Selasa, 31 Julai 2012

HUDUD JANGAN DIPERSENDA...JANGAN SILAP MAIN@SILAP POLITIK...ROSAK IMAN...ROSAK IMAN KITA JUGA MENGGUNAKAN HUDUD DENGAN TUJUAN MENAKUT2KAN NON MUSLIM...SEOLAH2 KITA MENGATAKAN BERTAPA LEMAHNYA ALLAH...MENCIPTA UNDANG2 MEMPUNYAI NILAI YANG RENDAH JIKA NAK BANDINGKAN UNDANG2 CIPTAAN MANUSIA...SEOLAH2 MANUSIA LEBIH CERDIK DARI ALLAH SWT

Pakatan tubuh JK pilih tema Hari Kemerdekaan

Hazayani Zakaria, 31 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat menubuhkan jawatankuasa pemilihan tema Hari Kemerdekaan bagi menukar tema yang diberikan kerajaan, 'Janji Ditepati' yang merupakan slogan Barisan Nasional.

Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan dianggotai bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil, bekas ahli jawatankuasa kerja Gerakan, Dr Toh Kin Woon dan pengarah eksekutif  Women's Aid Organisation ( WAO), Ivy Josiah.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, jawatankuasa itu akan memilih tema Hari Kemerdekaan yang dicadangkan oleh rakyat, selepas Pakatan membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk berbuat demikian.

"Sebelum ini kita beri tempoh seminggu kepada kerajaan untuk tukar tema hari merdeka agar lebih inklusif dan merangkumi semangat kemerdekaan rakyat Malaysia," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat bersama wakil DAP dan PKR.

Beliau berkata, selepas pengumuman tersebut, Pakatan menerima lebih kurang 250 cadangan tema kemerdekaan daripada pelbagai pihak.

"Setakat ini kita terima lebih kurang 250 cadangan tema daripada rakyat, jadi kita tubuhkan jawatankuasa untuk memilih tema yang terbaik," katanya.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari.

Baru 4 hari sudah 22,263 benci lagu Janji Ditepati

Harakahdaily, 31 Jul 2012


(Lagu Janji Ditepati yang mencipta sejarah apabila sangat ramai menyatakan benci kepadanya)

KUALA LUMPUR: Baru empat hari disiarkan di Youtube, namun sudah 22,263 orang menyatakan benci kepada lagu tema Kemerdekaan ke 55 berjudul 'Janji Ditetapati'.

Hanya 313 sahaja menyatakan suka kepada lagu yang penuh mengampu kerajaan BN ini.

Pendekata, setiap kali lagu ini di'referesh', bilangan mereka yang menyatakan 'dislike' bertambah.

Lagu yang mengambil masa 3:36 minit penuh dengan puji-pujian kepada kerajaan BN.

"Ini bukan lagu tema Hari Merdeka, ini lagu Barisan Nasional. Rais...betul? admit sahajalah..." tulis salah seorang pengunjung yang mendengar lagu ini.

Sebelum ini, Menteri Penerangan dan Kebudayaan serta Warisan, Datuk Seri Rais Yatim telah mengumumkan penarikan  logo sambutan Hari Kemerdekaan ke 55 selepas mendapat bantahan ramai.

Ekoran itu, beliau mengumumkan,logo 1 Malaysia sebagai logo rasmi Hari Kemerdekaan kali ini.

Orang ramai juga membantah tema sambutan iaitu 'Janji Ditepati' kerana ia adalah tema kempen BN.

Kini lagu sempena sambutan ini juga dibantah pelbagi pihak.

Berikut adalah lirik lagu Janji Ditepati yang mendapat bantahan menyeluruh ini.

Lagu Tema - Janji Ditepati (Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55) Lirik dan Video

Macam malam ikut siang
Macam bulan ikut matahari
1Malaysia terus berjuang
Janji Kita ditepati

Kata Kita dikota
Janji Kita ditepati
Hidup Rakyat Dibela
Masa Depan Diberkati
Janji sudah ditepati
Kini masa balas budi

(Chorus)
Janji siapa? Janji kita
Janji apa? Janji 1Malaysia
Janji siapa? Janji kita
Janji apa? Janji 1Malaysia

Ini janji kita BR1M 1Malaysia
Ini janji 1Malaysia
TR1M 1Malaysia
Kata kita dikota
Kini 1Malaysia
Janji kita ditepati
Kedai 1Malaysia

Klik link di bawah untuk melihat lagu ini.

http://www.youtube.com/watch?v=DG--QGXqnlM

Seminggu untuk Awang Adek jelas isu cek

Hazayani Zakaria, 31 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini memberi tempoh seminggu kepada Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin untuk membuat penjelasan mengenai sebuah syarikat yang memasukkan cek bernilai RM80,000 ke akaun beliau.

Cek tersebut didakwa sebagai rasuah bagi melanjutkan kontrak sebuah Syarikat Bumiputera dalam Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB).

Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, sekiranya Awang Adek  tidak memberikan sebarang respon berhubung tuduhan tersebut, pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan.

"Kita beri Dr Awang Adek seminggu untuk menafikan dokumen yang kita perolehi ini sebagai palsu atau tidak benar.

"Jika tidak kita akan mempertimbangkan untuk tindakan selanjutnya dan bawa perkara ini kepada SPRM untuk siasat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Cek CIMB Bank yang bernilai RM50,000 dan RM30,000 setiap satu itu dimasukkan ke dalam akaun Awang Adek ketika beliau menjadi Pengerusi SJJB pada tahun 2010.

Pertengahan Julai lalu, DPPP mendakwa Awang Adek pernah menerima dua cek bernilai RM80,000 sebagai dorongan untuk melanjutkan kontrak pengurusan kemudahan di Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral oleh Syarikat Advance Maintenance Precision Management Sdn Bhd. (AMPM).

DPPP mendakwa cek tersebut diberi sebagai dorongan bagi melanjutkan kontrak penyelenggaraan kedua-dua bangunan daripada lima tahun bagi Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral daripada 3 tahun 5 bulan kepada 10 tahun.

Mengulas lanjut, Khairul Faizi yang juga Ketua Pemuda PAS Johor mendakwa pihaknya memiliki dokumen serta surat permohonan lanjutan kontrak penyelenggaraan syarikat AMPM yang dihantar kepada Awang Adek.

"Surat permohonan lanjutan kontrak itu dihantar pada 6 Disember 2010 dan tarikh cek dikeluarkan juga pada tarikh yang sama. Selepas itu kita dapat maklumat satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SJJB diadakan pada 25 Ogos 2011, keputusannya mesyuarat bersetuju untuk melanjutkan kontrak kedua-dua bangunan kepada 10 tahun pada syarikat yang sama.

"Pemuda PAS ingin tahu adakah cek ini sebagai dorongan untuk memudahkan mereka (AMPM) mendapat perlanjutan kontrak? Sebab itu kita minta Dr Awang Adek tampil menjawab atau menafikan dakwaan itu sekiranya ia tidak benar," katanya.

Turut bersama pada sidang media ialah Timbalan DPPP, Nik Abduh Nik Aziz, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad dan Exconya Nurul Islam.

PAS bantah tambahan pengundi pos di Titiwangsa

Salmiyah Harun, 31 Jul 2012
KUALA LUMPUR: PAS membantah tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memasukkan sejumlah 196 pemilih pos daripada lokaliti KD Sri Gombak dari Setiawangsa sebagai pengundi di Titiwangsa.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Mohamad Nor Mohamad berkata, sebelum ini lokaliti KD Sri Gombak tidak ada dalam senarai pemilih pos, ia adalah lokaliti baru yang diwujudkan dan pemilih di dalamnya terus dijadikan sebagai pengundi parlimen Titiwangsa.

Beliau difahamkan, jumlah pemilih pos pada suku pertama daftar pemilih SPR 2012 adalah sebanyak 1600 namun ia meningkat menjelang suku kedua tahun ini sebanyak 317 orang.

"Berbeza dengan jumlah pemilih pos pada tahun 2008 yang hanya ada sekitar 450 orang sahaja, ia meningkat naik secara mendadak dan begitu ketara sekali," katanya dalam sidang media di Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen Titiwangsa hari ini.

Mohammad melahirkan rasa bimbang ekoran peningkatan pemilih pos yang begitu ketara walaupun pada suku pertama dan tidak mustahil peningkatan akan terus berlaku jika PRU diadakan tahun depan.

Beliau turut mempersoalkan apakah relevan SPR memasukkan sejumlah pengundi pos daripada lokaliti KD Sri Gombak ke parlimen Titiwangsa?

Katanya, sepatutnya SPR berusaha mengurangkan jumlah pengundi pos memandangkan keperluannya tidak ada di situ.

Mohamad tidak menolak ada unsur-unsur konspirasi terancang yang dijalankan oleh pihak tertentu dengan tujuan untuk meningkatkan undi pos yang sememangnya dikenali sebagai 'fixed deposit' untuk BN.

"Ada pihak yang merasa cemas terhadap kebangkitan rakyat sehingga gagal menarik sokongan pengundi biasa, lalu terpaksa menggunakan kaedah pengundi pos bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka," katanya.

Malah katanya, PAS mampu kekal di kerusi Titiwangsa dalam PRU-13 nanti sekiranya tidak berlaku peningkatan undi pos.

Tegasnya yang turut mendesak SPR mengeluarkan sejumlah pengundi pos di Titiwangsa khususny lokaliti baru yang diwujudkan iaitu KD Sri Gombak dan kem Markas Latihan Tentera Darat.

Justeru katanya, nilai demokrasi dan pemulihan sistem pilihan raya negara ini tidak memberi apa-apa makna sekiranya SPR sendiri tidak bertegas dan bersungguh dalam memastikan sistem pilihan raya di negara ini dibersihkan.

"Biarkan pilihan raya di negara ini ditentukan oleh rakyat sebagai pemilih biasa di atas gelanggang yang sama rata, bukan dibantu oleh daftar pemilih yang dipertikaikan banyak pihak," katanya.

Turut bersama dalam sidang media itu, YDP PAS Titiwangsa Abdullah Abdul Wahab, Pengarah Pilihan Raya Titiwangsa Khairul Anuar Abdul Manap dan Ketua Penerangan PAS Titiwangsa Suhaimi Abdul Aziz.

Kajian penambahbaikan polis dalam bajet Pakatan

Hazayani Zakaria, 31 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan memasukkan kajian mengenai penambahbaikan pasukan polis dalam bajet 2012 mereka bagi mengemukakan satu kaedah yang dapat menyelesaikan masalah peningkatan jenayah.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, kajian itu penting kerana polis seolah-olah kekurangan tenaga untuk membanteras jenayah.

"Kita lihat hari ini gambaran bukan sahaja persepsi tapi realiti, kedudukan jenayah semakin parah sehingga kerajaan terpaksa mencadangkan Rela untuk membantu polis menjaga tempat-tempat yang selalunya berlakunya jenayah.

"Ini menggambarkan jenayah itu parah dan semacam tidak cukup tenaga untuk mengendalikan perkara ini," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat bersama wakil DAP dan PKR di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Mustafa juga berkata, peratusan perbelanjaan kerajaan dari tahun 2010 hingga 2012 dalam bidang keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam lebih tinggi berbanding perbelanjaan untuk penyiasatan jenayah.

Peratusan perbelanjaan untuk keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam ialah 42.27 peratus manakala untuk penyiasatan jenayah sebanyak 72.45 peratus.

"Dari segi angka yang kita boleh lihat sebahagian besar tenaga untuk keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam. Sebahagian perbelanjaan itu boleh dimanfaatkan untuk penyiasatan jenayah," katanya.

Kajian itu akan turut disertai Bekas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok, Setiausaha Antarabangsa DAP, Liew Chin Tong dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.

"Hudud" Alamat Kubra PRU 13

Nasrudin Hassan, 31 Jul 2012
1. Apabila gendang hudud dipalu sekuatnya, maka ia antara tanda - tanda pilihanraya umum semakin hampir. UMNO terpaksa sekali lagi menggunakan peluru karatnya iaitu hudud untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat. Saya akui hudud bukan agenda Pakatan Rakyat tetapi hudud adalah sebahagian daripada Islam yang tetap diperjuangkan oleh PAS di sepanjang zaman insyaallah.

2. Pakatan Rakyat telah beberapa kali bincang perkara ini dan simpul ringkasnya ialah kami "setuju untuk tidak bersetuju" atau dalam dalam bahasa lebih mudah ialah : DAP tidak menerima hudud dan PAS tidak boleh paksa mereka untuk menerimanya sebagaimana mereka tidak boleh menghalang hasrat PAS mahu mendaulatkan syariat Islam itu.

3. Kedudukan ini jauh lebih baik daripada UMNO dan BN. Bukan sahaja parti kompenan mereka yang biadab terhadap Islam, malah UMNO sendiri bersetuju untuk tidak melaksanakan syariat Islam di Malaysia termasuk undang - undang jenayah syariat. Malah UMNO menikus dihadapan MCA apabila Presiden MCA 'menengking'  Adun UMNO Kemelah sebagai pemimpin yang hilang aqal  tatkala Adun itu mencadangkan perlaksanaan hudud di negeri Johor sedang rata - rata pimpinan PAS memberikan sokongan terbuka kepada Adun Kemelah.

4. Tidak hairan jika  perlaksanaan hudud belum mendapat kata sepakat dari kalangan parti kompenan Pakatan Rakyat yang hanya baru dibentuk pada tahun 2008, kerana ia sekali lagi jauh lebih baik daripada UMNO dalam BN yang gagal melaksanakan syariat Islam ini sejak lebih 50 tahun memegang mandat rakyat sebagai pemerintah meskipun mereka sering mendabik dada kononnya mereka adalah parti dominan dalam BN.

5. Sewaktu debat Sinar Harian baru - baru ini, saya telah qoute kenyataan Karpal Singh di Konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang berlangsung pada tahun 2010 yang lalu, bahawa  kenyataannya "langkah mayat saya dulu" untuk menubuhkan Islamic State sebagai ucapan yang disebut 20 tahun yang lalu [ 1990 ] pula ia dipetik di luar konteks. Malah Karpal Singh sendiri menyebut perkara ini boleh dibincangkan.

6. Lantaran itu, Pakatan Rakyat melalui mesyuarat tertingginya telahpun membincangkan perkara ini. Sebahagian dari keputusannya sebagaimana yang saya catat pada point ke 2 di atas. Selebihnya menjadi dakwah berterusan PAS untuk memahamkan masyarakat terhadap hukum syariat Islam. Saya doakan semoga Karpal Singh diberikan hidayah oleh Allah swt. sebagaimana doa saya buat yang lain juga.

7. Hudud adalah undang - undang jenayah syariah yang telah diwahyukan oleh Allah swt. Satu realiti yang tidak boleh siapa nafikan bahawa ia adalah satu kewajipan yang mesti dilunaskan oleh sebuah pemerintahan Islam. Sementara pemerintahan Islam itu pula adalah terbentuk dari mandat [ baiah ] rakyat khasnya rakyat yang beragama Islam. Tanpa mandat tersebut, pemerintahan Islam tidak dapat dibina dengan kukuh dan baik.

8.  Hudud adalah sebahagian dari Islam yang diperjuangkan oleh PAS sejak awal penubuhannya. Ertinya perjuangan PAS bukan berpaksikan hudud semata - mata, sebaliknya paksi perjuangan PAS ialah Islam dan hudud itu adalah sebahagian daripadanya. Seunjuran dengan itu, ditegaskan bahawa PAS konsisten memperjuangkan Islam.

9. Jika PAS menang bersendirian melalui mandat majoriti rakyat yang diterjemah melalui peti undi [ melalui proses demokrasi ] maka PAS pastinya akan melaksanakan malah selesa untuk melaksanakan syariat Islam dalam semua aspek termasuk undang - undang jenayah Syariah sebagai alternatif kepada kegagalan sistem dan undang - undang ciptaan manusia menangani gejala mungkar dan jenayah.

10. Namun secara realitinya, iklim politik dan latar belakang masyarakat yang majmuk dalam negara kita sangat sukar untuk PAS menang dan membentuk sebuah pemerintahan secara bersendirian. Ini satu realiti yang diakui walaupun ia bukanlah suatu yang mustahil.

11. Namun bagi memastikan hasrat perlaksanaan syariat Islam di Malaysia menjadi satu kenyataan mudah, ia memerlukan semua pengundi dari kalangan ummat Islam termasuk ahli UMNO dan atas pagar mengundi PAS. Maksudnya, UMNO perlu menyerahkan semua kerusinya kepada PAS atau paling tidak bersama menyertai PAS, dengan itu jumlah kerusi PAS  atau muslim akan melonjak maksimum ke 130 kerusi parlimen bagi membentuk kerajaan Islam yang bersedia mendaulatkan syariat Islam yang adil saksama dan telus. [ bebas korupsi dan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana negara ]

12. Penegasan ini saya buat kerana untuk PAS menyertai UMNO bagi melaksanakan syariat Allah swt sukar menjadi kenyataan.

Pertama : PAS pernah dikhianati oleh UMNO sewaktu PAS menyertai Kerajaan Campuran bersama UMNO.

Kedua : UMNO pernah menang banyak dan menjadi kuasa besar sejak sekian lama termasuk kemenangan mereka pada tahun 2004 tetapi mereka tidak pernah berhasrat untuk mendaulatkan syariat Allah swt sebaliknya memperkayakan kerajaan pimpinan mereka dengan rasuah , penyalahgunaan kuasa dan penyelewangan dana rakyat dan negara.

Ketiga : Sehingga saat ini, hanya PAS yang konsisten sebagai salah satu parti  besar dalam negara yang berhasrat mahu melaksana dan mendaulatkan syariat Islam. Cuma keterbatasan kuasa dan mandat rakyat meletakkan PAS masih belum memiliki keupayaan sebenar bagi membangunkan negara bersama syariat Allah swt. [nota ini memerlukan ahli UMNO menyokong PAS untuk melaksanakan Islam jika mereka juga mahu melihat Islam tegak di atas tanahair kita]

12. UMNO pula konsisten membelasah PAS dan menolak dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Disamping itu UMNO terus dengan legasi mereka, bergelumang dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa serta menyeleweng dalam mengurus dana rakyat dan negara. Lalu PAS mengadakan kerjasama politik [Tahaaluf Siasi] dengan parti - parti pembangkang yang lain iaitu DAP dan PKR lalu membentuk Pakatan Rakyat untuk mendepani UMNO dan BN.

13. Kerjasama ini adalah kerjasama politik bukan kerjasama agama dan ideologi perjuangan. Terdapat beberapa persamaan dalam tindakan politik antara parti - parti yang berbeza ideologi ini, antaranya seperti menentang ISA, AUKU, rasuah, pembaziran dalam projek mega negara, ketirisan dalam perbelanjaan dana awam, keadilan dalam sistem pengurusan dan kendalian pilihanraya dan banyak lagi.

14. Apabila kerjasama politik [tahaluf siasi]  ini berjaya dan hampir menumbangkan kerajaan UMNO dan BN dalam tsunami politik 2008,  barulah UMNO kenal rabu dan khamis, lalu mereka pantas mendendangkan lagu perpaduan pada setiap hari jumaat, sabtu, ahad, isnin dan selasa. UMNO desprate lalu mencari PAS untuk bersatu padu.  Kita tidak menolak mentah tetapi kita meletakkan syarat Islam sebagai tali pengikat untuk bersatu padu, justeru Islam mengajar kita sedemikian. UMNO tidak bersedia dengan syarat itu, maka  PAS mohon jalan dulu . Tinggallah UMNO dengan lagu lamanya.

15.  ما لا يدركه كله ، لا تتركه كله  Tidak boleh laksanakan semua [kandungan Islam] maka jangan tinggalkan semua [ ertinya, laksanakanlah apa yang termampu daripada Islam itu ]. Bertolak dari kaedah ini, PAS kemukakan pendekatan baru melalui projek "Negara Berkebajikan" yang merupakan subtance kepada ajaran Islam itu sendiri. Sebuah projek yang dikemuka kepada rakyat ke arah pembentukan sebuah negara yang bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa politik, penyelewengan ekonomi dan menepati piawaian " Good Governence" . Inilah yang menjadi keutamaan PAS masa kini.

Nasrudin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan: