Sabtu, 20 April 2013

MOOD TERUS MENYEBELAHI PR...MOOD RAKYAT INGIN PERUBAHAN...MOOD RAKYAT MENOLAK YANG ADA...ALLAH LAH MENENTU SEGALA2NYA...YANG HAQ TETAP MENANG DI SISI ALLAH SWT

SPR terima DAP tanding atas lambang Roket

Harakahdaily, 20 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Jangkaan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali terbukti pagi ini apabila semua calon DAP diterima untuk bertanding atas tiket parti itu.

Mereka berjaya menggunakan logo DAP walapun sebelum ini Pendaftar Pertubuhan (RoS) menyatakan mereka tidak mengiktiraf barisan kepimpinan DAP yang ada.

Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali awal pagi ini berkata segala tindakan yang diambil oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) adalah bermotifkan politik semata-mata.

“Reaksi rakyat terhadap isu ini adalah di luar jangkaan Umno-BN. Maka, hasrat itu bakal terbatal. Senjata sudah makan tuan.

"Saya menjangkakan DAP akan dibenarkan menggunakan simbol Roket untuk bertanding – keputusan ini juga bermotifkan politik,” kata beliau.

Mustafa berkata sekiranya betul calon-calon DAP tidak dibenarkan untuk menggunakan simbol Roket pada penamaan calon hari ini, ia adalah satu malapetaka kepada sistem demokrasi negara.

“Keputusan yang dibuat di saat-saat akhir ini begini telah menimbulkan persepsi bahawa Umno-BN akan menggunakan segalanya, termasuk agensi kerajaan untuk mengelakkannya dari tumbang,” tegas beliau.

Menurut calon-calon DAP, RoS telah memberikan surat rasmi kepada DAP bagi mengesahkan lambang Roket boleh digunakan.

Sehingga kini, tidak ada sebarang laporan DAP tidak boleh menggunakan logo mereka.


LAPORAN HARAKAHDAILY SEBELUM INI

Senjata makan tuan: PAS jangka DAP akan dibenar guna 'Roket'

Lebih 1,000 iringi calon di Kapar, Aishah serah borang di Jempol

Muhammad Faizal dan Hazayani Zakaria, 20 Apr 2013


(Dr Rani bersama calon-calon Pakatan di Parlimen Kapar)

KLANG: Lebih 1000 penyokong hadir memberi sokongan kepada calon-calon Pakatan Rakyat yang bertanding di Parlimen Kapar pagi ini.

Mereka yang sebelum itu berkumpul di Padang Chetty Klang mula berarak pada jam 8.30 pagi dan tiba di tempat penamaan calon pada jam 8.45 pagi.

Sepanjang perjalanan ke tempat penamaan calon para-para penyokong turut berselawat dan melaungkan 'takbir', 'ini kalilah tukar' dan 'lawan tetap lawan'.

Para penyokong telah berkumpul sejak pukul 7 pagi tadi, walaupun keadaan di padang lembap akibat hujan pada sebelah pagi, namum mereka tetap memenuhi padang sebagai tanda sokongan.

Calon-calon Pakatan Rakyat, G. Manivannan a/l Gowindasamy (Parlimen Kapar), N42 Meru, Dr Abd Rani Osman (PAS) , N43 Sementa, Dr Daroyah Alwi (PKR), N44 Sungai Pinang, Teng Chan Khim (DAP) dan N45 Selat Kelang, Halimah Ali (PAS) tiba di Padang Chetty sekitar jam 8 pagi.

Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Kawasan Kapar, Datuk Bakhtiar bin Husin ketika membuat pengumuman memberitahu calon dibenarkan masuk ke dewan penamaan calon pada jam 9 pagi.

Keempat-empat calon Pakatan Rakyat mula masuk ke tempat penamaan calon pada jam 9 pagi dan menyerahkan borang pencalonan kepada pegawai bertugas SPR pada jam 915 pagi.

Aishah serah borang di Jempol




Sementara itu di JEMPOL, Negeri Sembilan Calon PAS P127 Jempol, Wan Aishah Wan Ariffin menyerahkan borang pencalonan jam 9.05 pagi tadi di Dewan Besar Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol.

Selain beliau, turut menyerahkan borang pencalonan ialah calon PAS N05 Serting, Abdul Rahman Ramli,  calon N06 Palong, Rebin Birham calon PKR N07 Jeram Padang T. Kumar dan N8 Bahau - Chew Seh Yong.

Mereka bersama lebih 300 penyokong berkumpul kira-kira jam 8 pagi tadi dan berarak kira-kira 200 meter ke pusat penamaan.

Salahudin lawan Nur Jazlan satu lawan satu di Pulai

Nazri Abdullah, 20 Apr 2013


(Salahudin bersama calon Pakatan diiringi ke pusat penamaan calon)

JOHOR BAHRU: Calon PAS bagi parlimen P161 Pulai Salahudin Ayub tiba di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Jalan Ayer Molek di sini kira-kira jam 8.45 pagi ini.

Beliau yang mengenakan Baju Melayu merah bersamping dan bersongkok, tiba di sini diiringi hampir 1,000 penyokong.

Turut bersamanya calon Dewan Undangan Negeri (Dun) N46 Pengkalan Rinting dari DAP Cheo Yee How.

Terdahulu mereka berkumpul di Masjid Negeri, Masjid Sultan Abu Bakar sebelum bergerak ke sini yang berjarak lebih kurang satu kilometer.

Salahudin dilihat masuk ke pusat penamaan calon kira-kira jam 9.05 pagi.

(Salahudin bersama calon-calon yang bertanding di Pulai)

Beliau diiringi pencadangnya Alias Abdullah serta penyokong Dzulkifli Suleiman.

Cheo pula diiringi pencadangnya Leo Ah Hio dan penyokong Yueng Din Hin.

Seorang lagi calon PAS iaitu bagi N47 Kempas, Suhaizan Kaiat bagaimanapun hanya diwakili pencadang Abdullah Hassan dan penyokong Md Sadakah Abdullah kerana terpaksa ke satu lagi pusat penamaan calon sebagai Calon Simpang Renggam.

Sementara itu, hampir 700 penyokong terdiri daripada PAS dan DAP hadir mengiringi calon Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Mereka membawa bendera parti masing-masing sambil melaungkan slogan 'hidup rakyat, 5 Mei, Ubah'.

Di sebelah penjuru satu lagi, penyokong BN dengan kekuatan hampir serupa turut mengambil tempat.

Mereka mengiringi calon mereka iaitu penyandang Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Hampir 100 anggota polis berkawal di sini hari ini.

Kedua-dua penyokong dipisahkan dengan jarak hampir 100 meter dengan anggota keselamatan berkawal di tengah-tengah mereka.

Satu lawan satu

(Suhaizan [kiri sekali] akan melawan Tengku Putra Haron [kanan sekali] dari BN)

SPR mengumumkan pertandingan satu lawan satu bagi Parlimen Pulai antara Salahudin dengan Nur Jazlan.

Untuk DUN Pengkalan Rinting Cheo Yee How dari DAP juga akan berlawan satu lawan satu dengan Chan Mei Kie dari BN.

Untuk DUN Kempas pula, Suhaizan Kaiat dari PAS akan melawan Tengku Putra Haron Aminurrashid dari BN.

TG Nik Aziz solat hajat dan Dhuha sebelum berarak

Harakahdaily, 20 Apr 2013

(Tuan Guru Nik Aziz bercakap sebelum mengimamkan solat hajat di Masjid As Salam, Pengkalan Chepa sebelum ke pusat penamaan calon)

PENGKALAN  CHEPA: Pesuruhjaya PAS Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan tiga lagi calon PAS di Pengkalan Chepa menunaikan  solat hajat dan Dhuha sebelum ke pusat penamaan calon.

Dr Izani Husein parlimen Pengkalan Chepa, Wan Ubaidah Kijang dan Datuk Nik Amar Pancor menunaikan solat hajat dan Dhuha di Masjid As Salam sebelum berarak menuju ke pusat penamaan calon.

Mereka keluar dari masjid itu jam 8.35 pagi menuju ke pusat penamaan calon.



Kira-kira 5,000 penyokong mengiringi keempat calon menuju ke pusat penamaan calon di sekolah menengah Pengkalan Chepa 1.



Pegawai pengurus SPR N20, Tuan Mat Tuan Soh memberitahu penamaan calon akan dibuka jam 9 pagi.



Setengh jam kemudian calon-calon BN pula diiring masuk.



Pencalonan Tuan guru Nik Aziz dicadangkan oleh Nik Bahrum Nik Abdullah dan disokong oleh Nik Abdullah Raja Ahmad.

Wakil calon beliau adalah Muhammad Ismail.



Dr Izani Hussin pula dicadang oleh Ruzili Abdullah,  penyokong Apandi Salleh dan wakil calon Mohd Azmi Mohammad.

3,000 penyokong PAS iringin calon PAS Putrajaya

Salmiyah Harun, 20 Apr 2013


(Pararakan calon yang mengiringi PAS PAS Putrajaya, Datuk Husam Musa)

PUTRAJAYA: Kira-kira 3000 penyokong PAS berarak mengiringi Datuk Husam Musa dari  Surau Al Husna  ke pusat penamaan calon.

Pusat penamaan  calon berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 9  yang terletak kira-kira 2 km dari surau itu.

Husam dan penyokong terlebih dahulu menunaikan solat hajat dan sunat dhuha sebelum berarak ke pusat penamaan.

(Husam bertembung satu lawan satu dengan Tengku Adnan di Putrajaya)

Mereka berkumpul seawal jam 7.30 pagi dan bergerak ke pusat penamaan kira-kira jam 9 pagi.

P125 Putrajaya kali ini menyaksikan pertembungan dua tokoh 'high profile" masing-masing dari parti BN dan PAS yang  menjadi tumpuan ramai.

PRU ini, Penyandang kerusi Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor untuk kali ini berdepan dengan Naib Presiden PAS yang juga merupakan Pengarah Roadmap To Putrajaya PAS.

Harapan PAS dan penyokongnya cukup tinggi kepada Husam kerana disinilah pintu yang perlu dibuka untuk Pakatan Rakyat membuat perubahan politik di Putrajaya.

Pada PRU 12 Tengku Adnan memperoleh majoriti 2,734 undi mengalahkan calon PAS Mohamad Noor Mohamad yang mendapat undi 1,304 daripada jumlah pengundi seramai 6,604.

Penamaan calon serentak seluruh negara pagi ini

Harakahdaily, 20 Apr 2013


(Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai perarakan calon ke Majlis Daerah Marang )

KUALA LUMPUR: Semua parti-parti politik hari ini bersedia untuk bergerak ke pusat-pusat penamaan calon di seluruh negara bagi mendaftarkan nama wakil mereka sebagai calon pilihan raya ke 13.
Mereka bakal bergerak dari seluruh kawasan menuju pusat penamaan calon di 222 kawasan Parlimen dan kawasan Dewan Undangan Negeri.

(Haji Mohamad Sabu di Pendang)

Menjadi tradisi bagi PAS, mereka akan memulakan pergerakan dengan doa setelah bersolat munajat malam dan menjelang Subuh tadi.

Dalam pilihan raya kali ini, Pakatan Rakyat akan berusaha untuk berdepan satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN).

Namun dipercayai ramai calon bebas akan mengambil bahagian setelah tidak berpuashati kerana tidak terpilih sebagai calon di samping individu yang mahu mencuba nasib pribadi masing-masing.

Di Marang, Terengganu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengetuai cabaran PAS di sini. Beliau akan bertanding mempertahankan Parlimen Marang di samping DUN Rhu Rendang.

Timbalan beliau, Haji Mohamad Sabu serta caloon PAS yang lain diringi ribuan penyokong PAS di Pendang. Mohamad akan bertanding di Parlimen Pendang melawan Datuk Othman Abdul.

(Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim berdoa di perkarangan Masjid Lama Jengka sebelum bertolak ke Temerloh untuk menyerahkan borang penamaan calon)

PRU 13 ini dikira sebagai ibu kepada segala pilihan raya di negara ini kerana buat pertama kalinya BN terasa mereka boleh jatuh kali ini.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkumpul di Masjid Lama Jengka yang terletak bersebelahan rumahnya.

Beliau akan bergerak menuju bandar Temerloh untuk membuat penamaan calon yang akan berlaku pagi ini.

(Dr Rani bersama calon-calon Pakatan di sekitar Klang)

Di Klang, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman bersama calon-calon Pakatan di bawah Parlimen Kapar berkumpul setempat sebelum berarak ke pusat penamaan calon. Bersama beliau adalah calon-calon Pakatan di Klang iaitu Dr Halimah Ali (Selat Klang), Teng Chan Khim dan lain-lain.

Di Putrajaya, para penyokong PAS berkumpul di Surau Al Husna Fasa 12, Presint 9 dan dijangka akan berarak 2 km ke pusat penamaan calon yang terletak di pusat kejiranan. Sebelum bertolak, calon PAS Datuk Husam Musa dilihat solat Dhuha di surau itu.

(Ustaz Idris dan Ustaz Norazli Musa berjalan menuju pusat penamaan calon)


Di Parlimen Bukit Gantang, cabaran Pakatan Rakyat dipimpin oleh Datuk Seri Nizar Jamaludin yang akan bertanding di DUN Changkat Jering. Turut bersama beliau di situ adalah AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad yang akan bertanding di Parlimen Bukit Gantang dan Ustaz Norarzli Musa yang akan bertanding di DUN Trong.

DUN Kuala Sepetang yang terletak di bawah kawasan parlimen ini akan ditandingi oleh calon DAP.

(Aishah sedia ke pusat penamaan calon)

Di Jempol, Negeri Sembilan  calon PAS, Wan Aishah Wan Ariffin juga sedia untuk bergerak ke pusat penamaan calon. Beliau bakal bertembung dengan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang pernah digantung Umno kerana rasuah.

(Datuk Fauzi Shaari bersama Nazri Din berdoa sebelum memasuki pusat penamaan calon)

Di Larut, Datuk Fauzi Shaari mengetuai cabaran PAS dan Pakatan Rakyat di situ. Beliau akan bertanding di Parlimen Larut manakala Nazri Din (Kubu Gajah).

Di Temerloh, Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan di jangka akan bertembung dengan Saifudin Abdullah di peringkat Parlimen.


(Razman [tengah] mengetuai bacaan doa untuk kemenangan Pakatan di sana)

Di Parlimen Lenggong, Yang Dipertua PAS Kawasan, Razman Zakaria mengetuai cabaran PAS di sana. Beliau yang banyak memperjuangkan hak rakyat khasnya di kawasan Felda dan Felcra dikatakan mempunyai peluang cerah untuk menang di situ.

Di Pulai, Johor, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub mengetuai cabaran PAS di Parlimen berkenaan. Beliau bakal menentang Datuk Nur Jazlan Mohamad yang akan mempertahankan kerusi itu.


(Salahudin  mengetuai cabaran Pakatan di Pulai berarak ke pusat penamaan calon di Pulai bersama calon-calon Pakatan yang lain di samping para penyokong)

Dengan kebangkitan pengundi Cina yang kini menggegar Johor, Salahudin dikatakan mempunyai peluang yang cerah untuk menang.

Di Pengkalan Chepa, Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz mengetuai cabaran PAS di situ. Beliau akan bertanding di DUN Cempaka. Perarakan bermula dengan solat Dhuha di sebuah masjid dekat sini.



(Tuan Guru Nik Aziz memberikan panduan dan tazkirah sebelum mengimamkan solat)

Lebih 1,000 penyokong PAS turut serta bersama beliau solat sebelum berarak ke pusat penamaan calon.

Di Titiwangsa, calon PAS Zamri Asa'ad Khuzaimi diiringi oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan dan lebih 1,000 penyokong ke pusat penamaan calon.


(Zamri di tengah-tengah para penyokongnya menuju pusat penamaan calon)

Dengan memakai sepasang baju Melayu hijau, peguam yang pertama kali menjadi calon ini kelihatan ceria. Beliau dijangka akan bertembung dengan calon Umno di sini.

Logo DAP: Anwar yakin berlaku lonjakan kepada PR

Mohd Sabri Said, 20 Apr 2013
PERMATANG PAUH: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap percaya satu lonjakan bakal berlaku pada Pilihanraya Umum ke-13 walaupun masalah besar dihadapi oleh DAP sehingga parti itu dilarang menggunakan lambang roket.

Beliau ketika berucap dalam majlis Kembara Merdeka di pekarangan An Nahdoh menambah, penggunaan lambang PAS kepada DAP tidak timbul masalah kerana itulah keakraban yang ditunjukan oleh Pakatan Rakyat.

"Saya yakin sokongan rakyat bakal melonjak ekoran sambutan yang hangat. Biar pun DAP kena guna lambang PAS namun ingatlah ia satu sejarah yang tidak pernah berlaku," katanya.

Bagi Umno, katanya penggunaan lambang PAS sedikit sebanyak akan menjejaskan sokongan rakyat kepada Pakatan.

Katanya, padahal mereka tidak sedar sekarang ini masyarakat bukan Islam sudah berani mendekati Islam sejak wujudnya kerjasama dalam Pakatan.

Justeru itu, tegasnya rakyat mesti bijak buat perubahan bagi menjayakan hasrat ke Putrajaya.

Baginya, tindakan Pendafran Pertubuhan (ROS) di saat-saat itu bermatlamat menyusahkan DAP serta ingin menghancurkan impian PR ke Putrajaya apabila salah sebuah parti gabungan menghadapi musibah.

Namun kata Anwar,  penggunaan lambang bulan oleh DAP nanti akan menyelamatkan keadaan sekaligus menyelesaikan masalah yang ditimbulkan.

"Umno ingat senang nak hancurkan semangat kental DAP.  Jika begitu caranya depa silap sebab selain DAP kita ada PAS dan PKR, bila-bila masa saja DAP boleh gunakan logo parti lain untuk menyambung perjuangan," terangnya.

Akhirnya Roket mendarat di Bulan - TG Nik Aziz

Harakahdaily, 19 Apr 2013
KOTA BHARU: "Kesediaan DAP menggunakan logo PAS ini saya sifatkan sebagai detik bersejarah dalam perjuangan PAS semenjak lebih separuh abad ia ditubuhkan," kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.

(Gambar...Roketkini ‏@roketkini dalam Twitternya menulis, "Roket sudah sampai ke bulan. Anda masih nak guna timbang dacing?")

Beliau mengulas keputusan DAP menggunakan logo PAS setelah Pendaftar Pertubuhan memutuskan untuk tidak mengiktiraf barisan kepimpinan DAP yang ada sekarang.

"Saya ingin melahirkan simpati kepada DAP di atas tragedi yang menimpa mereka di saat-saat akhir penamaan calon besok hari.

"Sudah tentu tidak dapat dibayangkan kesedihan yang melanda ekoran terpaksa mengenepikan lambang rasmi yang telah digunakan zaman berzaman," kata Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dalam kenyataannya hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh Tuan Guru Nik Aziz.



Penggunaan Logo PAS Oleh Calon DAP: Akhirnya Roket Mendarat Di BulanSaya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi DAP Karpal Singh pada petang ini bahawa calon-calon DAP akan menggunakan logo PAS di Semenanjung Malaysia dan logo PKR di Sabah dan Sarawak di dalam pilihanraya umum 5 Mei ini.

Ini berikutan sehingga jam 3 petang hari ini, DAP belum mendapat mendapat sebarang respon penarikan balik surat penggantungan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan juga tiada tanda-tanda surat itu akan tiba.

Saya ingin melahirkan simpati kepada DAP di atas tragedi yang menimpa mereka di saat-saat akhir penamaan calon besok hari. Sudah tentu tidak dapat dibayangkan kesedihan yang melanda ekoran terpaksa mengenepikan lambang rasmi yang telah digunakan zaman berzaman.

Isu logo sekalipun mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak, tetapi ia melambangkan maruah dan harga sebuah perjuangan.

Dari sudut yang lain, kesediaan DAP menggunakan logo PAS ini saya sifatkan sebagai detik bersejarah dalam perjuangan PAS semenjak lebih separuh abad ia ditubuhkan.

Dalam melayari bahtera politik tanah air, PAS dan DAP sering dilagakan oleh UMNO/Barisan Nasional. Di hadapan bangsa Melayu, pemimpin UMNO menakut-nakutkan mereka dengan bahaya DAP dan begitu juga sebaliknya di hadapan bangsa Cina, mereka digembar-gemburkan dengan imej PAS sebagai taliban, radikal dan sebagainya.

Natijahnya, Melayu Islam dan bukan Melayu terus hidup dalam keadaan syak wasangka antara satu sama lain.

Hari ini, benteng tersebut telah runtuh sepenuhnya. DAP tanpa takut-takut lagi telah merobohkan persepsi ini apabila bertindak berani memilih logo PAS untuk bertanding di kawasan-kawasan yang telah diperuntukkan kepada mereka khususnya kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Cina.

Saya kira, inilah saat di mana perjuangan PAS sudah tidak menjadi kegerunan lagi kepada bangsa Cina. Sekalipun ia masih belum diterima sepenuhnya, namun sedikit demi sedikit ia telah hilang.

Saya mengimbau kembali saat ketika Perjanjian Hudaibiyyah dimeterai antara Rasulullah SAW dan orang-orang Musyrikin Mekkah.

Kabilah-kabilah Arab di sekitar Madinah yang masih belum memeluk Islam mengambil keputusan untuk bernaung di bawah naungan kerajaan Islam Madinah.

Di saat itulah, sahabat-sahabat Rasulullah SAW diuji dengan rasa terhina akibat melihat secara zahir bagaimana perjanjian tersebut berat sebelah.

Namun kesabaran mereka segera diganjari oleh Allah SWT apabila perjanjian tersebut membuka peluang Rasulullah SAW menakluki kota Makkah apabila perjanian tersebut dilanggar di mana Bani Khuzaah yang masih belum memeluk Islam dan berlindung di bawah naungan Islam diserang oleh kaum Musyrikin.

Alhamdulillah, ketika UMNO masih menjaja keris tumpulnya merata-rata, perjuangan PAS sudah mula diterima di kalangan non muslim. Ketika UMNO main kayu tiga dengan perjuangan bangsa Melayu, PAS terus ke hadapan membawa misi dakwah dengan slogan PAS for All.

Non Muslim di sana sini tidak lagi segan silu membawa bendera PAS dan sebaliknya tidak pernah kita saksikan mereka membawa bendera keris tidak bersarung milik UMNO.

Saya yakin, benih Islamphobia yang disemai UMNO semakin mati tunasnya. Keputusan DAP ini insya-Allah satu rahmat besar buat PAS. Ia sebenarnya rezeki buat perjuangan Islam.

Mungkin Barisan Nasional merasakan langkah ini bakal membantutkan gerak langkah Pakatan Rakyat, namun sesungguhnya ia mengandungi rahmat yang sangat besar.

Jika Perjanjian Hudaibiyyah membuka jalan kepada pembukaan kota Makkah, maka tidak mustahil langkah kerajaan Barisan Nasional ini sedang membuka kepada pembukaan Putrajaya dan pembinaan Malaysia Baru.

Tidak mustahil tarikh 6 Mei 2013 nanti, perayaan besar-besaran kemenangan rakyat akan berlangsung di seluruh negara menyaksikan keruntuhan Barisan Nasional.

Yakinlah keputusan ini membuka pintu sejarah yang akan dikenang zaman berzaman. Inilah saatnya di mana akhirnya roket berjaya mendarat di bulan!

Salam hormat,

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)


Bertarikh : 8 Jamadil Akhir 1434H bersamaan 19 April 2013M

Tiada ulasan: