Rabu, 4 Mei 2011

JANGAN BEGINI...SUSAH JAWAB DIAKHIRAT...BUAT YANG DILARANG SEBAB DE UNTUNG..TINGGAL YG DISURUH SEBAB TAK DE UNTUNG...TUNGGU AJE HUKUM ALLAH..

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Mei: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyifatkan tindakan Umno yang mempelawa PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) dan duduk bersama dengan BN sebagai tindakan tersepit dan terdesak.

Pengarah Pilihan raya DPPP, Mohd Firdaus Jaafar berkata, Umno kini ibarat ‘orang hampir lemas yang cuba berpaut pada apa sahaja’ sedangkan mereka selama ini yang memburukkan PAS di mata masyarakat dengan pelbagai tuduhan hodoh dan menghinakan.

Selama ini, katanya mereka sombong dengan menganggap mereka sahaja parti terbaik untuk kaum Melayu dan PAS adalah sebuah parti yang sesat serta tidak mempunyai masa depan.

Beliau yang juga ahli Parlimen Jerai menambah, perlu dingat bahawa selama puluhan tahun Umno hidup dengan membuli dan mengganyang musuh politik mereka.

Menurutnya, PAS dan lain-lain parti pembangkang tidak pernah diberikan hak dalam pentas demokrasi yang sebenar.

Bahkan, ujarnya hampir setiap hari media massa milik mereka memburukkan pemimpin PAS dan PR.

Selain itu, katanya hampir seluruh jentera kerajaan dipergunakan semaksima mungkin dalam memastikan pembangkang khususnya PAS terus jatuh terduduk dalam setiap pilihan raya umum dan kecil.

“Apakah dalam keadaan demikian, Umno masih terhegeh-hegeh mencari simpati PAS?” soalnya.

Tegasnya, DPPP mengingatkan bahawa PAS telah melalui pelbagai mehnah dan tribulasi sepanjang jalan perjuangan mereka dalam pentas politik di Malaysia, bukan sekadar ugutan dan fitnah, bahkan pemimpin PAS pernah dikenakan ISA, dipenjara, bahkan dibunuh.

Ini semua, jelasnya dilakukan oleh pemimpin Umno yang kononnya mahu memperjuangkan bangsa Melayu.

Beliau menambah, masih segar dalam ingatan bagaimana tindakan Umno terhadap kerajaan Terengganu yang majoritinya bangsa melayu pada tahun 1999-2004 apabila dinafikan royalti petroleum hanya kerana mereka diperintah oleh PAS.

Begitu juga, ujarnya nasib yang sama diterima oleh Kerajaan PAS Kelantan yang sehingga ke hari ini terpaksa memperjuangkan hak untuk mendapatkan royalti petroleum di mahkamah.

Menurutnya lagi, sejarah juga membuktikan bahawa PAS tidak pernah mengkhianati hak orang melayu sebaliknya Umnolah yang menjadi petualang dalam menghakis hak keistimewaan orang melayu.

“Apakah kita lupa bahawa biasiswa telah digantikan dengan PTPTN, bagaimana bantuan sekolah agama rakyat ditarik?” tanya beliau.

Beliau turut mempersoalkan ke mana perginya saham bumiputera yang bernilai 52 bilion.

Ini, katanya semua berlaku kerana Umno sememangnya tidak pernah memikirkan bagaimana mahu membantu orang melayu sebaliknya menyalahgunakan kuasa yang di amanahkan dengan mengaut keuntungan peribadi.

Tambahnya tindakan mempelawa PAS ini menjelaskan kepada semua bahawa sebenarnya sokongan orang Melayu kepada Umno sudah semakin terhakis.

“PAS pula dilihat sebagai pengganti yang sesuai bagi orang Melayu, lebih-lebih lagi dengan budaya politik kotor dan keji yang mereka amalkan seperti video lucah seperti yang dipaparkan sekarang,” katanya.

Tegasnya, orang Melayu sudah semakin meluat dengan politik ‘Machiavelli’ Umno sehingga sanggup mengenepikan syariat Islam.

DPPP juga, katanya melihat tindakan Presiden Umno yang mempelawa PAS keluar daripada PR dan bersama dengan BN sebagai helah politik semata-mata demi untuk menimbulkan rasa kurang senang dikalangan rakan-rakan di dalam PR.

“Dan ini juga merupakan jalan terakhir untuk menyelamatkan sisa-sisa riwayat Umno yang semakin menghampiri penghujungnya.

“PAS tidak sesekali akan terpedaya dengan umpan Umno sehinggalah akhirnya Pakatan Rakyat memenangi PRU ke 13,” tegasnya.

Osama: Imperialis Barat boleh dikalahkan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Mei: Sebagai seorang penentang kuasa imperialis yang konsisten lebih 37 tahun, Osama percaya dan yakin bahawa sebesar dan sehebat manapun kekuatan kuffar yang menzalimi umat Islam seluruh dunia, mereka tetap boleh dikalahkan.

Sehubungan itu, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk sekeras-kerasnya operasi pembunuhan As Syahid Osama Bin Laden oleh tentera Amerika kelmarin.

Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Samsudin (gambar) dan Setiausaha Agung Mapim, Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan bersama juga merakamkan kutukan keras terhadap tindakan tentera Amerika membuang jenazah As Syahid Osama ke laut.

“Tindakan ini adalah suatu penghinaan yang jelas dan dunia harus membantah sikap Amerika yang sama sekali tidak boleh diterima.

“Jenazah As Syahid sepatutnya dikembalikan kepada keluarga dan sahabat andainya dan diuruskan pengkebumian yang selayaknya sebagai seorang Muslim,” tegas mereka.

Berikut kenyataan bersama Shura dan Mapim.

Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk sekeras-kerasnya operasi pembunuhan As Syahid Osama Bin Laden oleh tentera Amerika kelmarin.

Kami juga merakamkan kutukan keras terhadap tindakan tentera Amerika membuang jenazah As Syahid Osama ke laut. Tindakan ini adalah suatu penghinaan yang jelas dan dunia harus membantah sikap Amerika yang sama sekali tidak boleh diterima.

Jenazah As Syahid sepatutnya dikembalikan kepada keluarga dan sahabat andainya dan diuruskan pengkebumian yang selayaknya sebagai seorang Muslim.

Operasi tersebut adalah gerakan asasinasi seorang sasaran secara uni-lateral (sebelah pihak )oleh Amerika untuk membunuh seorang yang diburu diluar tanah Amerika yang boleh dianggap paling ganas dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Ternyata kerajaan Pakistan menjadi tali barut kepada Amerika untuk menjayakan operasi pembunuhan ini yang sama sekali tidak dapat diterima oleh umat Islam.

Setelah 10 tahun Amerika mengguna seluruh kekuatan dan kapasiti perisikan dan operasi militerinya pada tahap maksima dan menelan belanja berbilion dolar untuk mengesan As Syahid Osama Bin Laden, baru kini Amerika mendapatkan sasarannya.

Sebagai seorang penentang kuasa imperialis yang konsisten lebih 37 tahun , As Syahid Osama percaya dan yakin bahawa sebesar dan sehebat manapun kekuatan kuffar yang menzalimi umat Islam seluruh dunia , mereka tetap boleh dikalahkan.

Terbunuhnya As-Syahid Osama seperti yang dilaporkan oleh Presiden Amerika Barack Obama, bukan suatu yang dapat dibanggakan oleh mereka.

AS dan seluruh kuasa Barat tahu ini bukan perjuangan seorang individu tetapi bersamanya adalah sebuah kepercayaan dan keyakinan yang utuh untuk melawan bukan sahaja musuh Islam malah musuh kemanusian seluruhnya.

Kepercayaan dan keyakinan ini tersemat di dada setiap umat Islam yang menentang kezaliman dan cintakan kebenaran.

Syahidnya Osama akan melahirkan seribu Osama lagi. Ini pasti akan dilaungkan dan digemakan oleh anak muda yang melihat beliau sebagai pejuang yang dihormati . Kata-kata “Sekarang Semua Kami adalah Osama” !!! pasti akan kedengaran di mana-mana.

Amerika sedia maklum isu sebenar kenapa pelbagai gerakan Islam di serata dunia mempunyai sikap menentang Amerika dan kenapa polisi luar Amerika Syarikat ditolak sejak kejatuhan blok Komunis Russia.

Seluruh dunia arif tentang hegemoni politik-ekonomi dan militeri yang digerakkan oleh Amerika yang cuba menjadi polis dunia.

Rekod jenayah Amerika yang menggunakan operasi perisikan, penangkapan, penyiksaan dan pencerobohan menjadi punca kenapa As Syahid Osama dan seluruh pejuang yang membela hak orang Islam tidak akan menyerahkalah.

Operasi tentera Amerika terhadap Iraq, Afghanistan, Pakistan dan sokongan bulatnya kepada Israel yang membunuh ratusan ribu umat Islam Palestin, serta komplotnya mendokong semua pimimpin diktator di negara umat Islam adalah catatan berdarah yang menyebabkan As Syahid Osama tidak dapat berkompromi.

Alasan rakyat Amerika dan kerajaan Amerika untuk merayakan kemenangan di atas kematian As Syahid Osama kerana menuntut keadilan ke atas serangan September 11 itupun boleh dipertikaikan.

Kerana ramai yang mempersoalkan sumber maklumat mengenai punca dan kesohihan serangan September 11 adalah digerakkan oleh Al Qaeda pimpinan As Syahid Osama.

Malah banyak analisa pelbagai pakar seperti yang dokumen oleh pengkaji di Amerika sendiri mempersoalkan rumusan bahawa ia direncana dari luar.

As Syahid Osama membawa bersamanya sebuah iltizam yang berasaskan sikap Islamnya yang tegas dan tidak berkompromi. Beliau tahu benar bahawa yang dihadapi bukan kekuatan militer tetapi sebenarnya ia berhadapan dengan tamadun salibi Barat bersama zionis Yahudi yang kini menguasai seluruh dunia.

As Syahid Osama mempunyai kefahaman mengenai hegemoni politik Barat yang sangat jelas ketika beliau membuat keputusan melancarkan perang ke atas segala simbol kekuatan Barat terutama Amerika.

Untuk menuduh beliau secara simplistik sebagai pengganas adalah suatu penghinaan.

Seluruh dunia tahu Amerika, Israel, Perancis, Britain dan seluruh koaliasi mereka telah meluluskan tindakan ganas menyerang, mencerobah dan membunuh rakyat negara lain kononnya di atas mandat PBB.

Keyakinan beliau untuk berdepan secara fizikal dan sanggup menyerah seluruh kekayaannya untuk berada di barisan depan berhadapan dengan kekuatan tentera Barat adalah suatu pengorbanan yang tidak akan dipandang kecil oleh umat Islam.

Malah As Syahid Osama adalah mujahid Islam yang sangat inspirasional kepada seluruh pejuang yang lain walaupun dengan pendekatan yang berbeza.

Shura dan Mapim menganjurkan solat ghaib untuk jenazah As Syahid Osama di seluruh negara. Kami menyeru semua ulama, tuan guru, ustaz, aktivis Islam, pemimpin NGO Islam, para imam untuk mengadakan solat ghaib jenazah untuk beliau dan mendoakan agar rohnya dikumpulkan bersama para syuhada.

Sementara itu Shura dan Mapim mengusulkan agar kerajaan Malaysia menyatakan sikap mengutuk serangan tentera Amerika tersebut tanpa rasa takut kerana kami percaya umat Islam bersama dengan seluruh pejuang Islam untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.


Kuatkuasa perlu bagi kurangkan merokok

S. M. Mohamed Idris

Merokok tidak baik untuk kesihatan, mudah sahaja malangnya langkah yang diambil untuk menangani wabak merokok di Malaysia dilihat bertentangan – pada satu pihak kosnya dalam bentuk kesihatan manusia manakala satu pihak usaha kerajaan yang menjadi kesan negatif kepada penanam tembakau serta usaha untuk membasmi kekemiskinan. Hujah yang kedua itu tidak dapat diterima.

Perangkaan merokok di Malaysia amat membimbangkan; lebih 50% lelaki dewasa adalah perokok dan kira-kira 50 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun merokok setiap hari. Dianggarkan 10,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun akibat penyakit berkaitan merokok, menjadikannya pembunuh utama di negara ini. WHO menganggarkan tembakau membunuh bilion orang di dunia ini pada akhir abad ke 21. Kemudian terdapat kos rawatan kepada keluarga, mengurangkan produktiviti ekonomi dan meningkatkan kos penjagaan kesihatan awam.

Di Malaysia, tembakau ditanam untuk membantu petani memperolehi pendapatan dan mengurangkan kemiskinan. Bank Dunia, agensi kewangan global yang menyediakan modal bagi pengeluaran tembakau di negara membangun, telah menghentikan tindakannya yang menyedari akan kos kesihatan dan kini menyokong tanaman alternatif.

Pengulangan dakwaan bahawa penanaman tembakau mengurangkan kemiskinan hanya dibesar-besarkan, walaupun sebenarnya salah, apabila kita melihat contohnya kerajaan Malaysia sering menyelamatkan dan menawarkan subsidi kepada petani tembakau untuk mengekalkan daya maju ekonomi mereka dalam keadaan dilanda bencana alam dan lain-lain cabaran. Contohnya pada awal 2009 apabila tanaman tembakau di Pantai Timur musnah oleh banjir, menyebabkan kerajaan dan syarikat tembakau melanjutkan bantuan khas dalam bentuk subsidi kepada petani.

Seksyen 16 (1) Peraturan Kawalan Produk Tembakau 2004 dengan jelas menyatakan, “Pengeluar perlu membungkus rokok dalam kotak mengandungi tidak kurang daripada dua puluh batang”. Bagaimanapun amat malang sekali terdapat gesaan bagi menyokong ‘perjuangan penanam tembakau’ mengatasi pertimbangan kesihatan sepertimana yang dilihat melalui keputusan kabinet pada 2005 yang tidak menghentikan segera kotak rokok 14 batang sepertimana yang disarankan oleh Rangkakerja Konvensyen Kawalan Tembakau (FCTC) tetapi akan menghapuskannya dalam tempoh lima tahun.

Malaysia sepatutnya menerima WHO FCTC yang memberikan mandat terhadap beberapa jenis dasar kawalan tembakau. Bagaimanapun, kerajaan mengalami konflik dalam pelaksanaan dasar dan langkahnya memandangkan mereka membeli banyak saham dalam syarikat multinasional tembakau senaraian awam seperti British American Tobacco dan Japan Tobacco International Malaysia dan menggalakkan penanaman tembakau, dengan alasan ia diperlukan untuk membasmi kemiskinan. Pembelian saham ini oleh kerajaan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) melalui badan pelaburan yang dikawal oleh kerajaan termasuk dana pencen, perbadanan pelaburan kerajaan dan unit amanah kawalan kerajaan negeri.

Oleh sebab itu kami mengalu-alukan kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini bahawa kerajaan akan mendenda mereka yang ditangkap merokok atau memiliki rokok secara haram dalam usaha untuk mengurangkan permintaan terhadap rokok itu, yang akan membawa kepada berhentinya aktiviti penyeludupan dan perdagangan haram seperti itu.

Rokok yang diseludup berharga serendah RM2 bagi setiap kotak 20 batang, manakala rokok bebas cukai pula diseludup oleh sindiket dan dijual secara haram oleh peruncit yang tidak bertanggungjawab di seluruh negara dengan harga antara RM3.50 dan RM4 bagi satu kotak berisi 20 batang rokok. Penyangak peruncit ini pula tidak hanya menjual rokok yang diseludup tetapi mencabuli peraturan kerajaan yang menetapkan harga rokok minimum (MCP) RM7.

Rakyat Malaysia dilaporkan merokok “amat mengejutkan dengan sembilan bilion batang rokok haram setiap tahun” – dengan anggaran 4 daripada 10 rokok yang dihisap di negara ini adalah yang haram, menyebabkan kerajaan kehilangan hasil daripada cukai sehingga RM2 bilion.

Langkah Yang Perlu Diambil Oleh Kerajaan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengambil langkah yang serius memandangkan merokok telah mengancam individu dan kesihatan masyarakat. Langkah yang lebih konkrit mestilah dilakukan dalam dasar negara dan dilaksanakan dengan tegas untuk memerangi masalah penggunaan tembakau yang semakin berkembang.

1) Kurangkan Permintaan

- Jadikan harga rokok minimum yang lebih tinggi bagi rokok untuk memastikan perokok menghentikan tabiat mereka yang membazirkan wang itu. Harga runcit rokok berjenama premium perlu ditetapkan pada kadar yang lebih tinggi bagi kotak 20 batang, lebih tinggi berbanding harga semasa kira-kira RM10 sekotak. Harga premium rokok berjenama di United Kingdom ialah RM36.60, Ireland RM37.98, Singapura RM27.80, New Zealand RM27.20, Jepun RM10.60 dan Sri Lanka RM10.90.

- Menguatkuasakan pengharaman jualan rokok secara berasingan untuk memastikan peruncit tidak menjualnya.

- Menaikkan duti eksais ke atas produk tembakau dan meningkatkan penguatkuasaan untuk mencegah penyeludupan secara haram, barangan gelap atau rokok bebas cukai. Ini membantu untuk memastikan rokok tidak diperolehi dengan mudah oleh sebahagian besar penduduk.

- Hapuskan status bebas cukai bagi rokok dan produk tembakau yang dijual di lapangan terbang dan kedai bebas cukai.

- Hentikan penjualan rokok di atas kapal terbang Malaysia.

- Haramkan pameran rokok di kaunter bayaran setiap premis dan kedai runcit serta tempat tumpuan utama lain. Sebagai ganti, produk ini perlu dijauhkan daripada pandangan awam, contohnya di bawah kaunter bayaran, dan hanya dikeluarkan untuk dijual atas permintaan khusus pelanggan.

2) Melindungi daripada perokok pasif – melanjutkan pengharaman merokok meliputi semua tempat awam termasuk restoran, bar, taman dan kawasan rekreasi.

3) Memperkenalkan sistem pelesenan yang menghadkan bilangan dan lokasi premis yang dibenarkan untuk menjual produk tembakau. Lesen seharusnya tertakluk kepada pembaharuan setiap tahun.

4) Meningkatkan langkah menghapuskan penanaman tembakau, dan menjadikannya haram untuk menanam tembakau.

5) Meningkatkan dana kerajaan untuk pendidikan, kempen antimerokok, dan langkah untuk membantu perokok menghilangkan tabiat merokok mereka.

6) Melarang mengaitkan pendidikan, aktiviti sukan, biasiswa dengan syarikat dan produk tembakau.

7) Keazaman politik yang kuat dan melaksanakan dasar peraturan yang tegas untuk mengawal tabiat merokok di negara. Kerajaan perlu menghentikan menggunakan usaha menghapuskan kemiskinan dan perlindungan petani sebagai alasan untuk gagal mengambil tindakan tegas terhadap pengeluaran dan promosi tembakau.

8) Mengharamkan publisiti bagi produk tembakau dalam sebarang bentuk. Pemimpin kerajaan perlu menunjukkan contoh teladan dan melalui sokongan bagi mengurangkan perokok dan penyakit yang dikaitkan dengannya.

9) Hentikan sebarang bentuk tidak ketara daripada sokongan kerajaan untuk produk tembakau – pemimpin kerajaan negeri dan persekutuan mestilah menghentikan daripada memberikan sokongan kepada syarikat tembakau multinasional sebagai warga korporat yang baik, dengan itu memberikan mereka peluang untuk mengurangkan kesan terhadap dasar tembakau.

10) Sokongan media juga turut diperlukan untuk menghentikan aktiviti merokok – pihak media perlu meningkatkan liputan terhadap kesan negatif tembakau untuk meningkatkan kesedaran komuniti terhadap bahaya merokok dan menggalakkan mereka berhenti merokok.

Tembakau adalah penyebab penyakit utama yang boleh dicegah, kehilangan masa yang berharga dan kematian awal dalam kalangan rakyat Malaysia. Kami menggesa kerajaan supaya tidak lagi berada dalam konflik tetapi meletakkan kepentingan orang ramai mengatasi kepentingan industri.

S. M. Mohamed Idris

Presiden

Persatuan Pengguna Pulau Pinang

No. 10, Jalan Masjid Negeri,

11600 Pulau Pinang

Tel: 04-8299511 Faks: 04-8298109 emel: idris_md@streamyx.com


Qazaf: Mahasiswa mesti pegang pada prinsip
Mohd Eikhwan M Ali

Tulisan ini (sekadar yang termampu) bertujuan bagi memastikan mahasiswa jelas dengan apa sepatutnya yang dijadikan pegangan dalam berhadapan dengan isu tersebut. Maka saya seru agar tulisan ini dibaca dengan neraca kebenaran dan penilaian intelektual pemikiran mahasiswa.

[1] Perbuatan mencari-cari dan mendedahkan kesalahan dan keaiban seseorang adalah suatu perkara yang jelas larangannya di dalam al-Quran (Surah al-Hujrat, 49 : 12). Sebarang tindakan tersebut dalam apa jua bentuk mesti dijauhi dan ditentang supaya tidak menjadi budaya dalam masyarakat kita khususnya dikalangan umat Islam.

[2] Islam juga melarang ummatnya berprasangka (Surah al-Hujrat, 49 : 12). Larangan tersebut kerana prasangka mendatangkan bahaya dan menyusahkan ramai orang. Bagi mengelakkan wujudnya prasangka, maklumat-maklumat atau berita-berita tentang sesuatu perkara mestilah diambil daripada sumber yang benar dan beretika. Adapun sumber-sumber yang tidak memelihara etika dan sengaja mewujudkan persepsi negatif (sangkaan jahat), mestilah diboikot dan ditentang.

[3] Perbuatan fitnah dan menyebarkannya adalah suatu dosa di sisi Allah s.w.t. Orang yang membuat fitnah dan menyebarkan fitnah, kedua-duanya menerima azab seksa daripada Allah s.w.t. (Surah an-Nur, 24 : 11). Perbuatan meneruskan agenda fitnah dan penyebarannya adalah suatu perisytiharan terbuka terhadap perasaan tidak takut terhadap azab Allah s.w.t. Orang-orang sebegini mestilah dinasihati dan disekat daripada terus mendatangkan huru-hara dalam masyarakat.

[4] Sikap yang mesti dipegang oleh orang-orang yang beriman apabila berhadapan dengan berita fitnah ialah segera menafikan berita tersebut dan memberhentikan aliran penyebarannya (Surah an-Nur, 24 : 12, 16). Sikap ‘cakap-cakap kedai kopi’ dan membincangkannya secara terbuka (melaluli media cetak dan elektronk) hanya akan menggalakkan lagi penyebaran berita fitnah tersebut. Sudah pasti, cara tersebut adalah suatu perbuatan yang tercela dan membelakangkan cara yang ditentukan oleh Allah s.w.t.

[5] Bagi mendakwa seseorang melakukan zina (atau liwat) mestilah dengan mendatangkan 4 orang saksi (Surah an-Nur, 24 : 13) yang adil dan tidak fasik. Jika gagal mengemukakan saksi, orang yang dituduh bebas daripada sabitan kesalahan tersebut bahkan orang yang membuat pertuduhan akan (mesti) dihukum. Orang yang dituduh adalah tidak bersalah selagi tidak disabitkan kesalahan tersebut setelah dikemukakan 4 orang saksi dan mestilah diberikan haknya, dilayan sebagai orang yang tidak bersalah dan dibersihkan namanya.

[6] Bersumpah dengan nama Allah (Wallahi, Wabillahi, Watallahi) adalah bertujuan untuk membersihkan nama seseorang daripada sebarang tohmahan dan ia bukannya suatu kaedah untuk menuduh orang lain atau mensabitkan seseorang itu bersalah. Beerti sumpah adalah terletak pada orang yang dituduh bukannya pada orang yang menuduh. Sumpah tersebut pula mestilah dilakukan di dalam mahkamah dan dengan arahan daripada hakim. Sumpah yang dilakukan oleh orang yang mendakwa dan dilakukan di luar mahkamah adalah bukan daripada kaedah Islam.

[7] Kaedah yang paling tepat dalam menyelesaikan kemelut ini ialah dengan menurut kaedah Islam iaitu melalui hukum Qazaf. Kaedah-kaedah lain hanya akan memanjangkan dan mengkusutkan lagi kemelut ini serta menunjukkan sikap tidak ikhlas dan tidak bersungguh untuk menyelesaikan masalah tersebut bahkan seolah-olah ‘ada udang di sebalik batu’.

Mohd Eikhwan M Ali

Presiden Ma'ruf Club UIAM


Strategi Umno BN buli Cina, tipu Melayu
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 4 Mei: Buli Cina, tipu Melayu, itulah sahaja cara Umno BN untuk terus berkuasa, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Pada masa yang sama, parti itu juga terpaksa menjangkitkan wabak takut Cina ke dalam pemikiran orang-orang Melayu sebagai salah satu strategi utamanya untuk menipu orang-orang Melayu bagi memastikan ia terus berkuasa, kata beliau.

"Setelah menggunakan bermacam-macam cara untuk memeras ugut orang-orang Cina supaya menyokongnya, termasuk ancaman tidak ada lagi menteri dari kalangan kaum Cina jika kaum itu enggan mengundi Barisan Nasional (BN), sokongan orang-orang Cina terhadap parti itu tetap semakin pupus.

"Akibatnya, Umno hanya mengharapkan undi orang-orang Melayu sahaja. Untuk menghasut orang-orang Melayu supaya menyokongnya, parti itu terpaksa menyebarkan wabak fobia Cina dan fobia DAP.

"Itu taktik Yahudi Zionis yang digunakan oleh Amerika Syarikat yang menakut-nakutkan dunia dengan fobia Islamnya.

Tidak menghairankan jika Umno khususnya (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) menggunakan taktik yang sama kerana Yahudi Zionis di dalam Apco Worldwide adalah tempat beliau dan parti yang dikepalainya memohon petunjuk," kata beliau ketika menolak hasutan perkauman Najib terhadap PAS.

Dengan memainkan sentimen perkauman, Perdana Menteri mendakwa penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) hanya menguntungkan DAP.

Dengan harapan untuk memudahkan partinya memenangi pilihan raya umum akan datang, Presiden Umno itu kelihatan berharap sangat agar PAS keluar dari PR.

"PAS, cukuplah dalam pakatan pembangkang, alihlah kepada yang lain, tak masuk BN pun tak apa, tetapi keluarlah dari pakatan pembangkang," katanya ketika berucap di Kuala Terenganu Sabtu lalu.

Mahfuz menyifatkan hasutan perkauman Najib itu sebagai keluhan orang putus asa dan terdesak.

"Najib dan Umno sudah berputus asa dengan undi orang-orang Cina dan hanya mengharapkan sokongan orang Umno.

"Untuk memastikan Umno menang di kawasan-kawasan yang ditandinginya, racun perkauman digunakan habis-habisan untuk menghasut PAS supaya bersendirian dan bila ada pertandingan tiga penjuru di antara Umno, PAS dan PR, Najib menyangka mudahlah Umno memenangi kerusi-kerusi yang ditandinginya.

"Tidak perlu aktivis politik, budak berhingus pun boleh membaca muslihat yang sangat tidak cerdik itu. Apa boleh buat, setakat itu sahaja kemampuan dan kebolehan Perdana Menteri untuk berfikir bagi memastikan partinya terus berkuasa," kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengingatkan orang-orang Melayu agar tidak membiarkan Umno yang membawa wabak perkauman terus menipu mereka kerana jika dibiarkan, negara ini boleh terjerumus ke dalam kehancuran akibat rusuhan kaum.

"Keganasan strategi buli Cina, tipu Melayu tidak boleh terus dibiarkan.

"Jika dibiarkan dan Umno terus berkuasa, rusuhan kaum mungkin tercetus dan orang-orang Melayu pula akan terus rugi dan ketinggalan kerana parti perasuah tentulah lebih mengutamakan tuan-tuannya yang terdiri dari tauke-tauke yang selama ini menjadi rakan kongsinya, bukannya orang-orang Melayu yang tidak mampu mengenyangkan perasuah," katanya.

Beliau juga mengingatkan, orang-orang Melayu juga tidak boleh membiarkan Umno terus berkuasa untuk membuli orang-orang Cina.

"Jika dibiarkan, orang-orang Melayu juga akan terpalit dengan imej jahat itu. Orang-orang Melayu tidak boleh membiarkan Umno mempalitkan mereka dengan imej pembuli yang jahat dan gila bermusuh," kata Mahfuz.

Beliau bagaimanapun tidak nampak kemungkinan Umno akan menghentikan agenda buli Cina dan tipu Melayu itu kerana hanya itulah satu-satunya cara untuk membolehkan parti itu terus berkuasa.

"Umno nampaknya begitu selesa dengan strategi buli Cina, tipu Melayu itu," kata Mahfuz.


Lynas: Kerajaan digesa bersikap rasional, tegas

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Mei: Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa UM, Mohd Syahid Mohd Zaini menggesa kerajaan Malaysia bersikap lebih tegas dan mengambil tindakan yang lebih rasional terhadap projek pembinaan sebuah loji nuklear di Pahang.

“Bolehkah anda bayangkan penderitaan apabila cahaya mata yang dinanti-nantikan oleh keluarga, dilahirkan terencat akal dan cacat anggota?” soalnya.

Beliau turut menyatakan kerajaan perlu memikirkan jangka masa panjang sekiranya projek itu tetap akan dilaksanakan.

“Kerajaan wajib mempertimbangkanpro dan kontra projek kontroversi itu.

“Dan tidak perlu tergesa-gesa dalam menerima pelaburan yang membawa risiko besar kepada rakyat dan alam sekitar,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Mohd Syahid turut menyeru agar seluruh Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dan mahasiswa seluruhnya menyokong gerakan membantah ‘Projek Lynas’.

“Saya dengar sisa radioaktif yang akan dihasilkan nanti 10 kali lebih tinggi daripada kilang nadir bumi Asia di Bukit Merah, Perak yang ditutup 20 tahun lalu.

“Jadi, sisa radioaktif yang terhasil itu akan membawa nahas alam sekitar dan kesihatan kerana tahap radioaktif yang terhasil akan memberi kesan lebih buruk.

Mahasiswa harus bersama-sama membantah projek ini kerana ianya akan meninggalkan kesan lebih buruk untuk generasi akan datang kelak,” tegasnya lagi.

Projek memproses nadir bumi yang sedang dibina di Gebeng, Pahang oleh firma Australia, Lynas akan menghasilkan 20,000 tan sisa radioaktif setahun apabila beroperasi kelak.

Syarikat itu dipercayai telah melabur sekitar RM700 juta untuk membina loji Lynas Advanced Materials Plant (Lamp), dan dijangka projek itu akan disiapkan pada bulan September.


Hentikan kawalan akta yang ketinggalan zaman

Afiq Hizami, pelatih UKM

KUALA LUMPUR, 3 Mei: Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hatta Wahiri menyeru kerajaan Malaysia supaya menghentikan kawalan undang-undang yang ketinggalan zaman ke atas media di negara ini.

Akta-akta yang beliau maksudkan adalah akta mesin cetak, undang-undang fitnah, akta rahsia rasmi, ISA dan sebagainya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejatuhan indeks kebebasan media di negara ini apabila kedudukan Malaysia terus jatuh dari tangga ke 141 pada tahun 2010 kepada tangga 143 dalam indeks kebebasan media di seluruh dunia tahun ini.

Indeks ini keluarkan sempena Hari Kebebasan Media Sedunia yang jatuh pada 3 Mei setiap tahun di mana Malaysia kini berada di kedudukan ke 143 daripada 166 negara yang dikaji oleh Wartawan Tanpa Sempadan (Reporters Without Borders) hari ini.

Kedudukan ini menunjukkan indeks kebebasan media negara ini terus menjunam berbanding tahun lepas di mana Malaysia berada di kudukan ke 141 dunia.

Menurut Hata Wahari yang baru dipecat oleh Kumpulan Utusan kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang dikatakan mencemar imej syarikat milik Umno itu, kebebasan akhbar mula dibunuh oleh kerajaan apabila Umno memegang tampuk pemerintahan dan akhbar-akhbar Melayu berada di bawah penguasaannya.

Bagi Hatta, undang-undang ini perlu dimansuhkan kerana menyekat kebebasan wartawan untuk menyampaikan berita-berita yang benar.

Selain daripada itu, menurut beliau lagi, gambaran media tempatan dewasa ini lebih berbaur politik, seks dan fitnah ini memberi gambaran fenomena yang negatif yang berlaku dalam dunia media tempatan serta merendahkan kredibiliti wartawan tempatan.

Sementara itu, seorang ahli akademik di sebuah universiti tempatan berkata, fenomena yang berlaku dalam dunia media tempatan pada dewasa ini adalah tidak bebas dan lebih cenderung kepada kesendengan (condong) masing-masing.

Hal ini dapat dilihat akhbar-akhbar tempatan yang menjadi hak milik parti-parti politik tertentu di negara ini.

Oleh itu, sempena Hari Kebebasan Media Sedunia, beliau tidak percaya akan kebebasan yang ada dalam dunia media tempatan.

Kebanyakkan wartawan tidak boleh bebas menyuarakan pandangan kerana terikat dengan polisi atau kecenderungan politik di sesuatu organisasi akhbar tersebut.

Oleh itu, sikap kebergantungan wartawan menjadikan mereka seperti kerbau dicucukkan tali di hidung, katanya.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa dunia media tempatan adalah tidak adil kerana sesetengah akhbar terutamanya milik Umno hanya menjelaskan keburukan negeri di bawah pemerintahan parti pembangkang dan tidak melaporkan mengenai kemudahan atau kebaikan yang dilakukan oleh negeri-negeri tersebut.

Sempena Hari kebebasan Media Sedunia ini, bagi beliau, kebebasan bukannya bermaksud tiadabatasannya.

"Selagi kita terikat dengan etika hidup dan pegangan agama kita perlu tahu di mana harus kita letakkan kayu ukur kepada kebebasan tersebut.

"Sebagai seorang wartawan hendaklah sentiasa menyampaikan kebenaran, berani dan beretika serta bertanggungjawab dalam menjalankan tugas sebagai seorang wartawan," kata pensyarah yang enggan namanya disiarkan itu.


Hamil luar nikah, pelan ‘separuh siap’ Shahrizat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Mei: Peningkatan kes hamil luar nikah adalah bukti kegagalan penubuhan Sekolah Harapan, bukti ketidakcekapan badan organisasi Balkis dan terutamanya sebagai bukti perancangan dan pelan kerja ‘separuh siap’ Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Demikian kata Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin (gambar) sebagai respons kepada kenyataan Pengetua Rumah Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof berkenaan peningkatan kes hamil luar nikah terus berlaku saban hari adalah amat membimbangkan.

Saban tahun, katanya berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan untuk menangani masalah sosial begini, namun tiada perubahan constructive yang dapat dilihat.

Demi mengelakkan lebih banyak pembaziran dana dan wang rakyat berlaku, dan masalah itu dapat diatasi secara tuntas, beliau memohon agar kerajaan segera meneliti semula konsep dan matlamat penubuhan Sekolah Harapan, sehingga suatu kajian penyelesaian secara menyeluruh ke atas masalah sosial ini dapat dibuat.

Ini kerana, ujarnya peningkatan kes kehamilan luar nikah yang berlaku jelas telah membuktikan bahawa dengan penubuhan hanya satu sahaja Sekolah Harapan tidak akan mampu untuk menjadi penyelesai kepada masalah sosial sedia ada yang dihadapi di seluruh negeri.

“Saya melihat, peningkatan kes kehamilan luar nikah ini secara amat serius kerana ini akan menyebabkan bilangan golongan ibu muda juga semakin bertambah,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Ampang kepada Harakahdaily.

Menurutnya, adalah sesuatu yang amat merungsingkan kerana sehingga kini, kebajikan ibu muda sedia ada sendiri masih ditangguk enteng, apatah lagi dengan pertambahan yang hadir tentunya memberi lebih tekanan dan persaingan dalam komuniti teraniaya begini.

Baginya, bermula dari tekanan sebegini, maka tidak mustahil penglibatan aktiviti pelacuran oleh wanita muda sebegini terus meningkat dan sekaligus akan menggagalkan hasrat pemberdayaan dan pemerkasaan wanita yang diimpikan.

Katanya, kerajaan tidak seharusnya terus mengenepikan golongan ibu muda dalam pembangunan negara kerana konsep Victoria “good women” dan “bad women” yang menjadi kod amalan kerajaan adalah amat mendiskriminasi terhadap wanita dan suatu dasar yang adil buat semua wanita harus dilaksanakan segera.

Sambut Hari Pekerja tapi kena tangkap
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Mei: Suaram mengecam tindakan pihak polis yang mengganggu perhimpunan awam dan menangkap sekurang-kurangnya 21 orang termasuk empat remaja bawah 18 tahun sempena Hari Pekerja, 1 Mei lalu.

Penyelarasnya, Yap Heng Lung berkata, polis sekali lagi telah menjadi alat kepada kerajaan dalam menindas rakyat khususnya kaum buruh yang menyertai aktiviti perhimpunan Hari Pekerja.

Tambahnya, tangkapan sekurang-kurangnya 21 orang pada perhimpunan aman kali ini berbanding enam tangkapan pada tahun lepas menunjukkan kebiadaban pihak polis.

Katanya, ia juga menunjukkan bahawa tiada inisiatif diambil oleh polis bagi memperbaiki imejnya yang sering digambarkan sebagai ‘ganas’ dan ‘tidak berperikemanusiaan’.

“Ia merupakan satu pencabulan hak asasi manusia secara terbuka dan sangat memalukan,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau menambah, pihak polis telah menafikan hak rakyat untuk berkumpul dan berhimpun secara aman seperti yang termaktub di bawah artikel ke-10 Perlembagaan Persekutuan.

Di samping itu, ujarnya ia juga secara langsung telah melanggar hak asasi manusia bawah Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR).

Tambahnya, tindakan pihak polis, khususnya dari unit cawangan khas yang tidak menggunakan pakaian beruniform dan melakukan tangkapan adalah sesuatu yang tidak profesional dan memalukan.

Menurutnya lagi, penggunaan elemen-elemen ugutan terhadap orang ramai di sekitar kawasan Chow Kit di mana perhimpunan awal diadakan sebelum berpindah ke sekitar Maju Junction juga sesuatu yang biadab.

Katanya, tindakan pihak polis yang memberi amaran dan menakut-nakutkan orang ramai supaya tidak berada di kawasan perhimpunan merupakan satu tindakan yang tidak seharusnya berlaku di kawasan umum.

“Tindakan pihak polis yang mengarahkan sekumpulan pemuda berbaju kemeja-T merah untuk membuka baju di depan khalayak umum merupakan satu tindakan tidak profesional dan tidak bertamadun,” katanya.

Katanya, keengganan pihak polis bagi menunjukkan kad kuasa juga sesuatu tindakan yang menunjukkan keangkuhan mereka.

Tambahnya, tindakan polis menahan ahli kumpulan jawantankuasa yang memakai baju putih dengan perkataan merah tanpa sebarang alasan di sekitar pasaraya Sogo di Jalan Sultan Ismail juga sesuatu yang menjengkelkan.

Suaram juga, ujarnya mengutuk tindakan pihak polis yang cuba mengaitkan salah seorang ahli jawatankuasa perhimpunan yang juga salah seorang tahanan iaitu saudara Arutchelven dengan satu kes kecurian pada tempoh 15 tahun lalu.

Menurutnya, Akta Polis Sekyen (27) yang memberi kuasa mutlak kepada pihak polis untuk mengeluarkan permit perhimpunan awam jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menambah, laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005 mendedahkan ketidakcekapan polis dalam menguruskan hal ehwal berkenaan permit perhimpunan awam.

“Kebiasaannya, polis tidak akan memberi permit kepada aktiviti-aktiviti yang mengkritik atau bercanggah dengan kerajaan Barisan Nasional malahan mereka adalah alat ‘penjamin keluaran permit’ untuk semua aktiviti kerajaaan pemerintah dan untuk mengukuhkan kuasa hegemoni Barisan Nasional,” ujarnya.

Beliau berkata, Suaram akan meneruskan usaha menuntut kerajaan melakukan penggubalan Akta Polis terutama Seksyen 27 yang mudah untuk disalahgunakan oleh pihak polis dan kami juga menuntut untuk penerapan unsur-unsur hak asasi dalam kepolisian negara serta penubuhan Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC) dengan segera.

“Hari Pekerja disambut di setiap negara di seluruh pelosok dunia, namun pencabulan hak asasi manusia, khususnya pekerja dan tangkapan hanya berlaku di negara ini.

“Di mana imej negara kita sebagai salah sebuah negara ahli dalam Majlis Hak Asasi Manusia di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu?” soalnya.


Tiada ulasan: