Khamis, 3 Mac 2011

JIKA KITA TAHU SETIAP PEMIMPIN AKAN DITANYA....TENTU GERUN NAK JADI PEMIMPIN...SEKARANG NAK BERKUASA...MAKA LUPA PERINGATAN ITU...

9 Terbunuh Dalam Letupan Kereta Di Pakistan

PESHAWAR: Sehari selepas Menteri Untuk Hal Ehwal Agama Minoriti Pakistan, Shahbaz Bhatti, mati dibunuh di Islamabad, sebuah kereta yang sarat dengan bom meletup di sebuah pekan kecil yang terletak 150 kilometer dari bandar ini - membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang dan mencederakan lebih 30 yang lain.

Menurut polis, sasaran letupan itu adalah anggota keselamatan.

"Pengebom itu meletupkan dirinya di dalam sebuah kenderaan sebaik sahaja keretanya itu dihampiri oleh sebuah kereta peronda polis untuk pemeriksaan di pekan Hangu dekat sini," kata ketua balai, Abdul Rasheed kepada wartawan AFP.

"Sembilan orang telah terbunuh dalam letupan itu yang mana tiga daripadanya adalah anggota polis dan selebihnya orang awam. Ia turut mencederakan 31 orang termasuk 12 wanita dan empat kanak-kanak," katanya.

Menurut Rasheed, berdasarkan letupan, pengebom itu sekurang-kurangnya membawa 300 kilo bahan letupan bersamanya.

Kata pegawai polis itu lagi, letupan berkenaan memusnah 13 buah rumah dan rumah kedai. Ia menyebabkan kawah sedalam 10 kaki dan 15 kaki lebar.

Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani dalam reaksi segera telah mengecam tindakan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan.

Pekan Hangu mempunyai sejarah pertelingkahan antara mazhab di Pakistan yang kebanyakkan penganutnya dari mazhab ahli sunnah waljamaah dan terdapat sekumpulan penganut minoriti mazhab syiah.

Amerika menyifatkan daerah Peshawar sebagai kawasan paling merbahaya di muka bumi.

Sementara itu, enam orang anggota polis Pakistan disahkan terbunuh dalam satu kejadian tembak menembak dengan sekumpulan puak yang bersenjata di wilayah Barat Daya berhampiran sempadan Afghanistan. Kejadian itu terjadi di kawasan puak Khyber yang terletak 30 kilometer dari sini dan disifatkan sebagai tidak mengenali peraturan dan undang-undang.

Lebih 4,000 orang telah terkorban akibat letupan dan pertelingkahan di seluruh Pakistan sejak tahun 2007.

Presiden Chavez Cadang Pasukan Pengaman Untuk Libya

CARACAS: Presiden Venezuela, Hugo Chavez kini sedang berusaha bagaimana untuk memulihkan keamanan di Libya antaranya dengan membenarkan satu pasukan pengaman antarabangsa mengambil alih kawalan keamanan di negara tersebut.

Laporan dari sini menyebut, Chavez telah pun menghubungi Muaamar Ghaddafi untuk membincangkan kemungkinan tersebut.


Gaddafi beri amaran keras


SEBUAH lori tangki meletup akibat nahas jalan raya di Tripoli semalam.


TRIPOLI - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam memberi amaran keras kepada Barat agar tidak campur tangan dengan menyokong penentangan terhadapnya.

Pemimpin berkenaan menyatakan ribuan orang akan mati jika Barat mencampuri urusan negara tersebut dengan membantu gerakan penentang terhadap pemerintahannya.

Ucapannya itu dibuat pada satu majlis bagi memperingati gerakan rakyat di sini semalam.

Beliau membuat ucapan selepas askar-askar yang setia kepada Gaddafi bertempur dengan para penentang pemerintahannya di bandar Brega, timur Libya.

Menurut laporan stesen televisyen Al-Jazeera, bandar Brega itu dikuasai oleh para penentang pemerintah Gaddafi.

Stesen televisyen Al-Arabiya menyatakan sebuah lapangan terbang di Brega sudah jatuh ke tangan para penyokong Gaddafi.

Bagaimanapun, Al-Jazeera melaporkan beberapa buah pesawat mengebom bandar Ajdabiyah selepas para penentang Gaddafi menguasai sebuah pangkalan tentera.

Dalam ucapan itu, Gaddafi menegaskan, campur tangan Barat hanya akan mencetuskan 'peperangan dahsyat' yang akan mengorbankan beribu-ribu nyawa rakyat Libya.

Gaddafi sekali lagi menyalahkan pergerakan Al-Qaeda kerana mencabar pemerintahan kuku besinya hampir 42 tahun.

Beliau berkata, Al-Qaeda menguasai tanah air Libya dan hasil minyak negara itu. Gaddafi berikrar akan berjuang bermati-matian untuk menghalang niat jahat tersebut.


MUAMMAR GADDAFI menghadiri majlis memperingati kuasa rakyat di Tripoli semalam.


Dalam ucapannya, Gaddafi menafikan berlakunya demonstrasi aman di Libya sejak rakyat mula bangkit menentang pemerintahannya pada 15 Februari lalu.

Menyentuh mengenai industri minyak negara yang kini jatuh ke tangan pihak penentang, beliau menjelaskan, "kumpulan-kumpulan Al-Qaeda ini menyebabkan syarikat-syarikat minyak berada dalam ketakutan, melarikan diri dan menghentikan pengeluaran minyak. Pengeluaran minyak kini berada pada tahap paling minimum".

"Semua yang berlaku jelas menunjukkan konspirasi jahat Al-Qaeda.

"Semua ini tidak boleh dibiarkan. Kami akan berperang sehingga ke titisan darah terakhir," tegasnya.

Gaddafi mendakwa penduduk bandar Benghazi yang sebelum ini memainkan peranan utama dalam penentangan terhadap pemerintahannya, telah meminta pertolongan beliau untuk mengusir kumpulan-kumpulan bersenjata di sana.

"Tiada kekacauan yang berlaku di Libya seperti dilaporkan media asing," katanya. - AFP


Hosni dirawat di Arab Saudi




KAHERAH - Bercanggah dengan kenyataan-kenyataan rasmi, bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak (gambar) dikatakan sedang menjalani rawatan kanser di Arab Saudi, lapor akhbar Al-Akhbar semalam.

Hosni yang berusia 82 tahun itu berada di sebuah pangkalan tentera di Tabouk, Arab Saudi yang merupakan lokasi beliau menerima rawatan kemoterapi untuk kanser pankreas pada setiap lima hari.

Ahli keluarga ada bersamanya sepanjang rawatan tersebut.

Akhbar itu menyatakan Hosni pergi ke Arab Saudi dua hari selepas beliau meletakkan jawatan.

Beliau meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu selepas para penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah selama 18 hari bagi menuntut peletakan jawatannya.

Majlis Tertinggi Pasukan Bersenjata Mesir yang memerintah negara itu selepas peletakan jawatan Hosni dan kedutaan Mesir di Riyadh bagaimanapun menafikan laporan tersebut.

Beberapa media menyatakan Hosni kembali ke pusat peranginan Sharm El-Sheikh, Mesir yang menjadi tempat tinggalnya selepas berundur daripada jawatan presiden. Akhbar Al-Youm al-Sabia melaporkan Hosni dilarang keluar negara dan dia berada di sebuah hopsital di Mesir.

Hosni tidak pernah dilihat selepas beliau meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu.

Kediamannya di Sharm el-Sheikh sentiasa dikawal ketat. Terdapat juga laporan media yang menyatakan beliau sibuk melayan tetamunya.

Pendakwa raya terkenal Mesir, Abdel Magid Mahmoud pada Isnin lalu secara rasmi melarang Hosni dan ahli keluarganya meninggalkan negara selain mengarahkan harta bekas pemimpin itu dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah.

Hosni pernah memberitahu bahawa beliau mahu meninggal dunia di Mesir. - Agensi

Menteri Pakistan ditembak mati


BEBERAPA anggota polis memeriksa sebuah kereta yang dipandu Shahbaz Bhatti yang ditembak mati di Islamabad semalam.


ISLAMABAD - Sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati seorang menteri beragama Kristian di Pakistan semalam.

Kematian menteri berkenaan, Shahbaz Bhatti menjadikan beliau mangsa berprofil tinggi kedua yang maut dalam siri serangan yang disasarkan terhadap para penentang undang-undang murtad di Pakistan.

Polis berkata, sekurang-kurangnya 25 butir peluru mengenai kereta yang dipandu oleh Bhatti selepas dia keluar dari kediaman ibunya di sebuah kawasan perumahan di sini.

"Terdapat tiga atau empat lelaki di dalam sebuah kereta Suzuki berwarna putih yang memintas kenderaan rasmi mangsa," kata Ketua Polis Islamabad, Wajid Durrani.

"Para penyerang yang memakai topeng melepaskan tembakan bertubi-tubi dan mangsa meninggal dunia," jelasnya.

Bhatti, 42, yang merupakan Menteri Untuk Penduduk Minoriti sebelum ini tidak menghiraukan ugutan bunuh yang diterimanya selepas pembunuhan Gabenor Punjab, Salman Taseer dua bulan lalu.

Kedua-dua pemimpin tersebut menentang undang-undang murtad di Pakistan yang membawa hukuman mati kepada pesalah.

Pembunuhan Bhatti dikecam oleh Barat dan pihak gereja Vatican di Itali. - AFP


Peugeot milik Presiden Iran dibeli RM7.5 juta


KETUA Pertubuhan Kebajikan Iran, Ahmad Esfandyari (dua dari kanan) membuka pintu untuk Mohammad Isari (kanan) yang mewakili seorang pelanggannya yang membeli kereta Peugeot 504 milik Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad di Abadan kelmarin.


TEHERAN - Sebuah kereta Peugeot 504 keluaran tahun 1977 milik Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dijual pada harga AS$2.5 juta (RM7.5 juta) dalam satu lelongan antarabangsa kelmarin, kata laman web Pertubuhan Kebajikan Iran.

Sebuah syarikat yang membeli kereta itu tidak mahu identitinya didedahkan, kata kenyataan pertubuhan berkenaan selepas lelongan tersebut berlangsung di bandar Abadan, barat daya Iran.

"Klien saya membeli kereta itu kerana meminati Mahmoud yang mengamalkan pendirian yang bencikan keangkuhan dan fahaman Zionisme," kata seorang peguam Mahmoud Esari.

Beliau mewakili syarikat berkenaan untuk membeli kereta itu dalam satu majlis lelongan di Abadan kelmarin.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Iran, Ahmad Esfandyari memberitahu, lebih sejuta pembida mendaftar di laman web bidaan tersebut.

Katanya, terdapat juga bidaan-bidaan yang datang dari Eropah, Asia dan Amerika Syarikat.

Pada 1 Januari lalu, Mahmoud melancarkan laman web www.ahmadinejad-car.com untuk mengundang bidaan antarabangsa untuk kereta itu.

Hasil jualan kereta tersebut akan digunakan bagi membiayai pembinaan 6,000 kediaman untuk wanita miskin dan golongan tidak berkemampuan. - AFP

Tentera Gaddafi gagal lagi


POSTER Muammar Gaddafi, antara satu yang diedarkan kepada orang ramai yang berkumpul untuk melihat sebuah trak terbakar di Tripoli, dijulang oleh seorang lelaki.
POSTER Muammar Gaddafi, antara satu yang diedarkan kepada orang ramai yang berkumpul untuk melihat sebuah trak terbakar di Tripoli, dijulang oleh seorang lelaki.

AJDABIYA: Pemberontak Libya semalam berkata, mereka mematahkan serangan oleh tentera Muammar Gaddafi di Brega, bandar di timur negara itu. Menurut saksi, dua orang terbunuh dalam pertempuran itu.

Perkembangan terbaru itu berlaku ketika rejim Gaddafi melancarkan serangan udara terhadap bandar Ajdabiya yang terletak berhampiran Brega yang turut dikuasai oleh kumpulan penentang.
Dalam serangan balas besar-besaran, tentera Gaddafi yang menggunakan kereta kebal dan senjata berat, menyerang Brega, 200 kilometer ke barat daya Benghazi, menyebabkan pertempuran sengit berlaku.

Pesawat tentera Libya juga melancarkan serangan udara terhadap Ajdabiya, 40 kilometer dari Brega, mensasarkan pangkalan tentera yang kini di bawah penguasaan penentang.


“Brega kini di bawah penguasaan penuh penyokong revolusi. Penduduk Ajdabiya turut berada di bandar itu untuk membantu mempertahankannya,” kata seorang pegawai kanan polis di Ajdabiya.
Pejuang dari Ajdabiya, Mehdi Suleiman berkata, tentera Gaddafi melancarkan serangan dalam usaha menawan semula bandar itu tetapi kini mereka berundur.

“Bagaimanapun, beberapa tentera upahan masih bertempur dengan pemberontak,” katanya.
Terdahulu, seorang penduduk Brega yang dihubungi menerusi telefon berkata, tentera Gaddafi memasuki bandar itu dan pertempuran sengit meletus di pelabuhan.

Menurut Ayman al-Moghrabi, doktor di Ajdabiya, serangan bermula tengah malam semalam.


“Mereka menyerang lapangan terbang di Brega dan bertempur dengan pemberontak,” kata doktor itu.


Sementara itu di Ajdabiya, seorang saksi berkata, pesawat tentera Gaddafi mengebom tempat simpanan senjata yang turut menjadi sasaran serangan dua hari lalu.


Bagaimanapun, seorang penduduk lain berkata, serangan semalam tertumpu pada pangkalan tentera yang terletak tiga kilometer dari bandar berkenaan.


“Mereka mengebom pangkalan tentera El Haniya. Tetapi ia gagal menepati sasaran. Tidak ada yang cedera kerana ia terkena kawasan lapang di luar pangkalan tentera itu,” kata penduduk berkenaan. - AFP

Itali bimbang dibanjiri pendatang

ROME: Menteri Dalam Negeri Itali, Roberto Maroni semalam mengulangi amaran, sebahagian daripada kira-kira 1.5 juta orang yang cuba meninggalkan Libya mungkin menuju ke negara itu.

“Ada di kalangan mereka yang melarikan diri ke barat (Tunisia) dan ada yang ke timur (Mesir). “Tetapi selepas ini, saya menjangka mereka akan menuju ke utara, ke arah Itali,” kata menteri itu kepada Parlimen.


Lebih 100,000 orang sudahpun meninggalkan Libya bagi mengelak keganasan di negara itu yang setakat ini meragut sekurang-kurangnya 100,000 nyawa, mengikut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Maroni, anggota Parti Liga Utara yang antipendatang, sebelum ini memberi amaran serupa ketika bermesyarat dengan Menteri Luar Kesatuan Eropah minggu lalu.


Terdapat peningkatan dalam kedatangan pendatang di Itali sejak revolusi di Tunisia bermula Januari lalu dan pemberontakan yang melanda Mesir pada Februari.


Itali sudahpun membenarkan kemasukan 6,000 pendatang dari Tunisia sejak awal tahun ini. - AFP

Iran bantah campur tangan tentera asing

TEHERAN: Iran semalam memberi amaran kepada Barat supaya tidak menggunakan tindakan ketenteraan dalam usaha menggulingkan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast berkata, tindakan seumpama itu hanya akan menjadikan negara itu pangkalan tentera Barat. Ramin mengecam keganasan yang dilakukan penyokong setia Gaddafi terhadap penunjuk perasaan tetapi berkata, ia bukan alasan untuk membolehkan negara lain campur tangan.


“Mereka (negara Barat) tidak boleh mencuba untuk mengubah negara lain menjadi pangkalan tentera,” katanya. Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan bahawa Barat, termasuk Amerikan Syarikat menimbang untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap rejim Gaddafi. - AP


2 kapal perang AS semakin hampiri pantai Libya


KAHERAH: Pegawai Mesir semalam berkata, dua kapal perang Amerika Syarikat sudah memasuki Terusan Suez dalam perjalanan ke Meditteranean, menghampiri pantai Libya selepas diarah oleh Setiausaha Pertahanan, Robert Gates.

Menurut pegawai berkenaan, kapal penggempur amfibia, USS Kearsarge dan USS Ponce memasuki terusan itu pagi semalam dari Laut Merah.


USS Kearsarge dikatakan membawa 42 helikopter bersama-samanya.

Gates sebelum ini berkata, beliau mengarahkan kedua-dua kapal berkenaan belayar ke Meditteranean dan turut mengerah 400 anggota marin untuk bersama-sama kapal itu bagi mengganti anggota tentera yang meninggalkan Afghanistan baru-baru ini. - Reuters


Menteri Kristian di Pakistan ditembak mati


Shahbaz Bhatti


ISLAMABAD 2 Mac – Menteri Hal Ehwal Agama Minoriti Pakistan, Shahbaz Bhatti ditembak mati oleh seorang lelaki bersenjata hari ini di Islamabad selepas ahli politik itu menerima ugutan bunuh.

Bhatti seorang penganut Katolik menjadi penentang terhadap undang-undang kontroversi Pakistan yang menghina agama.

Seorang penyerang tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah kenderaan dinaiki Bhatti yang ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya di ibu kota Pakistan sebelum melarikan diri, kata pegawai polis Abdul Majid kepada AFP.

Menurut seorang doktor, Azmatullah Qureshi berkata, Bhatti meninggal dunia ketika tiba di Hospital Shifa Islamabad.

Januari lalu, Gabenor Punjab, Salman Taseer dibunuh oleh salah seorang pengawal peribadinya berikutan beliau menjalankan kempen penentangan terhadap undang-udang kerajaan Pakistan.

Undang-undang Pakistan menentang hukuman mati terhadap pesalah yang menghina ajaran Islam memandangkan belum ada sesiapa dijatuhi hukuman tersebut.

Aktivis mengatakan undang-undang tersebut digunakan untuk mengeksploitasi pihak lain atas tujuan permusuhan peribadi atau pertikaian dalam perniagaan.

Sementara itu, Menteri Penerangan Pakistan, Firdous Ashiq Awan berkata, Bhatti telah memainkan peranan utama dalam mewujudkan keharmonian dalam agama dan beliau merupakan individu yang hebat.

“Kami turut bersedih di atas kematian beliau yang tragik dan pihak kerajaan akan menjalankan siasatan mengapa beliau tidak diiringi oleh pengawal keselamatan ketika kejadian,” katanya. – AFP/AP


AS menekan, Gaddafi bertahan

TRIPOLI 2 Mac - Kapal perang Amerika Syarikat (AS) menyeberangi Terusan Suez untuk ke Libya hari ini ketika negara-negara Barat mengenakan tekanan ke atas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi supaya beliau menghentikan kekejaman serta meletak jawatan.

AS berkata, Libya boleh berhadapan perang saudara melainkan Gaddafi menamatkan pemerintahan selama empat dekad di tengah-tengah kebimbangan pemberontakan yang berlaku itu boleh mengakibatkan krisis kemanusiaan.

Selain kedegilan pemimpin Libya itu, anak lelakinya, Saif al-Islam memberi amaran kepada Barat dengan berkata, bapanya tidak akan melepaskan kuasa atau lari ke luar negara walaupun jika sebarang tindakan ketenteraan dilancarkan.

Di seluruh Libya, pemimpin puak, para pegawai, pegawai tentera dan unit-unit tentera yang berpaling tadah menyokong pemberontak berkata, perjuangan mereka kini lebih tersusun.

"Kami akan terus meningkatkan tekanan ke atas Gaddafi sehingga beliau meletak jawatan, membenarkan rakyat Libya menyatakan kebebasan bersuara dan menentukan masa depan mereka sendiri," kata duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Susan Rice kepada rancangan ABC, Good Morning America.

Seorang daripada pegawai yang berpaling tadah, Kapten Faris Zwei berkata, kira-kira 10,000 sukarelawan kini berkumpul di Ajdabiyah, kira-kira 800 kilometer dari ibu negara.

"Kami sedang menyusun semula pasukan tentera yang hampir dimusnahkan Gaddafi dan konco-konconya sebelum mereka berambus.

"Kami sedang membentuk pasukan tentera terdiri dari anak-anak muda yang menyertai revolusi ini," katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini menggantung Libya daripada Majlis Hak Kemanusiaan berikutan kekejaman yang dilakukan rejim Gaddafi ke atas rakyat ketika Majlis Keselamatan memberi amaran sekatan baru mungkin dikenakan terhadap rejim itu.

Keputusan itu diluluskan sebulat suara oleh 192 negara anggota PBB selepas Setiausaha Agungnya, Ban Ki-moon menggesa badan itu 'bertindak tegas'. - Reuters/AFP


Tentera pro-Gaddafi tawan semula Marsa El Brega

TRIPOLI 2 Mac - Tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi hari ini cuba menawan semula sebuah bandar di timur negara yang dikuasai pemberontak, namun usaha mereka gagal selepas pemberontak melakukan serangan balas sehingga memaksa tentera berundur.

Menurut pegawai yang menyokong pemberontak, Mohamed Yousef, tentera yang dihantar Gaddafi cuba merampas kembali Marsa El Brega dalam satu pertempuran ganas menggunakan kereta kebal, meriam dan serangan udara, namun gagal menguasai bandar yang terletak kira-kira 800 kilometer di timur Tripoli itu.

"Memang benar. Tentera turut mengebom Brega melalui serangan udara, tetapi usaha mereka sia-sia kerana kami berjaya melawan," katanya hari ini.

Televisyen al-Arabiya yang memetik saksi melaporkan, letupan rambang turut kedengaran di bandar terminal eksport minyak itu.

Tiga sumber tentera di kawasan yang dikuasai pemberontak di timur Libya memberitahu, beberapa pertempuran turut berlaku di bandar itu ketika tentera cuba menawan kembali Brega.

Seorang doktor di Ajdabiyah, kira-kira 40 kilometer dari Brega memberitahu AFP, serangan tersebut dilancarkan secara tiba-tiba pada waktu malam.

"Tentera Gaddafi turut menyerang lapangan terbang di Brega sebelum bertempur dengan pemberontak," kata Aymane al-Moghrabi.

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan Mussa Ibrahim segera menafikan laporan-laporan tentang pertempuran tersebut dengan mengatakan ia adalah palsu semata-mata.

"Saya ragu-ragu dengan laporan-laporan kejadian itu. Saya percaya ia adalah satu lagi berita palsu," katanya ketika ditanya tentang serangan di Brega dan Ajdabiyah. - Reuters/AFP


Kereta Ahmadinejad dilelong RM7.8j


Mohammad Isari, peguam bagi sebuah firma Iran yang enggan dikenali, berdiri di sebelah kereta yang pernah dimiliki Mahmoud Ahmadinejad yang dimenanginya dalam bidaan sebanyak RM7.8 juta di Abadan, kelmarin. - AFP


TEHERAN 2 Mac - Sebuah kereta sedan Peugeot tahun 1977 milik Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dijual dengan harga AS$2.5 juta (RM7.8 juta) dalam satu acara lelong amal semalam, lapor media Iran.

Ahmadinejad mengumumkan tahun lalu, hasil lelongan tersebut akan didermakan untuk projek perumahan keluarga berpendapatan rendah dan untuk itu, sebuah laman web pelbagai bahasa direka bagi menerima bidaan ke atas kenderaan tersebut.

"Kereta Peugeot 504 milik Presiden Ahmadinejad dijual dengan harga AS$2.5 juta (RM7.8 juta) kepada seorang rakyat Iran yang mengambil bahagian dalam acara lelong tersebut," lapor agensi berita Isna.

Sementara itu, Ketua Organisasi Kebajikan Iran berkata, laman web tersebut mencatatkan jumlah pelawat paling ramai dari Iran dan diikuti Amerika Syarikat ketika majlis penyerahan kunci kereta kepada pemilik barunya.

Ahmadinejad telah memperjuangkan isu kemiskinan di Iran terutamanya di kawasan luar bandar yang sebelum ini diabaikan oleh pemerintahan kerajaan lalu dan perkara tersebut membantu beliau mengambil alih pentadbiran Iran pada 2005.

Menurut media, Ahmadinejad sering memandu kereta Peugeot putih tersebut ketika beliau bertugas sebagai Datuk Bandar Teheran sebelum menjawat jawatan sebagai Presiden.

Kereta itu dianggarkan bernilai kira-kira AS$2,000 (RM6,200) dalam pasaran tempatan. - Reuters

Libya akan bermandi darah'

2011/03/03

TRIPOLI: Pemimpin Libya Muammar Gaddafi memberi amaran "beribu-ribu rakyat Libya akan mati" jika negara Barat campur tangan untuk membantu pemberontakan terhadapnya.
Berdepan dengan kebangkitan rakyat terhadap pemerintahannya selama 41 tahun, Gaddafi berkata beliau akan melancarkan “perang yang banyak menumpahkan darah.”

Bercakap kepada penyokongnya di sini yang disiarkan secara langsung oleh televisyen tempatan, pemimpin kuku besi berusia 65 tahun itu, berkata pemberontakan terhadapnya hanyalah bertujuan menguasai tanah dan sumber minyak Libya.

“Kami akan berjuang sehingga ke lelaki dan wanita terakhir untuk mempertahankan negara,” katanya dalam ucapan yang disambut dengan laungan sokongan terhadapnya.
Gaddafi menafikan pemberontak mengadakan tunjuk perasaan secara aman sejak ia bermula 15 Februari lalu, diilhamkan oleh kejayaan rakyat Mesir menggulingkan Hosni Mubarak.

“Anggota sel rahsia Al-Qaeda, sudah menyelusup masuk secara perlahan-lahan. Mereka menganggap dunia ini milik mereka. Mereka berjuang di mana-mana dan perkhidmatan risikan mengenali nama mereka.
“Secara mengejut bantahan bermula di (bandar timur) Al-Baida... Sel rahsia ini diberi arahan agar menyerang batalion tentera di sana dan merampas senjata dari balai polis.

“Anggota tentera pulang ke rumah dan meninggalkan pangkalan batalion mereka. Sel Al-Qaeda ini merampas senjata dan menguasai pekan itu.

“Keadaan yang sama berlaku di Benghazi, satu lagi bandar dikuasai pemberontak.”

Majlis berkenaan diadakan sejurus selepas kumpulan pemberontak mengumumkan mereka berhasil mematahkan serangan balas tentera yang setia kepada Gaddafi di pekan timur Brega.

Seorang wanita bertudung dengan jubah hitam bangun untuk menjerit: “Anda adalah pedang kami yang tidak akan patah.”

Gaddafi mengecam laporan media yang menyiarkan peletakan jawatan pegawai tentera dan duta Libya.

“Jangan percaya laporan itu... tidak ada apa-apa yang berlaku,” kataya.
Sementara itu, di BRUSSELS , beberapa negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sedang membuat persiapan rancangan mengenakan zon larangan penerbangan di ruang udara Libya, berdasarkan langkah sama ke atas ruang udara Balkan pada 1990-an.

NATO berkata, langkah itu akan hanya dilaksanakan jika mendapat mandat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Langkah mengenakan zon larangan terbang itu adalah untuk menghalang Gaddafi daripada melancarkan serangan udara ke atas kedudukan pemberontak. – AFP

INFO: Krisis Libya

  • OIC, Britain Perancis semalam melancar operasi bantuan pelarian

  • Lebih 140,000 pelarian merentasi sempadan Tunisia dan Mesir melarikan diri dari Libya.

  • OIC memasang dua hospital lapangan dan menyediakan ambulans di sempadan Tunisia dan Mesir.

  • Perancis menghantar kapal tentera laut untuk membawa pulang 5,000 warga Mesir

  • Tiada ulasan: