Rabu, 2 Mac 2011

CABUL..TIPU..RASUAH...HAQ MEREKA YANG TAK BOLEH GUGAT...HANYA DOA SEBAGAI SENJATA...YANG ITU BIARLAH ALLAH YANG MENGHUKUMNYA

Jangan anggap biasa pencabulan demokrasi
Ahmad Lutfi Othman
Selepas menjalani pembedahan pintasan jantung pada Mei 2010, saya jarang berjalan jauh. Kudrat terbatas memaksa saya mengikuti perkembangan politik semasa hanya melalui media tradisi dan internet, selain sembang-sembang dengan rakan-rakan rapat. Banyak program seperti diskusi dan seminar, apatah lagi majlis-majlis ceramah dan konvensyen, terlepas begitu sahaja.

Memang berbeza mendengar atau memerhati hatta menonton dari jauh, berbanding turun sendiri ke lapangan. Realiti dan gejolak di medan seringkali tidak sama dengan lakaran di atas kertas atau paparan melalui media baru. Semangat yang terkandung di dalamnya sukar dirasai sedangkan itulah yang paling penting untuk dihayati.

Untuk membuat laporan atau analisis yang baik, wartawan perlu merasai debar dan getar sebenar para aktor dunia politik. Penulis harus berada di tengah kancah, menjiwai detik-detik konflik, menikmati kesyahduan atau menerima tempias panas bahangnya.

Agak malang buat saya apabila sekadar membuat pemerhatian jarak jauh. Mungkin kadang-kadang fokus yang disorot agak tersasar. Justeru, sentuhan mudah kehilangan bisanya. Dalam keadaan itu, pembaca sendiri tidak puas menatapnya.

Rantaian pilihan raya kecil yang tidak putus-putus ini, jika diikuti dari dekat, mungkin dapat membawa gambaran lebih jelas tentang kecenderungan mengundi dalam pilihan raya umum akan datang. (Bagaimanapun, pada hemat saya, trend undian dalam pilihan raya kecil mungkin berbeza -- malah ada kalanya jauh berbeza -- dengan situasi dalam pilihan raya umum. Tetapi ia tidaklah menyebabkan kita memandang remeh pilihan raya kecil itu).

Dengan berbaki tempoh tidak sampai dua tahun sebelum penggal Parlimen dan Dun berakhir, tumpuan semua parti-parti politik lebih terarah kepada PRU13, pilihan raya yang cukup kritikal buat semua parti. Justeru, pilihan raya kecil yang begitu kerap diadakan mutakhir ini kelihatannya seperti tidak diberikan perhatian istimewa.

Mungkin terdapat pemimpin, termasuk daripada Pakatan Rakyat, seolah-olah bersikap sambil lewa menyertainya, walaupun keputusan pilihan raya kecil itu tetap signifikan untuk mengukur pengaruh semasa, di samping meneliti faktor-faktor kelemahan yang perlu diperbetulkan segera menjelang PRU13.

Tengahari Isnin lalu, saya bersama seorang teman cuba menggagahkan diri berkunjung ke Kerdau. Rasanya itu merupakan antara perjalanan paling jauh saya tempuhi selepas dirawat agak lama di hospital. Selain hasrat untuk mengikuti dan merasai dari dekat situasi di kawasan "pertembungan" Umno-PAS, secara personal saya ingin menduga ketahanan badan.

Memang memenatkan tetapi ia cukup bermanfaat, terutama bagi seseorang yang terkurung begitu lama pergerakan fizikalnya, apatah lagi apabila dikesan diserang angin ahmar. Benar, fikiran dan angan-angan boleh menerjah ke seluruh pelosok alam, meneroka pelbagai dimensi alam, namun tanggungjawab saya bukannya menulis fiksyen. Realiti dunia politik yang cepat berubah memerlukan tanggapan yang cerdas dan tangkas.

Gambaran pergelutan di bawah harus dikuasai. Mungkin ada isu dirasai kecil di atas kertas tetapi menjadi dominan dalam kehidupan seharian. Ada peristiwa dianggap besar di atas pentas pidato namun dikesampingkan oleh isu-isu yang direkayasa oleh pihak berkepentingan.

Selain itu, cabaran dan gugatan politik, khususnya selepas fenomena tsunami 2008, sukar untuk diramal. Dalam diam tidak semestinya orang mengangguk. Dalam senyum bukan seharusnya orang bersetuju. Tanpa hingar-bingar tunjuk perasaan tidak bermakna segalanya aman damai. Tanpa luahan bantahan dan teriakan menuntut perubahan bukan bererti segalanya terkawal dan mudah dijangka.

Di Kerdau -- seperti juga medan pilihan raya kecil lain -- sukar untuk kita menyaksikan sesuatu yang pelik dan mengejutkan. Masakan tidak ... banyak salahlaku, penyelewengan dan salahguna kuasa BN, selain tindakan dan amalan yang mencemar dan mencabul semangat demokrasi, sudah dianggap perkara lumrah dan tidak begitu diendahkan. Hatta di kalangan oposisi sendiri, ia bagaikan diterima sebagai hakikat yang tidak berupaya ditolak lagi.

Komitmen ahli-ahli PAS dan Pakatan di peringkat akar umbi, sekurang-kurangnya untuk memberikan saingan sengit kepada BN, begitu menyerlah. "Cuma, saya agak terkilan dengan sikap segelintir kecil pemimpin tertentu yang dilihat seperti tidak serius untuk turun berkempen merayu undi atau menyuntik semangat kepada petugas parti," keluhan seorang pemerhati, yang mendakwa dapat mengesan tabiat negatif itu dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

Namun begitu, rasuah politik seperti diizinkan bermaharajalela di depan mata. Projek pembangunan dilambakkan serta-merta secara tiba-tiba, tentunya dengan hasrat membeli undi. Pasukan keselamatan pula, seperti lazimnya, tidak terlepas daripada menjadi perkakasan BN untuk meraih undi. Jentera kerajaan dimanipulasi dengan begitu dahsyat (tetapi sudah tidak dirasai kedahsyatannya kerana dianggap perkara biasa, 'kan?).

Jangan ceritalah tentang akses calon atau parti yang bertanding kepada media secara saksama, seperti yang dituntut oleh Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih. Begitu juga dengan penggunaan dakwat kekal bagi mengelak pengundian berganda dan penyelewengan undi. Kempen pilihan raya seminggu, yang pendek itu, mungkin tidak terasa untuk pilihan raya kecil tetapi bagi PRU13 nanti, saya yakin permintaan agar ia dilanjutkan minimum 21 hari pasti tidak akan dilayan.

Jadi, cadangan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar dianjurkan satu himpunan raksasa Bersih sekali lagi harus diambil berat. Aktivis Pakatan mesti memandang serius apa jua pencemaran terhadap proses pendemokrasian. Satu kesalahan besar apabila kita sendiri menganggapnya sebagai satu kebiasaan yang terpaksa ditelan tanpa soal. Hinggakan nanti mungkin kita sendiri menjadi gerun dengan amalan demokrasi yang sebenar!



1Israel, 1Malaysia kebetulan, sindir Anwar
Harakahdaily

JASIN, 2 Mac: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kejutan kepada pengundi PRK Dun Merlimau apabila mendedahkan salinan dokumen perjanjian antara Apco Worldwide dan kerajaan Israel yang ditandatangani pada 1991 yang merupakan bukti pertalian erat kedua-dua pihak.

Beliau turut membaca satu perenggan daripada perjanjian itu sebelum menyerahkan kepada jurugambar media tempatan yang berebut-rebut mahu merakam dokumen berkenaan.

"Tarikh dokumen ini bila? Tahun 1991. Apa berlaku pada 1999? Ehud Barrack (Perdana Menteri Israel) anjur kempen One Israel. Pada 2009 pula, (Datuk Seri) Najib (Razak) memperkenal Satu Malaysia.

"Pada 1999 juga, Ehud kemuka slogan ‘People First’, Najib pula ‘Rakyat Didahulukan’. Kemudian, Ehud buat klinik untuk rakyat Israel. Najib buat apa? Klinik Satu Malaysia.

"Ke-be-tu-lan," sindir Anwar dengan disambut sorakan kira-kira 3,000 hadiri yang memenuhi lokasi ceramah di Merlimau Pasir di sini, malam tadi.

Anwar pada Disember tahun lalu digantung dari menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan selepas mendedahkan persamaan slogan One Israel dan Satu Malaysia dengan mengaitkan peranan Apco, tanpa diberi peluang membela diri.

Turut digantung ialah Mohamed Azmin Ali (PKR Gombak) R Sivarasa (PKR Subang), dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

Kerajaan Malaysia sebelum ini, walaupun menafikan slogan Satu Malaysia hasil ilham Apco, mengaku membayar RM70 juta kepada firma perunding antarabangsa yang didalangi pemimpin Israel-Zionis itu.

Antara pegawai kanan Apco ialah bekas Duta Israel ke Jerman, Shimon Stein yang berkhidmat dalam kerajaan Israel dan berperanan penting dalam pentadbiran dua bekas Presiden Amerika, Bill Clinton dan Jimmy Carter, selain menjadi bekas ahli lembaga pengarah Yayasan Jerusalem.

Pegawai kanan lain ialah Itamar Rabinovich, bekas duta Israel ke AS dan Ketua Perunding Israel dengan kerajaan Syria ketika Yitzak Rabin masih menguasai kerajaan Israel.

Selain bukti itu, Anwar pada ceramah berkenaan turut membawa salinan dokumen laporan Global Financial Integrity (GFI) yang menunjukkan aliran keluar wang haram dari Malaysia sebanyak RM888 bilion (AS$291 bilion) dalam tempoh sembilan tahun sejak 2000.

Beliau berkata, jumlah itu menyamai wang yang dilarikan dua diktator iaitu bekas Presiden Tunisa, Zainal Abidien Ben Ali mahupun bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak selepas diguling rakyat negara masing-masing.

Anwar juga kesal kerana Umno BN sehingga kini berdiam diri tanpa membuat sebarang siasatan, jauh sekali mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

"Jika Pakatan Rakyat memerintah negara, kita akan menjalankan siasatan terperinci. Ini memalukan negara di mata dunia," katanya.

Laporan itu menunjukkan Malaysia berada di tangga kelima dari senarai panjang negara yang terlibat dalam pengaliran keluar wang secara salah seperti wang rasuah mahupun wang lari cukai.

Pada ceramah itu, Anwar turut mengulangi janji Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga petrol sehari selepas menawan Putrajaya.

Turut menyampaikan ceramah malam tadi beberapa pimpinan Pakatan Rakyat termasuk calon PAS bagi Dun Merlimau, Yuhaizad Abdullah, Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani.



PAS tentang campur tangan tentera PBB di Libya
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Mac: PAS menentang sekeras-kerasnya cadangan campur tangan asing dalam bentuk ketenteraan, terutamanya di atas nama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menyelesaikan masalah di Libya.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan campur tangan pihak ketenteraan di atas nama Majlis Keselamatan itu sekalipun akan hanya membuka episod krisis perang yang tidak akan berkesudahan dan semakin menekan rakyat Libya.

Ini, katanya seperti mana campur tangan ketenteraan di Afghanistan dan Iraq yang belum menampakkan penyelesaiannya hingga kini, malah akan mewujudkan ketidakstabilan baru di negara Utara Afrika itu.

“Penyelesaian krisis di Libya boleh dirungkaikan dengan komitmen berterusan rakyat Libya untuk melakukan suatu perubahan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga ahli Parlimen Marang menambah, dalam masa yang sama Pertubuhan Negara-Negara Persidangan Islam (OIC) dan Liga Arab juga mestilahmenunjukkan kewibawaan mereka dengan memainkan peranan sebagai perunding dalam isu tersebut untuk mengenakan tekanan terhadap Muammar Ghadafi supaya berundur.


PAS beri jaminan khidmat terbaik
Harakahdaily

TEMERLOH, 2 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi jaminan, PAS akan memberikan tekanan yang sewajarnya agar masalah rakyat di Kerdau diselesaikan dengan baik jika calonnya terpilih dalam pilihan raya kecil ini.

"Sebagai pembangkang, kita akan membuat desakan agar segala masalah rakyat dapat diselesaikan dengan baik.

"Jika kita sebagai kerajaan, kita akan laksanakan sebagaimana kita mentadbir Terengganu sebelum ini serta juga lain-lain negeri Pakatan Rakyat," katanya dalam sidang media khas di pekan Kerdau lewat petang semalam.

Turut serta di sidang media itu adalah anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang juga Timbalan Setiausaha Publisiti DAP yang ditugaskan khas di Kerdau.

Antara masalah yang dihadapi oleh penduduk Kerdau adalah geran tanah yang mereka tidak perolehi walaupun mereka tinggal dan membuka tanah di kawasan itu sejak sekian lama.

"Semasa kami mentadbir Terengganu dahulu, 60,000 lot tanah berjaya kita keluarkan geran untuk penduduk Melayu serta juga Cina dan India.

"Antaranya untuk penduduk Kampung Baru Air Puteh, Kemaman.

"Ia tidak berjaya diselesaikan selama 40 tahun oleh kerajaan negeri sebelum itu, tetapi kita berjaya selesaikannya selama 4 tahun sahaja," kata Abdul Hadi yang menjadi Menter Besar Terengganu dari 1999 hingga 2004.

Dalam sidang medianya, Abdul Hadi berkata, PAS menyertai pilihan raya ini atas nama Pakatan Rakyat menawar calon yang terbaik untuk rakyat Kerdau.

"Kita bekerjasama atas dasar muafakat antara PAS, PKR dan DAP. Kami buat secara muafakat mencari titik persamaan untuk melaksanakan konsep negara kebajikan.

"Projek yang kami hendak buat digambarkan melalui Buku Jingga yang telah kita lancarkan," kata Abdul Hadi.

Beliau juga memberikan jaminan, Pakatan Rakyat akan bebas dari rasuah dan penyelewengan sebagaimana yang telah terbukti di empat buat negeri Pakatan dan Terengganu sebelum ini.

Beliau juga berkata, kerjasamaa antara parti dalam Pakatan Rakyat sangat baik namun ia tidak terserlah kerana kongkongan media yang dibuat oleh BN.

"Saya yakin, jika media bebas dan membuat laporan yang adil, kerjasama antara kita akan menyerlah kerana sememangnya itu yang berlaku," kata Abdul Hadi.


Umno: Untuk rakyat membazir, perut sendiri OK
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Mac: PAS menafikan menjadi kuda tunggangan PKR apabila melancarkan Buku Jingga di Markaz Induk Pilihan raya Kecil Kerdau pada 26 Februari lalu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, tuduhan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berhubung perkara itu sebagai satu fitnah kepada PAS supaya wujud perpecahan di dalam Pakatan Rakyat.

“Buku Jingga ialah pemuafakatan bersama dan dirancang serta diteliti oleh ketiga-tiga parti (PAS, PKR dan DAP) supaya mendapat keputusan bersama, bukan oleh satu parti sahaja,” jelasnya.

Tambahnya, tuduhan Naib Presiden Umno itu membayangkan keresahan yang ada di dalam pemikiran pemimpin Umno, kerana bimbang rakyat mengalih sokongan kepada PR, terutama angin perubahan di Asia Barat.

Jelasnya lagi, tuduhan yang mengatakan bahawa Buku Jingga mengenepikan pakar-pakar ekonomi adalah tidak betul.

“Orang yang tidak pakai pakar ekonomi ialah pemimpin Umno,” katanya.

Katanya, kes kritikan Tengku Datuk Zafrul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif bank pelaburan Maybank, terhadap pelantikan Tan Sri Isa Samad selaku pengerusi Felda, nampaknya terus menimbulkan kemarahan di kalangan pemimpin pertengahan Umno.

Mereka, ujarnya menuduh Tengku Zafrul sebagai telah mempertikai dan memperkecil-kecilkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melantik Isa, sehingga dicadangkan beliau dipecat daripada jawatan.

Menurutnya lagi, tuduhan negara akan bankrap jika PR melaksanakan janji 100 hari adalah penyakit yang sama dengan pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab selama ini.

“Mereka akan memastikan perancangan yang baik untuk rakyat dianggap membazir dan boleh membawa bankrap. Jika cadangan untuk perut dan kroni mereka akan bersetuju.

“Ini adalah sikap biasa mana-mana pemimpin yang takut tembelang mereka akan terdedah jika kerajaan baru menggantikan mereka,” katanya lagi.

Justeru, PAS ingin mengingatkan Zahid sebelum membuat tuduhan hendaklah menyelidik dahulu.

“Jangan buat telahan sebarangan, sesuai dengan ijazah Doktor Fasafah yang dimiliki. Jangan malukan nilai akademik yang dimiliki oleh beliau,” ujarnya.



Rakus, terdesaknya saman ekor
Mohd Haiza Hussin

RAKYAT baru sahaja dikejutkan dengan pengumuman penuh gah dan bergaya Ketua Pengarah JPJ merangkap secara tidak rasmi jurucakap Ketua Polis dan Ketua Pengarah DBKL tentang kadar kompaun terbaru saman yang dikeluarkan kepada semua pemandu di Malaysia dan peraturan baharu yang berkuatkuasa 1 Mac.

Di sini saya sebagai salah seorang pemandu warganegara Malaysia dan pembayar cukai yang sah ingin mengemukakan satu contoh bagaimana rakus dan terdesaknya pihak berkuasa dalam kes saman-menyaman terhadap pengguna jalan raya. Saya juga turut menyokong penuh desakan jawatankuasa bertindak yang diketuai YB Datuk Mahfuz Omar untuk menghapuskan saman ekor.

Saya mempunyai sebuah motosikal berkuasa rendah yang kebanyakan dimiliki oleh rakyat,terutama warga kota. Motosikal saya itu hanya digunakan untuk ke sekitar kawasan kediaman saya di Taman Melati, Setapak dan ulang alik ke masjid berdekatan rumah. Yang menjadi kehairanan dan penuh ajaib apabila pada beberapa hari yang lalu, tatkala rakyat dikejutkan dengan berita 'rakyat diutamakan lagi !' itu, saya mengakses kemudahan internet di talian PDRM dan mendapati saman ekor telah dikenakan terhadap saya atas kesalahan melebihi had laju motosikal saya. Kesalahan direkodkan atas nama saya dan nombor pendaftaran motosikal milik saya dengan melebihi had laju berkompaun RM300.00 di Kuala Kangsar, Perak! Kejadian dicatatkan pada 21 Disember 2010. Begitu ajaib pemanduan saya dengan hanya sebuah motosikal Yamaha melebihi had laju di atas sebatang lebuhraya yang beratus kilometer jaraknya dari tempat tinggal saya!

Di sini saya ingin menarik perhatian pembaca betapa terdesaknya pihak berkenaan apabila terus mengambil tindakan saman tanpa merujuk atau meneliti terlebih dahulu kes seumpama ini. Kemungkinan kes kereta curi dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu bermaharajalela di mana-mana amat meyakinkan saya. Inilah sebahagian contoh betapa rakusnya pihak berkuasa dalam melaksanakan undang-undang ciptaan manusia yang semakin menekan dan membebankan rakyat kebanyakan.

Mohd Haiza Hussin,

Taman Melati, Setapak.



Tekun: Pemimpin Umno tipu penduduk Merlimau

Aziz Muda

JASIN, 1 Mac: Tidak kurang 700 penduduk di kawasan Dun Merlimau, di sini, kini telah menjadi mangsa penipuan pemimpin Umno BN, apabila mereka dijanjikan pinjaman Tekun berjumlah RM3,000 tetapi kemudian mulai menjauhkan diri daripada mereka.

Lebih menyedihkan lagi, mereka turut dikenakan bayaran RM25 setiap seorang, tetapi tidak pula dikeluarkan resit bayaran sehingga menyebabkan mereka terasa jelas tertipu kemudiannya.

Seorang penduduk di kawasan itu, Ismail Abdul Rahman, 77, menjelaskan, perkara itu telah berlaku sejak 26 Februari lalu sebaik selesai proses penamaan calon bagi PRK Dun Merlimau yang akan berlangsung 6 Mac ini.

Menurut beliau, pemimpin Umno itu sememangnya dikenali oleh mereka yang terbabit dan mereka tidak menyangka akan ditipu sedemikian mudah, lebih-lebih lagi ketika Umno BN sedang terdesak untuk mendapat undi daripada orang ramai pada pilihanraya itu nanti.

Katanya, setelah mengutip wang itu, pemimpin Umno terbabit kini sudah amat jarang kelihatan, malah mereka seperti melarikan diri daripada mereka yang terbabit, manakala pinjaman Tekun sebanyak RM3000 yang dijanjikan itu pula tidak diperolehi oleh mereka.

"Sehubungan itu, mereka yang terbabit bercadang untuk membuat laporan polis sekiranya pemimpin Umno itu tidak memulangkan kembali wang RM25 yang dikutip daripada mereka itu," katanya ketika ditemui.

Bayaran RM25 itu, menurut Ismail, dikenakan kononnya sebagai bayaran perkhidmatan untuk memudahkan proses mendapatkan pinjaman Tekun.

Mereka yang berhajat untuk mendapatkan pinjaman itu tanpa teragak-agak terus memberikannya, walaupun ia tidak dikeluarkan resit.

"Tindakan pemimpin Umno terbabit jelas menyalahi undang-undang kerana mengikut undang-undang, setiap bayaran yang diterima oleh setiap pihak mestilah disertakan resit bayaran dan penerimaannya," katanya.

Beliau yang juga salah seorang pengundi di kawasan itu amat kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pemimpin Umno terbabit.

"Jadi maknanya, selain melakukan dosa kerana rasuah politik, pemimpin Umno BN juga sebenarnya turut mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan menipu orang ramai sempena pilihanraya, khususnya PRK Dun Merlimau 6 Mac ini.

"Ini jelas membuktikan sikap sebenar pemimpin Umno BN yang tidak boleh dipercayai. Jika mereka menolong pun, mereka bukannya ikhlas hendak menolong, tetapi ada muslihat lain di sebaliknya untuk kepentingan mereka," katanya.

Berhubung dengan bantuan jalan tar hingga ke hadapan rumah yang diberikan oleh pemimpin Umno BN sempena PRK Dun Merlimau, beliau berkata, ketidakikhlasan pemimpin Umno BN dalam hal itu amat jelas kelihatan.

"Sesetengah mereka yang diberikan bantuan itu mendapat jalan tar sepenuhnya di hadapan rumah, tetapi banyak juga antara mereka yang hanya diberikan bantuan jalan tar separuh-separuh sahaja.

"Menurut pemimpin Umno BN, jalan tar yang baru diberikan separuh sahaja dulu itu akan dipenuhkan kemudiannnya, tetapi orang ramai tak yakin jalan itu akan diberikan sepenuhnya nanti," jelasnya.

Sebaliknya, beliau yakin bantuan jalan tar tersebut pasti hanya setakat itu sahaja dan ia pasti akan turut berakhir apabila selesainya PRK Dun Merlimau 6 Mac ini.

"Itu semua hanyalah gula-gula pilihanraya oleh para pemimpin Umno BN. Jadi kepada orang ramai, janganlah sekali-kali tertipu dengan sandiwara para pemimpin Umno BN itu," tegasnya.


Pemuda PAS bantah bilik gerakan BN di premis awam
Nazri Abdullah

PUTRAJAYA, 1 Mac: Dewan Pemuda PAS menyerahkan memorandum bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kesalahan Umno BN menggunakan premis awam dalam kempen PRK Kerdau yang sedang berlangsung.

Memorandum mengandungi bukti bergambar itu diserahkan oleh Naib Ketuanya, Sabki Yusof kepada wakil SPR di pejabat suruhanjaya itu di sini hari ini (gambar).

Turut serta semasa penyerahan itu, ketua penerangannya, Suhaizan Kaiat.

Antara tempat yang didakwa disalahguna oleh Umno BN adalah, padang awam Teluk Sentang, Masjid dan Sekolah Rendah Batu Sawar, Dewan Orang Ramai Felda Jengka 23, Pusat Jalur Lebar Komuniti Jengka 25 dan Balai Raya Kuala Tekal.

Kesemua premis-premis itu digunakan sebagai bilik gerakan BN.

Pada sidang medianya, Sabki berkata tindakan Umno BN itu bersalahan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan SPR digesa segera bertindak.

"Saya yakin mereka guna tempat-tempat ini tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.

"Saya mewakili jentera kempen PAS dan Dewan Pemuda PAS, minta SPR ambil tindakan dan halang mereka kempen guna tempat awam," katanya.

Tindakan itu juga katanya telah menimbulkan rasa tidak senang hati dan telah mencemarkan proses demokrasi.

Memorandum sama juga, kata Sabki akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran wujud elemen salah guna kuasa.

Sementara itu, Suhaizan pada sidang media sama pula menggesa SPR tidak berlengah lagi untuk bertindak kerana bukti telah mereka berikan.

Malah katanya, aduan sama telah dibuat kepada SPR negeri, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

"Kes seperti ini bukan kali pertama berlaku. Jadi saya mintak SPR ambil tindakan terus, bukan berlengah-lengah lagi," katanya.


Tiada ulasan: