Selasa, 23 April 2013

YANG NEGERI BUKAN PR....GRED A...LAWAK BODOH

Umno patut malu kepada PAS – TG Haji Salleh

Harakahdaily, 23 Apr 2013

Tuan Guru Haji Salleh ketika ditemubual wartawan Harakah.

SIK: Pemimpin Umno sewajarnya merasa malu kepada PAS, kata Mudir Madrasah Al-Rahmaniah di sini, Tuan Guru Haji Salleh Musa.

Beliau berkata, ini kerana PAS istiqamah meneruskan perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. sedangkan Umno secara umumnya tidak mahu kepada Islam.

Secara perbandingan, beliau mengambil contoh bagaimana Umno tidak lagi mengadakan konsert hiburan sebagaimana mereka berkuasa di Kedah sebelum ini setelah pentadbiran negeri ini diterajui oleh PAS.

“Dia (Umno) tak tergamak buat hiburan bila PAS ada (berkuasa),” ujarnya ketika ditemubual di Madrasah Al-Rahmaniah, kelmarin.

Jelasnya, untuk menentukan arah tuju perjuangan PAS dan Umno, ia seharusnya dilihat kepada sumber rujukan yang diambil oleh kedua-duanya.

Beliau menambah, perjuangan PAS adalah untuk menegakkan amar maaruf dan mencegah kemungkaran dalam usaha meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w.

Justeru, beliau meminta umat Islam memberikan sokongan kepada PAS pada PRU13 ini.

Jelas beliau lagi, perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS amat berbeza dengan Umno yang mahu menyekat perjuangan Islam.

“Pangkah (undi) PAS wajib, apa perjuangan Nabi s.a.w. kita mesti tolong, baru kita dapat syafaat di akhirat nanti,” jelasnya.

(Penjelasan lanjut Tuan Guru Haji Salleh di dalam Harakah cetak nanti.)

Air percuma: Zambry bohongi rakyat Perak

Muhammad Faeez, 23 Apr 2013
IPOH: Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al-Amin menempelak kenyataan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mendakwa Pakatan Rakyat telah meniru tawaran BN tentang pemberian air percuma.
Menurutnya, Zambry ternyata berbohong tentang kenyataan itu kerana pemberian air percuma itu telah wujud dalam tawaran Barisan Alternatif Perak pada pilihanraya umum 2008 lalu.

Katanya, selepas berjaya membentuk kerajaan, Pakatan Rakyat telah merealisasikan janji tersebut seawal Ogos 2008.

“Saya hairan kenapa Zambry boleh mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas tersebut kerana janji itu telah pun dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat ketika memerintah Perak selama 11 bulan dahulu,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, di sini hari ini. (Gambar)

Hadir sama Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Salman Saleh, Ustaz Hakim Mohd Nor dan Safarizal Saleh.

Jelas beliau, kenyataan Zambry itu jelas menggambarkan BN dalam keadaan sangat terdesak untuk meraih sokongan rakyat.

Nuri menjelaskan, Zambry harus mengemukakan fakta dan hujah sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Saya terkejut apabila membaca kenyataan Zambry itu yang jelas menipu dan tidak berfakta.

“Sepatutnya Zambry yang berkelulusan PhD harus menunjukkan ketokohannya dalam mengeluarkan kenyataan,” katanya dalam nada sinis.

Zambry dalam kenyataannya di akhbar Berita Harian hari ini mendakwa Pakatan Rakyat telah meniru tawaran BN dalam pemberian air percuma.

Beliau menyatakan perkara itu ketika majlis pelancaran Manifesto BN Perak di Padang Rengas, semalam.
Video lucah: Umno fail saman fitnah terhadap Mustafa Ali dan 2 lagi

23 April 2013
Mustafa Ali
Mustafa Ali
KUALA LUMPUR - Umno telah memfailkan saman fitnah terhadap Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali dan dua lagi berhubung penerbitan lima artikel yang mengaitkan pertubuhan itu dengan penyebaran video lucah di laman sesawang baru-baru ini.

Writ tuntutan itu difailkan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh bagi pihak Umno semalam di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Pihak media memperoleh salinan writ itu hari ini. Mahkamah menetapkan 10 Mei ini untuk pengurusan kes saman itu.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Umno hari ini memberitahu pemberita bahawa Umno memfailkan saman itu atas alasan artikel berkenaan adalah satu pembohongan nyata dan berniat untuk membawa organisasi itu ke dalam skandal awam dan dibenci.

"Umno mahu menjelaskan yang mereka tiada kaitan dengan politik kotor ini dan tidak terlibat langsung," katanya dan menurutnya Umno juga mahu mendapatkan keadilan.

Dalam writ itu, Umno menamakan Mustafa, peguam cara dan peguam bela bagi Mustafa, Asmuni Awi dan ketua pengarang laman portal HarakahDaily.net Zulkifli Sulong, masing-masing sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.

Umno memohon ganti rugi am, khas, teruk, teladan, faedah, kos, satu perintah injunksi menghalang defendan-defendan atau ejen-ejen mereka menerbitkan kata-kata fitnah itu terhadap Umno dan perintah kesemua defendan menerbitkan permintaan maaf secara bertulis di akhbar dan majalah.

Umno mendakwa Mustafa telah membuat pernyataan media mengenai parti itu berhubung penyebaran video lucah yang telah tersebar luas di laman sesawang sejak 11 April lepas yang kemudiannya diterbitkan semula di laman portal www.malaysiakini.com.

Umno juga mendakwa Mustafa pada hari sama telah menfitnah Umno di ceramah awam di markas Pas Kampung Molek, Dungun , Terengganu yang kemudiannya diterbitkan semula artikel kedua mengenai Umno di laman portal HarakahDaily.net.

Umno mendakwa kata-kata fitnah itu dalam erti kata lazim dan biasa membawa maksud bahawa Umno yang merancang insiden berkaitan video lucah itu, Umno sengaja membuat video itu dan parti itu merupakan dalang di sebalik pembikinan video itu.

Parti itu berkata Mustafa dengan sengaja mengeluarkan dan membuat pernyataan fitnah itu bertujuan untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat negara ini terhadap Umno tanpa menghiraukan sensitiviti.

Umno berkata pernyataan fitnah itu telah disiarkan dan diterbitkan dengan sengaja dan berniat jahat untuk merosakkan dan menghancurkan reputasi parti itu di negara ini dan juga di mata dunia.

Umno mendakwa bagi artikel ketiga dan keempat pula, Asmuni telah mengucapkan kata-kata fitnah pada 12 April dan 13 April yang kemudiannya diterbitkan semula di HarakahDaily.net dan akhbar The Star.

Bagi artikel kelima pula, parti itu berkata defendan ketiga pada 12 April lepas telah menerbitkan semula kenyataan media berhubung video lucah itu oleh Mustafa di HarakahDaily.net.

Umno mendakwa pada 15 April lepas, Umno melalui peguam caranya, Tetuan Hafarizam telah menghantar notis tuntutan kepada semua defendan antara lain menuntut supaya berhenti daripada memberikan kenyataan berunsur fitnah, bagaimanapun sehingga tarikh writ difailkan mereka masih lagi gagal memberikan sebarang jawapan kepada tuntutan plaintif.

Parti itu berkata akibat daripada pernyataan fitnah itu, reputasi Umno telah terjejas dan mengalami kerosakan yang serius di mata rakyat Malaysia dan juga di mata dunia. - Bernama
PR sudah ada calon PM, kata Mahfuz
MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
23 April 2013
Mahfuz Omar
Mahfuz pada sidang media di Alor Setar hari ini.
ALOR SETAR - Pakatan Rakyat (PR) telah memutuskan calon yang layak menjadi perdana menteri jika berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, sungguhpun begitu, ia masih tidak dapat diumumkan kepada orang ramai buat masa ini.

Beliau berkata, individu yang layak menyandang jawatan itu mestilah seorang yang berintegriti, amanah, kaum Melayu dan beragama Islam.

“Kalau soal menteri, tidak kiralah dia Islam atau tidak, masih boleh Jadi menteri. Tapi atas dasarnya perdana menteri mestilah daripada kalangan orang Melayu yang beragama Islam.

“Itu terpulang kepada PR untuk melantik siapa. Kita dalam PR sudah tetapkan siapa orangnya, tapi tidak boleh bagi tahu lagi," katanya pada sidang media di pejabat Pas kawasan Pokok Sena hari ini.

Menurutnya, walaupun Umno dan Barisan Nasional (BN) sering buat spekulasi bermacam-macam mengenai calon itu tetapi PR sudah ada keputusan sendiri.

Mahfuz berkata, pemimpin Umno dan BN semakin ‘meroyan’ dan serabut untuk berteka-teki siapa calon pilihan PR untuk menjadi perdana menteri selepas Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sebelum ini mereka kata DAP nak Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi PM, Pas pula yang tidak mahu Anwar. Sekarang ini dia kata DAP dan Pas sepakat untuk lantik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai perdana menteri pula.

“Pada saya, kadang-kadang keserabutan pemimpin Umno dan BN dalam berhadapan dengan situasi kebangkitan rakyat ini semakin menjadi-jadi. Insya-ALLAH, kita akan melihat siapa yang jadi perdana menteri selepas PRU13,” katanya.

Ditanya sama ada beliau adalah antara calon yang layak mengisi jawatan itu, Mahfuz mengiyakannya.

“Saya antara calonnya sebab tanding Parlimen. Sebelum ini orang kata saya nak jadi MB (Menteri Besar). Macam mana saya nak jadi MB, saya tanding Parlimen. Saya hanya layak untuk jadi calon PM. Saya juga layak untuk jadi calon menteri,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa DAP membuat perjanjian sulit untuk mengangkat Hadi sebagai PM jika mereka dibenar menggunakan logo Pas pada PRU13.

Bagaimanapun, perjanjian antara DAP dan Pas itu tidak diketahui Anwar yang sedang mengira hari untuk menjadi perdana menteri ketujuh jika PR menang PRU13.

Tiga tanda kejatuhan Umno-BN

Syed Abdullah Jamalullail,
Ada tiga kategori tanda-tanda kekuatan Parti Rakyat (PR) yang kini sedang berjuang untuk rakyat, kekayaan negara akan dikembalikan kepada rakyat serta kemudahan dan kebajikan semuanya diberikan untuk rakyat dan itu adalah janji jika sekiranya PR menerajui Putra Jaya.

Tanda pertama ialah apabila terlalu ramai mereka yang 'bersemangat' untuk mendapatkan tempat menjadi calon seolah-olah saperti sudah tahu dan dijangkakan bahawa parti PKR, PAS dan DAP akan mencapai kemenangan besar nanti. Begitu juga yang teringin sangat untuk berbakti kepada rakyat ini bukannya calang-calang orang kerana mereka ini terdiri daripada ahli-ahli profesional dalam bidang masing-masing dan bijakpandai serta bekas-bekas Menteri, Timbalan Menteri, berpangkat Jeneral didalam tentera dan bekas Pegawai Kanan Polis, Pegawai kanan Kerajaan dan termasuk golongan artis yang terkenal juga tidak ketinggalan mahu berbakti untuk negara yang tercinta ini.

Tanda kedua apabila sayap parti Umno yang menjadi tunjang kekuatan parti itu, Pergerakan Wanita Umno seolah-olah sudah berada pada saat-saat genting apabila peneraju utama dan peneraju keduanya mendatangkan masalah kepada Wanita Umno dan dengan sendiri yang liabilitinya sudah tentu kepada Barisan Nasional. Apabila undian kaum wanita ini berpecah dan tidak lagi konsisten maka akan berlakulah apa yang dikatakan gelombang tsunami kedua yang mungkin akan membolehkan pertukaran kuasa diPutra Jaya nanti.

Begitu juga apabila membuat tinjauan kepada pengundi muda didapati rata-rata daripada pengundi baru ini akan menyokong dan menyebelahi PR. Ditambahkan lagi pengundi daripada kaum Cina yang secara senyap-senyap akan memberikan kemenangan kepada parti DAP, PKR dan tanpa prejudis lagi untuk memangkah PAS untuk pastikan semuanya akan berubah.

Melihatkan perkembangan Negeri-Negeri saperti Johor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan sudah tentu Kelantan mempunyai potensi negeri-negeri ini akan bersama PR nanti. Ini adalah fakta, bukan auta lagi.

Tanda ketiga apabila didalam manifesto PR ini benar-benar teruja kepada pengundi nanti adalah pertamanya harga minyak akan diturunkan. Tol dilebuhraya akan dihapuskan secara berperingkat dan pinjaman PTPTN juga akan hapuskan – pelajar akan menikmati pendidikan percuma di institut pendidikan tinggi awam, sementara pelajar di institusi swasta turut dibantu.

Gaji kakitangan awam dan gaji minimum pekerja swasta akan disemak semula agar seimbang dengan keperluan semasa dimana harga barangan dan keperluan harian naik mendadak ketika ini. Begitu juga kebajikan untuk rakyat akan ditambah sebaik yang mungkin agar tiada lagi miskin tegar di negara kita ini. Keadaan ini boleh dicapai berdasarkan kestabilan ekonomi di negeri-negeri yang diperintah oleh PR.

Kaedah begini adalah lebih adil untuk rakyat yang diberikan peluang bagi menilaikan kemampuan dan kebolehan sebagaimana berlaku di Amerika Syarikat dan Britain yang mempunyai sistem dua parti - yakni apabila rakyat merasakan perlu diubah sama ada untuk seketika atau beberapa ketika maka mereka menukar 'angin' pula menjadikan sistem dua parti ini persaingan yang sihat dan berdaya maju. Kita kena menerima hakikat bahawa perubahan sebegini mampu untuk memberikan inspirasi dan semangat yang jitu demi memakmurkan negara yang tercinta ini. Biarlah rakyat memilih cita rasa mereka sendiri tanpa ada apa-apa ganguan atau terlalu emosional kerana itu adalah kehendak rakyat dan hak rakyat bagi menentukan masa hadapan mereka sendiri. Jika kita cintakan negara kita dan mahukan rakyat bahagia ialah dengan pilihan melalui peti undi. Jika BN menang Alhamdullillah dan jika PR menang pun Alhamdullillah kerana kedua-duanya untuk Malaysia.

Pemuda : Jentera Penjana Kemenangan

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi, 23 Apr 2013
Pemuda adalah mesin penggerak yang bertanggungjawab mengaktifkan seluruh organ parti agar tidak sekadar berfungsi tetapi mampu mencetus gerak kerja berkesan, menumbuh kesedaran ahli, meraih sokongan pengundi dan membawa pulang 'tropi' kemenangan.

Jentera pemuda menjadi sandaran parti dan harapan ummah yang mahukan agenda perubahan berjaya dilaksanakan dengan baik. Pendek kata, sebahagian dari faktor kemenangan parti dalam pilihan raya bergantung kepada sejauh mana keupayaan dan kemampuan jentera melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka dengan amanah dan istiqamah.

Yang paling penting, ia turut bergantung kepada tahap prestasi diri setiap individu pemuda, apakah ia menepati piawaian jentera yang ikhlas, taqarrub Ilallah, soleh, benar dan sebagainya yang mampu meraih redha Allah Taala sehingga turun nusrah atau mau'nahNya.

Syarat Menang Mestilah Berjuang

Saya mengharapkan Jentera Pemuda dapat melaksanakan tanggungjawab ini (berjuang dan menang) dengan penuh dedikasi dan 'memberi' yang terbaik. Tampil dengan himmah yang tinggi, syaksiyyah yang solehah dan perwatakan yang meyakinkan sebagai duta parti.

Ingatlah, bahawa kita menyertai perjuangan ini bukan kerana tuntutan demokrasi jauh sekali untuk beriman dengan demokrasi, tetapi kita menyertainya justeru ia adalah amanah untuk membawa risalah perjuangan suci yang kita dokong selama ini dan mendaulatkannya iaitu syariat Islam dan seluruh syiarnya.

Ertinya kita mesti bekerja gigih dan tekun, serta teliti tanpa peduli apa halangan yang terpaksa kita hadapi sebagaimana kita bekerja keras dan rajin, serta tegas tanpa menghiraukan apakah keputusan yang akan kita perolehi, menang atau kalah.

Berkali telah saya tegaskan bahawa perjuangan kita tidak syarat menang, tetapi untuk mencapai kemenangan syaratnya mestilah kita berjuang. Sekurang-kurang perkara yang perlu dilakukan oleh Pemuda ialah :

Spiritual Yang Akrab

Maksudnya, pemuda jangan turun beraksi (berjuang) tanpa mempersiapkan diri dengan kerohanian yang akrab atau erat hubungan kepada Allah Taala. Turunlah dengan nama Allah Taala bersama iringan doa memohon restu Allah agar apa jua bidang tugasan yang kita lakukan beroleh kejayaan dan hasil yang gemilang.

Janganlah kerana tugas kononnya, kita abaikan tanggungjawab asas kita sebagai seorang hamba Allah dan menjarakkan hubungan kita denganNya. Sebagai contoh, mengabaikan solat lima waktu dan meringan-ringankan solat berjamaah atas alasan keletihan setelah berjaga malam dengan kerja dan tugasan yang banyak.

Konsisten dengan munajat dan solat hajat adalah suatu yang sentuhan terbaik jika dilakukan oleh jentera sendiri berbanding orang lain tanpa menafikan orang lain juga perlu terus bermunajat.

Akhlak Mahmudah

Merujuk kepada syakhsiyyah atau peribadi yang terpuji. Bukan hanya terhenti kepada perilaku tetapi juga tutur bicara, penampilan, pakaian, interaksi dan segalanya mestilah lunak, berhemah dan menawan hati.

Saya percaya, pemuda antara orang yang paling letih dan penat sepanjang tempoh perjuangan ini. Kekadang mereka tidak sempat makan dan tidak cukup tidur demi memastikan segala urusan dan gerak kerja berjalan lancar mengikut jadual. Waktu-waktu beginilah emosi mudah terganggu dan kesabaran mudah tercabar.

Pemuda mesti tabah dan berjiwa besar. Bekerjalah dengan tenang dan sentiasa bertindak sambil mengorak senyuman yang menggamit damai setiap orang yang berurusan dengan jentera pemuda. Sabarlah menghadapi karenah orang ramai yang pastinya pelbagai ragam. Anggaplah segalanya adalah ujian dan kita tanganinya dengan hikmah dan sakinah.

Tambahan pula berdepan provokasi musuh, pemuda mestilah bijak mengawal keadaan dan awasi situasi agar tidak terperangkap.

Dengar dan Taat

Suasana berjuang seringkali meletakkan pemuda berhadapan dengan arahan yang bersifat ad hoc atau tugasan diluar garis pandu dan bidang tugas yang telah diputuskan. Pemuda mesti sabar dan tabah menghadapi keadaan ini. Jangan merajuk apalagi menunjuk sikap protes terhadap pimpinan. Sekalipun pemuda tidak mampu melakukan arahan tersebut, maklumkanlah keuzuran dengan beradab dan baik.

Laksanakan tugas atau arahan sebaik mungkin dengan hati yang mengharapkan redha Allah Taala dan mengharapkan keputusan yang positif serta hasil kerja yang terbaik. Jangan sekali-kali melaksanakan tugasan secara sambil lewa atau sekadar melepaskan batuk ditangga.

Bekerja dan berjuanglah dengan rasa bangga bukan rasa bersalah meskipun kita berhadapan dengan penguasaan musuh. Selesaikan tanggungjawab sebagaimana yang diharapkan semampu mungkin sekalipun kita terpaksa mengorbankan kepentingan diri seperti masa, wang ringgit, tenaga malah darah dan nyawa jika perlu.

Faham dan Ikhlas

Pemuda mestilah terlebih dahulu menguasai satu-satu bidang atau perkara yang diamanahkan kepadanya sebelum dilaksanakan agar menghasilkan keputusan yang baik. Jangan segan untuk bertanya dan jangan rasa rendah diri untuk menerima tunjuk ajar walau dari sesiapa. Apatah lagi menerima tunjuk ajar dari pimpinan atau mereka yang berpengalaman.

Pemuda mestilah faham matlamat dan objektif sesuatu tanggungjawab yang digalaskan kepadanya dan laksanakannya kerana Allah swt bukan kerana manusia atau lainnya. Setiap masaalah yang timbul mestilah segera dirujuk kepada pihak yang berhak membuat keputusan.

Lantaran ikhlas kita kepada Allah SWT , maka kerja yang kita lakukan jangan mengharap imbuhan apalagi pujian manusia. Saya tidak nafi bahawa setiap kerja perlukan peruntukan kewangan, namun kita menyedari bahawa peruntukan tidak semesti cukup dan memadai. Kita memerlukan pengorbanan untuk berjaya dalam perjuangan ini.

Tindakan berasaskan Musyawarah

Elakan sikap bertindak sendirian, demikian juga keputusan sendiri mestilah dihindarkan sebaliknya merujuk kepada keputusan bersama yang diputuskan melalui mesyuarat samaada diperingkat jentera dalam bidang kuasa tertentu atau keputusan yang telah diambil oleh kepimpinan parti.

Mungkin sesuatu keputusan itu tidak menepati selera dan kemahuan kita. Maka kita mestilah bertanggungjawab dengan keputusan tersebut dan laksanakan amanah tanpa sebarang rasa ralat di dalam hati.

Contohnya : Isu penetapan calon yang bertanding dalam pilihan raya. Besar kemungkinan calon yang diputuskan oleh pimpinan kelak bukanlah calon pilihan kita, maka kita tidak perlu gundah jauh sekali berpaling tadah meninggalkan jemaah atau tutup pos sebagai protes.

Kita berjuang kerana Allah bukan kerana calon dan bukan kerana sesiapa. Keputusan syura insya-Allah akan membawa kebaikan kepada kita, jemaah dan perjuangan Islam itu sendiri.

http://www.tarbawi.my
 
 
Muhyiddin: 'Kerajaan PR Kedah hanya layak gred E-'
NURUL FATIHAH SULAINI
23 April 2013
 Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
JERLUN - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi gred ‘E-’ kepada Pas Kedah atas alasan telah gagal mentadbir negeri itu dengan baik sepanjang lima tahun lalu.

Menurutnya, mereka tidak ada keupayaan membangunkan negeri ini sebaliknya tugas itu diambil alih kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui pelbagai projek pembangunan yang disalurkan kerajaan pusat.

“Kerajaan Pas Kedah sangat lemah, tak mampu, tak boleh laksana apa-apa untuk manfaat rakyat. Mereka hanya layak dapat gred E tolak.... maksudnya mereka sudah gagal,” katanya ketika merasmikan peletakan batu asas cadangan pembinaan pusat sukan Parlimen Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang, di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementeriannya mempunyai ramai guru yang bertanggungjawab membuat penilaian prestasi atau kad laporan pelajar, tetapi rakyat negeri ini juga boleh menjadi penilai terhadap pentadbiran diterajui Pas Kedah.

“Sewaktu mereka mula mengambil alih kerajaan dulu pelbagai janji dibuat antaranya mahu berjuang membela nasib rakyat, membangunkan kemudahan sosial, menyediakan peluang pekerjaan.

“Namun malangnya selepas tempoh berkenaan kad penilaian dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh kerana membentuk kerajaan perkara serius terutama untuk berhadapan pelbagai isu besar.

“Kita nak pilih parti, parti yang mampu memikul dan melaksanakan amanah, sempurnakan hajat rakyat di masa hadapan, dapat memajukan negeri serta negara, berupaya menunaikan janji bukan bertindak sebaliknya.

“Ini soal masa depan negara dan BN akan berusaha meneruskan tradisi kecemerlangan dengan mengutamakan rakyat supaya hidup lebih baik, anak lebih pandai menuju tahun 2020 negara menjadi negara maju dan pendapatan tinggi,” katanya.

Menurutnya, negara yang maju bukan sahaja dilengkapi dengan kemudahan asas dan ekonomi yang kukuh, pendapatan rakyat meningkat tetapi pertambahan hospital, sekolah termasuk sekolah agama serta kemudahan sukan.

“Bila musim pilihan raya rakyat perlu buat penilaian. Jika kerajaan negeri sekarang tidak mampu meneruskan tugas dan memikul tanggungjawab, rakyat harus membuat keputusan sendiri memilih parti yang mampu membawa kemajuan.

“Pakatan pembangkang pada pilihan raya kali ini agak bercelaru kerana mereka tidak sepakat tidak seperti BN melibatkan soal pengagihan kerusi hingga ada banyak kerusi, calon PKR bertanding melawan calon Pas di beberapa kawasan,” katanya.


Rafizi sahut cabaran Muhyiddin dalam forum ekonomi
Wartawan Sinar Harian
23 April 2013
Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
SAYA mengalu-alukan cabaran Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya saya menyatakan sama ada barangan berjenama 1Malaysia yang kini ditawarkan oleh Barisan Nasional akan dihentikan sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam PRU13.

Pakatan Rakyat telah menyatakan pendirian yang jelas bermula dari Buku Jingga dan diperincikan di dalam dokumen-dokumen belanjawan serta Manifesto Rakyat.

Dalam menangani bebanan sara hidup yang dihadapi rakyat, cara terbaik adalah dengan menyelesaikan dua perkara – pertama, dengan mengawal dan menurunkan harga barang dan kedua, mengurangkan beban hutang rakyat akibat herotan dalam pasaran.

Pendekatan Pakatan Rakyat adalah dengan menyelesaikan masalah struktur ekonomi yang menyebabkan harga barang naik dan beban hutang melambung, sehingga mengurangkan pendapatan boleh guna (disposable income) rakyat. Ini termasuklah menghapuskan monopoli, mengurangkan kos asas perniagaan, mengurangkan kos pengangkutan, memastikan subsidi sampai kepada rakyat dan menghapuskan cukai eksais ke atas kereta yang membebankan rakyat.

Pendekatan ini adalah lebih baik dari cara Barisan Nasional yang tidak mahu menyelesaikan masalah-masalah struktur ekonomi ini, sebaliknya hanya menawarkan beberapa barangan yang diberikan subsidi di bawah jenama 1Malaysia. Oleh kerana barangannya terhad dan edarannya tidak menyeluruh ke seluruh negara, pendekatan ini hanya tertumpu di beberapa kawasan sahaja. Ia tidak berkesan dan tidak membantu meringankan bebanan sara hidup setiap rakyat.

Oleh yang demikian, saya berbesar hati untuk mengupas isu ini dengan lebih panjang dan menyatakan pendirian sama ada akan menghapuskan barangan 1Malaysia di dalam satu forum ekonomi yang turut disertai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jika beliau berani membuat cabaran terbuka kerana yakin dengan pendekatan ekonomi Barisan Nasional, beliau tidak perlu gentar untuk berdepan dengan saya di dalam satu forum ekonomi agar rakyat boleh membuat pilihan yang lebih baik.

Tiada ulasan: