Jumaat, 20 Julai 2012

INI BUKAN SOAL BULI...SOAL MENANG ATAU KALAH....KERANA ANGIN TAK MENYEBELAH UNTUK MENANG...NI DISEBABKAN KEPINCANGAN...PENYELEWENGAN...PEMBAZIRAN...PENIPUAN DLL SEKIAN LAMA...TIBA MASANYA ALLAH NAK MENGHUKUM...HUKUM TERUS MENERUS AKAN DATANG JIKA TETAP BONGKAK DENGAN ALLAH....

Krisis air Selangor di musim hujan?

-, 20 Jul 2012
Dengan musim hujan mutakhir ini, sukar bagi kerajaan Pusat untuk meyakinkan rakyat bahawa negeri Selangor akan bakal berdepan dengan krisis bekalan air. Cukup ironis, namun itulah sajian media BN saban hari kepada rakyat.

Memang benar. Yang dibicara bukannya air mentah atau air dipermukaan bumi yang dianugerahkan Allah melimpah ruah dalam bentuk hujan. Simpanan lebih besar lagi dari 7 empangan Selangor adalah air bawah tanah (ground water) yang jauh lebih lumayan yang juga belum dimanafaatkan.

Mengapa kerajaan Pusat menganggu dan mencabar kedamaian hidup pengguna dan rakyat di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya dengan isu ini? Mengapa mereka mahu cetus rasa takut, gundah-gulana serta keluh kesah rakyat? Mengapa mereka berhajat bagi menerbitkan rasa krisis di negeri di bawah Pakatan Rakyat ini?

Sekali lagi AIR cuba dijadi modal politik dan isu untuk menjatuhkan kredibiliti dan wibawa kepimpinan Pakatan Rakyat di bawah menteri besarnya. Berdepan dengan pelbagai kebejatan urus-tadbir yang serba dipertikaikan, khasnya pendedahan pelbagai kes rasuah dan salahguna kuasa elit pemerintah, kerajaan BN sememang mahu mengalehkan pandangan rakyat.

Apakah pemimin Umno-BN terlupa bahawa air dan penswastaannya di seluruh negara, khasnya di Selangor, adalah ‘jenayah’ dan ‘dosa’ yang belum lagi mereka tebus dan bertaubat? Ceritanya terlalu panjang untuk diziarahi kembali.

Tegasnya, umum sedar bahawa penswastaan air yang dilakukan dalam zaman Tun Mahathir gagal. Seperti mana gagalnya kebanyakan penswastaan utiliti dan perkhidmatan awam yang dulunya dikendali oleh kerajaan, kegagalan penswastaan air, cuba dirungkaikan ‘selamatkan’ dengan satu dasar bernama “Penstrukturan Semula Industri Air”. Terlalu banyak yang diselamatkan atau ‘bailout’.

Setelah hampir enam tahun selepas penubuhan Suruhanjaya Perkihdmatan Air Negara (SPAN, 2006) dan Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA, 2006) diperkenalkan bersama dengan pengenalan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB, 2006) bagi melaksanakan matlamat ‘penstrukturan’ dan ‘migrasi’ dari ‘regim konsesi’ ke ‘regim pajakan’, kerajaan Persekutuan masih gagal untuk menyempurnakan dasar ini untuk negeri Selangor. Mengapa?

Negeri-negeri lain termasuk negeri Pakatan seperti Pulau Pinang dan Kedah turut berjaya dilakukan ‘migrasi’ dan pemindahan asset-aset negeri kepada PAAB dan berakhir dengan Kementerian Pusat memberi hak pajakan bagi ‘merawat dan mengurus pengedaran’ air samada kepada kerajaan negeri atau pihak swasta. Contohnya, Johor pihak swasta yang dapat. Melaka dan Negeri Sembilan diberikan kepada kerajaan negeri.

Isunya ialah mengapa dalam kes negeri Selangor, kerajaan Persekutuan mengambil sikap yang berbeza? Mengapa kerajaan Persekutuan tidak mahu membuat keputusan untuk memberikan lesen pajakan kepada salah satu entiti ini: Kerajaan Negeri atau Pihak Swasta?

Nah, inilah isu besarnya yang kerajaan Pusat cuba mengelak untuk buat keputusan! Ia sekaligus membayangkan kedudukan serba–salah kerajaan Pusat dan khasnya Menteri KTTHA itu. Tidak sukar untuk membuat telahan mengapa sedemikian jadinya. Nak bagi kat swasta akan dituduh memberi kepada kroni yang telah jelas gagal, antara lainya; mengurangkan NRW atau “Air Tak Berfaedah” hasil kebocoran paip dan sebagainya serta juga gagal memenuhi beberapa terma konsesi tentang perolehan atau ‘procurement’.

Untuk diberikan kepada kerajaan negeri pula, jelas bertentangan dengan kepentingan membela kroni yang sememang hidup dengan ‘pemberian kontrak dan konsesi’ seperti ini.

Umum juga tahu bahawa sudah hampir 4 tahun kerajaan negeri mengemukakan pelbagai cadangan yang terbaik bagi menangani kemelut air di Selangor akibat air penswastaan air yang ‘menswastakan sektor yang untung’ yakni ‘rawatan air’ dan ‘merakyatkan’ sektor yang rugi yakni ‘pengedaran’.

Umum masih ingat tabiat ‘kecurangan dan pengkhianatan’ ini yang menyaksikan bagaimana Jabatan Bekalan Air Selangor (JBAS) pertama-tama diswasta aspek rawatan kepada Puncak Niaga, Abbas dan Splash. Sementara itu ‘aspek pengedaran’ yang ‘tak menguntungkan’ dikekalkan dengan JBAS yang kemudian dikorporatkan menjadi Perkhidmatan Uruan Air Selangor (PUAS) dan akhirnya juga diswastakan menjadi SYABAS (2005).

Syabas dalam pada itu menanggung kerugian sebanyak hampir RM1 bilion atas kos pembanguan (Capex dan juga Opex) sementara pihak pemilik konsesi mengaut keuntungan tetapi masih juga memerlukan hutang bagi kegiatan kos pembangunan atau Capex mereka.

Cerita untung dan rugi dan banyak mana dividen yang telah diagihkan serta hutang yang ditanggung oleh pemilik konsesi air Selangor ini, sarat di bawa dalam media, hal tentang gaji pengerusi, pengarah-penagarah dan kemewahan pejabat dan kereta dan sebagainya. Berita tentang dakwa-dakwi mahkamah satu yang cukup lumrah. Majalah ‘The Edge’ yang terkemuka itu sahaja telah banyak menjadikan isu ‘Air Selangor’ ‘lead story’ mereka beberapa kali. Jenuh dan bosan rakyat membacanya.

Bagi menggemparkan rakyat dan pengguna terkini, Syabas dan sekutu-sekutu NGOnya mendedahkan bahawa keperluan terkini rakyat Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur sudah meningkat ke paras 4329 MLD (juta liter sehari) sementara keupayaan kesemua pihak konsesi rawatan air hanya mampu membekalkan maksimum sebanyak 4371 MLD termasuk, kononnya, loji di empangan Sungai Labu yang baru.

Ini macam pendekatan “Shock Doctrine’ buku karangan Naomi Klien bagi mengejutkan lawan dan seteru politik. Cumanya, Menteri Besar Selangor ini bukan calang-calang lawan yang boleh dijatuhkan begitu sahaja. Bukankah beliau yang merancang strategi menggunakan ‘shock doctrine’ melalukan ‘morning raid’ di Bursa ‘London Stock Exchange’ bagi mendapatkan 51% saham untuk PNB ke atas syarikat gergasi British Kumpulan Guthrie dalam tahun 1981?

Lalu belum sempat kejutan tentang krisis air itu dapat dirasakan oleh rakyat Selangor, MB ini telah menghendap balas dengan ‘pengistiharan mengambilan pengurusan Syabas’. Mengikut perjanjian konsesi penswataan air, kerajaan negeri melalui peruntukan klausa 32, berhak mengambil balik pengurusan pengedaran air sekiranya pihak konsesi gagal memenuhi dan komplian kepada terma-terma perjanjian.

Persoalan samada kerajaan negeri mampu mengambil alih secara teknikal pengurusan pengedaran air yang selama hari ini dikendalikan oleh Syabas menjadi isu kedua. Ramai kakitanagn Syabas dengarnya bersedia berkhidmat dengan kerajaan negeri. Pokoknya, kerajaan negeri punya kuasa yang termeterai dalam peruntukan perjanjian konsesi.

Nah, masakan tak gelabah pihak Syabas. Hampir nak terkencing pengerusinya agaknya. Penulisan ringkas ini tidak berupaya menyenaraikan pelbagai aspek polemik dan pertikaian isu air ini. Ini bukan pentas dan forumnya. Cumanya nak dikatakan bahawa pihak kerajaan Umno-BN tersasar dalam membuat congakan dan percaturannya meleset.

Kini kerajaan negeri mencabar Syabas bahawa mereka akan menghantar satu kumpulan profesional untuk meneliti operasi harian Syarikat Bekalan Air Selangor itu, bagi mengenalpasti keadaan semasa air terawat di negeri ini.

Putar-belit isu Langat 2 dalam menggarap isu ‘krisis kerkurangan air’ di Selangor ini, lebih menampakkan kebobrokan dan pengkhianatan Umno-BN kepad rakyat. Projek yang menelan RM8.65 bilion seluruhnya itu, pada asasnya adalah untuk menangani bekalan air mentah (dan juga rawatan kemudiannya), sebagai projek perpindahan antara negeri yakni bekalan dari Pahang. Isu di sini bukan bekalan air mentah! Kenapa nak belanja sampai RM8 bilion?!

Tentunya lebih banyak tandatanya dan persoalan yang menerjah pemikiran rakyat. Bingung rakyat. Kenapa kerajaan Persekutuan mahu menambah statistik hutang yang sudah mencecah RM456.3 bilion itu? Lebih penting lagi, apakah itu prioritinya?

Paling memalukan terkini adalah penubuhan sebuah jawatankuasa Kabinet bagi menangani ‘krisis air’ ini. Lebih ‘aib lagi adalah keanggotaannya! Sudahlah TPM yang mempengerusikannya, anggota macam Menteri Pertanian itu takpayahlah. Menteri Wilayah itu menasabah juga sebab menyangkut kepentingan rakyatnya. Tetapi Menteri Senator di JPM itu buat apa dimasukkan juga kerana kalaulah untuk ‘power’ penyampaian power-pointnya itu, boleh di koop kemudian sahaja.

Umum terus bertanya perwakilan kerajaan negeri Selangor dan pakar-akar air dari pihak NGO yang bi-partisan dan juga pihak profesional kenapa tak ada?

Kesilapan-kesilapan maha besar kerajaan Umno-BN dihujung-hujung parlimen ke-12 ini semakin terdedah dan terserlah. Apakah begitu nasibnya di saat nazak pemerintahan ini, yang telah terlalu lama berkuasa – lebih  5 dekad!. Cukuplah!
----------------------------------------------------------------
Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor.


SPR tawar empat badan jadi pemerhati PRU 13

Harakahdaily, 20 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Empat badan telah dijemput oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjadi pemerhati tempatan dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Ke empat-empat badan itu adalah ASLI Centre for Public Policy Studies (ASLI-CPPS) Merdeka Center Transparency International Malaysia dan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ke empat-empat badan itu, tawaran itu dibuat oleh SPR dalam pertemuan mereka dengan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof semalam.

Bagaimanapun, sehingga kini, mereka belum lagi menerima sebarang tawaran bertulis.

"Buat masa ini kami sedang berunding terma dan syarat dengan SPR," kata kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ng Yeen Seen, Pengarah Asli-CPPS, Ibrahim Suffian, Pengarah Program, Merdeka Center, Josie Fernandez, Setiausaha Agung, Transparency International Malaysia dan Wan Saiful Wan Jan, Chief Executive, Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).

Antara yang mereka bincangkan adalah permintaan agar SPR mempastikan perjalanan pilihan raya kali ini mengikut standard antarabangsa.

Mereka juga mempersoalkan rasa tidak senang beberapa pihak tentang ketelusan pemilihan badan yang boleh menjadi pemerhati dalam pilihan raya kali ini.

Dalam pertemuan dengan Pengerusi SPR, mereka juga meminta SPR agar mematuhi standard antarabangsa dalam menentukan syarat dan peraturan ke atas pemerhati pilihan raya ini.

KLIA2: Lagi kepincangan dalam kontrak

Muhammad Faizal, 20 Jul 2012
PETALING JAYA: PKR hari ini mendedahkan wujud penyelewengan berlaku dalam pemberian kontrak bagi kerja-kerja kawalan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) kepada sebuah syarikat yang telah gagal sewaktu proses pembidaan.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (gambar) pada sidang media di Ibu Pejabat PKR memberitahu jika sebelum ini dikejutkan isu masalah sistem radar yang dibangunkan Selex Sistem Integrati (SELEX) dan Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (AAT) di Pusat Kawalan Trafik Udara Nasional (NATCC) di Subang, kini PKR difahamkan salah satu syarikat tersebut telah mendapat projek di KLIA2 walaupun ia pembida yang kalah.

"Kita mendapat mahlumat bahawa AAT merupakan salah satu dari tiga syarikat yang telah memasukkan bidaan untuk membangunkan sistem kawalan udara di KLIA2.

"Bagi projek KLIA2, syarikat AECOM dilantik menjadi konsultan kepada Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan telah memulakan pengumpulan maklumat, data dan laporan sejak Februari 2010 untuk memberikan pendapat komprehensif; terutamanya di dalam tiga aspek iaitu sistem kawalan udara, prosedur dan peralatan," jelasnya.

Katanya lagi, AECOM juga mendapati ada keraguan dalam keberkesanan sistem kawalan udara SELEX dan mengesyorkan peningkatan sistem kawalan udara supaya ia dinaiktaraf dan kekal relevan supaya dapat menangani kapasiti penerbangan dengan lebih baik dan berkesan apabila KLIA2 dibuka nanti.

"Meskipun laporan penilaian teknikal AECOM bertarikh 9 Disember 2011 telah mengiktiraf kebolehan syarikat AMP Corporation (M) Sdn Bhd (AMCOP) untuk melaksanakan projek tersebut dengan baik dan telah menyarankan AMPCOP dipilih.

"Namun akhirnya projek ini telah diberikan kepada AAT iaitu sebuah syarikat yang mengikut laporan penilaian teknikal tersebut, tidak memenuhi spesifikasi teknikal yang diperlukan untuk projek ini," sambungnya.

Walaupun nilai bidaan AAT adalah lebih rendah daripada AMCOP, kelulusan hanya boleh diberikan sekiranya AAT menepati kesemua keperluan teknikal yang disenaraikan.

Tambahnya lagi, mesyuarat Jawatankuasa Khas Perolehan MAHB juga dengan jelas memberikan penilaian dan rekomendasi seperti berikut pada 15 Mac 2012.

"Pemilihan AAT mengejutkan kerana sebelum ini AAT juga terjerumus di dalam kontroversi yang mengancam keberkesanan keselamatan sistem kawalan udara di Malaysia serta para penumpang pengangkutan udara menerusi makluman dalaman tentang senarai kecacatan dan kestabilan penyenggaraan sistem radar MIP-2 di Lapangan Terbang Subang.

"Insiden-insiden kecacatan di dalam sistem MIP-2 juga diakui oleh Jabatan Penerbangan Awam, dan emel dalaman pegawai DCA dan ATC yang menggambarkan sistem radar kelolaan SELEX tidak berfungsi secara memuaskan," sambung Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi.

Nurul Izzah menegaskan bahawa senarai kecacatan di dalam sistem MIP-2 adalah mirip masalah teknikal yang dihadapi oleh sistem LEFCO keluaran SELEX yang dibatalkan di Cyprus.

"Kalau Parlimen Cyprus berani membatalkan projek, saya desak Kementerian Pengangkutan menjemput ICAO untuk mengadakan audit ke atas sistem MIP-2 dan sekaligus melenyapkan tanda tanya terhadap keberkesanan sistem radar di Malaysia.

"MAHB dan MOT wajib menjawab dan menjustifikasikan penganugerahan projek sistem kawalan udara KLIA2 kepada AAT kerana kita tidak mahu keselamatan orang awam diperjudikan dengan pemilihan semberono," tegasnya lagi.

Sebelum ini, KLIA2 sebelum ini pernah menghadapi kontroversi antaranya, pemilihan tapak dengan permukaan tanah yang lembut dan tidak sesuai untuk membangunkan lapangan terbang namun maklumat yang tidak diketengahkan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) kepada rakyat.

Selain itu, kenaikan kos dari RM1.7 bilion kepada RM 3.6 bilion dan penundaan tarikh siap pembinaan dari September 2011 ke April 2013; menambahkan lagi kontroversi, dan tentunya penggunaan wang rakyat apabila nilai projek KLIA2 melambung tinggi nanti.

PDRM diminta jaga negara, bukan Umno

Harakahdaily, 20 Jul 2012
KUALA LUMPUR: PDRM Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta menjaga kepentingan negara bukannya menjaga kepentingan Umno dengan membuat fitnah kepada pihak lain.

Polis juga diminta jangan menimbulkan suasana tidak tenteram di dalam negara ini, apabila cuba mengaitkan PAS dan Pakatan Rakyat telah diresapi oleh gerakan JI dan komunis.

Permintaan ini dibuat oleh AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Terbaru Ketua Penolong Pengarah E2 (M), Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin berkata Cawangan Khas itu mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi PAS selain elemen gerakan komunis dalam DAP.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan syarahannya bertajuk "Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama" pada Konvensyen Pemimpin Muda Negara di Parlimen anjuran  Parlimen Malaysia bersama-sama Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi, Institut Pendidikan Guru dan Majlis Belia Malaysia.

"Jika benar perkara ini kenapa  polis tidak bertindak segera, sebaliknya perkara ini telah didedahkan kepada pelajar di dalam taklimat keselamatan.

"Apakah ini modus operandi polis, dedah dahulu baru hendak bertindak?" soal Idris.

Kalau perkara keselamatan negara pihak polis hendak mempolitikkan, maka amat malang negara mendapat perkhidmatan polis seperti begini, kata Idris.

Beliau seterusnya mempersoalkan, mana ada di dunia ini, pihak keselamatan sebuah negara mencerita dahulu, kemudian baru bertindak.

"Pihak PDRM jangan memalukan negara, apabila perkara besar sudah menjadi rahsia umum.

"Modul mana pihak PDRM belajar, suatu perkara yang merbahaya didedahkan kepada umum terlebih dahulu.

"Sampai bila negara akan selamat jika tektik heboh dahulu baru bertindak," soal beliau.

Idris juga bertanya, kenapa pihak PDRM tidak bertindak kepada keganasan yang dilakukan oleh penyokong Umno seperti keganasan di Jalan Kebun Kelang, Lembah Pantai, Imam Masjid Teras Jernang ditumbuk, serangan kepada Ambiga di Merlimau Melaka.

"Apakah ini semua tidak menggugat ketenteraman awam dan merbahaya keselamatan negara. Apakah negara kita ada dua undang-undang.

"Jika penyokong Umno buat tak mengapa walaupun sudah dibuat laporan. Sedangkan tuduhan terhadap PR hanya andaian terus dihebah di dalam media.

"PDRM bertindaklah secara profesional, jagalah negara bukan jaga Umno," pinta beliau.

Najib buli PAS

Subky Latif, 20 Jul 2012
SIKAP Perdana Menteri Najib yang terus berteka teki tentang PRU13 dikira ikut membuli PAS.
Bukan PAS saja yang dibuli, pengikut UMNO dan seluruh rakyat juga ikut jadi mangsa bulinya.

Sejak lebih setahun lalu masing-masing tidak dapat merancang sesuatu secara  aman  disebabkan bimbang akan berdepan dengan pilihan raya yang disangka akan berlangsung bila-bila.

PAS biasanya mengadakan muktamar setiap  cuti  tengah tahun persekolahan sekitar Mei atau Jun.

Muktamar tahun 2012 ini terpaksa ditunda hingga ke hujung tahun iaitu sekitar November.

Sekali pun muktamar itu berlangsung sekitar empat hari tetapi persiapannya mengambil masa yang lama juga dan kakitangan pejabat agung terpaksa menumpukan banyak masa bagi muktamar itu.

Apa lagilah bagi menghadapi pilihan raya. Jika ada Pilihan Raya Umum, maka PAS semua peringkat di seluruh negara terpaksa meninggalkan semua kerja termasuk kerja peribadi dan keluarga kerana menghadapi urusan pilihan raya.

Seluruh jentera dan tenaga PAS tidak wajar membuat dua kerja besar iaitu muktamar dan  Pilihan Raya Umum pada satu masa.

Walaupun muktamar  itu tetapi pilihlan raya lebih penting.

Bagi menjamin urusan pilihan  raya tidak terganggu, maka PAS memberi keutamaan kepada pilihan raya.

PRU13 tidak jadi diadakan tahun 2011. Maka ia dikira akan diadakan dalam tahun  2012 juga. Setelah ia tidak  diadakan dalam bulan Februari dan Mac 2012, maka semua ramalan mengira masa itu akan berlangsung  dalam bulan  Mei.

Bahkan telah ada isyarat dari SPR betapa ia bersiap untuk mengadakannya pertengahan tahun ini. Waktu yang terbaik tahun ini ialah bulan Mei.

Maka  PAS dan sekutunya membuat semua persiapan bagi menghadapi kedatangan bulan Mei itu. PAS tidak bersedia membuat kerja lain termasuk menangguhkan muktamar ke satu tarikh yang lain. Ia ditunda ke hujung tahun.

Setelah tiba bulan Mei tidak juga Parlimean dibubarkan. Sampai masuk bulan Jun sah tiada pilihan raya. Sementara  menunggu pengumuman pembuburan Parlimean dalam bulan Mei itu ada maklumat dari orang-orang sekolah menyebut notis kerajaan untuk menggunakan sekolah, dipercayai untuk dijadikan tempat mengundi, bunyinya tidak jadi digunakan. Ia adalah  isyarat PRU itu tidak tunda.

Mengapa? Entahlah.

Ia tidak jadi diadakan sebelum Mei, mungkin termakan gertak Menteri Besar Selangor yang  tidak sedia mengadakan pilihan  raya serentak kiranya ia diadakan sebelum  penggalnya genap empat tahun. Idah yang diberi oleh Selangor itu telah berlalu dalam bulan Mei lalu. Tetapi ternyata  Perdana Menteri belum dapat isyarat.

Walaupun PAS cukup bersedia pada bulan  Mei itu  tetapi ia bukan satu masa yang baik memandangkan SPR belum memenuhi tuntutan lapan perkara oleh dikemukakan oleh  Bersih 2.0  Selagi tuntutan itu tidak dipenuhi, PAS tidak sedap hati untuk menghadapi pilihan  raya.

Sekalipun PAS menunda muktamarnya, tetapi ia mengambil peluang menyokong unjukrasa Bersih 3.0 yang diketua bersama oleh Dato’ Ambiga dan Dato’ Samad Said pada 28 April lalu.

Banyak juga kerja untuk menjayakan Bersih 3.0 itu tetapi ia tidak sesulit mengadakan muktamar. Kalaupun Parlimen  dibubarkan menjelang demonstrasi, tidak payah sangat untuk mmbatalkannya dan tidak jadi masalah jika hendak diteruskan.

Kalau PAS tahu PRU tidak jadi diadakan bulan  Mei,  tentu ia tidak menunda muktamarnya. Apa yang PAS dapat buat bagi menggantikan muktamar itu ialah menganjurkan perhimpunan Hijau ke Putrajaya di Alor Setar yang dihadiri lebih 100,000.

Muktamar bulan Mei ditunda ke bulan November. Pilihan raya yang  tidak diadakan bulan Mei  itu dianjak lagi ke depan. Bagaimana kalau diandaikan dalam  bulan November?  Ternyatakan ia satu masa yang tidak disenangi oleh PAS kerana  PAS bercadang untuk mengadakan muktamar sebelum tahun berakhir.

Adakah PAS akan menunda lagi muktamarnya kerana PRU itu mungkin  diadakan masa itu?

Secara  tidak sedar PAS telah dibuli lagi oleh Najib. Walaupun Najib tidak berniat untuk membuli sesiapa, tetapi dengan kelakuannya yang  misteri itu dia telah membuli semua orang. Orang politik tidak dapat merancang tindakan ke hadapan kerana bimbang ada pilihan raya.

Orang politik yang hendak menikahkan anak pun payah merancang, takut hari kahwin itu serentak dengan pilihan raya.

Semua orang susah dengan keadaan Najib itu. Adakah dia seronok melihat semua orang jadi mangsa bulinya?

Saya teringat akan Maharaja Nero dari empayar Rom purba. Dia  digelar Maharaja Gila. Dibakarnya kota Rom. Dia ketawa berdekah-dekah melihat Rom terbakar.

Umur pengeluaran KWSP naik ke 60 tahun?

Harakahdaily, 20 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekarang sedang tertanya-tanya apakah benar umur pengeluaran penuh wang KWSP dinaikkan ke 60.

Ini kerana, kepelbagaian mesej yang dihantar kerajaan kepada media seolah-olah usaha itu sedang dibuat tetapi sedang menunggu reaksi rakyat.

"Jika rakyat tidak bantah, mereka akan dinaikkan ke umur 60 itu," kata seorang pencarum kepada Harakahdaily.

Beliau yang baru pulang dari ibu pejabat KWSP  di Kuala Lumpur berkata, kakitangan KWSP juga tidak dapat mengesahkan perkara ini.

"Jika tidak ada isu naik ke 60 tahun ini masakan pegawai KWSP tidak tahu," kata beliau kepada Harakahdaily.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP  Tan Sri Azlan Zainol mencadangkan kerajaan menaikkan umur pengeluaran wang KWSP dari 55 ke 60 tahun.

Cadangan ini dibuat melalui cadangan Bajet 2013 beliau kepada kerajaan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam bagaimanapun berkata kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung had umur bagi pengeluaran caruman KWSP setelah membenarkan had umur persaraan minimum bagi pekerja swasta dilanjutkan kepada 60 tahun.

Sehubungan itu, beliau meminta para pencarum KWSP supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan kononnya pengeluaran wang simpanan bagi pekerja swasta hanya boleh dibuat selepas mencapai umur persaraan 60 tahun.

"Kerajaan belum putuskan apa-apa. Keputusan mengenainya akan diputuskan kemudian... mungkin sebelum kita buat bacaan kali kedua di Parlimen," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Meningkatkan Taraf Pentadbiran Sistem Pertubuhan-Pertubuhan Sosial di sini baru-baru ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kebimbangan pencarum KWSP mengenai had umur pengeluaran caruman yang kini boleh dibuat pada usia 55 tahun, berikutan pembentangan Rang Undang-Undang Persaraan Minimum 2012 untuk bacaan kali pertama di Parlimen Rabu lepas yang menetapkan umur persaraan minimum pekerja swasta dilanjutkan kepada 60 tahun berkuat kuasa Januari tahun depan.


KOMEN PEMBACA HARAKAHDAILYMELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan: