Khamis, 10 Mac 2011

DULUKAN DAN UTAMAKAN DAKWAH...KEMUDIAN POLITIK...JIKA ORANG FAHAM ISLAM DAN BERAMAL...MEREKA AKAN SOKONG ISLAM...TEKAN DAKWAH PADA AHLI2...

Jangan bayar kompaun saman ekor - Kase
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 10 Mac: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menasihatkan mangsa saman ekor agar tidak membayar kompaun yang dikenakan biarpun tempoh promosi pembayaran berakhir hari ini.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sekiranya selepas ini mereka disenarai hitam, Kase akan membantu untuk berdepan masalah tersebut di mahkamah.

"Rakyat tidak perlu bayar, yang penting ambil insurans bawa ke JPJ untuk perbaharui cukai jalan, kalau JPJ tak benar, wajib pengarah JPJ kena bagi jawapan bertulis, kenapa.

"Kemudian bawa insurans dan surat itu, kalau polis tahan, biar dia saman, kita lawan di mahkamah," katanya ketika ditemui selepas membangkitkan perkara itu di parlimen semalam.

Tambahnya, keputusan sama ada seseorang itu bersalah dan perlu membayar kompaun hanya ditentukan mahkamah, dan bukan oleh notis saman yang dikeluarkan.

Menurutnya lagi, tindakan JPJ menyenarai hitam pesalah saman ekor adalah salah mengikut keputusan Mahkamah Kucing dalam kes Leonad Lim Yaw Chiang melawan Pengarah JPJ negeri Sarawak pada 2009.

Dalam kes itu, hakim memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam mengikut Seksyen 17(1)(d) adalah tidak betul dan bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

(Kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau. Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan.

Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.

Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.)

"Kita minta Peguam Negara nasihat JPJ supaya akur keputusan mahkamah iaitu tak boleh blacklist.

"Rakyat tidak boleh dipaksa membayar kompaun yang ditawarkan," kata Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS.

Dalam pada itu, beliau turut mempertikai tindakan kerajaan yang didakwa akan menggunakan teknologi Redflex dalam Automatic Enforcement System (AES).

Katanya, teknologi itu telah dipertikai banyak pihak termasuk di California Amerika Syarikat dan di Arizona.

"Kenapa guna teknologi yang sudahpun dipersoal.

"Dan kenapa syarikat swasta Beta Tegap dan commercial Circle diberi hak pengendalian, sedangkan teknologi guna yang Redflex punya.

"Kenapa kerajaan tak kendalikan sendiri guna teknologi sama, kenapa perlu orang tengah?" soalnya.


Haram judi: Antara MCA dan Umno, siapa sesatkan siapa
http://wfa​uzdin.blog​spot.com

APABILA Chua Soi Lek mengambil langkah untuk menyaman Kerajaan Negeri PAS Kelantan di dalam isu mengharamkan judi, terfikir pula oleh saya apa tindakan Umno selanjutnya? Kita tahu bahawa beberapa pemimpin DAP juga menentang tindakan Kerajaan Negeri PAS di bawah Tuan Guru Nik Aziz di dalam isu tersebut, tetapi tidak seorang pun pemimpin DAP yang menentang sehingga ke tahap mahu menyaman Kerajaan Negeri.
Itu beza MCA dan DAP walaupun mereka kebanyakan dari bangsa dan agama yang sama. Tetapi oleh kerana MCA berkawan dengan Umno, dan DAP pula berkawan dengan PAS maka itulah bezanya pendekatan mereka. Bukan susah untuk difahami mengapa mereka menentang tindakan Kerajaan Negeri Kelantan tersebut. Pertamanya, mereka Non Muslim dan sudah tentu mereka tidak tahu apa yang Islam mahu capai dengan langkah pengharaman tersebut. Keduanya, mereka berhujah dari segi Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada iaitu kebebasan kepada Non Muslim.

DAP walaupun menentang tetapi masih boleh Kerajaan Negeri runding dan beri kefahaman agar mereka faham aspek perlaksanaannya serta kesan dari larangan tersebut. Ertinya, DAP tidak menentang secara mutlak. Tuan Guru Nik Aziz juga telah membuat kenyataan untuk berjumpa dengan kepimpinan DAP agar mereka memahami tentang hukum ini kepada orang Islam. Berbeza dengan pemimpin MCA, mereka menentang secara mutlak iaitu bercadang untuk menyamannya tanpa meminta penjelasan atau keterangan terlebih dahulu daripada Kerajaan Negeri. Jika mahu ditafsirkan siapa `Kafir Harbi' di sini, saya tidak berani huraikan.

Langkah MCA ingin menyaman Kerajaan Negeri di dalam isu ini tidak ubah dengan cara Mahathir yang pernah mengutus surat kepada Kerajaan Negeri Kelantan dahulu agar tidak melaksanakan Hukum Hudud di negeri tersebut. Kedua-duanya sama iaitu menentang hukum Islam secara mutlak. Bezanya, Mahathir itu mengaku Islam dan Chua Soi Lek adalah Non Muslim. Sekeras-keras teguran dari DAP adalah dari Karpal Singh suatu ketika dahulu di mana beliau pernah berkata, 'langkah mayat saya dahulu jika mahu Hudud dilaksanakan'.

Di dalam konvensyen PR baru-baru ini, Karpal menyebut perkataannya itu adalah di luar konteks sebenar. Beliau mengambil pendirian terbaru bahawa DAP bersedia untuk berbincang dengan PAS berkaitan hukum Islam. Pendirian terbaru DAP ini tidak dihebahkan oleh media pencacai melainkan sering mengungkit kenyataan lama Pengerusi DAP tersebut. Oleh itu, tindakan Tuan Guru Nik Aziz yang sanggup berbincang dengan DAP di dalam isu ini adalah selaras dengan apa yang Karpal Singh suarakan.

Chua Soi Lek berani berbuat demikian kerana beliau beranggapan bahawa haramnya judi itu adalah kehendak PAS semata-mata, sedangkan itu bukan kehendak PAS tetapi itu adalah perintah Allah. Mengapa Chua Soi Lek tidak faham? Jawapannya mudah, kerana beliau berkawan dengan Umno dan Umno tidak memaklumkan kepadanya tentang hukum berjudi di dalam Islam. Bahkan, Umno sebagai tunjang kerajaan pusat meluluskan lesen judi terbesar di genting dan pernah bercita-cita untuk melaksanakan judi bolasepak Piala dunia baru-baru ini.

Oleh yang demikian, pemimpin di dalam MCA dan Gerakan atau MIC menganggap judi dibenarkan di dalam Islam kerana Umno sendiri redha dan pemimpin dan ahli Umno semuanya mengaku Islam. Pada fikiran Chua Soi Lek, jika Umno yang Islam kata boleh mengapa PAS yang Islam juga kata tidak boleh? Justeru itu, siapa yang menyesatkan siapa? Jangan nanti Chua Soi Lek mahu agar hubungan seks bebas atau oral seks dibenarkan kerana itu hak mereka yang Non Muslim.

Kepada Kerajaan Negeri Kelantan, teruskan usaha tersebut di dalam masa yang sama terangkan kepada mereka bahawa hukum Islam ini menjamin keharmonian semua. Biarlah Umno pula menerangkan kepada sekutu mereka dari MCA, Gerakan dan MIC tentang hukum berjudi di dalam Islam pada pandangan Umno. Adakah berjudi itu `halal' bila berlesen dan `haram' bila tidak berlesen, biarlah pemimpin Umno terangkan. Persoalannya, mampukah pemimpin Umno terangkan tentang Islam kepada sekutu mereka itu sedangkan isteri sendiri pun tidak tahu hukum menutup aurat.


Pakatan perlu perkukuh kepercayaan rakyat
http://faris-zaini.blogspot.com/

Berlalunya PRK Kerdau dan Merlimau, sudah 3 PRK terus-menerus PAS gagal untuk memenanginya. Tidak bermakna PAS gagal kerana jumlah undi PAS turut meningkat dalam 2 PRK tersebut, cuma gagal untuk menang, jadi ianya masih tetap dianggap gagal oleh pejuang kebenaran yang perlu menawan untuk menegakkan Islam.

Jika kita lihat keputusan dan mengkaji pula kaedah dan strategi yang digunakan oleh PAS, jelas UMNO tidak segagah yang disangka (mengharapkan jentera dan agensi kerajaan malah duit rakyat berjuta-juta yang disalahguna untuk peruntukan 'mee segera' di sana) tapi kelemahan strategi PAS yang kelihatan.

Sudah sampai masanya PAS Pusat merombak semula jentera pilihan rayanya dan melantik 'team baru' menggantikan team yang ada. Team yang ada merupakan team yang sudah hilang taringnya dan daya saing malah gagal menghadapi cabaran-cabaran di zaman dunia teknologi dan pantas ini. Buktinya, jentera PAS belum ada team perang saraf yang berstrategik malah juga dikatakan 'dingin' dengan bloggers-bloggers Pro Pakatan Rakyat akhir-akhir ini. Ini sangat merugikan pihak kita sebenarnya.

Sedangkan pihak BN yang diakui mempunyai sumber kewangan yang lebih kukuh telah mempunyai team-team perang saraf yang mereka sendiri memberi upah yang agak lumayan. Pendekatan berbaik-baik dengan bloggers-bloggers Pro Barisan Nasional pula umpama suatu kelebihan buat mereka. Perang media alternatif lebih dikuasai pihak BN buat masa sekarang, berbanding ketika mana tsunami politik melanda rakyat pada tahun 2008 yang lalu.

Team pilihan raya kita pula masih berada di kalangan orang lama yang agak terhad dengan idea-idea baru, dengan sasaran pengundi baru pula yang mahukan pembaharuan dalam usaha untuk memikat hati mereka. Jentera dari pelbagai peringkat perlu di'tamrin'kan dengan kursus-kursus dan strategi menghadapi pilihan raya, terutama berkaitan perang saraf dan gerak kerja yang berkesan untuk menawan hati rakyat.

Petikan-petikan analisis lain yang saya 'kepilkan' dalam blog saya ini, buat tatapan dan muhasabah untuk pembaca sekalian. Bukan untuk memburukkan mana-mana pihak, namun untuk membuka minda kita, dalam proses penambahbaikan dan menjadikannya sebagai suatu kritikan membina bagi pihak yang memperjuangkan kepentingan rakyat.

Sebagai contoh di Kerdau, Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Pengarah Pilihan Raya hendak membuat laporan polis oleh kerana organisasi pilihan rayanya dibolosi oleh 'mata-mata' dari UMNO. Sebenarnya intip-mengintip ni adalah aktiviti biasa dalam strategi perang dan gerak saraf, namun perkara berkenaan pun belum dapat ditangani dengan sebaiknya oleh pihak kita.

Jika pejabat pilihan raya PAS boleh dibolosi oleh musuh bermakna sistem keselamatan bilik pilihan raya PAS tidak cekap dan tidak sistematik. Tidak cukup ampuh untuk menangkis susupan susuk tubuh dari pihak musuh. Inilah contoh betapa kurang strategiknya jentera pilihan raya PAS dalam menghadapi pilihan raya seumpama ini.

Sekiranya PAS Pusat tidak mengatasi masalah ini, berkemungkinan besar dalam PRU ke13 akan datang, PAS akan kehilangan banyak kerusi kelak. Jangankan menambah kerusi, kerusi yang ada dalam genggaman pun kemungkinan akan terlepas ke tangan pihak lawan.

Kita melihat kerusi yang majoriti Melayu pun bukan boleh dijadikan taruhan atau kawasan target untuk dimenangi, maka ia menjadi satu amaran bermakna buat pihak PR. Pimpinan PR perlu sedar segera dari lamunan ini, sebelum ianya menjadi barah dan rakyat melihat pimpinan PR tidak mahu berubah, maka rakyat yang akan berubah angin dari meneruskan tsunami PRU 2008 yang lalu.

Saya melihat, tidaklah sampai perlu menukar Presiden PAS dan pucuk pimpinannya dalam masa terdekat seperti mana cadangan 'Tulang Besi' seorang blogger PR di alam maya, namun cukuplah dahulu merombak dan 'review' semula jentera pilihan raya PAS itu sendiri. Mungkin juga 'review' jawatan-jawatan penting yang dirasakan perlu bagi menerajui cita-cita PR ke Putrajaya. Kemudian buat kerja rumah tentang strategi pilihan raya secara efektif. Perkasakan jentera penerangan hingga ke akar umbi. Ianya sangat-sangat penting untuk mendepani pihak BN yang semakin menghargai bloggers-bloggers dan suara anak muda kini.

Kita perlu mendengar luahan dan rasa orang bawahan dan jangan melihat dari atas semata-mata, kerana sikap tersebut akan memakan diri sendiri. Suara ahli dari akar umbi penting bagi mengetahui realiti yang berlaku di peringkat akar umbi parti. Perpecahan dalam PKR pun dilihat berlaku dek kerana egonya pucuk pimpinan yang mengabaikan suara ahli bawahan. Kritikan membina ahli hanya dilihat sebagai melukut di tepi gantang.

Imej PKR misalnya sudah tercemar di kalangan sebahagian rakyat, jadi elakkan PR membincangkan isu-isu yang boleh memecahkan Pakatan Rakyat menggunakan media. Bincang secara dalaman berkaitan isu-isu sensitif. PAS perlu meraih semula undi Melayu yang semakin 'lari' kepada UMNO, PKR perlu membersihkan imej mereka sedikit demi sedikit dengan menaikkan imej PR di Selangor misalnya.

Kenyataan Timbalan Pres. PKR, Azmin Ali untuk perebutan kerusi di Sarawak, sangat merugikan PR. SNAP perlu didekati untuk menguatkan Pakatan Rakyat untuk mengalahkan BN di Sarawak. SNAP lebih lama dari PKR sendiri di sana. Mantapkan PKR sendiri dahulu sebelum menunjukkan gaya angkuh seperti itu. DAP dan SNAP lebih kuat dari PKR di Sarawak. Bincang terlebih dahulu, sebelum keluarkan kenyataan tidak cerdik di media, yang pasti akan dimanipulasikan berhari-hari oleh media BN.

Sekarang ini, paling utama juga, isu-isu berkaitan anak muda dan kepentingan rakyat perlu diperhebatkan oleh PR, gunakan isu yang BN dilihat membebankan rakyat dan menyalahgunakan duit rakyat seperti saman ekor, saman trafik, pelaksanaan GST, kenaikan harga barang dan minyak petrol, kutipan tol, penyelewengan PKFZ dan sebagainya.

Bukti Buku Jingga boleh dilaksanakan secara berperingkat perlu dimaksimumkan PAS, DAP dan PKR di negeri-negeri PR seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Semua parti PR perlu berganding bahu memperkukuhkan kepercayaan rakyat di negeri-negeri PR sebelum meraih kepercayaan rakyat Malaysia umumnya untuk menawan hati rakyat dalam PRU 13 nanti.

Antara perkara yang paling penting juga, PR perlu mengabaikan provokasi isu oleh pihak BN untuk melambatkan gerak kerja PR sendiri. Banyak isu sengaja ditimbulkan BN untuk merencatkan gerak kerja dan fokus isu PR sebenarnya. Jadi, berhati-hatilah dalam menangani gerak kerja perang saraf dari pihak lawan.

Selain itu, saya amat bersetuju BERSIH 2 perlu dilancarkan segera untuk memastikan sistem pilihan raya yang ada bukan menjadi padang yang tidak rata sebagai medan demokrasi di negara kita. Cukuplah segala agensi kerajaan menjadi kuda tunggangan pihak mereka, jangan pula kuasa rakyat untuk menuntut keadilan SPR diabaikan. Jika tidak, tiada guna menggunakan pilihan raya kecuali menggunakan medan jalan raya seperti mana di Tunisia dan Mesir. Fikir-fikirkanlah.


Amaran keras dari Merlimau, Kerdau
Ahmad Lutfi Othman

Kekalahan "teruk" PAS di Kerdau dan Merlimau -- dengan majoriti BN yang lebih besar -- mengundang banyak kritikan. Saya kira, adalah baik sekiranya pemimpin PAS dapat meneliti setiap teguran yang dikemukakan bagi melakukan proses penambahbaikan. Tentunya dalam PAS sindrom penafian belum menjadi wabak sehingga segala pandangan berbeda diketepikan begitu sahaja. Bukankah siri pilihan raya kecil selepas tsunami politik Mac 2008, sama ada mencatatkan kemenangan atau kekalahan, dapat menghimpunkan iktibar sekali gus mendorong pembaharuan dilakukan sebelum Parlimen dibubarkan nanti?

PRU13 dijangka merupakan "medan pertempuran" paling sengit bakal disaksikan sepanjang sejarah pilihan raya di negara kita. Buat pertama kali rakyat Malaysia benar-benar ada pilihan dan berpeluang untuk menukar kerajaan persekutuan. Justeru, semua parti politik begitu serius mengatur persiapan rapi daripada semua segi, selain bersedia mengambil manfaat daripada apa jua insiden, khususnya kelemahan yang tertonjol dalam pilihan raya kecil, bagi memastikan target tidak tersasar.

Umumnya, Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional kini masih dalam keadaan bertahan. Daripada 16 kali pilihan raya kecil, kedudukannya seri 8-8. Namun, yang lebih menarik perhatian umum adalah kawasan-kawasan yang menyaksikan peralihan kerusi. PAS dapat merebut satu kerusi Umno, Parlimen Kuala Terengganu tetapi hilang Dun Galas, manakala DAP mencipta sejarah di Sibu dan MIC berjaya merebut Hulu Selangor. Di Semenanjung, selepas BN meningkatkan undi di Bagan Pinang, parti yang menerima tamparan hebat pada Mac 2008 itu terus melonjak. Selain berjaya merampas kerusi KeADILan di Hulu Selangor, Umno menguasai semula Galas dan meningkatkan majoriti kemenangan di Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Bagi PAS, kekalahan dengan kemerosotan undi di Melaka dan Pahang (sebelum itu Johor) perlu dibedah-siasat secara menyeluruh. Segala kealpaan atau kepincangan harus diakui bagi dirumuskan jalan keluar yang tepat dan berkesan. Reformasi masih sempat dilakukan jika didapati ia memerlukan berbuat demikian. (Sehebat mana pun sesebuah parti, ia masih terbuka kepada pembaharuan). Tiada hinanya mengaku kesilapan dan bersedia membuat pembaharuan daripada hanya berkeras menyalahkan pihak musuh.

Mungkin ia bukan lagi melibatkan perubahan dalam soal-soal taktikal dan penyelarasan jentera pilihan raya, tetapi juga membabitkan hal-hal lebih besar seperti penekanan, keutamaan dan pendekatan parti. Sebarang persepsi negatif tidak boleh dibiarkan biarpun ia mungkin nampak tidak berasas. Dan yang perlu dirombak atau diperbetulkan bukan sekadar berkaitan sesebuah parti yang bertanding, misalnya PAS dalam kes Kerdau dan Merlimau, tetapi juga parti-parti sekutu, seperti KeADILan dan DAP.

Bagi Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Sufian, kejayaan Umno-BN di Merlimau dan Kerdau, dengan majoriti lebih besar memberikan signal jelas kepada Pakatan bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan sokongan rakyat. Isu-isu yang memberi kelebihan kepada Pakatan dalam PRU12 mungkin tidak lagi memberi kesan kepada pengundi. Tambahnya, trend nasional menunjukkan pengundi Melayu masih memihak BN. Beliau turut menegur pendekatan PAS menangani beberapa isu lokal, termasuk berkaitan Felda. "Misalnya, bagaimana hendak mengatasi perasaan terima kasih kepada kerajaan yang masih sangat tebal?" ujarnya.

Dahulu, ketiga-tiga negeri di selatan yang menjadi gelanggang siri pilihan raya kecil terkini itu bukan dikira wilayah tradisi PAS (walaupun prestasi PAS di Pahang pada 1999 boleh dianggap membanggakan juga). Bagaimanapun selepas 2008, apabila Putrajaya dilihat turut terbuka untuk dikuasai Pakatan, maka setiap kerusi tidak boleh diremehkan. Di pihak Pakatan, sasaran bukan lagi menjadi pembangkang yang kuat di peringkat Dun, tetapi adalah mengambil alih teraju pemerintahan negeri-negeri berkenaan.

Tidak pelik apabila pemimpin BN sering mengingatkan agar setiap penggerak kempennya agar tidak memandang rendah kemampuan calon Pakatan meskipun melibatkan kerusi yang dahulunya tidak tergambar dapat dimenangi pihak lawan. Segala kekuatan dan sumber (tentunya daripada kerajaan) dikerah semaksimum mungkin. Sepanjang kempen, media, khususnya akhbar harian dan siaran berita TV, diperalatkan dengan begitu dahsyat. Lihatlah cara agresif Ali Rustam dan Adnan Yaakob berkempen. Mungkin komitmen mereka menemui pengundi jauh lebih besar berbanding sikap sebahagian pemimpin Pakatan sendiri.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Abu Hassan Hasbullah mendedahkan, kekalahan berturut-turut PAS itu juga menunjukkan wujudnya kelemahan dari aspek strategi, taktikal dan operasi politik apabila kepentingan-kepentingan demografi, geografi dan antropologi politik tidak diterjemahkan dengan sempurna sebaliknya kebergantungan terhadap kepercayaan dan amalan politik lama.

"PAS belum mampu memperbaiki imej dan strategi dengan mengukuhkan bentuk dan kandungan pembawaan politik yang lebih moden, lebih dinamik, lebih pragmatik tanpa bergantung secara total pada nilai-nilai ulama, sebaliknya mesti menjadi sebuah sistem dan organisasi yang memiliki kekuatan kedua-duanya iaitu ulamak dan profesional," tegasnya.

Seterusnya beliau menggesa PAS agar mempunyai strategi komunikasi dan rencana ekonomi, politik dan sosial yang benar-benar bersepadu dan terancang dalam membina kepercayaan, terutama di kalangan orang Melayu. "Kepercayaan ini tidak hanya boleh dibina dengan nilai-nilai perlawanan setiap masa, ada kala nilai-nilai progresif iaitu konstruktif perlu dibentuk juga. PAS perlu melihat sikap baru yakni menerima intelektualisme, profesionalisme, progresvisme sebagai bentuk dan kandungan politik maka barulah masyarakat akan lebih menerima dan yakin," tambah Dr Abu Hassan.

Kerdau dan Merlimau membabitkan dua Dun di kawasan majoriti Melayu ketika slogan "PAS Ganti Umno" mula dipopularkan. PAS pula pada akhir Februari lalu menggariskan 12 jaminan yang ditawarkan kepada orang Melayu. Di Tenang, PAS turut dilihat gagal menarik sokongan pengundi Melayu. Malah sebelumnya juga di kerusi majoriti Melayu, di Manek Urai, Kelantan, walaupun PAS bertahan tetapi majoritinya jauh merosot, daripada 1,352 undi kepada hanya 65.

Ramai pemerhati menjangkakan pengundi Cina masih meyakini Pakatan dalam PRU13 nanti. Mereka bimbang masyarakat India akan kembali kepada BN. Lebih kritikal adalah sikap pengundi Melayu. Jika mereka bertahan seperti tahun 2008, BN tetap mengekalkan kuasa, tetapi andai kata benar pengundi Melayu (apatah lagi jika membabitkan orang muda dan kelas menengah) mulai mempercayai Umno, Pakatan berada pada kedudukan berbahaya.

Apakah sebilangan besar pengundi Melayu masih sangsi dengan keupayaan, kemampuan dan keikhlasan PAS untuk membela dan mempertahankan hak Melayu, seperti sering ditohmahkan? Berkesankah propaganda media yang membayangkan PAS hanya alat kepada DAP dan mudah bertolak-ansur sehingga meleburkan prinsip perjuangan? Ataupun, pimpinan PAS dianggap tidak berketrampilan untuk sama-sama menerajui Pakatan bagi membentuk kerajaan persekutuan nanti?

Bagi sesetengah pemerhati politik, PAS yang mendapat manfaat besar daripada peralihan undi orang Melayu pada 1999 kini seolah-olah berada di persimpangan. Apakah ia terpaksa menukar strategi untuk menawan hati pengundi Melayu? "PAS tidak boleh dilihat panik mengubahsuai pendekatan politiknya, dibimbangi pengundi bukan Melayu curiga dengannya, tetapi orang Melayu pula, terutama di luar bandar, masih ragu-ragu memberi sokongan," kata seorang pensyarah IPTA. "Mesej pilihan raya kecil memang penting tetapi ia harus ditafsirkan seadanya sahaja," tambahnya.

Dalam pada itu, ada pemimpin PAS sendiri yang membuat teguran sinis: "Tak ramai wakil rakyat kita yang turun berkempen, apatah lagi untuk berkampung di sana, seperti dilakukan pemimpin tertinggi BN dan para menterinya. Ramai pemimpin PAS yang berkempen 'Touch-N-Go' saja, sekadar berceramah, tidak menyapa dan menyantuni rakyat secara dekat dan rapat, malah ada yang tak turun langsung. Hinggakan saya sendiri malu untuk bermunajat dengan Tuhan meminta pertolongan. Apakah kita sudah bekerja bersungguh-sungguh atau hanya mengharapkan Tuhan bekerja untuk kita?"

Blogger Nobisha, dalam analisisnya terhadap keputusan di Merlimau dan Kerdau menekankan: "Sejak mara bergaya dalam pilihan raya umum pada Mac 2008, parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah melakukan banyak kesilapan. Malangnya, apabila ada pihak yang menegur, maka mereka dilabel sebagai pecacai Uumno atau BN. Akhirnya, ramai juga yang mengatakan, biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya. Nak kritik tak boleh, nak tegur pun tak boleh. Semua orang yang menegur Pakatan Rakyat dianggap "jahat" dan mempunyai motif tersembunyi. Mungkin atas sebab itu jugalah, sesetengah bloggers pro-Pakatan Rakyat mendiamkan diri sewaktu PRK Merlimau dan Kerdau."

Beliau turut memuji sikap Pengerusi BN, Najib Razak, yang dilihat lebih reseptif kepada kritikan. Nobisha yang sering diundang dalam Analisis Awani, terutama pada malam keputusan pilihan raya kecil diumumkan, menulis: "Saya fikir "transformasi politik" yang disebutkan Najib adalah merupakan respon beliau kepada kritikan rakyat yang ingin melihat BN berubah. Kesediaan Najib untuk berubah adalah merupakan satu sikap yang cukup merendah diri. Bukan mudah untuk melihat pemimpin politik berkata, "saya sanggup berubah"."

Mungkin pandangan-pandangan yang dilemparkan itu tidak menggambarkan realiti sebenar, namun banyak manfaatnya jika kritikan berkenaan boleh diolah untuk kebaikan parti.

Tiada ulasan: