Rabu, 18 Julai 2012

APA YANG KITA TULIS...ATAU YANG COPY PASTE...APA YANG KITA TIPU....APA YANG KITA LAGA2KAN...APA YANG KITA FITNAH DDL...AKAN ALLAH TANYA DIAKHIRAT KELAK...SABIT KESALAHAN TU...ALLAH MASUK KAN KEDALAM NERAKA

Kebebasan media: Satu lagi retorik Umno BN

Harakahdaily, 17 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan hak penjualan dan pengedaran akhbar milik Pakatan Rakyat yang sama seperti akhbar-akhbar arus perdana yang lain.
Ini ekoran Muhyiddin berkata bahawa anggapan bahawa kerajaan mengongkong dan menyekat kebebasan media tidak benar sama sekali.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmi dan menyampaikan Anugerah Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2011, malam tadi.

“DPPWP melihat walaupun Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 telah dimansuhkan namun ia hanyalah sekadar retorik kerajaan BN semata-mata,” ujar Ketua DPPWP, Kamaruzaman Mohamad (gambar).

Katanya, sekatan penjualan dan pengedaran akhbar milik Pakatan Rakyat masih seperti dulu yang mana penjualan hanyalah terhad kepada ahli sahaja sedangkan akhbar milik Barisan Nasional seperti Utusan Malaysia yang penuh dengan fitnah dan lucah masih bebas berada di pasaran tanpa sebarang sekatan.

“Apakah ini yang dinamakan kebebasan media di negara ini?” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, diskriminasi terhadap akhbar pembangkang yang terang-terangan menyalurkan fakta kepada rakyat.

Tambahnya, Kerajaan BN seolah-olah tidak berminat untuk memberikan kebebasan media di negara ini.

Beliau berkata, penurunan indeks kebebasan media Malaysia kepada 144 yang dikeluarkan Freedom House juga masih belum mampu menginsafkan kerajaan Umno BN.

Katanya lagi, Umno BN dilihat semakin takut dengan media-media pro pembangkang apabila kekejian dan keburukan mereka semakin hari semakin dilondeh.

Ini, ujarnya kerana media alternatif semakin berperanan di dalam menelanjangkan Umno BN.

“Keputusan PRU 2008 telah membuktikannya dan kini Umno BN sedang mencari jalan untuk menyekat media elektronik pro pembangkang ini sebagaimana yang dibuat kepada akhbar-akhbar milik pembangkang,” katanya.

DPPWP, ujar beliau melihat Umno BN memberikan makna berita fakta dan sahih sebagai berita yang memuji kejayaan parti itu dan keburukan pemimpin-pemimpin pembangkang sahaja.

“Sekiranya terdapat akhbar yang menyiarkan kritikan kepada kerajaan, maka itu adalah bersifat fitnah dan sekatan serta merta akan dilakukan,” ujar Kamaruzaman.

10 ribu Cybertrooper UMNO-BN adalah anti-nasional

Lim Kit Siang , 17 Jul 2012
Pada bulan November tahun lepas, Perdana Menteri Najib Razak telah melancarkan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia di Putra World Trade Centre, Kuala Lumpur, dengan merekrut 2,000 pengguna media sosial yang telah menghadirkan diri sebagai angkatan tentera baru pahlawan siber UMNO-Barisan Nasional.

Semenjak itu, kira-kira 10 konvensyen media sosial telah diadakan di negeri-negeri yang berlainan, iaitu sebahagian daripada program untuk merekrut lebih 10,000 "cybertrooper" UMNO-BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Seperti yang ditekankan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Rais Yatim dalam pelancaran edisi Selangor padabulan lepas, "cybertrooper" UMNO-BN haruslah "menyerang balas segala fitnah yang sedang berlaku di laman-laman sesawang".

Tambah beliau, "Jika orang ramai mahu terus 'tweet' yang 'Bersih itu bersih' orang ramai akan percaya bahawa gerakan tersebut adalah tulen.  'Tweet' balik dan katakan yang Bersih itu kotor".

Najib harus menjelaskan mengapa dana awam harus dibelanjakan untuk merekrut angkatan tentera lebih dari 10,000 'cybertrooper' UMNO-BN menjelang Pilihanraya Umum Ke-13 yang akan datang, tidak kiralah melalui Biro Tatanegara (BTN) atau Sekretariat 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang membayar cukai juga wajib diberi penjelasan jumlah daripada peruntukan dana awam yang telah digunakan di atas setiap satu Konvensyen Media Sosial 1Malaysia sejak bulan November lalu untuk merekrut lebih 10,000 "cybertrooper" UMNO-BN, terutama sekali yang menyamar di bawah program Jelajah Janji Ditepati oleh Perdana Menteri.

Rakyat Malaysia kini mula khuatir mengenai Konvensyen Media Sosial 1Malaysia Najib yang berusaha untuk merekrut 10,000 "cybertrooper" UMNO-BN sememangnya anti-nasional dengan tidak mengendahkan objektif 1Malaysia untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang beretika, harmoni dan bersepakat.

Ini jelas dapat dilihat oleh konvensyen media sosial anjuran BTN dan Sekretariat Media Sosial 1Malaysia pada hari Sabtu di mana Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia Mohd Zaini Hassan telah mengesahkan lagi kewartawanan yang tidak beretika dan tidak jujur dalam memutarbelitkan fakta serta menjadikan yang palsu itu benar.

Inilah kesalahan Utusan dalam tiga tahun Najib sebagai Perdana Menteri, penyebaran perkara yang palsu sebagai fakta, samada dalam berita muka hadapan Utusan baru-baru ini yang melaporkan yang DAP akan bertanding 90 daripada 222 kerusi parlimen dalam PRU13 untuk mendominasi Pakatan Rakyat dan untuk melantik Perdana Menteri dalam Pilihanraya Umum Ke-13 sebagai sebahagian daripada kempen kejam untuk mengapikan-apikan sentimen dan syak wasangka di antara kaum, menakut-nakutkan rakyat serta dakwaan awal bahawa DAP mahu menubuhkan Malaysia di mana agama rasminya Kristian dan perlantikan Perdana Menteri beragama Kristian atau untuk menubuhkan satu Negara republik dan memansuhkan sistem raja-raja berperlembagaan.

Walaupun wartawan Malaysiakini, Ahmad Fadli Kc yang membuat laporan mengenai ucapan Zaini, telah dihalau daripada Konvensyen Media Sosial, ianya disebabkan laporan yang dibuat berhubung dengan apa yang dikatakan oleh Timbalan Pengarang Utusan adalah secara jujur dan bertanggungjawab dan bukan diputarbelitkan.

Ini juga merupakan sebab mengapa tidak ada di antara Zaini, BTN atau Sekretariat Konvensyen Media Sosial 1Malaysia yang telah menafikan ketepatan kenyataan Zaini bahawa "Memutarbelit untuk menyerang pihak pembangkang dianggap ok" dengan contoh daripada Utusan yang "memutarbelit" untuk menyebarkan berita yang berunsur palsu dan bohong.

Saya telah berpeluang untuk mendengar rakaman ucapan Zaini dalam Konvensyen Media Sosial 1Malaysia dan saya boleh mengesahkan bahawa apa yang telah dilaporkan oleh Ahmad Fadli Kc adalah benar dan tepat.

Dalam pada itu, Rais patut menjelaskan mengapa Konvensyen Media Sosial 1Malaysia pada sesetengah masa dilihat sebagai 1Malay - yang jelas menentang objektif 1Malaysia.

Dalam Konvensyen Media Sosial Selangor pada bulan lepas, Rais telah berkata yang kaum Melayu mesti bersatu padu untuk menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum yang akan datang untuk memastikan hak-hak mereka tidak dirampas oleh pihak pembangkang.

Menurut Rais, Melayu mesti "faham akan identiti mereka" dan "tahu akan hak-hak mereka".

Katanya lagi, "Sebab mengapa kita hilang begitu banyak kerusi dalam pilihanraya umum 2008 adalah kerana Melayu telah lupa diri sendiri".

"Bagi sesebuah komuniti untuk kekal berkuasa, mereka haruslah faham akan kekuatan bilangan majoriti dalam politik, di mana kata sepakat bilangan majoriti dapat menentukan sesuatu".

Tiada siapa akan berasa hairan jika Rais telah membuat kenyataan dalam mana-mana acara UMNO di mana pemimpin UMNO mendapat inspirasi daripada Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin daripada Perdana Menteri, dengan menolak polisi 1Malaysia, terutamanya deklarasi Muhyiddin bahawa beliau Melayu dahulu dan kemudian warga Malaysia.

Bukankah deklarasi Rais dalam Konvensyen Media Sosial 1Malaysia amat tidak bertempat apabila beliau telah membuat deklarasi akan kesetiaannya kepada laungan Muhyiddin "Melayu dahulu, kemudian warga Malaysia" dan berpisah daripada polisi 1Malaysia?

----------------------------------
* Kenyataan media oleh Lim Kit Siang selaku Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Timur.


Tiada air percuma jika laksana Langat 2

Harakahdaily, 17 Jul 2012
SHAH ALAM: Exco kerajaan negeri Selangor mendakwa, rakyat Selangor bakal hilang hak air percuma sekiranya projek Langat 2 diteruskan.

Ini kerana kos pembinaannya terlalu tinggi dan bakal dibebankan kepada pengguna selepas ini, kata Dr Dr. Xavier Jayakumar (gambar) dalam kenyataannya.

Dr. Xavier memberikan tujuh sebab penting mengenai projek Langat 2 iaitu:-

1) Kos penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor dan Pembinaan Loji Langat 2 adalah bernilai RM8.65 Bilion.

2) Walaupun dana keseluruhannya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan tetapi sumber dana tersebut diperolehi dari pinjaman dari Japan International Cooperation Agency (J.I.C.A) dari Negara Jepun.

3) Bagi membayar bagi kos projek, kerajaan Pusat (melalui pembekal dan pengedar air tunggalnya, iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tiada pilihan lagi melainkan mengenakan kadar tariff (harga air) yang tinggi kepada pengguna iaitu rakyat Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.
(Kita menjangkakan bahawa harga akan akan meningkat sehingga 70% selepas Loji Langat 2 siap sepenuhnya  dijangka pada tahun 2014)

4)  Sekiranya kenaikan air tersebut berlaku dimana rasionalnya untuk memberikan  20 meter padu Air Percuma kepada rakyat Selangor dan pengguna-pengguna yang lain.

5) Harus juga diingat bahawa Syabas adalah sebuah syarikat korporat swasta yang berorientasi ‘keuntungan’ (Profit making company) dan kita tidak nampak Syabas mampu mengorbankan keuntungannya bagi tujuan tersebut.

6) Syabas juga dilaporkan menanggung hutang bernilai RM2.8 bilion kepada operator loji rawatan air dan dalam keadaan kewangannya yang meruncing ini maka adalah sukar untuk Syabas memberikan Air Percuma.

7) Harus diingat bahawa rekod kami menunjukkan bahawa kerajaan Negeri membelanjakan RM144 juta setahun bagi pemberian 20 meter padu Air Percuma kepada Rakyat Selangor .

Beliau mengulas kenyataan Datuk Noh Omar, Menteri Pertanian Asas Tani merangkap Timbalan Pengerusi UMNO Selangor  yang mengatakan bahawa rakyat Selangor akan terus diberikan air percuma sekiranya Barisan Nasional berjaya merampas Selangor dalam PRU 13 yang akan datang.

"Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan Noh Omar itu tidak berasas dan merupakan retorik politik," katanya.

Berdasarkan fakta-fakta di atas, katanya, jelaslah Noh Omar hanya bercakap kosong, sekadar menabur gula-gula politik bagi mengaburi mata rakyat Selangor.

Flashmob mahasiswa bebas 45 tahanan ISA esok

Harakahdaily, 17 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan mengadakan satu siri 'Fllashmob' di ibu negara berhubung isu ISA yang tidak lagi selesai sehingga hari ini walaupun PM telah mengumumkan pemansuhan akta yang lebih bersifat 'zalim' itu sejak September tahun lalu lagi.


Pengerusinya, Safwan Anang (gambar) berkata, mahasiswa tetap dengan pendirian bahawa selagi Kem Tahanan Kamunting masih dibuka selagi itu kerajaan hanya retorik dengan janji manis.

Tegasnya, SMM berpendirian bahawa rakyat harus terus bangkit menolak penggunaan akta 'menahan orang tanpa bicara' ini. Ini adalah disebabkan kerajaan sehingga sekarang hanya mampu bermain dengan janji-janji manis dengan kononnya ingin menghapuskan undang-undang yang bersifat kuno walaupun dengan menggantikannya pula dengan undang-undang yang lebih ketat antaranya seperti akta himpunan aman.

“Mahasiswa merasakan perkara ini harus diceritakan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang apakah perkara sebenar yang sedang berlaku,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, rakyat perlu tahu bahawa sehingga sekarang masih ada lagi dari kalangan rakyat Malaysia sendiri yang ditahan di bawah ISA.

SMM juga, ujarnya berpendirian tegas dalam isu pemansuhan ISA terutama apabila respons menteri yang bertanggungjawab penuh dalam mempertahan akta zalim ini hanyalah dilihat sebagai sindiran kepada tahanan dan mereka yang turut membantah akta ISA.

“Menteri seperti ini lebih baik meletakkan jawatan daripada terus menzalimi rakyat sendiri,” katanya.

Justeru, tambah beliau SMM menyeru kepada seluruh mahasiswa dan rakyat Malaysia yang cakna dengan isu itu untuk sama-sama turun ke Flashmob Mahasiswa Bebaskan 45 Tahanan ISA esok, 17 Julai jam 12 tengah hari di Kuala Lumpur Sentral.

“Kami juga menjemput seluruh rakan-rakan media untuk turut bersama esok. Kita sampaikan mesej penting ini kepada seluruh rakyat Malaysia!” katanya.

Serah tanah: PAS anggap maklumat palsu

Anis Nazri, 17 Jul 2012
KUALA LUMPUR: PAS mendakwa terdapat maklumat palsu yang terkandung dalam prospektus Felda Global Venture Holdings (FGVH) membabitkan penyerahan tanah Felda Plantation.

Maklumat membabitkan persetujuan penyerahan tanah Felda itu bagi tujuan penyenaraian FGVH itu dikatakan melibatkan kerajaan negeri Kedah dan Kelantan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata prospektus tersebut menyebut bahawa pihak FGVH telah mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri kedah dan Kelantan untuk menyerahkan tanah rezab Melayu itu.

"Bagaimanapun, apabila saya periksa, kedua-dua kerajaan negeri itu tidak pernah bersetuju untuk berbuat demikian.  Memandangkan hal berkaitan tanah ini merupakan kuasa kerajaan negeri, maka perlu mendapatkan persetujuan terlebih dahulu," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena pada sidang media, di lobi parlimen, semalam.

Sehubungan itu, beliau mendesak kedua-dua kerajaan PAS itu mengambil tindakan undang-undang terhadap FGVH kerana memuatkan maklumat palsu berhubung perkara tersebut.

Sambil menyifatkan perbuatan tersebut bertentangan dengan satu peruntukan undang-undang, iaitu Akta Pasaran Modal,  Seksyen 214, Mahfuz berkata perbuatan juga berkemungkinan bagi mengaburi pihak pelabur kononnya penyenaraian tersebut tidak bermasalah.

Tiada ulasan: