Khamis, 5 Mei 2011

AKHIR ZAMAN....HAQ DIKATAKAN BATIL...BATIL DIKATAKAN HAQ...PI MENGAJI ISLAM TAK NAK..DAH NGAJI KEJAR DUNIA...

Sumpah dipermain, rumah Allah diperalat
Muhayat Jasmin

SUNGAI PETANI, 4 Mei: "Sumpah dipermainkan, rumah Allah diperalatkan. Ayat dan kitab suci Al Quran hanya diambil sebahagian dari sebahagian untuk kepentingan individu yang boleh menyesatkan umat Islam," kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Samsudin (gambar).

Katanya, isu yang cuba dibawa oleh Datuk Eskay Shazryl Abdullah semasa melafazkan sumpah di Masjid Amru Al-As baru-baru ini termasuk dalam hukum qazaf dan bukannya mubahalah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pandangan dalam 'Forum Sumpah Laknat' yang telah diadakan di Masjid Al Barakah, Tikam Batu, di sini bersama-sama dengan Yang Dipertua Abim Kedah, Ustaz Hafiz Mustafa Lubis dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Hamid, semalam.

Menurutnya, isu yang ditimbulkan sekarang ini tidak langsung memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Islam sebelum ia dilaksanakan.

Antaranya, kata beliau ialah ikhlas niat kerana Allah semata-mata, berilmu serta diadakan perbahasan terlebih dahulu.

"Yang membuat tuntutan itu perlulah orang yang soleh dan bukannya ahli maksiat, mesti dilakukan selepas adanya hujah-hujah yang tepat dikemukakan serta adanya kepentingan untuk agama Islam," ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan mantan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia turut berkata, isu ini jelas memaparkan ianya mempunyai kepentingan politik yang boleh merosakkan moral masyarakat dan juga negara.

"Rujuklah kepada Al Quran sebagai pedoman. Jangan gunakan akal sebagai sandaran yang boleh menyesatkan kita di dunia dan juga akhirat.

"Pihak kerajaan harus terlibat secara langsung bagi menegakkan hukum Islam yang menjadi tuntutan, kerana keengganan untuk melaksanakan hukuman tersebut membawa kepada padah seperti mana yang berlaku sekarang ini.


Umno ajak PAS nikah
Subky Abdul Latif

PAS diajak rujuk semula oleh UMNO.

Setelah menjalani tempoh berkasih selepas 13 Mei 1969, UMNO yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tun Razak meminang PAS dan diijab kabulkan melalui Pilihan raya Umum tahun 1974. Maka PAS menjadi salah satu isteri UMNO yang ramai dalam keluarga Barisan Nasional.

Menjelang pilihan raya umum 1978 UMNO mencari jalan menceraikannya dan mereka pun berpisah.

Dalam pilihan raya 2008 PAS berkasih dengan DAP dan PKR. Setelah berkongsi hidup tanpa nikah dalam tahun 2008 itu di Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan maka PAS diijab kabulkan dengan DAP dan PKR dalam perkongsian hidup Pakatan Rakyat.

Dalam tahun 2011 yang mungkin gila talak dan cukup dengan isterinya yang banyak itu mahu rujuk semula dengan PAS. Disuruhnya PAS bercerai dengan DAP dan PKR. Lepas itu kahwin semula dengan UMNO.

Kalau cerai dulu talak satu dan dua, mereka boleh rujuk apa ada persetujuan. Kalau cerai talak tiga, PAS kena berlaki lain dulu sebelum boleh nikah semula dengan UMNO. Syarat kawin semula itu sudah ada kerana PAS sudah berlaki lain.

Jika ia cerai dengan DAP dan PKR, setelah cukup idah, ia boleh nikah semula dengan UMNO.

UMNO lamar semula PAS itu supaya PAS terus perjuangkan Islam sebagai yang dicita-citakan sejak pembentukannya.

Sangka UMNO atau persepsi UMNO, cita-cita itu tidak mungkin diteruskan kerana DAP tak mahu kepada Islam. Walau pun DAP dikata begitu, tetapi mereka sudah nikah. DAP tidak syaratkan buang cita-cita Islam untuk nikah dengannya. Nikah dulu dan mereka boleh bincang dalam kelambu.

Nikah yang mula-mula dulu UMNO janji nak ikut Islam macam janji semua bukan Islam yang hendak nikah dengan orang Islam. Walau pun UMNO itu berbaju Islam, orang Islamlah ertinya, tetapi ia berjanji pada PAS macam orang bukan Islam buat sebelum mereka dinikahkan dengan orang Islam.

Adakah ia tunai janji itu? Ia buatlah sikit-sikit. Tetapi ia macam suami yang culas. Kerana PAS yang jadi isteri desak jangan jadi laki yang culas, ia cari jalan ceraikan PAS.

Sekarang ia ajak PAS nikah semula kerana DAP pada persepsinya tidak akan setuju dengan perjuangan Islam. Tetapi adakah UMNO lebih baik dari DAP dalam melaksanakan Islam secara syumul?

Solat berjamaah itu UMNO sentiasa ada. DAP langsung tidak ada. Puasa pula tidak diketahui ia culas. DAP memang tak puasa.

Di Madinah dulu orang-orang Abdulah bin Ubai dulu solat di belakang Nabi. Di depan Nabi mereka mengaku jadi orang Islam yang setia. Di belakang Nabi mereka bagi orang yang menentang Nabi, mereka berpura-pura saja Islam. Mereka inilah dinamakan munafiq.

Abdullah bin Ubai beri sokongan penuh kepada Nabi untuk bersama dalam perang Uhud. Tengah jalan mereka pulang balik ke Madinah.

Sejak zaman Nabi orang mengaku Islam jenis ini sudah ada dan hinggalah hari ini ia tetap ada.

Orang jenis ini tidak teragak-agak mengaku melaksanakan Islam sama seperti yang dinyatakan oleh Abdullah bin Ubai kepada Rasulullah SAW. Tetapi mereka tinggalkan Uhud sebelum tiba ke Uhud.

Oleh kerana PAS sudah pernah nikah dengan UMNO, maka ia boleh mendakwa akan kesungguhan UMNO dalam ssegala tindak tanduknya termasuklah dalam pelaksanaan Islam.

Ia kata DAP tidak akan bantu PAS dalam kerja-kerja Islam, tetapi apakah UMNO dalam hal ini lebih baik dari DAP? Baiknya cuma ia solat bila orang solat.

UMNO setuju untuk nikah semula dengan PAS kerana PAS nikah dengan DAP. Kalau PAS tidak nikah dengan DAP adakah ia akan ajak jandanya nikah semula.

UMNO tidak pernah menyatakan ia menyesal bercerai dengan PAS. Setengah suami yang terlanjur menceraikan isterinya, selalunya mereka segera menyatakan penyesalan bercerai itu. Cepat-cepat ia berusaha rujuk dan minta maaf atas kejadian itu.

Tetapi UMNO tidak pernah menyesal. Ia hanya kata ia sedih PAS tidak mahu berbaik dengannya tetapi memilih untuk berbaik dengan DAP. Tetapi UMNO tidak pernah mengaku bersalah menyebabkan PAS bercerai dengannya.

PAS tidak dilihat seperti orang gila talak, tetapi yang pura-pura gila talak ialah UMNO yang dipimpin Najib.

Dr Juanda jangan gopoh
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Mei: PAS terkejut dengan kenyataan Dr Juanda Jaya, Mufti Perlis yang mengatakan siapa yang menghalang penyatuan PAS dan Umno adalah pengkhianat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) menasihatkan Sahibussamahah itu jangan terlalu gopoh memberi pandangan mengenai perkara itu.

Perlu diingatkan, katanya sebarang pandangan yang keluar daripada orang agama ia mempunyai implikasi yang besar kepada orang awam.

Beliau berkata, sepatutnya sebagai seorang mufti perlu berpegang kepada disiplin untuk mengeluarkan sebarang kenyataan, antaranya ialah perlu memahami tasawwur (gambaran sebenar) perkara yang hendak dihukum, barulah ia mendapat natijah yang betul.

“PAS bimbang kenyataan ini akan diperalatkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, terutama Umno yang akan menjaja pandangan ini bahawa Umno hendak kepada perpaduan, yang tidak mahu kepada perpaduan ialah PAS, sehingga rakyat nampak PAS jahat, manakala Umno baik,” ujarnya kepada Harakahdaily.

PAS, jelasnya tegas dengan prinsip bahawa penyatuan yang tidak berlandaskan kepada prinsip Islam, seperti bersatu dengan parti yang jelas mengkhianati amanah rakyat selama mereka memegang tampuk kuasa 54 tahun.

Katanya, ketika bercakap soal perpaduan Melayu dalam masa yang sama tabiat jahat tidak pernah dibuang, seperti diskriminasi pada Kelantan mengenai tuntutan royalti minyak.

“PAS menasihat kepada Sahibussamahah supaya menggunakan platform Mufti untuk menasihat pemimpin Umno BN supaya kembali kepada penghayatan agama dan laksanakan amanah dengan baik.

“Tegur mereka supaya tidak zalim kepada rakyat yang berlainan ideologi,” ujarnya.

Tanah mendap tidak perlu dipolitik
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Mei: Tanah mendap yang berlaku berdekatan Kampung Baru, di sini tidak perlu dipolitikkan kerana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat kajian lanjut mengenainya.

Selepas kejadian, ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali ditohmah kerana dikatakan tidak berbuat apa-apa mengenai masalah tanah mendap.

(Gambar: Dr Lo' Lo' meninjau kerja-kerja menimbus kawasan tanah mendap sebelum ini.)

“Perkara yang patut kita semua tahu bahawa tanah mendap hendaklah diperbaiki dan bukannya boleh dilaungkan dengan kata-kata.

“Saya telah berada di kawasan tanah jerlus sejak hari kedua kejadian,” katanya.

Pada hari pertama semasa banjir, beliau kurang sihat tetapi wakilnya telah sama-sama mengharung air banjir.

Mengenai isu tanah jerlus, katanya JPS sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap aliran air di bawah tanah telah mengambil tindakan yang betul dengan melantik kontraktor di bawah AP 55 (Arahan Perbendaharaan 55) bagi kerja-kerja segera (darurat) untuk memasukkan sand bag atau geo bagi menambak kawasan mendapan bagi mengelakkan ia terus terhakis, mendap dan menjejaskan struktur dan kestabilan bawah tanah.

Beliau mendapati semalam, 4 Mei kawasan terbabit terus mengalami mendapan kerana terdapat pergerakan di bawah tanah walaupun kawasan tersebut telah dipenuhi dengan sand bag yang yang diperkuatkan dengan geogrid oleh kontraktor terbabit.

Menurut sumber JPS yang beliau hubungi, mereka akan memadatkan kawasan tanah jerlus tersebut dengan tambahan sandbag geogrid.

“Pada pandangan awal saya, mendapan terbaru ini perlu dikaji oleh pihak JPS kerana ia dibimbangi akan merebak ke kawasan lain memandangkan faktor cuaca hujan lebat yang kerap sejak akhir-akhir ini,” ujarnya.

Menurutnya, memandangkan sand bag adalah hanya merupakan temporary works sahaja suatu tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak JPS bagi menyiasat dengan lebih terperinci.

Dr Lo’ Lo’ juga ingin menarik perhatian pihak JPS bahawa seperti yang pernah beliau sebut sebelum ini agar mengambil tindakan menggantikan brick manhole yang terletak di kawasan mendapan semalam digantikan segera dengan precast manhole bagi mengelakkan ia runtuh akibat mendapan dan lateral force di luar jangkaan.

“Saya berharap semua pihak mengambil perhatian mengenai perkara ini dan bukan hanya mempolitikkan bantuan sumbangan kepada mangsa melalui Yayasan Wilayah Persekutuan tetapi turut dihadiri oleh Ketua Umno Bahagian Titiwangsa,” ujarnya.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, sepatutnya bantuan oleh sebuah yayasan tidak dipolitikan dan mencari merit politik dengan kesusahan yang dihadapai oleh mereka yang terlibat.

Siapa Pengkhianat Islam?
Nasrudin Hassan at Tantawi
1. Mereka yang menghalang penyatuan UMNO dan PAS digelar pengkhianat Islam oleh Mufti Perlis. Sekilas pandang, siapa jua yang menghalang usaha penyatuan adalah pengkhianat. Justeru penyatuan secara asasnya adalah suci malah dituntut. Tiada siapa yang mahu berpecah dan berpisah tanpa sebarang sebab atau alasan yang kukuh. Tetapi apabila bercakap soal penyatuan antara PAS dan UMNO, saya sarankan sohibus samahah Mufti Perlis mengkaji terlebih dahulu secara mendalam dan teliti.

2. Antara PAS dan UMNO jangan hanya dilihat pada bangsa dan warna kulit semata - mata lalu disogok agenda penyatuan bangsa melayu. Sebaliknya perlu dilihat bagaimana pula sikap kedua - dua parti melayu itu [PAS dan UMNO] terhadap Islam. Sikap terhadap Islam dan bagaimana mereka menanggapi Islam adalah kayu ukur yang paling penting untuk bercakap soal penyatuan antara kedua parti ini.

3. Sungguhpun Islam menggalakkan malah menyuruh supaya ummatnya bersatu padu, namun Islam meletakkan syarat serta garis panduan yang jelas bagaimana penyatuan itu wajar dilakukan atau sebaliknya. Antaranya Firman Allah yang bermaksud :

Wahai orang - orang yang beriman, bertaqwalah kamu dengan sebenar - benar taqwa dan jangan kamu mati melainkan kamu tunduk menyerah diri kepada Allah swt. dan berpegang teguhlah kamu dengan Tali Allah dan jangan sekali - kali kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika dulunya kamu saling bermusuhan maka Allah telah menyatukan hati - hati kamu, lalu dengan nikmat Allah itu kamu bersaudara sedang kamu telah berada di jurang api neraka, lantas Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah dijelaskan oleh Allah kepada kamu ayat - ayatNya, mudah - mudahan kamu beroleh petunjuk.

Surah Aali Imran 103

4. Ayat di atas jelas meletakkan syarat utama untuk tidak berpecah belah ialah berpegang teguh dengan Tali Allah iaitu Al Quran atau Al Islam bukan bangsa atau warna kulit jauh sekali harta benda, pengaruh dan pangkat. Lantaran penyatuan manusia adalah melibatkan penyatuan hati dan hati tidak boleh dijinakkan dengan harta benda dunia. Firman Allah swt yang bermaksud :

Dialah [Allah] yang telah menyatukan antara hati - hati mereka. sekiranya engkau membelanjakan keseluruhan apa yang ada di atas muka bumi ini, nescaya engkau tidak boleh menyatukan hati - hati mereka akan tetapi Allah swt telah menyatukan antara mereka sesungguhnya Ia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Surah al Anfaal 63

5. Islam adalah asas penyatuan. Tanpa Islam bagaimana mungkin penyatuan itu boleh direalisasikan. Sementara kebajikan dan taqwa pula menjadi objektif utama kepada penyatuan yang dianjurkan oleh syariah. Firman Allah swt yang bermaksud :

dan bertolong bantulah kamu dalam perkara yang membawa kepada kebajikan dan taqwa dan jangan kamu bertolong bantu dalam perkara yang mengundang dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah swt sesungguhnya balasan Allah sangat dahsyat.

Surah al Maaidah 2

6. Ayat di atas pula bukan sahaja menyuruh kita bertolong bantu, bekerja sama dan bersatu padu untuk melakukan amal kebajikan dan bertaqwa kepada Allah [ dengan melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah swt dan meninggalkan apa jua yang telah dilarang oleh Allah swt.] tetapi nas di atas juga melarang sebarang kerjasama dan penyatuan yang menumbuhkan bibit dosa serta menyuburkan permusuhan sesama ummat manusia.

7. Penyatuan antara PAS dan UMNO mesti disokong malah wajib diusahakan jika ianya berteraskan Islam dan berobjektifkan taqwa kepada Allah swt. Pengusahanya dijulang dan penyokongnya dialu - alukan. Sementara penentangnya adalah jahat dan pengkhianat.

8. Sebaliknya penyatuan antara PAS dan UMNO tidak boleh dilaksanakan jika ianya tidak diasaskan kepada Islam dan pula berobjektifkan dosa kepada Allah swt. Pengusahanya dilarang dan penyokongnya pula sia - sia. Sementara penentangnya pula adalah hebat dan berwibawa.

9. Bahkan kerjasama yang disertai PAS bersama Pakatan Rakyat adalah kerana Islam dan ianya dilandaskan di atas konsep Tahaaluf Siasi [kerjasama politik] untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional guna menamatkan siri penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kezaliman, penindasan yang dilakukan oleh Barisan Nasional sejak lebih 50 tahun yang lalu.

10. Tanpa perlu membuang masa lagi, saya mengundang UMNO meninggalkan Barisan Nasional dan meninggalkan segala perbuatan mungkar demi masa depan agama, rakyat dan negara. Ayuh kita bersatu dan bersama dengan Pakatan Rakyat untuk membina masa depan dan peradaban baru yang lebih dinamis, jauh dari pengaruh mungkar yang dimurkai oleh Allah swt. Pengusaha yang gigih untuk menamatkan siri keangkuhan kuasa dan sombong dengan dosa yang dilakukan oleh mereka adalah pejuang sementara Penentang usaha inilah pengkhianat Islam !


Murnikan Perjuangan dan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

MCA penentang Islam sebenar - Pejabat MB Kelantan
Harakahdaily

KOTA BHARU, 4 Mei: Semua pihak diminta mengkaji pendirian politik MCA yang menjadi kawan Umno sejak sekian lama sebelum mempertikaikan hubungan antara PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Ini kerana, kenyataan-kenyataan dari pimpinan MCA terbukti menentang Islam berbanding dengan DAP, kata Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Fadhli Shaari (gambar kanan).

Pegawai Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu mengulas laporan muka depan lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia hari ini yang melaporkan kenyataan Mufti Perlis kononnya siapa yang menentang perpaduan antara Umno dan PAS adalah pengkhianat Islam.

"Mufti Perlis seharusnya memberikan komen apakah hukum kerjasama di antara Umno dengan MCA apabila Presiden MCA menyatakan dengan jelas bahawa mereka boleh menerima kehadiran PAS di dalam BN tetapi dengan syarat PAS menggugurkan agenda perjuangan negara Islam," katanya.

Begitu juga dengan cadangan MCA untuk menyaman kerajaan negeri Kelantan sekiranya terus menguatkuasakan undang-undang menghalang premis judi beroperasi, apakah hukumnya Umno selaku rakan kongsi MCA dalam Barisan Nasional membisu seribu bahasa?

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek mempermainkan tindakan calon PAS dalam pilihan raya kecil Tenang, Normala Sudirman, yang enggan bersalam dengan bukan muhrimnya tanpa memakai sarong tangan.

Beliau juga berkata, apa gunanya beliau memahami kehendak Islam dalam isu ini.

Bagi pegawai Nik Aziz itu, PAS mempunyai hujjah yang jelas kenapa parti Islam itu berkawan dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

"Persoalannya, bagaimanakah PAS boleh bekerjasama dengan DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat? Hakikatnya DAP dan PKR tidak menolak prinsip Islam yang dibawa oleh PAS dan tidak mendesak supaya PAS menggugurkan dasar perjuangannya selama ini," katanya.

PAS dan DAP

Sebelum ini, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefli Ahmad (gambar kanan) ketika berhujjah dalam isu ini berkata, "MCA menolak PAS daripada menyertai BN jika PAS kekal dengan dasar perjuangan Islam. Najib jemput, Soi Lek tolak!"

"Tapi, DAP tidak pernah sesekali meminta PAS untuk menggugurkan negara Islam, ia cuma bukan agenda bersama Pakatan Rakyat,” tulis Dzulkefly di laman Twitternya, yang secara langsung ingin memberitahu Najib bahawa MCA adalah jauh lebih teruk daripada DAP dalam hal yang berkaitan dengan Islam.

Dzulkefly juga menyifatkan drama antara Najib dan Chua hanyalah sebagai satu percubaan untuk memberikan lesen kepada kedua-dua pihak untuk memburukkan kaum Tionghua, PAS dan Islam, semua pada masa yang sama, tapi kepada hadirin berlainan.

“Chua tengah memberikan Umno lesen untuk memburukkan kaum Tionghua, dan Umno memberikan lesen kepada Chua untuk membusukkan PAS dan Islam. Satu gabungan yang sesat!” kata Dzulkefly.

“Chua selalu didedahkan oleh Umno bahawa PAS sentiasa berpendirian untuk sebuah negara teokratis dan otokratik. Aduh, betapa ianya jauh menyimpang daripada kebenaran!” kata Dzulkefly.

Hari ini, Utusan menyiarkan kenyataan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya yang dilaporkan berkata mana-mana pihak yang menentang penyatuan di antara Umno dan PAS ialah pengkhianat kerana al-Quran sendiri telah memerintahkan supaya umat Islam bersatu dan Islam perlu ditegakkan.

"Dengan bersangka baik kepada Sohibus Samahah Mufti Perlis, saya menganggap kenyataan tersebut separuh masak atau sengaja dilaporkan separuh masak untuk meletakkan persepsi bahawa Mufti Perlis menghentam pihak-pihak tertentu khususnya di dalam PAS yang menentang penyatuan PAS dan Umno," tulis Fadli dalam kenyataannya.

Katanya, perlu diingat, PAS melalui pemimpinnya termasuklah Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat telah berkali-kali menyatakan bahawa penyatuan di antara PAS dengan Umno boleh berlaku bila-bila masa dengan syarat Umno mengubah dasar kepada Islam.

Kenyataan ini pernah disiarkan dalam sebuah media Rabu 14 Julai 2010 yang lepas.

Sekiranya seseorang itu dianggap Islam melalui syahadahnya, maka syahadah sesebuah pertubuhan ialah perlembagaannya. Adakah UMNO telah bersyahadah di dalam perlembagaannya?, soal Fadli.

Justeru, beliau berharap agar Mufti Perlis dapat mengemukakan pelan cadangannya secara terperinci agar dapat difahami dengan jelas letak duduknya kenyataan beliau.

"Hakikatnya, PAS tidak pernah meletakkan ke tepi agenda perpaduan umat Islam tetapi perlulah diletakkan Islam sebagai dasar terlebih dahulu," katanya.

Tiada ulasan: