Isnin, 16 Julai 2012

NAK BERITAHU IA YANG MENGURUSKAN AIR...IA TAK INGATKAH,DULU BEKALAN AIR SELANGOR...SWASTA JADI SYABAS...PALSU SATU HAL..MUTU BAGAIMANA..DULU STP/HSC BARU BOLEH MASUK UNIVERSITI...SEKARANG SPM SAJA...SEBAB DULU BANYAK HSC/STP LINGKUP

Muhyiddin: Tahun ini masa paling baik adakan PRU13
10:49AM Jul 16 2012
Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan pandangannya bahawa pilihan raya umum ke-13 (PRU13) tidak akan diadakan tahun depan memandangkan tahun ini merupakan masa yang sesuai untuk mengadakannya.

"Saya tak fikir ia akan berlarut sehingga tahun depan tahun 2013, wallahua'lam. Tetapi itu terpulang kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Tapi saya bagi tahu, saya kata yang paling baik adalah tahun inilah.
 
"Sekarang sudah hendak masuk bulan puasa (Ramadan). Ada orang tanya apakah bulan puasa nak diadakan pilihan raya? Saya kata apa salahnya. Bulan raya (Aidilfitri), apa salahnya. Selepas itu sambutan Hari Kebangsaan (31 Ogos), apa salahnya. Masuk September (sambutan) Hari Malaysia. Bila dah sampai waktu, maka jadilah ia (pilihan raya)," katanya.

Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Batu di ibunegara semalam.

Turut hadir ialah Ketua Umno Bahagian Batu Datuk Yahaya Mat Ghani dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Syed Ali Alhabshee.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan bahagian Umno yang bermasalah dalam bulan Ramadan ini.
  
Muhyiddin berkata jumlah bahagian yang bermasalah tidak banyak, dan berharap sesi pertemuan itu kelak dapat diguna
dengan sebaik mungkin untuk memperingatkan semua anggota parti peri pentingnya mengelak perkara yang boleh melemahkan parti.

Beliau berkata sekiranya terdapat masalah di mana-mana bahagian, semua pihak dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi perlu bersama-sama mencari penyelesaian bagi memastikan ia dapat diselesaikan secara baik.
  
Ini sekaligus memastikan kemenangan parti pada pilihan raya umum akan datang, katanya.

Muhyiddin berkata beliau sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang "saya mahu memanggil mana-mana bahagian bermasalah dan duduk berbincang dan bercakap terus terang."

"Kita ada 220 kawasan Parlimen dan kita tahu kedudukan tiap-tiap satu. Sedikit sebanyak masalah dalam bahagian itu, biasalah," katanya.

Beliau berkata bagi setiap kawasan yang ditandingi, baik di peringkat Parlimen mahupun negeri, adalah penting untuk mengembalikan kuasa Barisan Nasional (BN) yang telah hilang dalam pilihan raya umum lepas.
  
Beliau tidak mahu apa yang berlaku pada pilihan raya umum lepas berulang kembali, iaitu apabila kekalahan BN adalah kerana faktor sabotaj atau 'cah keting' anggota Umno sendiri, dan bukannya kerana kekuatan parti pembangkang,
  
Muhyiddin turut menyarankan pemimpin parti komponen BN untuk turut mengenal pasti kehendak dan masalah yang dihadapi oleh pengundi bukan Melayu supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.

- Bernama
Pelbagai masalah Melayu kerana 'temperamental'

  • Rizal Abd Rahman
  • 11:06AM Jul 16 2012
ULASAN Dua belas tahun sebelum saya dilahirkan, Tan Sri Sanusi Junid, seorang tokoh Melayu yang lebih 20 tahun menjawat pelbagai jawatan dalam kepimpinan negara pernah menyebut dalam salah satu ucapannya ketika merasmikan simposium Melayu di Universiti Malaya.

Katanya, bangsa Melayu mempunyai pelbagai masalah yang diwarisi kerana budaya 'temperamental'.

sanusi junid 050608Dalam ucapan perasmian tersebut, beliau menyebut bagaimana budaya temperamental, iaitu budaya suka kepada hal bermusim, menjadi kemungkinan alasan bangsa Melayu ini gemar menjadi nelayan di pantai Timur kerana adanya musim tengkujuh.

Tetapi tidak di Pantai Barat yang cuaca hampir sama sepanjang tahun; gemar menanam padi yang hanya menuntut mereka bekerja menuai dua kali setahun tetapi tidak menanam sayur yang harus dijaga pada setiap waktu.

Melayu juga meminati politik disebabkan ia datang lima tahun sekali tetapi tidak di bidang ekonomi yang harus diawasi sepanjang masa.

Suka perkara yang bermusim ini juga menjadi antara sebab pelbagai masalah tidak dapat diselesaikan secara tuntas oleh orang Melayu. Belum satu masalah selesai, masalah lain datang dan masalah lama dilupakan sahaja. Masalah akhirnya bertimbun, diwarisi dari generasi ke generasi.

Berpuak-puak di luar musim


Hari ini ketika hampir 30 tahun selepas Sanusi mengulas masalah tersebut, budaya temperamental ini masih saja diwarisi dan masalah yang timbul tidak banyak yang dapat diselesaikan.

Sebagai contoh, orang Melayu hari ini masih saja mudah dimainkan dengan masalah yang datang bermusim seperti fitnah rambang sehingga mereka lebih memilih untuk mempercayai tuduhan daripada proses mencari tahu kebenaran.

Kemudian mereka melupakan saja cerita tersebut kerana mula dibelengu dengan masalah lain yang sengaja ditimbulkan.

Orang Melayu juga memilih untuk bersatu hanya pada musim-musim tertentu sahaja. Sejarah Malaysia membuktikan penyatuan orang Melayu awalnya terjadi bila hak mereka tergugat semasa Malayan Union diperkenalkan, maruah mereka dihina apabila terdapat orang kencing di depan rumah menteri besar Melayu pada Mei 1969.

Juga apabila mereka berasa terancam semasa orang lain mengusik tentang keistimewaan mereka yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

Di luar musim atau masalah yang dihadapi, mereka lebih memilih untuk duduk secara berpuak-puak. Tidak hairanlah walaupun satu bangsa, Melayu selalu saja iri hati antara satu sama lain, selalu menuduh satu orang lebih Melayu dari yang lain bahkan gamak menunjuk siapa masuk syurga dan siapa tidak berdasarkan puak mereka.

Sifat temperamental ini juga tidak mengenal usia. Pada anak-anak muda Melayu, mereka tidak bersatu di universiti dalam pembelajaran mereka tetapi memilih bersatu bila ada orang mengaku ingin memansuhkan hutang mereka.

Kunci pendidikan & kepimpinan

Sifat temperamental yang lebih umum di kalangan anak Melayu juga berkaitan cara mereka menelaah pembelajaran yang berbeza dengan anak bangsa lain. Anak Melayu gemar belajar mengikut musim, yakni belajar hanya apabila dekat dengan musim-musim peperiksaan sahaja.

Profesor Diraja Ungku Aziz, seorang tokoh pendidikan Malaysia dalam tulisannya mengulas bahawa kerana terperangkap secara tidak langsung dari kesan jajahan Barat, bangsa Melayu susah bahkan tidak sanggup untuk berubah dengan sendirinya.

Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka juga tidak suka memikirkan sesuatu secara mendalam. Bangsa Melayu hanya boleh berubah dengan kunci pendidikan dan kepimpinan yang baik.

Memilih pemimpin yang tegas dan fokus bekerja di kalangan orang Melayu adalah penting jika benar-benar mahu menyelesaikan masalah-masalah yang ada.

Pemimpin terpilih mestilah pemimpin masyarakat yang berjiwa rakyat, tidak hanya modal pandai bercakap dan popular tetapi mereka yang benar-benar mahu menyelesaikan masalah Melayu.

Pemimpin ini juga mesti jujur dan bebas dari sifat 'temperamental' dalam memimpin, iaitu mampu memimpin dengan baik pada sepanjang masa, bukan pada waktu ingin menyelesaikan masalah peribadi atau menjelang musim pilihan raya mahu pun mesyuarat pemilihan jawatan dalam organisasi mereka sahaja.


RIZAL ABD RAHMAN aktivis mahasiswa Malaysia di Jakarta. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Ijazah palsu: Lahir graduan palsu
Wartawan Sinar Harian
16 Julai 2012
Lahir graduan palsu
Ijazah Palsu
Ijazah palsu: Lahir graduan palsu
Kronologi kes
SUATU ketika dulu, negara kecoh dengan lambakan gelaran Datuk palsu. Tetapi kemudian senyap dan kini muncul kudis berbahaya yang melibatkan profesionalisme. Kes ijazah palsu bukan sesuatu baru didengar, apabila sebelum itu terdapat nama-nama individu hebat di negara ini yang didakwa menggunakan sijil palsu.

Terbaru, kita dikejutkan dengan sindiket pemalsuan ijazah Universiti Sains Malaysia (USM) dan masyarakat benar-benar tidak menyangka mengenai kewujudan jenayah seumpama itu memandangkan ia berkaitan akademik.

Bayangkan dua wanita berusia 24 dan 25 tahun serta seorang lelaki berusia 26 tahun dipercayai menawarkan setiap ijazah USM dengan harga RM4,888 menerusi satu laman web khas dan dikatakan menipu lebih 20 orang sejak menjalankan kegiatan itu tiga bulan lalu.

Menurut polis, modus operandi sindiket ialah dengan mengiklankan tawaran sijil ijazah dari USM serta boleh dimasukkan ke dalam pangkalan data universiti berkenaan menerusi sebuah laman web.

Berdasarkan siasatan, anggota sindiket meminta pembeli untuk memasukkan wang ke dalam akaun yang dimiliki oleh individu tertentu dan mereka juga tidak melayan pelanggan menerusi talian telefon.

Mudahnya. Tetapi itu kegiatan yang dibongkar. Apakah logik jika kita memikirkan mungkinkah segelintir individu terdiri ahli politik, ahli perniagaan, pakar motivasi, ahli akademik, penulis, perunding pelaburan dan insurans yang nampak hebat itu sebenarnya menggunakan ijazah palsu. Termasuk rakan di sebelah kita.

Benarkah, sindiket membeli ijazah terutama PhD melalui internet sudah menjadi trend baru? Mudahnya memperoleh ijazah dengan hanya melalui talian. Bayar dan cetak. Masalahnya, apabila masuk ke alam pekerjaan, bagaimanakah kualiti perkhidmatan yang mampu diberikan. Apakah pula hak majikan?  Bagaimana hendak periksa sijil yang sudah ada cop 'disahkan oleh' ?

Ironinya, jika kegiatan ini tidak dibanteras atau dibiarkan merebak, maka bayangkan negara yang sedang membangun pesat ini mempunyai ilmuwan palsu dan plastik serta ‘ graduan’ yang bersepah setaraf sampah sarap. Jika kegiatan menjual pangkat palsu didorong oleh sindrom gelaran daripada mentaliti feudalisme, bagaimana sindiket ijazah palsu. Jenayah apakah ini?

Apa kata kementerian?

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi melalui kenyataan Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengkaji ciri keselamatan pengeluaran ijazah yang diguna pakai di negara lain bagi menangani kegiatan penjualan ijazah palsu seperti yang didalangi sindiket menggunakan Universiti Sains Malaysia (USM).

Ini memandangkan pengeluaran sijil ijazah oleh setiap universiti di negara ini tidak sama.

Misalnya sijil yang dikeluarkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah berbeza dengan Universiti Sains Malaysia (USM).

Respons USM

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) memandang serius kejadian yang menimpa universiti berkenaan. Naib Canselornya, Prof. Datuk Omar Osman mengatakan, USM telah mengambil tindakan mengetatkan ciri-ciri keselamatan skrol ijazah yang lama menerusi proses keselamatan ketat dan mengandungi ciri-ciri keselamatan serta nombor siri khas.

Tambahan itu, USM bersedia membantu sekiranya ada pihak yang ragu-ragu terhadap ijazah yang dikeluarkan.

Prof. Omar mengesahkan tiada kakitangan USM terlibat dalam kegiatan tersebut memandangkan segala maklumat mengenai lulusan universiti itu disimpan rapi termasuk di bilik kebal.

Salah seorang daripada tiga suspek yang disyaki terlibat ialah bekas pelajar USM `sementara dua lagi ialah orang luar.
'Langat 2 tiada kaitan krisis air'
JANATUL FIRDAUS YAACOB
16 Julai 2012
'Langat 2 tiada kaitan krisis air'
XAVIER
SHAH ALAM – Projek pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) tiada kaitan dengan krisis air yang didakwa berlaku di negeri ini.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr A Xavier Jayakumar berkata, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sengaja mengeluarkan kenyataan krisis bekalan air telah bermula dengan tujuan menakutkan rakyat.

Menurutnya, kenyataan Syabas itu seolah-olah mendesak Kerajaan Negeri segera meluluskan pembinaan Langat 2 kerana dijangka akan menyebabkan berlakunya krisis air 2014.

“Tanpa kelulusan Langat 2, krisis air tetap akan berlaku dan pihak Syabas sepatutnya bertanggung jawab menangani situasi ini bukannya Kerajaan Negeri seperti didakwa.

“Syabas pengedar air tunggal di Selangor dan mempunyai monopoli mutlak untuk mengagihkan dan membekalkan air. Oleh itu, Syabas perlu menangani krisis air berkenaan bukannya Kerajaan Negeri," katanya.

Menurutnya, terdapat unsur kronisme yang cuba diketengahkan dalam isu ini dan tindakan tidak bertanggungjawab Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang mencadangkan Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan Langat 2 terlebih dahulu dan kenaikan tarif air dibincang kemudian.

“Kita sebagai Kerajaan Negeri bertanggungjawab kepada rakyat Selangor. Mengapa bazirkan RM8.65 bilion dana awam dan benarkan potensi kenaikan tarif sehingga 70 peratus? Apabila paras air di tujuh empangan penuh dan melimpah,"  katanya.

Beliau berkata, antara isu yang diabaikan ialah, hampir 30 peratus daripada air terawat dibuang dikenali air bukan hasil, seterusnya, penolakan Syabas dan Puncak Niaga memindahkan semua aset kepada Kerajaan Negeri dan keengganan Fah Kui menggunakan kuasa menteri ambil alih kawalan aset air daripada syarikat konsesi.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan berhubung kemungkinan catuan air pada bulan Ramadhan, Xavier berkata, syarikat itu perlu bertanggungjawab dan memaklumkan kepada Kerajaan Negeri keadaan sebenar mengenai perkara ini.

“Kerajaan Negeri akan tubuh pasukan gerakan, terdiri daripada agensi-agensi berkaitan untuk segera menangani masalah ini," katanya.

Kes amuk: Adik orang kanan Khalil direman
NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
16 Julai 2012
Amuk di JPM
Amuk di JPM
SHAH ALAM – Adik lelaki kepada Muhdalina Ahmad dirakamkan percakapan bagi membantu siasatan berhubung kejadian amuk di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, keterangan lelaki itu diambil kelmarin.

“Siasatan kes itu masih dijalankan. Kita akan panggil sesiapa sahaja yang boleh membantu siasatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Razak berkata, kertas siasatan itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, lima individu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kejadian amuk terbabit.

Individu itu antaranya, suami Muhdalina, isteri Khalil Afandi Abd Hamid dan seorang pemblog .

Dalam kejadian itu, polis terpaksa melepaskan tembakan setelah Khalil Afandi dan Muhdalina mengamuk dengan bersenjatakan pedang samurai.

Tembakan itu menyebabkan Khalil Afandi Abd Hamid maut ketika dirawat di Hospital Putrajaya, manakala Muhdalina cedera di paha kanan.
Polis kenalpasti dua suspek halang SPRM serbu lombong
8:55AM Jul 16 2012
Polis Kelantan mengenal pasti dua daripada lapan lelaki yang disyaki mengganggu tugas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika membuat serbuan ke sebuah lombong emas haram di Sungai Emas, Felda Perasu, Gua Musang, Khamis lepas.
  
Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata suspek berusia alam lingkungan 30-an dan akan ditangkap pada bila-bila masa bagi membantu siasatan kes itu.
  
Beliau berkata mereka adalah antara individu yang dikatakan menahan sebuah kereta dipandu pegawai SPRM dari ibu pejabat Putrajaya dalam operasi mencegah kegiatan lombong haram di kawasan itu.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (memiliki senjata maut dalam rusuhan), katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kem Kendiri Kesedaran Jenayah anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kelantan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Kelantan di Kota Bharu semalam.

Dalam operasi itu, pegawai SPRM menahan tiga jengkaut, dua pam air, sebuah kereta Perodua Kembara dan dua Toyota Hilux di kawasan perlombongan selain menahan beberapa suspek yang menjalankan kerja melombong.

"Kelapan-lapan suspek yang menaiki empat buah motosikal dan bersenjatakan benda tajam, menahan pegawai berkenaan dan mengugut untuk memukulnya jika tidak menyerahkan rakan mereka yang ditahan penjawat awam terbabit," katanya.
  
Jalaluddin berkata kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati dengan tindakan pihak SPRM menahan beberapa pekerja lombong emas haram dan menyita jentera serta peralatan perlombongan di kawasan itu.
  
Beliau berkata ekoran kejadian itu, empat laporan polis dibuat oleh pihak SPRM yang akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (mengugut), Seksyen 324 (mendatangkan kecederaan), Seksyen 353 (menghalang penjawat awam) dan Seksyen 427 (khianat) kanun sama.
  
Sebelum ini, akhbar melaporkan sepasukan pegawai dari ibu pejabat SPRM menyerbu sebuah kawasan perlombongan haram di Felda Perasu dan merampas peralatan yang digunakan sindiket lombong haram itu, Khamis lepas.
  
Semalam, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui pihaknya menyedari wujudnya kegiatan itu, tetapi ia dijalankan secara kecil-kecilan.
- Bernama

Presiden MCA bangga dengan skandal seks

By klpost - Fri Jul 06, 12:57 pm

KUALA LUMPUR: Rentetan dari dua tuduhan palsu serentak oleh MCA terhadap kerajaan Selangor dan Pulau Pinang, kedua-duanya pimpinan Pakatan Rakyat, Pemuda DAP hari ini mengutuk tindakan kotor tersebut dengan menyifatkannya sebagai satu konspirasi politik.
Merujuk kepada fitnah yang dilemparkan, Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Anthony Loke berkata, Pengerusi MCA Melaka Gan Tian Loo telah menyalah guna imuniti yang ada di Dewan Undangan Negeri Melaka dengan mengeluarkan pertuduhan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew.
“Lim Guan Eng telah mencabar beliau untuk mengulangi pertuduhannya di luar Dewan Undangan Negeri tetapi sehingga sekarang beliau dan MCA gagal untuk melakukannya.
“Ini menunjukkan beliau tidak berani untuk mengulangi pertuduhannya kerana tidak mempunyai sebarang pukti terhadap tuduhannya.
“Sekali lagi kami mencabar beliau sekiranya beliau serius terhadap pertuduhannya, sila ulangi pertuduhan tersebut di luar supaya Lim Guan Eng dan Betty Chew boleh mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, sekiranya gagal mengulangi pertuduhan tersebut, Gan Tain Loo akan dilihat oleh semua pihak sebagai seorang ahli politik yang bacul dan pembohong.
Bagi Loke, semua dakwaan ini telah diatur kerana telah timbul persoalan bagaimana sesetengah stesen televisyen dan akhbar (TV3 dan Utusan Malaysia) telah diberi hak istimewa yang luar biasa untuk masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri untuk merakamkan keseluruhan prosiding.
Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah turut menjawab kenyataan Presiden MCA Chua Soi Lek yang menyarankan Guan Eng untuk mengikuti jejak beliau untuk meletak jawatan.
“Situasi yang dihadapi Lim Guan Eng tidak sama seperti beliau. Tidak ada video (lucah) Lim Guan Eng pun. Jangan samakan diri anda dengan Lim Guan Eng,” katanya merujuk kepada skandal video lucah Chua yang melakukan hubungan seks dengan seorang waniat ayng bukan isterinya.
“Beliau (Chua) kelihatan sangat bangga dengan skandal seksnya. Dia meletakkan dirinya sebagai mempunyai keberanian dan moral politik,” tambah Loke.
Beliau menjelaskan, MCA yang semakin ditolak oleh masyarakat Cina telah mencipta fitnah itu kerana terpalit dengan pelbagai skandal kewangan seperti PKFZ dan penyalahgunaan kuasa serta gagal menepati janji untuk mengumumkan keputusan ke atas isu sekolah Kuantan Chinese Independent School.
“Mungkin sebab mereka gagal menyelesaikan masalah ini, mereka terpaksa mengalihkan perhatian masyarakat dengan melancarkan dua pertuduhan ini serentak,” katanya.
Isu Kuantan Chinese Independent School merupakan antara isu yang panas dibincangkan di kalangan masyarakat Cina, malah pada dua minggu lalu MCA telah mengulangi akan menyelesaikan masalah sekolah terbabit. Tetapi sehingga kini dilaporkan masih belum berjaya diselesaikan.
Di Selangor, MCA juga telah membuat tuduhan palsu kononnya kerajaan negeri Selangor menyalahgunakan wang RM1 bilion tanpa mengemukakan sebarang bukti yang kukuh.  - Harakah Daily

MCA akan Keluar dari Barisan Nasional

By klpost - Wed Jul 04, 11:23 pm
Sekali lagi, Persatuan Cina Malaysia (MCA) mengugut akan meninggalkan perikatan Barisan Nasional (BN) sekiranya Umno membenarkan usul seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengenai pelaksanaan hukum hudud di Johor ke atas semua bangsa.
‘Bapa borek anak rintik’ begitulah yang sesuai diperkatakan apabila kali ini ugutan tersebut keluar dari mulut anak Presiden MCA Datuk Chua Tee Yong
“MCA sangat jelas. Kami telah nyatakan dengan jelas bahawa jika hudud dilaksanakan, kami akan keluar daripada BN,” kata pengerusi Biro Karyawan Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong
Bahkan, Datuk Chua memperlekehkan kenyataan pemimpin Umno Johor yang mengusulkan perlaksanaan Hudud itu, sebagai tidak penting dan menyatakan ia hanyalah ulasan seorang Adun Umno, “bukan perdana menteri atau timbalannya”.
“Kenyataan yang penting ialah kenyataan yang dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan (Mursyidul Am) Nik Abdul Aziz (Nik Mat)…, mereka telah menyatakan sokongan mereka terhadap hukum hudud berulang kali,” kata Datuk Chua.
Sebelum ini Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, pernah mengugut Umno akan mengambil tindakan yang sama seperti kenyataan anaknya.
Pada kali ini, Chua Soi Lek sekali lagi menyatakan bahawa partinya tidak akan bersetuju sebarang cubaan melaksanakan hukum hudud terhadap individu bukan Islam setelah usul Encik Ayub itu didedahkan.
“Adun Umno Johor itu telah kehabisan idea dan tidak waras kerana mengusulkan hudud di Johor, termasuk terhadap bukan Islam. MCA tentu akan membantah,” kata Dr Datuk Seri Chua melalui akaun laman rangkaian sosial, Twitter, beliau.
Ayub Rahmat ADUN Kemelah, membuat saranan itu semasa sidang perhimpunan Dewan Perundangan Johor pada 20 Jun lalu.
Beliau berkata beliau akan membantu golongan bukan Islam memahami pelaksanaan undang-undang hudud, sambil menuduh PAS gagal berbuat demikian.
Ayub Rahmat turut berkata beliau berharap dapat melihat negeri Johor menjadi negeri yang pertama melaksanakan hukum hudud sebenar, yang menurut beliau berbeza daripada undang-undang hudud yang ditafsir Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Menurut Encik Ayub, interpretasinya mengenai hukum hudud tidak akan membezakan sesiapa sahaja kerana penganut semua agama di Johor akan dikenakan hukuman yang sama. – Buletin Online

Perempuan biadap?

By SK - Sat May 19, 5:53 pm


Penulis penuh kontroversi, Irshad Manji menolak fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang melarang umat Islam negara ini menyertai demonstrasi seperti himpunan BERSIH pada 28 April lalu.
Beliau berpandangan fatwa adalah pandangan ulama semata-mata dan ia bukan perintah Tuhan yang termaktub dalam Al-Quran.
“Keluarkan seberapa banyak fatwa yang anda (mufti) mahu tetapi fatwa anda atau pun anda (mufti) sendiri tiada pengiktirafan Tuhan,” kata Irshad.
Awal bulan ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan umat Islam diharamkan menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.
Fatwa yang dikeluarkan seminggu selepas himpunan BERSIH itu dilihat sesetengah pihak sebagai dipengaruhi agenda politik tertentu.
Meneruskan wawancara, pensyarah di New York University (NYU) itu turut mengkritik keras golongan ulama hari ini yang disifatkannya cuba berlagak seperti Tuhan dan mahu penganut Islam menurut perintah mereka tanpa penilaian kritis.
“Anda bukan Tuhan. Hanya ada satu Tuhan dan kerja itu masih belum ada kekosongan,” kata Irshad sinis.
Cabar doktrinisasi tanpa penilaian kritis
Beliau sebaliknya menggesa umat Islam kembali kepada Al-Quran yang menuntut penganutnya berfikir sebagai satu wadah untuk meningkatkan keimanan.
“Jika lebih ramai orang Islam faham beza di antara ulama dan Allah, kita akan mengizinkan diri kita melaksanakan perkara yang dianjurkan Al-Quran iaitu berfikir untuk diri sendiri bagi meningkatkan keimanan kita,” katanya yang percaya Al-Quran sebagai sumber rujukan tunggal untuk umat Islam.
Irshad dikenali sebagai penulis yang mencabar pemikiran Islam yang diindoktrinasikan tanpa sebarang penilaian kritis.
Kehadirannya di Malaysia adalah untuk mempromosikan buku terbarunya, Allah, Liberty and Love yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan akan berada di pasaran tidak lama lagi.
Bukunya sebelum ini, The Trouble with Islam Today: A Muslim’s Call for Reform in Her Faith diharamkan di Malaysia selepas lapan tahun berada di pasaran.-GIG

Gadis seksi berbikini di tawar RM300 untuk 10 minit

By klpost - Mon Jun 25, 10:42 pm

KUALA LUMPUR – Hajat empat gadis Melayu untuk meraih bayaran RM300 setiap seorang bagi mempersembahkan tarian bikini di sebuah kelab malam di Jalan Doraisamy di sini semalam berakhir dengan mereka dicekup Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Ketika serbuan pada pukul 12 tengah malam, empat penari yang berketurunan Melayu dan beragama Islam berusia 18 hingga 22 tahun itu bersedia untuk menari dengan berpakaian bikini di atas pentas di kelab itu.
Ketua penari yang dikenali sebagai Baby, 22, berkata, mereka sampai ke kelab malam tersebut pada pukul 10.30 malam selepas menerima tawaran mempersembahkan tarian di kelab itu, seperti di lapurkan dalam KOSMO.
“Kami akan menari secara bebas selama 10 minit dengan pakaian bikini dan setiap seorang akan dibayar RM300.
“Ketika menari, kami tidak membenarkan pelanggan menyentuh atau melakukan perkara tidak senonoh terhadap kami,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dakwa Baby, sebelum ini mereka telah banyak menerima jemputan mengadakan tarian di kelab malam ini tetapi terkejut kerana kali ini, kami diminta berpakaian seksi ketika mengadakan persembahan.
(Gambar untuk ilustrasi sahaja)

Makcik 61 Tahun menunggang motorsikal sejauh 260 km untuk hadir ke Himpunan Oren Selamatkan Felda

By klpost - Sun Jul 15, 9:54 pm
Kerana tidak sanggup lagi melihat penipuan dan kepapaan yang berlaku di dalam Felda, seorang makcik 61 tahun sanggup menunggang motorsikal sejauh 260 km untuk hadir ke Himpunan Oren Selamatkan Felda di sini semalam.
Kesungguhan dan kecekalan Salmiah Mat Jali dari Felda Ijok, di Larut, Perak itu mendapat perhatian peserta di himpunan depan Istana Negara. Lebih lagi apabila Salmiah memberitahu dia melakukan perjalanan itu seorang diri.
“Dari Larut sehingga ke sini adalah dalam 260 kilometer. Makcik bertolak sejak awal pagi-pagi lagi,” ujar Salmiah yang hadir pada himpunan yang bermula sekitar jam 1 tengahari semalam.
Ketika ditanya adakah beliau risau untuk merempuhi perjalanan yang agak jauh seorang diri, Salmiah berkata:
“Makcik dah biasa dah.” Beliau berhenti di dua kawasan Rehat dan Rawat (R & R) di Lebuhraya Utara-Selatan untuk berehat semasa perjalanannya.
Ketika diwawancara, Salmiah masih lagi memakai topi keledarnya dengan bertudung warna oren.
Menurut Salmiah, beliau sanggup turun ke perhimpunan itu semata-mata menyatakan sokongan padunya kepada himpunan yang mahu campurtangan Yang Dipertuan Agong bagi membatalkan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).
Kemuncak perhimpunan itu adalah serahan memorandum yang digubal Gabungan NGO Gerakan Selamatkan Felda (GSF) kepada pegawai Yang Di-Pertuan Agong.
Salmiah berkata, ketidakadilan agihan saham FGVH kepada peneroka berbanding pelabur adalah antara sebab yang mencetuskan kemarahannya sehingga sanggup datang daripada jauh untuk himpunan tersebut.
“Saham yang mereka beri kepada warga Felda terlalu kecil, jumlahnya 800 unit. Sedangkan ada pimpinan Umno yang memperolehi saham yang besar.” -selangorku

Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dipecat kerana beliau tidak layak memegang tampuk tertinggi Felda

By klpost - Mon Jul 16, 10:09 am
KUALA TERENGGANU – Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsan Peringkat Negeri Terengganu mendakwa Perhimpunan Oren ‘Selamatkan Felda’ yang diadakan di masjid Wilayah Persekutuan Sabtu lalu telah berjaya mencapai sasaran.
Pengerusinya, Cikgu Shalahuddin Jaafar berkata, apa yang paling penting adalah penyerahan memorandum rakyat kepada Yang DiPertua Agong.
“AlhamduliLlah, perhimpunan berjaya mencapai sasaran dan yang paling penting Memo Rakyat telah berjaya di serahkan kepada Yang DiPertuan Agong,
“seluruh anak-anak peneroka Felda dan warga Felda, khususnya di negeri Terengganu menjunjung kasih Yang DiPertuan Agong dan kita berdoa tanah-tanah Felda dapat diselamatkan,”ujarnya ketika ditemui ditemui selepas Himpunan Oren di masjid Wilayah Persekutuan, pada Sabtu 15 Julai.
Menurutnya, sembilan puluh peratus tanah di rancangan tanah Felda adalah milik orang-orang Melayu, Islam dan sebahagiannya adalah tanah rezab orang-orang Melayu.
Katanya, penyenaraian Felda Global Venture Holding yang melibatkan tanah-tanah Felda menyebabkan risiko kehilangan tanah terbabit, bahkan tindakan tersebut adalah menggadai tanah air.
Sehubungan itu, beliau menggesa Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dipecat kerana beliau tidak layak memegang tampuk tertinggi Felda kerana jenayah yang dilakukan.
“(Tan Sri) Isa Samad tidak boleh dipercayai sebagai Pengerusi felda kerana rekod rasuah dalam pemilihan Presiden Umno, beliau telah menggadai pula tanah air dengan menyenaraikan Felda,
“dia (Isa Samad) mesti dipecat segera, (kerana) langkah penyenaraian Felda adalah satu pengkhianatan kepada peneroka,”tegasnya yang juga Timbalan Yang diPertua PAS Besut.
Akibatnya, kata beliau, Felda kehilangan hasil kerana mengadai tanah Felda Plantation dan beliau optimis, kebajikan para peneroka akan terabai.
Beliau menyeru rakyat khususnya warga Felda agar menolak Umno dan Barisan Nasional pada pilihanraya akan datang kerana pengkhianatan Umno terhadap warga Felda dan orang Melayu.
“Hasil Felda berkurang kerana tanah Felda Plantation telah digadai, pendapatan peneroka akan kurang, tanah (seluas) 360,000 ekar sepatutnya (dapat) dibahagikan kepada generasi kedua dan ketiga Felda,
“warga Felda dan orang melayu tidak lagi selamat, apa-apa boleh berlaku (kerana penyenaraian Felda) menyebabkan sebahagian hasil terpaksa dibahagi kepada orang asing, termasuk plabur dari Yahudi dan Israil, ini pengkhianatan Umno- BN yang tidak boleh dimaafkan,”tambahnya

Pelukan pertama, terakhir
SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
16 Julai 2012
Kemalangan: Seorang ibu tidak sangka anak keempat maut
Pegawai penyiasat memeriksa mayat Muhammad Firdaus.
Kemalangan: Seorang ibu tidak sangka anak keempat maut
Orang ramai dan anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Melaka.
BANDARAYA MELAKA - Seorang ibu tidak menyangka pelukan pertama daripada anak lelakinya, adalah pelukan terakhir yang diterima apabila anak keempatnya itu maut dalam kemalangan, awal pagi, semalam.

Lebih menyayat hati, Zubaidah Ghani, 47, terpaksa menerima hakikat hilang dua anak sekali gus, selepas anak keduanya, Mohd Hafis, 28, meninggal dunia akibat kanser usus genap sebulan lalu.

Ibu anak enam itu yang masih terkejut berkata, dia bagaimanapun reda dengan kehilangan Muhammad Firdaus Md Said, 19, yang maut di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ) Peringgit, di sini.

Zubaidah berkata, sebelum kejadian, Muhammad Firdaus yang dipanggil Acik juga berkelakuan pelik apabila membalut tubuh dengan selimut milik arwah Mohd Hafis di rumah mereka di Bukit Meta, Telok Mas.

“Selama ini, Muhammad Firdaus tidak pernah peluk saya. Dia yang bersikap periang selalunya hanya mencuit- cuit saya tetapi semalam (kelmarin), dia yang baru balik kerja sebagai penghantar surat terus memeluk saya dari belakang.

"Apabila ditanya kenapa, dia tidak menjawab, hanya sekadar ketawa,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Melaka.


Guna selimut arwah abang

Menurutnya, petang semalam (kelmarin) anaknya itu duduk di sofa sambil berselubung menggunakan selimut milik arwah abangnya.

"Saya yang pelik dengan sikapnya bertanya adakah dia buang tabiat berselimut siang hari tetapi dia menjawab sejuk.

"Saya hanya mengetahui kejadian ini selepas seorang rakan anak datang ke rumah mahu bertemu Mohd Rezuan kira-kira jam 3 pagi semalam dan memaklumkan Acik terlibat kemalangan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, Muhammad Firdaus yang menunggang Yamaha 125Z dari arah Jasin ke Alor Gajah maut selepas bertembung dengan sebuah Proton Saga Aeroback dari arah bertentangan.

Kereta yang terbabas memasuki laluan bersebelahan itu juga mengakibatkan penumpang kereta terbabit, Abdul Rahup Yusof, 19, yang tersepit maut di tempat kejadian, manakala pemandu, Noh Hamrizal Ahmad, 21, cedera di muka.

Seorang lagi penunggang Yamaha LC, Khairul Bismi Romli berusia belasan tahun yang datang dari arah sama  dengan Muhammad Firdaus cedera di kaki  akibat rempuhan berkenaan.


Naik bot sama-sama

Sementa ra itu, abang ipar Abdul Rahup, Mohd Fairuz Md Daud, 27, berkata, mereka berdua sempat menaiki bot bersama-sama petang kelmarin untuk pulang ke rumah selepas waktu bekerja di jeti sebuah syarikat cari gali minyak tempatan.

“Kami bekerja di syarikat sama tetapi jabatan berlainan. Sudah dua minggu kami tidak balik bersama tetapi petang semalam (kelmarin) dia jemput saya di jeti dan menghantar saya ke darat sebelum dia meneruskan perjalanan bot ke Dataran 1Malaysia, Klebang kerana dia meletakkan kenderaannya di sana,” katanya.

Menurutnya, Abdul Rahup yang baru bekerja sebagai krew bot sejak dua bulan lalu sempat memberitahu ibunya, Rapaha Wahab, 45, sebelum keluar dari rumah di Kampung Pulau, Durian Tunggal, dekat sini.

“Apabila menyedari Abdul Rahup belum pulang, ibu cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi dijawab seorang anggota polis dan memaklumkan dia terlibat kemalangan.

“Saya kemudian menghubungi telefon adik ipar sekali lagi dan polis memaklumkan dia telah meninggal dunia," katanya.


Kereta terbabas rempuh dua motosikal

Sementa ra itu, menurut sumber, kereta dipandu Noh Hamrizal dari arah lampu isyarat Melaka Sentral/ Peringgit hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh dua  motosikal.

“Akibat pertembungan itu, Abdul Rahup tersepit di tempat duduk hadapan dan Muhammad Firdaus terjatuh dari motosikal. Kedua-duanya maut di tempat kejadian akibat parah seluruh anggota badan.

“Sementara Noh Hamrizal yang mengalami kecederaan teruk di muka dan Khairul Bismi patah kaki serta mengadu sakit dada dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Seorang saksi, Mohd Rizal Baba, 23, pula berkata, sebelum kejadian, dia yang berada di kawasan berhampiran melihat sebuah kereta Proton Waja berhenti dan membuka pintu di laluan tengah jalan raya menghala Jasin.

“Kereta Proton Saga yang datang dari belakang cuba mengelak kereta terbabit sebelum terbabas ke kanan dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh dua motosikal yang menghala Alor Gajah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat ditemui di lombong Puchong
10:50AM Jul 16 2012
Satu mayat lelaki ditemui terapung di lombong berhampiran kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Puchong, dekat Kuala Lumpur, pada kira-kira 7 malam ini.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata mayat lelaki berumur lingkungan 30-an itu ditemui berpakaian, dipercayai telah mati kira-kira dua hari lepas berdasarkan keadaan perut mangsa yang sudah kembung.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa tidak dicederakan atau mempunyai kesan diikat, dan polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu mati akibat terjatuh ke dalam lombong semasa berjoging.

"Buat masa ini, kita tidak jumpa dompet serta kad pengenalan mangsa. Kita masih menyiasat sama ada mangsa warga tempatan atau asing," katanya ketika dihubungi malam ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

- Bernama

Tiada ulasan: