Rabu, 25 Julai 2012

JAGALAH DIRI KITA...AGAR KITA TAK DISEPAK KEDALAM NERAKA NANTI...YANG EMPUNYA ASAL TAK BERKUASA...YANG MENGAMBIL LEBIH BERKUASA...INI SEBAB BESAR RAKYAT AKAN MENOLAK DALAM PILIHANRAYA 13 NANTI....JANGAN KITA BERSIFAT SOMBONG BONGKAK MACAM SIFAT IBLIS...INGATLAH KEMATIAN SERTA HARI HISAB SERTA MAHKAMAH ALLAH NANTI....

Syabas beroperasi di bawah keupayaan

Harakahdaily, 25 Jul 2012
SHAH ALAM: Jawatankuasa Pemantauan Air yang ditubuhkan kerajaan Selangor bagi menjalankan pemantauan terhadap operasi Syabas merumuskan syarikat itu beroperasi dibawah keupayaan.

Jawatankuasa yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk  Khusrin Munawi dan dianggotai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Konsortium ABBAS dan bekas kakitangan Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) itu juga mendapati fakta peratusan rizab air sebanyak 2 % yang dilaporkan Syabas tidak tepat dan mengelirukan.

Berikut adalah kenyataan penuh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim:

Jawatankuasa Pemantauan Air yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk  Khusrin Munawi dan dianggotai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Konsortium ABBAS dan bekas kakitangan Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) telah menjalankan pemantauan terhadap operasi SYABAS bermula 18 Julai lalu.

Jawatankuasa ini telah menghantar laporan pertama kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri  (MMKN) hari ini.

Hasil laporan pertama jawatankuasa ini, terdapat tiga penemuan utama yang perlu diberi perhatian agar rakyat tahu kedudukan sebenar.

Penemuan ini ialah;

1.      Keupayaan pengeluaran semua 34 loji ialah 4,807 juta liter sehari berbanding  keupayaan agihan SYABAS 4,371 juta liter sehari iaitu lebihan 436 JLH. Ini bermaksud, SYABAS beroperasi di bawah keupayaan sebenar.

2.      Projek Mitigasi I yang telah dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya Mac 2013 akan meningkatkan pengeluaran kepada 5, 139 JLH iaitu penambahan 332 JLH atau lebihan 768 JLH berbanding keupayaan agihan SYABAS.

3.      Fakta peratusan rizab air sebanyak 2 % yang dilaporkan SYABAS tidak tepat dan mengelirukan.  Rizab kapasiti pengeluaran sebenar  pada masa ini adalah 11%  dan akan meningkat kepada 18 % selepas Mac 2013  apabila projek mitigasi siap sepenuhnya.

Penemuan-penemuan ini membuktikan bahawa SYABAS telah gagal memenuhi tanggung jawab untuk membekalkan air terawat yang secukupnya kepada pengguna seperti yang dipersetujui dalam Penjanjian Penswastaan Air 2004.

Kegagalan ini menguatkan lagi rancangan Kerajaan Negeri untuk ‘step in’ dalam pengurusan SYABAS yang bertujuan membaiki semua kelemahan termasuk syor supaya Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SYABAS dipecat.

Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah selesai menyediakan dokumen-dokumen untuk ‘step in’ dalam pengurusan SYABAS dan pasukan yang mewakili Kerajaan Negeri bagi tujuan ini juga sudah bersiap sedia untuk menyertai pengurusan SYABAS bila-bila sahaja bagi membaiki kelemahan.

Kerajaan Negeri Selangor telah memutuskan supaya kuasa meluluskan sebarang permohonan berkaitan pelaksanaan Projek Langat 2 hendaklah dibawa terus kepada Pihak Berkuasa Negeri.

Semua agensi kerajaan seperti Pejabat Tanah Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Hutan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar dan lain-lain agensi yang berkaitan untuk merujuk terus sebarang permohonan berkenaan Projek Langat 2 kepada Dato’ Menteri Besar.

Fakta sebenar yang tidak boleh dinafikan semua pihak dalam isu air ini ialah kegagalan SYABAS merancang dan mengurus sistem agihan untuk menyalurkan air terawat kepada pengguna.

Saya meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama beberapa EXCO untuk bertemu rakyat bagi mencari penyelesaian masalah air termasuk membawa tangki-tangki air ke kawasan yang telah bertahun-tahun berdepan kekurangan bekalan air.

Kerajaan Negeri juga menyediakan talian 1-8000-88-2824  untuk orang ramai mengadu masalah air. Pusat panggilan ini juga mengendalikan masalah sampah.

Kerajaan Selangor konsisten dengan pendirian bahawa isu air ini boleh diselesaikan secara holistik sekiranya kerajaan negeri mengambilalih industri air daripada syarikat-syarikat konsesi yang akan menawarkan pembekalan air yang lebih cekap pada harga munasabah seperti yang dihasratkan WSIA 2006.

Keputusan Utusan batal saman blogger 14 Ogos

Khairil Abdul Rahim, 25 Jul 2012
KUANTAN: Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Datuk Mariana Yahya hari ini menetapkan tarikh 14 Ogos depan bagi keputusan permohonan akhbar Utusan Malaysia untuk membatalkan saman malu RM30 juta oleh seorang blogger.

Peguam Harris Abdullah yang mewakili bloger berkenaan Mohd Shukri Ramli berkata, jika permohonan akhbar milik Umno itu gagal prosiding akan diteruskan pada 27 Ogos 2012 dan jika Utusan berjaya pihaknya akan memfailkan saman baru.

Mohd Shukri yang terkenal dengan nama bloger Cucu Mat Kilau dari blog Pahangdaily memfailkan saman terhadap akhbar berkenaan setelah menyiarkan artikel berunsur fitnah pada 27 November 2010 bertajuk "Cucu Mat Kilau Keluar PKR: Dulu Pernah Cium Anwar Kini Tidak Sanggup Lagi menipu Diri Sendiri".

Harris berkata, akibat daripada berita palsu yang disiarkan oleh Utusan dan telah diulangi secara meluas oleh bloger-bloger Umno melalui blog masing-masing, anak guamnya digelar "kaki ampu" yang sanggup berbuat apa saja termasuk mencium Datuk Seri Anwar Ibrahim dikhalayak ramai untuk mengejar cita-cita politiknya.

“Susulan daripada itu juga rakan-rakannya dalam PKR dan Pakatan Rakyat mula menjauhkan diri sehingga beliau tiada pilihan lain selain mengundur diri dari persada politik kepartian. Angkara artikel itu juga, kini Mohd Shukri tidak diterima menyertai mana-mana parti politik di negara ini.

“Malah, beliau yang juga bekas calon PKR yang bertanding di Dun Kemayan (Bera) pada pilihan raya umum (PRU) ke-12 lalu kini tidak ada peluang untuk bertanding menggunakan platform parti politik pada PRU-13 ini. Masa depan politiknya kabur lantaran fitnah yang dilemparkan oleh Utusan Malaysia itu", katanya.

Justeru katanya, anak guamnya itu menuntut Utusan dan penulis artikel Tarmizi Abd Rahim untuk membayar ganti rugi secara berasingan yang kesemuanya berjumlah RM30 juta.

Tuntutan tersebut ialah ganti rugi am RM5 juta, ganti rugi teladan RM5 juta dan ganti rugi teruk RM5 juta. Tuntutan juga dibuat terhadap faedah ketiga-tiganya atas kadar yang dibenarkan bermula 27 November 2010 sehingga penyelesaian penuh.

Sementara itu bagi perbicaraan hari ini Harris berkata, peguam mewakili Utusan mohon membatalkan saman kerana mendakwa kesalahan teknikal dalam writ saman berkenaan.

"Mereka mahu membatalkan tuntutan saman atas teknikal sedangkan tidak menafikan kesalahan laporan akhbar dan segala bukti berkaitan telah jelas menunjukkan adanya prima facie terhadap kes ini", katanya lagi.

Utusan diwakili peguam Izral dan Shamir daripada firma guaman Tetuan Izral Partership.

Dalam pada itu, Shukri pula berkata, Utusan Malaysia yang dibaca oleh ratusan ribu rakyat Malaysia sememangnya perlu diberi pengajaran atas artikel yang mereka siarkan bagi memelihara etika dan profesionalisme kewartawanan.

“Kenapa ada wartawan di akhbar terbabit yang begitu mudah mengeluarkan artikel hanya berpandukan blog-blog tertentu tanpa melihat kepada fakta sebenar. Semoga Utusan akan lebih berdisiplin dalam melaporkan sesuatu berita hendaknya selepas ini. Janganlah akhbar harian itu disamakan macam tabloid mingguan yang lainnya di pasaran,” tegasnya.

Hidayah Centre akan rai 300 saudara baru

Salmiyah Harun, 25 Jul 2012

(Pengerusi Hidayah Centre, Sylvester, bersama rakan-rakannya menunjukkan poster majlis iftar perdana)

KUALA LUMPUR: Kira-kira 300 saudara baru akan diraikan dalam Majlis Iftar Perdana anjuran Hidayah Centre (MIPHC) pada 8 Julai nanti di Dewan Seri Siantan, Presint 3, Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Majlis berbuka puasa meraikan saudara baru diadakan setiap tahun dan pada tahun ini adalah kali ke-8 majlis seumpama itu diadakan.

Majlis yang bertemakan 'Journey to Jannah' akan bermula jam 5.00 petang turut mengundang beberapa selebriti antaranya, Imam Muda Azhar, Sham Kamikaze dan personaliti TV Hijrah Loo To Yee.

Di samping itu, persembahan nasyid turut disajikan kemudian dikuti solat tarawih, tazkirah dan moreh mengakhiri majlis kira-kira jam 11.00 malam.

Pengerusi Hidyah Centre Foundation, Nicholas Sylvester berkata, majlis ini adalah satu usaha menjana dana oleh Hidayah Centre dalam membangunkan saudara baru melalui sokongan kewangan dan bimbingan.

Katanya, pihaknya juga memainkan peranan dalam penganjuran program-program dakwah kepada masyarakat belum Islam serta menyantuni dan membimbing saudara baru.

"Malah majlis ini adalah satu usaha Hidayah Centre sebagai sebuah institusi yang berfungsi menguruskan hal ehwal saudara baru dan program-program dakwah kepada bukan Islam untuk mengumpul dana pengoperasian, agihan bantuan kepada saudara baru dalam satu majlis melalui jualan pakej meja dan kerusi sempena majlis berbuka puasa," katanya dalam sidang media hari ini.

Justeru, beliau berharap sokongan daripada masyarakat dan segala sumbangan wang ringgit, ide, nasihat demi menjayakan majlis ini.

"Kita bukan sahaja buat di Kuala Lumpur, kita turut raikan saudara baru di Kota Kinabalu, Negeri Sembilan, Bayan Lepas Pulau Pinang dan Kuantan Pahang," katanya.

Polis sepak kad media, cuba rampas kamera

Hazayani Zakaria, 25 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Seorang petugas media memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini bahawa empat anggota polis memegang tangannya secara kasar dan merampas begnya ketika beliau sedang menjalankan tugas pada Perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

Pembantu Editor Merdeka Review Edisi Bahasa Cina,  Chen Shaua Fui (gambar) berkata, beliau memaklumkan kepada polis bahawa beliau seorang petugas media sambil menunjukkan kad medianya namun polis bertindak menarik dan menyepak kad medianya yang bertulis wartawan.

"Polis juga beri kata kepada saya, 'seorang polis sudah mati'. Kesemua mereka lelaki. Mereka juga beri amaran, 'kalau saya nampak kamu lagi, saya akan tangkap kamu,"  kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Shaua Fui, 34, berkata, polis bertindak demikian sewaktu beliau sedang mengambil gambar polis yang mengasari peserta Bersih di sepanjang Jalan Ampang.

"Saya nampak polis menyuruh semua peserta yang memakai t-shirt kuning menanggalkan pakaian mereka," katanya yang sudah sepuluh tahun berkerja dalam bidang kewartawanan.

Tambahnya, walaupun sudah membuat liputan di beberapa perhimpunan aman, inilah kali pertama polis bertindak demikian terhadapnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Hari Koperasi gagal: 5 pengarah JPK jadi mangsa

Harakahdaily, 25 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Ekoran kegagalan Hari Koperasi Negara 2012 baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri,  Pembangunan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna sedang membalas dendam.

Sehingga kini, sudah empat pengarah Jabatan Pembangunan Negeri telah diarahkan bertukar 24 jam pada 16 Julai lalu manakala seorang Pengarah Bahagian di ibu pejabat juga ditukar.

Pengarah JPK itu adalah dari negeri Kedah, Pahang, Terengganu and Negeri Sembilan.

Menurut blogger Rocky Bru, Pengerusi Eksekutif dan timbalan Pengerusi Lembaga Koperasi Malaysia juga bakal diambil tindakan.

Hari Koperasi Negara 2012 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri di Stadium Bukit Jalil telah benar-benar memalukan Datuk Seri Najib Razak.

Sudahlah kedatangan ke majlis itu sangat menghampakan, sambutan peserta perhimpunan ketika Najib sedang berucap juga amat memalukan.

Menurut sumber, Najib tepaksa meminta orang ramai dalam majlis agar diam ketika mendengar ucapan beliau.

Ini kerana, orang ramai bukan sahaja keluar ketika beliau berucap, ramai juga antara mereka meniup serunai ketika Najib berucap, seumpama menyaksikan pertandingan bola sepak.

Ekoran itu, Datuk Seri Ismail Sabri terpaksa memohon maaf kepada Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas.


LAPORAN BERKAITAN


Najib Dimalukan Di Hari Koperasi Negara

Peserta Bersih 3.0 dipukul khabar angin polis mati

Hazayani Zakaria, 25 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Seorang peserta Bersih 3.0 memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini bahawa sekumpulan polis memukulnya dalam keadaan marah kerana khabar angin seorang anggotanya mati pada 28 April lalu.

Karam Singh, 50 berkata, kira-kira jam 7 petang, beliau masuk ke A&W Jalan Pudu selepas polis mengejar peserta Bersih sebelum kakitangan A&W mengunci pintunya apabila melihat situasi huru-hara di luar.

Polis mengetuk pintu A&W dan menjerit kepada kakitangan agar membuka pintu apabila nampak beliau yang memakai kemeja T Bersih di dalamnya.

"Saya minta staf A&W jangan buka pintu kerana saya bimbang melihat keadaan polis yang nampak dalam keadaan marah.

"Staf buka pintu kerana takutkan polis dan polis terus berlari ke arah saya dan memaksa saya menanggalkan T-shirt.  Saya tanggalkan T-shirt tapi tetap dipukul.

"Sebelum polis tinggalkan A&W, polis cakap 'lu orang punya pasal, anggota kita mati," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Tambah beliau lagi, khabar angin mengenai anggota polis mati mula kedengaran sekitar jam 3 hingga empat petang.

"'Mood' polis dalam keadaan marah, bukan 'mood' berunding ketika di A&W," katanya yang merupakan seorang pemandu pelancong.

Menurut Karam juga, beliau melihat sekumpulan pemuda melakukan provokasi terhadap polis yang melakukan sekatan di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Bagaimanapun katanya, kumpulan pemuda tersebut tidak kelihatan seperti peserta Bersih.

"Mereka kelihatan berbeza dengan kumpulan peserta lain dan menggunakan isyarat tangan ketika berkomunikasi sesama mereka," katanya di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

1,500 anak muda tamu Ramadan di Masjid Beijing

Yaakub Dasan, 25 Jul 2012
RANTAU PANJANG: Seramai 1,500 anak muda di kawasan parlimen Rantau Panjang menyertai program Tadarus Anak Muda Tamu Ramadan di Masjid Beijing semalam.

Antara yang hadir pelajar-pelajar sekolah agama, pusat pengajian pondok, maahad tahfiz dan golongan belia tempatan.

Setiap mereka yang hadir diberi senaskah al-Quran sebagai cenderahati. Program tersebut dianjur Tabung Amanah Tok Kenali (TATOK) dengan kerjasama jawatankuasa Masjid Beijing.

Program berkenaan bermula jam 10 pagi dan berakhir selepas solat Zohor, dirasmikan anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Anak muda terbabit turut diraikan anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, Adun Gual Periok, Mohamad Awang, Pengarah TATOK, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani dan Penolong Kanan Ketua Jajahan Pasir Mas, Mohd Hariff Ghazali.

Husam berkata, al-Quran dianggap sebagai peti rahsia kepada manusia yang mengandungi banyak maklumat dan ilmu pengetahuan mengenai hal-hal dunia dan akhirat.

“Membaca al-Quran bukan setakat untuk mengetahui pelbagai cerita, tetapi untuk mengetahui  rahsia  tertentu  mengenai  khazanah Tuhan berkaitan dengan kehidupan manusia.

“Pelajaran yang kita dapat dari al-Quran lebih tinggi jika dibandingkan dengan ilmu yang dipelajari daripada saluran lain,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Menurutnya al Quran juga menceritakan sebuah kerajaan Islam yang canggih boleh kita jadikan model hari ini, iaitu kerajaan Nabi Sulaiman a.s. sangat besar, hebat dan masyhur.

Nabi Sulaiman menggalakkan manusia mempelajari  pelbagai bahasa bagi memudahkan komunikasi dan perhubungan.

“Hatta bahasa burung dan semut sekali pun digalakkan belajar dan difahami,” ujar beliau.

Nabi Sulaiman juga menggalakkan kakitangan pentadbiran melakukan gerak kerja dengan cepat dan pantas.

Ini dapat dilihat bagi mengangkat istana Puteri Balqis, Nabi Sulaiman a.s memilih Jin Efrit yang menawarkan diri untuk mengangkatnya dalam tempoh sekelip mata.

Sementara itu, Mohd Khir Zahri berkata, program berkenaan merupakan siri kedua, di mana tahun lepas diadakan di Qaryah Ramadan, Dataran Stadium, bertujuan mendekatkan anak-anak muda dengan masjid.
 

Ismail Sabri arah batal mesyuarat KPF?

Abdul Aziz Mustafa, 25 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) perlu menjelaskan kepada peneroka benarkah beliau mengarahkan mesyuarat agung Koperasi Permodalan Felda (KPF) diisytihar tidak sah.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa Ismail menjelaskan perkara itu dan jika benar beliau melakukan campurtangan keterlaluan itu serta mengarahkan Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan Kali Ke-31 KPF yang bermesyuarat pada 20 Jun lalu diisytiharkan tidak sah, adakah keputusan itu bertepatan dengan keputusan dan amalan biasa Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Beliau juga meminta Ismail bercakap benar kepada peneroka bahawa keputusan beliau yang tidak selaras dengan keputusan dan amalan biasa SKM itu tidak dipengaruhi oleh kepentingan perancangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkeras mahu menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) baru-baru ini.

"Kita difahamkan, dalam mesyuarat agung tersebut, beberapa perwakilan yang dikatakan pro (Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd) Isa (Abdul Samad) membuat bantahan dan meminta mesyuarat agung tersebut di batalkan dengan dakwaan kononnya penyata kewangan teraudit koperasi tersebut bagi tahun berakhir 31 Disember 2011 lambat dihantar kepada mereka," kata Mahfuz.

Bantahan tersebut, kata beliau, akhirnya dirujuk kepada SKM yang kemudiannya melantik tiga ahli panel untuk menangani isu tersebut.

"Panel tersebut memanggil semua pihak yang terlibat dan akhirnya membuat keputusan bahawa tidak ada isu yang boleh menyebabkan mesyuarat agung tersebut diisytiharkan tidak sah kerana terlalu banyak koperasi lain juga lambat menghantar penyata dan mesyuarat agung mereka tetap sah," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Selepas panel itu membuat keputusan tersebut, kata Mahfuz, tiba-tiba Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Md Yusof Samsudin mengarahkan panel tersebut supaya menerima bantahan pihak yang mahu mesyuarat agung tersebut dibatalkan.

"Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mesti bertanggungjawab kepada rakyat khususnya peneroka dan menjelaskan adakah beliau, kerana mematuhi kehendak Najib dan Isa, mengarahkan Pengerusi Eksekutif SKM berbuat demikian memandangkan sebelum ini Pengerusi Eksekutif SKM tidak pernah mengarahkan panel seumpamanya untuk berbuat demikian.

"Ismail juga perlu bertanggungjawab kepada rakyat khususnya peneroka dan menjelaskan adakah arahan beliau itu dibuat ekoran ketakutan Najib dan Isa apabila mesyuarat agung KPF itu juga membuat keputusan untuk mengambil alih pengurusan Felda Holdings Berhad," kata Mahfuz (gambar).

KPF mempunyai 51 peratus pegangan saham dalam Felda Holdings.

"Jika KPF ambil alih, kedudukan Isa sebagai Pengerusi Felda Holdings akan terpelanting sedangkan Isa diibaratkan mata, telinga, tangan dan kaki Najib di dalam Felda. Akan rosaklah perancangan Najib," kata Mahfuz.

Beliau mengingatkan Ismail bahawa tindakannya itu boleh menyebabkan beliau akan dikenang sehingga bila-bila sebagai tukang sabotaj peneroka Felda sebagaimana Najib dan Isa yang kini dilihat dan dituduh sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Felda yang mensabotaj peneroka Felda.

Mahfuz juga menggesa Ismail menghentikan tindakannya menyekat hasrat murni KPF untuk mengendalikan pengurusan Felda Holdings dan menjadi menteri koperasi yang pro-ahli koperasi dan pro-keputusan mesyuarat koperasi yang sah dan bukan menjadi menteri yang akhirnya mungkin dikenang sebagai menteri yang mensabotaj aspirasi peneroka Felda melalui koperasi mereka itu.

 

Tolak Selangor ambil Syabas untuk jaga kroni Umno

Harakahdaily, 25 Jul 2012
SHAH ALAM: Keputusan Kerajaan Pusat untuk menghalang pengambilalihan Syabas jelas menunjukkan kerajaan BN lebih menyebelahi syarikat korporat yang ada kaitan langsung dengan Umno bukannya melindungi kepentingan rakyat.

Demikian kata Exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong (GAMBAR) dalam satu kenyataannya hari ini.

Ini berikutan keputusan Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin menolak keputusan kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih Syabas.

Bagi Elizabeth, Kerajaan Selangor mempunyai kuasa untuk mengambil alih Syabas mengikut Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA).

Menurut Elizabeth, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  bahawa tiada keperluan untuk membuat catuan air di Selangor dan Kuala Lumpur buat masa sekarang jelas  membuktikan isu air dijadikan gimik politik untuk menimbulkan prasangka buruk terhadap kerajaan Selangor.


UGUT KERAJAAN NEGERI
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pula menjadi alat Umno untuk mengugut Kerajaan Selangor supaya memberi kelulusan pembinaan Loji Pembersihan Air Sungai Langat atau Langat 2.

Menurut Elizabeth, Kerajaan Pusat sebenarnya tiada pun penyelesaian kukuh dalam menambahbaik bekalan dan pengurusan air terawat.

Malah, mereka cuba mensabotaj usaha Kerajaan Selangor melakukan perkara yang betul demi melindungi kepentingan rakyat, katanya.

"Kerajaan Pusat tiada perancangan bagaimana Langat 2 akan menyelesaikan kekurangan air sedangkan Kerajaan Negeri telah menyediakan pelan menerusi projek mitigasi air bernilai RM225 juta.

"Justeru, perlu ada jawatankuasa bebas yang akan menentukan projek mana yang lebih efektif menyelesaikan kekurangan air terawat tetapi pada kos murah," katanya.

Bagi beliau, Kerajaan Pusat Barisan Nasional perlu mengakui kesilapan ketika menandatangani Perjanjian Penswastaan Air pada 2004 dan kesilapan itu tidak boleh diperbetulkan sehingga sekarang.

"Kita menyeru rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mempertahankan hak mereka dan mengelak dimanipulasi pihak berkepentingan yang mahu mengaut keuntungan atas kos yang ditanggung rakyat," ajak beliau.

Menurutnya, Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet, Muhyiddin, sebenarnya tiada pengalaman dan tidak menyumbangkan sebarang idea bernas dalam pengurusan air.

Malah, ketika beliau menjawat Menteri Besar Johor, beliau telah menjadikan tariff air di negeri itu antara tertinggi di negara ini, dakwanya.

Elizabeth juga mendakwa, ada juga usaha untuk menswastakan air kepada syarikat korporat MMC Corporation yang dimiliki Syed Bulkhari dan ini sudah tentu akan meningkatkan beban rakyat.
Rakyat Johor berdepan dengan tariff air pada kadar tidak munasabah dan tidak mungkin menerima air percuma seperti di Selangor, katanya.

"Kerajaan Barisan Nasional mungkin mahu menggadaikan hak rakyat Johor, tetapi kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak akan berdiam jika ada pihak yang mengambil untung atas kesusahan rakyat," tegas beliau lagi.

Air: Pemuda PAS Selangor kesal sikap Pusat, Syabas

Harakahdaily, 25 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melahirkan rasa kekesalan dan kekecewaan dengan tindakan tidak demokratik kerajaan pusat terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di dalam isu pengurusan air di negeri itu.


"Tindakan kerajaan pusat mendahulukan kroni dengan menyebelahi pengkhianat rakyat Selangor iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk tidak menerima cadangan pengambilalihan Syabas oleh kerajaan negeri Selangor adalah sangat memualkan dan menjijikkan," kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya Pemuda PAS negeri menyelar tindakan kerajaan pusat kerana sanggup bersekongkol dan mempertahankan ‘lanun’ Syabas walaupun telah ditunjukkan pembuktian oleh kerajaan negeri Selangor bahawa Syabas telah melakukan kesalahan dengan melanggar syarat-syarat perkhidmatan  dan melakukan pengkhianatan secara terang-terangan apabila melaksanakan catuan air terhadap rakyat Selangor.


Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mengecam tindakan kerajaan pusat kerana mengambil kesempatan untuk meneruskan penganiayaan dan penindasan kepada seluruh rakyat negeri Selangor yang tidak berdosa akibat politik sempit balas dendam mereka di atas kekalahan lalu.

baginya, tema ‘rakyat didahulukan’ adalah memberikan tafsiran bahawa rakyat akan sering dimangsakan dengan pelbagai tekanan daripada setiap segi sama ada ekonomi, kehidupan dan sebagainya sekiranya Umno dan Barisan Nasional kehilangan kuasa pemerintahan di sesebuah negeri.

Sememangnya Umno dan Barisan Nasional adalah dari jenis spesis yang ‘cakap tidak serupa bikin’ yang hanya melihat kesalahan orang lain sedangkan diri mereka sendiri terpalit dengan najis kekotoran yang cukup busuk.

Sehubungan itu, kata beliau pihaknya akan menggerakkan massa untuk menerangkan isu air dan pengkhianatan Syabas ini bersama-sama dengan rakan-rakan pemuda di dalam Pakatan Rakyat dan kepimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor beserta badan-badan bukan kerajaan (NGO) supaya rakyat negeri itu dapat memahami dengan lebih mendalam selain melihat sendiri pengkhianatan yang telah dilakukan oleh Syabas dengan kerjasama kerajaan pusat terhadap rakyat.

Beliau mengingatkan rakyat agar perlu sedar dan memahami sekiranya pengurusan air di Selangor masih lagi diuruskan oleh Syabas maka kemungkinan banyak lagi keadaan sabotaj yang dilakukan.

Ini, katanya kerana Syabas bukan dikendalikan secara profesional untuk memberikan khidmat kepada rakyat tetapi dijadikan ‘budak suruhan’ Umno dan Barisan Nasional untuk memberikan tekanan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Jelasnya, air adalah hak milik kerajaan negeri Selangor dan rakyatnya, maka menjadi tanggungjawab seluruh rakyat negeri Selangor untuk menyokong tindakan Menteri Besar  untuk mengambi lalih pengurusan air untuk mempastikan rakyat terus menerima perkhidmatan pengurusan air yang lebih baik dan efisien.

Sedarlah Hisham kata Bersih haram ramai ditahan

Harakahdaily, 25 Jul 2012
TEMERLOH: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Kuala Lumpur membatalkan bahawa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sebagai pertubuhan haram sepatutnya menjadi pengajaran kepada kerajaan BN supaya tidak bertindak sesuka hati pada masa hadapan.


Ketika bercakap kepada Harakahdaily, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata rakyat masih ingat bagaimana deklarasi Bersih sebagai haram tahun lepas oleh kerajaan BN telah disusuli dengan pelbagai tindakan drastik seperti merampas baju kuning, sekatan jalanraya dan tindakan menangkap mereka yang menyertai Bersih dan memakai baju kuning menjelang perhimpunan 9 Julai 2011 yang digelar sebagai Bersih 2.0.

“Tindakan membuat pengisytiharan yang bercanggah dengan undang-undang sekurang-kurangnya menjadi satu peringatan masa depan, dan seharusnya beliau (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein) menyedari betapa ramainya peserta himpunan yang ditahan akibat pengisytiharan tersebut,” kata beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata walaupun keputusan mahkamah itu kini bersifat akademik kerana perhimpunan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 telah berlalu, namun keputusan itu membawa erti yang amat besar kepada perjuangan rakyat dalam menuntut sebuah sistem pilihan raya yang adil dan bersih.

Dalam pada itu, jawatankuasa bertindak Bersih menyeru kerajaan BN untuk tidak merayu keputusan tersebut walaupun mengakui ia adalah hak untuk mereka melakukannya.

Mereka menyeru agar kerajaan BN menerima realiti politik tanah air dan bekerjasama dengan Bersih sebagai satu pertubuhan yang sah menuntut satu pilihan raya yang adil dan bebas atas pihak rakyat.

“Untuk kebaikan negara, kami secara ikhlas meminta mereka untuk tidak menfailkan rayuan dan menarik balik semua kes sivil terhadap kami kerana ia membazir duit rakyat,” kata Bersih dalam satu kenyataan.

Jawatankuasa bertindak Bersih 2.0 mempunyai 14 anggota dan diketuai oleh Datuk Ambiga Sreevenasan dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Hishammuddin pula berkata kementeriannya akan berbincang dengan Peguam Negara untuk menentukan sama ada perlu menfailkan rayuan terhadap pembatalan deklarasi bahawa Bersih adalah pertubuhan haram.

Bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar pula meremehkan tuntutan untuk perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Hishammuddin untuk meminta maaf terhadap Bersih dan peserta perhimpunan aman itu dengan menyatakan bahawa ia adalah dalam bidang kuasa Hishammuddin untuk melabelkan Bersih sebagai haram.

Sebelum ini, Najib juga telah menggelar peserta Bersih sebagai mufsidun.

"Saya masih hidup" - Tinta Hijau DKB

Harakahdaily, 25 Jul 2012

(Aris Muhammad aka Tinta Hijau DKB berbaju hijau muda dan berkupiah, berdiri dua dari kanan di barisan belakang)

BESUT: Telah berlaku sedikit kekeliruan dan salah maklumat tentang berita kematian seorang blogger yang dikenali sebagai Tinta Hijau Dari Kaki Bukit (Tinta Hijau DKB) sebagaimana tersebar luas di ruang maya baru-baru ini.

Blogger terbabit yang berasal dari Kuala Besut dekat sini, ketika ditemui berkata, beliau masih sihat dan tidak pergi ke mana-mana.

“Yang meninggal dunia sebenarnya ialah Nik Hazman Nik Hashim yang juga facebooker Tinta Hijau bukannya  Blogger Tinta Hijau DKB.

“Saya sihat AlhamduliLlah, masih panjang umur, dan duduk di sini (tidak menunaikan umrah ke Mekah),”ujarnya sebagaimana dilaporkan lman BuletinOnLine.

Blogger  Tinta Hijau DKB atau nama sebenarnya Aris Muhammad berkata demikian selepas program bincang santai ‘Kuasa Media Baru’ dalam pertemuan Tenaga IT dan Media Kawasan Besut baru-baru ini.

Menurutnya, beliau tidak mengemaskinikan blog beliau kerana masalah talian internet di kawasannya yang menghadapi masalah akibat kecurian kabel.

“saya masih hidup dan dalam keadaan sihat walafiat, cuma agak lama tak ‘update’ blog ni akibat berlaku kecurian kabel TM.

“Sampai hari ini pihak TM masih belum menggantikan kabel yang dicuri,”jelasnya.--BuletinOnLine.net

Pengasas Koperasi Pengguna Insaf meninggal

Khairul Azlam Mohamad, 25 Jul 2012
MARANG: Koperasi Pengguna Insaf Terengganu (KoInsaf) Berhad kini kehilangan pengasasnya yang telah kembali ke rahmatullah akibat penyakit kanser buah pinggang.

Mohd Nor Embong, 56, dari Kampung Rusila Marang disahkan meninggal dunia pada jam 4.10 petang semalam di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu. (Allahyarham diziarahi sahabat ketika dirawat di HSNZ Kuala Terengganu.)
Beliau lebih dikenali Cikgu Nor, dimasukkan di hospital berkenaan sejak hampir dua bulan lalu kerana komplikasi batu karang hingga membawa kepada kanser buah pinggang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Najibah Mohd Daud, empat orang anak serta dua cucunya.

Jenazah allahyarham disembahyang dan diimamkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selepas solat terawih bersama lebih 500 ahli jemaah di Masjid Rusila.

Selepas itu, jenazah allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rusila, Marang sekitar jam 10.15 malam tadi.

Hadir sama mengiringi jenazah termasuk Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, setiausaha, Yahaya Ali dan Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah.

Pengerusi KoInsaf, Hussin Ismail menyifatkan allahyarham sebagai seorang rakan, sahabat dan pekerja parti PAS yang komited dalam perjuangannya.

“Allahyarham Cikgu Nor adalah pengasas koperasi KoInsaf Berhad di Terengganu. Sejak ditubuhkan dia masih kekal sebagai ALK KoInsaf Berhad hingga akhir hayatnya.

“Beliau juga seorang yang komited dengan parti dan pernah memegang beberapa jawatan dalam Pemuda PAS Marang ketika zaman muda dahulu,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tiada ulasan: