Sabtu, 14 Julai 2012

IKUT ISLAM RAKYAT BOLEH NILAI...ALLAH JUGA MENILAI...JANGAN CAKAP TAPI TAK IKUT...ALLAH TAHU....SETIA DENGAN ALLAH BAGAIMANA...JIKA BERTEMBUNG PERINTAH MANUSIA DENGAN PERINTAH ALLAH MAKA KENA DAHULUKAN PERINTAH ALLAH...BILA HUKUM MANUSIA BERTEMU HUKUM ALLAH MAKA HUKUM MANUSIA KENA KETEPIKAN...

Amuk: Pengakuan suami Muhdalina - Bahagian II
MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN & NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
14 Julai 2012
Amuk di JPM
Amuk di JPM
KEJADIAN amuk yang berlaku di Kompleks B Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya Isnin lalu, menggemparkan negara apabila seorang individu menggelarkan dirinya imam Mahdi begitu berani merempuh masuk de ngan menggunakan pedang samurai. Individu itu, Khalil Afandi Abd Hamid, 47, dikatakan mempunyai masalah kecelaruan personaliti, menggunakan Internet sebagai medium untuk menyebarkan fahamannya. Ketika kejadian, Khalil Afandi bersama seorang wanita dikenali, Muhdalina Ahmad, 28. Ikuti temubual khas wartawan Sinar Harian, MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN, NURUL RIDUAN NOR ASHAHA dan jurugambar AZMI ARYANTO bersama suami Muhdalina, Mohd Irwan Mohd Foad, 29, merungkaikan di sebalik kejadian amuk tersebut.

Muhdalina seperti dipukau

Bagaimana pula dengan keadaan Muhdalina?

Saya lihat isteri saya bukan seperti insan yang saya kenali. Dia tidak sedar dengan apa yang dilakukannya. Diaseperti dipukau. Dia taksub dengan apa yang dilakukan Khalil Afandi. Apabila sampai ke tahap itu, saya sudah mula syak bahawa dia membawa
ajaran songsang dan berfikir untuk membuat laporan di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), tetapi  tidak sempat.

Apa yang membuatkan saya pasti Khalil Afandi membawa ajaran sesat apabila dia berkata manusia tidak perlu solat, syurga neraka tidak ada, jangan ikut Nabi Muhammad SAW dan bertegas hanya dia seorang sahaja yang boleh masuk syurga.

Pada ketika itu, saya cuma boleh memikirkan keadaan isteri saya, saya amat risau keadaannya kerana isteri saya amat taksub kepada Khalil Afandi sehingga boleh disifatkan tidak normal.

Apa yang Mohd Irwan lakukan untuk menghalang tindakan isteri sebelum pergi lebih jauh?

Saya pernah mengajaknya untuk pulang dan menjelaskan keadaan yang sebenar tetapi tidak berjaya.
Muhdalina sekali lagi meminta saya supaya tidak menghalangnya untuk berjuang dan dia memaklumkan akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya tegah tetapi dia sekali lagi menuntut cerai. Saya pasrah demi keselamatan isteri.

Saya tegaskan di sini, saya tidak mampu untuk membiarkan isteri tinggal bersendirian dengan Khalil Afandi kerana risau akan keselamatannya. Memandangkan keadaan Khalil Afandi yang dilihat seperti orang tidak normal.

Khalil Afandi juga sering berkata kepada isterinya, “Aku akan bunuh kamu” sekiranya permintaannya tidak dituruti.

Langkah ke Putrajaya

Boleh ceritakan bagaimana peristiwa amuk di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) berlaku?

Saya mengaku, saya dan isteri Khalil Afandi yang menghantar mereka berdua ke Putrajaya.

Ketika di rumah, saya tersedar daripada tidur selepas mendengar jeritan Khalil Afandi kepada isterinya, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Tanpa berlengah, saya terus bangun dan hanya sempat mencuci muka untuk bersama-sama mereka bertiga.

Saya lihat Khalil Afandi membawa dua bilah pedang yang dibalut kemas. Saya dan Muhdalina bersama seorang anak lelaki Khalil Afandi, berusia 9 tahun, duduk di belakang.

Khalil Afandi duduk di bahagian penumpang hadapan manakala isterinya memandu kereta jenis Proton Gen 2 berwarna emas.

Khalil Afandi memegang erat dua bilah pedang tersebut. Setibanya di Putrajaya, Khalil Afandi mengarahkan kenderaan berhenti di Dataran Putra, kira-kira jam 1 petang.

Khalil Afandi bersama Muhdalina turun dan kami diarahkan pulang, jika tidak kami akan dibunuh.

Selepas itu saya tidak mengetahui sebarang berita mengenai mereka berdua sehinggalah Muhdalina menghubungi isteri Khalil Afandi dan memberitahu suaminya ditembak  polis.

Ketika itu saya tidak mengetahui Muhdalina turut terkena tembakan dalam kejadian tersebut.

Kira-kira jam 4 petang, saya bergegas ke Hospital Putrajaya selepas mengetahui Muhdalina turut tercedera terkena tembakan di paha kanan.

Bagaimanapun, saya tidak dapat bertemu dengannya kerana kawalan ketat polis dan saya diarahkan untuk berjumpa dengan Ketua Polis Daerah Putrajaya, AsistenKomisioner Abdul Razak Abdul Majid. Selepas itu, baru saya dibenarkan melawat Muhdalina yang masih mendapatkan rawatan di unit kecemasan. Muhdalina ketika itu sedar tetapi kelihatan seolah-olah masih belum berada di dunia nyata.

Di sebelah Muhdalina pula terdapat jenazah Khalil Afandi.

Muhdalina seperti tidak tahu terlibat dalam kejadian amuk

Bagaimana dengan keadaan Muhdalina ketika di Hospital Putrajaya?


Ketika dia sedar, dia memohon maaf kepada saya tetapi masih tidak mengetahui apa yang berlaku.

Apabila saya ceritakan kepadanya, dia seolah-olah terkejut dan tidak mengetahui bahawa dia terlibat dalam kejadian amuk tersebut. Saya tunjukkan laporan dan gambar pada sebuah akhbar sebagai bukti. Dia terdiam malah terus memejamkan mata.

“Abang, saya tidak tahu. Itu bukan saya...saya tidak buat semua itu.” Itulah kata-kata yang terpacul dari mulut Muhdalina selepas dia melihat laporan akhbar tersebut.

Kesihatan Muhdalina ketika ini stabil. Doktor memaklumkan peluru yang tertanam di pahanya tidak boleh dikeluarkan kerana mungkin boleh menyebabkan kecederaan lebih parah.

Bagaimana perasaan Mohd Irwan bila mengetahui isteri terlibat dalam kejadian tersebut?

Suami mana yang tidak terkejut dengan kejadian ini? Saya tidak percaya dengan apa yang berlaku.

Apa yang boleh saya katakan di sini, Muhdalina tidak sedar terhadap apa yang dilakukannya. Semuanya kerana kehendak Khalil Afandi.

Saya sedih melihat keadaan dirinya sewaktu ini. Saya beranggapan dia tidak salah sepenuhnya.

Ketika kejadian, dia tidak sedar. Malah, selepas kembali normal, dia sedikit pun tidak mempercayai perbuatannya itu.

Saya meminta orang ramai tidak terus menyalahkan Muhdalina, termasuk diri saya juga kerana membiarkan perkara ini berlaku.

Jika anda berada di tempat saya...anda akan tahu apa yang saya alami. Saya tidak mampu untuk bertindak kerana khuatir dengan keselamatan diri dan isteri.

Saya minta Muhdalina tidak dijadikan sebagai ‘kambing hitam’ dalam kejadian ini
memandangkan Khalil Afandi meninggal dunia akibat tembakan tersebut.

Saya juga bekerjasama dengan polis dan memberikan semua maklumat yang mereka inginkan. Saya juga mengharapkan Muhdalina dapat dijamin.


Suami: 'Isteri saya jerat dalam fantasi Khalil'
OHAMMAD FAIRUZ JUMAIN & NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
14 Julai 2012
Amuk di JPM
Amuk di JPM
KEJADIAN amuk yang berlaku di Kompleks B Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya Isnin lalu, menggemparkan negara apabila seorang individu menggelarkan dirinya imam Mahdi begitu berani merempuh masuk de ngan menggunakan pedang samurai.
Individu itu, Khalil Afandi Abd Hamid, 47, dikatakan mempunyai masalah kecelaruan personaliti, menggunakan Internet sebagai medium untuk menyebarkan fahamannya. Ketika kejadian, Khalil Afandi bersama seorang wanita dikenali, Muhdalina Ahmad, 28. Ikuti temubual khas wartawan Sinar Harian, MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN, NURUL RIDUAN NOR ASHAHA dan jurugambar AZMI ARYANTO bersama suami Muhdalina, Mohd Irwan Mohd Foad, 29, merungkaikan di sebalik kejadian amuk tersebut.

Bagaimana sifat dan sikap Muhdalina sebelum mengenali Khalil Afandi?

Muhdalina adalah seorang isteri yang taat pada suami. Tidak pernah melawan dan seorang ibu yang penyayang. Pergaulan dan hukum agama tidak dipandang ringan. Sehelai rambut pun orang lain tidak dapat melihat melainkan saya sendiri.

Dia juga seorang yang ceria dan semua itu berubah selepas dia mengenali Khalil Afandi, tanpa pengetahuan saya.

Dia seolah-olah tidak sedar apa yang dilakukan termasuk apa yang dituturkan.


Bagaimana permulaan perkenalan Muhdalina dengan Khalil Afandi?

Perkenalan Muhdalina dengan Khalil Afandi bermula dua minggu sebelum kejadian amuk di Putrajaya. Sebelum ini saya tidak tahu dia sudah mengenali dan menghubungi Khalil Afandi melalui blog dan Facebook.

Saya buta teknologi maklumat (IT) dan tidak mengetahui perhubungan tersebut. Muhdalina berurusan dengan Khalil Afandi hanya ketika bekerja di pejabat, sebuah syarikat di Pelabuhan Klang.

Seminggu kemudian, baru saya tahu mereka berkenalan
antara satu sama lain. Ketika itu Muhdalina bertanyakan soalan; “Abang percaya ada lelaki hidup 1,000 tahun?” “Abang percaya bumi terbelah bila ditumbuk lelaki?” “Ada lelaki boleh tembus  dinding?”

Saya menafikan soalan itu, namun Muhdalina mengiakan dan memberitahu Khalil Afandi boleh melakukan semua itu. Saya bertanyakan siapa lelaki itu dan dia menjawab Khalil Afandi adalah imam Mahdi.

Ketika itu saya hairan mengapa Muhdalina berubah dan begitu taksub dengan lelaki tersebut.


Kenal sejak dalam kandungan

Bila Mohd Irwan dan isteri tinggal sebumbung dengan Khalil Afandi?

Kami ‘berpindah’ ke rumah Khalil Afandi di Sri Kembangan pada malam Khamis iaitu empat hari sebelum tragedi amuk.

Muhdalina mendesak saya supaya membenarkan dia tinggal bersama Khalil Afandi. Saya tidak mengizinkan, tetapi dia mengugut akan menuntut cerai sekiranya dihalang. Saya tidak sanggup untuk berpisah jadi saya membenarkan dengan syarat saya menemaninya.

Sebelum hasrat itu disuarakan Muhdalina, dia menceritakan kepada saya bahawa Khalil Afandi sudah mengenalinya sejak dalam kandungan. Saya jadi bingung dengan kenyataan Muhdalina.

Bagi meyakinkan saya lagi, Muhdalina juga memberitahu, Khalil Afandi pernah bermimpi bertemu dengan seorang wanita berbaju kurung merah, mempunyai dua orang anak dan wanita itu adalah insan yang akan berjuang bersamanya bagi menegakkan keadilan.

Khalil Afandi mengatakan bahawa wanita itu adalah Muhdalina memandangkan kami mempunyai dua cahaya mata selain Muhdalina memiliki baju kurung berwarna merah.

Disebabkan itu, Muhdalina tekad untuk bersama dengan Khalil Afandi untuk berjuang. Kerana sayang, saya turuti kemahuan Muhdalina untuk tinggal bersama Khalil Afandi dan isterinya.

Keesokan harinya, Muhdalina menghantar surat berhenti kerja melalui e-mel kepada majikannya.


Apa yang berlaku sepanjang empat hari di rumah Khalil Afandi?

Ketika sampai di rumah itu, Khalil Afandi terus menjerit dan bertanya kepada saya, “Kenapa kamu tidak sembahyang? Aku tidak boleh tinggal serumah dengan orang yang tinggalkan sembahyang!”

Khalil Afandi juga mengatakan atas faktor itu, dia tidak bercampur dengan orang ramai kerana khuatir  akidah terjejas.

Saya terkejut dan timbul sedikit kepercayaan kepada lelaki itu berikutan saya belum menunaikan solat (ketika itu).

Bagaimanapun, semua itu terhakis selepas Khalil Afandi mengatakan saya hanya perlu solat pada waktu malam dan bukannya waktu siang.

Mendengar penjelasan itu, rasa sangsi terhadap lelaki itu kian menebal.

Keadaan Khalil Afandi ketika itu amat pelik, bukan macam orang normal dan saya lihat dia sentiasa bermonolog sendirian.

Apa yang lebih pelik, dia memanggil ALLAH dengan nama ‘bos’.

Dia juga mendakwa kononnya dialah kekasih 'bos' yang paling tinggi. Watak Khalil Afandi juga sukar dicam. Sekejap dia menjadi amat baik, sekejap lagi dia bertukar garang. Dia juga mendakwa sering bertukar- tukar jasad, seperti dalam filem The Highlander. Dia sering mengatakan dirinya sebagai hero filem tersebut.

Dia juga sering memarahi isterinya secara melampau, sehinggakan saya lihat isteri Khalil amat takut
dengannya.
Ikuti laporan penuh kisah di sebalik kejadian amuk itu dalam Sinar Harian edisi hari ini, Sabtu 14 Julai 2012.


Amuk di JPM: Keterangan Muhdalina diambil
Wartawan Sinar Harian
14 Julai 2012
Amuk di JPM
Amuk di JPM
KUALA LUMPUR – Polis sudah mengambil keterangan Muhdalina Ahmad, 28, wanita yang terlibat dalam kes amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, Isnin lalu, kini masih menjalani rawatan di Hospital Putrajaya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, Muhdalina sudah boleh bercakap dan keterangan sudah diambil untuk siasatan seterusnya.

“Kita akan mengenal pasti penglibatannya dan punca dia terpengaruh untuk melakukan tindakan itu,” katanya kepada media selepas majlis taklimat khas pemantapan aktiviti memerangi jenayah di dewan perdana, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Cheras, di sini, semalam.

Beliau turut mengesahkan penahanan seorang lelaki yang dikatakan kawan baik kepada Khalil Afandi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan rakan baik kepada Khalil Afandi ditahan sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan.

Ismail berkata, pemantauan ke atas blog dan laman sosial yang mempunyai unsur ajaran sesat akan diteruskan dan masyarakat perlulah bertanggungjawab bersama mengenai isu ini.

Nik Aziz: Jangan kait amuk JPM dengan PR
ROSALWANI CHE SOH
14 Julai 2012
Nik Aziz kecam Harussani
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa agar jangan mengaitkan Pakatan Rakyat khususnya Pas dengan kejadian amuk di kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya Isnin lalu.

Nik Aziz juga berkata, beliau tidak dapat menerima mengapa individu terbabit mahu membawa pedang ke dalam kawasan JPM.

“Saya tak boleh terfikir, macam mana seseorang itu boleh bawa sebilah pedang samurai masuk ke bagunan JPM. Tak tahulah sama ada dia itu, ada kaitan dengan ajaran sesat dan perlakuannya itu tak masuk akal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra saudara baru di Kompleks Jubli Perak Panji, hari ini.

Dalam pada itu, Nik Aziz membidas dakwaan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dalam media tempatan baru-baru ini, yang mengatakan Umno gagal menawan Kelantan sejak 22 tahun lalu kerana rakyat di negeri ini taksub terhadap dirinya.

“Dia (Mahathir) salah tanggapan sebenarnya, orang yang dengar dan percaya kepada percakapan saya bukan taksub tetapi istiqamah.

“Taksub ni lain, kalau dia taksub apa disuruh dia akan lalukan secara membuta tuli tanpa berfikir panjang, tetapi apa yang saya katakan adalah berdasarkan fakta dan hukum Islam dan ini merupakan istiqamah,” kata beliau.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, beliau turut mengakui kenyataan undi Pas masuk syurga.

“Saya akui kenyataan itu kerana seseorang yang menyokong gerakan Islam tidak kiralah Pas atau gerakan lain berlandaskan Islam akan dijanjikan ke arah itu.

"Kerana Pas ajak manusia lakukan perkara yang baik dan meninggalkan kemungkaran," katanya.

Mengulas mengenai isu kadar penurunan jenayah di Malaysia, Nik Aziz berkata, untuk mengatasi masalah ini adalah terpulang kepada kawalan nafsu manusia itu sendiri.

"Kadar jenayah menurun atau naik bukan kerana kejayaan pihak berkuasa, kenyataan itu saya kurang setuju, jenayah turun kerana kita tak pandai kendali nafsu manusia.

"Manusia ada nafsu baik dan jahat, nak tangani nafsu itu, apa yang penting kita perlu bertakwa kepada Allah," katanya.

Nik Aziz timbang banglo untuk qari Malaysia juara Tilawah Al-Quran
ROSALWANI CHE SOH
14 Julai 2012
Nik Aziz: Mufti boleh jadi perantara, bukan serang
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan untuk menghadiahkan sebuah banglo kepada anak kelahiran Kelantan, Muhammad Anuar Ghazali, 36, yang dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa ke-54 malam tadi.

Menteri Besar Kelantan berkata, perkara itu akan dibincangkan agar dapat meraikan kejayaan wakil Malaysia, yang telah mengharumkan nama negara di peringkat dunia.

“Insya-Allah saya akan minta mereka beri hadiah berupa sebuah banglo, kepada qari itu (Anuar) seperti yang pernah kita berikan dulu kepada penjaga gawang gol negara, Khairul Fahmi Che Mat (Apex) kerana mengharumkan negara Malaysia dan negeri Kelantan.

“Dia merupakan anak Kelantan dan perlu diberi pengiktirafan kerana dapat menjuarai pertandingan itu, yang melibatkan wakil luar negara, dan dia sudah membuktikan kemampuannya dengan menyandang gelaran johan,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra saudara baru ‘Demimu Palestin’ di Dewan Jubli Perak, Panji di sini hari ini.
Qari Malaysia johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa

14 Julai 2012
Qari Malaysia johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa
Johan Qari dari Malaysia, Muhammad Anuar Ghazali (kiri), 36, dan Johan Qariah dari Magribi, Hasnae Khoulali,19, pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54.
KUALA LUMPUR - Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mengukir sejarah kepada peserta Malaysia Muhammad Anuar Ghazali, 36, apabila dinobatkan sebagai juara kategori qari (lelaki).
Anuar, yang berasal dari Kelantan dan memperdengarkan bacaaan Surah al-Hud, memperoleh markah 95.33 peratus. Naib johan disandang qari Iran Amin Pouya dengan 91.67 peratus manakala tempat ketiga milik Indonesia menerusi Raden Harmoko Baharudin (90.16 peratus).
Bagi kategori qariah (wanita), peserta Maghribi Hasnae Khoulali, 19, yang memperdengarkan bacaan Surah al-Israk, memperoleh 94 peratus, sama seperti
markah yang diperoleh naib johan dan pemenang ketiga.
Hasnae menewaskan qariah Indonesia Rahmawati Bakri Hunawa dan qariah Malaysia Che Aminah Che Awang menerusi cara bacaan, tajwid, kefasihan serta suara dalam menentukan perkiraan markah mereka.
Pemenang tempat pertama bagi kedua-dua kategori membawa pulang wang tunai RM40,000 serta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke majlis itu.
Naib johan pula membawa pulang wang tunai RM30,000 serta cenderamata dan sijil penyertaan manakala pemenang tempat ketiga menerima RM20,000, cenderamata serta sijil penyertaan.
Seramai 62 peserta tilawah kali ini menerima hadiah sagu hati wang tunai RM3,000 setiap seorang, cenderamata serta sijil penyertaan. 
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Sementara itu, Anuar ketika ditemu bual melahirkan rasa syukur kerana penyertaan kali pertama di majlis tilawah amat bermakna apabila dinobatkan
sebagai juara.
"Saya amat cintakan ayat-ayat suci al-Quran sejak di tingkatan satu dan mengamalkan bacaan setiap hari dengan berjaga malam untuk mempraktikkan bacaan saya. Saya rasa tidak lengkap sekiranya satu hari tidak membaca al-Quran yang saya jadikan sebagai aktiviti harian," kata bapa kepada tiga anak dan guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Cochrane ini.
Hasnae pula berkata beliau, yang pertama kali menjejak kaki ke negara ini, berasa sangat teruja serta berterima kasih kepada semua pihak yang banyak
memberi sokongan serta dorongan kepadanya.
"Semua ini ketentuan ALLAH serta berkat doa keluarga dan diri sendiri," kata pelajar tahun keempat Universiti Muhammad V jurusan pengajian Islam menerusi
penterjemah.
Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 bertema 'Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah' yang berlangsung selama lapan malam mulai 6 Julai lepas, disertai 72 qari (44) dan qariah (27) dari 44 negara antaranya, Thailand, Brunei, Bosnia Herzegovina, Filipina serta Algeria.
Jemaah hakim kali ini berpendapat setiap peserta telah memperdengarkan bacaan yang bagus dengan memelihara hukum tajwid. 
Majlis tahun ini menyaksikan penyertaan kali pertama tiga negara iaitu Belgium, Ghana dan Tanzania. - Bernama
Pembangkang suka main isu jenayah bagi kikis keyakinan rakyat terhadap kerajaan

14 Julai 2012
 Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
KLUANG - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pembangkang sentiasa memainkan isu kadar jenayah di negara ini bagi mengikis keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Beliau berkata pembangkang mengambil kesempatan dengan isu yang mendapat perhatian serta menjadi kebimbangan orang ramai terutamanya kadar jenayah bagi
meraih faedah politik.

"Kita akan yakinkan orang ramai bahawa tuduhan mereka (pembangkang) itu meleset dan tidak berasas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Sembrong di Felda Ulu Belitong, di sini hari ini.

Hishammuddin, yang juga Ketua Umno Bahagian Sembrong, menjelaskan bahawa kerajaan tidak pernah mencari alasan tetapi sebaliknya membuktikan komitmen berterusan menerusi inisiatif yang diguna pakai bagi mengurangkan kadar jenayah di negara.

Katanya usaha kerajaan menangani jenayah di negara ini turut mendapat pujian pihak luar seperti Panel Bebas Antarabangsa yang dianggotai pakar dari Singapura, Hong Kong, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Menurutnya panel bebas antarabangsa itu memuji dan kagum dengan pendekataan yang dilaksanakan kerajaan menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi mengurangkan kadar jenayah di negara ini. - Bernama
Rakyat perlu bijak nilai usaha BN, pembangkang dalam pembangunan

14 Julai 2012
NIBONG TEBAL - Rakyat perlu bijak membuat perbandingan antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang dalam memajukan  negara demi kesejahteraan rakyat.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek berkata kerajaan BN sentiasa membantu, merancang dan melaksanakan program untuk kebaikan rakyat tetapi mendapat tentangan daripada pembangkang.
Beliau berkata kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mendengar keluhan rakyat seperti kesukaran golongan muda mendapatkan  pekerjaan.
"Pendekatan kerajaan BN bukan sahaja mendengar kehendak rakyat tetapi memenuhi permintaan pasaran kerja kini yang inginkan generasi muda berkemahiran tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan diploma dan Sijil Kemahiran Malaysia Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) 2012 kepada 186 penerima di sini hari ini.

Hasan berkata usaha kerajaan BN menerusi pelbagai agensi seperti Kemas banyak memberi ruang dan peluang dalam menyediakan kemudahan supaya anak muda mendapat  pekerjaan serta mampu menjana pendapatan.
Katanya kerajaan BN mengambil pelbagai inisiatif mengukuhkan rantaian ekonomi negara seperti program transformasi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat serta mengangkat martabat dan maruah negara di peringkat antarabangsa.
Hasan berkata usaha kerajaan BN sering dihalang dan ditentang pembangkang seperti pembinaan kilang Lynas dan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings walaupun ia memberi kebaikan kepada negara dan rakyat.
"Tentangan pihak pembangkang hanya merugikan negara. Oleh itu, sokongan rakyat diperlukan untuk menjayakan program transformasi negara demi kemajuan negara dan  kesejahteraan masyarakat," katanya.  - Bernama

Kesetiaan dan perpaduan anggota Umno penting dalam survival

14 Julai 2012
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
TAIPING - Kesetiaan terhadap parti dan perpaduan dalam kalangan anggota Umno sewajarnya dikekalkan tanpa mengira musim bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata kedua-dua nilai itu sentiasa perlu diterapkan dalam kalangan anggota parti bagi memastikan kekuatan Umno sebagai tunjang perjuangan Barisan Nasional (BN).

Katanya semua parti komponen BN perlu meingkatkan usaha secara agresif bagi menghadapi PRU ke-13 supaya parti masing-masing mendapat sokongan daripada segenap lapisan rakyat pelbagai bangsa dan agama.

"Ini kerana bukan semua kerusi (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri) diwakili oleh Umno sahaja. Jadi cari usaha untuk mengambil hati semua kaum,' katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Taiping di sini hari ini.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata Datuk Seri Najib Tun Razak selaku presiden parti dan Perdana Menteri telah melakukan penambahbaikan dan perubahan termasuk dalam parti kerana Umno perlu selari dengan perubahan jika tidak mahu ditolak oleh rakyat. - Bernama

Najib: Perjuangan Kerajaan Persekutuan berteraskan Islam

14 Julai 2012
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
KLANG - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perjuangan Kerajaan Persekutuan masa kini adalah berteraskan tuntutan Islam di bawah konsep Maqasid Al-Shariah.
Beliau berkata antara dasar Maqasid Al-Shariah yang diamalkan kerajaan ialah memelihara dan memperkasakan Islam namun pada masa sama, ia memelihara jiwa dan menghormati hak asasi manusia baik untuk Muslim dan juga bukan Muslim.
Sebagai menghormati hak asasi rakyat Malaysia, katanya kerajaan telah menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Jauh sekali kita meminggirkan Islam ataupun ketepikan Islam tetapi perjuangan kita ialah perjuangan yang dituntut oleh Islam," katanya semasa berucap pada Majlis Jasamu Dikenang Allahyarham Ustaz Nik Mohamed Mohyideen Wan Musa di Kolej Islam Sultan Alam Shah di sini hari ini.
Nik Mohamed Mohyideen adalah pengetua pertama Kolej Islam Malaya/Klang yang kini dikenali sebagai Kolej Islam Sultan Alam Shah selain pengasas Sekolah Menengah Kebangsaan Agama.

Najib memperjelaskan bahawa dasar transformasi negara menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah berpaksikan kepada  Maqasid Al-Shariah.
"Memelihara akaun, memelihara kehormatan dan keturunan dan memelihara harta dengan memperkasakan ekonomi, ini adalah prinsip Maqasid Shariah.
"Kita membangunkan konsep Kolej Islam dan menempatkan guru agama dari segi perjawatannya sama dengan guru-guru lain... ini semua adalah berdasarkan Maqasid Al-Shariah," katanya.
Selain itu, katanya Kedai Kain Rakyat 1Malaysia yang dilancarkannya hari ini juga merupakan satu daripada elemen Maqasid Al-Shariah.
Najib berkata pendekatan pendidikan oleh Kolej Islam, yang menggabungkan ilmu dunia dan Islam, merupakan hasil gandingan bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein selaku Menteri Pelajaran dan Allahyarham Nik Mohamed Mohyideen, selaku Pengetua Kolej Islam pada 1967, sebagai pelaksana dasar baru itu.

Najib berkata konsep atau falsafah menyatupadukan ilmu akal (intelek) dan ilmu wahyu (agama) dalam pendidikan telah diperjuangkan oleh Nik Mohamed Mohyideen bagi menghasilkan insan yang mempunyai kekuatan yang jauh lebih baik daripada mereka yang terdidik dengan satu dimensi ilmu sahaja.
 "Di situlah letaknya ketepatan Kolej Islam ini dibangunkan di mana ia penting ke arah menjadikan seorang insan itu sebagai cerminan akhlak Islam," katanya.
 Perdana Menteri berkata selain ibadat, Islam juga amat mementingkan akhlak mulia sesama manusia.
 Beliau berkata konsep kesepaduan ilmu akal dan wahyu turut penting dalam pembangunan kepimpinan dan ketamadunan Islam.
 "Nescaya, kalau kita boleh membangunkan individu berteraskan ataupun berpaksikan kepada kesepaduan ilmu ini, maka yakinlah, kita akan jadi seorang insan yang Tuhan pun akan meninggikan lagi darjat kita," katanya.

Najib berkata pada masa yang sama, kesyumulan Islam tidak boleh disempitkan oleh mana-mana pihak kerana jika disempitkan, ia boleh merosakkan masa depan umat Islam.
Beliau berkata umat Islam juga berdepan cabaran apabila Islam tidak dilihat sebagai satu matlamat yang patut diperjuangkan, sebaliknya dijadikan alat untuk mencapai tujuan politik.

"Sebab itulah, kecelaruan berlaku di kalangan umat Islam. Daripada hala tuju yang tidak menentu, sekejap nak negara Islam, sekejap negara kebajikan, sekejap timbul hudud sampailah kepada masalah yang kita baca dalam akhbar sehari dua ini, suami dan isteri berpisah kerana politik," katanya.
 Selain itu, Najib meminta dijadikan iktibar kejatuhan Tamadun Islam di Andalusia Sepanyol berikutan umat Islamnya gagal memelihara perpaduan kerana masalah dalaman, perebutan kuasa, hasad dengki menyebabkan umat Islam tidak berupaya meletakkan ketamadunan Islam di takat yang lebih tinggi.
Sementara itu, Najib berkata kerajaan akan memberi anugerah yang setimpal bagi mengenang jasa dan perjuangan Allahyarham Nik Mohamed Mohyideen.
Beliau juga mengumumkan kerajaan akan memberi peruntukan RM10 juta untuk meningkatkan lagi kemudahan di Kolej Islam selain Umno yang akan menyumbangkan RM200,000. - Bernama

Tiada ulasan: