Rabu, 4 Mei 2011

SIRAH SAHABAT2 TIGA

Thufail ad-Dausi

Fitrah yang Lurus


Di daerah Daus, beliau menjalani masa remaja dalam keluarga yang mulia dan terhormat. Beliau dikurniakan bakat sebagai penyair sehingga nama dan kemahirannya menjadi masyhur di kalangan suku-suku pada zaman itu. Di pekan raya Ukadh, di mana semua orang dari segala penjuru datang membanggakan penyair masing-masing, Thufail berada di barisan yang paling hadapan.

Di luar musim pekan raya Ukadh, beliau juga sering mengunjungi Mekah. Pada suatu ketika, saat beliau berkunjung ke kota suci itu, Rasulullah telah mula berda'wah secara terang-terangan. Orang-orang Quraisy takut sekiranya Thufail menjumpai Rasulullah dan memeluk Islam, lalu menggunakan bakatnya sebagai penyair untuk membela Islam. Jika hal itu terjadi, bererti bencana besar bagi Quraisy dan berhala-berhala mereka.

Oleh sebab itu, mereka terus mendampinginya, menjamunya dengan segala kesenangan, kemewahan dan kenikmatan. Mereka menakut-nakutkannya agar tidak menemui Rasulullah saw. Mereka berkata, “Muhammad memiliki ucapan laksana sihir hingga dapat memisahkan seseorang daripada ayahnya, saudaranya dan daripada suami atau isterinya. Sesungguhnya kami mengkhuatirkan dirimu dan kaummu darinya. Kerana itu, janganlah berbicara dengannya dan janganlah mendengarkan ucapannya.”

Marilah kita mendengarkan Thufail menceritakan sendiri kisahnya.

“Demi Allah, mereka selalu mendampingiku, sehingga aku sudah bertekad untuk tidak mendengar sesuatu pun daripada mulut Rasulullah dan tidak menemuinya. Ketika aku pergi ke Ka'bah, kututup telingaku dengan kapas agar jika beliau berkata, aku tidak mendengar perkataannya. Di sana aku mendapatinya solat berdekatan Ka'bah. Aku berdiri berhampirannya. Lalu Allah berkehendak kepadaku untuk mendengarkan apa yang sedang dibaca oleh Rasulullah. Aku mendengar ucapan yang sangat indah. Aku berkata dalam hati, “Demi Tuhan, aku ini orang pandai dan seorang penyair. Aku dapat membezakan mana yang baik dan buruk. Maka apa salahnya aku mendengar perkataan lelaki itu? Jika perkataannya baik, aku terima, jika buruk, aku tinggalkan. Aku tetap di tempat itu sehingga Dia pulang ke rumahnya. Aku mengikutinya sehingga dia masuk ke dalam rumahnya. Aku juga ikut masuk dan berkata kepadanya. 'Wahai Muhammad, kaummu telah bercerita kepadaku tentang dirimu begini dan begini, sehingga aku tutup telingaku dengan kapas agar tidak mendengar perkataanmu. Akan tetapi, Allah menghendaki aku mendengarkannya dan aku mendengar ucapan yang indah. Kerana itu, jelaskan kepadaku tentangmu.' Maka Rasulullah saw menjelaskan Islam kepadaku dan membaca Al-Quran. Demi Allah, aku tidak pernah menddengar ucapan yang lebih baik daripada itu, dan perkara yang lebih benar daripada itu.

Lalu aku masuk Islam. Aku mengucapkan kalimat syahadat. Aku berkata, 'Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ini orang yang ditaati oleh kaumku, dan sekarang aku akan kembali kepada mereka, mengajak mereka kepada Islam. Maka mohonkan kepada Allah agar aku diberi tanda yang dapat membantuku dalam menyeru mereka.' Maka, Rasulullah saw berdoa, 'Ya Allah, berikan kepadanya suatu tanda.'”

Dalam kitab suciNya, Allah telah memuji “Orang-orang yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti yang terbaik.” Sekarang kita bertemu dengan salah seorang daripada mereka. Beliau merupakan gambaran tepat daripada fitrah yang lurus. Baru sahaja telinganya mendengar beberapa ayat mengenai petunjuk dan kebaikan yang diturunkan Allah kepada RasulNya, semua pendengaran dan hatinya terbuka, lalu tangannya terbentang untuk menyatakan keislamannya. Tidak berhenti di sana, ia langsung memikul tanggungjawab untuk mengajak keluarga dan kaumnya kepada agama yang benar dan jalan yang lurus ini.

Kerana itu, baru saja sampai di Daus (rumah dan kampung halamannya), beliau memaparkan kepada ayahnya apa yang sekarang menjadi keyakinannya. Beliau juga bercerita tentang Rasulullah yang mengajak ke jalan Allah, bagaimana keagungan, kesucian, kejujuran, keikhlasan, dan ketaatannya kepada Allah, Tuhan semesta alam. Setelah itu beliau mengajak ayahnya untuk memeluk Islam.

Saat itu juga ayahnya memeluk Islam. Kemudian beliau menceritakan pula kepada ibunya. Ibunya juga memeluk Islam. Setelah merasa puas kerana seisi rumahnya telah memeluk Islam, beliau beralih mengajak kerabat dan kaumnya untuk memeluk Islam. Ternyata tidak seorang pun daripada mereka memeluk Islam kecuali Abu Hurairah.

Kaumnya menghinanya dan menjauh daripadanya. Akhirnya, beliau tidak sabar lagi menghadapi mereka. Beliau menunggang kudanya, menempuh perjalanan jauh ke tempat Rasulullah untuk mengadukan permasalahannya, sekaligus meminta bekal daripada ajarannya.

Setibanya di Mekah, beliau bergegas ke rumah Rasulullah, diliputi oleh kerinduan yang mendalam. Beliau berkata kepada Nabi, “Wahai Rasulullah, aku tidak mampu menghadapi penghinaan dan riba yang bermaharajalela di desa Daus. Maka mohonlah kepada Allah agar Ia menghancurkan Daus.”

Thufail sangat terkejut ketika dilihatnya Rasulullah menadah kedua tangannya ke langit dan berdoa, “Ya Allah, Tunjukilah orang-orang Daus, dan datangkanlah mereka ke sini sebagai orang-orang Islam.” Rasulullah menoleh kepada Thufail dan berkata, “Kembalilah kepada kaummu. Ajaklah mereka dan bersikap lembutlah kepada mereka.”

Peristiwa ini benar-benar mempesona Thufail. Jiwanya penuh kedamaian. Beliau tidak habis-habis memuji Allah yang telah menjadikan Rasulullah yang penyayang ini sebagai guru pembimbingnya, dan menjadikan Islam sebagai agama dan tempat berlindungnya. Dengan semangat yang tinggi, beliau kembali kepada kaumnya. Di sana, beliau terus mengajak mereka kepada Islam dengan penuh hati-hati dan lemah lembut seperti pesanan Rasulullah saw.

Selama masa yang dilaluinya di tengah-tengah kaumnya, di sisi lain, Rasulullah telah berhijrah ke Madinah, telah melewati perang Badar, Uhud dan Khandaq.

Ketika Rasulullah sedang berada di Khaibar, selesai membebaskan daerah itu dari tangan orang-orang Yahudi, ada rombongan besar yang terdiri daripada lapan puluh keluarga Daus datang menghadap Rasulullah sambil membaca tahlil dan takbir. Mereka duduk di hadapannya berjanji setia (berbaiat) kepada Rasulullah secara bergantian.

Setelah kejadian demi kejadian itu, Thufail bin Amru duduk sendirian merenung, mengingat masa lalunya, merenungkan jalan yang dilaluinya. Beliau teringat saat datang kepada Rasulullah, memohon agar berdoa kepada Allah untuk kehancuran penduduk Daus, namun beliau berdoa dengan doa lain yang membuatnya terpesona. Rasulullah berdoa, “Ya Allah, tunjukilah penduduk Daus dan bawalah mereka ke sini sebagai orang-orang Islam.”

Allah benar-benar telah memberi hidayah kepada penduduk Daus. Mereka datang sebagai orang-orang Islam. Inilah mereka, 80 keluarga mewakili majoriti penduduk Daus. Sekarang, mereka sudah bergabungdalam barisan suci di belakang Rasulullah yang terpercaya.

Thufail melanjutkan perjalanan hidupnya bersama kaum muslimin yang lain. Pada peristiwa pembebasan kota Mekah, beliau ikut memasuki kota Mekah bersama 10 ribu kaum muslimin yang lain, tanpa merasa sombong dan besar kepala, tapi sebaliknya menundukkan kepala dengan khusyu' dan rasa hormat sebagai rasa syukur kepada Allah yang telah memberikan pembebasan kota Mekah dan kemenangan besar.

Thufail melihat Rasulullah sedang menghancurkan berhala-berhala di Ka'bah. Dengan tangannya sendiri beliau membersihkan kotoran yang telah terbakat tersebut. Thufail teringat sebuah patung milik Amru bin Humamah. Dulu, setiap kali Thufail berkunjung ke Mekah, Amru selalu mengajaknya duduk khusyu' menyembah patung itu. Sekarang, tibalah saatnya bagi Thufail untuk membersihkan dosa-dosa masa lalunya. Beliau mendekati Rasulullah, meminta izin kepadanya untuk membakat patung milik Amru bin Humamah, yang biasa disebut “Dzul Kaffain” (yang memiliki dua telapak tangan)

Rasulullah mengizinkan. Thufail mulai membakarnya. Setiap kali api itu mengecil, beliau menambahnya lagi sambul bersenandung,

“Wahai Dzul Kaffain,
aku bukanlah penyembahmu
kamu lahir setelahku
kini kusiramkan api di perutmu”

Beliau melanjutkan perjalanan hidupnya bersama Rasulullah. Solat di belakangnya, belajar darinya dan berperang bersama-samanya.

Ketika Rasulullah wafat, Thufail melihat bahawa tanggungjawabnya sebagai muslim tidak berhenti di situ, bahkan boleh dikatakan baru saja bermula.

Ketika pertempuran melawan orang-orang murtad berkobar, Thufail menyinsing lengan bajunya, terjun mengalami pahit getirnya hal itu dengan semangat yang tinggi, mengharapkan syahid. Pertempuran demi pertempuran dalam peperangan melawan orang-orang murtad terus diikutinya.

Pada pertempuran Yamamah, beliau berangkat bersama kaum muslimin dengan menghantar puteranya, Amru bin Thufail. Sejak awal pertempuran, beliau telah berpesan kepada puteranya agar berperang dengan gagah berani mengharapkan kesyahidan dan menghadapi tentera Musailamah al-Kadzab. Beliau juga memberitahu puteranya bahawa beliau terasa akan gugur dalam pertempuran kali ini.

Beliau menghunuskan pedangnya, lalu berperang dengan gagah berani. Beliau sama sekali tidak menggunakan pedangnya untuk melindungi nyawanya. Tetapi beliau menjadikan nyawanya untuk melindungi pedangnya, sehingga jika beliau gugur kelak, pedangnya tetap utuh dan dapat digunakan oleh sahabat-sahabat yang lain.

Dalam pertempuran itu, Thufail ad-Dausi gugur sebagai syahid. Beliau jatuh disebabkan sebatang pedang. Beliau sempat melambai kepada anaknya yang samar-samar dilihatnya, seakan mengajak untuk turut serta dengannya.

Dan ternyata, sang puteranya benar-benar mengikut jejak langkahnya tetapi, dalam pertempuran yang lain. Tepatnya di perang Yarmuk, di Syam. Amru bin Thufail ikut dalam rombongan pasukan. Di sana beliau gugur sebagai syahid. Saat menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau menghulurkan tangan kanannya, seakan sedang berjabat tangan.

Siapa yang tahu?!

Boleh jadi saat itu, beliau sedang berjabat tangan dengan roh ayahnya.


Abdullah Bin Abbas

Ulama Umat Ini


Ada persamaan antara Abdullah bin Abbas dengan Abdullah bin Zubair. Kedua-duanya berjumpa dan berinteraksi dengan Rasulullah ketika mereka masih kanak-kanak. Ketika Rasulullah wafat, Abdullah bin Abbas masih lagi belum dewasa. Namun, beliaulah manusia yang sejak kecilnya telah belajar erti kedewasaan dan prinsip hidup dari Rasulullah saw., di mana Rasulullah sendiri memberikan perhatian yang khusus kepada beliau; mendidik dan mengajarkan hikmah kepadanya. Dengan iman yang kukuh, akhlak mulia dan ilmu yang Iuas, beliau berjaya duduk di kedudukan tertinggi bersama-sama dengan sahabat Rasulullah.

Beliau merupakan anak lelaki kepada Abbas bin Abdul Muthalib bin Hasyim. Abbas ialah bapa saudara Rasulullah saw.

Beliau digelar "Habr" (ulama umat ini) kerana akal fikirannya yang cerdas, hatinya yang bersih dan pengetahuannya yang Iuas.

Sejak kecil, Abdullah bin Abbas telah mengetahui matlamat hidupnya, dan hal ini semakin jelas setelah Rasulullah mengelus bahunya lalu berdoa, "Ya Allah, ajarkan kepadanya ilmu agama dan takwil."

Selepas itu, pada waktu yang berbeza-beza, Rasulullah sering mengulangi doa ini kepada sepupunya itu. Sejak itu, Abdullah bin Abbas menyedari bahawa dirinya diciptakan untuk ilmu dan pengetahuan. Di samping itu, kebolehan akalnya memberikan dorongan yang kuat kepadanya untuk melalui jalan itu.

Meskipun ketika Rasulullah saw. wafat, beliau baru berusia 13 tahun, tetapi sejak kecil beliau selalu hadir dalam majlis ta'lim baginda. Beliau tidak mahu masa kecilnya berlalu dengan sia-sia.

Setelah Rasulullah wafat, beliau sangat gigih mempelajari Islam dari para sahabat, terutamanya yang belum sempat beliau pelajari dari Rasulullah. Pada fikirannya, sudah tertanam tanda tanya yang besar, sehinggakan jika beliau mendengar ada seseorang yang mengetahui sesuatu ilmu atau menghafal sesebuah hadis, beliau segera berjumpa dengan orang itu lalu belajar dengannya.

Otaknya yang bijak dan selalu dahagakan ilmu mendorongnya untuk meneliti setiap apa yang didengarinya. Beliau bukan hanya menghimpun ilmu pengetahuan, tetapi juga meneliti sumber-sumbemya.

Beliau pernah menceritakan pengalamannya, 'Aku pernah bertanya kepada tiga puluh orang sahabat Rasul saw. mengenai satu masalah."

Beliau juga pernah menggambarkan kegigihannya untuk mencari ilmu, "Setelah Rasulullah saw. wafat, aku berkata kepada seorang pemuda Ansar, 'Marilah kita bertanya kepada para sahabat Rasulullah, ketika jumlah mereka ketika ini masih banyak."

Pemuda itu menjawab, "Kamu ini sangat pelik, Abdullah. Adakah kamu sangka orang lain akan memerlukanmu, sedangkan para sahabat masih lagi bersama mereka?"

Pemuda itu pun pergi, sementara aku tetap bertanya kepada para sahabat.

Aku pernah mendengar bahwa seorang sahabat memiliki satu hadis. Maka aku pergi ke rumahnya. Ketika itu, beliau sedang tidur siang. Aku bentangkan kainku di depan pintunya untuk duduk. Aku terus menunggu sehingga tubuhku penuh dengan debu yang diterbangkan angin. Ketika beliau sudah bangun dan keluar rumah lalu mendapatiku, beliau berkata "Hai sepupu Rasulullah, apakah yang membuatkanmu datang ke rumahku? Kalaulah kau utus orang memberitahuku, aku akan datang ke rumahmu."

Aku berkata, "Tidak! Engkau yang lebih layak untuk aku jumpa. Aku ingin belajar hadis daripadamu."

Begitulah. Pemuda kita ini tidak berhenti bertanya lalu menganalisis dan mengkaji jawapan yang didapatinya dengan otak yang bijak.

Dari semasa ke semasa, pengetahuan dan ilmu yang dimilikinya bertambah banyak, sehinggakan ketika usianya yang masih muda, beliau telah memiliki sikap bijak, kehati-hati dan mempunyai gaya berfikir orang tua-tua. Bahkan, Khalifah Umar bin Khattab selalu melibatkannya bersama untuk menyelesaikan setiap masalah besar. Beliau memanggilnya "Pemuda yang Sudah Tua".

Abdullah bin Abbas pernah ditanya, "Bagaimana kau dapatkan ilmu ini?"

Beliau menjawab, "Dengan banyak bertanya dan tidak berhenti berfikir."

Dengan lidah yang tidak berhenti bertanya, dengan otak yang tidak berhenti berfikir, dengan sikap tawadhu'nya dan dengan akhlaknya yang mulia, Abdullah bin Abbas menjadi "Ulama Umat lni".

Sa'ad bin Abi Waqqas menggambarkannya dengan ayat-ayat berikut.

"Aku tidak pernah melihat orang yang sangat cepat memahami, sangat lapang dada, sangat luas ilmunya, dan sangat penyantun, selain Abdullah bin Abbas. Aku lihat Khalifah Umar bin Khattab melibatkannya dalam urusan-urusan rumit, padahal beliau sudah memiliki para penasihat dari kaum Muhajirin dan Ansar yang pernah menyertai Perang Badar. Abdullah bin Abbas berbicara dan Umar tidak mengetepikan ucapan Abdullah."

Ubaidillah bin Utbah juga pernah berkata tentangnya.

"Tiada seorang pun yang lebih mengetahui tentang hadis Rasulullah saw. selain daripada Abdullah bin Abbas. Tidak ada seorang pun yang lebih mengetahui tentang keputusan yang dibuat Abu Bakar, Umar dan Usman selain Abdullah bin Abbas. Tiada seorang pun yang lebih memahami suatu pendapat kecualinya. Dan, tiada seorang pun yang lebih mengetahui tentang syair, bahasa dan budaya Arab, tafsir al-quran, kira-kira dan hukum perwarisan, kecuali dia. Beliau menyediakan satu hari untuk mengajar feqah, satu hari untuk tafsir, satu hari untuk kisah peperangan, satu hari untuk syair dan satu hari untuk budaya Arab. Setiap ulama hormat kepadanya dan bagi setiap orang yang bertanya, beliau mempunyai jawapannya."

Seorang muslim penduduk Basrah menggambarkannya pula sebagai berikut. Ketika pemerintahan Khalifah Ali, Abdullah bin Abbas menjadi gabenor di sana,

"Beliau menggunakan tiga perkara dan meninggalkan tiga perkara.

  1. Menggunakan hati ketika berbicara.
  2. Menggunakan pendengarannya ketika orang lain berbicara.
  3. Menggunakan yang paling mudah jika terjadi masalah.

Lalu beliau meninggalkan

  1. Perdebatan yang tiada kesudahannya.
  2. Berkawan dengan orang-orang tercela.
  3. Hal-hal yang semestinya dijauhi."

Penguasaannya terhadap pelbagai cabang ilmu membuatkan orang tercengang. Beliau merupakan ulama mumpuni dalam semua bidang keilmuan. Beliau menguasai ilmu tafsir dan tafsir Al Qur'an, fiqh, sejarah, bahasa, dan sastera Arab. Kerana itulah beliau menjadi rujukan semua pakar. Orang rmai dari segala penjuru datang berguru kepadanya.

Seorang rakannya bercerita, "Aku pernah melihat majlis ta'lim Abdullah bin Abbas. Seandainya seluruh penduduk Quraisy berbangga dengannya, sudah mencukupi. Aku melihat banyak orang mengantre di depan rumahnya sehinggakan jalan depan rumahnya sesak. Disebabkan padatnya, mereka tidak boleh bergerak ke mana,mana. Lalu aku rnenemuinya, memberitahukan bahwa orang telah mengantre di depan rumah. Beliau berkata kepadaku, "Tolong ambilkan aku air." Lalu beliau berwudhu kemudiannya duduk.

Setelah itu beliau berkata, "Keluarlah dan panggillah mereka yang ingin bertanya tentang AI Qur'an dan tafsirnya."

Aku keluar dan memanggil mereka. Mereka masuk sehinggakan rumah itu penuh. Semua pertanyaan mereka dijawab dengan memuaskan. Kemudian beliau berkata kepada mereka, "Cukup! Berikan peluang kepada yang lain." Mereka keluar untuk memberi peluang kepada yang lain.

Beliau berkata kepadaku, "Panggillah mereka yang ingin bertanya tentang halal dan haram."

Aku memanggil mereka. Mereka masuk sehingga rumah itu penuh. Semua pertanyaan yang mereka ajukan dijawab dengan memuaskan.

Kemudian beliau berkata kepada mereka, "Cukup! Berikan peluang kepada yang lain." Mereka pun keluar.

Beliau berkata kepadaku, "Panggillah mereka yang ingin bertanya tentang hukum pewarisan. Aku memanggil mereka. Mereka masuk sehingga rumah itu penuh. Semua pertanyaan yang mereka ajukan dijawab dengan memuaskan. Kemudian beliau berkata kepadaku, "Panggillah mereka yang ingin bertanya tentang bahasa dan sastera Arab." Aku memanggil mereka. Mereka masuk sehingga rumah itu penuh. Semua pertanyaan yang mereka ajukan dijawab dengan memuaskan." Selain memiliki daya ingatan yang kuat, bahkan luar biasa, Ibnu Abbas juga memiliki kecerdasan dan kepintaran yang istimewa. Hujahnya sangat jelas seperti cahaya matahari. Logiknya tidak hanya membuat lawan bicaranya terdiam, bahkan juga membuatnya terpesona oleh keindahan dan kecerdasannya.

Meskipun ilmunya sangat luas dan hujahnya sangat berkesan, tetapi beliau tidak pernah menjadikan dialog dan diskusi sebagai medan untuk berlawan kecerdasan dan keluasan ilmu, lalu berbangga jika sudah mampu mengalahkan lawannya. Tidak! Akan tetapi, beliau menjadikan dialog dan diskusi sebagai salah satu cara untuk mengetahui kebenaran.

Telah lama beliau ditakuti oleh kaum Khawarij kerana logiknya yang tepat dan tajam. Beliau pernah diutus oleh Khalifah Ali kepada sekelompok besar dari orang Khawarij. Terjadilah dialog antara mereka. Apa yang beliau kemukakan sangat memukau orang yang menyaksikan.

Cukup kami nukilkan sebahagian daripada dialog panjang itu. Abdullah bin Abbas bertanya kepada mereka, ''Apakah yang menyebabkan kamu membenci Ali?"

Mereka menjawab, "Kami membencinya kerana tiga perkara. Pertama, beliau menyerahkan keputusan tentang masalah agama kepada manusia, padahal Allah telah berfirman, 'Tiada hukuman kecuali ditetapkan Allah.' Kedua, beliau berperang, tetapi tidak menawan pihak musuh juga tidak mengambil harta rampasan perang. Seandainya pihak lawan itu orang kafir, bererti harta mereka halal dan jika mereka itu orang muslim, darah mereka dilindungi. Ketiga, ketika menyerahkan keputusan kepada orang lain, beliau rela melepaskan jawatan Khalifah dan mematuhi keinginan musuh. Jika beliau bukan Khalifah bagi orang mukmin, maka beliau ialah Khalifah bagi orang kafir."

Maka mulailah Abdullah bin Abbas meluruskan hawa nafsu mereka. Beliau berkata, "Kamu katakan bahawa Ali menyerahkan keputusan mengenai masalah hukum Allah kepada manusia. Apa salahnya? Bukankah Allah telah bertlrman, 'Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu membunuh binatang buruan, ketika kamu sedang ihram. Barangsiapa antara kamu membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya ialah menggantikannya dengan binatang ternak yang sama dengan buruan yang dibunuhnya, menurut apa yang diputuskan oleh dua orang yang adil antara kamu.' (al Ma'idah, 5:95)

Nah, atas nama Allah, jawablah pertanyaanku, 'Manakah yang lebih penting, menyerahkan keputusan kepada manusia dalam masalah nyawa kaum muslimin atau dalam masalah kelinci yang harganya satu dirham?'"

Para pemimpin Khawarij itu terkejut mendapat jawapan seperti ini.

Abdullah bin Abbas melanjutkan hujahnya, "Tentang ucapan kamu bahwa beliau berperang tetapi tidak melakukan penawanan dan mengambil harta rampasan perang, maka ucapan kamu ini sungguh keterlaluan. Apakah kamu ingin menjadikan Ummul Mu'minin Aisyah ra., isteri Rasulullah, sebagai tawanan dan pakaiannya sebagai harta rampasan perang?"

Wajah orang Khawarij itu berubah pucat. Mereka menutup wajah mereka dengan tangan.

Kemudian, Abdullah bin Abbas melanjutkan hujahnya, "Sedangkan tuduhan kamu bahwa beliau rela melepaskan jawatan sebagai Khalifah kaum muslimin sehingga proses penyerahan keputusan itu selesai, maka perhatikanlah apa yang dilakukan Rasulullah pada peristiwa Hudaibiyah ketika beliau baginda surat perjanjian antara baginda dengan orang Quraisy. baginda berkata kepada penulis, 'Tulislah, "Inilah yang telah dipersetujui oleh Muhammad utusan Allah.'" Lalu utusan-utusan Quraisy menyela, 'Demi Tuhan, seandainya kami mengakuimu sebagai utusan Allah, kami tentu tidak menghalangimu ke Baitullah dan tidak pula memerangimu. Oleh itu, tulislah, "Inilah yang telah disetujui oleh Muhammad bin Abdullah.'" Rasulullah berkata kepada mereka, 'Demi Allah, sesungguhnya aku ini utusan Allah, meskipun kamu mendustakannya.' Baginda berkata kepada penulis, 'TulisIah apa yang mereka mahu. Tulislah, "Inilah yang telah dipersetujui oleh Muhammad bin Abdullah."'"

ltulah dialog antara Abdullah bin Abbas dengan orang-orang Khawarij yang menarik. Setelah dialog itu, 20 ribu orang dari mereka menyatakan kepuasan mereka terhadap hujah yang dinyatakan Abdullah bin Abbas, lalu tidak lagi memusuhi Khalifah Ali ra.

Ibnu Abbas bukan hanya memilik ilmu yang Iuas, bahkan juga memiliki akhlak orang yang berilmu dan akhlak para ulama.

Dari aspek kedermawanan dan sifat pemurah, beliau merupakan seorang panutan dan simbol. Beliau memberikan hartanya kepada siapa saja yang memerlukan, seperti beliau memberikan ilmunya kepada mereka.

Orang-orang yang hidup dengannya menceritakan, "Kami tidak pernah melihat rumah yang lebih banyak makanannya, minumannya, buah-buahannya dan ilmunya, selain rumah Ibnu Abbas."

Hati dan jiwanya bersih suci, tiada sebarang perasaan iri hati atau kebendaan. Keinginannya yang tak pernah hilang ialah harapannya agar setiap orang, baik yang dikenalinya maupun tidak, dapat melakukan kebaikan.

Beliau pernah berkata, "Setiap kali aku mengetahui suatu ayat dari Kitabullah, aku berharap semua orang mengetahui seperti apa yang kuketahui. Setiap kali aku mendengar seorang pemimpin antara para pemimpin kaum muslimin, yang memimpin dan memutuskan dengan adil, maka aku turut berasa tenang dan berdoa untuknya, padahal aku tidak mempunyai kepentingan terhadapnya. Setiap kali aku mendengar turunnya hujan di satu daerah kaum muslimin, maka aku merasa tenang, meskipun aku tidak mempunyai haiwan gembalaan di daerah sana."

Ibnu Abbas juga merupakan seorang ahli ibadah yang khusyu' dan bertawakal. Beliau melakukan qiamullail pada malam hari dan berpuasa pada siang hari. Beliau sering menangis ketika solat atau membaca Al Qur'an, seakan-akan kedua-dua belah matanya telah menghafal jalan yang dilalui oleh air matanya di kedua-dua pipinya. Ketika beliau membaca ayat-ayat AI Qur'an yang berisi ancaman, kematian atau hari kebangkitan, maka esak tangisnya bertambah keras.

Selain itu, beliau juga seorang yang berani, boleh dipercayai dan memiliki pemikiran yang cerdas.

Ketika terjadi perselisihan antara Ali dengan Mu'awiyah, beliau mengeluarkan beberapa pendapat yang menunjukkan kecerdasannya yang tinggi dan gaya yang mengutamakan cara lembut daripada kekerasan, dan lebih mengutamakan logik daripada cara paksa.

Ketika Husain hendak pergi ke Iraq untuk memerangi Ziyad dan Yazid, Ibnu Abbas memegang tangannya dan berusaha keras untuk menghalangnya. Ketika beliau mendengar kematian Husain, beliau sangat sedih, sehingga tidak keluar-keluar rumah.

Setiap kali terjadi persengketaan antara sesama kaum muslimin, Ibnu Abbas selalu mengusulkan cara damai, dialog dan kelembutan.

Betul, beliau ikut berperang bersama pihak Ali ketika menghadapi Mu'awiyah, tetapi beliau lakukannya kerana peperangan itu pada awalnya sebagai tamparan keras yang harus dilakukan terhadap pembangkangan yang mengancam keutuhan agama dan kesatuan umat.

Begitulah Ibnu Abbas mengisi hidupnya dengan menyemai ilmu dan hikmah ke seluruh rongga dunia, menyebarkan aroma dan ketakwaannya. Pada usia ke-71, beliau dipanggil menghadap sang Pencipta yang Maha Agung.

Kota Thaif menyaksikan perarakan panjang, menghantar pemergian seorang mukmin ke syurga. Ketika jasadnya mengambil tempat di kubur, langit bagaikan digoncang oleh gema janji Allah yang pasti benar.

“Wahai jiwa yang tenteram, kembalilah kamu kepada Tuhanmu dalam keadaan reda dan diredai. Masuklah ke dalam barisan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku."




Salamah Bin Akwa`

Pahlawan Pasukan Tentera Pejalan Kaki


Lyas(puteranya) ingin menyimpulkan keutamaan ayahnya dalam satu kalimah ringkas: “Ayahku tidak pernah berbohong.”

Sesungguhnya, dengan hanya memiliki satu sifat ini sahaja sudah cukup menjadikan seseorang itu berada pada kedudukan tertinggi dalam kalangan orang-orang soleh. Salamah b Akwa’ telah memilikinya dan dia memang layak memiliki kedudukan tersebut.

Salamah termasuk ahli memanah bangsa Arab yang sukar dicari tandingannya. Begitu juga dengan keberanian, kemulian dan kebaikannya.

Setelah memeluk Islam, dia menyerahkan seluruh jiwa dan raganya kepada Islam, sehingga Islam mengubahnya menjadi satu peribadi yang sempurna.

Salamah bin Akwa’ termasuk dalam kalangan orang-orang yang terlibat dalam Bai’at Ridwan.

Pada tahun 6 Hijrah, Rasulullah saw bersama-sama para sahabat baginda berangkat dari Madinah menuju Mekah untuk menziarahi Kaabah, namun baginda telah dihalangi oleh orang-orang Quraisy. Rasulullah mengutuskan Utsman Bin Affan kepada mereka untuk menyampaikan bahawa tujuan kunjungan baginda adalah untuk menziarahi kaabah dan bukan untuk berperang.

Ketika kaum muslimin sedang menunggu kembalinya Utsman, timbul satu berita bahawa dia telah dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Maka, Rasulullah duduk di bawah sebatang pohon yang rendang menerima sumpah setia sehidup semati dari para sahabat, seorang demi seorang.

Salamah menceritakan, “Aku bersumpah setia membela Rasulullah sehingga titisan darah terakhir di bawah pohon, lalu aku berganjak dari tempat itu. Ketika orang-orang yg berbaiat tinggal sedikit, Rasulullah bersabda, “Hai Salamah, mengapa kamu tidak berbaiat?.”

Aku menjawab, “ Sudah, ya Rasul.”

Rasulullah bersabda,“lagi.”

Maka aku berbaiat lagi.

Salamah benar-benar telah melaksanakan janjinya dengan baik. Bahkan, dia telah melaksanakan janiinya sebelum berbaiat lagi. Dia telah setia dan bertekad mati demi Islam sejak melafazkan, “La ilaha illallah, Muhammadar rasulullah.”

Dia berkata, “Aku berperang bersama Rasulullah sebanyak tujuh kali dan bersama Zaid bin Haritsah sebanyak sembilan kali.”

Salamah terkenal sebagai pahlawan pasukan tentera pejalan kaki. Dia juga adalah jaguh memanah dan melontar tombak. Taktik perang yang dijalankannya adalah seperti perang gerila yang boleh dilihat di zaman sekarang. Jika musuh datang menyerang, dia mengelak. Tetapi jika musuh berundur atau beristirehat, dia melakukan serangan.

Dengan muslihat seperti ini, dia seorang diri sahaja sudah mampu menghalau tentera yang menyerang sempadan kota Madinah di bawah pimpinan Uyainah bin Hishain al-Fizari dalam satu pertempuran yang dikenali sebagai pertempuran Dzi-Qarad.

Dia berangkat mengikuti mereka seorang diri, lalu melakukan serangan dan berjaya menghalau mereka dari Madinah, sehingga akhirnya Rasulullah datang membawa bala bantuan yang cukup yang terdiri dari para sahabat.

Pada hari tersebut Rasulullah menyatakan kepada para sahabat, “Pasukan tentera pejalan kaki adalah Salamah bin Akwa.”

Salamah tidak pernah merasa sedih dan menyesal, kecuali pada saat dimana saudaranya, Amir bin Akwa’ syahid di medan Perang Khaibar.”

Di hadapan seluruh pasukan muslimin, Amir mengucapkan kata-kata berikut,

“Jika bukan keranaMu kami tidak akan mendapat hidayah,
Jika bukan keranaMu kami tidak akan bersedekah ,
Jika bukan keranaMu kami tidak akan solat, Maka,
turunkanlah ketenteraman kepada kami,
Kukuhkan kaki kami jika kami menghadapi musuh”

Di perang itu, Amir telah melibaskan pedangnya kepada salah seorang tentera musuh, tetapi pedangnya meleset dan berbalik mengenai kepalanya sendiri hingga akhirnya dia terbunuh. Beberapa kaum muslimin berkata, "Kasihan Amir, dia tidak syahid."

Di saat itu pertama kali dan terakhir, Salamah merasa sangat menyesal. Seperti sahabat-sahabat yang lain, dia juga menyangka bahawa saudaranya itu tidak mendapatkan pahala mati syahid kerana telah membunuh diri sendiri secara tidak sengaja.

Namun, Rasulullah yang pengasih segera menyelesaikan permasalahan tersebut. Ketika Salamah datang bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah amal kebaikan Amir menjadi sia-sia?"

Rasulullah menjawab, “Dia mati sebagai mujahid. Dia mendapat dua pahala. Sekarang dia sedang berenang di sungai-sungai sYurga."

Salamah seorang yang sangat dermawan dan lebih dermawan lagi jika ada orang yang meminta dengan bersumpah atas nama Allah. Seandainya ada seseorang yang meminta hidupnya dengan bersumpah atas nama Allah, pasti dia akan memberikannya tanpa ragu-ragu.

Sikapnya yang demikian ini ternyata sudah diketahui ramai orang. Jika ada yang ingin memperoleh sesuatu daripada Salamah, orang itu berkata, "Atas nama Allah aku meminta kepadamu itu dan ini." Salamah pernah berkata, "Jika bukan atas nama Allah, atas nama siapa lagi kita akan memberi?" Ketika Utsman mati terbunuh, mujahid berani ini merasakan bahawa pintu kekacauan di tubuh kaum muslimin mula terbuka. Dia yang selama ini menghabiskan usianya bersama rakan-rakannya sesama muslim, tidak mungkin memerangi rakan-rakannya sendiri. Benar! Lelaki yang keahlian berperangnya melawan orang-orang kafir dan telah mendapat pujian langsung daripada Rasulullah, tidak mungkin menggunakan keahliannya itu untuk memerangi sesama muslim. Dia lebih memilih mengelak. Dia membawa keperluannya lalu berangkat menuju ke Rabdzah. Sebelumnya, Abu Dzar juga telah hijrah ke tempat ini. Salamah menghabiskan sisa usianya di Rabdzah. Hingga pada suatu hari, di tahun 74 Hijrah, dia sangat merindukan Madinah. Maka, dia berangkat berkunjung ke Madinah. Tepat di hari ketiga di Madinah, ajal menjemputnya.

Begitulah, tanah yang suci itu telah memanggilnya untuk tinggal dalam dakapannya bersama orang-orang sebelumnya. Orang-orang yang penuh barakah, penuh kebaikan dan kesolehan.

Tiada ulasan: