Masyarakat anggap sebar video kerja Umno - Prof Redzuan
| Harakah, | 16 Apr 2013 |
“Video ini dan video-video lucah sebelum ini semuanya mula diterbitkan blog-blog yang pendirian mereka adalah pro-Umno.
“Begitu juga dengan video terbaru ini yang turut mula ditayangkan oleh pengendali blog-blog politik pro-Umno,” katanya merujuk kepada isu terbaru membabitkan seorang pemimpin PAS.
Menurutnya lagi, Umno perlu mengeluarkan kenyataan mengutuk penyiaran video sebegitu untuk menjauhkan diri mereka daripada mereka yang menyiarkannya.
Semalam Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan mengeluarkan kenyataan Umno tidak ada kaitan dengan pembikinan dan penyebaran video lucah Datuk Mustafa Ali.
Peguam Umno, Datuk Hafarizan Harun juga menghantar surat notis meminta Harakahdaily menarik balik penyataan yang mengatakan Umno terlibat dengan video lucah ini.
Ridhuan berkata, berdasarkan kajian beliau sebelum ini juga, hanya sekitar 18 hingga 21 peratus pengundi mempercayai ketulenan video seks lelaki mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan satu lagi gambar lucah lelaki mirip Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
Justeru, beliau menjangkakan kesan yang sama akan turut berlaku kepada penyiaran video lucah mirip Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali itu.
Calon: Sabotaj dalaman BN sudah bermula
| Harakahdaily, | 16 Apr 2013 |
MCA Wangsa Maju bersama kira-kira 120 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wangsa Maju antara yang mula menunjukkan bantahan apabila memutuskan memboikot BN sepanjang kempen PRU13 berikutan Datuk Yew Teong Look tidak dicalonkan di kerusi Parlimen Wangsa Maju.
Perkara tersebut disuarakan selepas mesyuarat tergempar bersama MCA dan wakil-wakil NGO Wangsa Maju setelah mengetahui Teong Look tidak dicalonkan, semalam, lapor Sinar Harian.
Ketua Bilik Gerakan Pilihan Raya MCA, Lim Choong Hong dipetik berkata, 120 NGO seluruh Wangsa Maju telah sepakat bersama MCA akan memboikot pilihan raya kali ini.
Menurutnya, suara rakyat di akar umbi di Wangsa Maju langsung tidak didengar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah NGO menghantar memorandum kepada Najib supaya Teong Look dicalonkan.
“Malah MCA akan mengadakan bantahan bersiri kepada pucuk pimpinan MCA bagi mengutuk tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang tidak mempertahankan kerusi Wangsa Maju.
“Saya percaya undi masyarakat Cina di Wangsa Maju akan beralih kepada parti pembangkang dan BN akan kalah teruk PRU13 sebagai tanda protes kepada keputusan ini,” katanya dipetik akhbar bahasa Melayu itu.
Semalam, Harakahdaily melaporkan selain Wangsa Maju, MCA Gelang Patah, Serdang dan Kuantan juga juga sudahpun melenting berikutan berita Umno cuba merampas kerusi mereka.
MCA bahagian Gelang Patah kelmarin mengisytiharkan berhenti kerja selepas mendapat ura-ura bahawa Pengerusi MCA Gelang Patah Jason Teoh bakal tidak dicalonkan.
Hari ini ianya sah apabila BN menamakan Pengerusi Umno Johor Datuk Abdul Ghani Othman akan bertanding di situ dan berdepan dengan penasihat DAP Lim Kit Siang.
MCA bahagian Serdang pula memberontak setelah mendapat maklumat bahawa seorang pembelot dalaman bakal dicalonkan sebagai calon parlimen Serdang.
Liew Yuen Keong, Ketua MCA Serdang yang enggan mendedahkan nama pembelot itu berkata rahsia pembelot ini memang diketahui umum di kawasannya.
Di Kuantan, Pangerusi Umno Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob melenting apabila akhbar The Star melaporkan bahawa kerusi Kuantan akan digantikan dengan kerusi Temerloh. Akhirnya The Star terpaksa membuat permohonan maaf dan pembetulan terhadap berita tersebut.
Sebelum ini, berita perebutan kerusi Umno dilihat tertutup, namun ianya dijangka pecah selepas Pengerusi Umno Negeri dijangka mengumumkan semua senarai calon BN di negeri masing-masing hari ini.
Pakatan Rakyat memenuhi selera anak nuda
| Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib, | 16 Apr 2013 |
Generasi
anak muda yang juga dikenali sebagai Gen-Y (generasi “Y”) sebenarnya
lebih cenderung untuk memilih Pakatan Rakyat kerana ciri-ciri istimewa
yang ada pada mereka. Gen-Y merujuk kepada mereka yang lahir pada tahun
1977 hingga 1997, adalah sebahagian besar daripada jumlah pengundi yang
akan menentukan keputusan Pilihanraya Umum ke-13 pada kali ini.Gen-Y atau juga disebut sebagai generasi milenium tidak lagi dapat dipermainkan dengan janji-janji kosong atau sogokan wang ringgit. Mereka memiliki kesedaran sivik yang tinggi menyebabkan mereka lebih kritikal dalam menilai setiap isu yang sedang berlaku di dalam mahupun di luar negara.
Berdasarkan kajian, Gen-Y lebih tertarik kepada jawatan yang menawarkan tanggungjawab dan peranan yang lebih besar, berbanding jika ditawarkan dengan jawatan yang mempunyai pendapatan yang tinggi. Menunjukkan mereka lebih tertarik kepada sistem yang dipengaruhi oleh nilai dan kesedaran, berbanding sistem yang dipengaruhi oleh sentimen kebendaan.
Jika Umno BN menyangka, penguasaan Media Arus Perdana menjadikan mereka “kebal” dan memiliki “advantage”, Gen-Y pula berpendapat bahawa kebebasan Media adalah prinsip asas demokrasi, lantas menjadikan tindakan rakus Umno BN ini sebagai senjata yang memakan tuannya sendiri. Lantas menyebabkan slogan transformasi yang dilaungkan oleh Umno BN dilihat tidak lebih dari sekadar retorik politik yang bertujuan untuk memancing undi.
Tawaran perubahan yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat, bukanlah tawaran yang semata-mata bersifat materialistik, bahkan perubahan utama yang ingin dibawa oleh Pakatan Rakyat ialah mengubah sistem pentadbiran negara kepada prinsip demokrasi dan keadilan yang sebenar. Mengembalikan keadilan dan hak rakyat sebagai pelanggan, serta fungsi sebenar Kerajaan, iaitu memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Kerajaan yang mengamalkan ciri-ciri urustadbir yang baik, “Good Governance”, ialah kerajaan yang mengamalkan ketelusan, responsif terhadap kehendak rakyat, serta memelihara kedaulatan undang-undang. Setiap ciri inilah yang sebenarnya lebih utama untuk dinilai oleh rakyat khususnya Gen-Y, berbanding slogan mahupun janji-janji yang ditaburkan oleh setiap parti politik.
Justeru, sudah semestinya, perubahan akan membawa kesan yang positif terhadap sistem politik dalam Kerajaan Malaysia. Perubahan akan melahirkan suasana persaingan yang sihat kerana masing-masing akan berlumba-lumba untuk memenangi hati rakyat. Bahkan sistem politik dua parti ini sebenarnya adalah sangat baik untuk mengelakkan monopoli parti tertentu yang akhirnya hanya akan membawa kepada kerakusan dan kegilaan kuasa.
Lord Acton, ahli Falsafah Barat, turut menyebut power tends to corrupt, absolute power corrupt absolutely, bermaksud kuasa cenderung untuk melakukan kerosakan, kuasa mutlak yang tidak tergugat akan membawa kepada kerosakan yang mutlak.
Justeru, saya menyeru kepada anak muda untuk terus bersama Pakatan Rakyat, melakar sejarah besar politik Malaysia, menerajui perubahan yang memenuhi kehendak dan aspirasi Rakyat Malaysia. Menegakkan kembali keadilan dan memberi kebajikan yang sebenar kepada rakyat untuk kelestarian Negara Malaysia.
Penulis ialah Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.
Apabila rakyat memantau pilihan raya
| Mohammad Faizal Che Yusof, | 16 Apr 2013 |
SAYA
terpanggil untuk memberi pandangan berikutan gesaan pihak Polis Diraja
Malaysia supaya tiada individu atau kumpulan mengadakan aktiviti
pemantau pilihan raya ketika ini. Suatu hal yang perlu diingat,
kerja-kerja pemantauan yang dilakukan oleh kebanyakan gerakan massa hari
ini bukanlah mengambil alih tugas agensi-agensi penguatkuasa seperti
polis dan SPRM.
Begitu juga apa yang dilakukan oleh aktivis-aktivis anak muda di Kelantan, bahkan seluruh negara hari ini. Ia lahir dari kesedaran betapa pilihan raya yang baik mesti diwujudkan. Ia mestilah dapat dirasai oleh rakyat dengan penyelewengan yang paling minimum jika pun tidak mampu dihapuskan.
Bagi saya selaku aktivis pemantau pilihan raya di Kelantan, kami percaya bahawa sebuah kerajaan yang baik hanya mampu dihasilkan dari pilihan raya yang bebas dari elemen-elemen penipuan, ugutan, penyalahgunaan kuasa, dan pelbagai macam kepincangan.
Kumpulan atau parti politik yang memanipulasikan kelemahan sistem perundangan dengan mengamalkan bermacam penyelewengan untuk menang tentu mengamalkan hal yang sama sebaik memegang kuasa menerajui kerajaan. Justeru, mahu tidak mahu rakyat mesti terlibat langsung dalam memantau, memerhati perjalanan pilihan raya agar keputusan undian kelak benar-benar menggambarkan kehendak majoriti rakyat tanpa penipuan dan tanpa dipengaruhi nilai-nilai yang tidak berpatutan.
Apatah lagi selaku individu muslim, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itu adalah tanggungjawab yang telah dimaktubkan dalam Al-Quran dan as-Sunnah. Berusaha sedaya mungkin untuk suatu pilihan raya yang bebas dan adil adalah suatu kebaikan dan segala macam penyelewengan adalah kemungkaran yang mesti ditentang.
Aktivis-aktivis pemantau dalam banyak keadaan tidak perlu bertindak semberono. Memadai fahami undang-undang negara dan adukan setiap penyelewengan dan kesalahan yang dilakukan kepada pihak-pihak berkuasa termasuk polis dan SPR. Bahkan itulah yang disaran oleh pihak berkuasa dan yang kami amalkan di Kelantan.
Selain daripada itu, Seksyen 4(4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, (Akta 597) menegaskan bahawa semua pihak hendaklah diberi perhatian berat kepada Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) selagi pengisytiharan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna, apa jua hak dan kebebasan yang tidak disebut dalam Bahagian II tetapi ada dirujuk dalam UDHR mesti dipertimbangkan dengan syarat tidak ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Artikel 21 UDHR telah memberi hak untuk rakyat terlibat secara langsung dalam membentuk kerajaan di negaranya. Penglibatan rakyat tentunya bukan terhad kepada pembuangan undi semata-mata. Ia lebih dari itu.
Aspirasi sebuah kerajaan adalah gambaran kepada aspirasi rakyat. Dengan itu, rakyat berhak memastikan proses pilihan raya berjalan secara adil dan bebas mengikut undang-undang yang sah dan nilai-nilai moral yang sejagat.
Tidak siapa yang boleh lupa bila mana dalam suatu forum PRU13, kuasa dan penglibatan rakyat yang diadakan di Kota Bharu pada 19 Januari lalu telah didedahkan adanya pengundi berdaftar yang bernama Balai Polis Sentul. Pendedahan yang dibuat oleh Datuk Husam Musa tersebut sama sekali tidak dinafikan oleh Ybhg Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, mantan Pengerusi SPR.
Tidak boleh kita bayangkan bila manusia seperti ini keluar membawa kad pengenalan dan membuang undi pada 5 Mei 2013 kelak. Wajarlah gesaan Ybhg Tan Sri Abdul Rashid bahawa undang-undang pilihan raya Malaysia mesti melalui suatu proses pembaharuan yang total.
Begitu juga dengan penyalahgunaan tempat-tempat awam yang begitu berleluasa oleh parti penyandang ketika ini. Apakah rakyat boleh terus diperdaya bahawa penggunaan premis-premis awam seperti sekolah dan balai raya oleh Umno dan BN adalah hal biasa? Jika dulu rakyat boleh kata “Oh, itu biasalah. Dia yang perintah”. Hari ini rakyat kian faham prinsip-prinsip sama rata yang mesti wujud dalam proses sebuah pilihan raya.
Bagaimana pula siaran-siaran media kerajan termasuk radio dan televisyen yang saban waktu terus mengamalkan sikap tidak adil dan berat sebelah? Fitnah, tohmahan, kejian kepada pihak lawan menjadi antara agenda utama dalam memomokkan bahawa BN adalah parti terbaik.
Walhal, RTM adalah hak semua rakyat. Ia adalah hak kepada penyokong PAS, Umno dan juga seluruh rakyat yang tidak berparti.
Bagaimana pula dengan kempen-kempen bersifat provokasi kaum dan agama? Tersebarnya risalah jahat seolah-olah direstui oleh pihak-pihak tertentu. Ia dijalankan sebegitu teratur dan licin melalui agensi-agensi awam yang sebenarnya dimiliki oleh rakyat bukannya parti politik.
Bertitik tolak dari faktor-faktor di atas, ia jelas memnuntut kecaknaan seluruh rakyat untuk bertindak sebagai pemantau dan pemerhati kepada PRU13 bagi memastikan kepincangan berada pada tahap yang paling minimum.
Seluruh rakyat adalah bertanggungjawab kepada kelangsungan perjalanan negara ini. Ia tidak sekadar ditentukan oleh kelompok-kelompok kecil parti politik semata-mata. Wajarlah jika hari ini rakyat bangkit menuntut suatu proses pilihan raya yang berwibawa dengan bertindak memantau dan memerhati proses yang akan berjalan sehingga 5 Mei 2013.
Penulis ialah Pengerusi Pemantau Kelantan.
Juak suburkan budaya lucah, tetapi nafi pula
| Harakah, | 16 Apr 2013 |
KUALA LUMPUR: Amalan politik kotor, lucah, fitnah dan ugut serta samseng seolah-olah disuburkan oleh BN melalui juak-juaknya mutakhir ini. Sejak insiden pada tahun 1998 membabitkan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, BN seolah-olah membudayakan tuduhan ‘lucah’ dan membiarkan budaya samseng ini berlaku sebagai jalan propaganda mengutip sokongan rakyat.
"Setelah mutakhir ini terlalu banyak didedahkan video ini, orang ramai tidak percaya dengan video ini sama ada betul atau sebaliknya itu semua orang ramai tidak bercaya kerana bagi orang ramai, BN seolah-olah menggalakkan budaya lucah ini.
"Saya menyeru orang ramai menolak budaya ini dengan menolak Umno dari menjadi peneraju negara dalam PRU13," kata Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS.
Dapatkan laporan penuh wawancara yang dibuat oleh wartawan Kanan Harakah, WAN NORDIN WAN YAACOB bersama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam Harakah cetak mulai Khamis ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan