Isnin, 30 Julai 2012

KEJUTAN BESAR MUNGKIN BERLAKU....INSYAALLAH BILA DAYA KEPERCAYAAN TELAH MENURUN TERLALU JAUH...NI SEBAB KESALAHAN TERLALU BANYAK...ALLAH YANG MENGHUKUM

Peristiwa lebih besar menunggu politik Sabah

Muhammad Yusri Amin, 30 Jul 2012
KOTA BHARU: PAS meramalkan akan berlaku lagi peristiwa lebih besar dalam politik Sabah selepas tindakan dua pemimpinnya baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (gambar) meramalkan perkara itu ekoran tindakan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan Datuk Wilfred Bumburing yang meninggalkan BN.

Nik Amar mengulas tindakan terbaru tokoh politik Sabah Timbalan Menteri, Datuk Seri Lajim Ukin meletak semua jawatan dalam Umno, dan seterusnya menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR).

Turut meninggalkan BN Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) parti komponen BN, Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing.

Jadi apa yang dilakukan Lajim dan Bumburing itu, dakwa Nik Amar, adalah sebahagian daripada manifestasi dan mungkin selepas daripada ini akan berlaku lagi berkara-perkara lebih besar pada masa-masa akan datang.

“Ini kerana kita dengar banyak cerita tentang ketidakpuasan  terhadap kepimpinan kerajaan di Sabah,” dakwa Timbalan Pesurujaya PAS Kelantan itu.

Bagi beliau, perkembangan terbaru politik Sabah membabitkan tokoh dari komponen Barisan Nasional keluar parti itu dan seterusnya menyokong Pakatan  Rakyuat (PR) merupakan manifestasi ketidakpuasan hati rakyat dan  kalangan pemimpin politik Sabah terhadap Umno-BN.

Beliau mendakwa peristiwa itu adalah rentetan beberapa perkara yang berlaku di Sabah sebelum ini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Royal Thai Consulate-General dekat sini petang semalam.

(Nik Amar berucap di majlis berbuka anjuran Konsulat Thai)

Turut  hadir Consul-General Jackrid Kanjasoon, para pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat.

“Dan apa yang dilakukan oleh Datuk Lajim Ukin itu merupakan manifestasi daipada ketidapuasan hati rakyat dan juga kalangan pemimpin politik di Sabah terhadap Umno-BN," katanya.

Nik Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri turut mengulas kenyataan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa perjuangan BN berada di landasan yang betul walau pun parti itu tidak melabelkan “Islam”.

Bahkan, dakwa Najib yang dipetik media ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Perak baru-baru ini bahawa segala program transformasi Kerajaan BN berlandaskan ‘maqasid syariah’.

Najib mendakwa segala program transformasi yang dilaksanakan kerajaan BN untuk rakyat adalah berlandaskan 'maqasid syariah'.


Menurut Nik Amar, ‘maqasid syariah’ terlaksana adalah apabila (sesebuah) kerajaan itu tegak di atas dasar Islam dan mana-mana kerajaan yang tidak berlandaskan syariat, tidak boleh bercakap tentang ‘maqasid syariah’.


“Itu adalah asas, dan kita mestilah faham dahulu.

“Jadi apabila kita nak bercakap tentang maqasid syariah maka (sesebuah) kerajaan itu sendiri mestilah kerajaan yang berasaskan syariah, yang tegak di atas dasar Islam.

“Kalau (sesebuah)  kerajaan itu tidak menerima Islam sebagai dasar, macam mana boleh bercakap tentang maqasid syariah.

“Itu asasnya dahulu. Kenalah faham.  Bukanlah boleh senang-senang (sewenang-wenang) kita kata ini (adalah) maqasid syariah atau seumpamanya," jelas beliau yang merupakan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa sebelum menyertai politik.

Nik Amar mendakwa walau pun ada beberapa perkara dilaksanakan mungkin bertepatan dengan kehendak agama, namun ia tidak menjadi asas.

Beliau mengajak masyarakat supaya memahami dahulu soal dasar kedudukan perkara itu.

“Jadi di sini saya fikir kita kenalah faham dahulu bahawa Kerajaan Malaysia ini bukanlah Kerajaan Islam, itu asasnya.

“Bahkan bukan kerajaan yang berlandaskan kepada ajaran agama Islam,” dakwanya.

Sekalipun selingan, logo merdeka terlalu teruk

Harakahdaily, 30 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kecewa kerana kerajaan khususnya Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan tidak sensitif dalam memilih dan menentukan logo Hari Merdeka sehingga terpaksa menarik balik atau menafikan logo yang dikatakan akan digunakan sebagai logo Hari Merdeka tahun ini setelah mendapat bantahan ramai.

Bagi DPPM, kata ketuanya, Riduan Mohd Nor (gambar), sikap cuai atau sambil lewa Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dalam menentukan logo Hari Merdeka sehingga ia ‘terlepas’ ke media memberi gambaran negatif rakyat terhadap kerajaan.

Katanya, jika ia hanya paparan selingan (artwork) dan bukan logo rasmi sekalipun seperti yang dikatakan oleh Rais Yatim, ia terlalu teruk dan langsung tidak mempunyai nilai seni yang tinggi.

“Tidak sepatutnya paparan selingan ini muncul di media-media sebagai penghias sambutan Hari Merdeka tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, ujarnya DPPM melihat tema “Janji Ditepati” tetap tidak wajar dijadikan sebagai tema hari kebangsaan tahun ini.

Menurutnya, DPPM berpendapat, “Janji Ditepati” adalah kempen politik yang hanya boleh digunakan oleh BN kepada pengundinya, bukan daripada kerajaan kepada rakyat.



“Tema ini secara jelas berkempen mengenai jasa kerajaan kepada rakyat dan seharusnya rakyat menuai bakti kepada kerajaan BN,” ujarnya.

Tambahnya, ia juga membawa mesej seolah-olah kerajaan mengugut rakyat supaya menyokong parti pemerintah kerana hanya pemerintah menunaikan janji.

DPPM menegaskan, katanya sambutan Hari Merdeka adalah sambutan untuk rakyat semua tanpa mengenal ideologi politik masing-masing.

Justeru, ujarnya lagi kerajaan tidak wajar menyelitkan sebarang unsur politik kepartian hanya semata-mata mahukan sokongan dan undi daripada rakyat.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu bersikap profesional dengan membuang sikap terlalu kepartian dalam merayakan Hari Kebangsaan negara ini.

Riduan mempersoalkan adakah Najib hanya mahu menjadi Perdana Menteri kepada ahli Umno atau BN sahaja dan bukan untuk rakyat seluruhnya?

“Jika benar beliau adalah PM kepada semua rakyat, beliau perlu menukar logo serta tema kepada yang lebih menepati citarasa rakyat yang mahukan sikap patriotsme ditanam dalam diri merekak,” katanya lagi.
Iklan Teks

Operasi cegah jenayah wajib diperluas

Pakatan Rakyat KL, 30 Jul 2012
Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PR KL) menyambut baik usaha Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk mencegah
jenayah melalui operasi yang dimulakan di Bangsar sejak hari pertama Ramadhan tahun ini.

PR KL turut difahamkan operasi di Lembah Pantai ini melibatkan 90 anggota PDRM dari Bukit Aman dan Pasukan Simpanan Persekutuan
(FRU) yang dikerah untuk menjaga keselamatan penduduk, dan akan diluaskan ke Desa Seri Hartamas dan Taman Tun Dr Ismail yang terletak dalam kawasan parlimen Segambut.

Walaupun dilaporkan kadar jenayah makin menurun, penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah letih dan jemu mendengar khabar
kejadian rompakan, penculikan, dan lain-lain kejadian jenayah yang seakan-akan tidak berkurangan langsung.

Oleh itu, PR KL berpendirian PDRM serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajib memperluas operasi cegah jenayah ini ke seluruh kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan bukannya menumpukan usaha di dua kawasan parlimen ini sahaja.


Seperti yang dibangkitkan YB Liew Chin Tong (Ahli Parlimen Bukit Bendera), hingga Januari 2011 kurang dari 14% dari 105,929 orang
anggota PDRM ditugaskan untuk siasatan jenayah (8% di Jabatan Siasatan Jenayah, 4% di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, 1.3% di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil). Dari sudut ini, tindakan PDRM mengerah anggota polis dari Bukit Aman dan FRU dalam operasi cegah jenayah ini adalah satu langkah yang positif dan harus diperluas.

Maka PR KL turut menggesa PDRM untuk meningkatkan jumlah anggota polis yang ditugaskan untuk siasatan jenayah bukan dengan menambah lagi jumlah anggota polis secara keseluruhannya tetapi dengan melatih semula (retrain) dan memasukkan anggota polis dari jabatan lain ke jabatan siasatan jenayah.

PR KL berpendapat gerak kerja PDRM di lapangan sebegini adalah langkah positif yang seharusnya dilaksanakan dpd peringkat awal. Malangnya, kontroversi penurunan statistik telah dijadikan alasan oleh kerajaan BN untuk berlengah-lengah sebelum bertindak.

Apapun, diharapkan tindakan objektif dan tidak dipengaruhi arahan politik menjadi prinsip utama gerak kerja seterusnya.

YB Nurul Izzah Anwar - Ahli Parlimen Lembah Pantai
YAB Tan Sri Khalid Ibrahim - Ahli Parlimen Bandar
Tun Razak
YB Dr Tan Seng Giaw - Ahli Parlimen Kepong
YB Tian Chua - Ahli Parlimen Batu
YB Tan Kok Wai - Ahli Parlimen Cheras
YB Teresa Kok - Ahli Parlimen Seputeh
YB Fong Kui Lun - Ahli Parlimen Bukit Bintang
YB Lim Lip Eng - Ahli Parlimen Segambut
Pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa

Tidak mungkin saya berbohong - peserta Bersih

Hazayani Zakaria, 30 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Seorang peserta Perhimpunan Bersih 3.0 menegaskan bahawa beliau memberikan keterangan yang benar mengenai peristiwa yang dialaminya dan peserta lain di perhimpunan tersebut pada 28 April lalu.

Goh Ban Huat, 48, (gambar) berkata, beliau faham dan tidak mungkin melanggar akuan bersumpah yang dibaca sebelum memberi keterangan di hadapan panel Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan pemerhati pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

"Tidak mungkin saya berbohong dalam keterangan saya. Saya tidak fikir kamu semua bodoh untuk mendengar cerita bohong saya," katanya yang merupakan saksi ke-18.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemerhati dari pihak polis yang mengandaikan kemungkinan saksi menokok tambah dan mereka-reka cerita.

"Adakah Encik Goh rasa saksi berpeluang untuk mengada-ngadakan atau mereka-reka cerita?" soal wakil polis yang kemudiannya mendapat teguran daripada panel.

"Sebelum memberi keterangan saksi membacakan akuan bersumpah. Adakah Encik Goh faham akuan bersumpah itu?" soal salah seorang panel dan disusuli dengan jawapan, "Ya, saya faham" oleh Goh.

Sebelum itu, Goh memberitahu, sepuluh orang polis menendang pintu sebuah hotel dan masuk ke lobi untuk menangkap peserta yang berada di dalam selepas lari menyelamatkan diri akibat tembakan gas pemedih mata oleh polis.

"Polis mengarahkan semua orang keluar. Walaupun ada orang cakap 'ini tempat private', tapi polis tak endah.

"Saya memberikan kerjasama yang baik kepada polis sebab tidak mahu dipukul tapi bila keluar saya ditumbuk dan ditendang di pinggang," katanya sambil menambah, pinggangnya bengkak dan ada kesan lebam berwarna biru.

Tambah beliau lagi, semua peserta yang ditangkap dibawa ke Dataran Merdeka dan dibawa ke Pulapol kira-kira jam 7 malam.

Sepanjang dikumpulkan di Dataran Merdeka, mereka tidak diberikan makanan mahupun minuman.

"Saya nampak sudah ramai yang berada di Dataran Merdeka sewaktu saya sampai dan ada beberapa orang yang mukanya bengkak dan berdarah," katanya yang merupakan seorang guru.

"Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Bekas pegawai kanan Kementerian Pertanian masuk PAS

Faiz Abdullah, 30 Jul 2012
SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan menerima suntikan semangat baru apabila bekas pegawai kanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mustapah Mohd Omar menyertai PAS secara rasmi kelmarin.

(Mustapah menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS kepada Mohamad Sabu)

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Kawal Selia Air Selangor; Penolong Pegawai Daerah Port Dickson dan Penolong Pegawai Daerah Seremban.

Mustapah bersara pada tahun lepas.

Mustapah menyerahkan borang ahli PAS kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di majlis berbuka puasa anjuran PAS Seremban di PASTI Wildan, Ampangan, Seremban.

Turut menerima penyertaan Mustapah ke dalam PAS ialah Yang DiPertua PAS Seremban, MK Ibrahim Abdul Rahman dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan, Mohamad Hassan Tamby.

Polis patut minta izin sebelum periksa A&W

Hazayani Zakaria, 30 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Seorang pengurus restoran makanan segera A&W berpandangan bahawa pihak polis perlu meminta kebenaran sebelum melakukan tugas dalam sesebuah premis.

Nasir Abd Ghani, 41, (gambar) berkata, pihak polis langsung tidak meminta kebenaran daripada mana-mana kakitangan A&W Cahaya Suria, berdekatan Puduraya untuk melakukan pemeriksaan ke atas pelanggan yang sedang menikmati hidangan mereka.

"Sepatutnya polis minta kebenaran atau berjumpa dengan saya sebelum melakukan tugas mereka. Tapi polis tidak berbuat demikian. Kalau nak masuk makan atau minum, tidak mengapalah. Tapi kalau nak masuk buat pemeriksaan, sepatutnya kena tunjuk identiti mereka dahulu," kata beliau pada pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Saksi ke-19 itu memberitahu, kira-kira jam tujuh malam, sekumpulan polis mengetuk pintu premis yang berkunci.

Selepas berbincang dengan kakitangan tidak sampai lima minit, beliau mengarahkan kakitangan membuka pintu.

"Selepas pintu dibuka, polis terus meluru ke arah meja-meja pelanggan tapi saya berada di belakang jadi tak nampak apa yang berlaku cuma saya dengar suara orang meninggi," katanya.

Beliau juga berkata, polis turut memarahi kakitangannya kerana lambat membuka pintu.

"Seorang kakitangan mengadu pada saya dia dimarahi polis kerana lambat buka pintu dan dia minta untuk terus pulang ke rumah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Tiada ulasan: