Isnin, 22 April 2013

DIMANA2 HIJAU....TERMASUK YANG SEDIA ADA IAITU POKOK BERDAUN HIJAU

Ceramah Pakatan semakin sepi lepas....

Omak Kau, 21 Apr 2013



Ingatkan apabila Ghani Othman calon BN di Parlimen Gelang Patah lawan Lim Kit Siang bercakap jika Lim Kit Siang menang di Gelang Patah, Johor maka sudah pasti Perdana Menteri ialah Datuk Seri Presiden PAS, TGHA, maka akan merosot teruklah ceramah anjuran PR di negeri Johor.

Tapi ianya menjadi sebaliknya pula... Lagi difitnah dengan cerita karut marut yang tidak masuk akal lagi berduyun rakyat turun ketempat ceramah anjuran PR.

Rakyat merasakan diri mereka dihina dan diperlekehkan kebijaksanaan mereka untuk berfikir.


Klik untuk ikuti laporan penuh blogger ini.

Jasa burukkan PAS, akhirnya diangkat jadi calon

Mohd Nor Yahya, 21 Apr 2013
KUBANG KERIAN: Mungkinkah kerana jasa memburukkan PAS pada setiap program penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebelum ini, Shamsul Mohd Yusoff dicalonkan mewakili BN di Dun Pasir Tumbuh.

Malah kemunculan ustaz yang mendakwa mewakili Minda Pondok itu menyebabkan Ketua Umno Kubang Kerian, Datuk Mohd Fauzi Ismail terpinggir, tanpa mendapat sebarang kerusi.

(Datuk Fauzi [tengah] sibuk siang malam berkempen untuk Umno tetapi terpinggir)

Begitu juga bekas Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Datuk Mohamad Ghani yang disebut-sebut diletak di kerusi parlimen Kubang Kerian juga dipinggirkan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Presiden Kelantanku Hijau (K), Zulkifli Yaacob berkata, Shamsul diketengahkan sebagai calon BN sehingga mengenepikan pemimpin Umno yang sudah lama berjuang mungkin kerana jasanya memburukkan PAS.

“Ambo nak tanya di mana salah PAS dalam menegakkan syiar Islam di bumi Kelantan ini. Adakah pelbagai peraturan yang dilaksana bagi mendaulatkan Islam dianggap salah.

“Semua orang tahu gejala maksiat berjaya dibendung kerana peraturan dikehendaki Islam diperkenalkan. Hampir 23 tahun judi, konsert rock dan pelbagai lagi bentuk maksiat dihalang,” katanya pada ceramah memperkenalkan calon PAS di sini, kelmarin.

Calon PAS yang bertanding di kerusi Kubang Kerian iaitu Ahmad Baihaki Atiqullah (parlimen), Abdul Rahman Yunus (Pasir Tumbuh) dan Mumtaz Md Nawi (Demit) muncul pada program berkenaan.

Zulkifli yang juga Ketua Penerangan PAS Kuala Krai mencabar Shamsul berdebat berkaitan fatwanya yang mendakwa mengundi PAS adalah haram.

Sebelum ini Shamsul yang juga anggota jawatankuasa Minda Pondok, NGO tajaan Umno mendakwa haram bagi orang Melayu menyokong PAS kerana berkawan dengan DAP.

Sehubungan itu Zulkifli berharap pengundi di Dun Pasir Tumbuh tidak terpengaruh dakwaan calon BN tersebut kerana tomahan liar itu tidak berasas sama sekali.

“Ambo juga hairan masih ada lagi penyokong Umno di kampung-kampung yang diperalat pimpinan atasan bagi membolehkan mereka hidup mewah, sedangkan penyokong di bawah masih di tahap lama,” katanya.

Sementara itu Mumtaz berkata, Umno secara terang-terangan meminggirkan golongan wanita apabila pemimpin utama Pergerakan Wanita Umno diketepikan sebagai calon.

“Kalau dahulu kita tengok ramai pemimpin wanita Umno disenarai sebagai calon namun sekarang amat sedikit sekali,” kata beliau.

Kempen di Kelantan semakin menghijau

Salmah Mat Husain foto Rizal Tahir, 21 Apr 2013



KOTA BHARU: Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan setiap hari berlaku perubahan dengan bendera PAS pelbagai bentuk dan saiz diletakkan.

Dua hari lalu, belon gergasi yang tertera tulisan PAS For All, pula menjadi hiasan pejabat yang menjadi kemegahan ahli parti dan penyokong perjuangan Islam itu.

Sementara itu, Markas UPU Bunut Payong Hilir pula menterjemahkan konsep ‘kubu’ untuk pos mereka sebagai simbolik untuk mempertahankan Dun Bunut Payong dari di tawan.

Pada sebelah malam lampu warna hijau menghiasi indah markkas itu sebagai simbolik warna dan lambang parti PAS.

Dengan peruntukan yang agak besar, ianya mula digerakkan sebaik sahaja selepas penamaan calon semalam, kata Ketuanya Mohd Noor Che Man.

“Anak-anak muda begitu bersemangat bekerjasama untuk menyiapkannya,”ujarnya ketika ditemui.

Sementara itu di UPU Pohon Kandis dalam Dun Chempaka pula memilih imej masjid sebagai reka bentuk posnya.

Wau bulan gergasi juga identiti pada masyarakat Kelantan yang menjadikannya sebagai sebahagian permainan tradisi rakyat di negeri itu.

Pada masa yang sama wajah calon N.06 Chempaka, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, turut menghiasi pos tersebut.

Markas yang pernah mendapat sumbangan dari Tuan Guru sendiri berjaya menjadi tarikan orang ramai, apa lagi ianya terletak di laluan utama Jalan Kota Bharu-Pengkalan Chepa sebelum Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Nadwah ulama, NGO Islam 23 April tolak fitnah Umno

Harakahdaily, 21 Apr 2013
SIK: Nadwah ulama dan NGO Islam akan diadakan pada 23 April ini di Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar bagi menolak fitnah Umno.

Penasihat Majlis Nadwah, Tuan Guru Haji Salleh Musa, kumpulan ulama dan NGO terbabit telah bermesyuarat bagi menyatakan pendirian dalam menempuh Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13).

Mesyuarat itu diadakan pondok beliau, Madrasah Ar-Rahmaniah, Sik.

Beliau berkata, keputusan mesyuarat pada 17 April lalu akan dibentang dalam majlis umum di Kuin itu bermula jam 2 hingga 5 petang.

“Masyarakat dijemput hadir beramai-ramai,” ujar beliau.

Jelas beliau, tujuan Nadwah Ulama dianjurkan bagi menolak fitnah ulama Umno yang mengeluarkan Fatwa Haram Sokong PAS dan PKR.

“Nadwah ulama akan melantik wakil dari setiap pertubuhan akan bentang kertas kerja menyatakan Wajib Sokong PAS dan Pakatan dengan dalil-dalil dan isu-isu yang tidak pernah dibincang umum sehingga masyarakat terpedaya dengan tipu helah Umno sehingga ada ulama yang gagal memahami isu terpengaruh dengan Umno,” jelas beliau lagi.

Saya sedih melihat ustaz dihina - calon PAS

Harakahdaily, 21 Apr 2013
SEREMBAN: Calon PAS DUN Johol, Negeri Sembilan melahirkan simpati yang amat sangat terhadap Ustaz Mohd Fadzil Abu Kasim, bekas calon Johol yang dihina oleh pemimpin dan ahli Umno bahagian ini.

"Saya sangat bersimpati dengan Ustaz Fadzil dan keluarganya atas penghinaan tersebut," kata Nor Azman Mohamad (gambar) dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Ustaz Fadzil telah menerima watikah perlantikan beliau sebagai calon BN di Johol.

Namun akibat dari penghinaan yang dibuat oleh sebahagian pemimpin dan ahli Umno terhadap beliau, Fadzil mengambil keputusan menyerahkan balik watikah yang diterimanya.

Ekoran itu, Abu Samah Mahat telah dipilih oleh Umno untuk menjadi calon BN di DUN Johol.

Menurut Azman, beliau terkejut dengan pertukaran saat akhir calon BN di N19 Johol dari Ustaz Mohd Fadzil Abu Kasim kepada Sdr Abu Samah Mahat ini.

Sesungguhnya, bagi Azman, pertukaran ini menggambarkan pergolakan yang berlaku dalam kem UMNO dan BN.

"Saya juga dimaklumkan berkenaan pergolakan UMNO BN ini menerusi video yang di ‘upload’ di internet pada pertemuan penyerahan watikah Rabu lepas (17 April 2013) yang dihadiri Datuk Hasan Malek dan dipengerusikan Datuk Ismail Lasim yang kesudahannya ditangguhkan.

Klik untuk melihat video peristiwa itu.

"Harapan untuk saya bertanding secara matang dan profesional bersama Ustaz Fadzil dalam PRU13 ini sebagaimana yang saya nyatakan di dalam laman sosial facebook nampaknya tidak menjadi kenyataan," tambah Azman.

Malah, katanya, beliau begitu sedih melihat Ustaz Fadzil dihina sedemikian rupa oleh ahli-ahli Umno.

"Bukan urusan saya sekiranya beliau tidak terpilih, tetapi cara penghinaan yang sedemikian rupa hakikatnya menghina dan menjatuhkan maruah Ustaz Fadzil dan keluarganya, apatah lagi beliau adalah seorang Ustaz," katanya.

Bagi Azman, apa yang berlaku ini menyerlahkan bahawa Umno tidak serius di dalam menjaga para ustaz dan ulama.

Kononnya Umno memperjuangkan Islam, tetapi tiada seorangpun calon ustaz diletakkan kali ini di Negeri Sembilan, tambahnya.

"Saya bertegas menyatakan, bahawa, jika Umno tidak menghormati para ustaz dan ulama, tiada jaminan Umno akan mempertahankan Islam," tegas Azman.

Beliau juga menyeru agar Ustaz Fadhil bersabar atas ujian Allah ini.

"Saya menyeru agar kita menolak parti Umno dan BN di Negeri Sembilan ini kerana menjatuhkan martabat para ilmuan Islam," katanya.

Roket mendarat di bulan: Kenangan manis zaman berzaman

Ahmad Lutfi Othman, 21 Apr 2013

Kolum ini mesti disiapkan selewat-lewatnya pada malam Sabtu, walaupun Harakah akan berada di pasaran dua hari selepas itu, pagi Ahad. Maknanya, perjalanan penamaan calon pada Sabtu tidak sempat kami laporkan, ketika tumpuan difokuskan kepada kontroversi penggunaan logo DAP, sama ada dibenarkan memakai lambang roket atau simbol PAS di Semenanjung dan KeADILan di Sabah, Sarawak.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pada 19 April, berkata surat kebenaran telah ditandatangani oleh PAS dan KeADILan. Keputusan itu sebenarnya lebih awal diumumkan oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh, ekoran tindakan mengejut Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkaitan penggantungan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali berkata: "Saya telah tandatangan semua watikah untuk calon DAP."

Sesungguhnya kesediaan DAP  menggunakan simbol bulan telah melakar sejarah menarik politik Malaysia,  walaupun mungkin ia dibenarkan juga memakai logo roket. "Khabar ini cukup menggembirakan saya," kata seorang veteran PAS, 63 tahun. "Selama ini pelbagai momokan direka untuk mengeruhkan hubungan PAS-DAP, tetapi sebenarnya jauh di lubuk hati pemimpin kedua-dua parti, ada hubungan sentimental dan akrab," tambahnya. "Berita petang Jumaat itu saya kira petanda potensi gemilang Pakatan Rakyat dalam PRU13."

Bayangkan, jika DAP terpaksa bersimbolkan bulan, pada malam keputusan PRU13, deretan "calon-calon PAS" akan diisytihar menang, dari Gelang Patah ke Bukit Bintang, turun ke Ipoh Timur dan melewati Jelutong! Kesimpulan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyentuh hati: "Yakinlah, keputusan ini (kesediaan DAP menggunakan logo PAS) membuka pintu sejarah yang akan dikenang zaman berzaman. Inilah saatnya di mana akhirnya roket berjaya mendarat di bulan!"

Secara peribadi, saya melihat polemik ini mempunyai impak positif, terutama dalam menyuburkan, atau mempercepatkan budaya politik baru di Malaysia. Selepas BN menerima kejutan tsunami politik Mac 2008, pemimpin Umno khususnya mengambil sikap melampau, dengan menimbulkan isu-isu sensitif yang boleh membakar sentimen perkauman atau keagamaan sempit.

Tanpa segan silu, media "talibarut" seperti Utusan Malaysia dan TV3, bagaikan menurut agenda dan skrip tertentu -- kadang-kadang saya merasakan ia seperti dipandu pasukan perisikan polis mahupun tentera -- dengan motif utamanya, untuk mengekalkan kuasa Umno-BN dalam PRU13.

Demi kuasa, segalanya mahu dipertaruhkan, termasuk keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum dan agama. Serangan terhadap kerajaan negeri Pakatan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan juga Perak, kebanyakannya bersumberkan isu "jadi-jadian" seperti berkaitan babi, yang sengaja diperbesarkan, dengan hasrat mempersepsikan Pakatan sebagai mengkhianati orang Melayu.


Ketika Umno-BN melangkah ke belakang, memakai baju perkauman dan mengamalkan politik adu-domba, parti-parti dalam Pakatan bersikap lebih terbuka, mementingkan permuafakatan, yang didahului tradisi rundingan dan saling memahami. Tiada lagi konsep dominasi dan ketuanan, yang selalunya berakhir dengan ketidakadilan dan kezaliman.

Malaysia sebenarnya terlalu kaya untuk dikongsi bersama seluruh warganya, tanpa mengira agama dan latar belakang, seterusnya menjadikan setiap rakyat dapat berteduh dengan aman, sejahtera dan gembira. Hanya ketamakan, kerakusan dan kecurangan elit politik serta senarai panjang kroni mereka yang menjadikan Malaysia di ambang kebankrapan. Emosi majoriti orang Melayu terus dipermainkan, seolah-olah tanpa Umno, kehidupan mereka yang sedia susah itu akan menjadi gela-gelita.

Kesediaan DAP menggunakan lambang bulan itu juga mengingatkan saya ketika berpanas bersama ribuan orang ramai yang menunggu pembebasan Lim Guan Eng di luar penjara Kajang, Ogos 1999, tiga bulan sebelum PRU10. Beliau dipenjarakan selama 18 bulan kerana membela seorang gadis Melayu. Buat pertama kali saya melihat seorang lelaki berserban, menunggang motor dengan isterinya yang bertudung labuh, dengan perwatakan seorang ahli PAS, mengibar bendera DAP. Wajahnya cerah dan ceria, tanda puas dan lega.


Saya masih bimbang isu perkauman, termasuk menggambarkan DAP sebagai musuh dan seteru utama orang Melayu, yang galak dicanang penceramah BTN dalam kursus membabitkan pegawai kerajaan dan pelajar universiti, akan memberi kesan buruk kepada Pakatan, yang pada masa sama cuba mempromosikan budaya politik baru. Namun, selepas meninjau situasi di lapangan, saya yakin rakyat yang begitu mendambakan perubahan dan muak dengan pemerintahan korup 57 tahun Umno, tidak akan mempedulikan "gangguan liar" itu.

Tulisan Arif Sabri Abd Aziz, calon DAP untuk kerusi Parlimen Raub, melalui sakmongkol.blogspot.com, banyak menyinggung hal ini. Dua tulisannya, "Membalun bersama BN", dan "Majoriti Melayu tidak ada apa-apa yang perlu ditakuti jika melakukan perubahan", bagi saya, cukup relevan untuk diteliti. Arif Sabri berupaya menyanggah segala "pembohongan dan penipuan" yang selama ini berjaya menakutkan orang Melayu. 

Bekas Ketua Penerangan Umno Pekan ini merumuskan: "Orang Melayu di kampung tidak perlu takut dengan pertukaran kerajaan. Yang bertukar hanya pimpinan politik yang rasuah, kotor dan pembuli rakyat. Urusan berkerajaan tetap berjalan seperti biasa. Penjawat awam tetap penjawat awam -- SO, DO, pegawai  pejabat tanah dan daerah tetap dengan urusan mereka. Kita tetap bayar gaji dan elaun. Kita tetap memproses permohonan tanah hak milik dan tanah kependudukan sementara. Yang dah lama pegang tanah TOL dan mengusahakannya, kita beri hak milik kekal. Kita tak rampas punca rezeki orang. Polis tetap polis, askar tetatp askar. Yang diubah ialah kerajaan Umno-BN yang korup,  rasuah dan membuli rakyat."

Cukup-cukup sudah...

Uncle Brown, 19 Apr 2013
Kami orang kampung tidak mahu warna biru lagi

Mereka masuk kampung kami dengan gembira
Siapa mereka seperti pengembara? Seperti saudara
Kami tidak kenal pun mereka..
Begitulah gerembolan warna biru... bila kempen pilihan raya
Mulalah nampak batang hidungnya
Tapi, hairan kami memang tidak kenal mereka
Mereka hanya datang sekali bila tiba musimnya
Penampilan mereka sama
Berwajah mesra, manis mulut bicara
Mereka berkata pilihlah warna biru kita
Kerana esok kampung ini maju seperti kota

Kami orang kampung bukan seperti orang kota
Kami tahu niat mereka
Kerana mereka hanya muncul musim pilihan raya
Bukan muncul masa musim buah atau musim laut bergelora
Mereka lupa
Sebenarnya kampung kami maju sejak bertahun lama
Cakap sahaja, semua teknologi kami ada
Kami bukalah pelupa
Kami bukanlah buta huruf tidak pandai membaca
Kerana kami tahu tingkah dan janji mereka
Janji mereka yang dusta

Kami juga rakyat Malaysia
Cukup-cukuplah sudah wahai pengembara
Maaflah saudara
Kami orang kampung punya cita rasa berbeda
Pilihan kami suda nyata
Pakatan Rakyat Harapan Malaysia
Bukan warna biru, tapi berwarna-warni tanda maju jaya

Semporna, Sabah
19 April 2013

Tiada ulasan: