Mesyuarat jawatankuasa PAS kawasan Pendang yang memutuskan untuk menawarkan kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu untuk bertanding kerusi Parlimen berkenaan dalam pilihan raya umum akan datang tidak disenangi pemimpin tertentu di negeri itu.

NONEBagaimanapun, menurut sumber-sumber yang rapat dengan PAS Pendang, mereka gagal memujuk PAS kawasan itu supaya menukarkan keputusan tersebut, dengan mengekalkan penyandangnya Dr Hayati Othman, yang dicalonkan kawasan tersebut untuk bertanding DUN Tokai.
Sumber yang rapat dengan PAS kawasan Pendang berkata, Dr Hayati diuar-uarkan sebagai calon menteri besar jika Pakatan Rakyat mengekalkan pentadbirannya di Kedah.

Menurut sumber itu lagi, mereka juga mahu DUN Tokai kekal untuk Exco negeri, Datuk Mohamad Taulan Rasul yang juga yang dipertua PAS kawasan Pendang. Desas-desus sebelum ini menyatakan Mohamad Taulan tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum.

tenang by election nomination day pas and bn supporters 220110 marching with flagsSumber PAS Pendang pula berkata keputusan memilih Mohamad bertanding di Pendang disokong oleh majoriti daripada 157 cawangan dalam kawasan tersebut. Kerusi Parlimen Pendang pernah diwakili mantan presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Bagaimanapun, sumber PAS Pendang itu mendakwa usaha untuk 'menggagalkan' peluang Mohamad Sabu bertanding di kerusi Parlimen Pendang itu dikatakan "terhenti" apabila PAS kawasan tersebut sekali lagi memutuskan dengan menegaskan mereka tetap dengan keputusan memilih timbalan presiden PAS tersebut.

Menurut sumber itu lagi, perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat jawatankuasa PAS kawasan susulan wujudnya satu 'surat' yang didakwanya memohon kepimpinan PAS kawasan bersetuju bagi mengekalkan Dr Hayati dan Mohamad Taulan untuk pertimbangan Pusat.

pakatan pokok sena ceramah 140112 mat sabuBagaimanapun, sumber berkenaan berkata pihaknya enggan memanjangkan isu berhubung kandungan surat tersebut, apatah lagi ia dilakukan tanpa merujuk kepada kawasan terlebih dahulu.

"Kami tak ambil berat pun. Kami tak mahu timbulkan (isu) pasal surat ini. Kita masih berpegang dengan keputusan kita. Dengan surat ini (pun), tidak tergugat keputusan asal kami," katanya.

Malah, sumber turut menjelaskan bahawa kawasan itu tidak mengetahui pihak yang bertanggungjawab menyediakan surat itu.

Sumber yang rapat dengan PAS Pendang pula mendakwa, usaha golongan terbabit untuk mencantas Mohamad - selain menimbulkan banyak persoalan - turut dikaitkan oleh pihak-pihak tertentu dalam PAS negeri dengan peranan yang dimainkan oleh Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN).

Bagaimanapun, pemimpin PAS Kedah yang tidak mahu namanya disebut pula enggan mengulas lanjut berhubung isu tersebut, sebaliknya menegaskan kepimpinan PAS Kedah "tidak menolak" Mohamad.

NONE"PAS Kedah tak menolak Abang Mat," katanya ketika menghubungi Malaysiakini, Jumaat lalu.

Malaysiakini juga dimaklumkan ada di kalangan penyokong Mohamad pula tidak senang kerana mendakwa JPN sedang rancak mengatur senarai calon PAS yang bakal bertanding di negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut mereka, bidang tugas JPN memang berkaitan dengan pengurusan jentera pilihan raya tetapi bukan hingga ke peringkat menentukan calon, kerana itu adalah tugas badan perhubungan negeri.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri Senator Mohd Yusof Husin enggan mengulas dakwaan bahawa badan itu mencantas Mohamad dan mengatur calon untuk bertanding di negeri itu.

Mengulas berhubung prestasi Dr Hayati di parlimen itu, Mohd Yusof berkata beliau "tidak mempunyai apa-apa masalah" dengan gerak kerja ahli perubatan itu.

"Calon parlimen yang ada sekarang ini adalah calon yang terbaik. Bagi saya dia tidak ada apa-apa masalah. Beliau menjalankan tugas dengan cemerlang," katanya.

Mengenai faktor penolakan Mohamad Sabu, sumber yang rapat dengan PAS Pendang mendakwa ia ada kaitan dengan usaha mengekang 'pengaruh' Mohamad 'berkembang', khususnya di Kedah, lebih-lebih lagi di kawasan itu yang dianggap "berpendirian bebas dan tidak boleh dipengaruhi mana-mana pihak".

tenang by election nomination day pas and bn supporters 220110 pas and dap supportersMalah, dakwa sumber itu, kebimbangan pengaruh Syiah yang dikaitkan dengan Mohamad turut menjadi sebab mengapa beliau ditolak memandangkan terdapat tokoh agamawan PAS yang dikaitkan dengan fahaman itu, turut menetap di Pendang.

Ada juga pihak, kata sumber-sumber tersebut, yang turut mengaitkan penyokong Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam isu penolakan Mohamad itu kerana sebelum ini, Mohamad merupakan antara pemimpin PAS yang bertegas mahu Azizan berundur.

Mengulas berhubung usaha tersebut, Mohamad memberitahu Malaysiakini bahawa beliau dan kepimpinan PAS pusat masih belum memuktamadkan kerusi mana yang bakal ditandinginya.

"Saya pun belum buat pendirian untuk bertanding di mana... (Atau) mungkin juga saya akan bertanding di Pekan," katanya berseloroh sambil menganggap usaha itu sebagai perkara "biasa" dalam politik.
Populariti PM jatuh sikit, tapi sokongan kaum Cina naik
6:39PM Jul 26 2012  
Kedudukan rating Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merosot sedikit - daripada 65 peratus pada bulan Mei kepada 64 peratus pada bulan Jun - berikutan kemerosotan ketara dalam kepuasan di kalangan masyarakat Melayu dan India terhadap prestasinya.

Berdasarkan tinjauan akhir bulan Jun oleh Merdeka Centre, kepuasan responden masyarakat Melayu terhadap prestasi Najib adalah 75 peratus - merosot empat peratus dari bulan Mei - dan 69 peratus bagi responden kaum India -  turun tiga peratus.

Kedudukan rating keseluruhan akan menjadi lebih rendah sekiranya tidak kerana responden dari kalangan kaum Cina, di mana 42 peratus berpuas hati dengan prestasi Najib - naik lima peratus daripada bulan sebelumnya.

Kedudukan rating Najib daripada responden Cina telah menjunam pada bulan Mei sebanyak 19 peratus, kepada hanya 37 peratus, dipercayai kerana dipengaruhi oleh cara kerajaan mengendalikan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

Menurut Merdeka Centre, kedudukan rating Najib kekal positif dan stabil pada keseluruhan tetapi rasa puas hati terhadap kerajaan beliau, turun enam peratus, dengan hanya 42 peratus responden mendakwa "mereka gembira dengan kerajaan".
Pengimport setuju harga kereta diturunkan
  • Ahmad Fadli KC
  • 2:39PM Jul 26 2012
 
Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) bersetuju harga kereta diturunkan dengan cara pemotongan duti eksais dan cukai import terhadap kereta.

Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata dengan cara itu, kereta bukan sahaja akan mampu dimiliki orang ramai tetapi pada masa sama ia juga akan merancakkan industri penjualan kereta tempatan.

"Biasanya apabila hampir dengan Hari Raya, secara purata pusat jualan kereta mampu menjual kira-kira 70 ke 80 buah kereta, sekarang hendak jual 20 buah pun susah," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu memberi maklum balas kepada rancangan Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga kereta dengan menghapuskan duti eksais dan cukai import.

Zainuddin bagaimanapun mengakui penghapusan duti eksais dan cukai import ke atas kereta akan menyebabkan negara kehilangan sedikit sumber pendapatan daripada cukai.

Namun katanya, negara masih mampu memperolehi sumber pendapatan yang jauh lebih tinggi daripada sumber ekonomi selain daripada cukai ke atas kereta.

"Kalau hapuskan cukai ke atas kereta, apalah sangat kesan kepada pendapatan negara sebanyak satu atau dua bilion itu," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyuarakan kebimbangannya terhadap industri kereta tempatan yang mungkin terjejas akibat penghapusan cukai tersebut.

Menurutnya, penghapusan cukai dan duti itu akan hanya memberi kelebihan kepada kereta-kereta import, dan bukannya kereta keluaran tempatan.

"Kalau kerajaan (sendiri) hendak hapuskan, saya menyokong penuh tetapi yang jadi masalah kereta tempatan.

"Contohnya daripada segi bahan mentah, kita masih jauh ketinggalan, orang dah pakai robot kita masih pakai tenaga manusia," katanya.