Khamis, 10 Mac 2011

AGAK PAYAH...SUKA CARI ALASAN...MENJADI PERKARA DIWAJARKAN....PERKARA BURUK TERSEMBUNYI...

Najib dan Mubarak: Persamaan yang Ketara
Mac 10, 11 1:56pm

Pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sering menindas dan bersikap kuku besi dilihat persis corak pemerintahan bekas diktator Mesir Hosni Mubarak dakwa kepimpinan PKR.

Naib Presidennya, N Surendren berkata Najib yang menerajui BN sentiasa secara konsisten menggunakan apa-apa cara walaupun jahat untuk kekal berkuasa seperti parti yang diterajui Mubarak, Parti Demokratik Nasional (NDP) di Mesir.

“Terdapat persamaan yang luar biasa antara pemerintahan autoritarian selama 30 tahun di Mesir oleh Hosni Mubarak dan pemerintahan menindas selama 53 tahun oleh Najib dan BN ke atas Malaysia.

“Antara persamaannya adalah: pergantungan kerajaan atas suatu sistem polis yang agam untuk menumpaskan pihak pembangkang; kawalan ketat ke atas media cetak dan televisyen; tahanan tanpa bicara yang bermotifkan politik; keadaan darurat berdekad yang tidak dibatalkan; sistem kehakiman yang berat sebelah dan berpihak kepada kerajaan; pilihanraya yang tidak bebas ataupun adil,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Namun menurut Surendran, persamaan yang paling ketara adalah kedua-dua pemimpin itu dari masa ke semasa mengheret pesaing politik mereka ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan jenayah yang direka-reka.

“Objektifnya adalah untuk menghancurkan pesaing politik secara politik dan peribadi, dan oleh demikian menghapuskan ancaman kepada pemerintahan mereka.

“Rejim-rejim yang tidak bertoleransi dengan pasti akan menggunakan kaedah seperti ini kerana mereka tidak mempunyai pertimbangan keadilan dan tidak memedulikan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Mubarak digulingkan oleh rakyatnya selepas jutaan mereka berkumpul dan memprotes secara aman di Dataran Tahrir sejak 25 Januari lalu selepas tidak tahan dengan pemerintahan kuku besi beliau selama 30 tahun.

Menurut Surendran, kes Liwat II yang membabitkan Anwar sama dengan apa yang dilakukan Mubarak ke atas pemimpin pembangkang Mesir Ayman El Nour pada tahun 2005 sehingga menyebabkan Alyman dipenjara selama lima tahun.

Anwar semasa pemerintahan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir juga pernah dipenjara selama 6 tahun.

"Kerajaan Najib menggunakan taktik yang sama sahaja. Mubarak dengan terkenalnya menggunakan mahkamah Mesir untuk memenjarakan Ayman Nour, pemimpin Parti El Ghad yang dipenjarakan selama lima tahun dengan kerja berat. Persamaan dengan pendakwaan Anwar yang sekarang berlangsung adalah amat ketara," katanya lagi.

Justeru Surendren berkata rakyat perlu bangkit untuk memastikan kerajaan BN disingkirkan agar penindasan, korupsi dan kezaliman dapat dihentikan sepertimana Mubarak dan NDP.

"Rakyat Malaysia, bersama dengan dunia, berasa girang melihat melihat pemergian penzalim Mubarak dan kemenangan rakyat Mesir. Sekarang, kita mengalukan hari yang cemerlang apabila rakyat Malaysia mengakhiri pemerintahan membazir, lembap dan menindas BN dan pemimpinnya Najib Razak.

“Pemerintahan BN yang mencerminkan pemerintahan Mubarak ke atas Mesir, mesti berakhir. Untuk kebaikan negara, BN perlu disingkirkan," akhiri kenyataannya itu.

Seluar dalam diambil dari rumah teman wanita Saiful
Hafiz Yatim
Mac 10, 11
12:07pm

Perbicaraan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim disambung pagi tadi dengan mahkamah mendengar keterangan dari pegawai penyiasat Supt Jude Blacious Pereira.

NONEMenurut Pereira, pada jam 8.30 petang 29 Jun 2008, beliau pergi ke rumah pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Bandar Utama dan mengambil sehelai seluar hitam, sehelai seluar jenama Levi dan sehelai kemeja tangan panjang berwarna hijau.

Katanya, Saiful ada bersamanya dapabila dia menunjukkan barang-barang tersebut.

Barang-barang dikenal pasti oleh saksi di mahkamah.

Hadirin kedengaran ketawa ketika seluar dalam Saiful ditunjukkan pada mahkamah.

Pereira berkata, sehelai lagi seluar dalam berwarna biru-hitam diambil dari rumah teman wanita Saiful, yang telah dicuci.

Katanya, ketika itu seluar dalam itu lembab.

Sebelum itu, Pereira memberitahu mahkamah bahawa beliau telah mengambil KY gel jenama Johnson and Johnson ketika Saiful berada di hospital.

Beliau mengesahkan gel tersebut di mahkamah ketika ditunjukkan kepadanya.

Sementara itu, Periera memberitahu mahkamah prosedur rakaman lisan oleh polis hanya boleh dirakamkan sebelum jam 6 petang, justeru menyebabkan Anwar ditahan semalaman di lokap D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

NONEKatanya, penahanan itu bagi membolehkan beliau menyambung sesi keterangan Anwar pada keesokan harinya.

"Saya tahan kerana siasatan saya masih belum selesai. Ada beberapa soalan saya perlu tanya. Kami ada arahan tidak boleh rekod pada waktu malam," katanya.

Menurut Periera, sesi pada keesokan harinya diteruskan berkaitan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Peguam Cara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden kemudian mengarahkannay merujuk kepingan gambar untuk mengecam individu-individu yang hadir ke kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008 termasuk Anwar dan pengadu Saiful Bukhari Azlan.

Periera adalah saksi terakhir pendakwaraya.


'Jika selamat, mengapa tak bina di Perth'
Mac 10, 11 1:15pm

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan hari ini mempertikaikan kewajaran kerajaan membina pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth) yang paling besar di dunia di Gebeng, Kuantan.

NONEKatanya, jika benar pusat bernilai RM700 juta yang dibina oleh sebuah syarikat Australia, Lynas Corp didakwa tidak akan memberi kesan kepada kesihatan penduduk, mengapa bahan sisa perlu diproses di negara ini.

“Malangnya Pengarah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia, Raja Abdul Aziz Raja Adnan mengatakan kesan radiasinya rendah dan selamat.

“Persoalannya, jika proses menapis tanah jarang ini tidak memberi kesan kepada kesihatan penduduk, kenapa ia dilombong di Mount Weld Australia dan tidak sahaja ia diproses di Perth Australia?

“Kenapa perlu pindahkan ke Gebeng, Kuantan melepasi 2500 km jauh jaraknya?” soalnya dalam satu kenyataan media.

Pembinaan pusat pemprosesan tanah jarang yang paling besar di dunia dilaporkan beberapa hari lalu oleh akhbar harian Amerika, the New York Times (NYT) yang memetik beberapa pakar yang melahirkan kebimbangan berhubung sisa radioaktif yang bakal dihasilkan .

NONE“Penduduk sekitar daerah Kuantan dan Gebeng sekali lagi terdedah kepada ancaman sisa radioaktif yang bakal terhasil... Saya melihat projek seperti ini sangat mengundang risiko kepada tahap kesihatan masyarakat kita kerana Pusat Industri Gebeng letaknya berhampiran dengan taman perumahan penduduk.

“Sisa buang yang akan tersalur ke sungai akan memberi kesan radioaktif kepada masyarakat. Apakah seluas-luas gurun di Australia tidak mencukupi untuk membina kilang seperti ini jika ia benar-benar didakwa selamat?” soal Nasrudin.

Menurutnya, kilang serupa pernah cuba dibina di Bukit Merah, Perak pada sekitar tahun 1982 hingga 1987. Namun ia mendapat bantahan hebat dari pelbagai pihak kerana ia memberi kesan buruk kepada kesihatan penduduk seperti kanser, leukemia dan kecacatan.

NONE“Malah ada yang meninggal dunia. Sekarang mereka membinanya pula di Pusat Industri Gebeng Kuantan, Pahang yang letaknya tidak jauh dari kawasan penempatan awam yang besar di daerah Balok , Beserah dan Pelindung,” katanya.

Nasrudin kemudian menyenaraikan semula kronologi penetangan Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah, Ipoh sehingga penutupannya pada 19 Januari, 1994.

Berikut disiarkan kronologi penuh berkenaan:

1979

November: Syarikat Asian Rare Earth (ARE) dibentuk untuk mengekstrak itrium ( sejenis unsur nadir bumi) daripada monazit. Pemegang saham utamanya ialah Mitsubishi Chemical Industries Ltd (35 peratus), Beh Minerals (35 peratus), Lembaga Urusan dan Tabung Haji (20 peratus) dan beberapa peniaga bumiputera (10 peratus).

kampung baru bukit merahPihak ARE telah mendapatkan pandangan dari Pusat Penyelidikan Atom Tun Dr Ismail (Puspati), Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar mengenai sisa buangan radioaktif yang dihasilkan melalui pemerosesan monazit. Adalah diputuskan, sisa buangan itu yang menjadi milik kerajaan Negeri Perak akan disimpan kerana berpotensi sebagai sumber tenaga nuklear.

1982

Jun: Penduduk Parit, Perak mendapat tahu kerajaan telah memilih kawasan seluas sembilan ekar, kira-kira 6 kilometer penempatan mereka untuk dijadikan tapak penimbunan sisa radioaktif syarikat ARE.

30 Jun:
Berikutan bantahan hebat daripada jawatankuasa penduduk serta lain-lain pertubuhan politik dan sosial, kerajaan membatalkan cadangan itu dan kemudian mula mencari tapak baru.

11 Julai: Kilang ARE mula beroperasi di KM 7.2, Jalan Lahat di Bukit Merah.

1983


November: Penduduk Papan (kira-kira 16 km dari Ipoh) mendapat tahu ARE sedang mengorek lubang berhampiran tempat kediaman mereka untuk dijadikan tapak buangan sisa radioaktif. Tapak itu merupakan pilihan kerajaan

1984


24 Mei:
Kira-kira 6,700 penduduk Papan dan pekan-pekan yang berhampiran menandatangani satu surat bantahan dan menghantarnya kepada Perdana Menteri, Menteri Besar Perak, Menteri Kesihatan serta Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

31 Mei:
Seramai 200 penduduk Papan membantah tapak pembuangan yang dicadangkan. Mereka menyekat jalan yang menuju ke tapak itu.

5 Jun: Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mengambil segala langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatannya dan menegaskan pembinaan tapak buangan radioaktif di Papan akan diteruskan.

18 Jun:
Kira-kira 300 penduduk Papan sekali lagi mengadakan tunjuk perasaan sebagai membantah tapak buangan yang dicadangkan.

28 Jun:
Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Amar Stephen Yong berkata, tapak buangan Papan adalah selamat kerana dibina mengikut piawaian yang ketat. Beliau mencabar pengkritik supaya membuktikan tapak itu boleh mengancam kesihatan dan alam sekitar. Sementara itu, ARE meneruskan operasinya dengan menimbun sisa torium di sebuah kawasan terbuka dan kolam berhampiran kilang itu.

1 Julai:
Kira-kira 3,000 penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak mengadakan tunjuk perasaan secara aman sebagai membantah tapak buangan tersebut.

4 Julai: Seramai 2,000 orang penduduk terus mengadakan tunjuk perasaan meskipun Ketua Polis Perak memberi arahan supaya bersurai.

18 Julai: Pembentukan Jawatankuasa Bertindak Bukit Merah, terdiri daripada penduduk Bukit Merah, Lahat, Menglembu dan Taman Badri Shah, sebagai tanda sokongan kepada penduduk Papan.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri memaklumkan paras radiasi yang tinggi telah dikesan dikawasan kolam terbuka berhampiran kilang ARE di Bukit Merah.

Satu bacaan yang dicatat oleh pegawai-pegawai SAM sewaktu berkunjung ke situ ialah 43,800 milirem/tahun. Paras ini melebihi 88 kali paras maksimum yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Antarabangsa bagi Perlindungan Radiologi (ICRP) untuk orang ramai.

29 Ogos: Michael O 'Riordan dari Lembaga Perlindungan Radiologi Kebangsaan British dijemput oleh kerajaan untuk memeriksa tapak buangan toksik di Papan.

19 September: Sekumpulan tiga orang dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengunjugi tapak buangan di Papan atas jemputan kerajaan Malaysia. Mereka mengisytiharkan tapak buangan itu tidak selamat.

5 Oktober: Dr William Cannell, seorang ahli fizik dan penganalisis kesihatan menerima jemputan penduduk Papan untuk melawat tapak buangan tersebut. Hasil pemerhatian beliau mendapati kerja-kerja kejuruteraan yang dijalankan oleh syarikat terbabit sangat buruk.

21 Oktober: Seorang pakar dari Amerika dan bekas ahli jawatankuasa Akademi Sains Kebangsaan Amerika bagi kesan-kesan Biologi Radiasi Mengion (BEIR), Dr Edward Radford, atas jemputan penduduk Papan, membuat tinjauan di tapak buangan sisa itu.

Beliau dapati tapak itu tidak sesuai sementara lubang-lubang yang digali mempunyai dinding yang nipis atau sudah merekah.

7 November:
Seorang pakar buangan sisa industri dari Jepun, Dr Jun Ui, menerima jemputan penduduk Papan untuk memeriksa tapak buangan ARE. Beliau juga mendapati tapak itu tidak sesuai dijadikan kawasan penimbunan sisa berbahaya.

28 November: Kabinet membincangkan laporan-laporan yang diserahkan oleh dua badan kawalan. Laporan yang dikemukan oleh Lembaga Perlindungan Radiologi Kebangsaan British (NRPB) berkata, penduduk hanya akan selamat jika faktor-faktor tertentu diberi perhatian oleh kerajaan Perak dan syarikat ARE. Laporan kedua oleh IAEA pula berkata, lubang-lubang yang dibina tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

9 Disember: Lebih 1,500 penduduk di Papan mengadakan mogok lapar selama sehari sebagai membantah keputusan kerajaan untuk meneruskan rancangan menempatkan tapak buangan sisa di Papan.

Penduduk Bukit Merah membawa masuk seorang pakar radiasi dan genetik dari Jepun, Profesor Sadao Ichikawa untuk mengukur paras radiasi di kawasan terbuka dan kolam berhampiran kilang ARE. Beliau dapati paras radiasi di situ terlalu tinggi malah paras tertinggi yang dicatatkan melebihi 800 kali paras yang dibenarkan.

12 Disember:
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Musa Hitam menunjukkan minat secara peribadi terhadap perkembangan isu Papan ini. Beliau mengunjungi tapak buangan tersebut.

1985

11 Januari: Selepas mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Musa Hitam, kerajaan mengambil keputusan memindahkan tapak buangan sisa ke Mukim Belanja di Banjaran Kledang yang terletak kira-kira 5 km dari Papan dan 3 km dari Menglembu.

1 Februari: Lapan orang penduduk, bagi pihak diri mereka sendiri dan penduduk Bukit Merah membuat satu permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh menahan ARE daripada mengeluar, menyimpan atau menimbun sisa radioaktif di sekitar kampung tersebut.

Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dikuatkuasakan. Ia memastikan pengendali bahagian pemasangan nuklear (termasuk kerajaan) bertanggungjawab terhadap ancaman nuklear.

Lima ahli Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dibentuk di bawah Akta itu, dengan perwakilan dari Puspati, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

14 Oktober:
Hakim Anuar Datuk Zainal Abidin di Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan kepada penduduk Bukit Merah perintah menahan dan menghentikan ARE daripada mengeluar dan menimbun bahan sisa radioaktif sehingga langkah-langkah keselamatan yang secukupnya diambil.

Lebih daripada 1,500 penduduk Bukit Merah hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan itu.

1986

22 September: ARE mendakwa ia telah membelanjakan lebih RM2 juta untuk meningkatkan langkah-langkah keselamatan (sepertimana yang dikehendaki oleh perintah mahkamah), diikuti oleh piawaian IAEA.

Ia menjemput pakar tenaga atom dari Amerika, Dr E.E. Fowler (Bekas kakitangan IAEA) untuk mengunjungi kilang berkenaan. Menurut beliau, paras radiasi berhampiran kawasan pembuangan yang disediakan oleh ARE memenuhi piawaian ICRP dan beliau dapati kilang itu selamat untuk beroperasi.

5 Oktober: Kira-kira 3,000 penduduk Bukit Merah dan kawasan sekitarnya mengadakan tunjuk perasaan terhadap rancangan ARE untuk menimbun sisa radioaktif di tapak kekalnya di Banjaran Kledang.

28 Oktober: Profesor Sadao Ichikawa dalam kunjungan kali keduanya ke Bukit Merah mendapati paras radiasi di sekitar kilang ARE masih melebihi paras yang dibenarkan. Beliau dilarang masuk ke dalam kilang itu.

16 November:
Sekumpulan penyiasat dari AELB memeriksa beberapa buah tapak buangan sisa torium yang dilonggokkan secara haram di Bukit Merah. Mereka dibantu oleh bekas kontraktor ARE, Ng Toong Foo yang pernah membuang sisa di situ.

Bacaan di salah sebuah tapak ialah 0.05 – 0.10 milirem/jam (iaitu 438 - 876 milirem/tahun) melebihi paras keselamatan maksimum 0.057 milirem/jam yang ditetapkan oleh ICRP.

26 November: Perwakilan dari tujuh kawasan (Bukit Merah, Lahat, Taman Badri Shah, Menglembu, Papan, Falim dan Guntong) membentuk sebuah jawatankuasa Anti-Radioaktif Perak (PARC).

8 Disember:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Encik Kasitah Gadam berkata hasil pemeriksaan AELB di dua tapak buangan haram Bukit Merah mendapati paras radiasi di situ adalah selamat.

Menurutnya, sungguhpun AELB mendapati paras radiasi di situ melebihi paras normal, ini tidak membahayakan kerana tapak-tapak itu sangat sedikit bilangannya.

1987


6 Februari: Tanpa mempedulikan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh kepada ARE supaya menghentikan operasi, AELB Malaysia memberikan lesen kepada ARE supaya meneruskan operasinya.

10 April:
PARC menjemput 14 pakar asing untuk datang ke Bukit Merah-pengasas-pengasas Institut Antarabangsa bagi Kepentingan Awam di Kanada, Dr Rosalie Bertell; Setiausaha Pusat Keselamatan Industri dan Kepentingan Alam Sekitar di India, V.T. Pathmanaban; dan Presiden Institut Kesihatan dan Tenaga di Amerika Syarikat, Kathleen Tucker merupakan antara mereka yang dilarang memasuki kawasan ARE.

Dalam satu forum yang berlangsung di Bukit Merah, pakar-pakar itu membuat kesimpulan bahawa ARE mendedahkan pelbagai ancaman kesihatan yang serius.

12 April:
Kira-kira 10,000 orang penduduk berarak di Bukit Merah sebagai membantah operasi yang dijalankan semula oleh ARE.

24 Mei:
Kira-kira 300 orang penduduk diperintahkan bersurai oleh anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berhampiran ARE.

Lebih 20 orang, termasuk tiga wanita mengalami kecederaan dalam dua pertelingkahan pada hari itu. Seramai 60 orang ditahan oleh pihak polis. Semua kecuali enam dibebaskan kemudian selepas disoal-siasat.

Keenam-enam pemuda itu dibebaskan seminggu kemudian di mana pihak polis tidak mengenakan sebarang tuduhan. Penduduk menghalang kerja-kerja membina jalan yang menuju ke tapak buangan kekal di Banjaran Kledang yang dicadangkan.

23 Julai: Seorang doktor Kanada, Bernie Lau, diupah oleh PARC untuk meletakkan alat pengesan gas radon di luar kilang ARE. Beliau berjaya mengesan sejumlah gas radon dibebaskan daripada kilang itu.

Terdahulu dari itu, Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Datuk Amar Stephen Yong berkata, kerajaan berpuas hati dengan laporan penilaian kesan alam sekitar bagi tapak buangan kekal yang dicadangkan itu. Penilaian itu dijalankan oleh ARE bersama beberapa orang pegawai Kementerian.

7 September:
Perbicaraan saman yang dikemukakan oleh lapan orang penduduk Bukit Merah terhadap ARE bermula di hadapan Hakim Peh Swee Chin di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Sebagai mengetengahkan nasib mereka, para penyokong PARC berjalan sejauh 8 km dari Bukit Merah ke Ipoh. Polis menyuraikan tunjuk perasaan mereka berhampiran Menglembu. Sembilan orang ditahan tetapi dibebaskan setelah diikat jamin. Kira-kira 1,000 orang hadir di mahkamah sebagai menunjukkan sokongan mereka.

11 September: Para penduduk berarak dari Bukit Merah ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari terakhir perbicaraan. Jumlah mereka yang hadir dianggarkan 3,000 orang.

18 Spetember: Penduduk Bukit Merah mengemukakan permohonan perbicaraan kerana menghina mahkamah terhadap ARE memandangkan ia melanggar perintah menahan operasi yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh kepada mereka pada tahun 1985.

27 Oktober:
Lebih 100 orang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Di antaranya termasuklah pengerusi PARC, Hew Yoon Tat; timbalannya, Hiew Yew Lan; (bekas) setiausaha PARC, Lee Koon Bun; ahli jawatankuasa, Phang Kooi Yau dan peguam Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mewakili plaintif Bukit Merah, Meenakshi Raman. Merek dibebaskan selepas dua bulan.

November: ARE mula membina tapak buangan kekal sisa toksik di Banjaran Kledang.

1988

25 Januari: Perbicaraan disambung semula.

1990


13 Februari: Perbicaraan tamat selepas berlansung selama 65 hari dan berlanjutan lebih 32 bulan.

1992

11 Julai:
Penduduk Bukit Merah memenangi kes saman terhadap ARE. Mahkamah mengarahkan penutupan kilang ARE dalam tempoh 14 hari. Pihak ARE pula mengumumkan ia akan membuat rayuan di Mahkamah Agung.

23 Julai: ARE mengemukan rayuan di Mahkamah Agung berhubung perintah Mahkamah Tinggi Ipoh supaya operasinya dihentikan. Pengerusi PARC Hew Yoon Tat dan salah seorang plaintif dalam saman terhadap ARE, Lau Fong Fatt menemui kakitangan atasan Mitsubishi Chemical di Jepun. Mereka diberitahu ARE mengemukan rayuan tanpa kebenaran syarikat itu.

24 Julai: Berikutan permohonan ex-parte oleh ARE, Hakim Besar Mahkamah Agung menahan (sehingga perintah selanjutnya) perintah Mahkamah Tinggi Ipoh kepada ARE supaya menghentikan operasinya.

3 Ogos:
Lebih 2,000 orang dari Bukit Merah hadir di Mahkamah Agung untuk mendengar rayuan ARE terhadap perintah Mahkamah Tinggi Ipoh yang menggantung operasinya. Bagaimanapun, hakim-hakim Mahkamah Agung Menangguhkan perbicaraan kepada 5 Ogos kerana 'tekanan oleh mereka yang berpiket di luar mahkamah.'

5 Ogos: Mahkamah Agung membenarkan permohonan ARE untuk menolak perintah Mahkamah Tinggi yang meminta ARE menghentikan operasinya berikutan rayuan syarikat berkenaan. Menurut hakim-hakim itu, penutupan tersebut akan menyulitkan kilang dan 183 pekerjanya.

1993

15 Mac: Perbicaraan rayuan yang dikemukan oleh ARE di Mahkamah Agung ditangguhkan pada 7 Jun.

7 Jun: Perbicaraan mendengar rayuan ARE sekali lagi ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

1994


19 Januari: Pengumuman syarikat ARE untuk menghentikan operasi.







Tiada ulasan: