Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali mencadangkan kerajaan supaya menimbangkan penubuhan suruhanjaya diraja (RCI) bagi menggubal draf undang-undang jenayah syariah hudud di negara ini.

Katanya, cadangan itu dibuat sebagai tujuan mendidik dan memberi penerangan khususnya kepada bukan Islam berhubung kebaikan hukumam itu seterusnya bagi mengelak dijadikan modal politik khususnya menjelang pilihan raya umum.

Ibrahim yang juga presiden kumpulan pendesak Melayu PERKASA berkata cadangan itu juga dibuat susulan timbulnya polemik selepas dibangkitkan oleh ADUN Kemelah Datuk Ayub Rahmat baru-baru ini.

"Kalau (ia) digubal dan disusun di kalangan tokoh-tokoh cendekiawan Islam, maka ia menjadi bahan dokumen akademik. Ia digunakan sebagai bahan pendidikan untuk memberi penerangan tentang kebaikan hukum hudud dan kaitannya dengan orang Islam.

"Begitu juga kepada bukan Islam untuk memahami dan mengetahui kebaikan hukum hudud itu," katanya dalam ceramah "Melayu Bersatu, Kuasa Penentu" di Shah Alam malam tadi.

Bercakap sempena perasmian pejabat PERKASA Selangor, Ibrahim berkata isu hukum hudud itu sering berbangkit disebabkan drafnya masih tidak ada, menyebabkan timbulnya pelbagai reaksi daripada pihak tertentu.

"Masalahnya sekarang, draf tidak ada. Yang kita tahu, ada hukum jenayah syariah. (Oleh kerana) belum ada drafnya, tapi sudah ada yang menolak, ada yang cakap macam-macam. Dan akhirnya boleh mengelirukan umat Islam, apatah lagi kepada bukan Islam," katanya.

Sebelum ini, dilaporkan ADUN Kemelah Datuk Ayub Rahmat dalam sidang DUN Johor baru-baru ini mencadangkan Johor menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan hukum hudud "sebenar" yang berbeza dengan hudud PAS.

Hal demikian menimbulkan pelbagai reaksi pro dan kontra daripada pelbagai pihak antaranya Wanita Umno Kepala Batas dan Puteri Umno yang memandang positif pelaksanaan hukum itu, tetapi MCA membantahnya.

Ibrahim berkata cadangan beliau itu tidak bermaksud mendesak kerajaan melaksana dan menguatkuasakannya dengan kadar segera, tetapi pelaksanaannya dibuat "pada satu masa setelah negara mencapai satu tahap keselesaan".

"Bila ia dilaksanakan kita tidak tahu, Mungkin 10, 20 atau 30 tahun, kita tidak tahu. Ia menunggu masa, apabila sesuai daripada segi keupayaan, boleh dilaksanakan selepas adanya keselesaan.

"(Mungkin selepas) mendapat konsensus daripada majoriti rakyat, cukup dari segi penguatkuasaan, barulah ia boleh dilaksanakan. Apatah lagi apabila terhapus kemiskinan rakyat, tidak kira kaum, Mungkin pada masa itu, hukum hudud boleh dipertimbang dan dilaksanakan," katanya.

Tegas Ibrahim, pada ketika ini, draf tersebut boleh dijadikan sebagai bahan pendidikan bagi mengelakkan berlakunya perselisihan dan dijadikan modal politik sehingga boleh mencetuskan perselisihan antara agama dan kaum.

"Jadi cadangan saya ini tidak lebih daripada meredakan perselisihan dan mengelak hukum hudud dijadikan isu politik," katanya.
Nik Aziz akui sedar wujud lombong emas haram di Kelantan
ROSMIZA KASIM
15 Julai 2012
Nik Aziz akui sedar wujud lombong emas haram di Kelantan
NIk Aziz
KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mengakui beliau menyedari wujudnya kegiatan menceroboh lombong emas di negeri ini seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan minggu lalu.

Beliau berkata, berhubung perkara tersebut pegawai berkenaan sudah diarahkan bertindak untuk melakukan siasatan berkaitan pencerobohan itu.

“Saya sudah lama sedar perkara ini, memang kita tahu dan  saya ke hutan tersebut sebanyak dua kali.

“Sejak setahun lalu saya jumpa ada orang mengayak emas dengan tangan, dan akhir-akhir ini lebih berani menggunakan jentera,” katanya kepada media semalam.

Terdahulu beliau menyempurnakan penutup Seminar Pengukuhan Integriti Politik Kepimpinan Muslimat Pas Kelantan.

Nik Aziz juga Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli ketika ditanya mengenai tindakan susulan yang dilakukan, belia menjelaskan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan akan menyiasat perkara itu.

“Tindakan seterusnya diserahkan kepada PTG dan mereka mesti bertindak. Saya meminta semua sekali mesti ikhlas,” katanya.

Nik Aziz juga menjelaskan wujudnya dakwaan terhadap Kerajaan Negeri yang dikatakan tidak menjalankan tanggungjawab sebagaimana diamanahkan dan baginya pihak tidak bertanggungjawab itu akan menanggung dosa mereka.

“Tidak berbaloi dapat emas yang banyak, akhirnya di akhirat nanti masuk neraka, tiada gunanya dan ikhlas kerana ALLAH SWT perlu ditanam di
dalam hati,” katanya.

Rabu lalu, laporan media mendakwa berpuluh-puluh tapak lombong emas haram dikesan melibatkan beberapa kawasan termasuk Gua Musang dan Tanah Merah.
Muhdalina jalani pemeriksaan mental
Wartawan Sinar Harian
15 Julai 2012
Amuk di JPM
Amuk di JPM
KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan Muhdalina Ahmad, 28, wanita yang terlibat dalam kes amuk di kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, Isnin lalu, akan menjalani pemeriksaan mental dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, wanita berkenaan masih menjalani rawatan di Hospital Putrajaya.

“Pihak hospital masih belum memaklumkan kepada saya, sama ada Muhdalina sudah menjalani pemeriksaan mental. Namun polis telah mengambil keterangannya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pihaknya masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti penglibatan Muhdalina serta punca dia terpengaruh untuk melakukan tindakan itu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang Isnin lalu, seorang lelaki dan wanita mengamuk di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Khalil Afandi Hamid, 47, yang mendakwa dirinya Imam Mahadi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari, manakala Muhdalina turut terkena tembakan di paha kanan.
Amuk: Filem ganas boleh dorong tindakan
NORHASPIDA YATIM
15 Julai 2012
Amuk: Filem ganas boleh dorong tindakan
HUSHIM
SHAH ALAM – Filem berunsur ganas salah satu faktor yang boleh mendorong seseorang bertindak luar kawalan termasuk mengancam nyawa orang lain.

Pakar Motivasi dan Kaunseling, Hushim Salleh berkata, kebanyakan filem yang mengetengahkan unsur keganasan boleh mempengaruhi pemikiran seseorang untuk menterjemahkannya ke dalam dunia realiti.

“Contoh paling mudah ialah, seorang kanak-kanak apabila menonton cerita Superman, akan beranganangan untuk jadi Superman juga malah tingkah lakunya pun dibuat-buat seperti Superman.

“Pengaruh pemikiran begini juga tidak mustahil melanda golongan dewasa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada faktor filem mampu mempengaruhi sifat dan watak seseorang sehingga mampu mendorong melakukan perkara negatif.

Katanya, beliau percaya, tindakan amuk dua individu yang bersenjatakan pedang samurai di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini bukan kerana dipukau atau berada di bawah paras sedar.

“Saya yakin mereka sebenarnya berada dalam keadaan sedar, namun insiden itu berlaku disebabkan perasaan taksub terhadap satu fahaman dan dipengaruhi rasa benci yang begitu mendalam terhadap sesuatu.

“Mereka berada dalam keadaan sedar, tetapi kita lihat seolah- olah mereka di bawah sedar,” katanya.

Menurutnya, sikap ibu bapa yang kurang peka terhadap perubahan anak-anak juga menjadi salah satu punca kepada keadaan ini.

“Ibu bapa perlu masuk kepada ruang rujuk anak-anak dan perlu memahami perubahan emosi, pemikiran dan psikologi anak mereka.

“Anak-anak sekarang lebih suka meluahkan perasaan di laman sosial seperti Facebook, blog dan Twitter, jadi, ibu bapa perlu main langkah bijak dengan memantau laman sosial milik anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata, antara langkah awal yang boleh diambil adalah menerusi solat berjemaah, yang terbukti mampu mengeratkan hubungan  kekeluargaan.

“Saat paling berharga dan mengeratkan ikatan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak ialah ketika bersalaman dan berpelukan sebaik selesai menunaikan solat berjemaah. Ini adalah sunah Rasulullah SAW yang kebanyakan daripada kita lupa untuk amalkan,” katanya.
Emosi lebih main peranan dalam kes amuk
Wartawan Sinar Harian
15 Julai 2012
Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim
Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim

SHAH ALAM – Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim berpendapat filem tidak mampu mempengaruhi tingkah laku atau seseorang, sebaliknya pengaruh tekanan, dadah lebih memainkan peranan.

Beliau berkata, kejadian amuk tidak hanya berlaku pada zaman moden, sebaliknya sering terjadi pada zaman dahulu sebelum filem diterbitkan.

“Teori mengatakan filem boleh mempengaruhi minda tidak boleh dipakai kerana tiada bukti jelas mengesahkan perkara ini.

“Malah sejak dari zaman batu peristiwa amuk telah berlaku akibat tidak dapat mengawal emosi atau terlampau marah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada filem mampu mempengaruhi perlakuan atau minda seseorang dalam kejadian amuk yang berlaku baru-baru ini.

Sementara itu, Kamal Affendi turut menceritakan pengalaman beliau ketika berhadapan dengan situasi sama apabila terpaksa menembak mati penyerangnya dalam satu kes amuk Taman Seri Muda, tahun lalu.

Beliau yang cedera di lutut dan tangan kanan akibat ditetak seorang lelaki yang mengamuk sehingga memaksanya melepaskan tembakan setelah penyerang bertindak ganas.
Insiden amuk: Pas gesa MCA minta maaf
SYAMILAH ZULKIFLI
15 Julai 2012
Insiden amuk: Pas gesa MCA minta maaf
Mohd Taufek (tiga,kiri) bersama Ketua Pemuda Pas Negeri, Khairil Anuar Wafa (kiri) dan Ketua Dewan Penyokong Pas, Yao Con Seng (dua, kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat
SEREMBAN – Pas Negeri Sembilan mendesak MCA negeri itu memohon maaf kepada umat Islam kerana didakwa mengaitkan kejadian amuk di Putrajaya dengan agama Islam, selain turut mengaitkan komponen Pakatan Rakyat (PR) itu dengan kejadian berkenaan. Pas mendakwa kenyataan keterlaluan itu dikeluarkan Penolong Setiausaha MCA Negeri Sembilan, Jason Lee menerusi laman  Twitternya baru-baru ini.

Malah, dalam satu majlis bersama rakyat anjuran MCA di Temiang pada 19 Jun lalu, kira-kira 8.30 malam, beberapa pemimpin MCA turut didakwa memberi gambaran buruk tentang undang-undang Islam, termasuk hukum hudud menerusi ceramah dan tayangan multimedia diadakan.

Pesuruhajaya Pas negeri, Mohd Taufek Abd Ghani berkata, MCA atau sesiapa sahaja dalam pimpinan parti itu tidak layak dan tidak sepatutnya bercakap soal agama Islam kerana ia adalah isu sensitif.

“Saya difahamkan pada 19 Jun itu MCA mahu anjurkan majlis debat dengan DAP berhubung undang-undang Islam termasuk hukum hudud, tapi DAP tidak datang kerana merasakan isu itu tidak sesuai diperdebatkan orang bukan Islam.

“Oleh sebab itu, MCA teruskan program dengan mengadakan ceramah tentang isu tersebut termasuk tayangan multimedia kepada orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban, di sini, semalam.

Mohd Taufek berkata, MCA dinasihatkan berhatihati ketika bercakap dan mengeluarkan kenyataan tentang isu tidak ada kaitan dengan
mereka kerana ia boleh mengundang implikasi negatif.

Menurutnya, hanya individu tertentu sahaja dan beragama Islam boleh mengulas atau berhujah berhubung perkara itu dan tindakan MCA menganjurkan debat berhubung undang-undang Islam adalah tidak wajar.

“Sebagai sebuah parti politik berusia lebih 50 tahun, MCA sepatutnya menjadi parti matang dan bukan sesuka hati bercakap perkara menyentuh sensitiviti sesuatu kaum.

“Kita memandang serius perkara ini kerana ini isu agama dan mahu MCA minta maaf pada orang Islam," katanya.

Justeru itu, katanya, MCA perlu menarik balik semua kenyataan itu termasuk dalam Twitter berkenaan.

“Jika MCA enggan berbuat demikian, Pas tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah.

“Pihak kami sedia mengadakan perbincangan dengan MCA bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung hal itu dan bersedia memberi penjelasan jika ada yang menimbulkan persoalan kepada mereka tentang Islam,” katanya.
Sertai Pas, azam baru pelakon Adam Hamid
NURUL AINI MOHAMED ALI
15 Julai 2012
Sertai Pas, azam baru pelakon Adam Hamid
Adam Hamid menyerahkan borang keahlian menyertai Pas kepada Ketua Penerangan parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
KUALA LUMPUR - Pelakon Adam Hamid berazam untuk mengubah dunia seni tanah air ke arah yang lebih baik dan berpaksikan syariat lebih-lebih lagi apabila dirinya sudah secara rasminya menjadi ahli Pas seumur hidup bermula malam tadi.

Menurutnya, dunia seni kini semakin lalai dan ramai penggiat seni tidak menghiraukan perintah-Nya ketika berkecimpung dalam dunia seni.

"Ramai yang leka dengan perintah-Nya dan melakukan yang terlarang.

"Jadi saya berasa terpanggil untuk mengajak mereka ke arah yang lebih baik dan berkongsi ilmu yang saya ada walaupun sedikit," ujarnya ketika ditemui selepas sesi ceramah pada majlis Siri Himpunan Hijau ke Putrajaya Peringkat Wilayah Persekutuan di sini, malam tadi.

Pada mulanya, beliau mahu bersara dalam bidang seni tetapi rakan-rakan artis melarang kerana khidmatnya sebagai pelakon dan pengarah masih lagi diperlukan.

"Saya akan bersara jika ada pihak-pihak tertentu yang menyenaraihitamkan nama saya untuk terlibat dalam mana-mana pihak produksi lakonan.

"Saya juga berharap agar dengan saya menyertai Pas ini tidak disalahertikan oleh mana-mana pihak," tambah beliau.

Beliau menambah, hanya menyerahkan segalanya kepada takdir berhubung statusnya dalam bidang seni tetapi bagi dirinya sendiri, usaha dalam bidang lakonan tetap akan diteruskan kerana ia sudah sebati dalam jiwa.

Ditanya adakah hanya mengikut trend artis kini yang semakin ramai mula menyertai arena politik tanah air, beliau lantas menafikan.

"Tidak. Saya tidak pernah terikut-ikut dengan langkah artis lain menyertai politik. Saya mula bergiat aktif dalam arena politik sudah lama tetapi baru kali ini saya meyerahkan borang keahlian secara rasmi dan saya merupakan pengikut setia Pakatan Rakyat," ujarnya.
Artis pengaruhi peminat berpolitik
NURRUL HUDA AHMAD LUTFI
15 Julai 2012
Artis pengaruhi peminat berpolitik
Siti Nurhaliza membuat persembahan menghiburkan guru-guru sekolah Parlimen Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU- Penyanyi terkemuka negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin akui artis mampu pengaruhi masyarakat sertai mana-mana parti politik.

Bagaimanapun diva tanah air itu berkata, ia terpulang kepada masyarakat untuk mengikuti artis yang disukai terlibat dalam politik berdasarkan kehendak masing-masing.

“Rakyat negara ini berhak bersuara dan memilih apa yang mereka inginkan dalam berpolitik. Seperti saya menyokong kerajaan yang memerintah dan gembira dapat buat persembahan untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya selepas membuat persembahan di Jamuan Perdana Perayaan Hari Guru 2012 peringkat Parlimen Kota Bharu, semalam.

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza berkata, penglibatan artis di negara ini dalam politik merupakan satu perkembangan positif kerana artis mampu menabur bakti kepada masyarakat.

Beliau berkata, situasi itu bukan perkara yang asing malah artis terbabit perlu lebih bertanggungjawab memikul amanah yang diberikan.

“Bagi saya untuk masuk ke dalam politik secara serius memerlukan seseorang yang betul-betul bersedia dan mengetahui tentang tanggungjawab apabila bergelar individu yang diberikan amanah,” katanya.

Apabila ditanya mengenai fenomena artis terlibat dalam politik dianggap sebagai publisiti murahan, Siti Nurhaliza berkata, ia bergantung kepada niat dan pendirian artis terbabit.

Katanya, semua artis mempunyai hak untuk memilih perkara yang terbaik untuk diri masing-masing.

Kini perkembangan politik negara dimeriahkan dengan pembabitan artisartis terkemuka tanah air. Antaranya Hairie Othman memilih masuk Pas pada Jun lalu, Amy Search dan Jamal Abdillah pula memilih Umno.
Ulama, imam, ustaz selebriti
TAN SRI ABDULLAH AHMAD
Kemunculan generasi 'muhsin baru' telah lama berlaku dalam agama Kristian, Yahudi, Hindu, Buddha dan agama baru juga dalam agama kita. Akhir-akhir ini mereka tumbuh segera dan ramai, satu perkara yang harus disambut.

Kita juga harus berjaga-jaga:bukan semua yang berkilau itu intan. Namun intan tulen tidak akan hilang cahayanya walaupun terbenam di dalam limbah.

Terkenang juga, dulu intan, sekarang batu belanda.

Di Amerika Syarikat (AS), pengaruh ulama konservatif Kristian, evangelis televisyen besar. Sekali-sekala terbongkar juga skandal seks puak yang kononnya muhsin ini. Terang Speaking:

"Christian TV evangelists who try to convert people to Christianity (and their politics) are usually charismatic - Pendakwah ini lazimnya karismatik, petah, berjaya memujuk orang menjadi mualaf."

Dalam politik pun ramai mualaf, orang Umno jadi penganut baru fahaman Malaysian Malaysia atau Malayan Union. DAP sudah pun mendapat segelintir ahli Melayu. Orang Pas masuk Umno (kurang), bekas Umno menganggotai Pas jumlahnya lebih besar. Orang Umno masuk PKR, ahli PKR melompat tidak menghairankan sangat: kultural/ budaya mereka lebih kurang sama  sahaja.

Kita orang Melayu menganuti Islam baru lebih kurang enam abad. Pendekatan baru terhadap agama - terutama semenjak empat dekad lalu - mempesonakan: lahiriah kalaupun tidak batiniah. Apa pun satu hal yang mengagumkan juga merisaukan kerana ada kumpulan yang tidak bertanggungjawab sengaja menyalahgunakan agama untuk kepentingan di luar rohaniah: ekonomi dan politik.

Ada mengaibkan agama akibat ajaran sesat.

Ramai ulama, imam, ustaz dan ustazah kita, tidak salah, gemar publisiti, seronok jadi selebriti. Siapa kata hanya politikus, pelakon, sosialit (bukan sosialis) dan social climbers atau pengejar taraf, darjat dan bintang yang ketagih publisiti?

Muhsin pun tidak dapat lagi menahan diri terhadap godaan mass communications. Seperti saya tidak boleh mengelakkan coklat Belgium. Yang seronok pada setengah dan jelik pada satu pihak lain ada pendakwah dan ulama kita yang suka memimikkan (dalam bahasa Melayu moden) atau yang mengajuk stail, cakap dan perilaku pendakwah dan ulama dari Seberang dan Timur Tengah.

Agak menghiburkan. Kenapa manusia suka meniru orang lain? Lebih baik berpersona sendiri. Jangan jadi kayu dicat untuk meniru marmar. Tok Guru Nik Aziz Nik Mat tidak jatuh martabatnya, bahkan menaikkan lagi imejnya dengan loghat dan sifat Kelantanannya dan begitu juga almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dengan loghat Kedahnya dan stail asalnya walaupun dia berpendidikan Barat (di Cambridge dan London) awal 1920-an.

Di belakang paderi selebriti Kristian lazimnya wujud mesin publisiti yang tersusun, kaya dan Di belakang paderi selebriti Kristian lazimnya wujud mesin publisiti yang tersusun, kaya dan mewah bagi mempromosikan mereka dan mazhab masing-masing. Ramai antara paderi ini - terutama di Afrika juga di AS - mendakwa mereka 'Messiah baru' yakni dihantar oleh tuhan (lebih kurang macam Imam Mahadi) untuk menyelamatkan ummah sebelum hari kiamat. Di Afrika dan AS, telah wujud dan kini pun ramai Messiah palsu.

Dalam Islam telah wujud dan akan terus wujud penyelamat palsu. " mewah bagi mempromosikan mereka dan mazhab masing-masing. Ramai antara paderi ini - terutamanya di Afrika juga di AS - mendakwa mereka 'Messiah baru' yakni dihantar oleh tuhan (lebih kurang macam Imam Mahadi) untuk menyelamatkan ummah sebelum hari kiamat.

Di Afrika dan AS, telah wujud dan kini pun ramai Messiah palsu. Dalam agama Kristian dan Yahudi seperti juga dalam Islam telah wujud dan akan terus wujud penyelamat yang palsu. Terlintas juga siapa agaknya penyelamat politik kita? Saya bimbang ramai orang ada kedudukan, berkuasa dan berpengaruh kerana mereka bijak berlakon, petah bercakap (pandai mengambil hati mereka di atas, mereka 'yes man' dan safe, selamat dan wujudnya sistem kuota dan hak-hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan yang mereka sering kritik).

Sebenarnya majoriti tidak mempunyai idea yang baik dan menarik.
Apa sudah jadi? Mereka sudah pun berjaya menjadikan agama sebagai komoditi perdagangan. Ada paderi, evangelis, pendakwah di Afrika dan AS kaya-raya, mempunyai stesen TV dan kapal terbang jet peribadi seperti tokoh konglomerat multinasional.

Ulama, ustaz dan ustazah kita, sepanjang pengetahuan saya, belum lagi capai tahap ini... Kot kot ke arah itu tidak lama lagi.

Tetapi ramai sudah mempunyai beberapa kereta mewah, banglo, rumah kedua, kediaman ketiga bahkan keempat (juga isteri), simpanan wang banyak. Ini tidak lagi menghairankan atau luar biasa.

Mengikut Forbes, majalah bisnes/ politik untuk orang kaya, David Oyedopo adalah paderi terkaya di Nigeria - kekayaannya dianggarkan berjumlah 150 juta dolar Amerika.

Saya kira tidak berdosa memiliki harta mega asalkan jangan mengeksploitasikan kesaktian, kesucian, kemuliaan agama selain kerana ALLAH SWT/bagi mereka yang beragama Kristian Jesus Christ.

Saya yakin tiada lagi ustaz dan ustazah kita setakat ini sekaya Oyedopo. Sudahkah ada rancangan untuk mencanggihkan dan mereorientasikan ulama, tok guru, ustaz dan ustazah kita? Saya sedang mencari calon imam, naib imam (imam muda), tok siak dan ketua pentadbir bagi sebuah kompleks agama dan pendidikan. Sesiapa teringin dan menganggapkan dirinya layak, sila memohon melalui Datuk Abd Jalil Ali, bos Editorial Sinar. Paderi (dalam konteks kita ulama dan lain-lain) apalagi yang selebriti kekayaan telah membawa mereka pengaruh dan status tinggi dalam politik dan masyarakat.

Di AS, Afrika dan juga di negara kita, Presiden, Perdana Menteri, politikus - pemerintah dan pembangkang - berlumba-lumba untuk mendapatkan sokongan paderi dan tok guru selebriti. Tegas Speaking sambil tersenyum: "A holy endorsement." Saya pun tak terkecuali.
Azmin: PKR Selangor sedia terima Wan Azizah tanding
NURKHAIRINI JUMARI
15 Julai 2012
azmin
$entry.content.caption.value
SHAH ALAM – PKR Selangor sedia menerima Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri itu jika mendapat cadangan akar umbi dan dipersetujui kepimpinan parti.

Pengerusinya, Azmin Ali berkata, buat masa ini belum ada perbincangan Pakatan Rakyat di peringkat pusat mahupun negeri mengenai hasrat Dr Wan
Azizah bertanding di mana-mana kerusi Dun.

“Cadangan (meletakkan Wan Azizah bertanding kerusi Dun Selangor) boleh diketengahkan. Itu perlu bincang secara terbuka dan jujur dalam parti.

“Kalau ada cadangan daripada akar umbi di Selangor, ia boleh diusulkan di peringkat pusat. Ini kerana di Selangor pemilihan calon bertanding pilihan raya dilakukan secara kolektif dan mengambil kira pandangan anggota parti,” katanya yang juga Timbalan Presiden PKR.

Bagaimanapun menurutnya, sebelum membuat tawaran lokasi seseorang ahli bertanding pada pilihan raya umum akan datang ini, faktor sama ada ahli itu akan beri kesan berganda yang positif kepada parti atau sebaliknya perlu diberi penekanan utama.

Awal minggu lalu. Dr Wan Azizah dilaporkan berkata beliau bersedia dan sedang mempertimbangkan dengan ‘serius’, mengambil kira
pelbagai aspek bertanding kerusi Dun pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pada pilihan raya umum lalu dan ketika pilihan raya kecil kerusi Permatang Pauh 2008, Wan Azizah mengundi di SK Sri Penanti yang terletak di kerusi Dun Permatang Pasir.

Dr Wan Azizah yang meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen empat tahun lalu, layak bertanding kerusi Dun dalam PRU13.

Bagaimanapun, isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini enggan mengulas di kawasan dan negeri mana beliau akan bertanding.

Azmin berkata, selaku Pengarah Pilihan Raya PKR, beliau bertanggungjawab membawa pandangan dan maklum balas dari akar umbi mengenai Azmin calon pilihan raya.