,

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Ladang Rakyat: Umno jadi 'cacing kepanasan'
M Faqih

BETULKAH Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat yang diwujudkan kerajaan Kelantan pada 2006 merampas tanah rakyat.

Anehnya juga mengapa pemimpin Umno Kelantan meluat sangat terhadap program Ladang Rakyat sehingga didesak dikeluarkan kertas putih.

Pengerusi Perhubungan Umno, Dato’ Mustapa Mohamed pula mahu mengembalikan semula tanah dibangun Ladang Rakyat seandainya BN berkuasa di Kelantan.

Begitu dahsyat dilempar tuduhan terhadap Ladang Rakyat sehingga diulang-ulang berkali-kali cerita sama di media dikuasai Umno dan BN. Sedangkan penjelasan dikeluarkan kerajaan negeri dibisukan begitu sahaja. Apa pun yang jelas lagi bersuluh, pemimpin Umno terlalu gusar dengan keberkesanan program Ladang Rakyat. Apa tidaknya apabila setiap bulan penduduk miskin mendapat dividen RM200 sebulan.

Penduduk miskin yang berpendapatan kurang RM530 sebulan layak disenarai sebagai peserta program berkenaan. Sekarang seramai 4,332 penduduk miskin mendapat dividen RM200 sebulan.

Sejak dividen pertama dibayar pada Julai 2006 sehingga akhir tahun lepas sebanyak RM39.5 juta diterima peserta. Pada peringkat awal seramai 1,125 dipilih dan jumlah tersebut bertambah menjadikan sekarang 4,332 orang. Dividen sebanyak itu tidak pernah difikirkan Umno sebelum ini kerana sejak 1990 mereka mendakwa kerajaan di bawah PAS hanya mampu bertahan tiga bulan.

Hari ini Kelantan bukan sahaja tidak bankrap, sebaliknya lebih 4,300 penduduk miskin mendapat bantuan bulanan RM200. Dari mana bantuan tersebut kalau bukan hasil kebijaksanaan pentadbirnya.

Maka benarlah kata orang, Kelantan sebuah negeri berkebajikan. Bukan lagi omong kosong biar pun pemimpin Umno tidak serik menjaja kerajaan negeri merampas tanah rakyat.

Kewujudan Perbadanan Ladang Rakyat dilulus pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada Febuari 2006. Mulai berkuatkuasa empat bulan selepas itu. Tujuan penubuhannya bagi meningkat sosial ekonomi negeri dan kehidupan penduduk. Selain itu menggalakkan kerja-kerja pembangunan tanah.

Falsafahnya mengurangkan kadar kemiskinan rakyat melalui sektor perladangan. Selain itu bagi mengurangkan penerokaan tanah secara haram.

”Kita buat ladang dan hasil daripada kemajuan ladang, kita kumpulkan wang dan masukkan ke dalam akaun amanah peserta program Ladang Rakyat.

”Pihak yang diberi kebenaran memajukan tanah perlu membayar secara tahunan kepada akaun amanah. Dan akaun inilah yang kita agihkan kepada peserta Ladang Rakyat sebanyak RM200 sebulan.

”Dividen pertama diagih pada Julai 2006. Sehingga Disember 2010 Ladang Rakyat telah membayar dividen sebanyak 39.59 juta,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi.

Bilangan peserta disasarkan seramai 4,500 orang. Ada peserta digugur dan belum digantikan akibat kematian. Daripada jumlah tersebut 3,911 orang mewakili kaum Melayu, Cina, India dan Siam. Peserta di kalangan masyarakat Orang Asal pula seramai 247 orang.

Selain itu turut disenarai sebagai peserta peneroka asal yang menduduki tanah sebelum dimajukan Ladang Rakyat. Mereka seramai 174 orang. Tanah yang mereka usahakan sebelum ini tidak menjadi disebabkan pelbagai masalah termasuk dimusnah binatang liar seperti gajah dan babi.

Dr Nazmi berkata, tanah mereka tidak produktif dan peneroka terbabit menyerah kepada Ladang Rakyat untuk dibangunkan.

”Ladang Rakyat mengesan mereka benar-benar mengusahakan tanah tersebut dan menyenaraikan sebagai peserta Ladang Rakyat. Jumlah peneroka seperti itu terdapat lebih 100 di Lubuk Bongor, Jeli.

”Terdapat juga di beberapa tempat lain di Gua Musang. Mereka bersetuju kebun yang pernah diusahakan diserah kepada Ladang Rakyat.

”Mereka disenarai sebagai peserta untuk melayakkan mendapat dividen sebanyak RM200 sebulan,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Di Lubuk Bongor diusahakan dengan tanaman kelapa sawit seluas 8,000 ekar. Ladang tersebut dimajukan Ladang Rakyat Lubuk Bongor Sdn Bhd, anak syarikat Ladang Sungai Terah Sdn Bhd.

Menurutnya juga Ladang Rakyat mengeluarkan mana-mana kawasan yang didapati terdapat pokok getah atau kebun diusahakan penduduk. Kawasan yang ada pokok besar kekal milik peneroka. Dan sekarang ramai di kalangan peneroka asal sudah mendapat geran hak milik.

”Sebab itulah kalau ditengok pelan ladang di Lubuk Bongor tidak berbentuk empat segi kerana ada kawasan yang terpaksa dikeluarkan kerana ada pokok milik peneroka asal.

”Bagi peneroka asal yang menanam lebih luas akan senaraikan lebih daripada seorang sebagai penerima dividen. Bergantung keluasan tanah yang mereka usaha sebelum ini.

” Ini bermakna setiap bulan ada keluarga yang mendapat dividen sehingga RM600,” ujarnya.

Model yang dilaksanakan di Lubuk Bongor bagaimana tidak dapat dilaksanakan di Kampung Serian dan Batu 11 di Renok, Gua Musang kerana penduduk tidak berminat.

Penduduk di situ mahukan tanah dan tidak berminat disenarai sebagai penerima bulanan dividen Ladang Rakyat.

Dr Nazmi berkata, kawasan asal yang diluluskan kerajaan kepada Ladang Rakyat di Renok seluas 11,400 ekar. Namun seluas 4,200 ekar dikeluarkan selepas dituntut penduduk.

Sekarang hanya tinggal 7,200 ekar. Bagi menyelesaikan masalah dengan penduduk beberapa kali perbincangan dan perundingan dibuat.

”Ladang Rakyat keluarkan kawasan yang benar-benar diusahakan penduduk. Banyak perbincangan dibuat di peringkat pentadbir tanah Gua Musang.

”Pejabat Tanah juga memanggil wakil-wakil penduduk yang meneroka tanah tersebut di mana mereka telah mengecam kawasan masing-masing,” katanya.

Kawasan tersebut dikeluarkan daripada lokasi yang akan dimajukan Ladang Rakyat. Dan selepas lebih dua tahun perundingan dibuat akhirnya Ladang Rakyat membuat pelan kali ketiga, di mana mengeluarkan kawasan diteroka penduduk.

Dan selepas keluar pelan bersih yang tidak lagi membabitkan kebun penduduk, juruukur dilantik menanam batu sempadan.

”Namun tiba-tiba datang kumpulan lain yang mendakwa kawasan tersebut milik mereka, sedangkan di tapak tiada apa-apa tanaman yang diusahakan.

”Tidak ada pokok-pokok getah atau buah-buahan. Pada peringkat awal perbincangan dibuat kumpulan itu tidak pernah datang menuntut hak mereka.

”Kumpulan seperti ini dipercayai terbabit menjual tanah-tanah kerajaan. Ini kerana penduduk yang benar-benar meneroka tanah sudah diselesaikan semasa pemutihan dilakukan,” ujar Dr Nazmi.

Sebab itulah kata beliau beberapa ratus ekar di Renok belum dapat ditanam kelapa sawit biar pun geran sudah dikeluarkan atas nama Ladang Rakyat.

Ladang Rakyat juga membangunkan ladang kelapa sawit di Sokor, Tanah Merah; Kuala Balah, Jeli; Kandek, Kuala Krai dan Paloh 4, Gua Musang.

Di Gua Musang juga Ladang Rakyat terdapat di Limau Kasturi, Pasek, Hau dan Pulat. Jumlah keseluruhan kawasan dimaju dengan kerjasama beberapa syarikat seluas 50,000 ekar.

Biar pun terdapat tanah yang diluluskan tidak jauh daripada kawasan Orang Asal, namun penempatan mereka tidak termasuk dalam projek Ladang Rakyat.

Misalnya di Pasek seluas 1,500 ekar dikeluarkan daripada pelan asal Ladang Rakyat. Begitu juga di Belatim kelulusan asal kerajaan seluas 4,000 ekar, namun seluas 1,500 ekar direzabkan untuk masyarakat Orang Asal.

Di Balar (Dakoh), kelulusan awal kerajaan negeri seluas 6,000 ekar untuk program Ladang Rakyat, namun seluas 1,000 ekar dikeluarkan.

Oleh itu Dr Nazmi memberitahu isu yang dipalitkan terhadap Ladang Rakyat jelas tersembunyi agenda politik murahan pihak lawan.

”Ini kerana banyak tanah yang diberi kerajaan negeri dikeluarkan apabila didapati ada tanaman milik penduduk.

”Banyak perbincangan dibuat dengan penduduk tempatan bagi memastikan tanah yang mereka usahakan. Apabila terbukti milik penduduk, kita keluarkan," kata pula Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob.

Dr Nazmi juga hairan setelah pemutihan dilakukan ada pula pihak lain tiba-tiba tampil mengaku, sedangkan ketika perundingan awal mereka tiada. Ini menggambarkan ada pihak mahu mengsabotaj program untuk kebajikan rakyat.


Sentimen rakyat marah BN tidak relevan di Perak?

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 5 Mei: Pakatan Rakyat Perak perlu menyusun strategi lebih berkesan untuk menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti, apabila kajian yang dijalankan jelas menunjukkan sentimen kemarahan rakyat berhubung tindakan BN merampas kerajaan negeri dari Pakatan Rakyat awal tahun lalu, kini sudah tidak lagi relevan.

Sebuah badan pengkaji, Zentrum Future Studies dalam kajian terbarunya mengenai perkembangan politik di Perak mendapati Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin terus kekal sebagai tokoh pemimpin yang disegani dan diperlukan oleh seluruh rakyat Perak, tetapi beliau perlu dibantu dan diimbangi dengan tokoh muda lain yang setara dengannya.

Pemimpin Zentrum, Dr Abu Hassan Hasbullah ketika mendedahkan perkara itu berkata, untuk menghadapi PRU Ke-13, Pakatan Rakyat Perak ternyata sudah tidak lagi boleh bergantung kepada isu sentimen kemarahan rakyat berhubung tindakan BN itu kerana isu tersebut sudah tidak sekuat tahun 2008 atau 2009.

Menurut beliau, sebaliknya, jika isu itu terus dimainkan, ia pasti akan mendatangkan kesan lebih buruk kepada Pakatan Rakyat kerana isu tersebut ternyata sudah berjaya dimanipulasi oleh BN untuk mengelirukan rakyat, sehingga menjadikannya sudah tidak boleh diterima oleh lebih separuh rakyat negeri itu.

Katanya, bagi menggantikannya, Pakatan Rakyat Perak sekurang-kurangnya perlu menyusun tiga usaha penting mulai sekarang yang merangkumi kesepaduan serta kestabilan Pakatan Rakyat, penonjolan tokoh-tokoh muda berkalibar selain tokoh sedia ada dan kemampuan Pakatan Rakyat memberikan perkhidmatan lebih baik dari BN kepada seluruh rakyat Perak.

"Dari kajian yang dijalankan oleh Zentrum di Perak jelas menunjukkan orang-orang Cina tetap tidak berganjak dari terus menyokong Pakatan Rakyat. Ini sememangnya satu petunjuk yang cukup baik kepada Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Namun, menurut beliau, sokongan orang Melayu dan India kepada Pakatan Rakyat di Perak ternyata semakin merosot, apabila mereka sendiri menjadi semakin keliru dengan isu rampasan kuasa dan isu-isu lain yang muncul yang berjaya dimanipulasikan oleh BN.

"Sokongan orang Cina terhadap Pakatan Rakyat di Perak terus kekal sebanyak 40 peratus. Selain isu rampasan kuasa, orang Cina di Perak tetap menaruh keyakinan yang tinggi terhadap Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan politik di Perak.

"Tetapi bagi orang Melayu dan India yang sebanyak 60 peratus lagi, ia amat perlu ditangani dengan baik oleh Pakatan Rakyat bagi membolehkan Pakatan Rakyat berjaya dalam PRU Ke-13 nanti," tegasnya.

Dengan angka itu, Pakatan Rakyat hanya perlu menarik sokongan 20 peratus sahaja dari orang Melayu bagi membolehkan Pakatan Rakyat memerintah di Perak, manakala angka sekecil itu bukanlah sesuatu yang sukar dicapai jika usaha yang dilakukan itu berjaya menarik perhatian orang Melayu.

Walaupun BN telah berjaya mengalih sokongan orang Melayu dari Pakatan Rakyat, tetapi Pakatan Rakyat tetap berpeluang memenangi kembali hati orang Melayu jika usaha-usaha yang dilakukan berjaya menyakinkan mereka terhadap kemampuan Pakatan Rakyat dalam mentadbir negeri dengan baik jika menang dalam pilihanraya.

Selain itu, kata Abu Hassan, selain tokoh yang idealis dan berkaliber seperti Nizar, orang Melayu di Perak juga amat memerlukan jaminan dengan kemunculan tokoh lain yang setanding dengannya bagi mengimbangi Nizar sekiranya berlaku perkara tidak diingini ke atas Nizar.

"Tokoh itu pula diharapkan bukan dari PKR dan DAP, tetapi dari PAS sendiri. Dari kajian yang dibuat oleh Zentrum, kami mendapati Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim merupakan orang yang diharapkan dan beliau amat perlu ditonjolkan ke depan oleh Pakatan Rakyat Perak," jelasnya.

Abadikan nama Osama ’lambang keberanian’

M Faqih

KOTA BHARU, 5 Mei: Ketika pelbagai teori konspirasi menjelma di sebalik dakwaan Osama Ben Laden dibunuh tentera Amerika Syarikat, umat Islam dicadang mengingati tokoh terbabit di atas keberaniannya.

Keberanian berdepan Amerika Syarikat yang dianggap sebagai polis dunia bukan perkara mudah tanpa ada kekuatan dalaman.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, orang ramai boleh mengabdikan nama Osama pada bangunan, jalan atau apa sahaja sebagai penghormatan terhadapnya.

“Slogan mengenai keberanian Osama juga boleh dipamerkan. Ini sebagai usaha kita menghormati kehebatan yang ada padanya.

”Tidak ada tokoh yang berani berdepan dengan kuasa besar dunia itu, biar pun mereka menuduh Osama sebagai pengganas.

”Kita boleh pamerkan perkataan US is the killer Osama,” katanya di sini.

Beberapa hari lalu Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengumumkan kematian Osama berikutan dakwaan kejayaan tentera negara terbabit membunuhnya di sebuah rumah di sempadan Pakistan.

Ramai menganggap Amerika Syarikat memalsukan pengumuman tersebut sebagai alasan bagi mengundur 130,000 anggota tentera Bersekutu di Afghanistan, sebagai menamatkan peperangan 10 tahun melawan Taliban.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, dakwaan kematian Osama juga agak meragukan kerana tiada gambaran jelas diberi.

”Dakwaan mereka mayat Osama dibuang ke laut cukup meragukan kerana tidak disertakan sebarang bukti.

”Kalau pun benar begitu, ia juga merupakan suatu tindakan yang amat tidak kena memandangkan mayat orang Islam mesti diurus mengikut peraturan ditetap agama.

”Membuang mayat orang Islam ke laut ditentang ulama Islam di seluruh dunia termasuk Universiti al Azhar. Dalam Islam mayat perlu diberi penghormatan dan bukan dihina,” ujarnya.

Kata beliau umat Islam juga hendak tahu sama mayat yang didakwa Osama tersebut diurus dengan cara Islam sebelum dibuang ke laut.

Menurutnya Amerika Syarikat tidak boleh mengurus jenazah orang Islam dengan cara sekular sehingga membelakangkan peraturan agama.

Oleh itu beliau mencadangkan sebagai menghormati dan simpati terhadap keberanian Osama berdepan dengan negara imperialis barat, umat Islam boleh mengabdikan namanya pada tempat-tempat tertentu.

Beliau berkata, cadangan itu bukan bermakna menyokong keganasan seperti didakwa barat, sebaliknya mengenangkan keberaniannya berdepan kuasa besar dunia.


PAS Perlis sedia bekal maklumat kepada Dr Juanda
Bashir Ishak

KANGAR, 5 Mei: PAS Perlis bersedia membekalkan maklumat-maklumat kepada kepada Mufti, Dr Juanda Jaya berkaitan penolakan PAS untuk bersatu dengan Umno.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin (gambar) berkata demikian mengulas kenyataan Juanda yang mengatakan pihak yang menghalang usaha penyatuan PAS Umno sebagai pengkhianat Islam.

"Kita bersedia untuk membekalkan kepada beliau maklumat yang menjelaskan mengapa kita masih menolak perpaduan dengan Umno," jelasnya.

Sambil menyifatkan tuduhan Juanda itu sebagai keterlaluan, Ustaz Hashim berkata perwatakan Umno sejak dari dulu lagi tidak berubah khususnya tentang pandangan mereka terhadap perlaksanaan syariat Islam.

Tambahanya, tuduhan Sahibussamahah itu adalah keterlaluan dan sepatutnya beliau menyiasat terlebih dahulu kenapa PAS menolak pelawaan Umno.

“Mengapa Dr Juanda tidak meletakkan syarat untuk perpaduan itu mengikut pandangan Islam dan bukannya perpaduan secara mutlak begitu saja?” soalnya yang juga Adun Sanglang.

Menurutnya, sudah terlalu banyak yang Umno lakukan kepada PAS sebelum ini.

PAS pernah berpengalaman duduk bersama mereka dahulu tetapi Umno sendiri tidak bersedia untuk mendengar pandangan PAS ke arah kebaikan negara dan Islam itu sendiri.

"Umno sekarang samalah seperti dulu dari segi pegangan, perangai dan tingkah laku.

“Jadi PAS tidak bersedia untuk digigit pada lubang yang sama sampai dua kali. Kita tak mahu pisang berbuah dua kali," jelasnya.

Tiada ulasan: