Ragut: Wanita ditetak hampir putus tangan
HAZELEN LIANA KAMARUDIN
29 Ogos 2012
Orang ramai membantu mangsa yang cedera ditetak peragut di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
KOTA BHARU - Seorang pembantu klinik swasta hampir putus pergelangan
tangan kirinya selepas ditetak salah seorang daripada dua peragut di
hadapan sebuah pusat jualan tudung di Jalan Sultanah Zainab di sini,
hari ini.
Kejadian yang berlaku pada jam 1.30 petang itu berlaku ketika mangsa
Rohaini Abdullah, 36, sedang berjalan kaki seorang diri di hadapan pusat
jualan berkenaan untuk ke tempat letak keretanya, yang tidak jauh dari
situ.
Ketika melalui jalan tersebut, dua peragut menghampiri mangsa dan
berlaku pergelutan sehingga menyebabkan salah seorang dari peragut
tersebut bertindak menetak mangsa menggunakan objek tajam.
Difahamkan mangsa yang berasal dari Kampung Pintu Geng di sini baru
sahaja menamatkan kerja shif siang sebelum kembali semula untuk shif
malam.
Ibu kepada dua cahaya mata yang pengsan selepas kejadian itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan.
Saksi kejadian, Hidayah Daud, 21, berkata kejadian itu berlaku di
hadapan pusat jualan tudung berkenaan yang merupakan tempat dia bekerja.
“Ketika kejadian saya lihat peragut berkenaan menarik beg tangan mangsa namun tidak berhasil apabila mangsa berjaya menariknya.
“Selepas itu mangsa mula menjerit meminta tolong dan pergelutan di
antara mereka kemudian terus berlarutan sehingga ke tepi jalan,”
katanya.
Hidayah berkata, menyedari mangsa masih tidak melepaskan beg
tangannya, peragut berkenaan seterusnya bertindak ganas dengan menetak
pergelangan tangan kiri mangsa.
“Mangsa ditetak lebih tujuh kali sehingga terjatuh dan masa itu darah
telah berlumuran pada tangan mangsa. Selepas itu peragut tersebut telah
bertindak melarikan diri dengan membonceng motosikal yang ditunggang
seorang lagi rakanya yang sudah menunggu apabila menyedari kehadiran
orang ramai di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, peragut tidak sempat melarikan barangan berharga daripada mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan serius iaitu luka sedalam 38 sentimeter dan putus urat pergelangan tangan kiri.
Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan serta meminta orang ramai tampil membantu siasatan.
Pembela gesa Karpal, Donald Lim tarik balik kenyataan anti-Islam
WAN NASRAH ABDUL RAHIM
29 Ogos 2012
Aminudin (tiga, kiri) bersama 10 barisan NGO yang membuat laporan terhadap pemimpin DAP dan MCA hari ini.
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pembela-pembela Islam (Pembela) menggesa
Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dan Pengerusi MCA Negeri
Selangor, Donald Lim menarik balik kenyataan yang didakwa telah menghina
agama Islam.
Kedua-dua pemimpin itu juga digesa tidak menjadikan isu menyentuh Islam
sebagai modal percakaran untuk meraih undi dan sokongan politik.
Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya
berkata, 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah
Pembela tidak terpengaruh dengan parti politik yang ghairah
memperjuangkan dasar dan manifesto mereka khususnya menjelang Pilihan
Raya Umum ke-13 (PRU13) dan berpendirian mengambil tindakan sekali gus
tidak berkompromi terhadap mana-mana pemimpin yang anti-Islam untuk
menyentuh kedaulatan Islam di negara ini.
“Laporan polis telah dibuat terhadap Karpal Singh dan Donald Lim dan
kami mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan kenyataan mereka yang
prejudis dibawah Akta Hasutan 1948 dengan peruntukan undang-undang yang
relevan serta mengambil tindakan yang perlu mengikut saluran yang perlu
akibat keghairahan mengeluarkan kenyataan provokasi dengan sengaja.
“Saban hari umat Islam menyaksikan kebiadaban pemimpin politik yang
secara terang-terangan menghina Islam sekali gus untuk mendapatkan
publisiti muahan bagi meraih keuntungan politik yang bersifat sementara
sehingga menolak sensitiviti masyarakat Islam di negara ini,” katanya
sejurus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, hari
ini.
Menurutnya, Karpal juga dilihat bersungguh-sungguh memperjuangkan
konsep negara sekular, malah ia menggambarkan bahawa beliau jahil
tentang peranan Islam yang telah membina masyarakat Islam yang baik di
negara ini walaupun sebelum Perlembagaan Persekutuan diterapkan dalam
sejarah penubuhan negara.
“Kita takut perkara ini berlarutan sehingga masyarakat kita akhirnya
terpaksa menerima pemikiran sekular yang diterapkan oleh kalangan yang
anti-Islam ini," katanya.
Menurutnya, Karpal yang memperjuangkan konsep sekular membuktikan
konsep yang jelasnya rapuh, bermasalah dan jelas menghancurkan tamadun
lain di dunia, khususnya di barat.
Beliau juga tidak menolak kenyataan Lim adalah sebagai agenda yang
ingin menghalang sebuah negara Islam untuk menyumbang keaah pembinaan
masyarakat yang sejahtera dan harmoni. Baginya kenyataan Timbalan
Menteri kewangan itu bersifat pramatang, menghasut serta mencerminkan
sikap tidak bertanggungjawab dalam menjaga sensitiviti terhadap umat
Islam yang menjalankan kehidupan beragama mengikut lunas Perlembagaan
Persekutuan.
Beliau berharap tiada mana-mana pihak yang sealiran dengan mereka
membiarkan pemikiran ini dipengaruhi unsur-unsur stereotaip dan label
media massa musuh-musuh Islam dalam membuat kenyataan mengenai Islam
yang jelas tidak berwibawa dan berprasangka jahat terhadap Islam.
Aminuddin menyeru semua Pertubuhan Islam dinegara ini menyertai Pembela
dan menzahirkan kegusaran terhadap sikap pimpinan politik Muslim dan
bukan-Muslim yang membuat kenyataan jahat yang tidak adil mengenai
Islam.
Kesatuan pekerja bantah cadangan ambil alih KTMB
29 Ogos 2012
$entry.content.caption.value
KUALA LUMPUR - Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad
(KPPKTMB) hari ini menggesa kerajaan menolak cadangan MMC Corporation
Berhad untuk mengambil alih Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Presidennya Abdul Razak Md Hassan berkata kerajaan harus membenarkan
Presiden KTMB Datuk Elias Kadir yang baharu dilantik menjalankan
tugasnya terlebih dahulu sebelum membuka peluang pengambilalihan kepada
MMC.
"Mengapa tidak ditunggu dan diberi peluang kepada Elias untuk
melaksanakan pelan pembaharuannya," katanya pada sidang media, di sini.
Beliau mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang antara lain
menyebut MMC telah menyerahkan cadangan pengambilalihan KTMB kepada
kerajaan.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata persatuan itu bimbang jika KTMB
diambil alih MMC, kebajikan pekerja syarikat kereta api negara tersebut
akan terjejas.
"Sebanyak 60 peratus kos dilabur untuk kebajikan pekerja KTMB, kalau
mahu menukar KTMB menjadi satu entiti yang menguntungkan, syarikat
korporat ini terpaksa memotong kos dan separuh daripada pekerja KTMB
mungkin terpaksa dibuang," katanya.
Beliau juga menegaskan KTMB menawarkan perkhidmatan berasaskan
tanggungjawab sosial, bukan satu entiti bertujuan keuntungan seperti
yang mahu dilakukan MMC.
Sehubungan itu, Abdul Razak berkata KPPKTMB) merancang mengadakan
perhimpunan bagi membantah cadangan tersebut pada 12 Oktober ini di
pekarangan ibu pejabat KTMB di sini. - Bernama
Hudud: Pas dakwa Dr M tak yakin dengan Najib
RUZY ADILA IDRIS
29 Ogos 2012
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
SHAH ALAM - Kenyataan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau
tidak menolak pelaksanaan hukum hudud seperti terkandung dalam Islam,
sebaliknya hanya tidak boleh menerima hudud Pas menunjukan
manifestasinya tidak yakin dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, bekas Perdana Menteri itu
seolah-olah tidak percaya urus tadbir kerajaan sekarang sehingga
terpaksa buka mulut tentang undang-undang, politik dan ekonomi.
"Saya tetap menghormati hak bersuara beliau kerana ia baik dari segi
demokrasi tetapi beliau memberi terlalu banyak sangat komen.
"Perdana Menteri yang lain sebelum ini tidak pernah pun buat begitu
kerana mereka yakin dengan pengganti mereka," kata beliau ketika
dihubungi Sinar Harian Online, sebentar tadi.
Dr Mahathir sebelum ini menegaskan bahawa beliau menolak hudud Pas, tetapi menafikan pernah berkata beliau menolak hudud Islam.
Beliau berkata, hukum hudud yang mahu dilaksanakan oleh parti
pembangkang itu mirip kepada hukuman yang lebih berat dan tiada dalam
al-Quran.
Tambah Salahuddin, Dr Mahathir sudah beberapa kali bercakap sebegitu.
"Kalau benar beliau yakin dengan hukuman hudud sebagai perundangan
Islam, kenapa beliau tidak buat apa-apa sewaktu memerintah selama 22
tahun lalu.
"Mengapa apabila kerajaan (pimpinan) Pas di Kelantan dan Terengganu
meminda enakmen undang-undang jenayah syariah, Pas pula dikatakan
melaksanakan 'hudud Pas'?" kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang
Kerian.
Sumbang mahram pemimpin politik: Polis tunggu keputusan DNA
29 Ogos 2012
KUANTAN- Polis sedang menunggu keputusan ujian DNA bagi melengkapkan
siasatan berhubung kes sumbang mahram membabitkan seorang pemimpin parti
pembangkang dan anak lelakinya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC T. Narenasegaran berkata
sampel darah kedua-dua beranak itu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk
ujian paterniti.
"Hasil daripada ujian baru kita akan buat keputusan dan cadangan kepada
Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada
pemberita, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan media mengenai penahanan seorang
pemimpin kanan parti pembangkang dan anak lelakinya yang berusia 14
tahun bagi membantu siasatan satu kes sumbang mahram.
Media melaporkan dua beranak itu ditahan pada 22 Ogos lepas dan dibebaskan kelmarin dengan jaminan polis.
Tangkapan itu selepas anak perempuannya yang berusia 15 tahun
melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah hospital di Cheras, Selangor.
Remaja yang masih bersekolah itu kini ditempatkan di rumah perlindungan
di Cheras.
Mengulas lanjut, Narenasegaran mengesahkan individu itu pernah
bertanding pada pilihan raya umum lalu sebagai calon parti pembangkang
untuk kerusi dewan undangan negeri dalam kawasan Parlimen Jerantut.
Lelaki berusia 59 tahun itu mempunyai dua isteri dan 11 anak berusia antara enam hingga 31`tahun, katanya. -Bernama
Suspek kes sumbang mahram kaji fail saman
Harakahdaily,
|
29 Ogs 2012
|
KUALA LUMPUR: Suspek utama yang dikaitkan dengan isu ‘sumbang mahram’ yang sedang hangat diperkatakan sekarang, Mohd Nor Jaafar
(gambar) akan memfailkan tindakan saman terhadap mana-mana media arus perdana dan blog, lapor
pahangdaily.blogspot.com.
Ini ekoran pihak berkenaan sewenangnya mengekploitasikan isu kononnya
beliau telah didapati bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan itu
terhadap anaknya sendiri hingga melahirkan anak beberapa hari yang lalu.
“Malah ada blog-blog yang sewenangnya mengeluarkan gambar saya dengan
dakwaan seolah-olah saya telah didapati bersalah oleh pihak mahkamah.
"Saya hanyalah suspek yang telah dipanggil untuk membantu siasatan
pihak polis. Tetapi mereka melayan saya seolah-olah keputusan mahkamah
telah dibuat atas kes ini dan saya didapati bersalah. Maruah dan imej
saya sebagai pemimpin politik kini tercalar gara-gara penyiaran gambar
saya serta ahli keluarga yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu
sekarang ini. Peguam saya telah melakukan siasatan dan akan mengambil
tindakan terhadap mana-mana blog yang didapati cuba menghukum saya dan
mendahului mahkamah. Ini tidak adil dan satu hukuman yang jelas untuk
menghancurkan masa depan saya,”
kata beliau kepada pahangdaily (PDO) sebentar tadi.
Menurut blogger itu, tinjauan pihaknya terhadap kebanyakan blog-blog
pro UMNO mengaitkan kes itu dengan pembangkang terutamanya Pakatan
Rakyat (PR), kononnya moral beliau (Mohd Nor) rosak gara-gara
terikut-ikut dengan pemimpin yang rosak moral seperti Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Malah, ulasnya lagi laporan yang dibuat oleh media arus perdana juga
dilihat sengaja mahu menjatuhkan hukuman terhadap Pakatan Rakyat
sedangkan, Mohd Nor sudah lama meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR)
bersama Datuk Zaid Ibrahim dan kini memimpin parti Kesejahteraan Insan
Tanah Air (KITA) peringkat negeri Pahang.
“Tuduhan-tuduhan ini seolah-olah menggambarkan satu usaha terdesak
media menyerang pembangkang menjelang PRU-13 ini sebenarnya,” tulis
blogger itu lagi.
Kes Obinna: Pengurus Kelantan serah kepada polis
Wartawan Sinar Harian
29 Ogos 2012
$entry.content.caption.value
PENGURUS pasukan Kelantan, Azman Ibrahim menyerahkan
kepada polis menjalankan siasatan berkenan dengan insiden pergaduhan
melibatkan pemain importnya, Obinna Nwaneri di Shah Alam, kelmarin.
Katanya, oleh kerana perkara berkenaan disiasat polis, ia wajar diserahkan kepada pihak berkuasa.
"Perkara ini sudah dilaporkan ke pihak polis, dan masih dalam siasatan,
jadi kita tunggu keputusan selanjutnya," kata Azman ketika dihubungi
Sinar Harian Online hari ini.
Laporan media menyebut Nwaneri dipanggil polis kelmarin untuk memberi
keterangan polis berhubung insiden pergaduhan dengan pengurus syarikat
sebuah pasar raya di Plaza Masalam di sini.
Dia dikatakan berang sebelum bertindak kasar terhadap pengurus pasar raya berkenaan.
Pemain itu menyumbangkan gol penyamana kepada Kelantan ketika
menentang ATM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) malam tadi.
Kedua-dua pasukan mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri 1-1.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata,
mangsa dan pemain bola sepak sudah dipanggil untuk diambil keterangan
bagi melengkapkan siasatan.
BN selesa di Kubang Pasu, Pas nekad rampas Jerlun
NURUL FATIHAH SULAINI
29 Ogos 2012
Menjelang PRU 13
Pertandingan dua penjuru bagi satu kerusi parlimen dan dua kerusi Dewan
Undangan Negeri (Dun) di Kubang Pasu dalam pilihan raya umum ke-12
(PRU12), menyaksikan perbezaan undi yang ketara terutamanya bagi kerusi
parlimen.
Biarpun Barisan Nasional (BN) tampak selesa dengan kejayaan
mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Pasu, kerusi Dun Bukit Kayu Hitam
dan Jitra sama seperti PRU11 namun pertarungan sengit bakal calon BN
untuk menduduki kerusi Dun Bukit Kayu Hitam berkemungkinan boleh
berlaku.
Bagi kerusi berkenaan, ada desas-desus menyatakan bahawa kerusi calon
BN, Datuk Ahmad Zaini Japar yang menang dengan majoriti 6,995 dalam
PRU12, Ahmad Zaini menerima 13,219 undi menewaskan Che On Yusof dari PKR
dengan 6,224 undi mungkin akan digantikan nama lain.
Penyandang sebelumnya juga milik calon BN, Datuk Khalidah Adibah Ayob dengan majoriti 6,972 undi.
Antara senarai nama disebut-sebut seperti setiausaha Umno Kubang Pasu,
Samsudin Ahmad serta naib ketua Umno Kubang Pasu iaitu Zulfitri Yaacob
yang juga setiausaha sulit kepada Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk
Johari Baharum.
Dalam pada itu, nama Zulfitri turut dikatakan berpotensi mengisi kerusi
Dun Jitra yang kini disandang calon BN Datuk Saad Man. Namun sama ada
kerusi BN Dun ini masih kekal milik Saad Man atau tidak, masih menjadi
persoalan banyak pihak.
Pada PRU12 yang lalu, Saad Man menang dengan majoriti 2,258, apabila
mendapat 12,065 undi menumpaskan calon Pas, Dr Rohani Abdul Mutalib
hanya mendapat 9,807 undi sahaja. Kejayaan ini meneruskan tradisi
kecemerlangan BN pada PRU11 apabila turut dimenangi calon BN, Profesor
Datuk Dr Othman Ishak dengan majoriti 5,756 undi.
Senario sebaliknya berlaku bagi kerusi Parlimen Kubang Pasu kerana Umno
Kedah mungkin akan mengekalkan muka lama untuk menjadi calon dalam PRU
nanti kerana yakin akan meneruskan tradisi kegemilangan BN.
Pada PRU12, kerusi Parlimen Kubang Pasu dimenangi calon BN, Datuk
Johari Baharum yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas
Tani dengan majoriti 7,060 apabila mendapat 24,179 undi menewaskan calon
Pas, Datuk Dr Abd Isa Ismail dengan 17,119 undi.
Bagaimanapun, bayangan senarai calon dari Pas dan PKR masih belum
kelihatan kerana masing-masing masih menunggu keputusan daripada pusat.
Menurut sumber, berdasarkan pemerhatian ketiga-tiga kawasan berkenaan
boleh dikatakan kawasan selamat bagi BN berbanding kawasan lain kerana
percaya sokongan rakyat akan sentiasa berterusan sama ada calon lama
kekal atau tidak.
Pas nekad rampas kerusi Dun Kota Siputeh, Parlimen Jerlun
Pas nekad mahu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Siputeh
dan Parlimen Jerlun pada PRU13 bagi memantapkan lagi pentadbiran
Pakatan Rakyat (PR) di Kedah.
Yang Dipertua Pas kawasan Jerlun, Abd Ghani Ahmad berkata, kedua-dua
kerusi itu bukan mustahil untuk dimenangi Pas ekoran pendekatan parti
itu kini sudah mula diterima masyarakat berbanding PRU12.
Abd Ghani yang juga Exco Penerangan berkata, Pas perlu menambah
bilangan kerusi Dun yang dimenangi parti itu untuk berada dalam keadaan
lebih selesa, sekiranya berlaku insiden tidak diingini seperti wakil
rakyat lompat parti.
“Kita perlu sentiasa berjaga-jaga, tak boleh selesa dengan situasi
sekarang. Walaupun Pas Pusat belum muktamadkan senarai calon bertanding
untuk Kedah, persediaan harus sempurna,” katanya.
Abd Ghani yang sudah tiga penggal bertanding sejak tahun 1999 di kerusi
Dun Ayer Hitam menang dua kali, iaitu pada PRU10 (1999) pada usia 29
tahun dan PRU12.
Beliau tewas pada Datuk Othman Aziz yang merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Jerlun pada PRU11 (2004).
Berdasarkan rekod Abd Ghani menang dengan majoriti 506 apabila mendapat
10,652 undi menewaskan lawan asalnya semenjak 2004 yang hanya mendapat
10,146 undi sahaja.
BN mungkin kekalkan muka lama
Dari sumber dalaman Barisan Nasional (BN) Kedah, calon lama yang
mengisi kerusi Parlimen Jerlun, Dun Kota Siputeh dan Dun Ayer Hitam akan
dikekalkan.
Bagaimanapun timbul juga ura-ura bekas pengerusi Tekun Nasional, Datuk
Abdul Rahman Ariffin seakan berminat untuk mengisi kerusi Dun Ayer Hitam
menggantikan Datuk Othman Aziz.
Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang kenyataan itu mungkin turut
disokong dengan rekod cemerlang Datuk Abdul Rahman sendiri yang menang
majoriti 2,142 undi semasa berada di kerusi Ahli Parlimen Jerlun pada
PRU11.
Siapa tahu, penangan orang lama mungkin berhasil untuk menyekat kemaraan sokongan rakyat terhadap calon lawan.
Mengikut rekod, pada PRU12, calon BN, Datuk Mukhriz Tun Mahathir menang
majoriti 2,205 dengan mendapat 19,424 undi menewaskan calon Pas, Idris
Ahmad hanya mendapat 17,219 undi.
Ketika BN sedang membuat persiapan merampas Kedah, tumpuan turut
diberikan kepada Mukhriz yang akan mengetuai cabaran mendapatkan kembali
negeri ini daripada Pakatan Rakyat.
Malah ada sumber menjangkakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno
Kedah yang berusia 48 tahun itu akan bertanding di kerusi Dun pada PRU
namun tuan punya badan menyerahkan sepenuhnya keputusan terhadap pucuk
pimpinan tertinggi Pusat.
Ketika ini, beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Namun bagi kerusi Dun Kota Siputeh kemungkinan sama ada calon BN, Datuk
Abu Hassan Sarif kekal atau diganti dengan muka baru, masih belum dapat
dipastikan.
Menurut sumber calon yang disebut-sebut layak mewakili BN ialah Naib Ketua Umno Jerlun, Aziz Mahmud.
Berdasarkan tinjauan persepsi pengundi yang dijalankan oleh jentera
Umno bahagian itu turut mendapati majoriti pengundi lebih selesa dengan
Aziz sebagai calon mereka.
Selain memegang jawatan naib ketua bahagian, Aziz juga seorang ahli perniagaan berkelulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Beliau berpotensi untuk menang, seorang pekerja parti yang komited dan pilihan akar umbi di Dun itu,” kata sumber lagi.
Dalam pilihan raya umum yang lalu, calon BN, Datuk Abu Hassan Sarif
menang dengan majoriti 495 undi, mengalahkan calon Pas, Ismail Wan Teh.
Abu Hassan mendapat 8,160 undi menewaskan Ismail yang memperolehi 7,665.
Kerusi Dun Kota Siputeh diisytihar kosong oleh Speaker Dun Kedah, Datuk
Dr Abd Isa Ismail ekoran tindakan Abu Hassan tidak hadir dua kali
berturut-turut dalam sidang Dun iaitu pada 19 April dan 9 Ogos 2009.
Pada 16 November 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan
kerusi Dun Kota Siputeh kosong atas alasan Abu Hassan gagal menghadiri
dua mesyuarat Dun pada 2009.
Bagaimanapun, pada 18 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan
keputusan itu dan Abu Hassan diumumkan kekal menyandang jawatan Adun
Kota Siputeh.
BN dakwa Guan Eng tidak ikhlas bantu rakyat miskin
Wartawan Sinar Harian
29 Ogos 2012
BUKIT MERTAJAM - Satu langkah yang tidak adil dan tidak waras.
Tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng menjual tanah seluas 0.45 hektar
di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin, Georgetown kepada sebuah syarikat
untuk membina hospital swasta dengan nilai RM230 kaki persegi dianggap
tidak wajar.
Ini kerana tanah yang sama ditawarkan kepada Pemuda Barisan Nasional
(BN) Pulau Pinang dengan harga RM450 kaki persegi semata-mata untuk
membina rumah kos rendah bagi keperluan rakyat berpendapatan rendah.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Musa
Sheikh Fadzir berkata, memang tidak logik tindakan Guan Eng itu yang
dilihat hanya membantu mengkayakan golongan yang sudah kaya.
“Adakah wajar menjual tanah kepada syarikat yang sudah kaya dan mahu
membina hospital dan apartmen mewah dengan harga yang lebih rendah
berbanding tawaran kepada Pemuda BN yang mahu merealisasikan hasrat
membantu orang miskin memiliki atau menyewa rumah kos rendah.
“Inikah yang dikatakan kerajaan berjiwa rakyat dan mahu membela nasib
rakyat miskin. Siapa sebenarnya yang membela rakyat golongan miskin.
Adakah BN atau Pakatan Rakyat (PR),” katanya kepada media selepas
menghadiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Jabatan Hal Ehwal Khas
(Jasa) di Bandar Perda di sini semalam.
Menurutnya, kini rakyat boleh menilai sendiri cakap-cakap atau janji
PR, terutama Guan Eng ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-12
(PRU12) untuk membela nasib orang miskin atau berpendapatan rendah
termasuk menyediakan rumah kos rendah
“Masa kempen janji macam-macam tetapi sampai sekarang janji hanya
tinggal janji. Memang mudah berjanji kepada pengundi sebelum dapat
kuasa. tetapi apabila sudah dapat kuasa, semua janji sukar dikotakan
kerana tidak berupaya untuk melaksanakannya.
“Jadi biarlah rakyat menjadi hakim dan menilai sendiri prestasi
Kerajaan Negeri PR. Jadi jangan terus salahkan BN atau Umno jika PR
gagal melaksanakan janji pilihan raya mereka,” katanya.
Musa yang juga Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam, berkata BN akan
terus mendedahkan kepincangan yang dilakukan oleh Guan Eng dan PR dari
semasa ke semasa agar rakyat tahu apa yang dilakukan selama ini sama ada
untuk membantu rakyat miskin atau golongan yang sudah kaya menjadi
lebih kaya.
PR: BN guna sambutan Hari Kemerdekaan pentas politik
RUZY ADILA IDRIS
28 Ogos 2012
PETALING JAYA – Pakatan Rakyat (PR) mendakwa Barisan Nasional (BN)
menggunakan sambutan Hari Kemerdekaan di Stadium Nasional Bukit Jalil,
Jumaat ini sebagai pentas politik untuk memancing undi rakyat bagi
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke berkata, BN akan menggunakan
segala jentera kerajaan termasuk pentas Hari Kemerdekaan dan PR sudah
pun menjangkakan perkara itu.
“Mereka menjadikan sambutan bersejarah ini sebagai alat berpolitik dan boleh memecahbelahkan rakyat.
“Sambutan kemerdekaan ini sewajarnya menjadi sambutan bersama dan jika
mereka benar-benar ikhlas, mengapa tidak ada sebarang jemputan dibuat
kepada mana-mana ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat,” katanya kepada
Sinar Harian Online.
Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Mingguan Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka bersama 200,000 di
Stadium Nasional pada hari tersebut dan akan menyampaikan amanat merdeka
dan amanat Hari Malaysia yang bertemakan 'Janji Ditepati'.
Sambutan itu menyusul majlis perbarisan dan perarakan di Dataran Merdeka pada sebelah pagi.
Pagi tadi, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr
Rais Yatim ketika ditemui di Dataran Merdeka turut membidas tindakan
pakatan pembangkang yang hanya pandai mempolitikkan sambutan hari
kemerdekaan pada kali ini dengan menganggapnya sebagai satu tindakan
yang keterlaluan.
"Sepatutnya sempena sambutan hari kemerdekaan pada kali ini mereka
(pembangkang) bersama-sama kita meraikannya dan memberikan sedikit
bantuan tapi apa boleh buat, itu memang kerja mereka untuk membangkang.
"Tetapi mereka harus ingat sejak negara kita mengecapi kemerdekaan,
pembangkang pun turut sama mengecapi apa yang telah dilakukan oleh
kerajaan kita dari peringkat sekolah sehingga mereka memperolehi
pekerjaan," katanya.
Beliau turut menepis dakwaan beberapa portal pembangkang yang
mengatakan sambutan hari kemerdekaan pada kali ini hanya disambut oleh
golongan yang prokerajaan sahaja.
"Ada orang mengkritik mengatakan kita tidak menjemput sesetengah orang
untuk hadir bersama-sama kita pada malam tersebut, itu semua tidak
benar. Kita menyediakan jemputan sebenarnya, kita jemput semua
masyarakat tidak kira apa kepercayaan mereka dan latar belakang politik
yang didukungi mereka," katanya.
Mengulas isu sama, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution
Ismail turut mengakui tidak menerima sebarang jemputan ataupun
dimaklumkan mengenai susun atur tempat duduk untuk ahli-ahli Parlimen PR
pada sambutan itu.
“Jika dilihat dari tema sambutan itu sahaja sudah bersifat kepartian.
“Oleh sebab itulah PR tampil dengan tema dan logo yang lebih neutral
iaitu Sebangsa Senegara Sejiwa bagi menyambut Hari Kemerdekaan tahun ini
kerana inilah masa untuk merayakannya," katanya pada sidang media
selepas Mesyuarat Mingguan Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat.
Tambah Saifuddin, Majlis Presiden Pakatan Rakyat telah membuat
ketepatan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan
menyampaikan pidato merdeka pada sambutan Hari Kemerdekaan PR peringkat
kebangsaan di Dataran Shah Alam pada Khamis ini.
“Selain itu, pada mesyuarat tadi (hari ini) turut membuat ketepatan
satu majlis makan malam anjuran Sekretariat PR akan diadakan pada 29
September nanti untuk kumpul dana.
“Dana ini akan dikumpulkan bagi membiayai semua kegiatan, aktiviti dan program-program yang bakal menyusul.
“Semua ini memerlukan pembiayaan dan kerana itulah kami buat secara bersama,” katanya.
Sementara itu, katanya lagi, sambutan Hari Malaysia pihak PR akan
diadakan di Sabah pada 15 September dan 16 September di Sarawak.