Isnin, 16 Julai 2012

MEREKA PUN TAHU MANA YANG KUAT DAN MANA YANG DAH LEMAH...MANA YANG BAGUS DAN MANA KAKI LIPAT...MEREKA PUN TAHU SYURGA NERAKA...MEREKA PUN NAK SYURGA....DAN SUDAH TENTU TAK NAK NERAKA

Ramai lagi Tan Sri, Datuk akan tinggalkan Umno

Hazayani Zakaria, 16 Jul 2012


(Mohamad Sabu berucap di Stadium Kuala Selangor malam tadi)


KUALA SELANGOR: Ramai lagi pemimpin Umno BN menunggu masa untuk meninggalkan parti itu dan menyertai Pakatan Rakyat lantaran tidak tahan dengan penyelewengan yang berlaku dalam pentadbirannya.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, selepas Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir dan Tamrin Ghafar secara lantang menyeru rakyat meninggalkan Umno BN, ada pemimpin Umno BN lain yang menunggu masa untuk melakukan perkara sama.

"Hampir setiap hari saya minum kopi dengan pemimpin Umno, mereka menunggu masa sahaja untuk keluar daripada Umno. Salah seorang yang mengambil sikap sedemikian ialah Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir.

"Ramai lagi datuk dan tan sri yang menunggu masa meninggalkan Umno," kata beliau ketika berucap di Perhimpunan Hijau Menuju Putrajaya di Stadium Kuala Selangor, malam tadi.

Beliau berkata, semakin ramai rakyat berani menzahirkan tentangan kepada Umno BN kerana isu rasuah dan penyelewengan dalam parti itu semakin terdedah, malah oleh bekas pemimpin Umno sendiri.

"Kita lihat pegawai kerajaan setelah pencen isi borang PAS  dan minta rakyat tolak Umno. Kenapa ramai sangat rakyat nak tolak Umno sekarang?

(Antara yang menyertai PAS malam tadi)

"Tidak lain dan tidak bukan kerana Umno amalkan rasuah, ketirisan, penyelewengan," katanya di hadapan ribuan hadirin yang membanjiri stadium.


Perkauman


Menyedari perkara ini kata Mohamad, Umno BN giat memainkan isu perkauman untuk menarik sokongan orang Melayu dengan melaga-lagakan orang Melayu dengan DAP.

"Jalan lain tidak ada bagi Umno untuk mempertahankan kuasa. Mereka berhujah di sudut perkauman.

"Ketika kita berhimpun di sini, kita lihat sebaran dibuat kepada Melayu Islam mengenai DAP. Barangkali penuh di luar sana disebar bahawa kalau Umno kalah yang akan jadi perdana menteri ialah DAP. Ini pembohongan," kata beliau sambil memegang risalah mengutuk DAP yang disebar di seluruh Malaysia.

Tambah beliau, tindakan terdesak ini untuk menarik undi orang Melayu.

"Mereka gunakan ini untuk tarik Orang Melayu. Mereka tak harapkan Cina, tak harapkan India.  Oang Asli pun mereka tak harap," katanya.

Himpunan Oren berjaya capai sasaran

Basiron Abd Wahab, 16 Jul 2012

(Himpunan Oren yang dikatakan hanya disertai 1,000 oleh pemimpin Umno)


TEMERLOH: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan himpunan Oren 14 Jun lalu berjaya mencapai matlamatnya.

Katanya, sasaran perhimpunan adalah untuk menyerahkan memorendum kepada kepada Yang DiPertuan Agong dan hasrat itu telah diberjaya dilakukan.

Beliau menolak tanggapan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan yang mengatakan hmpunan Oren gagal mencapai sasaran 20,000 orang dan berniat jahat.

“Pihak Umno ni tidak akan bergembira dengan apa yang PAS buat, jika sasaran 20,000 orang berjaya dikumpulkan mereka tetap mengatakan gagal.

“Ini dibuktikan oleh laporan media pro Umno yang tetap mengecilkan jumlah peserta himpunan itu kepada hanya 1,000 orang walhal nya jauh lebih ramai daripada itu,” kata Tuan Ibrahim (gambar).

Ahmad Maslan berkata, perhimpunan membuktikan majoriti peneroka menyokong penyenaraian Felda Global Vantures Holding (FGVH) di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Menurut Tuan Ibrahim peserta himpunan Oren itu lebih ramai daripada himpunan tajaan Umno yang dibuat diseluruh Felda yang menghimpunkan dua tiga puluh orang sahaja.

“Himpunan itu dibuat disemua rancangan Felda di seluruh negara dan pihak media menyiarkannya didalam akhbar harian supaya kelihatan ramai.

“Namun benarkah peneroka yang menyokong penyenaraian FGV itu bersetuju dengan jumlah 800 unit saham yang diberi kepada mereka berbanding dengan jumlah saham yang diterima oleh pembesar Felda itu,” soal beliau.

Difahamkan pembesar-pembesar Felda diberi saham sehingga 180,000 unit berbanding 800 unit kepada peneroka.

Hanya pemimpin Umno seperti Ahmad Maslan saja yang gembira dengan jumlah 800 unit saham yang diberi kepada peneroka dengan mengatakan  jumlah itu terlalu besar dan akan membawa keuntungan kepada peneroka.

Pelajar dedah detik cemas ketika dirompak di Mesir

M Zin, 16 Jul 2012

TANAH MERAH: Pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir yang terselamat dalam kejadian rompakan di Kaherah baru-baru ini, Muhaimin Yahya (gambar) melahirkan rasa syukur kerana terselamat pada insiden tersebut.

Bagaimanapun beliau terkilan seorang rakannya, Abdul Khafiz Mohamed Norok, 25 maut selepas terjatuh dari sebuah van ketika cuba menyelamatkan diri.

Mereka merupakan pelajar tahun akhir Maahad Qiraat Shoubra, dirompak dua lelaki tempatan, awal pagi Rabu lalu ketika dalam perjalanan pulang ke kediaman di Shoubra.

Sebelum itu mereka menghadiri perjumpaan pelajar Malaysia di Abud, di pinggir Kaherah.

Abdul Muhaimin, 25 ketika ditemui petang semalam berkata, beliau dan Allahyarham berdepan dengan detik cemas ketika menaiki sebuah van untuk pulang ke kediaman di Shoubra.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi. Saya mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila pemandu membuat pusingan. Sepatutnya tidak perlu berbuat demikian.

“Sebelum itu ada satu keluarga lain dalam van, namun mereka turun awal sebaik melalui sebuah terowong. Arwah memberitahu dia agak risau sebelum tiba-tiba lelaki yang duduk di sebelah pemandu mengacukan pisau lipat.

“Lelaki itu cuba menyeluk saku seluarnya tetapi tidak berjaya dan dia sempat menepis. Arwah kebetulan duduk dekat pintu van.

“Sebaik perompak di sebelahnya berpindah ke belakang, dia terus membuka pintu dan keluar menyelamatkan diri,” katanya yang pulang ke tanah air, beberapa hari lalu.

Bagaimanapun ketika itu van dipandu laju menyebabkan Abdul Khafiz cedera parah di kepala selepas terjatuh.

Katanya, selepas van bergerak perlahan beliau terjun ke luar dan berlari meluru ke tempat arwah jatuh.

“Abdul Khafiz dihantar ke Hospital Maahad Nasir di pinggir Kaherah. Kemudian dipindah ke Hospital Amal, Ain Shams. Mangsa koma 24 jam sebelum disahkan meninggal dunia,” ujarnya.

Mangsa berasal dari Kampung Asam Kumbang, Benut, Johor. Jenazahnya disembahyang di Dataran Hayyu A’syir dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Malaysia di Hayyu Asir pada petang Rabu.

Muhaimin yang hanya cedera ringan dalam kejadian tersebut juga memberitahu mangsa sering menyuarakan hasrat untuk menetap di Kaherah.

Beliau merupakan anak kepada Ketua Urusan Ulamak PAS Tanah Merah, Yahya Daud yang juga Imam Masjid Mukim Alor Pasir, Dun Kemahang.

Pagi semalam keluarga terbabit yang tinggal di Kampung Alor Pasir juga menerima kunjungan anggota Exco, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman.

Muhaimi yang pulang bercuti selepas selesai menduduki peperiksaan juga memberitahu beliau akan meneruskan pengajian di Kaherah selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Umno gerun hadapi fenomena sertai PAS

Nazli Ibrahim, Selangorku, 16 Jul 2012


(Salah seorang yang menyertai PAS di Stadium Kuala Selangor)

KUALA SELANGOR: Fenomena kemasukkan ramai bekas pegawai tinggi kerajaan menyertai PAS pada masa kini menggerunkan Umno-BN.

Tindakan tersebut juga membuktikan PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) bersedia untuk menakluki Putrajaya.

Demikian menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika menyampaikan ceramahnya dalam Himpunan Hijau Menuju Ke Putrajaya peringkat Negeri Selangor, di Stadium Kuala Selangor malam tadi.




“Bekas orang nombor tiga dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari sudah pun menyertai PAS, jadi ahli seumur hidup dan saya juga nampak bekas Ketua Polis, Tan Sri Musa Hassan sedang mengintai-intai untuk bersama kita.

“Hari ini Tan Sri Musa dah kata perangkaan jenayah yang dikeluarkan oleh PDRM tak boleh dipercayai sebenarnya jenayah meningkat dengan dahsyat,” katanya yang popular dengan panggilan Mat Sabu.

Dalam perhimpunan yang dihadiri kira-kira lebih 6,000 hadirin itu, tiga lagi bekas pegawai kanan kerajaan turut menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PAS.

Mereka adalah bekas Pegawai Tadbir Diplomatik(PTD) selama 33 tahun yang juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah dan bekas Pengarah Kanan Lembaga Pertubuhan Peladang, Abd Rahman Taib.

Manakala seorang lagi adalah bekas Pengarah Sumber Manusia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang juga pernah menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Yusuf Hassan.

Menurut Yusuf, kemasukan golongan pesara kerajaan dalam PAS akan dapat membantu parti itu mengurus tadbir kerajaan apabila PR memenangi pilihan raya kelak.

“Saudara semua jangan takut kerana kita menyediakan pakar-pakar dari dalam kerajaan dari pelbagai bidang untuk membantu saudara-saudari semua mengurus tadbir negara ini dengan baik.

“Pengalaman yang kami ada, akan kami curahkan untuk membantu rakyat dan menjadi negara yang paling baik,” ujar beliau.

OKU pohon semua masjid ada RAM

Nur Ikhwan Arifin,
Tarikh 16 July 2012

Kepada
Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Hj Abd Razak
Pejabat Perdana Menteri,
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya, MALAYSIA

Y.A.B. Dato' Seri.
PER: PERMOHONAN MEMBAIK PULIH KESELURUHAN MASJID DIMALAYSIA.
Salam sejahtera Y.A.B Dato Seri,dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara diatas,

2. Saya salah seorang warga orang kurang upaya yang sepenuhnya menggunakan kerusi roda selepas terbabit kemalangan  12 tahun lalu ingin mengusulkan beberapa perkara yang sangat penting untuk kami warga OKU,dimana kemudahan setiap masjid wajib ada RAM bagi memudahkan kami bersolat dimasjid dan tak terlepas solat jumaat.

3. Saya dilahirkan sebagai seorang Islam dan saya dididk sebagai seorang Islam,dan nilai nilai murni Islam terlalu menebal dihati saya, tetapi saya terlalu sedih kerana saya tidak dapat bersolat jumaat bersama sama dengan saudara Islam yang lain. Dan saya juga memahami nasib nasib warga OKU yang lain dimana pasti mempunyai keinginan untuk bersolat dimasjid.

4.Seandainya saya menjalani kehidupan di amerika syarikat atau juga di israil tidaklah saya hairan sekiranya kerajaan mereka tidak menyediakan kemudahan khusus untuk saya beribadat dimasjid, tetapi saya sangat hairan sekiranya Dato’ Seri sebagai seorang islam tetapi tidak memahami kami warga OKU yang juga sama sama ingin beribadat kepada pencipta kami ALLAH SWT.

5. Saya melihat Dato’Seri melupakan kami yang warga OKU untuk hidup saksama dengan masyarakat lain,sedangkan slogan Dato Seri, “rakyat didahulukan pencapaian diutamakan” Jika difikir balik masih relevenkah slogan itu?

6.Dato’Seri menaikkan pelbagai bonus kakitangan kerajaan kakitangan buruh dan memberi kepelbagaian bonus kepada mereka yang terbabit,tetapi adakah Dato’Seri memberikan bonus bonus itu juga kepada kami warga oku? Pasti tidak bukan,  Bahkan elaun elaun yang ada pada JKM juga sudah lama tidak diupdate,sedangkan barang-barang makan sentiasa naik jadi dimana hak kami sebagai warga OKU, Kami juga rakyat Malaysia, bukan pendatang asing yang harus dianak tirikan.

7. Saya berharap Dato’Seri fikir dan kaji balik tentang permohonan saya ini,dan saya sangat berharap permohonan saya ini diluluskan,kerana saya meminta kepada seorang yang juga beragama Islam dan seseorang mempunyai kuasa dalam pemerintah. Dan saya berharap Dato’Seri memahami maksud saya.

Sekian,
Nur Ikhwan Arifin

Tuduh Pemuda PAS menipu: Umno dituntut penjelasan

Harakahdaily, 16 Jul 2012
JOHOR BAHRU: Pemuda PAS Johor mendesak Pemuda Umno membuat penjelasan ekoran dakwaan mereka terhadap PAS sebelum ini kerana terbukti dakwaan PAS sebelum ini.

Ini berikutan perubahan pucuk pimpinan Pemuda Umno Johor mulai esok, kata Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat (gambar).

"Saya mewakili rakyat Negeri Johor mahukan penjelasan daripada semua Ketua-ketua Pemuda UMNO yang telah menafikan dalam akhbar dan menuduh Pemuda PAS Johor dengan pelbagai
tuduhan.

"Rakyat Johor mahu tahu siapa yang menipu dalam pergolakkan Pemuda UMNO Johor.

"Adakah Pemuda UMNO menipu rakyat Johor? Mereka yang menipu tidak layak menjadi pemimpin negeri dan negara ini," kata Suhaizan dalam kenyataannya hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin Abu Bakar mengumumkan pertukaran Ketua Pemuda Umno Johor.

Kketuanya, Mohd Fadil Muskon (gambar) disingkirkan dari jawatannya.

Beliau digantikan oleh Ketua Pemuda Umno bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Pengumuman ini dibuat sendiri oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno bahagian Pulai di Dewan Tan Sri Mohamed Rahmat di Johor Bahru 14 Julai lepas.

"Pelantikan ini adalah rombakan kecil yang saya janjikan sebelum ini sebagai persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan datang," kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Dalam kenyataannya pada 28 Jun 2012 lalu, Suhaizan berkata, 16 Ketua Pemuda UMNO bahagian di Johor telah menolak kepimpinan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Fadil Muskon.

Mereka telah mendesak Ketua Pemuda UMNO Johor meletakkan Jawatan.

Namun kepimpinan Pemuda Umno Malaysia dan Johor telah menafikan pergolakkan ini dengan menuduh beliau dan Pemuda PAS Johor dengan perbagai tuduhan.

"Kini dengan perubahan kepimpinan UMNO Negeri Johor bermula esok membuktikan kebenaran
kenyataan saya sebelum ini.

"Mustahil bagi mana-mana parti politik membuat perubahan kepimpinan disaat-saat genting menghadapi pilihanraya terutamanya di Johor yang menjadi sasaran Pakatan Rakyat (PR) untuk menawannya," kata Suhaizan dalam kenyataannya itu.

The Malaysian Insider dalam laporannya pula berkata, Pemuda Umno Johor berpecah dua dengan satu kumpulan yang dipimpin oleh Mohd Fadil Muskon bertembung dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Mohd Fadil Muskon, dikatakan mempunyai masalah dengan Ghani selepas menganjurkan perhimpunan taat setia kepada Sultan Johor pada 10 Jun lalu dalam isu pembelian nombor pendaftaran ‘WWW 1’.

“Fadil disuruh supaya tidak menganjurkan acara tersebut kerana ia akan memberikan imej negatif kepada Umno.

“Semenjak itu, beliau tidak disukai dan kepimpinan negeri mahukan beliau digantikan,” kata sumber kapada The Malaysian Insider, tulis Editornya, Jahabar Sadiq.

Perhimpunan Menjunjung Taat Setia di Istana Pasir Pelangi dihadiri ramai tetapi hanya beberapa kerat pemimpin Umno negeri untuk menyokong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dikhabarkan pemimpin Umno negeri mahu menjarakkan diri mereka dalam isu pembelian nombor pendataran kenderaan beharga RM520,000 oleh sultan pada ketika keadaan ekonomi yang tidak baik.

Tiada ulasan: