Rabu, 24 April 2013

UDAH-UDAHLAH ....DAH 55 TAHUN....YANG KAYA BERTAMBAH KAYA...YANG MISKIN MEWARISI MISKIN....AGIHAN YANG TAK RATA

Undi awal 30 April, tetapi polis sudah mengundi semalam?

Harakahdaily, 24 Apr 2013


(Kertas undi Parlimen Setiawangsa yang diterima anggota polis)

KUALA LUMPUR: Warga internet semalam kecoh apabila laporan yang mengatakan kertas-kertas undi untuk anggota polis sudah mula diedarkan semalam sedangkan pengundi awal hanya akan berlaku 30 April ini.

Beberapa blog semalam mula menyiarkan beberapa gambar kertas undi untuk Parlimen Setiawangsa dan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur mula diedarkan kepada anggota polis untuk proses undian.

Padahal menurut SPR sebelum ini, istilah pengundi pos sudah tidak ada dan hanya berlaku pengundian awal.

(Kertas undi untuk Parlimen Bandar Tun Razak yang diterima anggota polis undi undi pos)

Pengundian awal pula menurut SPR akan bermula 30 April, lima hari sebelum pengundian berlaku iaitu pada 5 Mei.

"Salah seorang sahabat seorang anggota Polis mendakwa telah diarahkan untuk mengundi hari ini meskipun difahamkan tarikh pengundian awal sepatutnya ialah 30 April," lapor blog Milo Suam semalam.

Selain itu, terdapat foto yang menunjukkan kertas undi kepada petugas pilihan raya terbabit turut dicetak dua nombor siri berbeza iaitu di borang dan kertas undi.

Pengendali blog Milo Suam ketika dihubungi mengesahkan perkara ini.

Beliau menerima panggilan dari rakannya itu dan memaklumkan mengenai.

"Saya minta dia memberikan bukti, lalu dia ambil gambar kertas undi itu dan dihantar kepada saya," katanya kepada Harakahdaily.

Selain itu, anggota polis di Bandar Tun Razak juga mula menerima kertas undi bersama sampul semalam.

Laman facebook Polis Diraja Malaysia pula mengesahkan undi pos bermula 23 April 2013 di samping undi awal yang akan bermula 30 April.

Berikut penjelasan polis dalam laman web Polis Diraja Malaysia itu.

#PRU13 #GE13 KEKELIRUAN ANTARA UNDI POS DAN UNDI AWAL:

Merujuk kepada kekeliruan yang ditimbulkan melalui media sosial berkaitan anggota polis sudah mula mengundi, berikut adalah perbezaan di antara Undi Pos dan Undi Awal:

UNDI POS - akan diadakan lebih awal iaitu sebaik sahaja kertas undi dicetak dan pengundi pos perlu mengembalikan kertas undi yang telah ditanda kepada Pegawai yang bertanggungjawab untuk menyerahkan kepada Pejabat Pegawai Pengurus selewat-selewatnya pada jam 5.00 petang pada hari mengundi. Bagi PRU 13, undi pos telah bermula PADA 23 April 2013 iaitu setelah pihak PDRM menerima kertas undi dari pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

UNDI AWAL - akan diadakan lebih awal sebelum tarikh pengundian biasa. Kertas-kertas undi yang telah ditanda akan disimpan dengan selamat dan akan dibuka untuk pengiraan pada jam 5.00 petang pada hari pengundian sebenar. Bagi PRU 13, pengundian awal telah ditetapkan pada 30 April 2013.

Alkisah di kedai kopi...

Tuan Ibrahim Tuan Man, 24 Apr 2013
Alkisah di kedai kopi...

Masa di kedai kopi bersembang, ada seorang makcik kain biru berkata...

"PR menang Melayu akan tergadai. Percayalah..."
...
Seorang makcik kain oren bertanya kembali...

"Apa buktinya?"

Makcik kain biru menjawab, "Lihat beritalah. Mana-mana sahaja pun lapor. PR menang, Melayu hilang kuasa..."

Makcik kain oren itu dengan nada baik bertanya lagi, "Kak. Betul orang sebar. Tapi kita kena sahihkan dulu sebelum kata berita itu sebagai benar dan kita sebar."

"Makcik tahu itu benar. Tak perlu bukti. Percayalah PR menang, Melayu hilang kuasa," tegas makcik kain biru lagi.

Selepas itu, makcik kain oren tetiba berkata:

"Kak. Mengapa muka kak tiba-tiba pucat?" tanya makcik kain oren.

"Tak ada. Akak rasa ok sahaja," jawab makcik kain biru.

"Semua tengok - betulkan muka kak ini jadi pucat?" makcik kain oren menyuruh kawan-kawan lain di kedai kopi melihat wajah makcik kain biru.

"Kak semalam tak cukup tidur ke?" kata seorang.
"Kak ada rasa pening tak?" tanya seorang lagi.
"Kak baik pergi klinik. Jangan main-main," kata seorang lagi.
"Mengapa tiba-tiba pucat? Kak cukup minum air tak dua tiga hari ini?" tanya seorang pula.
"Kak tadi makan apa. Tersalah makan kot. Pucat sungguh muka," kata seorang lagi.

Makcik kain biru pun mula terasa beliau tak sihat. Beliau cepat-cepat pergi ke tandas mencari cermin melihat.

Masa melihat beliau melihat wajahnya seperti biasa. Tiada yang pucat. Ke beliau sendiri tak nampak? Beliau mula gelisah.

Bila keluar dari tandas...

"Apa kak buat? Muka dah tak pucat dah," kata makcik kain oren tadi.

"Yalah. Hebat kak," jawab orang lain.

Makcik kain biru pun tak faham mengapa. Yang pasti dia tak melakukan apa-apa ketika di tandas. Tapi beliau berasa lega mukanya kembali normal. Beliau kembali ke meja makannya.

Makcik kain oren pun berkata:

"Kak. Maaf saya tadi. Sebenarnya muka kak tak pucat. Saya cuma nak bagitahu kak, bahawa kak sudah terkena racun media tradisional yang ulang-ulang kata bila PR berkuasa, Melayu hilang kuasa. Walhal tiada bukti itu akan berlaku dan sememangnya itu tidak akan berlaku.

Perdana Menteri masih Islam, Sultan masih ada, hak-hak istimewa pun masih ada kerana perlembagaan tak tukar. Kak percaya kata-kata bahawa PR berkuasa, Melayu hilang kuasa seperti situasi muka pucat tadi... kak ditakutkan... ulang-ulang - sebab tak ada cermin, maka kak tak dapat lihat muka sendiri. Tapi selepas ulang-ulang, bila kak tengok cermin, muka sendiri tak pucat pun kak sendiri tak percaya. Itu bahayanya bila kita hanya mendapat maklumat daripada satu belah sahaja seperti ujian kes muka pucat tadi."

Makcik kain biru pun tersentak dengan kata-kata makcik kain oren. Beliau mula melayari internet untuk mendapat maklumat.

Akhirnya beliau menemui data seperti di bawah -- rupa-rupanya "PR berkuasa, Melayu hilang kuasa" hanyalah satu kepercayaan kosong yang tidak disokong fakta, sepertimana beliau mempercayai mukanya pucat kerana orang-orang sekelilingnya mengulang-ulang perkara tersebut.

Senyum.

Umno tunduk pada Perkasa - Anwar

Harakahdaily, 24 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, tindakan Umno tidak meletakkan calon mereka di Pasir Mas bagi memberi laluan kepada Datuk Ibrahim Ali dan mencalonkan Datuk Zulkifli Noordin di Shah Alam sebagai takut kepada kumpulan pendesak Melayu Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).

"Tak pernah dalam sejarah, tak terfikir, Umno takut letak calon lawan ketua Perkasa.

"Siapa ketua Perkasa? Hidup Melayu, ketuanan Melayu, ini negeri Melayu, orang Cina India diam.

"Najib kata ok ok ok, kita sokong dia," katanya dihadapan puluhan ribu hadirin pada cermah di Batu Berendam, Melaka malam tadi.

Anwar yang juga Calon Permatang Pauh berkata, inilah sebenarnya sikap Umno walaupun Najib bila bercakap kepada rakyat mengungkapkan slogan 1Malayisa tetapi hakikatnya adalah sebaliknya.

"Di TV3 (Najib) kata satu Malaysia, di Pasir Mas, satu Melayu.

"Itu tak teruk lagi, di Shah Alam Zulkifli Nordin. (Rakyat) tak boleh terima la, politik apa ini?," soalnya lagi.

Sementara itu Anwar berkata, beliau sangat yakin dengan kematangan rakyat pada hari ini yang tidak lagi menerima amalan politik perkauman.

"10 hari lagi kita tukar peta politik kerajaan kepada yang mewakili rakyat bukan kroni," katanya sambil menyifatkan inilah peluang terbuka untuk rakyat bangkit membuat perubahan.

Royalti: Rumah mampu milik RM100 juta di Kelantan

Aslani M, 24 Apr 2013
PASIR PUTEH: Rakyat Kelantan bakal dilimpahi kemakmuran hasil royalti petroleum dengan 23 cadangan dicetus PAS Kelantan apabila mendapat bayaran daripada Petronas nanti.

Antaranya hadiah kelahiran RM100, bantuan penjagaan anak berumur bawah 12 tahun sebanyak RM100 setahun setiap keluarga, bantuan tahunan pelajar sekolah rendah sebanyak RM100 setiap pelajar setahun.

Bantuan pelajar sekolah menengah RM150 setahun, bantuan tahunan OKU sebanyak RM500, bantuan tahunan armalah RM1,000, bantuan perkahwinan Az Ziwaaj bagi pengantin keluarga miskin sebanyak RM1,500, bantuan pelajar memasuki pusat pengajian tinggi atau institusi kemahiran sebanyak RM1,000.

Bantuan one off warga emas 60 tahun ke atas sebanyak RM1,000 seorang, sumbangan ibadat haji kali pertama RM1,000, subsidi bayaran elektrik pemegang kad OKU RM30 sebulan, skim bantuan usahawanis RM20 juta setahun, skim mikro kredit anak muda RM20 juta setahun, skim mikro kredit wanita muda RM10 juta setahun.

Geran khas NGO wanita RM5 juta setahun, geran khas NGO anak muda RM5 juta setahun, air percuma untuk masjid, sekolah dan rumah-rumah ibadat, air percuma penggunaan domestik kurang 20 m3 setiap bulan, menghapus cukai pintu.

Diskaun 50 peratus bayaran parkir di bawah pihak berkuasa tempatan, tabung penyakit kronik RM20 juta setahun dan tabung khas program rumah mampu milik RM100 juta setahun.

Tawaran tersebut merupakan pelan pembiayaan hasil royalti dan gas yang menjadi hak rakyat ditawarkan PAS Kelantan.

Perkara terbabit terkandung dalam sembilan perkara yang ditawarkan PAS kepada rakyat Kelantan sempena pilihan raya umum ke-13.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff berkata, PAS bertekad menuntut hak rakyat sebagaimana termaktub dalam perlembagaan daripada kerajaan pusat.

Malah ucapan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussien di parlimen pada 12 November 1975 antara lain menyebut, “Mengikut perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual Petronas atau agensi-agensi atau kontraktornya.”

Tawaran itu diumumkan di hadapan lebih 10,000 rakyat Kelantan pada ceramah di padang Majlis Daerah Pasir Puteh malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Zulkifli Mamat, setiausaha PAS Pasir Puteh, Drs Zainuddin Awang Hamat.

Turut hadir calon-calon yang bertanding iaitu Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad (parlimen), Wan Hassan Wan Ibrahim (Semerak), Tuan Mazlan Tuan Mat (Gaal), Drs Saipul Bahrin Mohamad (Selising) dan Mohd Nazlan Hasbullah (Limbongan).

Sembilan tawaran bertema keberkatan, kemakmuran dan kebajikan. Ia juga merupakan komitmen berterusan PAS dan Pakatan Rakyat bagi memakmurkan kehidupan rakyat dengan intipati keadilan untuk semua.

Sembilan tawaran tersebut iaitu:-

1) Memperkasakan pembangunan rohani demi keberkatan dan keredhaan Allah SWT

2) Memperjuangkan hak rakyat negeri ini atas prinsip federalisme (perlembagaan)

3) Melaksanakan keadilan untuk semua rakyat

4) Meningkatkan kemakmuran ekonomi rakyat secara adil dan saksama

5) Memajukan sosio budaya rakyat berteraskan iman, ilmu dan amal

6) Pembangunan tanah dan wilayah serta merakyatkan hasil negeri

7) Meningkatkan mutu taraf hidup ke arah masyarakat madani

8) Memakmurkan kehidupan social yang harmoni dan berkebajikan

9) Pembangunan wanita dan anak muda Kelantan

Semua kaum beri sokongan kepada calon PAS di Jeram

Muhammad Faizal, 24 Apr 2013

BAGUS...Cikgu Rashid (dua dari kiri) bersama dengan masyarakat India.

KUALA SELANGOR: Calon PAS bagi Dun Jeram, Muhmmad Rashid Muhmmad Kassim (PAS) atau lebih dikenali Cikgu Rashid menerima sambutan dan sokongan secara terbuka dari masyarakat India sewaktu program lawatan rumah ke rumah hari ini.

Harakahdaily yang turun bersama Cikgu Rashid mendapati, masyarakat India yang berada di Taman Pekerti, Jeram menunjukkan sokongan mereka untuk terus memilih Pakatan Rakyat (PAS) pada pilihanraya umum nanti.


Keadaan itu tidak ditunjukkan secara terbuka oleh masyarakat Melayu.

Walaupun di rumah mereka mempunyai bendera Bendera Barisan Nasional tetapi sokongan terhadap calon PAS dinyatakan secara senyap.

Jelas Cikgu Rashid, keadaan sedemikian telah lama berlaku tetapi beliau yakin sokongan dari masyarakat Melayu akan memihak kepada PAS.

"Kita lihat sokongan yang diberikan oleh masyarakat India amat baik dan mereka menyatakan secara terbuka untuk memilih kita pada pilihanraya nanti.

"Namun itu tidak berlaku kepada masyarakat Melayu, sokongan dinyatakan secara senyap, walaupun rumah-rumah terdapat bendera BN tetapi sokongan tetap untuk Pakatan Rakyat," kata beliau.

Katanya lagi, sebagai guru sebelum ini memberi kelebihan kepadanya untuk mendekati masyarakat Melayu yang kebanyakan mereka merupakan ibu bapa kepada pelajar-pelajar sekolah yang pernah beliau mengajar dahulu.

"Namun ia bukan halangan besar untuk saya sebab sebagai bekas guru, saya mempunyai undi peribadi yang boleh memihak kepada PAS.

"Kebanyakan masyarakat Melayu di sini, anak-anak mereka merupakan pelajar saya dan ini sedikit memberi ruang kepada saya dengan mudah mendekati mereka, sikap hormat mereka masih ada dan ia peluang untuk saya menjelaskan apa yang ingin Pakatan Rakyat sampaikan kepada seluruh rakyat," sambung beliau.

Cikgu Rashid yang akan ditentang oleh Datuk Amiruddin Satro (BN) berkeyakinan dalam tempoh kempen yang hanya tinggal 11 hari lagi dapat memberi ruang untuknya bertemu dengan seluruh pengundi di Dun Jeram.

Malah beliau juga berpendapat majoriti sebanyak 1,470 undi yang dimenangi BN pada 2008 lalu bukan satu masalah kerana sepanjang tempoh kempen empat hari berlaku peningkatan sokongan dari masyarakat Melayu, India dan Cina.

Beliau selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Selangor mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Pandan, Kuala Lumpur, kemudian Sekolah Menengah Aminuddin Baki sebelum melanjutkan pelajaran ke Mahktab Perguruan Lembah Pantai.

Beliau bukan orang asing di Mukim Jeram, anak jati Kuala Selangor yang dilahirkan pada tahun 1958 itu telah menghabiskan lebih 32 tahun sebagai guru khususnya di Kuala Selangor.

Kenyataan Zambry tidak masuk akal - Nizar

Muhammad Faeez Azahar, 24 Apr 2013
IPOH: Calon PAS bagi Dun Cangkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa tuduhan Datuk Seri Dr Zambry Kadir yang mengatakan Pakatan Rakyat meniru manifesto BN adalah tidak masuk akal.

Menurutnya, tuduhan tersebut ternyata tidak benar kerana Pakatan Rakyat telah awal lagi melancarkan manifesto sedangkan BN baru sahaja melancarkan manifesto kelmarin iaitu dua hari selepas penamaan calon.

“Kami sudah lancar seminggu lebih awal daripada mereka, adakah masuk awal dakwaan BN yang menuduh kami meniru manifesto mereka?,” katanya dalam sidang media di Pejabat Sekreteriat Pakatan Rakyat Perak, Ipoh, dekat sini hari ini.

Hadir sama ialah Setiausaha Pakatan Rakyat Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Dr Lee Boo Chye, Setiausaha PAS Perak, Dr Muhaimin Sulam dan Setiausaha DAP Negeri, Nga Kor Ming.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu berkata, Pakatan Rakyat sebenarnya sudah lama menyiapkan draf manifesto selepas rampasan kuasa berlaku pada 2009 lalu.

Menurut beliau lagi, Pakatan Rakyat ketika itu memang sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan pilihanraya kecil negeri akan berlaku disebabkan tragedi rampasan kuasa oleh BN itu.

Katanya, antara kenyataan Zambry yang disifatnya lucu ialah mendakwa Pakatan Rakyat meniru tentang pemberian air percuma.

Jelas beliau, Pakatan Rakyat sudah memberikan air percuma sejak awal lagi ketika mendapat mandat memerintah pada tahun 2009 lalu.

“Macam mana dia boleh cakap kita tiru BN sedangkan kita sudah laksakan janji tersebut ketika diberi mandat selepas PRU12 lalu.

Adakah beliau sedar ketika mengeluarkan kenyataan, saya harap Dr Lee boleh ‘chek’ dia,” katanya dalam nada sinis.

Mohammad Nizar menjelaskan,  pada hakikatnya, BN sebenarnya yang menciplak manifesto Pakatan Rakyat.

Katanya, banyak janji yang dikemukakan dalam manifesto BN adalah tawaran yang ada di dalam manifesto Pakatan Rakyat yang sudah awal lagi dilancarkan.

“Dia (Zambry) tuduh kita tiru tapi pada hakikatnya BN yang banyak tiru manifesto Pakatan Rakyat yang sudah dilancarkan seminggu lebih awal daripada mereka,” ujar beliau lagi.

Pengundi Islam digesa banteras politik mungkar

Harakahdaily, 24 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa semua pengundi Islam pada PRU13 ini melaksanakan tanggungjawab mencegah kemungkaran politik yang selama ini menjadi gejala yang serius dalam masyarakat.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ‘mungkar’ atau ‘fasad’ tidak hanya terbatas kepada arak, judi dan zina tetapi juga termasuk merosakkan dan merendahkan  maruah dan kehormatan rakyat dalam berpolitik, termasuk mungkar yang serius.

Menurutnya, menipu dalam pilihan raya adalah kejahatan yang besar kerana ia melibatkan kerosakan kepada  kedudukan umat Islam dan menggugat  masa depan negara.


“Ia  melibatkan menyerah kerajaan kepada  tangan mereka yang tidak layak dan boleh menyebabkan kemungkaran dan fasad lebih besar akan berleluasa,” ujarnya kepada Harakahdaily .

Katanya, jika kemungkaran politik tidak dibanteras ia akan mengheret negara kepada kemungkaran yang lain termasuk merompak dan mensonglap khazanah negara, memonopoli dan menyeleweng wang rakyat untuk kepentingan diri  atau kroni.

“Kami juga menjangka bila mandat diberi kepada mereka yang tidak layak, maka gejala memberi, menerima atau menjadi perantara rasuah juga pasti akan merebak seperti selama ini berlaku,” katanya.

Malah, ujar beliau menipu dalam pilihanraya mengakibatkan salah guna kuasa oleh mereka yang akan bertindak melindung jenayah dan penjenayah kerana mereka yang kononnya menang dan berkuasa sangat mudah mengkhianati amanah rakyat dan memperalat institusi awam untuk kepentingan diri.

Mapim, jelasnya bersandar kepada panduan ayat Al-Quran: "Dan janganlah kamu cenderung menyokong orang-orang yang zalim kelak (kalau kamu berbuat demikian), api neraka akan membakar kamu. Pada hal tiada seorang penolong pun untuk kamu selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat apa-apa pertolongan." (Surah Hud: ayat 113)

Oleh kerana itu, katanya Mapim berpendiran pengundi Islam tidak boleh  mendiamkan diri atau bersikap berkuacli terhadap kemungkaran politik.

Tambahnya, tanggungjawab mengundi dan menolak calon dan parti yang melakukan pelbagai kepincangan dan penyelewengan adalah suatu kewajipan.

Justeru, ujarnya Islam menuntut semua muslimin mempunyai tanggungjawab politik untuk mencegah kemungkaran politik.

Mohd Azmi berkata, tuntutan iman ialah mengambil berat terhadap ehwal dan masalah ummah iaitu membela mereka yang lemah, memerangi penzalim dan penindas.

Menruutnya, dengan mengambil sikap berkecuali, ia akan mengundang kemurkaan dan azab Allah.

AES: Saman tertunggak Rosmah, apa kata Najib

Harakahdaily, 24 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) adalah salah satu isu utama yang akan menjadi faktor penentu dalam PRU13, kata Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli.

Justeru, ujarnya Pakatan Rakyat telah membuat ketetapan bahawa AES akan dihentikan dan semua samannya dibatalkan sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya.

Menurutnya, manifesto Barisan Nasional tidak menyentuh langsung mengenai AES.

“Walaupun pelaksanaan masih menjadi tanda tanya buat masa sekarang, saya beranggapan bahawa kegagalan Manifesto Barisan Nasional membuat ketetapan mengenai AES membayangkan hasrat Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meneruskan pelaksanaan AES sekiranya Barisan Nasional terus berkuasa,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Untuk menentukan sama ada orang-orang terdekat dengan Perdana Menteri menerima atau tidak AES, beliau telah menjalankan beberapa semakan:

1.      Mengenalpasti nombor kad pengenalan Datin Seri Rosmah Mansor sebagai isteri Perdana Menteri
2.      Mengenalpasti kereta yang didaftarkan di bawah nama Datin Seri Rosmah Mansor
3.      Menyemak sama ada Datin Seri Rosmah Mansor membayar saman AES, bagi memastikan keluarga Perdana Menteri betul-betul patuh kepada pelaksanaan AES yang dibawa oleh Barisan Nasional

Hasil semakan itu membuahkan perkara-perkara berikut:

1.      Nombor kad pengenalan Datin Seri Rosmah Mansor adalah 511210-05-5558. Identiti beliau itu disemak dengan daftar pengundi yang mengesahkan bahawa beliau mengundi di Pekan:



2.      Semakan dengan sistem JPJ di MyEG menunjukkan sebuah kereta bernombor XIASEAN360 didaftarkan di atas nama dan kad pengenalan beliau.



3.      Semakan yang sama juga menunjukkan bahawa Datin Seri Rosmah Mansor tidak membayar 2 saman AES iaitu pada 30 Januari 2013 dan 13 Mac 2013, seperti paparan skrin yang berikut:

“Di negara-negara lain, perkara ini dilihat sebagai satu pertentangan prinsip (double standard) apabila keluarga Perdana Menteri sendiri tidak mengendahkan saman AES, sedangkan beliau (Perdana Menteri) beria-ia mempertahankan satu sistem yang ditentang oleh rakyat,” katanya.

Beliau mengambil contoh saman AES tertunggak Rosmah Mansor untuk memberi gambaran bagaimana Barisan Nasional mengamalkan double standard dengan menyatakan pelbagai propaganda kepada rakyat biasa untuk mempertahankan dasarnya yang tidak popular, tetapi di belakang membiarkan keluarga terdekat mereka bebas dari dasar tidak popular yang menekan rakyat itu.

“Saya menyeru supaya Najib Tun Razak menyatakan secara terbuka sama ada Barisan Nasional akan meneruskan pelaksanaan AES sekiranya masih menang dalam PRU13,” ujarnya yang bertanding di Parlimen Pandan.

Ketelitian PAS Vs kealpaan Umno

Ibnu Shahid,
Selepas penamaan calon berlangsung beberapa hari lalu, gegak gempita seluruh negara apabila ramai calon Umno menjadi calon bebas akibat rasa tidak puas hati kepada kepimpinan Dato’ Sri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Umno yang telah membuat keputusan mencalonkan calon korup yang dianggap olehnya sebagai “Winnable Candidate”. Disebabkan menjadi calon bebas, nasib malang menimpa mereka apabila dipecat dari Umno dan bergeraklah mereka sendirian bersama baki penyokong yang setia kepada mereka berhadapan dengan Pilihanraya Ke-13 akan datang ini.

Walaupun media milik Umno cuba mengurangkan tekanan dengan mengalihkan isu ini kepada isu pertembungan kerusi  dalam Pakatan Rakyat antara PAS dan PKR, namun rakyat amat mengetahui bahawa Umno sekarang berada dalam keadaan krisis kepimpinan yang amat parah. Tidak jelas apakah pengukur yang digunakan oleh Najib untuk istilah “Winnable Candidate” tersebut?. Adakah calon Umno tersebut adalah calon “Mesti Menang” dan merasakan rakyat akan pastinya menyokong dan mengundi mereka walaupun mereka punyai sejarah rasuah dan pelbagai penyelewengan lain?

Adakah calon yang diletakkan itu akan pastinya diundi oleh rakyat yang sekarang ini dahagakan pemimpin yang adil, tidak rasuah , ikhlas dan mempunyai paradigma baru dalam mereformasikan perkhidmatan mereka kepada rakyat? Itulah kealphaan Umno dalam menentukan pemilihan calon mereka. Hal ini kerana amat sukar untuk mendapatkan pemimpin Umno yang benar-benar bersih dan ikhlas berjuang sekarang ini. Kalau adapun pemimpin yang seperti itu, mereka akan pastinya dicantas awal-awal lagi oleh juak-juak yang berkepentingan dalam Umno.

Umum telah mengetahui bahawa telah berlaku pertembungan kerusi yang ditandingi oleh PAS dan PKR. Media milik Umno mencanangkan bahawa inilah ketidaksefahaman antara PKR dan PAS dan mereka didakwa tidak sepakat dan sebagainya. Namun hari ini isu pertembungan kerusi itu telah diselesaikan oleh Pakatan Rakyat dengan penuh bijaksana,muhibbah dan setia kawan.

PAS memang terkenal dengan ketelitian mereka mencalonkan wakil mereka dalam pilihan raya sejak dulu lagi. Jika kita imbas pilihanraya umum tahun 2004 di DUN Kelantan, PAS hanya mendapat 24 kerusi berbanding UMNO yang mendapat 21 kerusi DUN pada ketika itu. Namun, oleh sebab istiqamah, calon-caon PAS ini tidak pula mereka melompat parti yang boleh mengakibatkan kerajaan PAS terbubar. Hal ini kerana ketelitian PAS dalam memilih calon yang akan memegang amanah rakyat tanpa kepentingan peribadi. Mungkin PAS mempunyai cara yang tersendiri dalam menilai dan menapis calon yang benar-benar layak untuk mewakili parti mereka.

Kejadian melompat parti yang berlaku di Perak pada pilihanraya 2008 sehingga menumbangkan Kerajaan PR dapat dijadikan iktibar. Pada ketika itu, seorang calon DAP dan dua calon PKR iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu melompat menjadi calon bebas dan menyokong BN. Itulah yang akan berlaku jika calon yang dilantik tidak benar-benar memahami roh perjuangan yang akhirnya akan merugikan negara.

Saya yakin dan percaya PKR dan DAP juga telah belajar dari kesilapan lalu dan lebih teliti dalam menapis calon yang benar-benar layak untuk memperjuangkan hak rakyat dan belajar dari rakan mereka PAS dalam memilih calon dalam pilihanraya pada kali ini.

Sekarang rakyat amat bijak dalam menilai dan memutuskan siapa yang paling layak untuk mereka undi dan menjadi wakil mereka. Kami sebagai rakyat sudah tidak sabar menanti tibanya detik 5 Mei 2013 untuk melakukan perubahan besar dalam negara yang mengamalkan Demokrasi ini. Demokrasi bermakna kuasa rakyat, bermakna kami sebagai “Raja Sehari” akan memastikan Pakatan Rakyat diberi peluang membuktikan kemampuan mereka mentadbir negara lebih baik dari Barisan Nasional. Inilah Demokrasi yang sebenar.. Ini kalilah…

Tiada ulasan: