Rabu, 17 April 2013

MUSIM BERCAKARAN BERMULA...UNDI PROTES...MERAJUK...BAIKOT...KERANA DISINGKIRKAN ATAU DAH TAK CALONKAN SEMULA

Abim gesa rakyat tolak pengamal politik lucah

Harakahdaily, 16 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sekali lagi dengan tegas mengutuk perbuatan mengedarkan video lucah untuk kempen pilihan raya ini.

Presidennya, Amidi Abdul Rahman (gambar) berkata, ia melambangkan satu tahap pemikiran yang tidak bertamadun serta menjurus ke arah fenomena politik longkang yang kotor dan menjijikkan.

"Kita menuntut agar perkara ini diberikan perhatian serius oleh semua pihak dalam menghadapi PRU 13 bakal menjelang," kata Amidi dalam kenyataannya.

Baru-baru masyarakat dikejutkan lagi oleh satu video kononnya  merupakan perlakuan lucah pemimpin sebuah parti.

Secara kebetulan ia pemimpin sebuah parti yang sama membentuk satu pakatan dengan pemimpin sebuah parti lain, yang didakwa mengedar video lucahnya diedarkan tidak lama dahulu.

Sehubungan dengan itu, Abim mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini.

Abim, katanya, tidak menolak kemungkinan tindakan ini dipengaruhi oleh pandangan yang mengharuskan pendedahan aib seorang pemimpin seperti yang diqiaskan oleh pihak tertentu seumpama memilih "pasangan hidup!"

Mungkin inilah situasi yang dimahukan oleh pihak berkenaan, yang berpendirian, ia adalah untuk ketelusan dalam memilih pihak yang wajar menjadi pemimpin negara.

Namun, katanya, pandangan yang kurang cermat ini boleh menjerumuskan masyarakat ke dalam situasi yang tidak sihat.

"Persoalan Adakah benar perkara ini aib? Atau ia adalah fitnah semata-mata? akan terus berlegar-legar serta mencetuskan polemik berpanjangan," tambahnya.

Justeru, Abim menggesa penyebaran perkara ini perlu dihentikan serta merta demi menjaga integriti semua pihak yang bertanding dalam pilihanraya ini.

Abim tidak mahu pilihanraya menjadi medan lambakkan video-video lucah sebegini yang tidak memberi sebarang terhadap perkembangan demokrasi yang positif, tegas beliau.

Akibatnya, PRU 13 kelak akan  menyaksikan persaingan tidak lagi berasaskan tekad untuk memperjuangkan kebajikan rakyat, tetapi sebaliknya diwarnainya dengan aksi video yang memualkan.

Abim menyeru agar semua pihak tanpa mengira parti untuk menolak budaya politik lucah ini.

"Kita khuatir ia akan menjemput kemurkaan ALlah yang hadir bersama bala dan kutukan. Semoga kita semua terlindung dari sebarang keburukan atas tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab," tambahnya.

Temerloh di hati kome...

Nasrudin Hassan, 16 Apr 2013
Temerloh di hati Kome .. Bhg 1
Temerloh Bandar Ilmu

1. Kesedaran dan keinsafan tinggi terhadap amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin, saya sangat memerlukan petunjuk dan kekuatan daripada Allah swt untuk melunaskannya dengan sebaik mungkin.

2. Antara apa yang boleh saya cetuskan sementara ia adalah sebahagian dari jiwa saya, saya bercita-cita besar untuk menjadikan Temerloh ini selain dari Bandar Ikan Patin ia juga adalah Bandar Ilmu yang terkemuka di negeri Pahang khasnya dan Malaysia amnya.

3. Justeru itu, saya jua memerlukan sokongan dan dokongan dari semua saf kepimpinan PR dan rakyat di kawasan Temerloh untuk sama-sama kita jayakan hasrat murni dan besar ini. Semoga bandar yang telah ramai melahirkan pejuang kemerdekaan, alim ulama', tokoh intelektual, ahli politik dan pemimpin negeri serta negara dapat diangkat menjadi Bandar Ilmu bagi negeri Pahang Darul Makmur. Insyaallah ia menjadi mercu tanda gerakan pembaharuan di negeri Pahang tercinta ini.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Calon P.088 Temerloh

PRU13: NGO seru rakyat tolak parti haram

Hazayani Zakaria, 16 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Rakyat diseru memanfaatkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sebagai medan untuk menolak parti yang tidak berpegang kepada kedaulatan undang-undang.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, rakyat tidak wajar terus memberikan kuasa kepada organisasi haram.

"Pengundi boleh menggunakan signal ini sebagai satu referendum untuk menolak organisasi haram daripada diberi kuasa mentadbir negara," kata beliau pada sidang media di Psat Media PAS, dekat sini hari ini.

Terdahulu, SAMM bersama kumpulan Revolusi 13 memfailkan satu injuksi terhadap Umno dengan menganggap parti itu sebagai pertubuhan haram.

Injunksi tersebut difailkan 6 plaintif dari Kelantan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui N.M Amin Associates.

"Ini satu proses pertama untuk mendaulatkan undang-undang negara bagi meminta mahkamah menetapkan pertubuhan Umno itu sebagai pertubuhan yang tak sah dan haram di sisi undang-undang," kata Badrul atau lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard.

Menurut SAMM, fakta sejarah secara jelas menyebut bahawa Umno yang ditubuhkan pada 1946 telah diharamkan pada 4 Februari 1988 melalui satu keputusan mahkamah tinggi.

Ianya ekoran kes perebutan jawatan presiden parti itu antara Tun Dr.Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah yang menyaksikan jawatan tersebut dimenangi Dr Mahathir.

Menurut SAMM, biarpun Umno baru kemudian ditubuhkan Mahathir, namun pengharaman Umno asal itu telah menyebabkan semua pendaftaran parti itu di peringkat pusat, bahagian dan cawangan terbatal.

Ditanya sama ada SAMM akan menggunakan isu tersebut sebagai bahan kempen PRU13, Chegu Bard berkata, terpulang kepada mana-mana parti untuk berbuat demikian.

"Kami bertindak bagi kelompok anak muda, termasuk blogger, ada orang ada parti dan ada yang tak ada parti.

"Sudah tentu isu ini menjadi agenda kami dalam pilihan raya ini. Kami minta rakyat supaya berfikir adakah mahu beri kuasa semula kepada sebuah organisasi yang tidak mempedulikan kedaulatan undang-undang," tegasnya.

SAMM katanya akan memberi penerangan berkaitan isu ini ke seluruh negara dan menerbitkannya dalam bentuk risalah untuk diedarkan kepada orang ramai.

BN Johor bergolak, jentera Pakatan dinasihat fokus

Anis Nazri, 16 Apr 2013
KUALA LUMPUR: PAS tidak memandang rendah calon yang dikemukakan BN di Johor, biarpun percaya akan ada siri-siri bantahan daripada akar umbi, bermula di parlimen Gelang Patah, semalam.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata barisan calon BN itu perlu dihadapi secara serius oleh calon Pakatan Rakyat dengan menumpukan seluruh gerak kerja semaksima mungkin.

"Walaupun tidak banyak perubahan di kalangan calon BN untuk memanaskan politik Johor, ia tetap menjadikan negeri itu sebagai salah satu negeri yang keputusannya nanti mendebarkan selepas 5 Mei," tegas Salahuddin kepada Harakahdaily, hari ini.

Apa yang penting, kata Salahuddin, kesepaduan Pakatan Rakyat Johor mesti dipertahankan bagi memberi keyakinan kepada rakyat Johor untuk memilih Pakatan Rakyat.

Beliau yang optimis tentang kesepaduan dalam BN yang semakin rapuh di negeri itu, memberi ruang kepada Pakatan Rakyat untuk menawarkan khidmat terbaik kepada pengundi di Johor.

"Saya difahamkan akan ada penolakan dalaman daripada kalangan calon Umno yang tidak terpilih untuk PRU13 ini. Namun, saya nasihatkan jentera parti agar teruskan kerja keras, fokus dengan strategi yang disusun untuk mencapai matlamat Pakatan Rakyat," tegas beliau.

Mengulas lanjut lawannya di parlimen Pulai dan Dun Nusajaya, Salahuddin mengharapkan satu pertandingan secara 'gentleman' dan demokratik.

Katanya, persaingannya antara Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Dr. Zaini Abu Bakar diharap berlandaskan politik ilmu yang mencerminkan demokrasi sebenar dalam pilihan raya negara.

Selain menyeru jentera Pakatan Rakyat agar berkempen secara berhemah, Salahuddin juga mengajak BN agar meninggalkan dan menjauhi politik kotor dan samseng sepanjang kempen PRU13 ini.

Salahuddin, yang sebelum ini bertanding di parlimen Kubang Kerian, Kelantan bertindak menukar kerusi ke negeri Johor dalam usaha mengasak BN Johor pada PRU13 ini.

Salahuddin akan menentang Nur Jazlan di parlimen Pulai, manakala menentang Dr. Zaini di Dun Nusajaya.

2 ketua Umno bahagian disingkir Mustapa Mohamed

Aslani M & Muhd Yusri Amin, 16 Apr 2013
KOTA BHARU: Barisan transformasi yang dikemukakan Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai calon BN di Kelantan membuatkan beberapa bahagian Umno bergolak semula.

Penyingkiran Ketua Umno Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassin dengan memberi laluan kepada bekas Ketua Bahagian, Datuk Mohd Zain Ismail di Dun Bukit Tuku membuat kudis yang masih bernanah membengkak semula.

Umno juga dilihat ketandusan calon di Tumpat apabila terpaksa menampilkan semula bekas Ketua Bahagian, Mansor Salleh yang sudah lama tidak aktif.

Mansor diumumkan bertanding di kerusi parlimen, manakala ketua bahagian, Datuk Nor Zahidi Omar kekal di Pengkalan Kubor. Wan Hanapi Wan Yaacob (Kelaboran),

Nik Noriza Nik Salleh (Pasir Pekan) dan Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz (Wakaf Bharu).

Seorang lagi ketua bahagian iaitu Datuk Mohd Fauzi Ismail juga tiada dalam senarai calon BN di parlimen Kubang Kerian. Calon parlimen yang diumumkan tadi iaitu Ketua Umno Kelantan, Anuar Safian.

Manakala Mohd Nordin Awang (Dun Salor), Wan Mohd Nazi Wan Hamat (Demit).

Wakil Minda Pondok yang memfatwa mengundi PAS haram, Mohd Shamsul Mohd Yusoff pula dicalonkan di Pasir Tumboh.

Impian Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali untuk bertanding menggunakan lambang BN ternyata hancur berkecai apabila namanya tiada dalam senarai calon BN di Pasir Mas.

Malah Timbalan Ketua Bahagian, Che Johan Che Pa dicalon bagi kerusi parlimen Pasir Mas, manakala Ketua Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat (Tendong), Tuan Anuwa Tuan Mat (Pengkalan Pasir) dan Aimi Jusoh (Chetok).

Selain itu veteran Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sekali lagi mencuba nasib di kerusi parlimen Ketereh.


Sedangkan sebelum ini, Datuk Md Alwi Che Ahmad disebut-sebut bakal menyertai kabinet Datuk Seri Najib Razak sekiranya BN mampu mengekalkan Putrajaya.

Namun kekuatan yang ada pada Annuar tidak mampu dirempuh Alwi dan beliau hanya mampu mempertahankan kerusi Dun Kok Lanas. Manakala orang harapan Annuar, Mohd Othman Omar dicalon di Dun Melor dan Mohamad Basri Awang (Kadok).

Di kerusi parlimen Kota Bharu beberapa pemimpin Umno yang disebut-sebut sebagai calon kebelakangan ini tidak lagi aktif menggerakkan markas Umno di Dun Bunut Payong.

Ketua bahagian, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh dicalonkan sekali lagi di parlimen Kota Bharu, Kanidy Omar (Tanjong Mas), Ustaz Mohd Fakhurazi Abdul Rahim (Bunut Payong), manakala calon MCA kekal di Kota Lama (Tan Ken Ten).

Umno Kuala Krai juga dengan masalah lebih kronik apabila Naib Presiden PPP, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof dicalonkan di Dun Guchil. Mustapa dianggap memecah tradisi itu sehingga sanggup mengorbankan orang yang sudah lama berjuang dalam Umno di Kuala Krai.

Bekas calon Manek Urai pada pilihan raya kecil pada 2009, Tuan Aziz Tuan Mamat

dipindahkan ke parlimen Kuala Krai, Azizuddin Hussain diturunkan sekali lagi di Mengkebang, manakala Ketua Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman kali ketiga bertanding di Dabong.

Timbalan Ketua Umno Kuala Krai Che Jalal Muda pula mencuba nasib di Manek Urai.

Sementara itu kedudukan Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang ternyata tidak mampu digugat kumpulan Ketua Pemuda, Datuk Bazlan Baharuddin apabila terus kekal di kerusi tersebut.

Malah calon-calon bekas Semangat 46, Datuk Nozula Mat Diah masih dikekalkan di Paloh, Abdul Aziz Yusoff di Galas dan Mat Yusoff Abdul Ghani (Nenggiri).

Menurut sumber, kumpulan Bazlan dan Ketua Wanita, Hazani Mohd Nor semakin tertutup peluang untuk menyingkirkan pengaruh Semangat 46 di Gua Musang.

Kata mereka beberapa pertemuan sudah diatur sejak beberapa bulan kebelakangan ini bagi menyekat pengaruh Ku Li dan bekas-bekas Semangat 46.

Bekas Ketua Pemuda Ummo Gua Musang, Abd Aziz Awang berkata, beberapa anggota jawatankuasa Umno bahagian dan ramai lagi pemimpin di peringkat cawangan meluahkan rasa kecewa di atas pencalonan semula Ku Li.

Team Mahathir tewas di tangan Rosmah?

Harakahdaily, 16 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Datuk Ibrahim Ali out. Khairy Jamaluddin in. Mukhriz Mahathir hilang kerusi parlimen dan bertanding di kerusi tidak selamat. Apakah semua petanda ini?

Setelah memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau akan ditolak sebagai Presiden Umno sekiranya gagal membawa BN ke keputusan yang lebih baik daripada Tun Abdullah Badawi di 2008, orang-orang yang disukai dan dibenci Mahathir mengalami nasib yang berlawanan dari yang dihasratkan.

Pertama, Ibrahim Ali, presiden Perkasa yang dirayu Mahathir secara terbuka minggu lepas untuk diberikan laluan bertanding di Pasir Mas terkeluar dari senarai calon BN.

“Saya berharap BN akan memberikan satu tempat kepada Ibrahim Ali. Jika beliau menjadi calon, saya akan pergi ke Pasir Mas untuk berkempen. Kita perlukan lebih ramai individu seperti Ibrahim Ali. Malaysia akan selamat,” kata Mahathir minggu lepas.

Kecewa dengan keputusan BN, Ibrahim hari ini mengumumkan akan bertanding atas tiket bebas di Pasir Mas.

Ibrahim bakal bertembung dengan calon BN Che Johan Che Pa dan calon PAS yang bakal diumumkan malam esok.

Ibrahim sebelum ini memenangi kerusi Pasir Mas pada 2008 atas tiket PAS.

Ramai melihat jasa Ibrahim dalam membantu Umno selama empat tahun ini tidak dikenang kerana naib presiden Perkasa Zulkifli Nordin boleh dicalonkan di parlimen Shah Alam melawan Khalid Samad dari PAS.

Kemasukan Khairy Jamaluddin dalam senarai calon BN juga bakal memberi tamparan kepada Mahathir. Ini kerana, kebencian Mahathir pada Khairy sudah diketahui umum.

Khairy dicalonkan di kerusi parlimen Rembau oleh Najib.

Bukan itu sahaja, anak Mahathir Mukhriz kehilangan kerusi parlimen Jerlun dan hanya akan bertanding di kerusi DUN Ayer Hitam, Kedah yang menjadi kubu PAS selama ini di Jerlun.

Dalam PRU12, calon PAS Abdul Ghani Ahmad menewaskan calon BN Datuk Osman Aziz dengan majoriti 506 undi, satu angka yang besar di Kedah.

Jika Najib ikhlas membuka laluan Mukhriz menjadi BN, mengapa tidak membiarkan Mukhriz bertanding di Kota Seputih?

Sedangkan semua orang Umno tahu ADUN Kota Seputih Datuk Abu Hassan Sharif bermasalah dan hampir berjaya dipecat sebagai ADUN kerana tidak menghadiri sidang DUN Kedah?

Mahathir, yang kian dilihat sebagai jeneral perang BN kali ini, sudah tentu dapat membaca ini sebagai langkah Najib untuk mencantas pengaruh Mahathir di dalam Umno, dan khasnya di Kedah.

Kalau Mahathir tidak pernah berkata Najib bakal dibuang sebagai presiden Umno jika BN gagal mencapai keputusan cemerlang, sudah tentu Najib tidak akan mengambil langkah sedemikian untuk mengurangkan pengaruhnya.

Jawatan Presiden Umno adalah lebih penting buat Najib, akhirnya. Akhirnya juga, pengaruh isteri lebih besar dari pengaruh mentor.

Selepas habis RM2.5 juta, Wangsa Maju ke tangan Umno

Harakahdaily, 16 Apr 2013
WANGSA MAJU: MCA Wangsa Maju bersama kira-kira 120 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wangsa Maju memutuskan memboikot Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berikutan Datuk Yew Teong Look tidak dicalonkan di kerusi Parlimen Wangsa Maju.

Perkara tersebut disuarakan selepas mesyuarat tergempar bersama MCA dan wakil-wakil NGO Wangsa Maju setelah mengetahui Teong Look tidak dicalonkan, semalam, lapor Sinar Harian.
Umno mengumumkan meletakkan calonnya, Shafei Abdullah sebagai calon BN di Wangsa Maju. Dalam pilihan raya lalu, calon BN dari MCA, Datuk Yew Teong Look  kalah di tangan calon PKR, Wee Choo Keong. Wee Choo Keong kemudiannya meninggalkan PKR dan menjadi anggota Parlimen bebas.

Ketua Bilik Gerakan Pilihan Raya MCA, Lim Choong Hong berkata, 120 NGO seluruh Wangsa Maju telah sepakat bersama MCA akan memboikot pilihan raya kali ini.

“MCA akan mengadakan bantahan bersiri kepada pucuk pimpinan MCA bagi mengutuk tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang tidak mempertahankan kerusi Wangsa Maju.

“Saya percaya undi masyarakat Cina di Wangsa Maju akan beralih kepada parti pembangkang dan BN akan kalah teruk PRU13 sebagai tanda protes kepada keputusan ini,” katanya.

Sementara itu, Teong Look berkata, beliau telah bekerja keras untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN dan tidak henti-henti berkhidmat menjaga kebajikan rakyat hampir lima tahun.

“Saya telah membelanjakan RM2.5 juta tanpa bantuan parti komponen yang lain untuk penduduk di Wangsa Maju tetapi kerja keras tidak dinilai oleh pucuk pimpinan BN.

“Saya mengambil keputusan untuk berehat dan apa-apa keputusan dari MCA serta NGO bagi memboikot pilihan raya bukanlah dalam kawalannya sekarang,” katanya.

Tiada ulasan: