Polis hari ini menafikan beberapa berita di Internet yang mendakwa seorang lelaki ditembak mati berhubung kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya semalam.
  
Berikutan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi tentang motif pembunuhan itu kerana ia masih dalam siasatan polis.
  
"Berita yang mengatakan suspek kejadian telah berjaya dikesan dan ditembak mati manakala rakannya berjaya melarikan diri adalah tidak benar sama sekali," katanya dalam kenyataan akhbar yang disiarkan di laman Facebook Polis Kuala Lumpur hari ini.
    
Shaharuddin mati ditembak dua lelaki bermotosikal semasa dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, ketika kereta yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan, kira-kira jam 8.15 pagi.
  
Mohmad berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi DSP Hamzah Buman (ketua bahagian siasatan jenayah IPD Putrajaya) di talian 012-2342122, ASP Irwan Saimi (pegawai penyiasat kanan IPD Puyrajaya) di 019-6007772.
  
"Orang ramai juga boleh menghubungi Supt Yahya Abd.Rahman (pegawai turus siasatan khas D9 IPKKL) di talian 019-4708946 dan ASP Ng Man Fatt (ASP D9 IPKKL) di talian 012-2348802," katanya.
  
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah yang dihubungi Bernama berkata siasatan masih dijalankan.
  
"Setakat ini tiada tangkapan dibuat," katanya sambil menafikan insiden berkenaan ada kaitan dengan satu lagi kes tembak yang berlaku di Taman Billion Cheras, semalam.
  
Dalam kejadian 11.30 pagi itu, R. Karikaalan, 29, yang dalam perjalanan ke rumahnya di di Taman Puchong Hartamas maut ditembak dua lelaki bermotosikal ketika dia yang menaiki kereta Nissan Livina berwarna hitam berhenti di lampu isyarat di Bulatan Taman Billion.
  
- Bernama